Selepas Era Obama Hadir Era Trump Yang Pelik Itu

Tinggal di Finland ini maksudnya saya keseorangan tiada regu bicara. Apabila masuk bab-bab politik, demi untuk tidak bercakap dengan pokok dan ketulan ais, saya tutup akaun FB peribadi dan keluar daripada sebanyak mungkin kumpulan WhatsApp, iaitu daerah beracun untuk bertukar pendapat mengenai politik negara.

Biasa juga, disebut di sana sini yang Hasrizal tidak matang, kebudak-budakan dan hilang hubungan dengan realiti Malaysia. Jika benar sekali pun, tidak mengapa. Saya memang sejak dahulu lagi sudah percaya, duduk lama-lama di luar negara menumpulkan ketajaman membaca realiti politik tanahair. Kini, saya sebahagian ketumpulan itu.

Cuma… dengan beberapa rakan Finnish, saya masih berbual tentang politik Malaysia.

Selepas solat Jumaat, saya duduk di kafe Antell Piha, sesekali Eero akan singgah meneman saya termenung. Kami berbual panjang, bercerita penuh ketelusan. Sahabat yang sangat baik hati, suka mendengar, banyak membaca buku falsafah dan mudah mengaitkan butir bicara saya dengan pengetahuannya.

“Saya hairan mengapa Malaysia ada banyak persamaan dengan Amerika Syarikat. Saya pun tak faham kenapa.” saya membuka butir bicara.

“Kamu geram kot, sebab anak-anak berbahasa slang Amerika,” beliau menduga.

“Haha, yang itu betul juga. Menyesal pula rasanya sekolahkan anak di International School. Baik hantar ke sekolah Finnish. Budak-budak Finnish di sekolah Finnish kurang fasih berbahasa Inggeris. Maka bahasa Inggeris mereka masih dapat dibentuk oleh buku dan sekolah, bukan media sosial yang penuh sampah sarap itu!” saya mengiyakan telahan Eero.

“Ada benarnya. Bahasa Inggeris budak-budak Finnish di sekolah Finnish masih formal, agak kaku, tidak selancar dengan kelancaran bahasa media sosial yang utamanya dipengaruhi material dari Amerika. Tapi, kenapa kamu kata Malaysia mirip Amerika tadi?” soal beliau.

Selain popular culture dan krisis di dalam sistem pendidikan, mentaliti masyarakat di dalam politik juga banyak persamaan. Perbalahan, kata mengata, pergeseran antara liberal dan konservatif, ketuanan bangsa, menggelar rakyat negara sendiri sebagai pendatang, dan kepercayaan politik yang berpolarisasi hitam vs putih, sini atau sana., jika bukan kawan pasti lawan… segalanya sungguh sinonim.

“Sebab itu saya bimbang. Jika suatu ketika Amerika Syarikat hebat dengan kemenangan Barrack Obama, ia disusuli oleh era Trump yang tidak masuk akal. Punca-punca kemenangan Trump juga unik. Pendekatan low class yang menumpaskan kebijakan think tank dan data-data. Benda yang selalu menjadikan demokrat berbahasa tinggi yang orang kampung menyampah.” saya mengomel.

Eero ketawa.

Semasa Pakatan Harapan menang pada Mei 2018 lalu, saya rasa ia seperti kemenangan yang begitu ideal dan ‘feeling’ dia macam semasa melihat Obama menang. Maklum sahaja… bukan mudah hendak membayangkan Amerika Syarikat boleh mempunyai seorang Presiden berkulit hitam. Tetapi apa yang realiti kata mustahil, terbukti tidak mustahil.

Tetapi… selepas era Obama datang pula Trump! Maka selepas kemenangan PH, mungkinkah Malaysia akan didatangi sesuatu sepelik Trump?

Tambahan pula isu algorithm dan isu Cambridge Analytica itu juga ada peranannya dalam mencorak fikiran rakyat Malaysia melalui media sosial.

Eero ketawa. Beberapa kawan Finnish lain yang saya pernah berbual pun ketawa. Mereka minta contoh apa benda pelik yang mungkin boleh menimpa Malaysia. Saya angkat bahu, sebab saya tidak dapat memberi contoh telahan.

Cuma, saya kata, di zaman POST-TRUTH POLITICS ini, kebenaran sukar menjadi sumber kemenangan. Kebimbangan saya ialah, PH buat kerja, data-data memberitahu PH buat kerja, tetapi apa yang masyarakat percaya tidak semestinya apa yang data kata.

Kelemahan PH ialah, benda betul yang dibuat kalah kepada persepsi. Benda betul yang datang dalam bentuk angka, ditumbangkan oleh slogan, sentimen, kecaman dan bangkai cicak yang diangkat sebagai jenazah buaya.

Selama berpuluh tahun negara kita pernah berhadapan dengan kerajaan yang mungkir janji, tidak ‘perform’, rakyat hidup susah, tetapi stesyen membuat perubahan sentiasa  semasa pilihanraya umum. Tidak pernah lagi caranya adalah dengan menumbangkan kerajaan pilihan rakyat. Jika salah pilih sekali pun, tunggulah pilihanraya.

Kini, secara moralnya, Malaysia sudah jadi lebih teruk daripada Trump di Amerika.

Betapa ‘hampeh’nya Trump, usaha menurunkan beliau, masih melalui proses impeachment, menurut lunas undang-undang. Tetapi kini negara kita demam.

Saya pun tidak tahu nak fikir apa.

Sebagai rakyat Malaysia di luar negara, saya akan mengenang indahnya sekitar 22 bulan menjadi rakyat sebuah negara yang bermaruah.

Kerisauan utama saya adalah ketenteraman masyarakat dan keyakinan generasi muda kepada sistem. Sebab itu saya tenangkan hati dengan menelaah sejarah. Era puluhan ribu sahabat terbunuh akibat ijtihad politik.

KESAKITAN ERA AL-FITNAH AL-KUBRA

Seawal kejadian pembunuhan Uthman bin ‘Affan r.a. yang membingungkan proses islah seterusnya. Ini adalah kerana, ia bukan lagi seperti cabaran zaman sebelumnya, pihak yang betul vs pihak yang salah, di kalangan sahabat. Pilihlah mana-mana kelompok pun, di dalam setiap kelompok ada isu.

Jika diteladani situasi Ali r.a, di dalam tenteranya sendiri duduk penjahat yang bertopengkan sokongan. Setelah dua tentera bertembung itu bersetuju untuk berdamai, penjahat menggerakkan perang di dalam gelap agar dengan sengketa, misi mereka tercapai. Suasana gelap menimbulkan kebingungan, siapakah yang mencetuskan serangan sedangkan dua pihak sudah bersetuju menghentikan perseteruan.

Semasa saya belajar tentang sejarah era al-Fitnah al-Kubra dahulu, saya rumuskan bahawa faktor besar yang menyumbang kepada perseteruan adalah soal komunikasi yang amat terbatas. Sukar sekali hendak mengetahui sisi pandang pihak sebelah sana kerana tiada telefon, tiada faks, tiada internet. Bagaimana hendak tahu mengapa sebelah sini berpandangan begini dan sebelah sana berpandangan begitu.

Terjadi apa yang terjadi.

Suasana politik Malaysia hari ini membingungkan. Tiada hitam vs putih kerana penuh onak dan duri antara kumpulan yang ada. Alat komunikasi kita mewah. Tetapi ia bukan lagi pemudah runding, sebaliknya terpakai sebagai perosak.

Daripada peranan algorithm dalam membentuk pandangan masyarakat hinggalah kepada kesihatan akal dan hati kita sendiri dalam mengendalikan maklumat serta persepsi.

Semasa mendengar ucapan Tun Mahathir pagi ini, kata-kata yang lekat di kepala saya ialah “politik lebih utama berbanding prinsip” vs “prinsip lebih utama berbanding politik.” Selain pengundi, saya juga bapa, suami dan guru. Saya sentiasa berfikir bagaimana cara hendak menterjemah sesuatu kejadian dalam bentuk pelajaran kepada anak-anak.

Namun selepas ucapan Tun itu, saya berasa amat berat hati.

Saya berhenti seketika daripada berfikir sebagai penyokong atau pembangkang, sebaliknya mendengar sebagai seorang anak atau cucu kepada seorang manusia berusia 94 tahun mengendalikan situasi ini.

BE-ALL AND END-ALL

Di dalam ruang yang ada, saya menyemak sedikit bahan-bahan pembelajaran sejarah, melihat kupasan ilmuwan bagaimana di suatu ketika dahulu, selama sekitar seribu tahun, pemerintahan empayar Islam adalah bercirikan pewarisan takhta seawal Bani Umayyah hingga ke era Uthmaniyyah (Osmanlı) di awal abad ke-20.

Walaupun perlantikan ketua secara pewarisan takhta itu bukanlah cara yang terbaik dan telah mendatangkan pelbagai kesulitan ke atas umat dari semasa ke semasa, ilmuwan tidaklah begitu tajam dalam mengkritik kaedah itu kerana keutamaannya ialah pada tercapai atau tidak tercapainya tujuan kita berkerajaan dalam menjaga negara dan kebajikan rakyat. Politik bukannya be-all-and-an-all.

Istilah BE-ALL-AND-END-ALL ini kembali hinggap ke telinga saya semasa mendengar ucapan sulung Tun M selepas bermulanya krisis kerajaan baru-baru ini. Beliau menyebut betapa ada di kalangan ahli politik di negara kita yang menganggap politik ini sebagai segala-galanya hingga terlupa kepada tujuan asal mengapa politik wujud.

Setiap kali terjadi krisis macam ini, ia membuka peluang kepada orang awam seperti saya belajar mengenai perlembagaan negara kita, fungsi pelbagai institusi demokrasi negara, melalui wacana pakar-pakar yang dijemput berdiskusi. Ilmu yang lebih kontekstual dan hands on.

Tetapi melihat kepada rumitnya situasi, upaya saya terhenti pada kenangan terhadap kata-kata Ummu al-Mu’minin Aisyah r.a. kepada al-Qa’qā’ bin ‘Amr al-Tamīmī r.a. selepas melihat korban Perang Jamal:

و الله يا بني، لوددتُ أني قد متُّ قبل هذا اليوم بعشرين سنة

“demi Allah anakandaku, alangkah baiknya jika aku mati sebelum kejadian hari ini, dua puluh tahun yang lalu!”

Apabila hal ini disampaikan oleh al-Qa’qā’ kepada Ali r.a, beliau juga menyebut “demi Allah, alangkah baiknya jika aku mati sebelum kejadian hari ini, dua puluh tahun yang lalu!”

Ia amat memedihkan.

MENCARI RUANG DAMAI

Selepas mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini, biar pun konteks, pemain dan kisahnya berbeza, saya teringat kepada sikap dan usaha Ali radiyallahu ‘anhu merapatkan saf orang ramai. Biar pun desakan agar berpihak terus berlaku, Ali mengutamakan keamanan.

Pilihan yang rumit dan masih ada disalah tanggap hingga selepas seribu tahun.

Teladan kisah yang saya kongsikan ini bukanlah untuk memanggil pihak yang berbalah supaya berdamai. Itu terserah kepada semua.

Ia cuma renungan untuk sahabat-sahabat saya yang mencari sesuatu daripada sejarah untuk bernafas.

Apabila pertempuran berakhir, Ali r.a. menunaikan solat jenazah ke atas sekalian yang terkorban daripada kedua-dua pihak yang bertentangan. Beliau kumpulkan semua senjata yang ditinggalkan oleh orang Basrah dan menghantarnya ke Masjid Basrah agar sesiapa yang dapat mengenal pasti hak milik masing-masing, mengambilnya kembali. Ali tidak mengambil harta tinggalan peperangan itu sebagai habuan untuknya.

Langkah damai tanpa berpihak yang dilakukan oleh Ali r.a ketika itu menimbulkan rasa tidak puas hati golongan Saba’iyyun yang menggerakkan kacau bilau berkenaan, sebahagiannya berada di dalam kem Ali sendiri.

Selepas Ali memasuki kota Basrah, dibai’ah oleh penduduk dan seterusnya Abdullah bin ‘Abbas r.a dilantik menjadi Wali kota berkenaan, beliau didatangi seseorang yang menyebut-nyebut kepadanya krisis antara beliau dengan Talhah r.a dan al-Zubair r.a untuk memanaskan keadaan.

Lalu Ali berkata, “janganlah cakap apa-apa kecuali yang baik-baik sahaja. Aku tidak mengharapkan apa-apa kecuali aku, Uthman, Talhah dan al-Zubair tergolong di kalangan orang yang disebut oleh Allah di Hari Kiamat nanti “… dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada sebarang perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di singgahsana masing-masing.” (Al-Hijr 15 : 47)

Benar, kita bukan Ali, bukan Uthman, bukan Talhah, bukan al-Zubair dan daerah kita bukan Basrah dan sekitarnya. Namun itulah antara situasi perit yang pernah ditempuh umat, puluhan ribu terkorban akibat ijitihad politik bergabung bersama pengadu domba yang cuba menghancurkan perpaduan dan keamanan negara dari dalam.

Politik adalah medan kita belajar menyesuaikan diri dengan ketidaksempurnaan agar yang utama dapat diutamakan.

Elakkan berkata-kata kecuali yang baik sahaja.

Ia permulaan, bukan pengakhiran.

Rahmati tanahairku, ya Allah.

Hasrizal
My Learning Journey
Oulu FI

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share