15 Keburukan Sistem Pendidikan di Finland Bagi Yang Mencari Keburukannya

AKHIRNYA, INI KEBURUKAN SISTEM PENDIDIKAN FINLAND.

Saya mula menulis mengenai kekurangan sistem pendidikan Finland pada tahun 2015, misalnya di artikel ini https://saifulislam.com/2015/08/pendidikan-di-finland-mengenali-realiti-menjauhi-misteri-bersama-prof-fred-dervin/

Dan jika halaman My Learning Journey dan blog ini dikorek, ada banyak yang telah saya tulis antara 2016 -2020 mengenai kelemahan sistem pendidikan Finland. Mereka yang sudah lama mengikuti penulisan saya tahu akan hal ini. Masalahnya ialah, algorithm mempengaruhi apa yang viral apa yang tidak, menyebabkan ada orang jumpa, ada yang tak jumpa.

Semua yang saya puji tentang Finland, saya pastikan saya terangkan asasnya apa, rujukannya apa. Supaya pembaca boleh fikirkan.

Seobjektif mungkin.

Apa yang Tim Oates tulis di dalam artikelnya tidak salah. Cuba pertimbangkan dengan teliti apa yang beliau tulis. Di Finland juga, ramai yang tidak suka dengan polisi yang dibuat. Antara yang saya pernah tulis ialah:

  1. Ada pihak cuba bawa sekolah dan city council ke mahkamah supaya keputusan assessment pelajar didedahkan. Mereka mahu sekolah boleh dibuat penarafan (ranking).
  2. Sekolah Finnish bagus tidak semestinya pelajar Finnish berpuas hati dengan sekolah mereka. Data-data OECD banyak yang boleh menceritakan tahap ketidakpuasan hati murid Finland dengan sekolah mereka sendiri.
  3. Ranking PISA Finland semasa juga sememangnya merosot dan tidak sebagus dahulu. Sebahagian pihak di Finland susah hati. Sebahagian yang lain tidak kisah dan teruskan sahaja buat kerja macam mereka tidak kisah semasa Finland nombor satu di dunia dua dekad yang lalu.
  4. Budaya membaca pelajar memang merosot teruk di era gajet sekarang ini. Bukan Finland sahaja.
  5. Selepas era Nokia, ramai pihak di Finland mahu jadikan pendidikan modal Finland buat duit. Mereka mahu eksport sistem pendidikan Finland ke negara luar. Banyak pihak di negara Arab, India dan China yang sahut benda ini. Bagus kita di Malaysia tak meniru Finland macam itu. Saya pertahankan KPM di zaman Dr Maszlee supaya jangan terperangkap dalam bisnes ini. Semasa dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikn Negara dahulu, saya jelaskan who is who apabila ada pihak dari Finland mendekati KPM.
  6. Pendidikan agama di Finland (Muslim belajar Islam, Kristian belajar agama Kristian, dan lain-lain) itu bagus. Tetapi caranya lemah dan banyak masalah pada hendak mencapai objektifnya sendiri. Pedagogi dan rekabentuk pembelajarannya saya tidak setuju.
  7. Pelajar genius bosan dan disia-siakan macam keluhan pelajar Finnish di Hong Kong itu? Saya sudah jelaskan. Giftedness duduk di bawah kategori murid berkeperluan khas. Sebagaimana pelajar yang ada impairment dan learning difficulties memperolehi intervensi, demikian juga pelajar genius. Tetapi ada sahaja yang rasa ia tidak cukup, lalu berhijrah meninggalkan Finland. Antaranya, mereka ke USA dan negara Asia Jauh.
  8. Semua sekolah sama bagus dan sekolah terbaik adalah sekolah paling dekat dengan rumah? Salah seorang pensyarah sosiologi Pendidikan saya pun mengeluh bercerita di dalam kelas yang beliau dalam dilema. Beliau ‘shopping’ sekolah dan mahu anaknya sekolah di sekolah lain, bukan yang paling dekat dengan rumahnya. Beliau tidak buat apa yang beliau sendiri sebut dan percaya. Sebabnya, ada pengalaman peribadi keluarganya dengan kejiranan di mana beliau berada. Trauma peribadi, mempengaruhi.
  9. Masyarakat Finland masih struggle dengan struktur keluarga yang longgar. Ramai yang kesunyian. Kadar bunuh diri masih sangat tinggi. Bunuh diri di Finland tidak sama dengan bunuh diri di Korea. Lihat teori suicide oleh Durkheim untuk faham hal ini. Kejadian bunuh diri tinggi di Finland bukan sebab Finland gelap di musim sejuk atau tertekan dengan peperiksaan mahu pun tekanan kewangan. Bunuh diri di Finland adalah di bawah kategori egoistic. Cuma, statistik bunuh diri yang tinggi itu telah menurun secara ‘steady’ perlahan-lahan. Finland cuba.
  10. Finland tiada masalah racism? Haha, minggu pertama saya sampai Finland pada tahun 2016 saya sudah kena gangguan. Masjid kami di Oulu banyak kali dibaling batu, tingkap pecah, dibaling bom asap dan sebagainya. Ada cikgu di Finland juga ada yang secara sistematik beri idea kepada pelajar dari komuniti Somali bahawa di universiti nanti ambil bidang kejururawatan, bukan perubatan, sebab bidang perubatan susah. Cukuplah jadi jururawat. Ada dalam berita kisah ini.
  11. Sekolah tiada dinding bagus? Ramai juga murid yang mengalami anxiety apabila bersekolah dalam open learning space ini. Emak ayah suarakan. Mahu anak sekolah dalam persekitaran tradisional. Penekanan kepada self regulation juga dirasakan berat oleh sesetengah murid di awal usia persekolahan.
  12. Polisi kerajaan Finland meletakkan murid berkeperluan khas di dalam kelas arus perdana menyebabkan cikgu penat sebab sememangnya sangat susah hendak personalise pembelajaran murid biasa, apatah lagi ada murid berkeperluan khas. Ada cikgu desak MBK diasingkan, macam negara-negara lain.
  13. Makanan tengah hari di sekolah percuma untuk semua. Tetapi bagaimana dengan makanan halal? Kerajaan Finland tidak membenarkan haiwan disembelih mengikut cara Islam. Sumber makanan halal masih bergantung kepada ayam dan daging segar yang diimport dari Latvia dan negara Baltik lain. Kami sekeluarga di utara sana bergantung kepada ayam beku dari serata dunia. Ayam dan daging halal segar mudah diperolehi di Helsinki. Tetapi tidak di Oulu. Sembelihan ahli kitab boleh makan tak? Buka topik ini, 1001 kemerepekan keluar nanti daripada mulut netizen tanpa ilmu dan konteks yang sewajarnya.
  14. Betapa bagusnya kalau pelajar di Finland menerima panduan pada memilih bidang, kecenderungan, berbanding menyerahkannya kepada pelajar untuk meneroka sebab bukan semua pelajar mahukan kebebasan ini. Mereka mahu dikawal, diletakkan had. Autonomi pelajar juga datang dengan masalah-masalahnya. Anak-anak kami sendiri, selepas sembuh daripada low self esteem di Malaysia, sekarang ini jadi sangat opiniated dan degil. Kami makan hati apabila benda-benda mudah pun kena berdebat dengan anak-anak yang keberanian mereka tidak lagi comel, sebaliknya mencabar kami sebagai ibu bapa Muslim, Melayu, di negara asing ini. Tapi tak mengapa. Kita teruskan berusaha. Tak dapat anak macam Nabi Yusuf alayhi al-salam, adik beradik Yusuf yang lain pun masih anak Nabi Ya’qub alayhi al-salam. Ayah sedih, tapi tidak berputus asa. Kalau seorang Rasul pun diuji, siapalah saya untuk mempertikai ujian Tuhan, kan? Kita pun pernah nakal, kenapa apabila anak nakal kita tidak boleh bersabar?
  15. Pendidikan di Finland percuma untuk rakyatnya dari Tahun 1, sampailah ke ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD. Tetapi selepas Grade 9, buku tidak lagi percuma. Ramai pelajar high school yang kesusahan hendak membeli buku yang tidak murah. NGO Save The Childran di Finland (Pelastakaa Lapset) sentiasa berusaha cari dana bantu sesetengah keluarga yang berdepan masalah ini. Adakah semua Finns masuk universiti di Finland sebab universitinya bagus dan percuma? Tidak. Ramai sahaja yang belajar di negara lain atas macam-macam sebab.

Saya belum sebarkan SEMULA tulisan saya tentang kelemahan sistem pendidikan Finland sebab saya mahu sisi baiknya difikirkan terlebih dahulu.

Di tahap sekarang ini pun ramai yang sudah defensif beri macam-macam alasan untuk tolak sisi-sisi baiknya. Penduduk tidak ramai bolehlah, cukai tinggi sebab itu banyak duit, dan macam-macam lagi. Saya telah ulas cabaran Lee Kwan Yew kepada Presiden China, Deng Xiaoping yang beri alasan Singapura untuk sebab negara kecil berbanding China.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Insya-Allah saya akan tulis dari semasa ke semasa kelemahan-kelemahan sistem pendidikan Finland.

Apa yang pasti, kita tidak perlu tengok Finland pun sebenarnya, untuk sedar yang sistem pendidikan Malaysia SANGAT banyak masalah.

Jika tidak percaya, tanya guru, pelajar dan emak ayah sekarang ini. Jangan tanya KPM. Dan jangan tengok komen-komen cikgu semasa KPM buat taklimat dalam talian. Di situ semua bagus dan puji belaka.

Adakah dengan mengetahui keburukan sistem pendidikan Finland, kita hendak mulakan pesaingan baru, iaitu siapa lebih teruk daripada siapa?

Takut-takut kita masih menang lalu kita bersorak sebab kita suka menang.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland


Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share