Home / Kreatif / Drama Nur 2: Kegagalan Pendakwah Bertegas Menjarakkan Fitnah

Drama Nur 2: Kegagalan Pendakwah Bertegas Menjarakkan Fitnah

“Tak boleh ke berdakwah tanpa menjadi ‘glamour’ dan ‘famous’?”

“Entahlah… mengajar tajwid pun boleh jadi selebriti. Ini zaman apa yang disukai akan dipuja, dan apa yang dipuja mahu dimiliki!”

Topik itu hangat dan melelahkan kami. Saya sekeluarga.

Saya tidaklah ‘glamour’ atau ‘famous’ beriya-iya. Tetapi di era buku Aku Terima Nikahnya, sempat menerima tempiasnya. Mungkin ada macam-macam penanda aras ‘glamour’ ketika itu. Tetapi bagi saya kemuncaknya ialah apabila saya digandingkan bersama Kang Abik penulis novel Ayat-ayat Cinta, mengupas hal rumahtangga dan perkahwinan di dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Petronas. Demikian juga bersilaturahim dengan beberapa tokoh pendakwah Indonesia termasuk Ustadz Cahyadi Takariawan pengarang buku Bahagiakan Dirimu Dengan Satu Istri, di Makasar Sulawesi.

Pada detik bertemu dengan tokoh-tokoh yang saya sendiri membaca karya mereka dan menghargai sumbangan ilmu pengetahuan yang dikongsi, ia memang manis. Bukan sahaja bersama tokoh ilmuan dan pendakwah Muslim, malah beroleh peluang menerima otograf Karen Armstrong di dalam buku terbarunya ketika itu, juga merupakan detik yang membahagiakan saya, hingga saat ini, tatkala mengenangnya.

Tetapi budaya yang mengelilingi dunia ‘glamour’ dan ‘masyhur’ itu toksik. Ia beracun untuk diri saya (dan tidak semestinya untuk pendakwah lain), juga toksik untuk keluarga saya. Banyak kesulitan yang kami tempuhi, walaupun hanya secebis yang saya selitkan di dalam karya Aku Terima Nikahnya pada siri kedua dan ketiganya.

Apabila kita menulis mengenai sesuatu, masyarakat cepat mengangkat kita menjadi ‘pakar’ dan ‘rujukan’ di dalam bidang tersebut. Proses menjadi pakar berjalan begitu laju dan terhasil hanya dengan ‘menulis’. Tidak sempat menjadi sebuah kesarjanaan, dalam ertikata membina pengkhususan di atas dasar ilmu, sudah pun menjadi rujukan masyarakat. Ironinya, apabila kita mula mendominasikan pengkhususan dengan ilmu dan kesarjanaan, penerimaan itu mula merosot. 

Banyak yang sudah pernah saya coretkan sebelum ini tentang cabaran kemasyhuran itu kepada rumahtangga kami.

Selain semua medium penulisan dan penyiaran saya dikerumuni kaum wanita (70% wanita, 30% lelaki), privasi kami sekeluarga juga semakin tidak dihormati oleh sebahagian kaum wanita berkenaan. 

Jika dikenang suatu ketika dahulu, apabila saya berjalan bersama keluarga di pasaraya, saya didatangi beberapa orang ‘peminat’ yang mengaku meminati penulisan saya, berterima kasih kerana tulisan saya telah membantu hidup mereka, betapa mereka mengagumi keluarga dan rumahtangga saya, dan… sekejap, sekejap… ini saya perkenalkan, di sebelah saya ini, isteri saya, namanya sekian sekian… oh Assalamualaikum, kak… (bersalaman), oh ye ustaz, bila ustaz nak tulis buku baru lagi, boleh kami bergambar dengan ustaz?

Walaupun saya berulang kali berpesan kepada isteri saya bahawa di dalam rumahtangga kita, tiada siapa pun di luar sana yang relevan kepada kita, malah pandangan keluarga atau saudara mara pun, kita letak di pagar rumah tanpa mempengaruhi hala tuju rumahtangga kita, dan jangan cemburu tidak tentu hala… wanita manakah yang boleh berasa selesa dan tahan apabila dipinggirkan di sisi suaminya, sementara sang suami terus diberi perhatian, dipuji dan menjadi tumpuan?

Gila.

Itu belum mengambil kira wanita-wanita yang tidak tahu malu menawarkan diri mahu menjadi isteri, di shoutbox blog saifulislam.com! Malu saya memikirkan ada wanita seperti itu ketika itu. Muslimah. Pembaca buku-buku agama. Tetapi tiada rasa malu dan menjaga maruah diri.

Kegilaan dan kemerepekan itu menyebabkan saya tertanya-tanya benarkah buku Aku Terima Nikahnya itu menatijahkan kebaikan? Kebaikan apa kalau kesan membacanya wanita hilang sifat malu? Nilai tertinggi yang asas pada jati diri kaum perempuan?

Semua itu menjadi latar belakang mengapa saya tamatkan penulisan siri Aku Terima Nikahnya dengan coretan Murabbi Cinta, tentang baginda dan kecintaannya kepada umat, sebagai cinta muktamad yang harus mengekalkan kita semua di jalan yang diredhai Allah.

Saya telah mansuhkan halaman Facebook, Twitter dan Instagram yang sudah mengumpul lebih seratus ribu followers, kesan wacana rumahtangga dan soal percintaan, kerana mahu saya dilupakan semua, dijauhkan diri daripada fitnah itu, dan memulakan kembali penulisan di dalam topik yang tidak glamour, sejarah, kemudian sains pendidikan dan pembelajaran.

Cita-cita saya, kalau boleh di kalangan pembaca yang sedikit itu, yang ramainya lelaki. Tetapi sehingga kini, saya masih mengekalkan khalayak 70% perempuan dan 30% lelaki. Halaman ABAH suatu ketika dahulu yang saya usahakan khusus untuk membentuk sokongan kepada suami dan ayah pun, turut didominasi wanita.  Sampai kadang-kadang saya terfikir, “aku kena tulis pasal bola, politik, kereta, dan lawak lucah hina perempuan kot, baru boleh tambah khalayak lelaki!”

Astaghfirullah.

Lantakkan sahaja.

Tulis sahaja apa yang perlu ditulis. Serahkan selebihnya kepada Allah.

Apa yang saya pasti, jika dianalisis dengan lebih terpeinci, di kalangan 30% yang menjadi khalayak pembaca tulisan saya, majoriti mereka adalah lelaki muda di usia pertengahan 20an membawa ke pertengahan 30an. Insya-Allah mungkin ada sinar di situ untuk mengusahakan perubahan bagi generasi suami dan ayah yang muda-muda.

Syukur, kehidupan itu telah lama kami tinggalkan. Bak kata pepatah negeri seberang benua, “what doesn’t kill you, makes you stronger!” Kami belajar untuk memekakkan telinga daripada pendapat, komen dan segala kereneh sesiapa yang tidak berkenaan kepada kehidupan kami sekeluarga.

PERSIMPANGAN USTAZ ADAM

Renungan kepada hal ini, mengingatkan saya kepada satu kenyataan penting yang dibuat oleh Ustaz Adam kepada Juwita di dalam drama tv Nur 2. Apabila wanita itu menjelaskan akan hasratnya untuk berubah dan memerlukan Ustaz Adam menjadi pembimbingnya. Juwita mencampur adukkan idea mengenai kebajikan, taubat, amal soleh sebagai sebab membuka pintu taubat, dan cuba menimbulkan rasa bersalah dalam diri Ustaz Adam andai menafikan semua itu. Malah dihasut pula supaya cuba membuktikan kebenaran.

Di saat itu, Ustaz Adam sudah menjawab dengan sebaik-baik jawapan.

Jika mahu tinggalkan kehidupan yang keji, tinggalkan! Tiada siapa menghalang dirinya untuk berubah. Mengapa mengada-ngada mahu mengaitkan benda-benda yang tidak berkait?

Biar pun kita dididik untuk berbaik sangka, tidak melatah dalam bertindak, ia tidak sampai menafikan hakikat bahawa niat jahat itu jahat. Biar pun kita tidak boleh membelah dada sesiapa untuk menilai niat di hati, kita sepatutnya tahu membezakan antara apa yang baik dengan apa yang buruk.

Rasulullah sallallahu ’alayhi wa sallam bersabda:

يَاوَابِصَةُاسْتَفْتِقَلْبَكَوَاسْتَفْتِنَفْسَكَثَلَاثَمَرَّاتٍالْبِرُّمَااطْمَأَنَّتْإِلَيْهِالنَّفْسُوَالْإِثْمُمَاحَاكَفِيالنَّفْسِوَتَرَدَّدَفِيالصَّدْرِوَإِنْأَفْتَاكَالنَّاسُوَأَفْتَوْكَ

Wahai Wabishah, mintalah fatwa pada hatimu (3x), kerana kebaikan adalah apa yang membuat jiwa dan hatimu tenang. Dan dosa pula adalah apa yang membuat hatimu bimbang dan menggoncang dadamu. Walaupun engkau meminta fatwa pada orang-orang dan mereka memberimu fatwa” (HR. Ahmad)

Ilmu agama, dan akhlak yang baik, perlu sampai ke tahap yang mententeramkan diri dengan kebaikan, dan menghadapi kegelisahan jika berlaku sesuatu yang bertentangan. Di situ, hati boleh diminta fatwa, pada perkara-perkara yang syubhat dan tidak jelas.

Apabila hati berasa tidak tenteram, khuatir dengan satu-satu keadaan, jangan dibunuh kekhuatiran itu. Dengar dengan baik apa yang hati suarakan, dan bertegaslah bertindak seperti yang sepatutnya.

Kesemua musibah yang menimpa Adam dan Nur berkaitan konspirasi Syed Hamadi dan Juwita, terjadi ekoran kegagalan mereka menjaga perkara-perkara paling asas pada menolak zina dan anak beranaknya. Kenaifan Nur, dan kegagalan Adam untuk bertegas, membuatkan belitan Iblis menjerat semua.

Berhati-hatilah dengan fitnah ini.

Terutamanya para asatizah dan pendakwah. Ujian yang terjadi kepada Sheikh Numan Ali Khan dan Profesor Tariq Ramadan, tidak cukupkah lagi untuk menjadi peringatan buat kita semua.

Meninggalkan dunia selebriti adalah pilihan peribadi saya. Masing-masing berhak untuk menentukan strategi masing-masing. Saya tidak nafikan, pengalaman sepentas dengan artis memang menimbulkan rasa teruja. Tetapi, saya perlu ingatkan diri saya sentiasa bahawa urusan kita hanya ilmu dan dakwah. Maka saya tidak benarkan diri saya untuk terheret oleh rasa teruja itu. Artis adalah artis di dalam dunianya. Kepada saya, sesiapa pun sama sahaja, kita adalah pemberi peringatan dan penerima peringatan yang saling memberi dan menerima. Tidak lebih dari itu.

Namun apabila pendakwah dan ilmuan tidak berusaha untuk bertegas menolak dan mencegah fitnah ini, lumpuh dan matilah masyarakat apabila saban hari menjamah salad kebatilan dan kebaikan yang digaul semangkuk dengan ramuan yang dipangkah ke atas ayat “dan janganlah kamu sekali-kali menghampiri zina”

Semoga Allah ampunkan kita semua dan membersihkan budaya ilmu masyarakat kita daripada ‘glamour’, ‘kemasyhuran’ dan penyakit-penyakit nafsu yang membinasakan itu.

Maklum Balas

Maklum Balas

About Hasrizal

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Day #1: Ramadan Vlog From Oulu Finland

Maklum Balas Maklum Balas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.