Ya’qub AS: Pendekatan Ayah Yang Terluka Hati

Selepas DIARI ABAH (2020), apakah masih ingin menulis tentang keibubapaan?

Saya tiada jawapan.

Semasa melihat anak-anak membesar, kita bersemangat untuk melakukan yang terbaik. Kita cuba mengendali dan menguasai perjalanan itu dengan ilmu.

Saya belajar ilmu agama, belajar ilmu sains, belajar tentang masyarakat, dan berusaha memperbaiki kualiti masa dengan anak-anak, demi menyokong perkembangan mereka. Di peringkat berkenaan, saya selalu teringat iktibar kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya Ismail ‘alayhima al-salam. Biar pun di dalam perintah Allah yang tiada kata dua, Ibrahim tetap meminta pendapat anaknya:


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٠٢

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Al-Saffat Q37:102)

Saya konsisten melakukannya semenjak mereka kecil hingga remaja.

Sebahagiannya saya kongsi di dalam buku DIARI ABAH, merangkumi persoalan-persoalan yang amat berat dalam hal keagamaan dan kehidupan. Bagi saya, kasih sayang seorang ayah, keikhlasan, ilmu dan kesungguhannya, adalah ‘sunnatullah’ yang perlu mengisi ikhtiar seorang manusia.

Setelah banyak hal berat itu dibincangkan, hari-hari untuk ia menjelma sebagai kejadian telah tiba. Semua kandungan buku DIARI ABAH sedang Allah bentangkan sebagai ujian hidup buat saya. Mungkin kerana Dia mahu terus mengingatkan saya bahawa saya adalah hamba-Nya.

Biar apa jua ilmu dan kemahiran yang kita usahakan, tadabbur kisah Nabi Ya’qub ‘alayhi al-salam memberikan kepada saya perspektif berbeza. Ia hadir dengan iktibar yang sangat dekat di hati.

PERINGKAT KEIBUBAPAAN MENELADANI YA’QUB ‘ALAYHI AL-SALAM

Rumah Ya’qub adalah rumah Nubuwwah dan Kerasulan.

Rumah mulia.

Biar pun di dalam rumah itu ada seorang Nabi yang agung, Nabi yang bapa dan datuknya pun Nabi, ia tidak mengaburkan hakikat besar bahawa hidayah tetap milik Allah. Yusuf ditakdirkan membesar di ‘luar’ rumah mulia itu.

Manakala anak-anak yang membesar di dalam rumah seorang Ya’qub, tidak berkelakuan baik. Mereka bukan sahaja melawan Tuhan, malah terus menerus melukakan hati Ya’qub dengan kata-kata yang tajam, tidak cermat malah biadab. Apabila Ya’qub tidak dapat menghilangkan kesedihannya, mereka menempelak si ayah dengan gesaan ‘move on‘ dan berhenti daripada ‘ketidaksiumannya’.

قَالُوا۟ تَٱللَّهِ تَفْتَؤُا۟ تَذْكُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَوْ تَكُونَ مِنَ ٱلْهَـٰلِكِينَ ٨٥

Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa”. (Yusuf Q12:85)

Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi:


قَالُوا۟ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ ٩٥

Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama”. (Yusuf Q12:95)

Dalam keadaan anak telah dewasa, petah berkata-kata, tetapi semakin lancang dalam berbahasa, pendekatan Ya’qub adalah pendekatan penting, hanya orang yang pernah dilukakan hati oleh zuriat sendiri memahaminya.

Kata baginda:


قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ ٨٦

(Nabi Ya’qub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Yusuf Q12:86)

Selepas segala ujian ini selesai sekali pun, biar Yusuf sebagai mangsa sebenar pun telah memaafkan abang-abangnya, kisahnya berbeza buat seorang bapa. Apabila anak-anak merayu meminta agar Ya’qub memohon keampunan daripada Allah untuk mereka, Ya’qub tidak terus melakukannya.

Kata baginda:


قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٩٨

Nabi Ya’qub berkata: “Nantilah aku akan meminta ampun bagi kamu daripada Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Yusuf Q12:98)

Kata perbuatan masa hadapan di dalam bahasa Arab boleh dinyatakan dalam dua cara iaitu:

  1. Menambah سَ di awal kata perbuatan, seperti أَذْهَبُ yang bermaksud “saya pergi”, ditambah di awalnya menjadi سَأَذْهَبُ lalu bermaksud “saya akan pergi”.
  2. menambah perkataan سَوْفَ sebelum kata perbuatan, maka أَذْهَبُ menjadi سَوْفَ أَذْهَبُ dan ia juga bermaksud “saya akan pergi” tetapi lebih jauh di masa hadapan.

Dr. Yasir Qadhi hafizahullah cenderung kepada pendapat ulama yang berpandangan , Ya’qub mungkin menangguhkan istighfar itu ke waktu qiamullail. Katanya semasa mengulas hal ini:

Ya’qub agreed that he would ask Allah to forgive his sons, but his use of the term, ‘I will…’, clearly indicated but ‘not right now’. Why did Ya’qub delay seeking Allah’s forgiveness for his repentant sons? Most Muslim scholars said that Ya’qub wanted to delay the du[a’ until the last third of the night, for his tahajjud prayer, because of the high status of this prayer with Allah. The Prophet  ﷺ said, ‘The Lord descends every night to the lowest heaven when one-third of the night remains and says: “Who will call upon Me, that I may answer Him? Who will ask of Me, that I may give him? Who will seek My forgiveness, that I may forgive him?”’Ya’qub wanted to be in sajdah during the most blessed time when he asked his Lord’s forgiveness for his sons.

Qadhi, Yasir. Lessons from Surah Yusuf (Pearls from the Qur’an) (p. 145). Kube Publishing Ltd. Kindle Edition.

Akan tetapi Sheikh Solah al-Khalidi rahimahullah berpendapat, kecederaan perasaan seorang bapa dilukakan oleh zuriat sendiri, bukan sesuatu yang mudah diubat, walaupun dia itu seorang Nabi.

Kata Sheikh:

“Memanglah benar baginda (Ya’qub) itu adalah seorang Nabi yang mulia ‘alayhi al-solat wa al-salam, dan akhlak baginda adalah akhlak seorang Nabi yang mulia lagi tinggi. Malah kemuliaan itu jauh melangkaui mereka yang lain kerana kenabian itu, pada memaafkan. Akan tetapi baginda tidak dapat melakukannya dengan begitu pantas, kerana baginda adalah insan yang punya perasaan, punya sensitiviti. Baginda terluka dengan anak-anak dek kesalahan mereka, menempuh luka dan kedukaan yang mereka cetuskan tahun demi tahun! Apakah mungkin baginya untuk melupakan semua itu hanya dalam beberapa detik yang singkat?

Sesungguhnya baginda akan beristighfar untuk mereka dan memaafkan mereka, menguzurkan apa yang telah berlaku, serta berdamai.

Tetapi, mungkin selepas seketika nanti.

Apabila masanya tiba, baginda akan memohon kepada Allah agar mengampunkan mereka.

Demi pengertian ini, baginda menangguhkan (سَوَّفَ) istighfar itu, melengahkannya dan tidak menyegerakannya.

Al-Qasas al-Qur’ani oleh Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi rahimahullah.

Setelah seorang ayah itu dikhianati dan dirosakkan perasaannya, atas alasan keremajaan atau apa jua bentuk normalisasi akhlak yang dicela Tuhan tersebut, janganlah tidak bersedia untuk melihat seorang tua yang retak hatinya. Dia memerlukan masa yang panjang untuk sembuh.

Kerana pada masa ini beliau mungkin masih mencari kekuatan pada meneladani Ya’qub ‘alayhi al-salam.

“Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah…”

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

Check Also

Al-Mizan: Seimbang Antara Agama dan Sains Dalam ADHD Dewasa

Seseorang boleh melampau pada premis agama pada menanggap ADHD. Seseorang juga boleh melampau pada premis …

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share