Home / Kembara Finland / Kita Tidak Sayangkan Kanak-kanak?

Kita Tidak Sayangkan Kanak-kanak?

Pujuk dan ajak.

Akhirnya anak setuju.

Ikut ayah pergi ke masjid solat bersama-sama.

Kemalasan dapat diatasi, ketiadaan minat dapat diselesaikan, sedikit demi sedikit, anak semakin kerap mengikut ayah bersolat di masjid.

Apabila ada kanak-kanak bersolat di masjid, di sebalik pemandangan itu, ada pelbagai usaha, kesusahan dan kegembiraan. Seronok bukan, melihat kanak-kanak bersolat di masjid?

Tiba-tiba keseronokan itu ‘dicemar’!

Tercemar oleh pakcik yang merentap seorang anak yang sedang bersolat di dalam saf bersebelahan bapanya. Semangat beragama yang tinggi oleh pakcik berkenaan, memberi tenaga kepadanya untuk tegas merentap seorang kanak-kanak yang salah malah mungkin ‘berdosa’ kerana ‘memutuskan saf’ orang dewasa.

Ayah tergamam.

Tidak bertindak memberhentikan solat. Terus bersolat dalam kegeraman dan tiada khusyuk. Menahan sabar.

“Sabar nak. Pakcik tadi tu gila!” kata si ayah menenangkan anak yang masih terkejut.

Terpaksa berbohong (mungkin bukan bohong), bahawa pakcik itu tadi gila.

Beberapa tahun kemudian mungkin si anak baru memahami bahawa di sebalik pakcik yang gila, mungkin ada ustaz gila!

Memang ada perbahasan Fiqh yang terpeinci tentang kanak-kanak dan saf di dalam solat. Kanak-kanak memutuskan saf atau tidak, menanggung najis atau tidak, semuanya ada perbahasan yang berada di hujung jari. Walaupun saya cenderung kepada pendapat-pendapat yang tidak menjadikan semua itu sebagai masalah untuk kanak-kanak bersolat di dalam saf, termasuk kanak-kanak yang belum berkhatan serta belum aqil baligh, saya tidak boleh memaksa untuk mereka yang berkeras dengan pendapat sebaliknya, menukar pandangan.

Tetapi dalam apa-apa keadaan sekali pun, merentap si anak daripada sebelah bapanya di dalam solat adalah JAHILIAH dan tidak berperi kemanusiaan. Apabila si anak dikerah ke belakang, pelbagai isu timbul. Bukan sahaja aspek anak -anak bermain-main tanpa pemantauan ibu bapa dan orang dewasa, masalah keselamatan anak juga boleh timbul. Anak hilang, jatuh dalam kolah masjid, keluar dari pagar masjid dan dilanggar motor, macam-macam isu ada apabila anak direntap dan dipisahkan daripada bapa.

Saya tekankan bapa sebab saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir masjid. Macam mana pula dengan gelagat makcik-makcik di situ.

Apa yang pasti, sikap ini menggambarkan rendahnya empati kita kepada kanak-kanak, bahawa tempat paling selamat untuk anak adalah di sisi ibu bapanya. Bahawa tugas kita orang dewasa adalah melindungi anak-anak, dan kanak-kanak.

Rendahnya empati itu menggambarkan yang kita ada masalah. Kita tidak peduli implikasi tindak tanduk kita kepada kanak-kanak.

Mungkin, saya tegaskan ‘mungkin’, sebab saya tidak membuat penyelidikan terpeinci, ini menjadi latar belakang kenapa kanak-kanak di dalam masyarakat kita didera, dibuli, diherdik, dibiarkan hidup dalam sistem pendidikan yang menekan mereka, tidak endah kepada keperluan mereka untuk hidup bahagia dan gembira, merampas bermain daripada hak anak-anak, kemudian bernostalgia dengan penderitaan silam kita bahawa itulah yang menjadikan kita ‘orang’ pada hari ini.

Aspek ini menjadikan kita jauh daripada roh agama.

Malah kita ketinggalan berbanding dengan sesetengah masyarakat di negara lain, pada menjaga dan melindungi kanak-kanak. Semester ini saya mengambil subjek ‘Pendidikan Untuk Asylum Seekers’. Subjek ini memerlukan kami untuk berinteraksi dengan anak-anak pelarian di reception centre. Untuk subjek ini, kami dikehendaki mendapatkan surat pengesahan polis Finland bahawa kami bersih daripada sebarang rekod jenayah. Taklimat panjang diadakan tentang do’s and don’ts terutamanya aspek perkongsian media sosial yang tidak mengizinkan kami mendedahkan wajah atau nama atau sebarang identiti yang boleh mengundang risiko ke atas kanak-kanak.

Minggu lalu semasa taklimat ibu bapa di sekolah anak-anak, kami diingatkan bahawa anak-anak tidak boleh datang ke sekolah 30 minit lebih awal daripada kelas pertama, dan mesti beredar dari sekolah dalam tempoh 30 minit selepas kelas terakhir selesai. Kajian-kajian menunjukkan, masa-masa sebegini adalah masa berisiko yang mendedahkan kanak-kanak kepada buli dan bahaya-bahaya yang lain.

Saya fikir, di negara seperti Finland ini, tidak mungkin diwujudkan ‘sekolah tahfiz’ yang merisikokan keselamatan kanak-kanak. Tiada kompromi dalam hal kanak-kanak kerana seluruh masyarakat mengambil tanggungjawab bahawa kita memikul amanah melindungi kanak-kanak.

Dalam suasana ini, saya melepaskan anak kami yang berusia 8 tahun berjalan kaki seorang diri ke sekolah sejauh 2km pergi dan 2km pulang.

Teringat saya kepada suatu peristiwa yang diceritakan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa pada suatu ketika baginda Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam mencium cucu baginda al-Hasan bin Ali radhiyallahu anhuma. Di sisi baginda pada masa itu ada al-Aqra’ bin Hābis (الأقرع بن حابس). Beliau memerhati kejadian itu lalu berkata, “saya mempunyai sepuluh orang anak. Saya tidak pernah mencium walaupun seorang pun dari kalangan mereka.” Baginda berpaling dan memandang ke arahnya lalu bersabda:

 “‏منلايرحملايرحم‏!‏‏”‏ ‏‏‏(‏متفقعليه‏)‏

“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak dikasihi”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Mungkin, saya katakan mungkin, sekali lagi, kerana kita kurang penyayang, kepada manusia-manusia yang sepatutnya kita lindungi mereka, kita tidak disayangi Tuhan.

Ubahlah sikap kita terhadap kanak-kanak.

Mudah-mudahan Allah lebih kasih kepada kita yang mendambakannya.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Maklum Balas

Maklum Balas

About saifulislam

A school teacher and a lifelong learner.
Oulu, Finland

Check Also

UPSR: Kegembiraan Setiap Murid Bukan Sekadar Soal Perasaan

Seawal Januari, saya sudah mempunyai perasaan yang kuat bahawa saya akan ke Finland. Saya baru …

6 comments

  1. Salam Ustaz. Seronok nyer saya baca artikel ini sebab 2 / 3 menjak ni saya berfikir perkara yang sama. Pengalaman saya sendiri sebagai ibu membawa anak-anaksolat ke masjjid. Di bahagian muslimat juga, anak saya berusia 9 tahun yang pada mulanya berdiri di sebelah saya untuk solat berjemaah..diminta oleh seorang makcik untuk solat di saf belakang. Frust nya saya..untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya ikutkan sahaja. Cuma terkilan banyak sangat di dalam hati ini. Bila lah kita nak ubah fikiran dan mentaliti begini.

    • Waalaikum al-salam.

      Marilah kita cuba ubah perkara ini. Tak dapat sekarang, mudah-mudahan 10 tahun akan datang, golongan yang tak suka kanak-kanak di masjid sudah ke alam rahmat Ilahi.

  2. Aduh..di tempat saya, dilabelnya ibu bapa muda ini Wahabi!

  3. Mohammad Helmi

    Salam Ustaz.

    Terima kasih atas pandangan yang menjernihkan pemikiran selepas kejadian baru-baru ini.

    Pening dengan pelbagai pandangan yang semakin membuatkan kerunsingan sedia ada semakin bertambah. Sebaran maklumat sulit, nama kanak yang terlibat terus berleluasa tanpa menghirau musibah selepasnya nanti.

    Moga pengalaman pendidikan Ustaz nanti boleh dilaksanakan disini.

    Amin

  4. assalamualaikum ustaz.

    Berdasarkan pengalaman sendiri, ‘mungkin’ ustaz tentang perkara ini ada benarnya. Bergenang airmata saya membaca artikel ustaz ni dek pedihnya bahawa inilah realiti kebanyakan ‘orang’ yang terhasil atas faktor didikan sebegitu rupa.

  5. Solusi jika rasa terganggu dengan kehadiran anak-anak kecil di masjid ketika solat:

    1. budak bermain depan kita, bergolek, berjalan, berlari, memanjat dan lain-lain… Pernah jumpa keadaan kucing masuk masjid, berjalan, menggesel, membersih bulu dalam saf solat? Kucing itu kurang akalnya. Budak-budak itu pun masih kurang akalnya. Sebagaimana kucing itu kita tak pedulikan, boleh kuis ke tepi bila nak sujud, begitu jugalah sepatutnya perasaan dan tindakan kita terhadap budak-budak kecil tu.

    2. Bunyi bising budak-budak bermain dan menjerit… Pernah dengar kicauan burung ketika solat? Burung itu kurang akalnya, budak-budak itu pun kurang akalnya. Sebagaimana kita tak pedulikan bunyi kicauan burung itu, tak payah pedulikan jugalah bunyi bising budak-budak itu bermain.

    3. Yang nak bawa anak kecil, bersihkan dulu lampinnya, kemudian dukung ketika solat supaya dapat hadkan pergerakannya agar kurang mengganggu orang lain yang mudah rasa terganggu. Belajar cara solat dengan mendukung anak kecil. Video ini ada kongsikan sedikit tipsnya.

    Peringkat awal anak-anak kecil dibawa ke masjid yang cantik dan luas, memang normal mereka bermain. Lama-kelamaan diperdengar telinganya supaya tidak bermain dan tidak bising, mereka akan ikut. Jangan halang budak-budak yang suka bermain dibawa ke masjid, yang tak pernah ke masjid itulah nanti yang akan bermain.

    Sebaliknya ketika awal usia itulah mereka diperkenalkan dengan masjid, ditunjukkan kemuliaan masjid, diulang-ulang dengar supaya tidak bermain di tempat mereka sedang berada itu. Apabila sampai usia mereka sudah diperintah solat pada umur 7 tahun, lihatlah mereka ini yang akan solat bersama kita dan tidak bermain.

Leave a Reply to Muhammad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *