‘Gangguan’ ke Atas Proses Tarbiah: Meneliti Psikopolitik Islamisme

“Kenapa?”

Soalan ini sentiasa menyerang fikiran saya.

Saya ingin faham, mengapa saya dan sebahagian berfikir begini, manakala sekumpulan yang lain berfikir dalam bentuk yang berlawanan. Saya bertanya kepada kawan-kawan yang terbuka untuk berkongsi maklum balas mengenai apa yang mereka fikir dan rasa semasa menempuh satu demi satu peringkat pembentukan fikrah apabila menyertai kelompok dakwah dan haraki. Sama ada PAS, JIM dan sebagainya.

Pertanyaan yang saya lontarkan, adalah dengan menggunakan Jungian model, sebagai psychopolitical analysis. Ia adalah model yang diguna pakai oleh Lawrence Alschuler  di dalam kajiannya, “Islamism and fanaticism: A Jungian psychopolitical analysis.” Psychotherapy and Politics International 9.2 (2011). Subjek yang dianalisis oleh Alschuler di dalam kajian itu adalah bekas aktivis Hizb al-Tahrir,  Ed Husain melalui bukunya The Islamist: Why I Joined Radical Islam in Britain, What I Saw Inside and Why I Left.

Walaupun Ed Husain menyertai Hizb al-Tahrir yang di akar umbinya mengambil haluan yang bertentangan dengan gerakan seperti PAS, proses pembentukan fikrahnya masih boleh mengguna pakai model Jungian tersebut. Perlu saya tegaskan, Hizb al-Tahrir (sekurang-kurangnya dalam konteks UK di zaman kegiatan Ed Husain) menolak penyertaan di dalam sistem demokrasi. Ia menjadikan gerakan itu berlainan dengan fikrah PAS yang aktif berpatisipasi di dalam kegiatan demokrasi semasa.

Apa yang saya ingin faham bukanlah ‘mengapa’ seorang anak muda menyertai jemaah (PAS). Apa yang saya ingin tahu ialah ‘bagaimana’.

Bagaimana itu, bukanlah bagaimana dari segi hal ehwal teknikal seperti mengisi borang dan sebagainya. Tetapi bagaimanakah individu berkenaan memproses ilmu, maklumat dan stimuli dari persekitaran sepanjang proses kaderisasi. Mudah-mudahan ada suluhan kepada mengapa kami, kita, saya, anda, menjadi seperti kami, kita, saya, dan anda pada hari ini.

Saya belum punya jawapan. Model Jungian itu hanya alat dan saya tidak menjalankan kajian ilmiah. Saya hanya menggunakan model itu untuk bermuhasabah, kemudian bertanya kepada kawan-kawan.

Saya cuba untuk senaraikan idea-idea yang selalu hadir di dalam proses kaderisasi tersebut. Pembabitan saya di dalam proses kaderisasi PAS secara aktif adalah dalam tempoh kira-kira 20 tahun di antara tahun 1993 hingga 2014. Saya melakukannya sedaya upaya dengan asas ilmu, bertujuan menjadikan penyertaan seseorang di dalam gerakan Islam adalah secara sihat, menjauhi ketaksuban tetapi komited serta berdisiplin, menjaga integriti, dan ikhlas menjauhi sebarang kepentingan peribadi.

TAMRIN PENJELASAN FIKRAH

Antara isi penting fikrah yang boleh saya senaraikan adalah isu-isu berikut. Sebahagiannya mungkin tidak sama dengan pengalaman anda sebagai individu. Senarai itu boleh menjadi panduan, dan bukannya sebagai satu senarai muktamad, kerana tiada kesekataan yang dimuktamadkan sepanjang pengetahuan saya. Cuba fikirkan kembali, apakah yang anda fikir dan rasa semasa melintasi point ini dalam proses tarbiah:

  1. Hubungan personal, majlis makan-makan, dakwah umum, bina hubungan.
  2. Semak kualiti keislaman diri, beza dengan ibu bapa dan masyarakat sebab kebanyakan mereka, Islamnya terbatas hanya kepada perkara-perkara asas seperti solat dan menutup aurat.
  3. Timbul rasa beruntung sebab dipilih oleh Allah untuk melihat Islam yang sempurna. Islam dari syahadah hingga ke daulah dan manhaj kehidupan.
  4. Pertanyaan, kenapa Islam yang sempurna ini hilang? Musibah apa yang menimpa umat Islam? Kenapa kita begini?
  5. Daulah Uthmaniyyah runtuh pada tahun 1924. Umat Islam jadi seperti anak-anak ayam kehilangan ibu.
  6. Tetapi segala ini bukan bermula dari Daulah Uthmaniyyah. Ia bermula semenjak zaman Nabi Adam a.s. Kita adalah mata rantai dakwah. Jangan pula mata rantai itu terputus kerana keengganan kita bersama.
  7. Meneliti sirah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, peristiwa-peristiwa terpilih, untuk membina tasawwur bahawa Daulah itu perintah Allah, bukan kebetulan.
  8. Meneliti sejarah umat Islam dari al-Khulafa’ al-Rashidin, kemudian Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Sejarah yang dipilih adalah sejarah siasah, bukan sejarah sosial, intelektual dan lain-lain yang mikro.
  9. Pembentangan agak emosi, menimbulkan kekaguman terhadap kehebatan masa silam, dan ruginya kita kerana kehilangan hal-hal berkenaan hari ini.
  10. Lahirnya Ikhwanul Muslimin, reaksi kepada kejatuhan Daulah Uthmaniyyah, di tangan Mustafa Kemal Atatürk. Semakin jelas, dunia ini hitam putih, haq dan batil, tidak di sini maka di situ.
  11. Inilah pula pilihan-pilihan di tanah air kita, bermula dari era Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, hingga kepada tertubuhnya PAS.
  12. Kewujudan PAS terganggu oleh pengkhianatan IRC, lahirnya ABIM, munculnya al-Arqam juga atas rasa tidak puas hati Asaari Muhammad dengan PAS.
  13. Peringkat membuat pilihan, wadah mana yang dipilih untuk berjuang.
  14. Pengisian diteruskan di dalam program dalaman. Banyak program menimbulkan persaudaraan dan hubungan akrab sesama ahli.
  15. Sebahagian mula teruji misalnya penentangan ibu bapa terhadap anak yang menjadi ‘Islamik’ (sebelum menjadi Islamist). Mahu ke Tamrin, mungkin terpaksa berbohong dengan ibu bapa, melawan rasa bersalah kerana terpaksa melukakan hati ibu bapa, namun terpaksa berbuat demikian kerana jalan perjuangan hanya yang ini.
  16. Ada yang rajin membaca, membina attachment lebih di peringkat reason, logik, intelek, kurang berminat untuk berusaha makan setalam dengan pemimpin, berharap untuk mengenali dan dikenali oleh VIP, kemudian menjadi kritis. Ada yang lebih selesa banyak mendengar ceramah, berdamping dengan ketua-ketua, yang banyak mempengaruhi perasaan, kebersamaan, mengidola, lebih emosional dan ‘sentimental’ berbanding rasional.

Pelik

Selama pengalaman kaderisasi saya, antara pengalaman paling menarik perhatian ialah apabila seorang anak muda membuat keputusan untuk menyertai gerakan pelajar yang pro PAS. Keesokan hari selepas mengisi borang, beliau berkata, “saya tak pasti macam mana nak sebut, tetapi saya hairan sebab hari ini macam sama sahaja. Tak ada apa-apa pun!”

Saya tanya dia, “adakah selepas mengisi borang, awak bayangkan dunia berubah? Diri awak tidak lagi sama macam semalam sebelum isi borang, hingga matahari pun terbit dari arah lain?”

Saya hairan dengan pertanyaannya itu. Kenapa dia fikir begitu? Apa yang sedang dirasainya? Apa expectation beliau?

Apa-apa pun, ini adalah kerangka Jungian untuk kita meneliti jawapan masing-masing kepada soalan-soalan di atas:

‘GANGGUAN’ KEPADA PROSES MENJADI TAKSUB

Permulaan

Walaupun saya memilih untuk menyokong PAS seawal usia 13 tahun pada tahun 1988, di peringkat itu ia lebih kepada proses self-taught. Membaca Harakah, membaca buku Risalah Usrah karangan Abu Urwah (YB Saari Sungib) yang mempunyai kata pengantar oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dan menyertai ijtima’ di Madrasah AlEhya Asshariff di Gunung Semanggol. Kebanyakan usaha untuk ‘menjadi PAS’ adalah atas inisiatif sendiri, termasuk bermusafir seorang diri ke Kota Bharu pada tahun 1991 di usia 16 tahun , untuk melihat sendiri ‘Kerajaan Islam’ Kelantan, selepas kemenangan Pilihanraya Umum tahun 1990.

Di Ma’ahad Al-Ehya’ Asshariff,Gunung Semanggol, Perak Darul Ridzuan. (1992)

Komitmen rasmi, jika boleh dikatakan rasmi, ialah apabila saya bertemu dengan almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib di Markaz Kubang Lembek pada tahun 1993. Semasa itulah bai’ah dibuat sebagai ikatan taat setia kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Dalam masa beberapa bulan mastautin di Terengganu, saya juga mengambil peluang untuk hadir ke kuliahTuan Guru Haji Abdul  Hadi Awang di Masjid Rusila, bagi mendengar sendiri kuliah ‘agung’ yang selama ini hanya dapat didengar melalui kaset-kaset ceramah yang dibeli di kedai-kedai buku di Puduraya serta beberapa toko buku kecil sekitar Ipoh. Pada masa tersebut, terasa lengkaplah siri keinginan kerana saya telah mendengar kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Zulkifli Muhammad ketika ke Kelantan pada tahun 1991, kemudian mendengar kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila, diikuti oleh bai’ah bersama Tuan Guru Ustaz Harun Taib di Kubang Lembek, Manir, Terengganu.

Siri lengkap ini, dikukuhkan dengan satu lagi agenda penting sebelum berangkat ke Jordan menyambung pelajaran, iaitu jelajah Malaysia berjumpa alim ulama. Kami menyewa sebuah van, dan memandu dari negeri ke negeri, dan semasa di Kelantan, kami berpeluang bermalam di Masjid Pulau Melaka, solat subuh bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dan seterusnya mendengar amanat daripada beliau khusus untuk kami selepas solat subuh berkenaan.

Saya yakin kami berenam di dalam rombongan tersebut memproses pengalaman jelajah Malaysia berjumpa alim ulama itu secara unik antara satu sama lain, kerana setiap kami mempunyai haluan yang berbeza-beza, pada hari ini.

Pertengahan

Terlalu banyak yang boleh saya kenang, fikir, dan timbangkan ia dengan model Jungian tadi, untuk saya menganalisis diri sendiri. Boleh dibuat buku, seperti buku Ed Husain tersebut!

Saya coretkan terlebih dahulu, beberapa insiden penting selama saya berada di Jordan, yang ‘mengganggu’ proses tarbiah untuk menjadi seorang ahli PAS.

Latar Belakang Sekolah

Semasa bersekolah, walaupun saya secara self-taught mahu menjadi PAS dan saya melihat diri saya sebagai pro PAS, dari kaca mata orang luar, ramai yang melihat saya (kami) sebagai bukan PAS. Kami adalah IRC, jemaah lain dalam jemaah PAS. Banyak yang berlaku membabitkan insan-insan penting yang kini mendukung nama besar dan kecil, saya memilih untuk tidak menceritakannya secara terpeinci di sini, termasuk kerana menghormati murabbi saya yang amat saya kasihi pada itu, yang kini telah pergi buat selama-lamanya.

Cukup dengan satu dua kejadian, untuk sekadar menampakkan point penting yang ingin saya sampaikan.

Ini juga adalah kisah lama. Sekadar coretan dari lipatan sejarah.

Semasa di Tingkatan 4 (tahun 1991), saya mengalami pertarungan dalaman diri yang besar apabila saya mahu menjadi seorang ahli PAS, tetapi saya lemas apabila sering ‘dituduh’ sebagai IRC. Seorang abang senior yang sudah pun melanjutkan pelajaran dengan Mesir, dengan penuh sabar menyantuni saya melalui kiriman surat dari kota Kaherah bulan demi bulan, cuba meyakinkan saya bahawa perjuangan saya di sekolah itu bukan perjuangan PAS tetapi perjuangan IRC.

“PAS ke, IRC ke, semua itu kisah di luar pagar sekolah. Di dalam sekolah, tarbiah yang dibawa adalah Islam!” – 1992

Saya menjawab dengan tegas di dalam salah satu surat balasan, “PAS ke, IRC ke, semua itu kisah di luar pagar sekolah. Di dalam sekolah, tarbiah yang dibawa adalah Islam!”

Saya juga tahu bagaimana rakan-rakan seusrah saya yang melanjutkan pelajaran ke KISAS, menempuh proses ‘pembersihan’ bilamana mereka juga dilabel sebagai IRC kerana datang dari sekolah kami. Sekolah yang sama.

Bagi saya, saya PAS. Tidak kiralah apa yang orang lain kata.

Namun hati saya masih meronta-ronta untuk mendapatkan kepastian.

Sekitar tahun 1992, saya mendapat jawapan, dan saya mendapatkan jawapan dengan harga yang ‘sangat mahal’. Daripada seorang ‘murid kesayangan’ saya terpaksa berdepan dengan konflik demi konflik, berlarutan sehingga tahun 1993, hampir sahaja dibuang sekolah, tetapi saya tekad untuk berhenti sekolah sebelum dibuang, supaya saya ‘menang’.

Tiba di Jordan

Apabila saya tiba di Jordan pada 16 September 1993, keesokan harinya saya sudah pun dihubungi oleh seorang senior, yang mahu menemukan saya dengan circle IRC (bertukar nama menjadi ‘Alami’ di negara Arab). Saya hadir, mendengar taklimat, berkenalan, tetapi mengambil keputusan untuk berterus terang bahawa saya adalah PAS (yakni bukan IRC). Ketika itu, baiah saya bersama Tuan Guru Ustaz Harun Taib kukuh di minda. Circle berkenaan terkasima, dan saya meninggalkan majlis tersebut dengan rasa lega kerana telah ‘mematikan’ seluruh jaringan yang mahu ‘mengIRCkan’ diri ini.

Saya lega kerana tiada lagi kekeliruan.

Saya PAS.

Saya bukan IRC.

Demi mengelakkan salah faham, dan kerana saya mahukan jalan yang aman untuk menjadi PAS, saya bertemu dengan salah seorang anggota syura yang juga koordinator pengurus baiah saya di Kubang Lembek dahulu. Saya ceritakan isu ‘latar belakang IRC’ yang mengganggu pengalaman silam. Saya jelaskan bahawa saya PAS sedari awal sehingga sekarang, tanpa sebarang kekeliruan, walaupun ramai yang mengatakan saya IRC. Bagi saya, yang tulen ialah siapa saya menurut kepercayaan saya, dan bukannya siapa saya menurut apa yang orang lain kata.

“Ana mahu ustaz dengar hal ini daripada mulut ana sendiri, dan bukan dari desas desus orang lain, kalau-kalau muncul di masa hadapan nanti” saya memberi penjelasan.

Beliau menghargai ‘pengakuan’ saya, mengucapkan syabas atas ketelusan yang ditunjukkan.

‘Pendirian Merdeka’

Walaupun saya sepenuh hati membuka diri untuk terbentuk dan dibentuk menjadi seorang PAS, saya masih mengekalkan ‘pendirian merdeka’. Ia mungkin lanjutan daripada rutin self-taught yang bermula semenjak usia 13 tahun itu lagi. Jika ada benda yang tidak kena, saya jarang memaksa diri untuk menerimanya.

Sebulan selepas tiba di Jordan, saya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Semasa di dalam wad, setiap hari saya dikunjungi oleh abang-abang dari ‘circle IRC’ termasuk oleh pemimpin-pemimpin atasannya. Saya dapat merasakan bahawa mereka membuat jadual untuk melawat saya kerana setiap hari pada dua waktu melawat yang berlainan, saya menerima kunjungan tetap individu-individu mengikut giliran. Pada masa itu hati saya terdetik, bagaimana bagusnya mereka menjaga mad’u (prospek?), walaupun saya sudah pun dengan jelas menolak mereka beberapa minggu lalu. Dan saya tertanya, kenapa pula pimpinan jemaah PAS tiada yang melawat?

“Ahh, mereka sibuk barangkali!” saya memproses keadaan.

Ia tidak menimbulkan kekecewaan. Saya tidak perlu kecewa pun. Setiap hari kawan-kawan sepengajian datang melawat, kami makan buah anggur dan limau dengan ceria di wad. Bagi saya itu lebih penting.

Di peringkat awal keberadaan di Jordan itu, saya berkenalan dengan seorang senior tersohor iaitu Ustaz Asri (Dr MAZA). Perkenalan itu bukan eksklusif, tetapi saya sama seperti kawan-kawan yang lain, mengenali beliau sebagai tokoh pelajar dan pimpinan jemaah.

Namun, berlaku satu kejadian yang sekali lagi mengganggu proses saya.

Pada satu tengah hari, saya sedang menunggu bas untuk ke Irbid di utara Jordan. Saya terserempak dengan pimpinan yang sama, iaitu koordinator baiah di Terengganu dahulu. Beliau mengajak saya menaiki teksi ‘service‘ bersamanya supaya kami boleh terus berbual. Semasa di dalam teksi, beliau memberi peringatan.

“Anta jangan rapat sangat dengan Asri tu. Fikrahnya bermasalah” kata beliau.

Saya tergamam.

“Ustaz, ana ni baru sampai Jordan. Ana tidak kenal sesiapa dan ana berkawan dengan sesiapa sahaja. Jika ustaz ada isu peribadi dengan Ustaz Asri, itu antara ustaz dengan Ustaz Asri. Jangan babitkan ana!” saya masih ingat dengan jelas jawapan saya kepadanya ketika itu.

Wajah beliau nampak terkejut.

Kami mendiamkan diri sepanjang perjalanan hingga sampai ke Irbid.

Di dalam satu kejadian lain, saya telah dipilih untuk menjadi pengerusi majlis di dalam sebuah forum ‘jemaah’ untuk ‘ahli’. Ia diadakan di Kulliyyah al-Mujtama’ iaitu sebuah kolej swasta di pekan Zarqa’. Kolej itu dikenali sebagai milik gerakan Ikhwan, melalui tokoh unik di belakangnya, Dr Ishaq Farhan.

Semasa mempengerusikan majlis, saya diminta membuat pengumuman supaya hadirin di kalangan lelaki menanggalkan ketayap masing-masing, dengan alasan tidak mahu dilihat oleh special branch sebagai orang Ikhwan. Ketika itu fikiran saya mengalami ‘gangguan’ dengan arahan tersebut kerana ia tidak logik. Jordan bukan Malaysia. Di Jordan, orang Ikhwan tidak pakai ketayap. Pemakai ketayap di Jordan ramainya adalah orang tabligh. Memakai ketayap tidak akan menampakkan kita ini Ikhwan. Dan kalau tidak mahu dikaitkan dengan Ikhwan, kenapa at the first place, buat program ini di Kulliyyah al-Mujtama’ yang memang milik Ikhwan? Pakailah macam mana pun, pasti terkait dengan Ikhwan.

Tetapi kerana ia adalah arahan pimpinan, maka saya sampaikan juga.

Kritikan saya terhadap arahan tersebut, sedikit sebanyak mencemar imej saya sebagai ‘ahli bermasalah’.

‘Pengkhianatan’

Ujian besar ke atas proses kaderisasi saya terjadi apabila jemaah PAS berkrisis dan berpecah pada akhir tahun 1994. Ketika itu, Ustaz Asri (kini Mufti Perlis) bersama rakan-rakan, kami tubuhkan Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS). INPIS itu asalnya adalah sebuah study circle yang dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar Malaysia mengaji di bawah bimbingan tokoh-tokoh yang pengkhususannya adalah di dalam bidang yang diwakili setiap lajnah di dalam INPIS.

INPIS ini diusahakan dengan mandat pimpinan atasan. Tetapi kemudiannya konotasi INPIS bertukar. Ia ditohmah sebagai ‘jemaah baru’, dan ‘jemaah dalam jemaah’. Cakap-cakap mulut tentang hal ini tersebar pantas, hingga akhirnya kami semua diberi kata dua oleh pimpinan. Jika pilih INPIS keluar dari jemaah, jika bersama jemaah tinggalkan INPIS.

Saya minta daripada dua orang pimpinan supaya bertemu dengan penggiat INPIS agar kekeliruan dapat dijelaskan. Jangan terus bertindak kasar memberi kata dua kepada ahli. Pimpinan menjawab, “jika kami berbincang dengan INPIS maknanya kami mengiktiraf INPIS!”

Pulak dah!” saya tenganga.

Jika begitu pendiriannya, macam mana mahu selesaikan masalah?

Ketika kami kepeningan, saya telah didatangi oleh seorang senior setahun yang ketika itu memegang jawatan exco di dalam salah satu lajnah.

“Hasrizal, ana nak ajak anta bersama dengan ana. Ana sedang mengatur perancangan untuk menggulingkan pimpinan pada musim saifi (musim panas) ini!” ujar beliau.

Saya ternganga sekali lagi.

Beliau adalah exco. Orang kuat. Dan beliau sedang merancang untuk menggulingkan pimpinan? Apa pula kisahnya ini?

“Ustaz, ana tak ada masalah dengan pimpinan. Pimpinan yang bermasalah dengan kami. Jadi, ana tak nak ada apa-apa kena mengena dengan agenda ustaz. Ibta’id ‘anni (jauhkan diri daripada saya)!” saya bertegas.

Sungguh mengelirukan.

Dengan hati yang naif ketika itu, saya khuatir gerakan menggulingkan pimpinan itu benar-benar terjadi. Maka saya berjumpa dengan pimpinan atasan yang sama, iaitu koordinator baiah di Terengganu dahulu. Saya kisahkan kepada beliau tentang perancangan menggulingkan pimpinan oleh exco sendiri. Ia orang yang dikenali sebagai pendukung pimpinan sendiri. Bukan orang INPIS.

“Daripada ustaz dan pimpinan dok fokus hentam kami, baik ustaz siasat si fulan tersebut. Siasat agenda beliau nak menggulingkan pimpinan. Ana tak nak terbabit!” saya memberitahu.

Ketika itu, saya anggap walaupun saya sendiri sedang ‘dibelasah’, saya masih waras. Saya sayangkan jemaah, dan tidak mahu jemaah rosak. Saya harap dengan maklumat yang saya sampaikan itu, membantu pimpinan bertindak secara proaktif menyekat usaha penggulingan yang real itu, berbanding melawan INPIS yang hanya masalah persepsi.

Malangnya apa yang terjadi tidak seperti yang diharapkan.

Beliau telah mengumpulkan ahli-ahli jemaah untuk sebuah taklimat khusus. Saya tidak dijemput. Di dalam majlis tersebut, beliau telah ‘mengisytiharkan’ bahawa Asri dan Hasrizal adalah orang IRC. Mereka menyelinap masuk ke dalam jemaah. Hasrizal cuba menakut-nakutkan ahli dari dalam!

Saya dengar macam-macam cerita tentang apa yang berlaku di dalam majlis tersebut, tetapi saya tidak tahu mana yang betul, mana yang tidak, kerana saya tidak berada di dalam majlis itu.

Tetapi kesan majlis tersebut amat besar ke atas diri saya. Semenjak itu saya dipulaukan oleh ahli jemaah sendiri, bertahun-tahun.

Saya masih ingat semasa saya keluar dari Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh selepas solat, saya terserempak dengan seorang senior dari ‘kumpulan IRC’. Beliau berkata, “Hah, Hasrizal, ana dengar anta kena pulau dengan jemaah. Kesian anta, dah elok-elok duduk dengan kami, nak juga dengan jemaah. Sudahnya kena pulau. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau!”

Ketika itu saya berdepan dengan pergelutan dalaman yang besar.

“Apa masalah aku?”

“Kenapa jemaah buat aku macam ini?”

Saya fikir, pada masa itu jika saya mahu merajuk, tinggalkan jemaah dan PAS, memang patut. Tetapi saya rasionalkan keadaan pada masa itu bahawa ini bukan masalah dasar. PAS masih dasarnya Islam. Ini hanya kelakuan manusia. Manusia datang dan pergi. Maka kejadian tersebut tidak sedikit pun menjadikan saya berganjak daripada keahlian PAS.

Ahlikah pada masa tu?

Sudah dua kali saya mengisi borang keahlian semasa pemimpin PAS dari Malaysia datang ke Jordan. Tetapi sampai ke sudah saya belum menerima pengesahan keahlian PAS. Tetapi bagi saya, daftar tidak daftar, saya PAS.

Walaupun saya sedang dipulaukan oleh jemaah saya sendiri.

Pada masa itu, saya nekad untuk berdepan dengan pimpinan tersebut.

“Ustaz dapat tahu ana ada latar belakang IRC adalah daripada cerita ana sendiri kepada ustaz, kan? Ana cerita sebab ana nak telus dengan ustaz, sebab ana ikhlas masuk jemaah. Kenapa ustaz guna cerita ana untuk hentam ana balik? Kalau ana tipu ustaz dengan cerita rekaan pasal IRC tu macam mana?” saya desak beliau untuk meminta maaf dan membersihkan nama saya.

Beliau mengaku salah dan berjanji untuk membersihkan nama saya sebelum beliau graduate dan pulang ke Malaysia.

Beliau tidak melakukannya.

Saya terus dipulau.

Ustaz Asri juga graduate dan pulang ke Malaysia.

Mungkin kesan tohmahan inilah yang menyebabkan pada satu masa saya selalu associated dengan Ustaz Asri. Pada musim panas 1997, saya telah pulang bercuti ke Malaysia dan hadir ke Muktamar PAS di Taman Melewar. Ketika melewati sebuah khemah, saya bertemu dengan beberapa orang pimpinan jemaah di Jordan yang sudah menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia.

Semasa mereka melihat saya, salah seorangnya memanggil saya.

Katanya, “Hah, Hasrizal. Ana dengar, Ustaz Asri sudah masuk UMNO. Betul ke?”

Beliau bertanya dengan nada menyindir. Saya ditertawakan oleh mereka yang berada di khemah [ada masa tersebut.

“Ustaz, ana bukan Asri. Kalau ustaz nak tahu tentang Asri, tanya Asri sendiri!” saya menjawab dan berlalu pergi.

Selepas pengisytiharan berkenaan, saya tinggal di Jordan bersama pemulauan tersebut. Semenjak itu hubungan saya dengan ramai ahli jemaah menjadi agak dingin, dan circle kawan-kawan saya di dalam jemaah mengecil. Hanya yang kena rapat dan mengenali saya secara dekat terus bersahabat. Manakala sebahagian yang lain menjauhkan diri.

Kehidupan alternatif di luar kelompok masyarakat Melayu Malaysia.

Saya cuba mengambil sisi positif zaman tersebut. Oleh kerana saya dipulaukan dan tidak lagi menghadiri tamrin-tamrin dalaman, saya ambil peluang untuk ‘tinggalkan’ masyarakat pelajar Malaysia. Saya bergaul dengan pelajar antarabangsa, terutamaya pelajar Turki. Pada masa dua ke tiga tahun pemulauan tersebut, saya berpeluang memperbaiki bahasa Arab saya, belajar bahasa Turki, dan berpada dengan sejumlah kecil kawan-kawan Malaysia yang tidak terkesan dengan politik jemaah itu.

Apabila kewangan saya habis sehabis-habisnya, rakan-rakan Turki yang menawarkan saya bumbung dan lantai berteduh secara percuma. Saya tinggalkan masyarakat pelajar Malaysia dan hidup dalam dunia alternatif yang saya dapati lebih bermakna.

Kejadian tersebut memberi impak yang besar kepada diri saya.

Ia menyebabkan saya survive sebagai ahli PAS tanpa kekaguman terhadap pimpinan, tiada sentimen, dan berpegang hanya kepada ‘dasar PAS adalah Islam’ dan itu sudah cukup. Lantaklah dengan gelagat pimpinan dan ahlinya macam mana sekali pun.

Ujian Berterusan

Semasa saya di tahun akhir pengajian, pelajar Malaysia berdepan dengan masalah besar apabila Malaysia mengalami kejatuhan nilai matawang yang teruk, ditambah dengan tindakan kerajaan Jordan menaikkan yuran pengajian bagi pelajar Malaysia. Daripada JD25 bagi satu subjek, kepada JD150!

Dipendekkan cerita, pada masa itu saya yang sememangnya sudah tidak lagi aktif semenjak sekian lama, didatangi oleh beberapa orang pimpinan jemaah. Mereka meminta saya terbabit di dalam usaha jemaah mewujudkan beberapa inisiatif bagi membantu masalah kenaikan yuran tersebut. Saya berat hati kerana sudah tidak mahu lagi bergiat aktif. Tambahan pula saya di tahun akhir pengajian.

Tetapi pimpinan meminta saya pertimbangkan, bahawa ini bukan isu jemaah, sebaliknya kepentingan masyarakat pelajar Malaysia keseluruhannya. Memikirkan sudut itu, saya akhirnya bersetuju. Saya menyertai jawatankuasa merangka memorandum bagi mengutip tandatangan pelajar Malaysia untuk dikemukakan kepada pihak berwajib Malaysia dan khususnya Jordan, agar kenaikan yuran itu dipertimbangkan semula.

Pada masa itu, saya agak panas hati.

Pelajar Malaysia yang tidak berjemaah, santai memetik gitar pada waktu petang (sekadar mengungkapkan fenomena), tanpa berfikir panjang menurunkan tandatangan ke memorandum tersebut . Sebabnya mudah. Ia adalah maslahah kita semua.

Tetapi ramai ahli jemaah yang enggan menurunkan tandatangan, dengan alasan tiada arahan pimpinan!

Saya berbalas hujah. Saya kata “benda ini diusahakan oleh jemaah sendiri, cuma tidak secara terbuka, sebab kita mahu gerakkan ia sebagai usaha membabitkan kepentingan semua. Lagi pun, adakah semua benda dalam hidup ini perlukan endorsement pimpinan? Takkanlah babi haram atau halal pun kena tunggu endorsement pimpinan? Dan jelas hukumnya, keperluan berkaitan, buat sahajalah! Nanti balik Malaysia, kita bukan hanya ahli jemaah, kita juga anggota masyarakat! Kalau kampung perlukan jambatan, kena dapatkan endorsement pimpinan jugakah kalau nak gotong royong?”

Kenapa semua benda kena ikut pimpinan?

Saya tidak boleh digest mentaliti ini dan saya fikir saya sudah jauh daripada realiti jemaah selepas hampir tiga tahun dipulau dan menjauhkan diri.

Malang tidak berbau…

Memorandum itu telah mendatangkan masalah kepada seorang pegawai tadbir Malaysia yang sepatutnya menguruskan hal tersebut di bawah tugasan beliau. Dipendekkan cerita, saya telah dikambing hitamkan oleh beliau melalui fitnah yang beliau buat dalam laporannya kepada penaja. Akibat daripada itu, biasiswa saya telah digantung. Saya hanya mengetahui tentang tindakan ke atas diri saya itu, melalui surat yang dihantar kepada emak dan penjamin di tanah air, dan bukannya langsung kepada saya. Kejadian penggantungan biasiswa itu benar-benar memulakan sisi perjalanan hitam hidup saya. Ia telah saya nukilkan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.

Di sebalik kisah itu, ada sisi lain berkaitan hubungan saya dengan PAS.

Di dalam surat pendakwaan, saya dituduh melakukan kegiatan yang mengganggu pihak Kedutaan Besar Malaysia. Tetapi tuduhan itu tidak hanya ke atas saya. Pertuduhan menyebut, “‘beliau dan jemaahnya’ melakukan pelbagai kegiatan yang menghalang pembabitan pelajar Malaysia di dalam program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia serta Malaysian Students Department.”

Ketiadaan biasiswa memporak perandakan hidup saya, dan tidak perlu saya mengulang ceritanya di sini. Apa yang tidak diceritakan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu itu adalah pergelutan saya dengan jemaah PAS.

Pada suatu tengah hari, saya terserempak dengan seorang anggota syura yang merupakan salah seorang pimpinan tertinggi jemaah, di stesyen bas ‘Abdali. Beliau bertanya khabar dan saya ceritakan tentang penggantungan biasiswa saya. Oleh kerana yang dituduh adalah “saya dan jemaah”, saya ingin tahu apakah pendirian jemaah apabila ada ahli yang ditimpa nasib seperti ini. Saya tidak minta bantuan, saya cuma nak tahu apa pendirian jemaah.

Jawapan beliau meluruhkan jantung saya.

Katanya, “biasiswa anta digantung sebab anta tidak pandai berpolitik. Anta tanggung sendiri dan jangan babitkan jemaah!”

Allahu Rabbi.

Dengan pantas pelbagai kejadian seumpama itu yang pernah saya alami datang kembali. Kalau tidak kerana prinsip, memang saya tinggalkan sahaja jemaah ini! Kenapalah perangai macam ini? Tidak bertanggungjawab! Islam apa macam ini?

Saya tinggalkan beliau.

Saya pendekkan kisah, selepas itu saya membawa diri ke London dan cuba mencari jalan lain untuk survival diri.

Pengalaman di Jordan yang saya ‘ringkas’kan di atas, menyebabkan proses tarbiah ke atas diri saya mengalami ‘gangguan’ dan berkemungkinan (jika menurut Jungian model), menjadi sebab yang tidak membolehkan saya menjadi seorang taksub dengan jemaah atau pimpinan. Saya bertahan sebagai ahli PAS tanpa pernah mengkuduskan PAS, apatah lagi menganggapnya sebagai wakil Islam. Jika betul, betul. Jika salah, salah. Selagi dasarnya betul, saya boleh bertolak ansur dengan apa sahaja kekurangan dan kepincangan. Hanya apabila dasar jemaah bermasalah, saya mungkin jadi bermasalah.

Manakala di United Kingdom

Saya menebus rasa tidak puas dengan pengalaman berjemaah di Jordan, melalui pembabitkan di United Kingdom dan Ireland. Di daerah yang jauh daripada ‘orang agama’ ini, saya rasa usaha tarbiah lebih sistematik, ruang untuk belajar dan mengajar terbuka luas dan keterbukaan suasana lebih sihat.

Kesan pembawaan pengalaman di Jordan, saya lebih ‘alergik’ dengan karenah ustaz-ustaz yang berada di UK. Kawan-kawan yang rapat tahulah betapa fed-upnya saya apabila ustaz-ustaz ini datang lambat ke mesyuarat sebab singgah carboot sale membeli spareparts dan accessories kereta Mercedez masing-masing. Sudah sampai ke tempat mesyuarat pun, masih sambung berbual tentang kereta. Hingga ada di kalangan ahli bawahan menggelar majlis syura sebagai ‘Geng Mercedez’.

Semasa di United Kingdom, saya memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Syura serta Timbalan Presiden HIZBI. Banyak juga pengalaman pada masa tersebut, melanjutkan apa yang telah dialami semasa di Jordan.

Namun, daripada siri peristiwa, mungkin ‘gangguan ke atas proses tarbiah’ saya ialah semasa di dalam mesyuarat tertinggi kami bersama rombongan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS. Ketika itu, rombongan kerajaan negeri bersama YAB Menteri Besar hadir ke UK bersama pelajar-pelajar Maahad Darul Quran Rusila. Pelajar berkenaan menyambung pelajaran di sebuah universiti di UK untuk program ijazah sarjana muda, dengan biasiswa kerajaan Negeri Terengganu.

Kami mempersoalkan kewajaran biasiswa itu.

Adakah ia biasiswa kerajaan Negeri.

Jika ya, metapi mengapa penerimanya hanya pelajar Maahad Darul Quran Rusila?

Adakah permohonan biasiswa itu telah diiklankan secara terbuka dan saksama berasaskan merit kepada rakyat negeri Terengganu?

Dalam bahasa yang lebih mudah, adakah duit kerajaan Negeri  telahdigunakan untuk kepentingan parti (dan jemaah)?

Walaupun sama-sama PAS, bagi kami pimpinan pada masa itu, terutamanya dengan ketegasan Presiden HIZBI, saudara Wan Saiful Wan Jan, apa yang membezakan PAS dengan UMNO kalau PAS pun sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk hal ehwal parti?

Saya tidak ingat apa dan bagaimana soalan itu dijawab.

Tetapi saya ingat, analisis yang terdaftar di memori saya ialah, “jemaah dan parti Islam tidak kudus.”

Tegur menegur mesti terus berjalan.

Pusing ke mana-mana pun kita semua adalah manusia, dan manusia memerlukan check and balance. Jangan tutup ruang-ruang kritikan kerana mana-mana sahaja pertubuhan, jemaah, parti, organisasi yang menutup ruang kritikan, ia mula menjadi self-destructive.

KEMBALI KE MALAYSIA

Kepulangan saya ke Malaysia pada tahun 2004, tanpa bertangguh, saya terus berhubung dengan PAS untuk memastikan keterlibatan. Seawal seminggu pertama tiba di Malaysia, saya sudah pun memaklumkan kepulangan melalui sebuah unit di dalam Dewan Pemuda PAS Pusat. Pembabitan saya dengan PAS banyak di dalam proses kaderisasi.

Saya bukan ahli politik.

Saya tidak berminat dengan politik.

Saya tidak peduli siapa jadi Presiden dan Timbalan, kem mana bergeseran dengan kem mana.

Tumpuan saya hanya pada membentuk ahli.

Percubaan membentuk ahli dengan mengambil kira pengalaman panjang semasa di Jordan dan UK, bahawa musuh utama dalam jemaah adalah taksub dan khianat. Kombinasi dua perkara ini berbahaya.

Keahlian Rasmi

Pendaftaran keahilan saya sebagai ahli PAS secara rasmi, saya buat di Pejabat Agung PAS Pusat, di meja di mana permohonan keahlian diproses. Ini adalah kali ketiga saya memohon, dan saya pastikan pada kali ini, saya terus menjadi ahli seumur hidup PAS, semenjak 2001, walaupun sudah menganggap diri sebagai ahli pada tahun 1988.

Saya kekal sebagai ahli PAS sehingga tahun 2015.

Pada tahun 2015, saya sudah tidak mampu bertolak ansur dengan kekurangan atau kelemahan yang sudah selama ini saya biasa dengannya semenjak awal pembabitan. Pada tahun 2015, kepincangan dan perpecahan yang ditunjukkan melalui Muktamar PAS 2014 dan 2015 telah menjadi sistemik.

Ketaksuban berada di tahap yang membimbangkan.

Dan pengkhianatan yang pelbagai, samar di mata masyarakat dan ahli bawahan pada masa itu, tetapi cukup jelas untuk saya, telah membawa saya kepada kesimpulan:

Ini bukan lagi PAS yang kenal semenjak dahulu.

Jungian psychopolitical analysis mengandaikan seorang yang kecewa dengan Islamisme boleh berakhir menjadi spiritual dan sufi.

Saya mungkin tidak begitu, kerana saya banyak mengalami gangguan di dalam proses tarbiah.

Apa yang saya pasti ialah, tiada tangan yang perlu dicium di dalam politik Islam. Apa yang perlu adalah kompetensi sebagai wakil rakyat, dan integriti dalam menjunjung tanggungjawab yang diamanahkan.

Tanpa itu semua, Islamisme dan agenda negara Islamnya hanya sebuah utopia.

HASRIZAL
Oulu Finland

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share