Kuasa Tular Digital Dalam Membentuk Keagamaan Kita

Dewasa ini, ramai yang mencoret pengalaman peribadi di media sosial. Ia berbentuk perkongsian pengalaman yang terkandung di dalamnya fakta atau isu yang semasa. Isi kandungan coretan itu berkait dengan ILMU, namun apa yang menarik perhatian kita adalah kedudukannya yang lebih berpengaruh daripada artikel dan buku yang secara khusus membahaskan ILMU.

Lelah membaca buku.

Lelah menghadirkan diri ke majlis ilmu.

Malah lelah membaca artikel yang panjang untuk mengupas ilmu.

Apa yang tular dan ‘laku’ adalah cerita peribadi.

Di media sosial.

Di Facebook.

Di WhatsApp.

Lantas dalam isu-isu beragama di Malaysia, apa yang lebih membentuk pendapat awam adalah coretan-coretan Facebook berdasarkan pengalaman.

Sehingga menenggelamkan ILMU.

Halal, Haram, mana yang Islam perintah, mana yang Islam larang, yang dahulu kala orang mencari jawapan melalui majlis ilmu dan kitab-kitab yang khusus mengenainya, kini artikel yang viral itulah yang membentuk pengikut dan penentang.

Tulis artikel ilmiah, artikel Fiqh yang mengupas tentang Fiqh, tidak laku. Dan ada 100 penjelasan kenapa tidak laku. Bahasa kaku, tiada foto, berat nak baca, tiada elemen clickbait, macam-macam.

MASALAH ZAMAN BERZAMAN

Kesetiaan para pengikut di media sosial terhadap tukang cerita ini menjadi tema perbahasan ilmuan Islam zaman berzaman. Dalam medium yang berbeza-beza.

Pada abad ke 9-hijriyyah (kurun ke-15M), al-Imam Jalāl al-Dīn al-Suyūṭī mengkritik golongan ‘tukang karut’ di pentas ceramah ini melalui karya beliau, Taḥdhīr al-khawāṣṣ min akādhīb al-quṣṣāṣ (A Warning to the Elites Concerning the Lies of the Storytellers).

Al-Suyūṭī semasa menjelaskan tentang latar belakang beliau menulis karya itu, beliau mengisahkan tentang seorang tukang cerita di kala itu berulang kali menyampaikan hadith yang tidak sahih. Ia berkaitan dengan surah al-Anbiyā’ ayat 107. Firman Allah:

“Dan tidalah Kami utuskan Engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat keada sekalian alam

Tukang cerita berkenaan berulangkali memetik hadith yang tidak sahih ketika mengulas ayat al-Quran ini di dalam ceramahnya. Al-Suyūṭī menyampaikan kritikannya kepada ‘tukang cerita’ tersebut dan mengeluarkan fatwa yang menyebabkan beliau dikenakan tindakan pendisiplinan yang memerlukannya mengadap panel ilmuan untuk membetulkan kesalahan ilmiah tersebut.

‘Penceramah popular’ tersebut bertindak balas dengan keras dan menegaskan bahawa beliau lebih mengutamakan pengiktirafan orang ramai berbanding pendapat ilmuan (al-mashāyikh). Beliau terus menerus menghangatkan khalayaknya yang disifatkan oleh al-Suyūṭī sebagai penyangak yang membuat bising (al-ghawghāʾ) sehingga mereka bertindak mengancam untuk menyerang al-Suyūṭī dengan batu.

Al-Suyūṭī mengatakan bahawa golongan tersebut apabila dikritik, mereka menuduh para ilmuan sebagai cemburu dengan populariti mereka di tengah masyarakat.

[Rujuk Berkey, Jonathan P.. Popular Preaching and Religious Authority in the Medieval Islamic Near East (Publications on the Near East) (Kindle Locations 560-574). University of Washington Press. Kindle Edition.]

 

DI ZAMAN TULAR DIGITAL INI

Itu catatan sejarah di zaman kita belum punya media sosial.

Zaman kemasyhuran adalah dengan hadirin yang ramai.

Bagaimana pula dengan ujian di zaman tular digital dengan like, share dan follow hari ini?

Xiong dan Liu (2014) membuat kajian tentang bagaimana Twitter membentuk pendapat awam. Kajian yang mereka lakukan itu membuktikan beberapa perkara berisiko berubah menjadi masalah apabila ia menjadi soal keagamaan kita. Kajian itu memperlihatkan bagaimana penularan satu pendapat hadir bersama di sisinya pendapat minoriti yang tidak berubah. Malah kesan pendapat yang tular di Twitter, pengguna medium berkenaan lebih cenderung untuk mengubah pendapat orang lain agar selari dengan pendapatnya, berbanding mengubah pendapatnya sendiri berdasarkan apa yang ditemuinya di alam Twitter.

[Rujuk American Institute of Physics (AIP). (2014, March 11). How Twitter shapes public opinion. ScienceDaily. Retrieved October 29, 2017 from www.sciencedaily.com/releases/2014/03/140311123816.htm ]

 

Bagaimana pula dengan WhatsApp dan Facebook?

Masyarakat tidak betah meletihkan diri menyelesaikan masalah hidupnya dengan ilmu.

Ilmu menjemukan.

Ilmu memenatkan.

Ilmu lambat.

Lalu masyarakat melayan pengalaman dan amalan serta pilihan peribadi sang penulis sebagai pegangan. Ia tidak semestinya salah. Tetapi dalam sepuluh pilihan yang ada, pilihan sang penulis melenyapkan 9 pilihan lain yang hanya sampai ke pengetahuan kita, andai kita mendatangi isu dengan ilmu. Akibatnya, lenyap daripada gambaran kita bahawa di belakang isu dobi, samak, gunting rambut, kongsi pinggan, ada perbahasan-perbahasan Fiqh, Usul Fiqh, tafsiran al-Quran, kupasan al-Hadith dan cabang-cabang ilmu yang luas.

Ia bukan bermaksud agama ini susah. Tetapi agama ini dibina di atas ILMU, dan ILMU jangan dicair-cairkan sampai sudah tidak lagi berbau ILMU.

Ia mengheret kita daripada hidup berpaksikan agama, kepada  ‘beragama sekadar di pinggiran’.

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada keingkaran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” (Q22:11)

Mungkin saya pun terbabit sama menyumbang kepada faktor ini. Di dalam artikel dan buku-buku, sayalah yang selalu cuba menyampaikan ilmu melalui cerita. Saya cuba untuk memudahkan penyampaian. Tetapi saya sedapkan hati bahawa di belakang penyampaian yang dimudahan itu, saya bersusah-susah terlebih dahulu, membaca dan mengkaji sedaya upaya yang saya mampu.

Tetapi benarkah begitu?

Semoga Allah ampunkan saya.

Ke manakah hala tuju umat ini?

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
Oulu, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Salam. Masyarakat ditenggelami budaya ‘fast food’ yang segala galanya mahukan dengan segera, pantas dan mengenyangkan. Tidak kisahlah benda itu berkhasiat atau tidak, yang penting sedap dan kenyang. Inilah yang saya nampak di medan social media sekarang, lambakan maklumat ‘segera’ bersepah di alam maya. Kebanyankannya ringkas, berbentuk emosional dicampuri elemen2 sensasi. Soal benar atau tidak tolak ketepi. Bermanfaat? Apa kisah. Janji mesejnya sampai dengan pantas dan sudah viral. Bangga sungguh dengan berapa likes, follows , shares yang diperolehi. Ya, menulis atau meng’viral’kan sesuatu benda yang sensasi, panas dan kontroversial memang suatu godaan yang sukar ditepis untuk kebanyakkan orang. Isunya, sudahkah kita berfikir tentang akibat yang bakal melanda? Tepuk dada tanya iman masing masing.

Leave a Reply to Sufian Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share