Muslim Rumahtangga – Siri II (Di Ambang Perkahwinan)

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama, nescaya sejahteralah hidupnya”
Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Apa tujuan berumahtangga?
“Begin with the end in mind“, adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, “aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku”
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.
Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
“Maka pilihlah yang memiliki agama… nescaya sejahtera hidupmu”, pesan Nabi SAW.
Benar sekali, pilihlah yang beragama.
“Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!”, kata seorang pelajar ‘bidang bukan agama’.
PENYAKIT “TIDAK JELAS”
Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit “tidak jelas”, apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek “PengeTAHUan Agama Islam” menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
“Yang memiliki agama” itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan “jenama TAHU agama” tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable“.

HANYA ‘BERAGAMA’?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh… atas nama berkahwin kerana beragama.
PERBINCANGAN BERLANJUTAN
Selepas selesai saya memperkatakan tentang beberapa kunci dan anak kunci berkaitan dengan cinta dan alam pra perkahwinan, bicara dilanjutkan kepada memperkatakan tentang beberapa panduan kepada peserta PUISI 2007 tentang persoalan-persoalan DI AMBANG PERKAHWINAN.
Di ambang perkahwinan, lazimnya bermaksud peringkat seorang lelaki dan perempuan telah menyatakan persetujuan untuk saling menerima lantas melangkah ke era pertunangan.
Tetapi nanti dulu.
Jika keluar tengok wayang antara buayafriend dan gelifriend itu tidak sesuai dengan ajaran Islam, berdating dan pegang sana pegang sini untuk mencuba tidak kena, maka bagaimanakah kita mencari pasangan?
AGEN MENCARI CINTA
“Ustaz, betulkah saya mendengar bahawa di Ireland sana, adanya kerja-kerja mengatur perkahwinan dan match making untuk pelajar-pelajar ini?”, tanya seorang guru yang mengajar di sebuah kolej persediaan pelajar.
“Mereka memaksa pelajar ini berkahwin dengan calon yang ditetapkan”, katanya lagi.
Terkejut juga saya dibuatnya. Terberhenti seketika saya dari mengunyah biskut dan teh semasa sesi rehat.
“Rasa saya cikgu, perkara ini sangat berkait rapat dengan cara kita melihatnya. Jika kita melihatnya sebagai suatu yang negatif, maka ia akan kelihatan negatif. Andai dilihat secara positif, maka ia akan menjadi sesuatu yang positif”, saya cuba memulakan perkongsian cerita.
“Mungkin cara terbaik untuk saya jawab pertanyaan cikgu itu ialah dengan berkongsi cerita tentang bagaimana saya sendiri berumahtangga”, saya memberitahunya. Beliau nampak begitu berminat untuk tahu.
Sebagaimana yang telah saya catatkan di dalam artikel ERTI SEBUAH PERKAHWINAN YANG DIBINA DI ATAS PERJUANGAN, saya cuba memberikan gambaran kepada cikgu yang bertanya, bahawa soal pelajar bergaul bebas, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan dan hal-hal yang sebegini memang merisaukan kita semua.
Ia salah dari segi agama.
Ia juga tidak ada kena mengena dengan kecemerlangan akademik dan profesionalisma.
Apa kebaikannya pergaulan bebas di negara yang masih di bumi Tuhan itu?
Maka ramai pelajar yang ada kesedaran Islam, berusaha menjauhkan diri dari pergaulan bebas. Ini tidak bermakna mereka itu jumud sosial dan tidak tahu cara berinteraksi. Agama pun tidak menyuruh begitu. Tetapi umumnya pelajar yang menjaga batas-batas pergaulan ini tidak punya cara untuk mencari cinta.
Walhal lelaki tidak datang menggolek.
Perempuan tidak datang melayang.
Maka sudah tentu dalam keadaan yang jauh dari ibu bapa, tiada sanak saudara, dan mencegah diri dari bergaul sesuka hati, maka para senior yang menjadi rujukan kehidupan, dan terbukti berwibawa pada keluarganya yang telah lama dibina, adalah tempat yang baik untuk meminta bantuan.
Pada ‘orang tengah’ ini, sedikit sebanyak kriterianya diberitahu. Concern ibu bapa, bahawa anak jangan berkahwin dengan orang yang jauh-jauh misalnya, turut diberitahu, malah ada juga yang sekadar memberi syarat umum, “baik di pandangan akak dan abang, baiklah untuk saya, Insya Allah”.
Orang tengah yang dipilih atas sifat wibawa dan amanah yang ada, berperanan untuk memikirkan calon yang sesuai.
“Saya juga bertemu jodoh dengan cara ini, cikgu”, saya tersenyum.

Keluarga tidak pernah diketepikan
“Saya beritahu kepada sahabat saya, selepas lebih setahun saya tinggal di London, bahawa saya berhasrat untuk berumahtangga. Maka dengan serba sedikit pengetahuan sahabat saya ini tentang diri saya, dia berbincang dengan isterinya dan mencadangkan kepada saya satu dua calon, dengan cara yang sungguh sopan dan bermaruah”, saya memperincikan perbincangan.
“Begitu juga dengan calon di sebelah perempuan, saya diperkenalkan dengan cara yang cukup baik, memelihara emosi dan maruah diri dan segal-galanya terserah kepada saya dan dia untuk berkata YA atau TIDAK”, saya menyambung lagi.
“Tiada paksa-paksa?”, cikgu bertanya kepada saya.
“Tidak ada langsung unsur paksaan. Jika saya atau calon isteri tidak bersetuju, tidak ada sebab untuk tidak berkata TIDAK”, saya cuba meyakinkannya.
Sama ada namanya Unit Bait Muslim, atau sekadar seorang senior membantu atas kapasitinya sebagai individu, saya melihatnya sebagai medium yang baik dan sesuai dengan kehendak agama. Asalkan ia dilakukan dengan penuh integriti, amanah dan niat membantu kerana Allah. Agar Allah SWT tidak didurhakai dalam usaha mencari.
BERTUNANG
“Ustaz, berapa kali saya boleh sms tunang saya?”, tanya seorang pelajar.
“Berapa kali? Anta nak dalil Quran dan Hadith ke tentang jawapan berapa kali ana nak beri?”, saya sedikit terlopong.

Jangan sampai mahu bertanyakan saiz cincin tunang pun tidak tahu
Dalam usaha untuk menjaga batas-batas agama, kerana seorang tunang dengan tunangnya masih tetap warga asing yang ajnabi, kadang-kadang banyak persoalan pelik yang ditimbulkan.
Soal berapa kali agama membenarkan sms, menunjukkan unsur-unsur robotik dalam kefahaman pelajar tersebut tentang mengukur komitmennya dalam beragama.
“Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”, saya menyambung peringatan.
Mintalah fatwa dari hati… di samping hati itu juga pula sentiasa berada dalam nada sedar yang baik terhadap Allah SWT.
Antara hikmah bertunang ialah untuk saling belajar mengenal, insan baru yang bakal menjadi teman seumur hidup. Tetapi proses kenal mengenal itu masih dalam keadaan kedua-duanya adalah pasangan yang belum ada ikatan yang menghalalkan pergaulan. Maka bijak-bijaklah dalam mengatur.
Telefon, email, sms… tanya khabar.
Cuma bersederhanalah.
Bila hati rasa tidak kena, semacam agak berlebihan dan tersasar dari maksud-maksud yang maaruf, belajar tekan brek dan kawal stering. Itu sahaja.
Terutamanya ketika menjelang perkahwinan. Banyak perkara yang harus dibincangkan. Maka berbincanglah… dan kemaskan sistem kawalan diri.
Berbincang tentang syariatullah, berbincang tentang sunnatullah.
SYARIATULLAH
Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga, mesti berusaha melengkapkan dirinya tentang pengetahuan berkaitan hukum hakam yang sebelum ini mungkin kurang diberi perhatian. Khususnya bagi calon suami, anda bakal menjadi pengemudi rumahtangga nanti.
Hukum hakam tentang munakahat, jangan diabaikan. Bermula dari hal-hal yang berkaitan dengan akad nikah dan cerai fasakh, pengetahuan harus dikemaskinikan hingga kepada yang membabitkan lafaz ta’liq yang wujud dalam sistem akad nikah Malaysia, tetapi tidak di tempat lain.
Selain itu, hukum hakam berkaitan orang perempuan juga perlu ditambah.
Isu tentang haid, kitarannya, beza warna darah haid dan saki baki kotoran di akhir kitaran (stain) serta implikasi hukumnya, perlu diambil tahu oleh bakal suami.

Antara buku yang boleh dimanfaatkan
Malah baik juga ditambah pengetahuan tentang perkara yang sedikit advance seperti hukum hakam tentang kehamilan. Hukum ke atas seorang perempuan andai berlaku keguguran di awal tempoh mengandung dan selepas tempoh mengandung, beza antara nifas dan istihadhah dalam soal ini, adalah di antara isu-isu perlu diberi perhatian.
Di samping semua itu, soal yang paling penting adalah urusan berkaitan menyusun kelahiran. Apakah ia dibenarkan oleh Islam, di mana keperluannya, apa beza antara sistematika kelahiran dengan menghadkan jumlah anak.
“Hal ini jangan dibincang sebagai bahan akademik, sebaliknya kalian harus mengambilnya sebagai subjek praktikal kehidupan berumahtangga. Bukan lagi untuk lulus periksa”, saya menyedarkan peserta dari lamunan.
“Isu mengawal kehamilan, maafkan saya jika saya katakan, sering berlaku kehamilan di luar perancangan. Kemudian ia mencetuskan pelbagai masalah di luar jangkaan dan semuanya berpunca dari keengganan kita berbincang. Saya tidak bimbangkan hukum syariatullah, tetapi tuntutan sunnatullah yang tidak dianalisa secara jelas”, perbincangan disambung.
SUNNATULLAH
Terutamanya bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga ketika masih belajar, keperluan untuk berbincang secara jelas tentang perancangan berkeluarga mesti dilakukan. Tanggungjawab utamanya ialah pada si lelaki.
“Mungkin bakal isteri tidak berani menimbulkan hal ini. Takut nanti ditempelak suami bahawa si isteri mahu menolak rezeki dan sebagainya. Maka suamilah yang sebaiknya mengusahakan perbincangan”, saya memberitahu.

“Apakah dalam keadaan masih belajar, atau lagi setahun nak final, atau bakal menempuh alam internship /housemanship, isteri bersedia untuk mengandung? Apa implikasinya? Apa pro dan kontranya… eloklah dibincangkan. Dan jika didapati mengandung pada situasi seperti ini terlalu berat untuk ditempuh, maka lanjutkan perbincangan kepada kaedah yang ingin diguna pakai untuk mencegah kehamilan. Ia boleh dicegah dari pihak lelaki juga di pihak perempuan”, saya meneruskan penjelasan.
“Maafkan saya untuk bercakap tentang hal ini, ya”, saya meminta izin. Nampak sebahagian peserta seperti tersipu-sipu.
Sedikit sebanyak trend MELUCAHKAN SEKS (yang juga trend popular di kalangan penceramah kursus pra perkahwinan), menjadikan kita susah untuk bercakap secara terbuka tentang hal-hal seperti ini. Kesan enggan berbicara, kita dedahkan diri kepada kesusahan yang tidak perlu.
“Cara yang mungkin lebih efektif, tiada kesan sampingan yang ketara ialah dengan menggunakan kondom. Tetapi kesan penggunaan kondom kepada apa yang diinginkan oleh seorang lelaki, perlulah difikirkan. Sebagai persediaan mental”, senang saya bercakap sejelas ini.
“Penggunaan kondom untuk mencegah kehamilan dalam tempoh tertentu, mungkin lebih sejahtera berbanding dengan kaedah ‘Azl, iaitu suami melepaskan air maninya di luar faraj ketika mencapai kemuncak. Ia mungkin kaedah yang memberikan kesan emosi yang negatif terhadap lelaki malah perempuan. Saya tidak bermaksud mahu memberikan preference antara yang mana, terpulang. Point utama saya ialah, berbincang!”, saya membuat penegasan.

“Andaikata pencegahan mahu dilakukan di pihak isteri, maka pilihan-pilihan yang ada boleh dibincangkan. Penggunaan pil mencegah kehamilan, coil (intra-uterine device), contraceptive injection, contraceptive implants, contraceptive patch (Evra), adalah di antara teknik yang ada. Kesan sampingannya juga mesti diambil kira, termasuk kegemukan yang boleh berlaku ke atas isteri akibat menggunakannya”, saya memesan.
Sepatutnya saya tidak perlu bercakap tentang hal ini kepada peserta kerana sebahagian besar mereka adalah pelajar perubatan.
Namun apa yang ingin saya tegaskan ialah keperluan mengadakan perbincangan.
Saya sedih melihat pelajar yang berkahwin, terutamanya semasa belajar, apabila mereka dikejutkan dengan berita kehamilan isteri dalam keadaan tidak mempunyai kesediaan mental, lantas mencetuskan pelbagai masalah. Bermula dari stress dan kemurungan, hinggalah membawa kepada masalah kewangan yang serius lagi menjejaskan pelajaran.
Kewangan
Bertitik tolak dari isu tersebut, keperluan mengadakan perbincangan tentang peraturan-peraturan kewangan, wajar dibincangkan sesama bakal suami dan bakal isteri yang bakal mendirikan rumahtangga.
Terutamanya beban di pihak lelaki yang terpaksa menyediakan belanja yang besar dalam urusan perkahwinan. Bincanglah dengan baik untuk berpakat dan mencari penyelesaian. Jika bakal suami mahu dibantu, berpakatlah secara baik dan jaga maruahnya dengan tidak mengaibkan ketidakmampuannya mencapai ketetapan yang diputuskan.
Mengumpul…
Meminjam…
Lakukan dengan berhemah dan bijaksana.
Buku-buku dan panduan oleh Azizi Ali, sangat baik untuk dimanfaatkan.
Komunikasi
“Kebimbangan saya lebih bertumpu kepada peraturan komunikasi antara bakal suami dan isteri. Jangan lupa menumpukan perhatian kepada mempelajari kaedah memahami nature lelaki dan perempuan. Dan saya yakin anda semua sudah tahu, buku apa yang ingin saya cadangkan. Betul tak?”, saya bertanya.
Peserta PUISI 2007 ketawa.
“Saya tidak pernah berasa malu untuk menggesa pasangan yang mahu berumahtangga untuk membaca dan mempraktikkan isi kandungan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray. Saya tidak rasa susut keIslaman diri ini untuk mencadangkan antum membacanya kerana ia adalah panduan sunnatullah, pada mengetahui kaedah berfikir dan berkomunikasi antara suami dan isteri”, saya menyambung.

“Percayalah, sebahagian besar dari pergaduhan dan krisis rumahtangga, berpunca dari masalah komunikasi. Isteri yang kuat berleter, dan suami yang lebih suka membatukan diri, sudah cukup untuk menyalakan neraka yang bakal membinasakan baiti jannati yang dibina itu. Jangan lupa baca artikel saya, CINTA ANTARA PLANET“, saya menyelesaikan topik ini.
DARI IDEALISTIK MENUJU REALISTIK

Akhirnya, jangan lupa untuk berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari perkahwinan. Jangan pula tiba-tiba pengantin lelaki bersilat pulut menentang pelamin, kerana tidak berbincang dengan baik untuk persediaan diri. Semuanya telah saya perkatakan di dalam artikel BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT.
Selamat melangkah ke alam perkahwinan…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
#4. Muslim Rumahtangga dan Keluarga – Siri I (Di Ambang Perkahwinan) >> BACA DI SINI
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor
- Nikah itu Ibadah, Bersedialah! « B e r j a l a n
- Nikah itu Ibadah, Bersedialah! « Karisma Melaka
- Menjadi Muslim! « Karisma Melaka
- Truth Has A Way : Ad-Dunya Dhilun Zailun :: Secawan Kopi Di Awal Tahun :: January :: 2008
- Saya Mesti Muslim Dari Segi Rumahtangga dan Keluarga « Satria Islam
- Dua Perkara (Part 2) « i luv to write!!
- Pahit Manis Alam Pertunangan « Baiti Jannati Lillahi Rabbi
- » Pahit Manis Alam Pertunangan Farha’s Blog
- Truth Has A Way » Secawan Kopi Di Awal Tahun








































about 2 years ago
assalamualaikum ustaz, buku apa yang ustaz syorkan untuk dibaca untuk merancang dan menyediakan diri ke alam perkahwinan for both women and men. terima kasih
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
wsalam wbt ayeni… di dalam artikel di atas, saya ada mencadangkan at least tiga buku…
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Benar kata ustaz tu, pencapaian akademik mahupun ketinggian ilmu tidak memberi apa2 erti jika komunikasi lemah. Syabas ustaz kerana penyampaian yang “direct to the point”. Generasi sekarang ni tak berapa faham bahasa kiasan dan beralas. Akhirnya mereka langsung tak ada idea apa yang kita nak sampaikan.
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Betul Kak Ija… banyak benda kena sebut sampai habis. Kalau kias-kias nanti kita juga yang frust…
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Apakah umur yg sesuai utk berkahwin??
Saya pun tak pasti, tapi saya rasa kita kena balancekan dengan kerjaya atau pelajaran kita.
Kalau baru di awal tahun pengajian, seelok2nya biarlah dihabiskan pelajaran kita dahulu. Kalau masih takde pasangan, boleh lah dibanyakkan bersabar dan jangan terikut2 dgn peer pressure jika ada.
Kalau sudah ada pasangan, jgnlah lama2 berkawan. Saya rasa maksimum 2 tahun sudah memadai.
Saya rasa umur yg sesuai utk berkahwin adalah sekitar 25 tahun ke atas.
Bagi mereka yg ingin berkahwin ketika belajar atau housemanship, saya rasa tak rugi dan tidak salah jikalau anda merancang kehamilan. Paling lewat pun umur anda pada ketika itu lebih kurang 26 tahun. Jika anda takut dgn side effect of contraception pill, anda blh menggunakan barrier seperti condom.
Bukan bermakna jika anda merancang kehamilan, anda menolak rezeki.
Sekadar pandangan..
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
salam..
apesal makin saye bace artikel2 ustaz makin saye pening kepale???
hehe… =)
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
ustaz, lbih muda,sebaya atau lbh tua??
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Satu lagi artikel tentang perkahwinan yang mententeramkan gelojak jiwa remaja saya…Syukran
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
another nicely written article, ustaz.
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
satu alternatif yg bgus sdh ustaz terangkan..=)
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
saya juga menyarankan membaca buku Men are from mars and women are form venus.Banyak manfaatnya,tapi hati-hati,diri anda pasti menjadi jiwang sedikit…hehehhe..
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Pelik YusMMU ni, saya masa baca buku tu takdala pulak terasa jiwang. Ni banyak sangat dengar lagu Amr Diab ni…apapun jangan lupa pulang cepat2 buku tu pada tuannya ye, tuannya nak buat revisi ni hehe.
Walaupun saya baru di peringkat khitbah, saya sudah mula merasakan memang keyword paling utama dalam hal-hal berkaitan kahwin ni adalah PERBINCANGAN. Dan dalam melaksanakan PERBINCANGAN ni pulak memang perlu kemahiran berkomunikasi dan memahami sunatullah komunikasi antara lelaki dan perempuan. Sebab kalau tak nanti kita akan bercakap, tetapi tidak berkomunikasi.
Buku Men Are From Mars, Women Are From Venus ni, pada saya kena baca berulangkali. Sebab kadang-kadang walaupun dah baca buku tu kita boleh melakukan kesilapan yang sudah dijelaskan dalam buku tu.
Nak kahwin ni bukan mudah, tapi tak bermakna juga perlu ditakuti macam Voldemort sampai nak sebut pasal kahwin pun tak mau
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Dulu masa kursus kahwin, fahamnya lain….bila dah kahwin dan ada dua anak, fahamnya lain…lebih baik.
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
assalamualaikum wbt..ustaz ,sy seorg lelaki berumur awal 20-an..sy meminati seorg gadis..bg sy die merupakan seorg yg tahu n mampu beragama..sy bukanlah jejaka idaman atau lelaki terakhir malaya yg mengiginkan wanita yg cukup sempurna…jauh juga dr layak utk melabel diri ini tahu n mampu beragama.xsume sy tahu danxsume sy mampu.ape yg sy mampu katakan sy sentiasa berminat utk meng’improvekn’kn diri yg lemah…InsyaAllah walaupun sedikit
Beginilah,gadis yg sy kenali ini dikacamata sy seorg yg baik n menjage batas2 pergaulan sebagai seorg muslimah..Jika dibandingkan dgn diri ini dgn perwatakannya cukup kontra la ustaz..
zaman skolah dlu penuh dgn cinta monyet yg xberkesudahan..sampai la ke alam universiti br sy cube btolkan diri ini dr sume cinta sgla monyet atupun gorila..alhamdulillah sy mampu elak diri dr terjebak dgn cinta2 keliru ini sebaik sja menempuh alam U..
sampai la 3rd year sy disini..sy berkenalan dgn si gadis yg sy maksudkan di awal tulisan sy..hubungan yg dibina atas dasar persahabatan ini mula melahirkan rse tertarik terhadap gadis tersebut..namun sy cube lawan sume itu,dgn harapan itu sume perasaan yg bersifat sementara atau cinta keliru..
Kami berjumpa seperti biase..tatkala lecture,atau usrah,atau program2 yg melibatkan pelajar2 malaysia di U sy..kadangkala kami kluar bersama2 rakan2 yg laen seperti makan di restoran etc..Begitu strict pegangan dirinya utk tidak kluar bersame sy melainkan ditemani rakan wanita lain.Sebelum masuk U sy kurang jugela menjage tatatertib dr segi pergaulan dan lebih dasyat tika cinta gorila.bersentuhan,berpegangan tgn sudah menjadi lumrah saat itu.Kekdg alpa bahawa Allah sentiasa melihat hamba2nya.
Slalu juga die manasihati sy dr byk segi..terutama dr segi agama.segi pergaulan misalnye,begitu hebat tempelaknye walupon dituturkan dgn care yg simple.namun mmg kena btg hidung sy,rse nk patah pon ade..
Hendak dijadikan cerita..keakraban kami disalah ertikan oleh rakan2 yg lain.mungkin xramai lelaki yg dilihat dgnnya bersembang apatah lagi lelaki melayu.ade yg berkata2 kami couple ..jd utk mengelak fitnah ini..die mencadangkan agar kami tidak terlalu akrab..harap benarla ayat yg sy tulis n xmenyimpang kepada maksud2 negatif..sy hormati decision tu,malah sy turut berusaha utk tidak “too in towards her” jika bersame..cthnye stdy group..Pemahaman sy terhadap decision die seperti ini:elak zina samada hati,penglihatan,percakapan atau perbuatan dan fitnah ini walaupon bole kata: takdir la kalo kena fitnah, sbab ade ke org nk kena fitnah?Tetapi ikhtiar kte yg menentukan takdir kte.btol kn ustaz?harap xsalah p’mahaman sy.so dlm konteks ini mungkin juge khabar angin ttg kami sebenarnye silap kami sendiri..tatkala die suarakan hal ini kpd sy nmpak kesungguhannya utk membetulkan keadaan..inisiatif nk btolkn keadaan dtg dr diri die..tersentak sy malah terharu
Yg masih lg go on,cme berbalas msg ataupon telefon walaupon sekejap xsampai 3minit dan utk msg ,xberjela2/bersambung..
Maafkan sy ustaz andaikata panjang tulisan sy ni..cume nk berkongsi cerite serta memberi gambaran selain mengajukan pertanyaan kpada ustaz
Soalannya,sy mahu meneruskan hubungan ini kepada level yg lebih advance(niat sy murni harap xsalah erti)..sebagai contoh bertunang..namun ilmu agama didada terase kurang jika dibanding dgn diri si gadis..tetapi pada masa yg same xmampu kehilangannya(andai kluarganya menjodohkn die dgn mane2 pemuda yg lebih baik dr sy)..
apakah pandangan ustaz?oh lupa sy nyatakan,si gadis tidak tahu menahu ttg niat murni ini..cme sy dok berfikir agak lame gk ttg niat ini memandangkan kami masih lagi blaja,dan keluarga ade mencadangkan sy supaya berfikir ttg kahwin slpas blaja..tetapi ingin sy nytakan bahwa niat ini bkn lahir dr hati yg penuh nafsu,mahu sijil halal dan sebagainya,cme sy mahu perhubungan sy ini diredhai Allah..InsyaAllah..maaf andai tulisan sy tergune p’kataan yg salah mahupun melencong maksudnye..hope ustaz bole komen ttg bgaimana utk menyalurkan niat ini(meminang) tanpa mengguris hati mana2 pihak berkenaan samada keluarga mahupun hati si gadis ? tq2 wsalam
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Bismillah…Ustaz,rugi pulak rasanya tak dapat baca buku2 yang ustaz cadangkan tu sebelum kahwin.Tapi rasanya belum lagi terlambat untuk saya menambah ilmu2 rumahtangga ni.Sebab bagi saya apa yang kita dapat seharian dalam hidup kita adalah pelajaran untuk hari esok dan akan datang.Bila saya baca buku tu nanti,saya boleh compare dengan apa yang telah saya lakukan sepanjang bergelar seorang isteri ni.Betul tak ustaz?
Syukran
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
salam..ust nak dptkn katne buku2 yg ust bgth tu..lbh2 lagi buku MEN ARE FROM MARS,WOMEN ARE FROM VENUS oleh John Gray.WS
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Ya Allah… spoon feeding sungguh. Takkanlah semuanye nak ustad bagitahu. Cari le buku tu kat MPH ke, merata2 ada. Macam mana le nak kawin kalau buat malas camni
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Nah download kat sini sekiranya anda terlalu malas nak menggerakkan kaki ke kedai-kedai buku berdekatan.
http://deansama.blogspot.com/2007/08/men-are-from-mars-women-are-from-venus.html
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Masya Allah…
Sabor sabor… buku tu memang ada dijual merata. Kat MPH definitely ada. Dan terima kasih Saifuddin dengan link yang diberikan tu…
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
terima kasih ustaz…artikel ini banyak membantu.
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Salamualaikum ustaz, syukran dgn hidangan yg bermenukan “Saya mesti muslim dari segi rumahtangga dan keluarga”..padat dgn nasihat dan penyelesaian..
Cuma ana rasa tidak brapa ‘cukup’, sbb topik ‘unit baitul muslim’ tlalu sdikit di bincangkan..
Oleh itu ana mohon pandangan dan nasihat ustaz kpd ‘kami’ yg masih lg ‘terikat’ mlalui unit baitul muslim ni.. Ini penting dlm memelihara fitnah yg boleh mjadi barah kpd ‘jamaah’..
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Salam,
Saya fikir perlu sebut juga hadis Nabi saw tentang baiknya seorang perempuan dikahwini kerana sifat penyayang dan kebolehannya melahirkan anak ramai. Saya sudah lupa hadis lengkap, mungkin Saifulislam boleh ingatkan.
Saya berpandangan isteri beragama yang dimaksudkan Rasulullah tidak boleh diukur dari segi jurusan ilmu atau bidang pengajian semasa di universiti, tetapi akhlaknya dan sejauh mana amalannya terhadap ilmu-ilmu syariat yang dipelajarinya walaupun sedikit, dan yang lebih penting hikmah yang diperolehinya setelah amalan dilakukan dengan ikhlas. Disiplin akademik di universiti tidak penting, dia mungkin pelajar sains tetapi luas pembacaannya tentang Syariah, atau mungkin sekolah setakat 3 bulan sahaja tetapi banyak belajar dan membaca tentang ilmu-ilmu Islam.
Saya secara peribadi pernah berjumpa dengan para ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ yang mata duitan, memandang rendah orang miskin, tetapi mulut hebat berceramah tentang Islam atau suruh orang mengerjakan solat.
Seorang perempuan pada zaman Nabi saw di Madinah hebat dari segi amalan-amalan lahiriah ibadat tetapi mulutnya suka menyakitkan hati-hati jiran, Nabi saw mengatakan nasib perempuan itu di neraka.
Nabi saw juga pernah sebut tentang pelacur pada masa Bani Israel yang dimasukkan syurga kerana ada belas kasihan terhadap anjing yang dahaga.
Kita perlu buat sedikit anjakan paradigma (atau lebih tepat kembali kepada paradigma Rasulullah saw itu sendiri) dalam menilai sifat agama pada perempuan yang hendak dicari sebagai isteri, dan menilai terlebih dahulu dari sudut hati atau batiniah sebelum lahiriah.
Ahmad Mokhzani Abdullah
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
Sekadar berkongsi puisi mengenai perkahwinan..
Erti Sebuah Perkahwinan
Perkahwinan..
Umpama sebuah pelayaran
Awalnya tenang
pertengahannya makin bergelombang
Dipukul badai dan ombak
tak mengenal masa dan keadaan
Hanya Nakhoda bijaksana bisa melabuhkan sauhnya
Di sebuah pelabuhan impian
Perkahwinan
Adalah sebuah kebahagiaan
Adalah sebuah kedamaian
Adalah sekelumit kenikmatan
Dari lautan kenikmatan di syurga yang dinantikan
Perkahwinan
Perlukan pengorbanan
Perlukan kesungguhan
Perlukan keyakinan
Perlukan persefahaman
Baru nanti panasnya bisa sampai ke petang
Perkahwinan
Adalah fitrah kemanusiaan
Adalah sunnah yang perlu dilaksanakan
Moga nanti akan wujud generasi ummah
Yang bakal mempertahankan
Keagungan dan kesucian
Deenul Islam
Abu Aslam
Bandar Baru Bangi
02/02/06
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
puisi nie enak bangett deh!!
saya suka.
Respond to this comment [with empathy]
about 2 years ago
salam…saya ada dload buku MEN FROM MARS,WOMEN FROM VENUS…kat esnips.com…kepada redhafillah…silalah cari kat situ…novel2 lain pon ade…
Respond to this comment [with empathy]
about 1 year ago
Betul ke waktu kita belajar susah kita nak handle rumahtangga?
Respond to this comment [with empathy]
about 1 year ago
Assalamualaikum,
Akak revise balik artikel nih sebab dah dengar semua rakaman “Maza
Ya’ni “. Pendekatan ustaz berbeza dari buku2 panduan perkahwinan mahupun buku pasangan idaman (suami idaman/isteri idaman). Mengidam le bila menghadapi realiti. Deretan hak2 masing dinyatakan, bagaikan checklist pula, realitinya tidak begitu. Marriage definitely a bed of roses.
Jadi ustaz tak perlulah garu kepala kerana ATN masuk cetakan ke 3. Manual Cinta Haraki nanti pun pasti lebih hebat. Akak doakan mesej yang cuba Ustaz dan Ummu Saif dapat dijiwai oleh setiap pembaca. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.
Respond to this comment [with empathy]
about 1 year ago
Ustaz, bapa saya melarang saya berkawan dengan lelaki yang tidak setaraf dengan saya. Kerana dia khuatir lelaki tersebut suka dan ingin mengahwini saya. Saya kerap selisih faham dengan ayah tentang perkara ini. Banyak kali saya bincang perkara ini dengan ayah, tapi ia berkahir dengan pergaduhan. Oleh itu, saya beralah dan ikut kata ayah. Perkara ini membuatkan saya berjauh hati dengan ayah. Saya suka berkawan dan tidak mengenal pangkat dan harta. Kini saya telah meningkat usia. Ada yang masuk meminang, ayah saya menolak, dengan alasan tidak setaraf. Bagaimana?
Respond to this comment [with empathy]
about 1 year ago
assalamualaikum,
sy bru melangkah ke alam universiti, dan byk dugaan serta cabaran yg perlu sy lalui sepanjang melangkah ke dunia baru ini,
ramai kawan2 sy yg bercouple, mmg cinta itu fitrah dan sering difikirkan oleh golongan remaja spt sy…mstila sbg remaja menginginkannya, tp sy tahu sy x bole wt mcm tu..sy bpegang dgn pendirian sy..bercinta slps kahwin, wpun ad yg meminati sy..dan sy jg ad perasaan yg sama..utk mengawal perasaan sy, sy hny anggap mereka sume spt kwn2 biasa..dan tiada layanan istimewa bg pemuda itu, tp dlm hati tetap resah dan terfikir bgmn pemuda itu akan tahu jika sy menyukainya jika tidak diberitahu dan mgkin pemuda itu dimiliki org lain ?? dn pd masa yg same nk elak dr terjebak dgn perkara yg terlarang ni?? dan walaupun dgn kahwin lah satu2nye care nk elak bnde ni..tp sy tahu x mgkin bg sy yg masih belajar utk kahwin seawl usia ni..mgkin stlh tamat belajar..tp sbg seorg yg akn berkahwin akan dtg..msti ingin mencari2 calon psgn hidupnya mulai skrg..tp bgaimn ingin berkenalan dgn seseorg itu tnpa melanggar syariat?
Respond to this comment [with empathy]