Al-Sukhriyyah: Jahiliah Dalam ‘Tarbiah Islamiah’

40 Strategi Pendidikan Rasulullah (s.a.w) oleh Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

“Sekolah itu ada mengajar Tahfiz. Quran, Hadith, Aqidah, Fekah, semua ada” kata seorang lelaki.

Rakannya mengangguk.

Berpuas hati.

Apabila kita melihat Pendidikan Islam, kita akan menilai pilihan-pilihan yang ada pada dua perkara:

  1. Status sekolah tersebut sama ada ia SMKA, SMA, SMABP, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Integrasi atau bagaimana (INSTITUSI)
  2. Apa yang diajar di sekolah tersebut, dari segi mata pelajaran, aliran, peperiksaan yang diduduki (SILIBUS)

Sudah tentu, kedua-duanya banyak dibantu pula oleh persekitaran dan pergaulan di sekolah tersebut sama ada baik atau sebaliknya. Mereka yang lebih arif menyebutnya sebagai isu BI’AH (بيئة) sama ada ia solehah atau tidak.

Tetapi kita sering terlepas pandang, bahawa ada satu lagi dasar penting yang menentukan sama ada pendidikan yang ditawarkan itu adalah pendidikan Islam atau tidak. Selain institusi dan silibus, isu pokok yang mesti diberi perhatian adalah BAGAIMANA IA DIAJAR.

Pedagogi!

Sebuah sekolah mungkin dianggap sekolah berpendidikan Islam kerana ia diinstitusikan sebagai sekolah Islam. Silibus yang diajar pula merupakan mata pelajaran pengajian Islam. Tetapi bagaimanakah ia diajar? Apa pendekatan yang dipakai dalam mengajar? Bagaiamana bentuk interaksi guru dengan murid pada mendidik, memotivasi, memberi ganjaran, menegur malah menghukum pelajar yang melakukan kesalahan?

Bisa sahaja sebuah sekolah itu namanya sekolah agama, subjek yang diajar adalah subjek agama, tetapi cara mengajar adalah jahiliah dan bertentangan dengan agama.

Mengaibkan pelajar, membahasakan mereka dengan bahasa sukhriyyah (sarcasm), mengancam, mengherdik, membaling pemadam papan putih, apakah semua itu ada sandarannya pada amalan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Apakah ia diamalkan di dalam sistem pendidikan Baginda? Apakah sekolah yang melahirkan al-Ghazali, al-Shafie, Ibnu Sina, al-Farabi, Ibn Taimiyah atau Badiuzzaman Said al-Nursi mengamalkan cara sedemikian rupa?

Ini persoalan yang amat kritikal.

BUDAYA SUKHRIYYAH (SINDIR MENYINDIR)

Lama dahulu, saya teringat pada suatu peristiwa, semasa topik sukhriyyah ini mula saya perkatakan selepas Seminar Ibrah Surah al-Hujurat.

Malam itu anak kami meneman saya ke Surau al-Ulum, surau paling jauh saya berkuliah Maghrib. Katanya mahu meneman saya kerana takut saya mengantuk, dan mahu membuat kerja sekolah di surau sambil mendengar saya ceramah.

Saya berkuliah malam ini tentang al-Sukhriyyah di Dalam Timbangan Akhlak Islam.

Ada banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW yang melarang sarcasm dan saya kongsikan dengan contoh-contoh dialog di rumah, pejabat, hospital dan sekolah.

Antaran yang saya sebut juga, pukulan fizikal meninggalkan parut fizikal. Tetapi sarcasm meninggalkan parut emosi dan ia sukar sembuh. Paling tidak masuk akal ialah guru dan ibu bapa menyindir kanak-kanak. Ia adalah manifestasi keangkuhan bergaul amarah yang mesti dihentikan. Malah menggambarkan tidak cerdiknya akal berfikir.

Selepas kuliah berakhir dan muazzin iqamah, anak saya meluru ke hadapan untuk bercakap dengan saya yang sedang bersedia untuk mengimamkan solat. Terkejut jemaah surau.

Katanya, “betul Abi. Di sekolah memang cikgu-cikgu itulah kebiasaan mereka. Menyindir murid-murid. Tanya soalan: kamu letak telinga di mana? Di bontot?”

Saya menyuruh dia bertenang dan menyambung sembang selepas solat.

Selepas solat, dia meminta iPad saya kerana mahu mengemaskini blog. Mahu menulis tentang isi ceramah saya. Rupa-rupanya dia amat berdendam dengan sindiran dan penyindir tetapi tidak tahu cara hendak menerangkannya. Rupa-rupanya kemurungan beliau kebelakangan ini ialah kerana dendamnya terhadap sarcasm.

“Yop tak kisah kena marah. Tapi Yop benci sarcasm!” katanya…”

ALASAN-ALASAN PENERUSAN BUDAYA SUKHRIYYAH

Kita hidup dalam budaya penuh kecelaan lisan. Dalam kebaikan pun, kita bersulam āfāt al-lisān (kecelaan lisan).

Hingga hendak mengajak kepada kebaikan pun kita menyindir.

Sarcasm.

Kita sudah tidak percaya kepada ajakan secara direct. Kita anggap direct itu tidak berkesan kepada ‘orang bawahan’, atau terlalu sukar lagi melukakan untuk ‘orang yang lebih atas’. Kita gerun dengan jari yang luka di tangan, tetapi kita tidak gerun dengan kanser yang membunuh dari dalam. Teguran direct mungkin agak melukakan seperti lukanya jari. Tetapi al-sukhriyyah (sindiran) membenihkan dendam yang membunuh dari dalam.

Menggunakan pendekatan menyindir tidak mendorong anak murid untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mereka bengang, panas telinga, berdendam, bukan sebab sindiran kita tidak cukup ‘power’ untuk ‘sentap’ dan ‘makan dalam’, tetapi sebab formula itu DILARANG TUHAN. Ia bukan bahasa yang Allah restu, tidak kiralah sedalam mana pun budaya itu sudah berakar umbi di dalam budaya kita.

Hati itu Tuhan yang punya.

Mahu mengubah hati, gunakan cara yang Allah redha.

Ajaklah.

“Saya sudah puas mengajak secara direct. Tidak berkesan pun!” hujah kita sesama kita.

Kita mungkin terlepas pandang bahawa Nabi Nuh alayhi al-salaam mengajak, memujuk, mendidik, malah mengancam, selama 950 tahun. Tidak pula Baginda beralih kepada kaedah sindiran kerana sudah puas mengajak secara direct.

“Tapi dalam al-Quran, Allah sindir ahli Neraka, sindir ahli maksiat!” sebahagian kita berhujah lagi. Termasuk di meja ceramah dan pentas agama.

Allah sindir, Allah itu Tuhan.

Kita makhluk. Tidak sempurna. Sama berdosa, sama bergelumang kekurangan. Siapa kita untuk menyindir, ketika nasib kita pun belum tentu?

Allah itu Tuhan yang hari-hari didurhakai hamba-Nya, jarang sekali Allah memujuk dengan sindiran. Dan jika Allah yang menyindir dengan sinis, ia sindiran ALLAH kepada hamba-Nya. Layak sungguh. Mana mungkin kita sebagai hamba mahu menyindir sesama hamba.

Sarcasm, menegur secara sindiran berironi ini ditegah oleh ALLAH di dalam firman-Nya:

49_11

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Al-Hujuraat 49:11]

Al-Imam al-Tabari rahimahullah semasa mengulas ayat ini, menyatakan bahawa Allah meletakkan hukum mengharamkan perbuatan menyindir sinis (sarcasm) yang disebut sebagai al-sukhriyyah di dalam ayat ini, ke atas semua keadaan dalam semua makna. Maka tidak halal bagi seorang mukmin untuk menyindir seorang mukmin yang lain, sama ada kerana kemiskinannya, malah dosa yang dilakukannya atau apa sebab sekali pun, untuk menjustifikasikan sindiran.

Sindir menyindir itu adalah satu kesalahan, di atas premis agama. Tuhan yang kata ia terlarang. Bukan saya mereka-rekanya. Lawan kepada sindir menyindir bukannya ‘berlemah-lembut, memanjakan murid-murid, bersikap permissive, malah bukan juga mendiamkan diri atau mengambil sikap ‘lantak engkaulah’.

Lawan kepada sindir menyindir ialah berkata sesuatu dengan jelas, tegas, straight to the point, dan bersih daripada perkataan-perkataan dan ayat yang beracun.

Kalau boleh dicontohkan, saya teringat kepada guru matematik kami semasa di Tingkatan 5, kira-kira 25 tahun yang lalu.

Semasa kelas tambahan di sebelah petang, ada pelajar yang datang lewat melenggang-lenggang masuk kelas. Cikgu kami berhenti mengajar, dengan nada yang tenang tetapi tegas, beliau berkata, “cikgu buat kelas tambahan ini sebab cikgu nak tolong kamu. Supaya kamu yang muka F9, cikgu cuba tolong dapat C3 ke C6. Supaya yang muka C, cikgu boleh tolong kamu dapat A1 atau A2. Kalau kamu sedar kamu jenis F9, jangan acuh tak acuh macam orang muka A1. Kamu kena sedar kamu di tahap mana. Dan cikgu cuba tolong kamu.”

Itu antara contoh ayat yang boleh dikira straight to the point, jelas, tegas, dan tiada sindir menyindir. Tidak semestinya ayat yang terbaik. Tetapi kami mengingatinya sebagai nasihat yang kuat membekas. Tersedar.

Di dalam ayat beliau, tiada ungkapan “kamu ingat sekolah ni Sekolah Menengah Bin Abdul Jamil ke?” Tidak disebut, “kalau dah pandai sangat, guna surat beranak kamu tu isi borang UPU!” Cikgu tidak menyebut ayat-ayat ‘sentap’, menyakitkan hati dan menimbulkan rasa lucu di kalangan orang lain supaya ramai-ramai ketawa dan jadikan pelajar yang dimarah itu lebih malu, lebih sakit hati dan berdendam.

Apakah jika guru guna ayat tegas tanpa menyindir sebegitu, maka murid akan dengar kata ke?

Belum tentu.

Murid mahu mendengar kata atau tidak, faktornya banyak. Kalau kita buat apa sekali pun, seandainya dia tidak mahu mendengar, dia tidak akan mendengar. Tetapi dengan mengelak daripada menyindir, kita mematikan satu sebab yang menyumbang kepada murid memberontak dan berdendam.
.
Jika perubahan itu dibuat di peringkat murid yang lebih muda (pra sekolah dan sekolah rendah), maka lebih banyak kesan positif yang boleh diharapkan, insya-Allah. Pokoknya, jangan buat benda yang Allah tidak suka. Sama ada guru, murid, ibu, bapa, ayah, emak, suami, isteri, penceramah, orang agama, orang sains, majikan, pekerja, sesiapa sahaja. Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang-orang yang beriman (Q51:55).

MENDORONG MURID MEMILIH UNTUK JADI BAIK

Di dalam metode Khalifah, murid-murid dididik untuk menjayakan tiga matlamat pendidikan iaitu:

  1. Choose to be good (memilih untuk jadi baik)
  2. Help others to be good (membantu orang lain untuk jadi baik)
  3. Keep the physical world good and pleased by Allah (memelihara persekitaran fizikal agar berkeadaan baik dan diredhai Allah)

Dalam tiga matlamat itu, perkataan yang paling mahal adalah CHOOSE.

Memilih untuk jadi baik.

Ramai murid sekolah kita baik semasa di sekolah. Tambahan pula yang persatuan agama dan aktiviti keagamaannya sihat. Mereka terus sihat apabila dikurniakan rezeki selepas tamat SPM, menuntut di universiti yang berada di lokasi yang kuat aktiviti Islam di sekitarnya, sama ada dalam negara atau luar negara, negara Arab atau negara Barat.

Tetapi dalam banyak keadaan, sebaik sahaja tiada persekitaran yang memprogramkan kebaikan itu, anak murid keluaran sekolah baik-baik ini hanyut. Kita menyebutnya bukan dengan bangga atau gembira, malah dengan dukacita dan sedih pada memikirkannya.

Soalnya mengapa?

MEMILIH untuk jadi baik amat berbeza daripada TERPAKSA jadi baik atau DIPAKSA menjadi baik.

Untuk seseorang itu MEMILIH menjadi baik, ia bukan bergantung kepada APA YANG DIAJAR atau DI MANA DIA DIAJAR tetapi amat berkait rapat dengan BAGAIMANA DIA DIAJAR.

Mendidik anak, mendidik anak murid, jangan hanya pada Islamnya apa yang diajar. Tetapi sangat penting untuk menentukan keislaman cara ia diajar.

Di sebuah sekolah agama, yang mengajar subjek agama, mungkin Jahiliahnya ialah pada PEDAGOGI.

Yang memusnahkan segala-galanya.

Mari kita mulakan perubahan ini di dalam amalan kita sebagai pendidik. Ia boleh dibuat di dalam kelas 10 murid, 20 murid, 40 murid, dan 200 mahasiswa serta mahasiswi. Perubahan itu bergantung kepada pilihan diri kita sendiri. Sesungguhnya salah satu tanda ketakwaan kita kepada Allah, adalah pada memilih bahasa yang kemas, kuat, tepat, positif, yang disebut oleh Allah SWT sebagai QAULAN SADIDA.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

19 comments

  1. Ramai orng melihat islamic school or preschool tu sebagai , just ade belajar tentang Perkara related to islam, hafal sampai ape..tapi ape yg jauh lebih penting ialah proses yang digunakan itu, apakah dia mencontohi cara Rasulullah mendidik anak… Penuh dengan kasih sayang..penuh dengan galakan dan sokongan, penuh dengan tutur kata menyeronaokkan seseorang anak untuk mengikutnya…, bagaimana cara Nabi Muhammad s.a.w berhadapan dengan anank anak yang terbuat silap…bagaimana pula beliau sering beraktiviti dengan anak anak sebagai cara pendidikan…bukan setakat sungguh Nabi muhammad ialah psikologist terhebat di dunia…

    Saya suka kata kata ini” teachng is not just about what is right or wrong, but the more important is the process…”

  2. Mungkin keterikatan pada sistem itu sendiri Ustaz ?

    Seperti, Pelajar sekolah Agama, terikat dengan peraturan Agama yang mereka sendiri tidak rela, malah terpaksa.

    Hasilnya, lepasan ini akan keluar sebagai seorang ‘pemberontak’ tegar yang ‘fobia’ bila mendengar jenama Agama.

    kalau ikutkan pengalaman, nak tarik adik-adik dari SMKA atau SBP agama join usrah inilah yang paling susah sekali. Lebih menakutkan, mereka jadi semacam hilang kawalan bila masuk ke kolej2 persediaan.

    Yang pakai tudung labuh dipendekkan, atau mungkin ada yg tak bertudung lg.

    Yang lelakinya masjid entah ke mana, surau entah ke mana.

    Bosan katanya hidup dalam sistem yang sama berulang kali.

    Sekadar pendapat ustaz, dari budak yg dhaif 🙂

    • ibtisammohamad

      Betul…betul…Ustaz.Memilih untuk jadi baik…itu yang nak diterapkan.Kecenderungan anak-anak perlu diperhatikan dan diperhalusi.Ada yang secara fitrahnya sangat matang dan tidak dipengaruhi oleh persekitaran…sentiasa memilih untuk jadi baik…jika dibiarkan dalam aliran biasapun,insyaAllah boleh jaga diri,malah jadi contoh pada rakan-rakan dan dapat menilai perbuatan guru-guru juga samada selaras dengan syariat atau tidak.(Ini anugerah Allah kpd ibubapa/guru2).Kebiasaan pula adalah anak-anak yang sangat dipengaruhi oleh persekitaran…ini yang ramai orang tahu,maka ibubapa memilih untuk mengawal persekitaran dengan menitipkan mereka kepada sekolah aliran agama,dengan harapan menggunung guru2 dapat mendidik supaya anak2 ini memilih jadi baik dan berharap peer-pressure kawan2 yang baik dapat menjadikan anak2 ini baik.Guru2 yang baik diharap jadi ikon/idola anak2.Malangnya tak semua guru/rakan di sekolah tersebut boleh berfungsi seperti diharapkan…Realiti masa sekarang…ada rakan2 yang berada di sekolah itu untuk pemulihan akhlak dan ada guru2 yang terpaksa menjadikan sekolah itu sebagai batu loncatan…BAGAIMANA???PREACH AND DO…Akhlak Rasulullah reflects ISLAM…Mmg amat susah jaga akhlak di depan ‘anak-anak’ sekarang…Mama,cikgu buat…kenapa abang tak boleh?

  3. Ha ha, santai sekali artikel ini. Ingatkan syarah tentang pedagogi. Rupanya tentang ‘memilih’, yang memahamkan sedikit sebanyak tentang pedagogi

  4. Amat bagus kupasan ustaz ini ….

    Saya amat tersentuh hati akan artikel ini kerana ia amat berkaitan dengan saya sendiri iaitu sebagai seorang guru di sekolah rendah yang mengajar PI.

    Menyedari akan kekurangan “suatu perkara besar” dalam PEDAGOGI pendidikan islam semasa menuntut du maktab perguruan dulu … saya mula tercari-cari bagaimana harus saya mendidik anak murid saya menurut pedagogi Islam.

    Saya amat merasai dalam lubuk hati saya bahawa pedagogi yang saya ada adalah tidak lengkap, ada suatu pergara yang hilang.

    Saya tidaklah igin menyatakan pedagogi yang ada sekarang tidak bagus, … ia bagus .. tetapi semasa saya ada di maktab ….. memang ada satu matapelajaran khusus iaitu Subjek “pengajaran & Pembelajaran pendidikan Islam”

    Pengalaman saya yang khusus membidang dalam pendidikan Islam sekolah rendah … saya merasakan bahawa pedagogi pendidikan Islam yang ada sekarang (yang diajarkan di maktab) kurang berupaya untuk mendidikkan Islam mennerusi pendidikan Islam itu sendiri. Pabila mendapati masalah ini, saya mula panik. Saya berjumpa guru tasauf saya semula, bertanya kalau-kalau ada tips-tips ya g berguna. Saya selongkar karangan-karangan Imam Ghazali untuk seperti kitab Bimbingan Mukmin dan Ihya untuk mencari apa-apa sahaja yang menyentuh tentang pedagogi Islam. Saya buat begini kerana saya dapat rasa, kalau nak natijah yang Islami, maka cara dan pendekatan pengajaran pendidikan Islam saya juga harus Islami ….

    Saya selongkar sebuah catatan lama yang bersumberkan kitab “laftatul kabib li nasihatil walad” oleh ibnu qayyim kalau tak silap. Saya sembang-sembang akan masalah ini dengan guru-guru j-QAF yang menjadi kawan-kawan saya … mereka juga merasai hal yang serupa … namun tiada dapat konklusi bagaimana nak mengajar PI mengikut pedagogi Islam yang betul… cuma pedagogi yang ada di maktab sahajalah …

    Saya cuba terapkan tips-tips cara bertarekat pada murid-murid. Murid-murid ………….. saya wajibkan berselawat ke atas Nabi 100x sehari ….. ada yang buat dan ada yang tidak. Tapi yang buat … nampak ciri-ciri natijah Islami pada perubahan tingkahlakunya.

    Hanya sanya selepas keputusan berputus asa …. saya mula menyelidiki kronologi sirah nabi dengan meneliti kronologi ayat-ayat Quran. Kita tahukan ayat-ayat dalam Quran ada 2 jenis … makki dan madani. Saya meneladani dan telaah ayat-anat makki sayaja, terutamanya ayang-ayat pendek….. Maka di situlah saya dapat bahawa saya sebenarnya tak akan boleh mendidikkan pendidikan Islam pada diri murid-murid. Yang saya bisa boleh buat ialah (1) menerangkan mereka akan Islam (2) membentuk konsep hahikat diri mereka sebagai manusia yang Allah buat … hakikat bahawa diri ini diciptakan, bukankan diri ini berkuasa mencipta … (3) bentukkan semula pandangan alam Islam (islamic worl view) dalam diri pelajar dan akhir sekali (4) menyatakan bahawa murid-murid perlu memilih nnak ikut yang baik atau yang tidak baik, malah mereka bertanggungjawab sendiri atas akibat dan kesan pada pilihan yang dibuat …. saya interprete kan dari ayat’ wahadainaa hun najdain”.

    Kesimpulan yang saya ingin sampaikan buat pembaca artikel ini ialah …:

    1) Banyak-banyak orang yang berkata pendidikan Islam kurang berkesan …. adakah mereka mengerti di mana kah yang dukatakan mereka itu tidak berkesan??

    2) Ada yang melihat bahawa pasalah pendidikan Islam adalah pedagoginya kurang berkesan … kurang berkesan yang macam mana??? Jika kurang berkesan untuk melahirkan jiwa yang Islami … itu saya setuju. Tetapi jika dikatakan kurang berkesan untuk melahirkan murid yang faham islam …. itu saya kurang setuju.

    3) Jika saya katakan “ilmu pedagogi yang dituntut di maktab” adalah tidak berguna … tebtu ustaz hasrizal tidak setuju. Tetapi saya yang mengajar di SK rendah ini, amat bersetuju kalau dikatakan ilmu pedagogi yang di ajar di maktab itu tidak berguna banyak untuk pendidikan Islam. Untuk pengetahuan para budiman ….. baik ia guru agama di sekolah rendah, baik ia guru agama di maktab dan baik ia guru agama di mana-mana institusi …. kalau dia memegang DPLI, KPLI, j-QAF… ilmu pedagogi pendidikan Islam yang salamah di ajar kepada kami semua ini.

    4) Berapakah dari kalangan guru-guru agama (DPLI, KPLI j-QAF) ini sedar yang ilmu pedagogi pebdidikan Islam yang kami warisi dari maktab kurang berguna?? Adakah pilihan lain untuk pelajari mendapat latihan pedagogi pendidikan Islam yang sebenar????

    Cadangan :-

    Saya mencadangkan pada ustaz dan juga pembaca yang budiman …. bantulah kami para guru agama unutk mengajar ikut pedagogi Islam yan g betul. Pedagogi Islam bukan setakat “dilarang mengherdik murid” sahaja …..

    1) Senaraikan kitab-kitab dan rujukan ulama-ulama Islam yang boleh kami rujuk untuk mendalami pedagogi Islam.

    2) Cerakinkan bentuk-bentuk pedagogi Islam dan tulis dalam artikal serta sebarkan di internet. Kami nak baca.

    3) kami … guru pendidikan Islam di sekolah rendah … kami bikan guru j-QAF yang ada latar belakang arab yang kuat. So … kami tak boleh baca rujukan rujukan bahasa Arab. harap, terjemah kan apa-apa yang manfaat tentang pedagogi PI ke Bahasa Melayu.

    4) Kami bekerja lebih teruk dari mana-mana profesional . Ada orang kata kerja doktor teruk. Ada orang kata kerja jururawat teruk. Tapi kerja guru adalah lebih berat pada mental kami. Yang menjadi gila adalah guru kebanyakannya (penjawat awam). Bayangkan dalam 40 minit ( 1 period) kami perlu tackle 40 – 45 orang client (murid) 1:45. kerja doktor pun 1:1 dalam satu masa . Oleh itu, kami amat tiada masa untuk mengkaji dan menelaah sumber-sumber untuk mencari pedagogi Pi yang betul. Apa yang di ajar pada kami … itulah yang kami dapat buat.

    Bantulah kami untuk mencari pedagogi PI yang betul. JANGAN HANYA SEBUT ADA KELEMAHAN PADA PEDAGOGI PENDIDIKAN ISLAM ATAU PEDAGOGI DI SEJOLAH-SEKOLAH AGAMA. Fahamkah masyarakat akan bebanan berat pada tugas-tugas kami????? Kami teriklat pada SISTEM. Jangan lah mudah menyalahkan kami … tanpa anda memberi atau menunjukkan kami alternatif dan jalan keluar. Fahami benaban kerja kami.

    Yang benar

    Mohd Sofi
    Guru Pendidikan Islam
    SK Santan

    • Assalamualaikum..

      Saya bukanlah seorang guru sekolah, tapi saya selalu memikirkan cara terbaik mendidik anak-anak kerana saya seorang ibu..
      Saya temui blog seorang ustazah yang memberi maklumat tentang mendidik menggunakan teknik nabi muhammad saw di sini http://ustazahsitikhadijah.blogspot.com/

      Moga ada manfaatnya buat kita semua..

      Peace 🙂

    • Saya kagum dengan usaha Ustaz Mohd Sofi sebagai seorang guru agama yang sanggup bersusah payah mencari pedagogi pendidikan Islam. InsyaAllah dengan ramainya guru-guru seperti Ustaz Sofi, pendidikan Islam dapat diterapkan dengan baik pada anak-anak kita.

      Saya sendiri bukan ahli dalam bidang pendidikan, cuma sebagai seorang bapa saya juga tercari-cari panduan dalam menerapkan pendidikan Islam pada anak-anak. Saya nak berkongsi beberapa buku yang saya dapati sangat bagus dalam pedagogi pendidikan Islam untuk anak-anak – Ustaz Sofi lebih tahu sama ada saranan dalam buku-buku ini sesuai diaplikasi untuk pelajar-pelajar sekolah.

      1) Ar-Rasul Al-Muallim wa Asaaliibuhu fi At-Ta’lim oleh Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

      Buku ini sudah diterjemah ke bahasa Malaysia dengan judul “40 Strategi Pendidikan Rasulullah” sepertimana yang Ustaz Hasrizal dah kongsi gambarnya di atas

      http://bukuonline2u.com/index.php?route=product/product&product_id=1226

      2) Manhaj At-Tarbiah An-Nabawiah li At-Tifl” oleh Muhammad Nur bin Abdul Hafiz Suwaid

      Buku ini sudah diterjemahkan ke bahasa indonesia dengan judul “Prophetic Parenting: Cara Nabi Mendidik Anak”

      http://bukuonline2u.com/index.php?route=product/product&product_id=1025

      3) Saat Berharga Untuk Anak Kita oleh Mohammad Fauzil Adhim

      Penulis berasal dari Indonesia, seorang yang banyak memberi konsultansi berkaitan dengan pendidikan anak-anak

      *tak jumpa di bukuonline2u, saya sendiri mendapat naskah di kedai buku

      Moga buku-buku ini bermanfaat untuk Ustaz Sofi

    • Tahniah Cikgu/ Ustaz Mohd Sofi atas kupasan peribadi yg diberikan.

      Sedikit komen dpd saya yg dilihat penting tetapi diambil mudah oleh para cikgu dikebanyakan sekolah tadika mahupun rendah.

      Saya lihat aspek kebersihan serta disiplin mudah tidak dititikberatkan. Antaranya, menyusun kasut di rak kasut dengan teratur. Sebab perlu disusun dengan sempurna haruslah senantiasa diterangkan kpd pelajar yg terlupa secara sabar dan istiqomah. Begitu juga dengan pembuangan sampah kedalam tong sampah dengan sempurna.

      Saya lihat, apabila dari Taska/ Tadika mahupun darjah satu tidak dititikberatkan sehinggalah ke darjah enam….. oklah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dlm keputusan peperiksaan. Tp apabila pelajar berada di luar landasan ~ hanyut. Kerana asas serta kepincangan rohani yang diambil mudah.

      Itu sahaja komen ringkas saya. Insan marhaien.

  5. Encik Mohd Sofi, Kerja orang KPM lah yang perlu mengenal pasti dan mencari tahu penyelesaian kepada hal ini…sudah ada Bahagian yang diamanahkan menjalankan tugas ini, jika ustaz yang buat,maka pelaksanaannya tak akan menyeluruh…bak kata encik mohd sofi sendiri dari guru sekolah rendah sampai ke Maktab menggunakan kaedah yang sama, maka pihak yang “menguatkuasakan”lah yang perlu kaji perkara ini seterusnya melaksanakannya…itu gunanya ada bhgn research (penyelidikan)..masyarakat yang diluar kotak inilah yang memberi pandangan, yang menullis. kalau ustaz ada hak kuasa untuk melaksanakannya, sudah tentu kaedah baru sudah boleh dikuatkuasakan hari ini juga. Diringkaskan cerita, walau sepuluh ribu ulama pun yang memberi tunjuk ajar /kaedah/pedagogi, kalau KPM tidak melakukan apa2…apa gunanya..hanya guru yg sudi berikhtiar sahaja yang akan mempraktikkannya..yang lain ikut sajalah yang sedia ada…adakah wakil bahagian KPM yang bertanggungjawab akan membaca komen ini…saya doakan semoga ada, lebih baik lagi dikalangan dato’2 decision maker, bukan kerani yang tolong taip surat, tapi think tank’er’ yang sudah jelas, inilah kerja mereka. sudah hampir hujung tahun, sudah tentu sedang merancang Sasaran Kerja Tahunan 2013 (SKT) atau Perancangan Strategik 2013, Masukkan yang ini sekali,boleh?.

    • Sangat setuju dengan En Muhammad…bukan kerja guru sebab luar kawalan guru.Ini kerja pembuat dasar…cuma perlu dengar dan layan feedbacks drp guru-guru,bukan memekakkan telinga dan buat dasar dalam bilik mesyuarat yang bila nak dikuatkuasakan tidak relevan.Bukan melibatkan KPM saja,malah lain2 kementerian juga.Bila hasil tak ada,mula cari scapegoats dan selalunya the best scapegoats adalah orang2 yang tiada dalam bilik mesyuarat…orang2 dalam kategori’pelaksana’ iaitu guru-guru…Kesian guru-guru…Bilalah pembuat dasar akan dapat rasa hasil kecuaian/ketidakcaknaan mereka?

  6. ummuninasmaysar

    Salam’alaik.

    Hampir meninggalkan sekolah agama selepas PMR kerana ingin berhijrah ke sekolah vokasional. Jemu dan bosan dengan hafalan-hafalan kitab yang tidak memberi sebarang makna dan hanya memberi tekanan untuk lulus periksa. Namun, hati bagai ditarik-tarik untuk kekal di SMA yang bertaraf sekolah rakyat itu. Entah kenapa – SMA itu tiada makmal dan tiada aliran lain selain agama. Rupa-rupanya, di tingkatan 4 & 5 dipertemukan dengan seorang ustazah. 40 minit kelas Pendidikan Islam dengan beliau dihabiskan dengan perbincangan tentang pelbagai isu tentang Islam sehingga persoalan-persoalan semasa yang boleh dikaitkan dengan topik atau ayat Al Qur’an yang sedang dibincangkan. Tidak ada hafalan membabi buta dan tidak ada soalan-soalan ‘spot’ yang disentuh. Beliau membuka ruang yang luas untuk pertanyaan demi pertanyaan dan sangat lemah lembut tapi profesional. Beliau sangat menyantuni jiwa remaja yang pada ketika itu sangat keliru antara isi dan kulit seseorang yang beragama Islam. Akhirnya, subjek itu menjadi kegemaran setiap minggu bukan kerana ‘terer’ menghafal setiap ayat suci di dalam buku teks tetapi kerana terlalu banyak persoalan-persoalan baru yang ingin ditanya dan dilayani tanpa herdik, tempelak atau sikap ‘holier than thou’. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan pendekatan ustazah saya itu tapi saya cukup terhutang budi dengannya kerana dia telah membantu saya memilih untuk berusaha menjadi baik.

  7. Well-written ustaz.

    Seperti kata ustaz Pahrol, di sekolah2 agama hanya dijalankan proses ta’lim, tidak proses tarbiyyah.

  8. pelajar universiti

    alhamdulillah, cukup baik penulisan ustaz kali ini dalam menerangkan tentang padagogi cinta atau the art of education. namun ingin saya meminta pandangan ustaz dalam soal lecturer yang mereka juga adalah pendidik tetapi kebanyakan daripada mereka lebih-lebih lagi dalam sesetengah fakuliti mereka tidaklah mendidik sebagaimana didikan yang sepatutnya diberikan, mengikut sunnah rasulullah dan kadang-kandang boleh saya nyatakan mengikut budaya pendidikan eropah yang saya pandang lebih mengikut sunnah berbading negara kita di Malaysia ini. mereka beralasa bahawa mereka adalah lecturer yang patut lecture sahaja dan tidak patut teach dan sekali gus boleh saya katakan memisahkan tanggungjawab mendidik generasi dengan perasaan kasih sayang dalam mendidik generasi.

    akhirnya jadilah pendidik yang juga seperti robot, memberikan pengajaran sekadar memenuhi silibus-silibus yang perlu dicapai tanpa memandang lebih terperinci kepada pembangunan karakter pelajar-pelajar mereka.

    mereka marah, mereka mengeluarkan kata-kata kesat, dan pelbagai lagi yang saya kira di luar daripada gaya pengajaran ulama-ulama.

    dan akhir sekali mereka tetap menyalahkan pelajar-pelajar. wallahualam. mohon pencerahan ustaz. jzkk

  9. English teacher

    Saya seorang guru baharu (3 minggu). Hari demi hari saya bekerja, semakin berkurangan kepercayaan saya dengan sistem pendidikan di Malaysia untuk melahirkan insan yang cemerlang dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelek. Yang paling menekan perasaan ialah the fact that saya adalah sebahagian daripada sistem ini. T_T

  10. Guru dipaksa menjadi hipokrit sejak berada di IPG lagi. Kerana sistem pendidikan Malaysia yang masih berada tahap dunia ketiga. Jangan berputus asa English teacher,Mohd Sofi dan lain-lain. Pegang slogan erti hidup pada memberi seperti SaifulIslam.com ini.

    Saling pesan memesan.

    • Teruskan berusaha. Jangan berputus asa. Anak-anak kami memerlukan bantuan para guru yang berjiwa pejuang. Ibu bapa seperti kami sentiasa mendoakan para guru.

  11. Arromi bissahm Alasad fillahm ibn Asshowaeq 'ala udzunilmadzumin

    Assalamualaikum….
    Satu panahan yang “dahsyat” patut ditusuk ke jantung hati para guru bahawa tugas mentarbiah ini adalah suatu amanah yang agung dan menggunung di bahu para rijal. Para komandan seterusnya para guru jika gagal membuktikan ucapannya kepada didikan, gagal jadi uswah pada syakhsiahnya, jangan mimpi siang hari kalau para pelajar merasa “terasing” dengan contoh2 yang diperlihatkan guru yang sibuk dengan teori yang betul tapi gagal dibuktikan dalam “dunia tarbiyah islamiah” dan hanya tak lebih dari bayangan “so called islamic” yang nampak pada simbol tapi hilang ‘izzah dan ghirah mereka ..terjebaklah lepasan yang “drop out”ini ke kancah “rare” seperti ideologi2 pesimis dengan “islamiah” itu sendiri dan jahil murakkab kepada maslahat dan mudharat ugamanya ! .
    19 : 59

  12. Assalamualaikum
    Pendidikan terhadap anak-anak sangat penting. Melihat dan menonton rancangan Khawater terbitan Ustaz Ahmad Shuqairi membuat liputan pendidikan dan cara anak-anak di Jepun dididik sangat berbeza dengan pendidikan kita di Malaysia. Begitu juga kaedah pendidikan yang digunakan di Finland yang memberi kebebasan kepada guru dan anak murid untuk meneroka ilmu itu sendiri. Mungkin idea tersebut boleh menjadi pedagogi yang baik untuk kita. Wallahu a’lam

  13. Slm alaik. Ye, saya bersetuju dgn tulisan Ustaz ini. Persoalan ‘bagaimana’, bukan semata-mata ‘apa dan siapa’. Terima kasih, jawapan kpd persoalan begini lama telah saya fikirkan dimana salah & jawapannya.

Leave a Reply to ibtisammohamad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share