Politik Bukan Medan Bersuci

Tun Mahathir penting sebagai faktor utama membentuk satu kesepakatan pembangkang, sebab kesepakatan BN hanya boleh ditumbangkan oleh sebuah kesepakatan lain, seperti BN.

Ia tidak sihat, tidak ideal dan tidak mencerminkan kemahuan perubahan Malaysia. Tetapi itulah realiti Malaysia. Sesuatu yang tiada sesiapa pun dalam politik Malaysia mampu buat pada masa ini kecuali Tun Mahathir. Apakan daya.

Tanpa Tun Mahathir, peluang pembangkang untuk mendapatkan sokongan Melayu desa dan FELDA, Melayu yang khuatir dengan risiko kaum Cina, adalah menghampiri sifar.

Tun Mahathir banyak buat silap dan salah. Tuhan panjangkan umur beliau. Peluang untuk perbaiki amal. Macam orang lain yang Allah rezekikan panjang umur juga. Dosa Tun Mahathir saya yakin lebih banyak daripada yang sesiapa pernah senaraikan. Saya sendiri pun berharap tiada sesiapa senaraikan dosa saya sebab pasti tak cukup dakwat.

Dalam membuat pendirian politik, saya mahu Tun Mahathir betulkan beberapa kesalahan beliau yang kesannya SEDANG memudaratkan kita iaitu dengan menurunkan DS Najb yang beliau โ€˜naikkanโ€™, dan melepaskan DS Anwar Ibrahim daripada nasib buruk beliau yang telah berpanjangan semenjak 1998, di zaman Tun Mahathir juga.

Boleh dua itu, ia sudah cukup dan kukuh untuk saya menyokong.

Ada pun 100 atau 1000 kesalahan beliau yang lain, ia hanya selesai dengan taubat kalau dengan Allah, minta maaf dengan mangsa jika terhadap sesama manusia dan dengan perundangan jika membabitkan perlanggaran undang-undang. Sekarang boleh, selepas 9 Mei pun boleh.

Tun Mahathir dan sesiapa sahaja tidak bersuci melalui politik. Medan politik adalah medan untuk mentadbir. Dan medan membetulkan kesilapan dalam keputusan pentadbiran.

Ia bukan medan bersuci.

Kenyataan Tun Mahathir tentang tragedi Memali adalah salah dan tidak boleh ditolak ansur. Kenyataan itu ditegur dan diberi peringatan. Tun Mahathir segera meminta maaf. Pada mengambil kira rekod 22 tahunnya, perkembangan ini adalah baru dan positif.

9 Mei 2018 adalah hari untuk menurunkan DS Najib dan Barisan Nasional, selepas lebih separuh abad memerintah. Sekiranya kehilangan kuasa boleh bermaksud kehilangan segala-galanya, saya percaya akan ada banyak lagi isu dan kejadian yang boleh muncul secara terancang, dan tidak terancang, untuk mengganggu titik fokus semua. Sudah banyak kali di dalam pilihanraya, kegagalan fokus mengundang kecewa.

Fokus kita dalam beberapa hari berbaki ini ialah menangkan Pakatan Harapan, bina semula negara Malaysia, tanah air tercinta.

Andai di hari-hari ini, kita mahu mengungkit dosa, HANYA YANG TIDAK PERNAH BERBUAT DOSA, BOLEH MELEMPAR!

_______________________
Kredit klip video: filem Perempuan Berkalung Sorban (2009)

HASRIZAL
Oulu Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share