Ancaman Kasih Sayang Ibu Bapa Sendiri Kepada Anak

Semasa kami sekeluarga baru tiba di Finland, saya membawa keluarga ke pawagam Finnkino untuk menonton filem “Fantastic Beasts and Where to Find Them”. Tiket dibeli menggunakan aplikasi di telefon secara atas talian.

Ia adalah kali pertama kami ke pawagam di Finland.

Di Finland, menonton di pawagam bukanlah aktiviti yang sangat popular, ekoran harga tiket yang sangat mahal. Untuk harga biasa, bagi orang dewasa tiketnya sekitar EUR15 seorang.

Semasa hendak masuk ke pawagam, saya sekeluarga ditahan oleh sekuriti.

“Berapa umur anak ‘kecil’ anda ini?” beliau bertanyakan umur Muiz, anak bongsu kami.

Saya beritahu umurnya hampir masuk 8 tahun. Berusaha juga untuk lebih ke 8. Tidak boleh berbohong dan sesuailah dengan tubuh Muiz yang tidak munasabah untuk lebih tua dari itu.

Kata sekuriti, filem ini dikategorikan selamat untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas sahaja. Jika ada ibu bapa, maka boleh dibenarkan 2 tahun lebih muda. Oleh kerana anak kami belum 10 tahun, kami tidak dibenarkan masuk.

Really?” saya terkejut.

Pegawai keselamatan itu mengangguk. Beliau menunjukkan kepada kami kaunter tiket.

Kami akur.

Tiket dipulangkan (refund) dan pulanglah kami ke rumah dengan perasaan hampa. Muiz bergenang air mata menangis tidak dapat menonton filem berkenaan. Abang kakak pun mengomel kegeraman.

Saya masih ingat perbualan saya dan isteri ketika itu.

Bagaimana terkasimanya kami dengan kawalan ketat di pawagam itu. Ia bukan sekadar soal ganas, takut atau keliru, tetapi flash yang berlebihan turut diambil kira. Semasa di Malaysia, hanya filem yang diklasifikasikan 18 tahun ke atas sahaja yang jelas larangannya ke atas kanak-kanak.

Tidak sangka sama sekali filem seperti Fantastic Beast pun, begitu tegas sekali larangannya. Namun kami akur, kerana adanya peraturan sebegitu dan tegasnya penguatkuasaan, anak-anak kami hidup di Oulu ini dalam persekitaran yang selamat. Sikap kami terhadap keselamatan anak-anak juga kami perbaiki.

ROPE SWING BERSAMA ANAK

Saya faham dalam masyarakat hari ini, ada pelbagai jalur fikiran pada menanggapi hak ibu bapa membuat keputusan mengenai apa yang baik dan apa yang buruk untuk anak mereka sendiri. Parents know best, bukanlah satu pendirian yang asing.

Rasa terkejut saya semasa menonton video ini sudah tentu menimbulkan bantahan spontan. Ia mungkin bukan urusan saya pun. Di dalam sesetengah komuniti di ‘Barat’, mungkin saya akan ditegur kerana menyibuk akan hal orang lain. Itu bapanya, itu tanggungjawab dia.

Mungkin dalam kerangka Scandinavia, ia agak berbeza.

Saya mengambil kira akan hal ini.

Tambahan pula si bapa adalah seorang selebriti dan mempunyai pengaruh untuk meluaskan pilihan ini kepada ibu bapa dan anak-anak yang lain juga.

Untuk saya secara peribadi, tidak terbayang untuk saya fikirkan kejadian seperti di dalam video ini, walaupun apa sekali pun alasan profesional atau amaturnya, apatah lagi beralasankan anak sendiri yang mahu melakukannya.

A post shared by Redha Rozlan (@matredho) on

Pakar-pakar perubatan mempunyai pendapat yang berotoriti tentang risiko aktiviti ini yang membabitkan gegaran otak, kecederaan whiplash pada leher dan sebagainya. Tetapi sebagai seorang manusia biasa, tanpa apa-apa kepakaran profesional itu, saya sudah belajar sebelum saya menjadi bapa lagi, bahawa menyayangi anak bukanlah dengan menurut kehendaknya.

Anakku Sazali itu sudah jadi kisah yang tersauh di minda kita.

Contoh ‘minimum safety requirement’ (Australia) daripada ajhackett.com

KASIH SAYANG KITA

Kasih sayang ayah menurut kehendak anak jugalah, yang menyebabkan pilot Aeroflot Airbus A310 menyerahkan kerusi kapten kapal terbangnya kepada anak tersayang. Pesawat itu terhempas di Kemerovo Oblast pada bulan Mac tahun 1994, menyebabkan kematian semua yang berada di kapal terbang itu seramai 75 orang.

Saya mencoret kisah tersebut di dalam buku Aku Terima Nikahnya, pada 22 Mac 2009. Saya salin sebahagiannya untuk renungan kita bersama:

KISAH KASIH AYAH MEMBAWA KE NERAKA

“Kasihnya ibu membawa ke Syurga, kasihnya ayah…” lirik lagu P. Ramlee ini sudah sebati dengan kita.

Di dalam budaya kita, filem Anakku Sazali adalah suatu fenomena. Seorang bapa yang menafsirkan kasih sayang sebagai “beri apa sahaja yang anak mahu” telah akhirnya menghasilkan manusia sejahat Sazali.

Tetapi tragedi 23 Mac 1994 memberikan teladan yang lebih dahsyat. Ketika itu saya berada di tahun satu pengajian di Jordan. Berita mengenai tragedi ini sampai melalui berita yang saya tonton di TV. Dalam banyak-banyak teladan yang saya temui berkaitan dengan pengalaman bermusafir di ruang udara, kisah yang satu ini paling menggugat rasa. Kerananya juga, saya tidak jemu melayan taklimat keselamatan sebelum pesawat berlepas. Kisah itu juga menghentak suatu pengajaran besar bagi saya selepas menjadi bapa.

Pesawat Aeroflot penerbangan 593 dari Moscow ke Hong Kong menceritakan segala-galanya. Jika dahulu saya hanya dengar-dengar sahaja tentang dahsyatnya kejadian itu, kini saya dapat menyaksikan lakonan semula yang disiarkan melalui dokumentari National Geographic Channel.

Penerbangan Kebangsaan Rusia ini memang mempunyai reputasi keselamatan yang teruk. Ia sering menjadi bahan senda gurau, terutamanya kepada anak-anak Malaysia yang pulang bercuti dengan bajet rendah. Mereka menaiki pesawat dari London ke Kuala Lumpur melalui Moscow, sebagai penerbangan yang paling menjimatkan walaupun banyak cerita yang tidak enak dibualkan.

Tetapi kejadian 23 mac 1994 menjadikan segalanya bukan lagi satu gurauan.

Pilot yang mengendalikan pesawat Airbus A310 itu, Yaroslav Kudrinsky, membawa bersama dua anaknya bercuti ke Hong Kong kerana Aeroflot ketika itu menawarkan diskaun buat kakitangannya untuk membawa ahli keluarga terbang ke mana-mana destinasi dunia. Aeroflot pula ketika itu sedang rancak dengan kempen rebranding mereka pasca kejatuhan Soviet Union.

Penerbangan itu adalah penerbangan yang penuh dengan kasih sayang. Si bapa, amat teruja membawa anaknya Yana dan Eldar pergi bercuti. Kedua-duanya yang seronok duduk di  belakang, gembira dan berasa bangga kerana pesawat yang mereka naiki itu dipandu oleh ayah mereka sendiri. Namun keseronokan itu diperpanjangkan lagi dengan lawatan mengejut Yana dan Eldar yang ditemani oleh bapa saudara mereka ke cockpit di hadapan. Mana-mana sahaja penumpang, pasti ghairah untuk masuk ke bilik kawalan pesawat. Segala peralatan yang canggih, juga pemandangan daripada tingkap depan pesawat, ia sangat eksklusif. Yana dan Eldar bertuah berbapakan seorang juruterbang.

Yaroslav sangat menjiwai dirinya sebagai seorang bapa. Lantas beliau bertindak di luar jangkaan.

Kasihnya sebagai seorang bapa, telah membawa beliau menawarkan tempat duduknya kepada Yana. Anak perempuannya itu sangat gembira. Tetapi Yana sekadar menyentuh kolum kawalan. Apabila Yaroslav mengajak anak lelakinya Eldar mengambil tempat Yana, beliau begitu gembira dengan pelawaan ayahnya. Yaroslav terlupa bahawa pesawat itu sedang memecut pada kelajuan ratusan kilometer sejam. Lupa kepada posisi pesawat yang berada pada ketinggian puluhan ribu kaki dari paras bumi. Lupa kepada nyawa manusia yang dipertaruhkannya.

Eldar telah menolak kolum kawalan dengan kuat dan tindakannya itu menyanggah sistem autopilot selama 30 saat. Apa yang tidak diketahui sesiapa, tindakan Eldar itu sebenarnya telah memutuskan pesawat daripada sistem autopilot yang mengawal penerbangan.

Biar pun lampu amaran telah menyala, tiada sesiapa pun yang menyedarinya kerana nyalaan itu berlaku tanpa bunyi amaran. Kecuali Eldar. Beliau telah memanggil bapanya dan ketika itu semua orang tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.

Pesawat telah membelok setajam 45° dan terus menerus membelok. Kesan g-force telah menghalang Yaroslav untuk kembali ke tempat duduknya dan memegang kembali kolum kawalan pesawat. Setelah puas berusaha, akhirnya Yaroslav dan pembantunya berjaya mengawal pesawat tetapi kedudukannya sudah terlalu rendah hingga tidak memungkinkan ia diselamatkan. Airbus A310 bersaiz gergasi itu menjunam dan terus menjunam.

Penerbangan Aeroflot 593 terhempas di pergunungan Siberia!

Seluruh kakitangan dan penumpang maut terbunuh. 75 nyawa maut dalam pelukan kasih seorang bapa bernama Yaroslav.

Sesungguhnya dalam kejadian yang amat dahsyat itu, kasih seorang bapa benar-benar membawa ke ‘NERAKA’!

Semoga menjadi iktibar buat semua.

Berbalik kepada video tular ropeswring juara Fear Factor Malaysia bersama anaknya, andaikata kejadian seperti itu berlaku di Finland, mungkin ibu bapa ini akan ditahan dan anak diambil oleh Child Protection Service untuk Emergency Placement di bawah Child Welfare Act 417/2007 sebagaimana di negara-negara lain yang menjaga kebajikan dan keselamatan kanak-kanak. Biar pun pada masa yang sama, akan timbul perdebatan mengenai artikel 8, European Convention on Human Rights yang kita sedia maklum.

 

Manakala di Malaysia, Akta 611 (Akta Kanak-Kanak 2001):

Akta Kanak-Kanak 2001

 

Bagaimanakah nasib dan keselamatan anak-anak dalam polemik ‘keputusan ibu bapa’ vs. undang-undang?

Harapan peribadi saya, hentikan perbuatan sebegini!

Titik temu antara tiga kes (Rope swing, pesawat terhempas dan menonton filem di pawagam) adalah kenyataan Mat Redho bahawa anaknya yang mahukan rope swing itu, dan beliau sebagai ayah, menurut kehendak anaknya. Bagaimanakah kehendak seorang kanak-kanak di usia Mecca boleh menjadi asas terhadap risiko berkenaan? Jika di usia sebegini, seorang kanak-kanak memberi persetujuan untuk hubungan seks, adakah persetujuan kanak-kanak itu valid untuk dianggap persetubuhan itu sebagai consensual sex? Itulah isu utama yang saya ketengahkan dengan gabungan tiga kisah tersebut. Saya juga cuba mencari maklumat apakah kriteria-kriteria keselamatan yang ditetapkan oleh Rentas Adventure, yang telah dipenuhi oleh Mat Redho, seperti berat dan umur minimum dan sebagainya. Saya cuba menempah rope swing di halaman https://thrillporter.com/tour/boulangerie-tour/ untuk terjunan di KKB tersebut, tetapi option untuk kanak-kanak tidak berfungsi, yakni saya tidak boleh menempah untuk anak saya. Di dalam artikel yang saya tulis, tiada gelar menggelar atau memandang rendah. Malah, seandainya ada tindakan susulan, tindakan yang saya harapkan adalah memberi sokongan kepada Mat Redho dan isteri agar memperbaiki pertimbangan mereka sebagai ibu bapa, agar dapat terus memberi perlindungan dan penjagaan terbaik untuk anak-anak mereka.

HASRIZAL
Oulu, FI

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share