Adab Bertamu di Media Sosial

Ini topik yang paling saya tidak suka.

Tetapi selepas Aidilfitri, saya diasak bertubi-tubi untuk menjawabnya.Pertama, di dunia ini tiada orang biasa, tiada selebriti, apabila masuk bab mendidik anak-anak. Ia amanah daripada Allah, maka kita melakukannya kerana Dia, bukan mengikut tekanan massa, yang palsu dan hanya persona.

Saya ditanya adakah lelaki memakai rantai itu tidak mengapa kerana di dalam foto keluarga saya ada lelaki yang memakai rantai.Boleh atau tidak boleh, jawapannya ada pada ilmu dan fatwa, bukan foto dan apa yang kelihatan di mata. Memakai rantai diklasifikasikan ulama sebagai berada di dalam larangan lelaki berhias dengan perhiasan wanita. Hukumnya haram.

Apabila kita telah mengetahui hukumnya, pegang hukum itu berdasarkan ilmu kita. Jangan menggugatnya dengan amalan orang, yang kita tidak tahu apa kisah di sebaliknya.

Semasa di rumah saya ada lelaki memakai rantai, saya sangat marah. Saya bukan jenis yang merentap rantai itu dari leher walaupun saya membayangkan diri saya melakukannya.

Hampir dua minggu saya tidak bercakap. Sebab saya sangat marah.Selepas sekian lama, akhirnya beliau datang meminta maaf. Tetapi masih memakainya. Alasannya, di dalam budaya di negeri jauh ini, ia bukan perhiasan wanita dan memakainya tidak menjadikan seorang lelaki menyerupai wanita.

Saya tahu pendapat itu ada munasabahnya. Bukan untuk saya tetapi di kepala dia. Namun saya tidak suka, malah membenci perbuatan berkenaan. Ia titik khilaf, ideologi antara saya dan dia.

Semasa marah, saya tidak lupa, ia dipakai oleh seorang lelaki yang di kelilingnya semua non Muslim, dia seorang yang kekal menjaga solat. Semasa yang lain pemalas, dia yang rajin, menawarkan diri ke kedai membeli barang dapur walaupun suhu di luar -15ÂșC. Beliau seorang yang taat kepada Allah walaupun hidup di daerah ilhad tidak bertuhan ini.

Cuma beliau memakai rantai.

Semua ahli keluarga tahu, saya berterus terang di dalam hal ini. Bahawa setiap kali saya memandang benda itu, saya membencinya. Saya tidak izinkan pemakainya mengimamkan solat kami di rumah, kecuali jika beliau menanggalkannya.

Tetapi saya tidak membenci si pemakai. Marah. Tetapi saya tidak benci.

Kami sekeluarga pernah berbual, jika anak-anak nauzubillah ada yang murtad, jadi gay, lesbian atau penjenayah, rumah ini adalah jalan pulang.

Saya sentiasa di sini.

Mengasihi tanpa syarat.

Netizen perlu menundukkan pandangan, jangan mengulas aib keluarga orang. Itu akhlak kita bertamu.

Cabaran mendidik anak-anak dan membina keluarga adalah cabaran setiap keluarga. Bukan bahan mainan massa.

Jika saya dan keluarga saya adalah sebuah kotak permainan, mungkin suka atau tidak sukanya kita kepada isi kotak itu tidak begitu penting. Jika suka, kita nikmati isinya. Jika tidak suka, kita tinggalkan.

Tetapi saya dan keluarga saya adalah manusia yang punya hati dan perasaan.

Semenjak zaman penulisan buku Aku Terima Nikahnya (2008) lagi, saya sentiasa berhati-hati menulis menggunakan pengalaman keluarga agar maksud penceritaan sampai, tetapi pada yang sama menjaga maruah ahli keluarga.

Saya cerita perkara yang baik dan mempunyai teladan. Saya jarang sekali ceritakan perkara negatif walaupun banyak pengajaran, kerana maruah isteri dan anak-anak bukan modal bercerita. Malah saya boleh terjebak ke dalam dosa besar kalau membuka aib keluarga, hanya kerana ghairah mahu menyampaikan pengajaran.

Akibat pendekatan itu, era 2008-2010 menjadi era yang pahit buat kami sekeluarga. Kepahitan yang orang tidak faham kecuali mereka yang celik mata hati.

Saya dipuji dan diminati dengan pujian yang jika seseorang itu kemaruk perhatian maka mungkin menyukainya. Tetapi tidak bagi saya. Sering terjadi ahli keluarga saya terluka dek gelagat ‘peminat’ saya.

Vibe positif di dalam penceritaan saya menyebabkan sebahagian pembaca menganggap “oh sempurnanya hidup dia!”

Kenapa mahu membuat kesimpulan terhadap hidup saya sempurna atau tidak? Fokus sahajalah kepada pengajaran di dalam cerita demi cerita.

Andaian kesempurnaan itu mula mengundang perkataan-perkataan kesat mereka yang tidak suka dengan kesempurnaan yang dibayangkan berkenaan. Menyemak kembali blog saya pada tahun 2008-2013, ruangan komen sentiasa panas dengan hal ini. Ia masih tersimpan di dalam arkib.

Apabila terbit buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, ramai pula yang terkejut. Oh rupa-rupanya hidup dia macam ini, macam itu. Pembaca ‘gembira’ dalam bentuk terharu dan sedih mengenai cerita saya pernah dipenjara. Ia dibualkan, diulas, dikomen.

Sama seperti sebelumnya, ia dipetik malah ada yang dibuat poster, kata-kata hikmah dan sebagainya.Selepas 10 tahun pun, rasa kekok itu masih tidak hilang. Bagi anak muda, jangan jadi macam saya. Jangan jadi penulis seperti saya. Sungguh.

Saya masih ingat di dalam sebuah forum hak asasi kanak-kanak, saya ada menyebut sepintas lalu isu gangguan mata yang anak saya alami. Ia dicatat seseorang. Catatan itu kemudian menjadi viral. Hingga di sekolah, guru-guru pun bertanya kepada anak saya tentang kejulingan matanya lantas anak saya terpinga-pinga tidak faham apa yang berlaku.

Di Finland, selepas anak-anak meningkat dewasa, mereka bercerita kepada saya kesukaran yang mereka alami semasa sekolah apabila dikenali sebagai ‘anak Ustaz Hasrizal’. Hingga apabila mereka ada masalah di sekolah dengan cikgu pun, mereka berbual sesama mereka dan tidak memberitahu saya, kerana mereka sangka saya akan menyebelahi cikgu memandangkan cikgu adalah peminat saya.

Tiada kanak-kanak yang patut melalui pengalaman itu. Ia amat saya kesalkan.

Apabila berlaku perbezaan pendapat politik, serangan ke atas saya bukan dibuat berasaskan pandangan politik saya. Tetapi ada yang tergamak menghina ahli keluarga saya demi menjatuhkan saya ketika itu. Sungguh tidak berakhlak.

Ia benar-benar menjadikan kami tawar hati hingga menjadi pendorong utama kami nekad berhijrah meninggalkan tanahair.

Kini, apabila anak-anak sudah dewasa, saya menghormati maruah dan privasi anak-anak. Saya berhati-hati jika ingin memetik mereka di dalam tulisan. Di rumah, saya bebas menegur, membimbing, menjerkah, marah, serta ketawa dan bergurau dengan mereka. Namun ia bukan modal percuma untuk saya bercerita.

Saya cerita apa yang perlu sahaja. Hendak bubuh nama dan gambar pun, saya berusaha mengelaknya.

Terlalu banyak kejadian yang tiada siapa perlu tahu kerana ia urusan keluarga kami. Sebagaimana urusan keluarga anda juga.

Saya mengambil keputusan untuk menulis artikel ini kerana asakan soalan mengapa ada lelaki di dalam keluarga saya memakai rantai menjadi begitu banyak. Selama ini saya padam sahaja komen-komen yang bertanya. Tetapi kali ini kerana pertanyaan menjadi sukar dikawal, yang saya padam adalah video ucapan hari raya itu sendiri. Saya padam ia di Instagram, Facebook, dan Youtube. Akibatnya, anak-anak saya sedih. Sedangkan video itu kami rakam dengan penuh kegembiraan menyambut hari raya.

“Why did you delete abi? Just ignore them!” kata anak-anak.

“I don’t want people to hurt you. It’s raya video but they scan the whole thing. Their eyes are wild and evil” saya menjawab.

Mungkin saya yang sensitif. Mungkin sebab selama berada di hadapan lensa, saya sendiri lelah apabila tubuh badan saya diulas, eh gemuk, eh kurus, eh handsome, eh… walhal bisnes saya dengan anda hanyalah isi ceramah yang sedang saya sampaikan. Tidak malukah anda mengimbas tubuh badan saya?

Artikel ini mungkin banyak pengajarannya. Tetapi saya masih kesal menulisnya. Semua yang saya tulis di dalam artikel itu sudah pernah saya tulis sebelum ini.

Mengasihi anak tanpa syarat.

Rumah adalah zon selamat anak-anak.

Hukum berasaskan hujah, bukan syakhsiah.

Semua itu sudah pernah saya sampaikan.

Mengapa ia hanya ‘wow’ dan ‘baru faham’ apabila saya terpaksa mengorbankan maruah anak saya dengan menjadikannya sebagai kenderaan pengajaran itu?

Fikirlah, apa perasaan anak saya? Letakkan diri anda di tempat anak saya. Mahu buat baik atau buruk, kena jelaskan kepada orang ramai yang tiada kena mengena dengan hidup ini?

How awkward is that?

Ingat balik panduan kita semasa baca kisah al-Quran. Banyak benda yang kita tidak tahu yang kalau kita tahu, cerita itu mungkin lebih sensasi. Kita tidak tahu nama-nama Ashabul Kahf. Kita tidak tahu kesudahan kisah Musa dan Khidir. Malah, kita tidak tahu selepas Luqman menasihati anaknya, anaknya ikut cakap Luqman atau tidak?

Kenapa kita tidak tahu?

Sebab kita tidak perlu tahu.

Allah mahu kita ambil pengajaran yang dimaksudkan sahaja.

Percubaan mengorek-ngorek apa yang tidak diceritakan hanya menjerumuskan kita di dalam menyibukkan diri pada hal-hal yang tiada kaitan dengan diri kita.

“Antara petanda eloknya keislaman seseorang itu ialah, ia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengan dirinya” (sabda Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam diriwayatkan di dalam Sunan al-Tirmidhi)

Saya tahu dunia netizen terlalu luas dan ganas. Harapan saya, sekurang-kurangnya cukup andai mereka yang melazimi coretan saya di halaman ini, memahami hal ini dan mengambilnya sebagai panduan.

Baik, jadikan teladan.

Buruk, jadikan sempadan.

Hasrizal
Oulu Finland.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share