jepun.JPG

“Ustaz, macam mana kita nak buat bagi pelajar rajin datang program? Macam-macam kami dah cuba”, kata seorang pelajar semasa kami mengadap jamuan selepas ceramah.

“Besar soalan anta tu. Ustaz takut jawapan simplistik ustaz akan mengecilkannya”, saya membalas.

“Kenapa ustaz cakap macam tu?”, pelajar tersebut dan rakan-rakannya nampak bersungguh menyoal.

“Memang tak dinafikan, sebagai penganjur program, kita kena fikir dan usaha habis-habisan. Sebagaimana orang berniaga berbelanja besar untuk iklan, kita juga harus berusaha keras menjadikan presentation dakwah kita menarik”, saya menjawab.

Salah seorang daripada pelajar tersebut mencatat jawapan saya.

Tersenyum saya dibuatnya. Kadang-kadang jiwa muda mudah merasakan bahawa dunia ini skripnya seperti A, B dan C.

“Tetapi apabila anta persoalkan sikap pelajar yang liat untuk terlibat dalam program-program seperti program kita malam ini, anta sebenarnya cuba merombak arus perdana”, saya menyambung lagi.

“Arus perdana macam mana tu ustaz?”, salah seorang mereka bertanya.

“Pernah dengar tentang Aku Tidak Pedulisma?”, saya menyoal.

Mereka menggelengkan kepala.

AKU TIDAK PEDULISMA

Sudah lama saya menulis tentang sindrom mahasiswa jumud dan tidur ini. Aku Tidak Pedulisma, adalah terjemahan saya kepada terma An Laa Ubaaliyyah yang disebut oleh salah seorang pensyarah saya semasa masih menuntut di Jordan lama dulu.

jepun2.JPG

Tetapi sindrom itu lebih complicated daripada apa yang telah saya ungkapkan sebelum ini. Sikap lesu pelajar daripada mahu terlibat dengan aktiviti berpersatuan, hadir ke ceramah dan sebagainya, bukan sekadar soal kelesuan iman yang abstrak tetapi ia berlaku akibat corak kehidupan yang kesemuanya menjurus kepada semua itu.

Lama sudah saya memerhati ketika berada di dalam LRT, di dalam bas, atau di lapangan terbang.

Sebahagian besar generasi muda, telinganya bersumbat dengan MP3 Player.

Sebahagian yang lain, asyik dengan Portable Playstation.

Dan tidak kurang juga yang khusyuk dengan telefon bimbit masing-masing.

Tanpa sedar, gaya hidup kita hari ini kesemuanya menjurus manusia kepada terus menerus berada di dalam ‘dunia sendiri’ lantas hilang kepekaan kepada persekitaran. Semua orang selesa mendengar lagu pilihan masing-masing, selesa melayan rakan-rakan online malah lebih seronok bermain dengan permainan fantasi yang terputus dari realiti.

SUATU KETIKA DAHULU

Ia jauh berbeza dari kehidupan kita sedekad yang lalu.

kaset.jpg

Saya masih ingat, untuk membeli sebuah walkman (pemain kaset) itu pun, ia sudah dianggap suatu kemewahan. Mendengar kaset juga tidak selancar mendengar MP3. Jumlah lagu terhad kepada 5 lagu bagi sebelah kaset dan keasyikan mendengar hanya bertahan setengah jam, sebelum proses menukar kaset ke side B perlu dilakukan. Tenggelamnya seseorang di dalam dunia sendirinya itu tidak mutlak dan mendalam.

Dengan jumlah lagu yang sedikit, rasa jemu mudah datang. Atau dengan pelbagai sebab yang lain, kita sesekali akan akhirnya menyapa penumpang di sebelah, semasa menaiki bas ekspres.

“Nak ke mana?”, saya pernah bertanya.

“Ke KL, rumah abang”, jawab anak muda di sebelah saya.

“Oh, bercuti barangkali”, saya menyambung.

“Ya”, beliau tersenyum.

Pendek sahaja perbualan kami. Tetapi kemahuan untuk menegur orang di sebelah, tanpa sedar telah menanam sifat peduli. Dan kepedulian terhadap persekitaran sememangnya memberikan banyak pengalaman kepada saya. Kesudian menyapa orang yang duduk di sebelah, banyak memberi input kehidupan dan pengalaman.

HARI INI

Tetapi hari ini segala-galanya sudah berubah.

Setiap orang selesa duduk dalam dunianya sendiri. Jika mahu mendengar lagu, iPOD atau MP3 Player kita mampu menyediakan ratusan malah ribuan lagu yang kita minat. Sekali telinga disumbat, kita terus tenggelam dalam dunia yang kita pilih, biar pun untuk perjalanan kapal terbang sejauh Kuala Lumpur ke London.

Jika dahulu, kita bermain Playstation secara ‘berjemaah’, kini pilihan bermain secara individu semakin popular.

Apa sahaja yang bersifat perkongsian, semakin terhapus dan terhakis.

Semua orang selesa dengan dunia masing-masing. Bukan sahaja hilang minat untuk berbual dan menegur orang di sebelah, malah menegurnya sudah menjadi suatu keganjilan. Mengganggu privacy!

Tanpa sedar, keseluruhan lifestyle kita telah menjadikan kita anti sosial.

Kita selesa dengan dunia sendiri, dan berbalik kepada persoalan asal yang ditanya oleh pelajar itu tadi, seruan dan jemputan untuk seseorang datang program, adalah seruan yang cuba mengeluarkannya dari dunia selesa itu, kepada suatu dunia lain tanpa sebab.

Maka sebelum pakej dakwah kita menarik, seruan itu sudah dianggap sebagai gangguan.

“Sebab itu ustaz kata, soalan anta itu sebenarnya soalan penceroboh! Seruan dakwah dan seruan agar manusia bersosial dalam konteks hablun minaLlah adalah seruan pencerobohan!”, saya cuba menyimpulkan ulasan itu tadi.

“Susahlah kalau macam ni”, kata pelajar tersebut. Semacam ada kekecewaan pada wajahnya.

“Ya, memang susah. Dan ustaz tiada jawapan mudah mengenainya”, saya mengiyakan kekecewaan pelajar itu tadi.

pmc.JPG

KEMUSNAHAN SOSIAL

Kita semakin mementingkan diri sendiri.

Kita semakin kehilangan sebab untuk peduli.

Kita menjadi semakin selfish hingga ia cukup dijadikan alasan untuk usaha baik pulih sosial dianggap jenayah.

Persoalan demonstrasi aman itu patut disokong atau tidak, itu terpulang kepada ideologi masing-masing. Tetapi saya berasa amat terkilan apabila isu yang diguna untuk mengkritik demonstrasi adalah gangguan perniagaan dan kerugian, yang kesemuanya menggambarkan betapa masyarakat kita sangat mementingkan diri mereka sendiri.

MENOLAK ATAS KEPENTINGAN PERIBADI

Jika tuntutan BERSIH diperlekeh sebagai tidak mencerminkan gambaran sebenar kepincangan pilihanraya di Malaysia, saya masih boleh menerimanya.

Jika seruan oleh pembangkang, dianggap sebagai tidak matang bagi yang pro parti pemerintah, saya melihatnya sebagai suatu kelaziman biasa dalam politik negara.

Tetapi menolak tuntutan BERSIH dengan alasan menjejaskan periuk nasi satu Sabtu dari seratus Sabtu yang ada… ia adalah suatu pengkhianatan yang besar kepada negara.

Apa yang difikirkan hanyalah tembolok masing-masing, tanpa ada kepedulian terhadap korupsi, krisis sosial dan politik… malah kesemuanya adalah sampah belaka bagi sebuah masyarakat yang memang dibiarkan tercorak dengan sikap mementingkan diri sendiri yang sangat kronik.

“Apalah sangat seruan kita untuk mengajak mereka datang program, jika patriotisma keseluruhan masyarakat hanyalah sekadar mengibar bendera tanpa makna. Sebaliknya semua orang memperlekeh persoalan-persoalan yang membabitkan keadilan dan kesejahteraan negara. Malah tuntutan ke arah memperbaiki sistem negara itu pula yang dianggap kotor, jenayah, penyangak (meminjam bahasa Menteri) dan menjejaskan negara”, saya sedikit berleter.

“Yang patriotik, adalah mereka yang hanya memikirkan tembolok masing-masing dan mengangguk sahaja terhadap segalanya”, saya cuba menamatkan leteran.

Kami terdiam.

Diskusi berakhir dengan sepi.

Kami sampai kepada suatu kesimpulan yang penting… bahawa apabila kita menyeru dan berdakwah, raikan mereka yang menyahutnya biar pun ia hanya segelintir, kerana setiap satu sahutan dan penerimaan kepada seruan dakwah, adalah suatu keganjilan di akhir zaman ini.

Beruntunglah mereka yang ganjil.

Iaitu mereka yang peduli dan masih ada hati.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace