saifulislamisme.JPG

“Ana rasa, orang dah mula taksub dengan saifulislam.com. Apa langkah ustaz nak mencegahnya?”, tanya seorang sahabat semasa kami berehat di Masjid UIA.

“Sekarang ini pun dah ada satu aliran baru, Saifulislamisme!”, komen seorang pembaca.

“Setelah sekian lama anta menulis. Apa hasilnya? Apakah anta berjaya membentuk kader dan rijal?”, soal seorang rakan kepada saya semasa pertemuan kami tempoh hari.

Soalan-soalan itu bukan baru. Soalan selalu.

Sering juga soalan sebegitu menimbulkan tekanan. Tetapi selalunya saya cuba positifkan maksudnya. Bahawa saifulislam.com bukan agenda suka-suka. Tulis gaya bebas tanpa arah dan tujuan.

Sungguh berdosa, jika saya menulis tanpa tujuan. Dosa masa dan dosa kata-kata.

Saya menulis dengan matlamat. Dan matlamat itu terungkap pada apa yang coretkan di muka depan saifulislam.com:

moto.JPG

Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi keupayaan untuk membuka jalan… kembara insan mencari Tuhan

“Hai, masih belum jumpa Tuhan?”, tanya seorang pembaca melalui email.

“Kalau sudah jumpa, kenapa masyarakat makin binasa?”, saya membalas lesu. Agak bosan melayan email yang berbau provokasi.

“Jumpa Tuhan” itu mudah bunyinya. Tetapi sebenarnya bagaimana? Dalam banjiran ceramah, kuliah, buku agama, dan perempuan bertudung, nampaknya seperti agama semakin tersebar. Tetapi semakin beragamakah kita hari ini?

Itu persoalannya.

Amalan-amalan agama diterima, tetapi semacam kosong tanpa makna. Makin kuat tersebar amalan beragama, semakin banyak penyakit yang membelenggu kehidupan kita. Penyakit luar dan penyakit dalam, menjadi belaka.

Usahkan dalam majlis lagha, dalam seminar Islam kontemporari pun manusia boleh semacam tidak berTuhan, khususnya ketika tenggelam di dalam debat dan tikam lidah.

KEJUTAN BUDAYA

Saya pulang dari 11 tahun perantauan pada 2004. Kepala dan jiwa sarat dengan pelbagai harapan, impian dan keinginan. Buat apa segala yang dikutip, jika tidak ditabur di bendang sendiri?

Tetapi kepulangan itu mengejutkan.

Saya ditimpa kejutan budaya. Di tanah air sendiri.

Semakin sulit untuk mengaitkan agama yang telah saya pelajari hingga berhasilnya segulung ijazah, dengan masyarakat yang telah berubah.

Berdakwah dengan rasa tanggungjawab, menyebabkan diri kuat menyoal, ”masyarakat sudah berubah, apakah dakwah seiringi dengan perubahan itu?” Saya bersungguh memikirkannya.

Kesimpulan saya, generasi di depan mata ini adalah generasi yang disconnected. Terputus hubungan dengan Allah. Agama yang sepatutnya bertujuan menjawab persoalan siapa aku dan siapa Dia, tinggal jawapan lesu sebagai apa aku patut buat atas nama Dia… itu sahaja.

Semuanya dibuat atas nama agama, tetapi kesan berTuhankan Allah SWT tidak kelihatan.

Ceramah jadi leteran, malah kadang-kadang hiburan.

Perbincangan jadi perang, malah sering menjarakkan persaudaraan.

Khilaf jadi bala, malah sulit benar untuk dilihat sebagai pengkayaan.

Di mana banyak orang beragama, di mana banyak orang agama, di situlah banyak masalah dan kesulitan.

Saya jadi tertekan.

 

MASUK KE DUNIA MOTIVASI YANG DIBENCI

Hebat benar aturan Allah.

Saya diselamatkan oleh Allah dari tekanan itu, dengan cara yang tidak disangka-sangka. Saya bekerja di bidang yang paling saya musuhi. Bidang motivasi di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

Saya terpaksa mengenepikan persepsi negatif selama ini, bahawa motivasi adalah berniaga air liur. Motivasi buat duit atas nama agama. Biar pun memang ada sebahagiannya begitu, namun saya perlu menyemak kembali semua itu dan kembali kepada konsep sebenar motivasi dan training.

Jika motivasi itu serba negatif, mengapakah badan profesional membayar rate yang lebih baik untuk motivasi berbanding ceramah agama? Mengapa trainer dilihat secara yang lebih positif oleh bahagian sumber manusia, berbanding ustaz dan ustazah serta ceramah agama mereka?

Tentu bersebab.

Dan segala sebab itu, saya perolehi jawapannya hasil pengalaman saya selama 2 tahun bersama Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

saifulislamisme2.JPG

 

Tidaklah suatu ceramah itu dinamakan sebagai motivasi dan training, sehingga ia berjaya mengeluarkan praktikaliti dari segumpulan teori. Motivasi mesti praktikal.

Tidaklah suatu ceramah itu dinamakan sebagai motivasi dan training, sehingga ia sesuai dengan peserta yang hadir dan difahami. Motivasi bukan komunikasi sehala.

Tidaklah suatu ceramah itu dinamakan sebagai motivasi dan training, sehinggalah kesannya dipantau dan dikenal pasti. Motivasi dibayar atas keberkesanan, bukan sekadar sedap penyampaian.

Tidaklah suatu ceramah itu dinamakan sebagai motivasi dan training, sehinggalah penceramahnya terus bersedia untuk berhubung dengan peserta, biar pun selepas selesai ceramah. Motivasi mesti proses yang berterusan, bukan lepas ceramah tutup kitab dan balik tidur.

Praktikal, komunikasi dua hala, mesej difahami, bertanggungjawab terhadap kesan, proses berterusan… tidakkah semua ini kehendak agama? Tidakkah ini tanggungjawab sebenar seorang pendakwah?

Sumber manusia sanggup membayar lebih untuk trainer dan motivator kerana mereka bekerja keras untuk memenuhi kriteria itu. Kriteria yang sepatutnya juga ada pada setiap ustaz dan pendakwah di mana-mana pentas bersuara.

Saya keluar dari retorik, cakap kosong dan berdakwah ala-ala syok sendiri, melalui bidang motivasi.

Malah melalui bidang motivasi itu juga, saya berpeluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Hari ini saya mengkursuskan top management sebuah syarikat kewangan bertaraf antarabangsa, diikuti pula dengan kursus bersama pekerja am sebuah Dewan Bandaraya. Kemudian saya pergi mengkursuskan pelajar paling cemerlang di Malaysia, disusuli pula dengan kursus untuk pelajar bermasalah yang sudah mengundang putus asa sekolah untuk mendepaninya. Saya menemui golongan intelek, kemudian bertemu pula dengan pakcik makcik yang buta huruf (tetapi berjiwa besar). Ada masa saya bertemu dengan ahli ibadat, ada masanya saya dihantar bertemu dengan ahli maksiat.

saifulislamisme3.jpg

Kepelbagaian yang ekstrim itu mendesak saya untuk tidak malas dan tidak sombong dengan cara sendiri. Sebagaimana dalam setiap sesi pertemuan, peserta mempelajari sesuatu dari presentation saya, begitu jugalah saya mempelajari banyak benda hasil pertemuan saya dengan mereka.

Inilah yang banyak mengubah saya. Khususnya pada pendekatan dakwah dan tarbiyah. Dua tahun bersama Fitrah Perkasa, adalah dua tahun yang sangat berharga.

DUNIA AKADEMIK

Saya masih tidak lupa kepada soalan yang menghantui jiwa ketika menerima segulung ijazah di Jordan dahulu. Saya sudah faham agama, tetapi mampukah masyarakat saya memahami kefahaman saya terhadap agama ini? Saya telah mempelajari sesuatu, memperolehi ijazah kerananya, tetapi jauh di sudut hati, masih ada rasa kegerunan bahawa apa yang dipelajari ini masih jauh menyediakan saya untuk menjadi seorang daie.

Setelah saya memahami cara untuk memahami teks mesej dari Allah SWT (Al-Quran) dan mesej Rasul-Nya (Sunnah Nabi SAW), saya merasakan bahawa saya wajib pula mempelajari cara untuk memahami manusia dan tabiatnya sebagai subjek Allah SWT menujukan Syariat-Nya itu. Hukum Syariat Allah bukan untuk manfaat Dia, tetapi untuk mengatur kita sebagai manusia. Maka ’kenal Allah’ tetapi ’tidak kenal manusia’, menjadikan kita sombong apabila bercakap kepada manusia dengan lagak tuhan! Alangkan Allah SWT yang Tuhan itu mendengar dan peduli suara hamba-Nya, cela benarlah pendakwah yang hanya bercakap sehala.

Maka dakwah mesti manusiawi dan mesej Syariat mesti tidak menafikan kemanusiaan manusia yang dijadikan Allah sebagai ujian untuk kita.

Di situ, saya berhijrah dari bidang Pengajian Islam menuju ke Sains Manusia di bidang Sejarah dan Tamadun untuk memahami dan menghargai manusia sebagai kelompok sosial. Saya juga bekerja sebagai kaunselor untuk pesakit, yang juga memerlukan saya untuk memahami dan menghargai manusia, sebagai individu.

saifulislamisme4.JPG

Pengajian saya di UIAM telah sangat banyak membentuk fikiran saya terhadap persoalan-persoalan asas kehidupan.

Oleh kerana Sejarah berperanan membentangkan big picture terhadap kelakuan manusia, saya sering melihat corak pengulangan terhadap apa yang sedang dilakukan oleh umat Islam dan masyarakat saya secara keseluruhannya. Kajian saya terhadap tamadun lama (Ancient Civilizations), tamadun pertengahan dan tamadun moden khususnya tamadun Eropah, sarat mengandungi unsur-unsur yang sama berlaku kepada Tamadun Islam. Kebanyakan persamaan itu berlaku kerana ia terbit bukan dari perbezaan Syariat, tetapi datang dari persamaan pelakunya, TABIAT MANUSIA.

Berapa banyak isu agama kita bukan isu agama, tetapi isu sikap dan tabiat manusia?

Berapa banyak sangkaan kita terhadap pencapaian-pencapaian semasa, sedangkan ia sudah ada di belakang masa?

Inilah yang mencorakkan penulisan saya di saifulislam.com.

SARI PATI SERUAN SAYA

Sama ada saya bercakap tentang pengalaman pengembaraan di tiga benua, atau soal kekeluargaan, perkahwinan, suami isteri dan anak-anak, saya bercakap tentang tabiat manusia, dan bagaimana ia berhubung dengan Allah yang Esa.

Saya bercakap tentang akademik, Eropah, Andalus, Othmaniyyah, Sunni Syiah atau apa sahaja yang mencabar Islam, saya bercakap tentang tabiat manusia, dan bagaimana ia berhubung dengan Allah yang Esa.

Saya bercakap tentang dakwah, fikrah dan siasah, saya bercakap tentang tabiat manusia, dan bagaimana ia berhubung dengan Allah yang Esa.

Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi keupayaan untuk membuka jalan… kembara insan mencari Tuhan

Maka apa yang saya tulis, tidak mewakili kepentingan sesiapa kecuali sekalian manusia yang muhsin dalam kehidupannya menuju Allah. Ia merentas jemaah dan fikrah, ia merentas metodologi salaf dan khalaf, ia merentas politik dan parti, kerana apa yang saya mahukan ialah memenangkan kebenaran dan keadilan, agar lurus jalan manusia kembali kepada Dia.

MENOLAK PEMUSATAN

Demi Islam dan Muslimin, dua terma asal kita di dalam al-Quran dan al-Sunnah, saya menolak pemusatan. Saya menolak open house saifulislam.com, saya tidak gemar dengan idea saifulislam.com fan club dan pelbagai lagi contoh saranan yang pernah dikemukakan kepada saya. Semua cadangan itu akan menjadikan saya dan pemikiran saya sebagai pusat, dan ia adalah sebesar-besar perkara yang saya hindarkan.

Biarlah mereka yang bersetuju dengan pandangan saya berada di medan masing-masing. Manfaatkan apa yang baik di sini, untuk memperbaiki medan masing-masing.

Jika apa yang diwacanakan di sini, boleh memperbaiki beberapa aspek perjuangan PAS, maka saya sambut ia dengan Alhamdulillah. Jika apa yang saya coretkan di sini, boleh menyuntik beberapa perubahan kepada perjuangan JIM, ABIM, Tabligh dan Hizb al-Tahrir, maka besarlah syukur saya kepada-Nya.

Jika apa yang saya tulis dan pembaca bincangkan di sini dapat memberikan pembaik pulihan kepada golongan beraliran Salaf, juga Khalaf… maka tercapailah maksud saya menulis dan berkata-kata.

Jika apa yang saya tulis ada harga pada seorang ahli akademik bertaraf profesor, dan dalam masa yang sama saifulislam.com juga diletakkan sebagai link di halaman ahli muzik, anak muda Kuala Lumpur, di sisi link ke halaman Afdlin Shauki dan My Chemical Romance, ia adalah suatu kelegaan kepada saya kerana dapat berhubung dengan manusia.

Biar pun cara ini mengundang sunyi di perjalanan, saya mengharapkan tawa riang di akhir perhentian. Itu sudah memadai.

MAKA

Kesemua artikel saya berulang kali membenci taqlid. Sama ada taqlid hukum, mahu pun taqlid metodologi, taqlid dakwah, taqlid politik dan taqlid beragama. Kerana taqlid sebegitu membunuh unsur penting kejadian manusia… akal fikiran dan waras pertimbangan.

Kesemua artikel saya berulang kali membenci taassub. Sama ada taassub menerima, atau pun taassub menolak. Kerana taassub itu juga menghijab manusia, daripada memenangkan kebenaran, yang satu-satunya jadi titik perkiraan Allah di alam Sana.

Kesemua artikel saya menyeru kepada pembebasan diri dari taqlid dan taasub.

Tetapi jika seruan saya itu pula menjadikan segelintir pembaca bertaqlid dan taasub dengan saifulislam.com, mereka telah menghabiskan masa yang banyak di sini kerana gagal menggarap  cita-cita dan harapan yang satu itu. Jangan sesiakan kesempunaan diri sebagai insan, dengan membiarkan diri dirantai hidung.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace