Julian: Sisi Setia Dengan Kebenarannya

“Bukankah lebih mudah menjadi seorang yang ‘go with the flow‘, tidak perlu memperjuangkan apa-apa?”

Ada kalanya hati berbisik mengenai hal ini semasa jiwa kita penat melawan.

Pengalaman kita semasa kanak-kanak berbeza-beza, dan pengalaman yang berbeza-beza itu mempengaruhi kita menjadi seorang yang bagaimana.

Saya anak bongsu yang jauh jarak umur dengan adik beradik yang lain. Walaupun ada ramai kawan macam kawan-kawan yang lain, di rumah saya ada dunia saya sendiri yang seakan terpisah daripada abang-abang. Selalu berfikir, tentang apa yang berlaku, dan kerap menyendiri.

Semasa berusia 6 tahun di tahun 1981, sama macam abang-abang yang lain, saya tidak ke tadika. Sebaliknya saya mengikut emak ke sekolah. Emak guru kelas murid darjah 1. Maka saya pun jadi murid darjah 1. Sepenuh masa. Saya belajar bersungguh-sungguh, sama macam murid-murid yang lain.

Di peperiksaan akhir tahun, saya dapat nombor 1. Gembira tak terkata.

Guru besar panggil saya ke pejabat. Kata guru besar, saya tidak boleh naik pentas ambil hadiah sebab saya bukan murid betul-betul. Saya murid acah-acah sahaja. Nama saya tiada dalam rekod sekolah.

Saya menangis.

Keluar dari bilik guru besar dengan rasa hampa yang amat mendalam. Emak pujuk. Semasa balik ke rumah dari sekolah, emak minta abah singgah kedai Wan Tai dan belikan saya pen sebagai hadiah.

Ia pengalaman pertama sebagai anak kecil, rasa teraniaya oleh sistem dan formaliti. Selepas berpuluh tahun pun, saya masih terfikir, tidakkah ada cara lain yang lebih baik untuk bersikap formal dengan budak kecil berumur 6 tahun ketika itu? Dia pakai pakaian seragam, buat homework hari-hari, kena berdiri atas kerusi sama-sama dengan murid lain apabila ada yang bising, dan adakalanya perlu memproses kekeliruan tambahan apabila didenda, sama ada yang mendenda itu Cikgu An, atau emak.

Tiba-tiba tak dapat hadiah walaupun periksa dapat nombor 1.

Malah di Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, budak kecil itu kena datang ke sekolah mengikut emaknya, melihat kawan yang dapat nombor 2 ambil hadiah nombor 1. Kawan yang dapat nombor 3 ambil hadiah nombor 2. Kawan yang dapat nombor 4 ambil hadiah nombor 3.

Budak itu menggenggam pen baharunya.

Tahun hadapan baru betul-betul darjah 1. Di sekolah lain.

Dia pulun habis-habisan kerana geram. Periksa akhir tahun dapat markah 100/100 untuk semua subjek.

Ia kisah 40 tahun yang lalu.

Saya mengenangnya selepas menonton sebuah filem pendek Australia bertajuk Julian. Filem lakonan Ed Oxenbould ini mengisahkan kejadian yang berlaku di dalam bilik darjah sebuah sekolah Australia pada tahun 1981. Julian cuba melakukan apa yang difikirkannya sebagai betul dan baik, tetapi dilayan oleh guru kelasnya sebagai menyibuk dan irritating.

Apabila beliau akhirnya dikenakan tindakan, Julian bertindak luar biasa. Beliau menggunakan apa yang diketahuinya, untuk memaksa pemimpin berubah dan meluruskan keadaan.

Hanya di akhir filem baru saya perasan:

Spoiler alert!

Julian itu adalah Julian Assange. Pengasas WikiLeaks.

Ingatan saya berpindah daripada 1981 ke 1993. Semasa saya lebih dewasa. Di hujung persekolahan. Saya dianiaya dengan sesuatu yang saya tidak buat. Saya membalas penganiayaan itu dengan menggertak penganiaya menggunakan maklumat saya tahu.

“Ayah saya meninggal dunia tetapi beliau tidak membawa buku catatannya bersama ke dalam kubur!”

Saya mengalah.

Berundur.

Enggan mengeruhkan keadaan.

Tetapi perjalanan tetap diteruskan.

Saya bukan Julian Assange. Saya tiada perjuangan seperti perjuangan beliau dengan WikiLeaks yang beliau usahakan. Namun saya mengagumi iltizam beliau untuk setia dengan kebenaran.

Di usia menghampiri separuh abad, saya hari ini percaya bahawa pengalaman yang disengaja dan tidak disengajakan berlaku ke atas murid di usia persekolahan, akan mencorakkannya menjadi seorang dewasa yang bagaimana.

Justeru pengalaman itu adalah pembelajaran.

Pembelajaran, perlu mengambil kira pengalaman.

Guru-guru yang mengambil kira akan hal ini, berhati-hatilah semasa menjadi sebahagian daripada pengalaman kanak-kanak yang kita didik. Jadilah insan yang memberi inspirasi dan meninggalkan bekas positif ke jiwa mereka. Jangan sambil lewa menanam paku di papan hanya kerana fikir salah paku boleh dicabut mudah. Paku memang boleh dicabut, tetapi papan kekal berlubang selamanya.

Bantulah kanak-kanak membina pengalaman yang berintegriti.

Agar mereka dan kita semua boleh menuju dewasa, dengan lebih matang dan berhikmah mengungkai misteri sebuah realiti kehidupan.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Koleksi Vlog Berkaitan Ramadan

Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan kali ini, saya kongsikan himpunan vlog yang pernah saya hasilkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
LinkedIn
Share
Instagram