salman-nasaruddin.JPG
Foto: DSAI Blog

Pagi ini saya dikejutkan dengan sms dari teman, meminta saya datang bertemu dengan Ummu Salman yang amat mengharapkan kehadiran saya.

Muhammad Salman, satu-satunya putera beliau, telah ditimpa kemalangan langgar lari malam tadi lewat 10pm, tidak jauh dari rumahnya sendiri. Menurut pihak hospital yang merawatnya, Salman sudah berada di keadaan yang tiada jalan untuk berpatah pulang kepada kehidupan sebelumnya. Saya tergamam dan terasa betapa kuatnya kencang angin yang menguji Salman, juga bondanya yang baru beberapa bulan melepaskan Abu Salman kembali ke Rahmatullah.

Al-Marhum Datuk Nasaruddin Jalil, ayahanda Salman, adalah bekas setiausaha politik DSAI.

Syukurlah Ummu Saif sendiri berkelapangan. Saya mengajak Ummu Saif untuk turut sama ke PPUM kerana keadaan Salman memerlukan nasihat yang menggabungkan pengetahuan di dalam bidang agama, juga perubatan.

ISTISYARAH DAN ISTIKHARAH

Istisyarah antara keluarga Salman dengan pihak doktor berlangsung dalam keadaan yang tenang. Ummu Saif cuba membantu menterjemahkan keterangan doktor kepada Ummu Salman sekeluarga dengan bahasa yang lebih dekat kepada naluri seorang ibu, untuk melepaskan anaknya pergi kerana hakikatnya Salman sudah tiada di sisi.

Saya berkongsi pandangan yang sama, bahawa pada definisi agama dan perubatan, hakikatnya Salman telah kembali kepada yang Maha Esa.

Nasihat paling sukar yang pernah saya dan Ummu Saif lakukan, untuk membantu Ummu Salman sekeluarga membuat keputusan yang tiada lagi jalan untuk pandang belakang.

Istisyarah telah dilaksanakan, istikharah telah ditunaikan.

Tiada lagi keraguan, tiada lagi salur-salur mainan jiwa yang khuatirkan bisikan syaitan makhluk pembisik yang bermain-main dengan manusia andai berkalau-kalau…

Terkumat kamit mulut saya melafazkan Bismillah, lalu doktor mengarahkan jururawat untuk secara pasif memberhentikan pembekalan inotropes yang berfungsi mengaktifkan degupan jantung, biar pun tiada lagi nadi, kerana situasi ketika itu, hanya jantung dan buah pinggang yang terbantu olehnya tanpa ada lagi secebis harapan untuk Salman kembali ke pangkuan insan tersayang.

Kaedah pelepasan secara pasif itu, adalah satu-satunya pilihan yang ada. Dan tidak sampai sejam, Md. Salman Nasaruddin dilepaskan pergi… selama-lamanya.

Hamburan air mata mengiringi suratan takdir, bahawa anak muda berjiwa besar dalam tubuhnya yang kerdil itu, telah pergi dan tidakkan kembali.

Belasungkawa buat Ummu Salman sekeluarga. Semoga Allah mengurniakan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada anakanda Salman, serta segunung kesabaran buat keluarga yang ditinggalkan, dengan seribu keyakinan terhadap Qadha’ dan Qadar yang Esa, bahawa setiap yang berlaku, kebaikan jua yang ada di sebalik segalanya.

SALMAN YANG KUKENALI

Saya tidak memiliki banyak memori tentang Salman.

Kali pertama saya bertemu dengannya, adalah ketika menerima jemputan Ummu Salman untuk saya hadir ke rumahnya. Kehadiran untuk berkongsi pandangan tentang tujuan hidup, mencari makna berTuhan dalam kehidupan, khusus untuk Salman, adik beradiknya dan rakan-rakan mereka yang menempuh kehidupan semasa yang penuh cabaran. Perkongsian rasa dengan bahasa yang lebih dekat dengan remaja.

Diskusi yang ringan dan ringkas… namun kenangannya terkesan di hati saya dengan hati budinya yang luhur. Sopannya membekas di ingatan, cintanya kepada fotografi yang begitu membara, lensanya meneropong kehidupan hingga beroleh diploma dari Speos Photographic Institute di Paris. Itulah Salman, dalam lakaran memori singkat saya terhadapnya.

mdsalmannasaruddin-450.jpg
Foto: DSAI Blog

Hari ini, kepakaran Salman terguna pakai dalam membantu kempen pilihanraya DSAI, lensanya merakam detik-detik yang penting bagi sebuah Malaysia yang diimpikan semua. Namun anak muda ini pulang ke rahmatullah pada usia 24 tahun, begitu awal tetapi tidak pernah lewat pada takdir ketentuan-Nya. Salman pulang kepada asalnya dengan jiwa yang menyintai keadilan dan perjuangan ke arah Malaysia Baru.

Semoga adinda Salman tenang di sisi yang Esa. Sesungguhnya kematian yang begitu mengejut ini, terimalah ia sebagai kerehatan buat Salman dari kepenatan dunia yang amat perit cabarannya. Tuhan benar-benar sayangkan dia.

PELAJARAN BUAT KAMI

Oleh kerana saya masih terbeban dengan peperiksaan, saya dan Ummu Saif tidak dapat menunggu hingga jenazah selesai disempurnakan. Dengan izin Ummu Salman, kami beredar pulang lewat Asar petang tadi.

“Berat sungguh pengalaman kita hari ini”, saya bersuara lesu.

“Luar biasa… tetapi pengalaman yang amat berharga”, balas Ummu Saif.

Kaedah passive Euthanasia, persoalan kematian otak, prosedur berkaitan patologi dan urusan jenazah, menjadi pelajaran yang berharga buat kami, untuk kami belajar agar lebih dapat terus membantu, di masa-masa hadapan Insya Allah.

HAKIKAT KEHIDUPAN

Namun, apa yang lebih utama, adalah tazkirah buat diri untuk menyedari hakikat kehidupan.

Sesungguhnya kehidupan ini amat rapuh dan boleh sampai ke hujung jalan duniawinya dalam sekelip mata. Hakikat betapa hidup ini tidak sepanjang dan sekukuh yang disangka, seharusnya menjadikan kita semua lebih mudah maaf memaafi, lebih sayang menyayangi, lebih segera menunjukkan belas berbanding kemarahan dan kebencian, malah lebih menghargai setiap detik kehidupan untuk lebih memanfaatkannya di jalan yang makruf.

“Atas keyakinan kita bahawa Dia adalah Rabb yang memiliki segala yang ada dalam hidup ini, moga tersemai kesediaan jiwa bahawa kita semua adalah hamba yang bebas untuk diuji-Nya pada bila-bila masa, dan dengan apa jua cara, kerana segala-galanya tentang kita adalah milik Dia”, itu ucapan saya di dalam ceramah bersiri minggu lalu di Al-Nidaa’ yang turut sama dihadiri oleh Ummu Salman.

Tanpa ada yang menduga, itulah kebenaran paling pahit yang perlu diterima dengan sepenuh jiwa hamba oleh Ummu Salman sekeluarga, dan setiap insan yang mengenalinya.

Berat terasa, untuk bernafas dengan jiwa hamba…

Allahummaghfir lahu warhamhu, wa ‘aafihi wa’fu ‘anhu… ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace