Home / Kreatif / Drama Nur 2: Defisit Kemanusiaan Memamah Keislaman

Drama Nur 2: Defisit Kemanusiaan Memamah Keislaman

“Kita perlu terlebih dahulu memanusiakan anak-anak kita sebelum memuslimkan mereka!”

Ramai yang marah.

Sekular!

Melaga-lagakan antara Islam dan kemanusiaan manusia.

Macam-macam yang diajukan kepada saya ekoran kenyataan berkenaan.

Hakikatnya, Allah mewahyukan al-Quran dan memberikan agama Islam kepada manusia untuk manusia mengamalkannya. Pengamal Islam mestilah manusia. Untuk membolehkan manusia mengamalkan Islam dan menghargai wahyu Tuhan, manusia itu perlu manusia. Jika manusia itu mengalami defisit pada kemanusiaannya, maka kebolehannya untuk menghargai ajaran Tuhan akan terjejas.

Imam Birgivi (meninggal dunia 1573M) menjelaskan bahawa akhlaq yang baik itu terbina di atas syakhsiah diri yang kuat. Kekuatan syakhsiah diri itu ada tiga iaitu:

  1. Rasional (النطق) iaitu kemampuan berfikir yang baik.
  2. Marah (الغضب) iaitu tindak balas emosi yang membantah apa yang tidak dipersetujui.
  3. Syahwat (الشهوة) iaitu keinginan untuk mendapatkan apa yang dihajat.

UPAYA FIKIR

Ciri paling penting manusia untuk manusia itu boleh menghargai wahyu dan agama ialah kemampuannya berfikir. Wahyu bukannya makanan yang dijamah dengan mulut, atau baju yang disarung ke badan. Ia adalah pelajaran, pengajaran, tunjuk ajar, perintah, larangan, yang datang dalam bentuk makna untuk manusia terjemahkan ia kepada perbuatan. Yang menterjemahkannya adalah akal fikiran yang Allah kurniakan. Jika manusia lemah berfikir, maka kefahamannya tentang apa sebenarnya yang Allah mahu daripadanya sukar difahami.

Tetapi Allah jadikan agama ini mudah.

Ia bukan falsafah tinggi atau ideologi berselirat, jauh sekali teologi yang berbelit-belit.

Ia maksud yang mampu digarap oleh semua lapisan manusia.

Selagi asas-asas manusia itu sebagai makhluk bernama manusia masih ada.

UPAYA MARAH (الغضب)

Marah di sini bukan bermaksud marah-marah.

Marah ialah keupayaan diri untuk membantah apabila perlu membantah. Melawan apabila perlu melawan. Membela diri apabila perlukan pembelaan.

Tanpa upaya marah, tiada nahi munkar. Tiada dorongan menolak kezaliman. Menentang penindasan.

Hidup tidak selamat jika kita hanya suka kepada kebaikan tetapi tidak menolak kejahatan dan keburukan. Ia menjadikan kita naif dan akhirnya kebaikan itu sedikit demi sedikit akan dimakan oleh kejahatan. Sama ada kejahatan yang terbit daripada diri sendiri, atau kejahatan yang datang daripada persekitaran hidup.

UPAYA SYAHWAT (الشهوة)

Syahwat digariskan oleh Imam Birgivi sebagai teras kepada keupayaan diri berakhlak dengan akhlak yang baik.

Syahwat itu adalah dorongan dan kemahuan.

Manusia mesti ada kemahuan terhadap sesuatu untuk memperolehinya.

Nak ke tak nak?

Kalau nak, ambil!

Kalau nak, usaha!

Ini tawarannya, berminat?

Jika seorang manusia tiada rasa keinginan terhadap apa-apa, lantaklah apa-apa pun, maka tawaran hikmah tidak laku, tawaran kebaikan tidak jalan, jauh sekalilah tawaran pahala, Syurga yang mata ini tidak nampak.

Dengan adanya keinginan, manusia menjadi maju. Kerana manusia mahukan sesuatu. Mahukan sesuatu yang belum ada. Jika sudah ada, manusia mahukan sesuatu yang lebih baik. Momentum itu berterusan sampailah idea kereta Henry Ford, berselisih dengan idea kapal terbang Wilbur and Orville Wright, untuk menjadi kereta terbang.

KOMBINASI TIGA KEPERLUAN

Dengan adanya tiga-tiga perkara ini, barulah manusia boleh hidup beragama dan menghidupkan agama dalam kehidupannya.

Lemah akal, lemah kemarahan, lemah keinginan… sukar sekali untuk diterangkan apa akibatnya. Cara paling mudah untuk menjelaskannya adalah dengan meneliti watak Aisyah, Nur, Ustaz Yasin, Ustaz Adam dan Datin Ibu Hajah Musalmah di dalam drama Nur serta Nur 2.

Panas hati kita melihat naifnya Nur. Niat suci dan keluhuran hatinya telah menjadi asbab untuk beliau keluar dari lorong hitam. Tetapi kenaifan dirinya mengundang pelbagai masalah dengan Syed Hamadi, dan terutamanya perangkap Juwita.

Panas lagi hati kita melihat kebodohan Aisyah. Terus menerus menjadi isteri teraniaya walaupun suami andai berubah menjadi syaitan, tanduknya sudah sepanjang tanduk rusa mencanak keluar menembus serban. Dihina, diperlekeh, ditekan, dibuli, diseksa, dan terkini sampai dihalau keluar rumah dan dibuang keluarga, satu-satunya yang Aisyah tidak buat adalah menolak Syed Hamadi.

Demikian juga watak sampingan, Ustaz Yasin. Ia melengkapkan kitaran manusia yang cacat kemanusiaannya. Bukan cacat keislaman. Tetapi naif, lemah, disergah maka rebah. Disergah menyerah buku cek sekolah, serah. Disergah tukar nama pengetua di pintu pejabat, tukar.

Ustaz Adam sedang terhoyong hayang antara kenaifan, kebaikan, dan akal fikirannya yang kadangkala menjadi, kadangkala membingungkan. Nampak kecurigaan Juwita, nampak kebejatan Syed Hamadi sejak awal, tetapi tindak balasnya adakalanya boleh diharapkan, adakalanya menggeramkan.

Generasi lama, Datin Ibu Hajah Musalmah, tahu apa yang tidak kena. Dia melengkapkan hikmah kebijaksanaan generasi lama suaminya Datuk Ayah Haji Mukhsin. Tetapi sebagai ibu, sebagai payung pelindung suami dan anak-anak, beliau terperangkap antara kasih kepada anak, ketaatan kepada suami, kerana sejahat dan seteruk mana pun mana-mana ahli keluarganya, cinta ibu cinta yang tidak bersyarat. Beliau sentiasa tempat kembali ke pangkal jalan sesiapa yang tersesat perjalananan. Sampai bila Ibu Hajah boleh bertahan, kita tidak tahu.

KEJAYAAN ANTAGONIS

Ironinya, yang ‘pandai’ ialah sang antagonis.

Orang jahat.

Syed Hamadi, walaupun strateginya tidaklah sehebat mana, tetapi sempatlah merasa Mercedez. Sempat beristerikan Aisyah tetapi ber’mistress’kan ramai ‘wanita’ lorong, sempat jadi pengetua, dengan kejayaannya masuk ke dunia Datuk Ayah Haji, walaupun banyak perbualan antara dirinya dengan Aisyah memberitahu penonton bahawa Syed Hamadi adalah Syed Hamadi semenjak awal perkahwinan mereka lagi.

Demikian juga dengan Juwita. Dendamnya kepada Nur yang sentiasa menjadikan beliau pilihan kedua, diterjemah kepada kemunculan mengejut selepas viral perkahwinan Nur dengan Ustaz Adam, bermain-main licik antara air mata, kemanjaan, kejujuran, kerapuhan kondisi diri, dan ‘keikhlasan’ diri untuk bertaubat, membawa dirinya mendekati Ustaz Adam dari lorong ke gerai air limau ikat tepi, ke kereta, ke pejabat, ke rumah, sampai ke bilik, hingga akhirnya pada episod terbaharu, beliau cuma perlu berbaring tidak berbuat apa-apa, sedangkan Ustaz Adam yang puas menolak, menolak dan menolak, datang menghampirinya dan berperang dalam diam.

HARAPAN DI SEKOLAH

Sebab itulah, saya meletakkan harapan kepada Amirul dan Suraya.

Manusia yang masih di bangku sekolah, masih dalam proses pembentukan. Ketika Amirul menjustifikasikan tindakannya berdua-duaan dengan Suraya sebagai salah, beliau segera membetulkan kenyataannya bahawa sebenarnya mereka bertiga. Nenek ada.

Suraya menegaskan bahawa walaupun dia miskin, dia ada maruah. Dia bukan pengemis. Menolak kasihan dan simpati.

Mereka berdua masih bertolak tarik antara kebaikan dan keburukan dengan upaya fikir, upaya marah, upaya syahwat, yang belum menjadi sistemik rosak.

Sebagai guru, saya meraikan keupayaan murid berfikir, tolak tarik mereka antara kebaikan dan keburukan, dan di zaman mutakhir ini saya mensyukuri kedegilan murid-murid yang tegar dengan pendirian atau kemahuan. Semasa memberi arahan agar semua orang toleh kanan, semua toleh kanan, arah toleh kiri, semua toleh kiri. Tetapi ada seorang yang berdiri tegak tidak bekerjasama.

“Kenapa kamu tidak buat sama?” saya pernah bertanya, semasa kejadian ini berlaku.

“Kenapa saya kena buat sama?” tegar murid itu menjawab.

Silaplah kamu. Lagi kamu degil, lagi ustaz suka. Itu tandanya kamu bukan zombie!

MESEJ AKHIR

“Kerana Percaya Tergadai Bahagia” adalah tagline Nur 2.

Kebaikan kalah kepada kejahatan apabila yang baik itu mengalami defisit kemanusiaan.

Sebagai ibu bapa dan pendidik, saya ulangi tanggungjawab kita dalam mendidik. Manusiakan anak-anak kita, sebelum memuslimkan mereka.

Islam untuk manusia.

Justeru manusia perlu bersifat manusia, sebaik mungkin.

HASRIZAL
Oulu Finland



Maklum Balas

Maklum Balas

About Hasrizal

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Freedom Writers (1999): Cikgu Percaya Murid Berjaya

Resepi utama Erin Gruwell atau Ms. G adalah dirinya sendiri. Seorang guru yang berpegang dengan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.