Tangan Ibu

Memapah ke Syurga

Saya pernah memegang tangan ibu
Jari telunjuk kanannya mengeras
Kerana banyak memegang pena Kilometrico dan Reynolds
Menanda buku latihan anak muridnya
Dan buku rancangan mengajar hariannya.

Saya pernah tidak suka dengan tangan ibu
Kerana tangan itu mematah batang ubi
Menghambat saya di petang hari
Yang enggan pulang ke rumah walau sudah dinihari
Sibuk mengejar arnab di bukit kecil pinggir landasan keretapi.

Saya pernah merenung tangan ibu dengan marah
Kerana tangan itu menggenggam pembaris papan hitam
Dan menghukum betis kami seluruh barisan
Dek salah seorang kami mencetus kebisingan
Saya tidak bersalah mengapa cikgu rotan saya.

Saya pernah tidak nampak tangan ibu
Semasa mata saya bengkak terhempas ke pasu bunga
Tercampak dari buaian dek degilnya saya menghayun berdiri laju
Ibu tuam mata saya dengan pasir berbungkus batik lama
Jangan kuat sangat ibu, mata saya sakit tak terkata.

Saya pernah biarkan tangan ibu menonyoh muka
Apabila chewing gum bersarang melekat di tilam hingga naik ke wajah dan kepala
Menahan telinga ibu membebel marah tidur tidak gosok gigi makan gula-gula getah
Esok-esok lipas datang gigit bibir kamu masuk ke hidung dan telinga
Saya menggigil kesejukan ibu guna ketul ais untuk tanggalkan kotoran.

Saya pernah sakitkan tangan ibu
Semasa menolongnya memasak di dapur
Ibu menggoreng ikan, saya pegang sudip semasa ibu memotong bawang
Saya terbalikkan ikan sambil mulut tidak henti bercerita hal sekolah yang entah apa-apa
Hingga sudip panas saya letak di tangan ibu
Menjerit dia kesakitan
Terkejut saya kebingungan
Parutnya kekal sepanjang usia
Setiap kali memandangnya saya bersalah tapi ibu ketawa.

Saya pernah mula mencium tangan ibu
Saya belajar ia apabila menjadi anak merantau hidup di asrama
Setiap kali pulang saya cium tangan ibu
Tangannya berbau bawang, makin berkedut setiap kali saya pulang
Tangan yang lelah bekerja dan membesarkan kami lima bersaudara.

Saya pernah mengangkat tangan ibu
Yang terlalu lama memegang nesan pusara ayah
Pulanglah ibu, matahari sudah terpacak di kepala
Dari mana-mana pun doa kita sampai kepadanya
Saya pegang tangan itu, kami melangkah lesu meninggalkan tanah wakaf yang sunyi
Sesunyi hati ibu
Seorang isteri kehilangan suami.

Saya pernah nampak tangan ibu mengesat air matanya
Dari pentas saya memerhati sambil melantun suara
Mendendangkan lagu “Anak Pejuang” di hari penutup persekolahan
Merangkul pulang beberapa hadiah penghargaan
Jam loceng hadiah imarah Musolla saya berikan kepada ibu
Setiap pagi tangannya menekan butang alarm, bangkit awal pagi tahajjud ibu mengadap Tuhan
Berdoa panjang.

Saya pernah pegang tangan ibu
Semasa memberitahu yang saya ingin berumahtangga
Tangan ibu sejuk, wajahnya mengukir senyum bercampur duka
Gembira untuk hajat anaknya
Dukacita kerana dia bakal menjadi suami orang
Bukan lagi anak bongsu yang selalu mudah diajak disuruh ke sini dan sana
Tapi tangannya lembut untuk saya kucup
Memohon restu untuk perjalanan seterusnya.

Malam itu
Tangan ibu yang kurus tidak berisi dan tidak lagi berbau bawang
Saya pegang, kucup, belai, genggam dan enggan melepaskan
Kerana ia salam perpisahan
Kelana kedua saya di hujung benua
Lembut ibu menyebut di hujung telinga
Rasanya kita tidak akan lagi berjumpa
Kerana ibu sudah tua.

Tangan ibu
Yang selalu terangkat menadah
Mendoakan keamanan hati saya dan kami sekeluarga
Sudah tiada lagi syafaat itu
Tiada lagi tangan Syurga
Berdoa untukku di hari-hari yang sukar ini
Kini yatim kini piatu
Tiada lagi tangan ibu.

HASRIZAL
OULU Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Allahu. Mengalir air mata mengenang mak ayah di kampung. Saya juga akan berkelana, walaupun jaraknya hanya 2 jam dgn kapal terbang, tapi sudah rasa sulitnya nak balik kampung sekerap yg boleh.

Leave a Reply to Reen Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share