Ulasan Tabiat 3: Utamakan Apa Yang Utama

April 5th, 2007 by Abu Saif 9:14 am | 5,739 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

KENYATAAN:

Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul The 7 Habit of Highly Effective People milik Franklin Covey yang cuba saya olah berdasarkan perspektif dan nilai Islam. Tujuannya adalah untuk menggalakkan masyarakat mengambil manfaat daripada buku-buku Self Help yang ada di pasaran untuk memperkemaskan persembahan Islam agar keberkesanannya berada di tahap semasa dan optimum. Ikuti lanjutan artikel ini melalui artikel-artikel di bawah kategori Revolusi Sikap, atau terus ke Pendahuluan, Habit 1, Habit 2, Habit 3, Habit 4, Habit 5, Habit 6 dan Habit 7 – ABU SAIF

“Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan” - Riwayat al-Bukhari

“Nak bawa apa ni ya?”, keluh si isteri. Dua beg besar sudah sendat berisi.

“Cukuplah tu. Kita bukannya nak pindah ke Dubai tu. Singgah sekejap sahaja. Masa saya mesyuarat nanti, awak pergilah beli baju baru”, marah si suami, melihat isterinya mengemas pakaian.

“Yang ini, nak bawakah?”, tanya si isteri sambil menunjukkan periuk nasik elektrik kecilnya.

“Lesung batu tak nak bawa? Alang-alang alat pembakar roti pun boleh juga awak angkut sekali!”, sindir si suami.

Tentunya amat membebankan, suatu perjalanan yang diberatkan oleh benda-benda yang kita tidak perlu. Bukanlah langsung tidak perlu, tetapi kalau tiada pun tidak menjejaskan apa-apa.

Kalau setakat mengidamkan nasi, cari sahaja kedai Asia yang berlambak di Dubai. Mengapa perlu diangkut periuk nasi untuk perjalanan 4 hari?

Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang ia tidak perlukan. Perjalanannya perlu ringan dan cepat. Apatah lagi semua yang ditinggalkan itu, ada kedapatan di destinasi yang hendak dituju.

gharibun.jpg

“Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan”

Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepadanya. Maka di dalam kembara ini, apakah yang anda pilih untuk dimasukkan di dalam beg anda?

PUT FIRST THINGS FIRST

Put First Things First adalah tabiat ketiga bagi manusia yang cemerlang. Iaitu manusia yang kalau berlari di trek perlumbaan, dia tiba segera dan sejahtera.

Bahasa Melayunya adalah Keutamaan.

Bahasa Arabnya adalah Aulawiyyat.

Dalam kehidupan ini, Put First Things First sangat bergantung kepada sistem nilai kita. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan.

Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz di dalam sebuah bekas.

Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar… malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Jika bekas itu adalah masa yang kita ada seharian, maka kita isikan ia dengan pasir, batu kecil dan akhirnya batu besar… malang sekali batu besar itu tidak semua dapat dimasukkan. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Bagaimana jika batu besar itu ialah melawat ibu di kampung yang tidak sihat? Bagaimana jika batu besar itu ialah Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah anak di sekolah? Bagaimana jika batu besar itu Solat Jemaah di Masjid, atau Usrah bulanan, atau ceramah agama, atau pemeriksaan kesihatan?

Batu besar mana yang bakal kita korbankan, jika tidak semua batu besar mampu masuk ke bekas masa yang ada?

Batu besar, batu kecil, pasir dan air!

Ya, jika bekas air dan masa diisi dengan Put First Things First, semua batu besar dapat dimasukkan. Pasir dan batu kecil mampu masuk dan mencelah. Malah air dapat juga diisi untuk memampatkannya.

Hidup kita dan masa yang ada, adalah seumpama bekas air. Mengisinya harus dengan batu besar sebelum batu kecil.

Apakah yang membesar dan mengecilkan batu itu?

Itulah NILAI.

Jika kita menganggap usrah dan solat berjemaah itu sebagai kurang bernilai, maka ia akan diwakilkan oleh batu kecil ke bekas masa.

Apa yang besar? Rancangan kegemaran di televisyen? Mencari aksesori kereta di setiap hujung minggu? Mengejar harga runtuh di pusat membeli belah?

Apa yang bernilai dalam hidup anda ini?

Penentuan nilai kita, adalah pada cara kita melihat kehidupan. World view…

WORLD VIEW

Tabiat kedua sudah mengajar kita supaya Begin with the End in Mind. Apakah hujung perjalanan hidup di dunia ini? Bagaimana melihat kehidupan dari pandangan Pencipta kehidupan?

Akhirat mengajar kita membuat penilaian terhadap setiap satu kebajikan dan kebaikan di dunia. Akhirat juga memberi amaran kepada kita terhadap setiap satu kejahatan dan dosa kedurhakaan.

Kerana itulah, perkara-perkara yang susah dan rumit dalam hidup ini, Nabi SAW kaitkan ia dengan Allah dan Akhirat.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, muliakan tetamu.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berbaiklah sesama jiran.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja.

Penat bekerja, terperangkap di dalam lautan kereta, kepala pening, anak-anak mohon masa bersama. Tiba-tiba pintu diketuk. Tetamu tiba mohon dilayan.

Bukan mudah…

Bukan berfaedah… jika nilai melayan tetamu hanya pada ukuran dunia yang tidak berhajatkannya.

Namun tetamu datang dengan jaminan Allah. Bahawa kehadiran mereka membawa kebaikan dan keberkatan. Tanpa iman kepada Allah dan Akhirat, tiada upaya untuk memaniskan wajah, mengajak masuk tetamu yang “˜dihantar Allah”™.

Jiran pun sama juga.

Mahu berkata-kata. Kata sahajalah apa yang ingin dikata. Tidak kering air liur, tidak bengkak gusi menanggung.

Tetapi nilai kata-kata besar bagi sebuah Akhirat. Ada kata jadi pahala, banyak kata jadi dosa. Yakin pada balasan Akhirat, menjadikan seorang warga dunia berhati-hati memilih kata. Nyatakan yang baik-baik, atau diam sahaja.

Diam mulut dari bercakap, diam tangan dari menyiar idea. Berbual, pilihlah bualan yang baik-baik. Membuka blog, pilihlah idea yang baik-baik, atau diam sahaja.

Semua ini bahasa sistem nilai manusia yang sudah sebati dalam dirinya tabiat Begin with the End in Mind.

KELESUAN MAJLIS ILMU

Ramai sahaja yang mengeluh kerana majlis ilmu kurang mendapat sambutan. Majlis lagu lebih makmur dan menerima kebanjiran serta tumpuan.

2746.JPG

Ada dua kemungkinan yang menjadikannya begitu. Sama ada sistem nilai manusia sudah rosak, atau majlis ilmu itu sendiri tidak punya nilai.

Manusia hari ini dipujuk agar melupakan Akhirat. Pujukan paling berkesan ialah pada menambah perisa kehidupan melalui HIBURAN. Hidup kita hari ini menjadi “hiburan centric“. Semua mesti ada unsur hiburan. Dari ringtone telefon hingga ke majlis agama, mesti ada unsur hiburan. Jika yang ditawar hanya makanan minda, maka bersedialah untuk ramai AJK dari peserta

Tetapi jangan semata-mata dipersalahkan hadirin. Tidak semestinya majlis ilmu mempunyai nilai setinggi nilai ilmu. Ilmu apa yang dibentangkan? Bagaimana ia dibentangkan?

Majlis ilmu juga perlu Put First Things First. Ketika orang ramai keliru dan sesat akibat sekularisma, jangan dikeluh jika tiada sambutan kepada majlis ilmu yang menentang Muktazilah. Dari satu sudut yang lain, ketika orang ramai terkapai-kapai mencari erti hubungan dirinya dengan Islam, jangan dikeluh jika mereka tidak terpanggil ke majlis yang menggesa mereka mengorbankan diri demi Islam. First Things First

Usrah yang asyik mengulang tajuk yang sama, majlis yang asyik berbalah topik yang sama, seminar yang mencari kesudahan kepada polemik yang memang tiada kesudahan, mungkin bersambut sekali dua, tetapi hilang sambutan apabila hilang keutamaan.

Maka pengendali majlis ilmu perlu musahabah dua dimensi. Dimensi sistem nilai hadirin dan yang keduanya dimensi nilai majlis ilmu itu sendiri. Jika semua produk di pasaran bermati-matian mengeluarkan belanja untuk pengiklanan yang mempengaruhi sistem nilai pembeli, berapa susah payah daie mengemas dan memperelokkan pakej Islam yang ditawarkannya?

Hambar, bosan, ceramah sekadar melepaskan batuk di tangga … macam tak ada harga!

Benda yang bernilai tinggi, juga akan berharga tinggi. Subjek yang tinggi nilai dan tinggi harga, akan menerima pengorbanan yang tinggi.

Apa batu besar dalam hidup anda? Atau anda selesa hidup dipenuhi pasir, habuk dan debu?

furqan23.JPG

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan. [Al-Furqan 25: 23]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Ulasan Tabiat 1: Pro Aktif Mulakan Dengan yang di Depan Cermin KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  2. Ulasan Tabiat 2: Bermula Langkah Dengan Akhir di Minda KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  3. Ulasan Tabiat 6: Sinergi Untuk 1+1=3 Malah Lebih KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  4. Ulasan Tabiat 5: Berusaha Untuk Memahami, Sebelum Difahami KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  5. Ulasan Tabiat 4: Berfikir Menang-menang Untuk Survival Dakwah KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...

Advertisement

19 comments

  1. shiha says:

    Asm ustaz… terima kasih, motivasi yg baik di pagi hari :) . Ayat dlm surah Al-Furqan tu, bagaimana agaknya kita nak tau bahawa amalan yg kita anggap baik itu, tapi sebenarnya tak bernilai di sisi Allah swt? Semoga Allah swt merahmati ustaz dan keluarga. Wasalam

  2. saifulislam says:

    Wsalam wbt Kak Shiha.

    Wah cepat betul respond ye. Baru setengah jam saya upload. Dalam hidup ini, kita buat apa yang Allah suruh, kita tinggal apa yang Allah larang, maka pasti apa yang kita buat dan tak buat, jadi bernilai di sisi Allah. Nilailah hidup ini dengan penilaian Pencipta hidup ini. Baru sejajar :)

    • abuhakimi says:

      @saifulislam,

      “buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Dia larang”, kalau tak silap saya ini adalah definisi TAKWA, macam yang saya belajar kat sekolah. betul ke? Maknanya, takwa itu adalah sistem penentu nilai.

  3. Kak Ija says:

    Assalamualaikum,
    Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ustaz, tak sangka hari ini dah dapat habit 3. Kira summer school lah ni, hari-hari ada kelas. Mungkin juga umat Islam ada masalah dengan Fiqh Awliyyat.
    Akak dah merangka-rangka juga cara nak mengislamkan 7 habit tu, tapi pengolahan ustaz lagi hebat. Bak kata generasi sekarang FU-YOH.
    Sudah selesai 3 habit sepatutnya telah memiliki kemenangan peribadi, tapi dalam Islam tiada istilah kemenangan peribadi. Sesiapa tidak sudi memberi tidak dapatlah menikmati pemberian di syurga.
    Terima kasih sekali lagi, kalau tidak kerana ustaz sudi berkongsi ilmu kenalah akak booked tiket kapalterbang untuk ber’PUISI’ di Ireland

  4. wafana says:

    salam. syukran kathira ustaz, terima kasih Allah :)
    dapat ilmu baru lagi harini. ilmu dah dapat, kesedaran dah ada.. hanya tinggal mujahadah dan tindakan pro aktif sahaja untuk melaksanakannya.

  5. BroHamzah JR says:

    Saya telah pun membaca buku Stephen tu, tapi huraian ust yang islamik lebih sesuai dengan kehidupan kita sebagai seorang muslim/ah. Saya nantikan habit yang seterusnya..

  6. LJ says:

    Salam dear Ustaz,

    Put first things first adakalanya memang tak terkejar waktu dibuatnya sebab terlalu banyak first things dalam kehidupan harian especially dalam usia yang 25-40 but the first things mula berkurangan dan lebih senang dikenal-pasti apabila usia menjangkau 40an iaitu apabila banyak urusan ‘telah dibereskan’( remind me of the 2nd tabiat.. begin with the end in mind )……pengalaman diri sendiri (akak kahwin masa belajar dan dapat anak di usia muda )…so imagine how busy my life was at that time coping with first things….. studying,learning more about Islam ( in the 80s zaman students giat berusrah ) ,taking care of family,raising children and career building.

  7. irshadian says:

    bagus artikel ustaz, saya ingat buku stephen covey tu macam bosan, rupanya dah baca dan paham baru best…sesuai untuk saya yang sedang berusaha membuat revolusi sikap. kupasan ustaz sangat mantap!! bittaufeeq wan najah

  8. irshadian says:

    ustaz, saya slalu print artikel ustaz untuk ayah saya baca….hehe dia org kampung yang takde internet

  9. ibnu_semail says:

    salam….artikel yg mantap!!insyallah segala urusan akan jadi mudah pa bila kita faham dan aplikasi konsep fiqh aulawiyat (”,)

  10. abu waseem says:

    assalamualaikum wbt..
    alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menemukan ana kepada website ini…
    first of all, ana ucapkan tahniah dan terima kasih di atas niat suci ustaz melancarkan website ini.. Sungguh pertama kali membacanya, ana merasakan diri ini amat kerdil dan hina. Diberi pelbagai peluang, namun masih buta dalam mengenal nikmat dan rahmat. Terima kasih di atas segala idea yang dilontarkan oleh ustaz dan ana amat mengagumi diri ustaz. insya allah kita berada di jalan yang satu.. ana nak minta izin ustaz agar segala khazanah ilmu dan artikel ustaz dapat ana print atau gunakan utk sebarang perkara ilmiah. boleh yer? terima kasih dan teruskan berjuang.. utk mengenali ana, ust bolehlah melawat di http://www.kamitaken.com salam ukhuwwah dari abu waseem @ muhamad lutfi lokman dari tanah haram. wassalam.

  11. diana_phg says:

    tak ada perkataan lain yang dapat saya ungkapkan. kalau tak buka blog nie dalam sehari, rasa tak lengkap. tapi baru2 nie saya tak dapat bukak blog nie di ofis, pastinya sebab Allah tak izinkan rasuah masa saya di ofis, ‘put first thing first’… tapi, rasa hilang penat bila melayari blog nie bila balik ke rumah… TERIMA KASIH USTAZ!

  12. muhammad says:

    salam ust… ana muhammad yg tnye soklan time ceramah nta kt msjid klcc ari 2… nta suruh ana rujuk pge nh.. tp ana stil tk phm cmne nk utamekan yg mne yg batu bsar sbb ana tgk sume besar sdgkn botol ana kcek je.. ntara batu besar yg ana ade:
    1-sediekn ilmu sunnatullah dan syariatullah
    2-prepare for rinal exam
    3-siapkan asgmnt
    4-sibuk dgn persatuan yg sllu je ade meeting

    harap ust bole tlg sy yg jahil sgt2 nh… tq

  13. Pak Din says:

    Salam tiga,

    1. Tidak saya nafikan bahawa Blog SIO yang kecil ini, mengandungi idea-dea yang BESAR. Lebih tidak dinafikan ialah setiap artikel mengandungi pesanan PENTING. Maka dalam mengejar yang BESAR dan PENTING, bagaimanakah kita belajar mendefinasikan yang UTAMA. Itulah kandungan artikel Ustaz ini, dengan ringkasan, “Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang ia tidak perlukan. …. Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepadaNya. …. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan.

    http://sharudin.com/?p=902

Leave a Reply