
Sheikh Hammam Said
“Ya hukkam al-’Arab, iftahoo al-Sujoon!!!”, Sheikh Hammam Said dengan suaranya yang padu menyampaikan khutbah Jumaat.
“Wahai pemerintah-pemerintah Arab, bukakan pintu penjara!”, itulah seruannya dalam khutbah tengah hari itu. Sheikh Hammam membantah tindakan Raja Hussein memenjarakan ramai aktivis Jabhah al-’Amal al-Islami di Jordan.
Saya yang mendengar khutbah itu terasa seperti mahu terloncat bangun. Memang ramai ahli jemaah di masjid yang berdiri. Kepanasan dan mendidih akibat menerima tiupan semangat khutbah Sheikh Hammam Said, seorang pakar ‘illah dalam ilmu Hadith, pensyarah University of Jordan, pemimpin Jabhah al-’Amal al-Islami, Ahli Parlimen dan imam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh… masjid yang diasaskan oleh al-Syahid Abdullah ‘Azzam lebih sedekad yang lalu.

Sweileh… Masjid Abdul Rahman bin ‘Auf
1994…
Begitulah suasana khutbah Jumaat di Sweileh.
Bukan sahaja di Sweileh malah di kebanyakan masjid di Jordan.
Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum, maka telah menjadi kebiasaan pada masa itu orang bermusafir ke sana sini dari Utara ke Selatan, mencari lokasi khutbah Jumaat yang sedap-sedap. Khutbah juga begitu optimum kerana tiada had masa. Hanya maqlubah sahaja yang menggamit di rumah. Selain dari itu, kebanyakan orang selesa meluangkan masa hingga satu jam mendengar khutbah mingguan yang sangat membangunkan jiwa.
Oleh kerana hampir setiap minggu saya akan keluar dari Mu’tah pergi ke Amman atau ke Irbid, maka khutbah Jumaat yang panas dan menyuntik semangat, adalah amat dinanti-nantikan.

Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi
Di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, dua orang khatib yang paling saya nantikan ialah Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi dan Sheikh Hammam Said. Sheikh Solah sering mengingatkan saya kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana bahasanya yang tenang tetapi tajam. Manakala Sheikh Hammam Said pula adalah seorang pemidato cili padi yang khutbahnya boleh menyebabkan saya dan kebanyakan orang di masjid bulat biji mata, malah pernah hingga berdiri kerana terangsang akibat letusan emosi di dalam dada dan minda.
MEMUNCAK
Namun dalam sederetan memori saya terhadap khutbah Jumaat, kuliah subuh, dan kelas-kelas pengajian bersama ilmuan ini, kemuncaknya adalah pada Oktober 1994.

Jordan menyerah kalah?
Ketika itu Jordan sedang panas dengan kedatangan Bill Clinton untuk mempengerusikan Perjanjian Damai di Antara Jordan dan Regim Yahudi Israel pada 26 Oktober 1994. Perjanjian Damai itu diadakan di Wadi Arabah berhampiran sempadan Eilat (Israel) dan Aqabah (Jordan) dan saya menyaksikannya dengan penuh kehancuran jiwa melalui siaran langsung di kaca televisyen.
Ia bukan perjanjian damai (mu’ahadah al-salaam) tetapi lebih kepada penyerahan diri (mu’ahadah al-istislaam) kerana kesan Perjanjian Damai itu, Jordan telah mengalami perubahan yang tidak dapat dipadamkan lagi.
Ia berlangsung pada hari Rabu.
Petang itu juga saya bertolak ke Amman, seperti biasa. Tetapi kali ini dengan harapan untuk mendengar ulasan terkini ulama’ dan pejuang Islam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, tentang peristiwa besar itu.
Pelbagai desas desus yang telah kami dengar. Dijangkakan pada hari Jumaat nanti akan berlaku kekecohan di sekitar Sweileh… iaitu antara kawasan yang dianggap kubu kuat golongan penyokong Ikhwan dan perjuangan mujahidin di Palestin. Pelbagai peristiwa hitam pernah berlaku di Sweileh, di sepanjang dekad pemerintahan Raja Hussein bin Talal.
JUMAAT 28 OKTOBER 1994
Semenjak pagi Jumaat itu, saya dan rakan-rakan melihat kawasan sekitar rumah kami sudah dipenuhi dengan trak tentera dan kereta perisai. Terasa sedikit gerun, tetapi tiada tempat untuk kami pergi kerana memang di situ kediaman ramai pelajar Malaysia zaman berzaman. Rumah kami juga hanya kira-kira 100m daripada Masjid Abdul Rahman bin Auf, dan ia sentiasa dianggap sebagai masjid terpenting tempat berkumpulnya semua pemimpin Ikhwan yang kebetulan juga merupakan barisan ulama’ dan ahli akademik utama di negara Jordan.
Maka jika Perjanjian Damai Wadi Arabah Rabu lalu dianggap sebagai suatu pengkhianatan di kaca mata Islamis, maka di Masjid Abdul Rahman bin Auf itulah tempat bantahan dijangka keluar.
Dengan lafaz Bismillah, saya dan rakan-rakan menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Mata kami menjeling kereta perisai dan trak tentera di tepi-tepi jalan. Teringat pula kepada pelbagai peristiwa di tanah air sendiri. Tidak lupa juga kepada Masjidil Aqsa yang kurang 100 km dari kami.
Semasa masuk ke dalam masjid, saya dan rakan-rakan sudah dapat melihat kelibat tokoh-tokoh penting seperti Dr. Hammam Said dan Sheikh Solah sendiri, Dr. Abdul Qadir Abu Faris, malah Dr. Ishaq Farhan juga ada sama.
Khutbah bermula…

Dr. Hammam Said mencela Perjanjian Damai tersebut kerana ia adalah pengkhianatan Jordan kepada saudara seagama mereka yang menderita di seberang sempadan. Sheikh Hammam juga mengutuk perbuatan Qari yang membacakan ayat al-Quran dari surah al-Mumtahanah untuk menjustifikasikan.
Sepanjang khutbah berlangsung, saya mendengar bunyi helikopter di atas masjid. Masjid juga jauh lebih sesak daripada biasa.
HIBA
Sheikh Hammam Said menyampaikan khutbahnya dengan penuh mantap. Khutbah panas, mengkritik satu demi satu isi kandungan perjanjian dari sudut pertimbangan Islam, dan tanpa sedar hampir 40 minit masa berlalu.
Lalu Sheikh Hammam menundingkan jarinya ke langit dari atas minbar, meminta kepada Allah agar membersihkan bumi Isra’ dan Mi’raj ini dari tercemar oleh pendirian-pendirian pemerintah Arab yang berlutut di kaki Amerika. Masjid ‘pecah’ dengan tangisan!
Semasa mengimamkan solat Jumaat, Sheikh Hammam mengisi rakaat yang pertama dengan bacaan surah al-Burooj. Setiap patah yang dibaca, bagai ungkapan dari Allah tentang nasib perjuangan Islam di bumi Syam ini.
Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa dan memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat) [Al-Burooj : 10]
Ketika sampai di ayat ini, Sheikh Hammam mengulangnya berkali-kali. Beliau menangis. Dan kami semua menangis. Seluruh masjid bersolat dalam keadaan yang sebak kerana masing-masing tahu bahawa selepas Perjanjian Damai ini, sebarang suara yang mempertikai Regim Israel akan dianggap jenayah dan bakal dikenakan tindakan.
Segala-galanya akan berubah di bumi Isra’ ini… buat selama-lamanya.
Lemah lutut saya semasa mendengar ayat-ayat cinta dari Allah SWT yang dibacakan oleh Sheikh Hammam:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar [A-Burooj : 11]
ELAK PROVOKASI
Selesai solat Jumaat, Sheikh Hammam telah segera bangun dan memberikan peringatan kepada jemaah supaya keluar dari masjid dengan tenang.
“Jangan layan sebarang provokasi yang mengajak kepada perbalahan!”, katanya.
Kami keluar perlahan demi perlahan.
Subhanallah… alangkah terkejutnya saya melihat suasana di luar masjid. Hampir setiap penjuru Masjid Abdul Rahman bin Auf dikelilingi oleh anggota tentera yang lengkap bersenjata. Saya melihat di atas masjid terdapat dua buah helikopter hitam mengawal suasana.
Seluruh barisan ulama’ yang hadir berada di hadapan masjid, terus meminta orang ramai keluar dengan tenang dan kami bergerak perlahan di celah banjiran orang ramai yang lebih jauh dari biasa.
Terdengar juga sedikit pertengkaran di tepi-tepi pagar masjid, tetapi tiada sebarang insiden buruk berlaku.
Alhamdulillah, khutbah dan solat Jumaat berakhir dengan tenang. Kami tiba di rumah sambil mengurut dada lega.
MASJID ABU HURAIRAH BERMANDI DARAH
Tetapi, tidak lama selepas itu sampai berita bahawa pertempuran tidak berlaku di Sweileh, sebaliknya di tempat lain. Masjid Abu Hurairah di kawasan Nazal bermandi darah!

Sheikh Abdul Mun’im Abu Dzanat
Sheikh Abdul Mun’im Abu Dzanat, iaitu salah seorang lagi ahli Parlimen Jabhah al-’Amal al-Islami telah cedera teruk dipukul. Ketika beliau mahu menaiki minbar menyampaikan khutbah, pihak polis telah menyekatnya dan mengarahkan seorang khatib dari Pejabat Ugama (Wizarah al-Auqaf) menggantikan tempat Sheikh Abu Dzanat.
Sheikh Abu Dzanat tidak mengizinkannya kerana masjid itu adalah masjidnya. Malah orang ramai di dalam masjid juga membantah.
“Kami mahu mendengar khutbah Sheikh Abu Dzanat, bukannya khutbah kamu”, antara ayat-ayat yang dilaporkan kemudiannya di dalam akhbar al-Sabeel.
Sheikh Abdul Mun’im Abu Dzanat naik ke minbar dan memulakan khutbahnya.
“Ya Rijal al-Syurthah, koonoo ‘ibaadan lilLah… wa la takoonoo ‘ibaadan li Clinton wa la li haa’ulaa!!!”, beliau melaungkannya dengan penuh semangat di atas minbar.
” Wahai anggota polis, jadilah kamu semua hamba kepada Allah… dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Clinton dan pemerintah Arab itu!!”, begitu lantang Sheikh Abu Dzanat bersuara.
Selepas solat Jumaat dan ketika Sheikh Abu Dzanat keluar dari pintu masjid, sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu baton yang lazimnya digunakan oleh pihak polis telah memukul kepala Sheikh Abu Dzanat hingga berdarah. Sheikh Abu Dzanat rebah dan kemudiannya diangkut oleh polis ke dalam lori mereka. Beberapa orang jemaah masjid juga cedera sama.
Beliau tidak dibawa ke hospital, sebaliknya diheret ke balai polis untuk soal siasat.! Apabila Sheikh Abu Dzanat pitam akibat pendarahan yang teruk, barulah beliau dibawa ke hospital untuk rawatan. Nasib seorang ahli Parlimen yang mempertahankan Islam dan Muslim.
Namun saya amat kagum dengan Sheikh Abu Dzanat kerana hanya seminggu selepas kejadian itu, beliau sudah pun berdiri di parlimen dengan kepala yang masih berbalut, untuk meneruskan tugasannya yang diamanahkan rakyat. Lantang dan bernas seperti biasa.
BERUBAH SELAMA-LAMANYA
Semenjak kejadian itu, suasana Jordan berubah.
Ramai ulama ditangkap dan mereka diharamkan daripada memberikan khutbah atau ceramah di masjid-masjid. Khutbah Jumaat yang dahulunya begitu segar, sedikit demi sedikit mula terhakis. Seakan-akan tiada apa yang berlaku di seberang sempadan, khutbah Jumaat diisi dengan tajuk-tajuk semangat kejiranan, sabar, ikhlas, yang diulas jauh dari realiti yang sedang menuju kehancuran.
Perjanjian Damai itu juga membuka pintu Jordan kepada kemasukan unsur-unsur yang merosakkan rakyat. Televisyen Israel yang penuh seks dilepaskan penyiarannya ke Jordan. Kelakuan rakyat Jordan jelas berubah sebelum dan selepas Perjanjian Damai itu. Moral rakyatnya berubah sama sekali.
Silibus pengajian kami di Fakulti Syariah juga dirombak hingga mata pelajaran Dakwah dimansuhkan jam kredit praktikalnya, beberapa subjek dibatalkan, pelajar Sastera Arab diwajibkan mempelajari Bahasa Hebrew dan paling utama… institusi khutbah Jumaat terus beku dan layu…

Berkelana di Jordan, mengutip semangat perjuangan para Sahabat, seperti Muadz bin Jabal di belakang kami..
Perjalanan itu berlanjutan ke hari ini… sehingga kepada kepulangan saya ke Malaysia pada akhir 2004, khutbah Jumaat adalah hukuman mingguan ke atas saya lantaran mandulnya ia dari fungsi yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW.
Sesungguhnya minbar itu adalah minbar Rasulullah SAW… setiap khatib mewarisinya dari Baginda… maka sampai bilakah kita harus mengkhianatinya?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor











Assalamua’alaikum.
Masya’Allah. Hebat suasana di sana yee.
Jauh bezanya dengan keadaan di negara kita.
Ulama di sana lantang bersuara, tapi di sini ulama disekat kebebasan untuk berkata-kata. Khutbah dikawal sehingga dijadikan teks ucapan.
ya.. jadilah hamba kepada Allah bukan hamba kepada pemerintah.. sedih baca entri kali ini.. moga Islam terbela di serata dunia..Ameen…
sepanjang ana ada kat mesir, tak pernah jumpa khatib ‘monotone’ dan baca teks, mengagumkan!
Salam akhi…
Selepas sedikit ‘kegelisahan’, nampaknya entri ini boleh memberikan sedikit jawapan/penjelasan.
Bukan pengkhianatan terhadap minbar itu sebenarnya yang menjadi fokus entri kali ini.
Tetapi puncanya.
Juga punca kepada perbezaan situasi antara Masjid di Sweilih dengan Masjid di Nazal.
hmm..rasa terbakar semangat jundiah baca entry ni..rasa marah dengan sebagian ulama pun ada…boleh ke camni? tapi mmg ada ulama yg nampak macam support israel, america ni..hmm,selama ni bila ikhwan kat jakarta ni duk ajak ikut demonstrasi palestin,kita hujah deme dgn hujah2 shbt salafi…lagi pula student medic ni embassy jaga. tapi duk sibuk berada tengah2 ikhwan haraki n salafi ni ni,lupa shbt2 yg syahid lawan israel tu…entah apa sumbangan kita..
Itulah yang cuba ana sampaikan, tetapi ana suka sangat kalau ustaz boleh elaborate dari pandangan ustaz untuk dikongsi bersama pembaca…
sedihkan…
ya…itu laa dunia sekarang…untung ustaz dapat menadah ilmu di urdun…tapi sayangnya..khutbah jumaat juga tidak praktikal di Malaysia. inilah negara islam kita (maaf jika pandangan saya agak keras)
moga diriku terus tabah dan gagah dalam mengharungi dugaan dan cabaran di mu’tah….YA ALLAH ,pimpinlah hambamu ini…..
MEDAN INI MEDAN YANG SUSAH DAN PAYAH,
SESUSAH MEDAN MU’TAH DI PUNCAK SANA,
DAN PENGHUNINYA JUGA HARUS GAGAH,
SEGAGAH KOTA KARAK PERAKAM SEJARAH……
(maaf ustaz,copy sajak ustaz…hehe)
tak dinafikan khutbah di Malaysia memang mandul.
tp tak semua masjid begitu bagi saya.masih wujud lagi masjid yg bebas dan tidak terikat khutbah mereka dgn teks.teringat akan khutbah di kg saya satu ketika dulu.khutbahnya cukup jelas menegur kepincangan dalam masyarakat dan pemerintah.bukan setakat amal makruf sahaja seperti khutbah sekarang.dan memang ada yg tak berpuas hati dgn khutbah sebegitu.lantas khatib yg mempunyai suara lantang kebanyakannya tidak disambung kontrak.
salamun alaik…
ustaz,rasa berapi bila baca…peringatan buat semua yang memegang tampuk masjid..agar tidak melesukan/mensia2kan perjumpaan agung umat Islam..
Ulama Akhirat Pewaris Nabi….!
memang terdapat perubahan yang kritikal selepas perjanjian istislam tu… banat-banat(tinos) dan syabab-syabab(boyers) arab semakin menggatal. Gatal ? Hmmmm….
Akhi Hasaryazal….
Syukran kerana mengingatkan ana kepada memori silam yang semakin ana lupakan…! dah hampir 10 tahun meninggalkan bumi Jordan
Tak lama lagi perayaan idul adha akan sama-sama kita sambut. Tak sabar menanti kehadirannya. Terkenang pertama kali mendengar khutbah ‘ied di Mesir. Khutbah ‘ied benar-benar berbeza dengan khutbah jumaat. Khutbah ‘ied biasanya membahas perkara yang skopnya lebih luas kerana pada perhimpunan ini hampir keseluruhan umat Islam berkumpul. Timbul rasa pemilikan terhadap Islam yang luas menembusi sempadan kenegaraan bahkan menembusi perbezaan warna kulit.
Khutbah jumaat tidak kurang hebatnya kerana ia benar-benar menjadi peluang untuk ‘tatbiq’ atau ‘ishlah’ kepada isu-isu semasa yang berbangkit.
Kesimpulannya, khutbah perlu dikembalikan perannya sebagai sebuah institusi yang menegur, membina, membimbing dan mendidik masyarakat.
wahh…..ustaz fazdi pun ade…….guru ana mase kt kisas dulu……x pe ustaz…..dtg la jordan ni khususnya mu’tah……kedatangan ustaz dialu2kan…..bumi mu’tah bumi penuh barakah dengan titisan darah para syuhada’……….
Bismillah.
Saya mulakan dengan dua ungkapan yang mempunyai emosi dan matlamat yang sama di bawah, tetapi bahasa yang berbeza.
Keduanya ditujukan kepada pihak yang sama dan daripada kumpulan yang sama. Cuma individu yang berbeza.
Kenyataan yang pertama itu tidak mendatangkan keganasan polis. Berdasarkan kepada artikel, ianya kerana polis tidak diprovokasi secara berhadapan. Pendengar tetap bersemangat dan memperolehi manfaat besar drp khutbah tersebut.
Yang kedua pula mendatangkan sedikit keganasan. Mungkin juga telah dirancang oleh pasukan polis, kerana daripada awal lagi khatib dihalang drp menaiki minbar. Tapi kemarahan polis ditambah dengan provokasi yang dilakukan oleh syeikh khatib ini.
Kesannya, darah tertumpah dan selepas itu masjid menjadi sasaran kerajaan. Khatib ditukar, pengajian diganggu, malah paling menyedihkan pembelajaran di universiti turut disentuh.
Pengajaran yang boleh diambil ialah, pilihlah situasi menang-menang. Dakwah menang dan inzar juga menang, biarpun tidak setajam mana.
Apa yang boleh dipersoalkan ialah, kita lebih memfokuskan kepada inzar yang syadid, cabaran yang hebat, “tembakan” yang tepat, tetapi dakwah kita tewas selepas itu. Malah bukan setakat dakwah menjadi mangsa, sebaliknya pendidikan juga turut diheret sama.
Bagi pihak berkuasa, mereka tahu mereka lebih gagah, mereka lebih kuat mereka lebih segalanya. Jika penentang mereka juga sama kuat sama gagah, maka ambillah sikap seperti Nabi dan para sahabat di awal perang Badar. Berani menghalang ketumbukan berniaga musuh.
Jika tidak, jangan lagi membina rumah ditepi pantai. Biar kukuh dahulu tiang2nya. Biar sempurna benteng batunya. Biar berbondong2 pengganti mereka menanti di belakang saf.
Apa yang telah dilakukan oleh pejuang ikhwan di Syria seharusnya menjadi pengajaran. Berjaya menawan halab, tetapi akhirnya tumpas teruk selepas berhadapan tentera udara Syria. Kesannya sehingga sekarang.
Keganasan ( jihad ) yang berlaku di Algeria seharusnya menjadi pengingat kepada kita di Malaysia. Kerajaan tidak tumpas, tenaga pejuang habis di kaki-kaki gunung. Bukan hanya Indonesia menjadi perhatian kita, lihat sama di Maghribi, Syria dan Mesir.
Di Algeria, akhirnya, keamanan juga yang dicari. Keampunan ditawarkan. Demokrasi menjadi pilihan.
Bagi kita di Malaysia, saya tidak bermaksud jangan berhadapan musuh gerakan Islam. Saya tidak kata jangan berani dengan mereka.
Apa yang perlu difikir lebih mendalam ialah, apakah kesan drp cabaran demi cabaran yang dibuat. Apakah dakwah kita telah lumpuh sehingga memerlukan cabaran keras? Apakah mereka akan tunduk dan patuh kepada tekanan lawan mereka. Di manalah kekuatan kita. sekadar menyatakan bantahn kecilan, bimbang mudharat lebih besar muncul.
Jika dilihat tekanan yang diterima, sebenarnya sejarah lama PAS lebih teruk berbanding hanya ditipu pada 2004. Tetapi pernahkah kita mencabar? Tidak sama sekali. Belum lagi.
Sudah berapa ramai pejuang yang gugur? Ramai. Yang cedera ramai. Tetapi kita belum mahu mencabar dengan kekuatan kerana kita bimbang kesannya lebih besar.
Dalam situasi sekarang, betul, kita bukan mencabar dengan kekuatan, sebaliknya sekadar membantah dan membantah termasuk menghantar memo.
Namun, jangan lupa, tarikh 10 Nov meletakkan kerajaan tertekan. Dalam usrah dengan pimpinan saya baru-baru ini, beliau tegaskan, kesannya sama ada mereka akan lebih “mengganas” atau “berkendur”.
Ini yang perlu dikaji. Jika berkendur, maka ada strateginya. Jika lebih mengganas, lebih ingin meng’isa’kan lawan mereka, swajarnya kita ambillah jalan yang terus memenangkan dakwah kita, jemaah kita, politik kita dan inkar mungkar kita.
Jika ada yang di’isa’kan, Amerika tidak akan bangkit mengecam kerajaan Malaysia untuk mempopularkan demokrasi. PBB buat tak nampak sahaja. Kita sahaja yang rugi. Kerajaan tidak terkesan langsung. Politik kita rugi, dakwah kita terhalang dan jemaah kita kehilangan pemacu. Silap2 tak dapat bertanding.
Pilihlah yang terbaik untuk jemaah dan ummah.
Terima kasih pena_prima,
Komen anta menyempurnakan hasrat yang ingin ana saya suarakan.
Saya tersentuh..
Moga kita semua akan lebih tabah dan mengerti.
Sama-sama.
Saya tahu, penjelasan saya tidak sempurna. Mungkin cukup buat masa ini untuk memberi tambahan input terhadap tulisan di atas. Ustaz pasti melengkapkannya suatu hari nanti.
[...] Minbar Jumaat Yang Dikhianati [...]
salam, ketajaman minda dan pena ustaz mengkagumkan. Sega puji bagi Allah atas kurniaanNya. khatib yang membaca isi khutbah tidak sama dengan khatib yang menghayati isi khutbah dan khatib yang beramal dengan Islam dan perjuangannya tidak sama dengan khatib yang dibayar oleh kerajaan untuk membaca isi khutbah yang lesu dan jauh dari perjuangan Islam. teruskan jihad!
tuzrob tohzin yara lalli..
Salam
1. Saya masih berkuat mengingatkan diri bahawa syaitan tidak mempunyai kekuatan untuk melakukan sesuatu. Ia juga memohon keizinan Allah untuk diberikan kekuatan menggoda manusia. Dan di akhirat kelak, seperti disebut di Al Quran, syaitan melepaskan diri dengan mengatakan manusia yang tergoda. Maka segala kejahatan, yang disebarkan oleh agennya, syaitan, bukan sesuatu yang patut dipilih oleh manusia, yang telah diberkan akal oleh Allah dan petunjuk bagaimana menjalankan penghidupan seharian. Hanya yang tidak mengenal diri dan Allah akan menyalahkan agen kejahatan, sedangkan tiada penambah-baikan diri dilakukan.
2. “setiap khatib mewarisinya dari Baginda… maka sampai bilakah kita harus mengkhianatinya?” Kita bukan saja menghianati mimbar, bahkan secara keseluruhan hanya mengikuti separuh dari Sunnah Nabi saw dan tidak mahu melihat bahawa keseluruhan kehidupan Nabi saw adalah menjadi contoh dan rujukan kepada Muslim. Selagi Muslim tidak mengikuti Sunnah Nabi saw sepenuhnya, iaitu dengan penekanan pembangunan ekonomi ummah khasnya, tidak mungkin akan dapat menyaingi bukan Muslim, apatah lagi mengelak dari dibuli oleh mereka. Bukan mereka yang membuli sebenarnya, tetapi Muslim yang memilih untuk dibuli kerana tidak mahu berilmu secara syumul.
Salam Pak Din,
‘Hanya yang tidak mengenal diri dan Allah akan menyalahkan agen kejahatan, sedangkan tiada penambah-baikan diri dilakukan.’
Tertunggu-tunggu komen dari Pak Din…
Salam
Ukhti Asmah pun bercuti juga ke? Saya baru balik bercuti 1 minggu. Insya Allah akan mula berfikir dan memberi idea sehari dua ini. Kalau ada yang tak sesuai dengan selera minda, telan dulu (kerana ubat selalunya pahit kan?) kemudian fikir dan cadangkan pembaikannya, agar kita sama-sama dapat manfaat dari idea Ustaz. Artikel Ustaz tidak dinafikan banyak menjentik minda dan merupakan rakaman perlakuan manusia di persekitaran kita. Penting sekali tingkatkan kepekaan akal (rational) dan kurangkan kepekaan perasaan (nafsu).
[...] #25 Pak Din Says: December 18th, 2007 at 4:08 pm ? Salam Ukhti Asmah pun bercuti juga ke? Saya baru balik bercuti 1 minggu. Insya Allah akan mula berfikir dan memberi idea sehari dua ini. Kalau ada yang tak sesuai dengan selera minda, telan dulu (kerana ubat selalunya pahit kan?) kemudian fikir dan cadangkan pembaikannya, agar kita sama-sama dapat manfaat dari idea Ustaz. Artikel Ustaz tidak dinafikan banyak menjentik minda dan merupakan rakaman perlakuan manusia di persekitaran kita. Penting sekali tingkatkan kepekaan akal (rational) dan kurangkan kepekaan perasaan (nafsu). [...]
….sedih…
bismillahirrahman arrahimm
ya Allah tuhan pemberi kemenangan..
bangkitkanlah islam dengan jatuhnya Thoghut kejahatan..
bangkitkanlah aku untuk menentang kegelapan..
pimpinlah aku dalam menegakkan keadilan…
alhamdulillah. entry yang ni sangat menarik!
cuma saya agak sedih dengan keadaan saya dan rakan2 di India. Khutbah dalam bahasa tempatan, tak paham satu ape pun. Mujurlah dulu pernah belajar bahasa Arab sikit2.
Berdoa…yakin.
Sedih dan pilu membaca entri ini. Tetapi pada masa yg sama membakar semangat, betapa kalau kita muslim sendiri tidak mempertahan islam siapa lagi yang akan mempertahankannya.
Saudara alonqexe, sebagaimana yg saudara lalui di sana, seperti itulah saudara islam lain yg bukan berbangsa melayu merasainya di malaysia. Susah hendak mencari khutbah di dalam bahasa inggeris. Tetapi itu tidak mejadi penghalang untuk menunaikan kewajipan bukan? =)
Salam Ukhuwwa..keadaan yang mengharukan hati membaca entry ini menaikan semangat dan meremangkan bulu romer..BERSABARLAH…termampu kami doakan dari jauh.Wslm.