“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah”, itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.
Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.
Saya termenung.
Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.
Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.
Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.
SIMPANG KEHIDUPAN
Panjang likunya.
Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.
1993 saya tiba di Jordan.
“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?”, tanya bapa saudara saya.
Terkejut dengan pilihan yang saya buat.
Saya hanya tersenyum. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.
KEJUTAN
Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.
Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.
Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.
Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.
Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.
Bacaan al-Qurannya…
Kepimpinannya di dalam solat…
Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…
Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.
Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.
Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.
Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.
MINAT DAN KECENDERUNGAN
Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?
Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.
Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.
Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.
Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.
Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia”
Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.
Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.
KILANG MANUSIA TERCEMAR
Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.
Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!
BEGIN WITH THE END IN MIND
Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?
Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?
Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.
Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?
Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.
Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?
Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.
Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?
Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.
Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.
Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:
- Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
- Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
- Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
- Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
- Menjadi pengetua sekolah.
- Menjadi guru pada masa yang sama.
- Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
- Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
- Menjadi webmaster halaman web masjid.
- Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti
Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.
Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.
Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.
Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.
Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.
Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.
KEMAMPUAN
Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.
Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.
Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.
“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.
Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.
Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.
ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA
Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.
Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.
ALTERNATIF
Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.
Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!
Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

















Assalamu’alaikum
Saya memang bersetuju dengan pandangan dan penulisan anda. Memang arah masa depan tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Keluarga harusnya menunjukkan jalan jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui ini mungkin anak-anak punya gambaran tentang minta dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka akan suatu hari nanti akan buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka, tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan. Maka jika ia pegawai ekonomi, ilmunya tidak dimunafaatkan dalam perekonnmian kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi, kalau dia doktor, rawatannya hanya sekadar rawatan tiada lebih dari sekadar memberi ubat, jika dia imam maka dia hanya menjadi imam kala solat sahaja. Tidak lebih, mereka akan jadi jumud. Jika mereka punya panduan dan bimbingan atau rakan yang sama mungkin mereka akan menjadi minat dalam diri mereka sebagai option, kalau doktor, doktor yang benar, berjiwa bernaluri doktor yang merawat bukan yang memberi deskripsi ubat. Mungkin juga mereka akan menjadikan minat sebenar diri mereka sebagai aktiviti kedua mereka. Banyak sudah terlihat sekarang ini,,,,kalau tidak hidup dan jiwa mereka akan terbelenggu.
Parahnya masyarakat akan turut sama terpalit kerana umatnya yang terbelenggu. Mana mungkin umat Islam akan terus berjuang untuk mampir ke hadapan bersaing jaya dengan umat dunia yang lain.
Terima kasih
Benar sekali komen tuan… amat ketara kesan pekerjaan yang dilakukan dengan passion berbanding pekerjaan yang ada unsur paksaan
Salam Uztaz,
Isu paksaan ibu bapa ni terhadap bidang pengajian dan kerjaya anak2 ini memang telah lama berlaku. Rasanya mana-mana sahabat yang pernah berada di universiti pasti pernah bertemu dengan kes rakan-rakan yang ‘dipaksa’ masuk ke jurusan perubatan dan engineering. Kononnya kerana tradisi keluarga. Akibatnya bukan sedikit yang kandas ditengah jalan atau memberontak dengan pelbagai cara kerana tekanan perasaan.
Cuma kalau bidang perubatan or engineering, kalau dah grad, tak practice pun tak jadi masalah. Malah pernah saya dengar, pelajar kelas pertama kejuruteraan di salah sebuah universiti di KL yang berkerja sebagai pemandu teksi kerana minat, or lulusan doktor yang menjadi cikgu, even ada yg jadi surirumah. Masalah bg pengajian Islam, lagu kot mana pun, masyarakat ada persepsi bahawa semua lulusan pengajian Islam, automatik digelar sbg uztaz/uztazah dan dianggap mempunyai ‘maqam’ yg lebih tinggi dari org lain.
Lama tak dengar komen dari Perantau di Cape Town
Maqam ustaz dan ustazah tu agak mengujakan sesetengah pihak, tetapi ia tidak begitu membantu kehidupannya sebagai manusia biasa
salah satu usaha yang boleh dibuat oleh ibubapa adalah memperkenalkan tokoh agama dan bidang pengajiannya. Kadang-kadang kita fikir mereka dari bidang agama kerana kepetahannya tetapi sebaliknya. Contohnya, Prof Dr Yusof Othman, Prof Dr Sidek Baba, Prof Dr Siddiq Fadzil.
Benarlah kata ustaz, yang penting sikap dan akhlak. Sebenarnya akak kasihan kepada anak dan remaja lelaki, sukar benar mereka nak mencari uswah hasanah. Tolong jangan beritahu akak, Rasulullah kan ada? Dengan mengakui kelemahan dan ketidak sempatan akak, bolehkah media massa membantu memperkenalkan Baginda kepada bakal pelapis kepimpinan negara?
Malah, ketiadaan sampel ini jugalah menjadi sebab orang yang terlebih semangat hilang keyakinan kepada perjuangan-perjuangan yang ‘biasa’ dan mencari perjuangan luar biasa.
Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang tidak bernegara, lantas tiada sampel ini menjadikan sesetengah anak muda beralih kepada aliran satu lagi yang ada negara
Susahnya menguruskan realiti
Seronok bila ramai mereka yang bukan orang agama namun hidup beragama. Kesal bila ada orang agama yang amalannya seperti orang tak beragama. Mungkin faktor ‘paksaan’ tersebut membawa kepada kerosakan si anak dan mampu pula untuk merosakkan orang lain.
Moga kita semua terpelihara olehNya. Walau menjadi orang agama atau bukan, moga kita tetap beragama. Sorry ustaz tak boleh nak komen dan bagi pendapat lebih. Sedang berkemas nak balik Malaysia.
Doakan semua pun selamat dan berjalan lancar insyaAllah…
salam…
Satu isu yang boleh dikatakan simple untuk difikirkan secara sepintas lalu tetapi menjadi sukar untuk dilontarkan ketengah masyarakat..Buktinya ana!bila ustaz kemukakan idea ini bukan tidak bersetuju,tetapi tidak tahu komen tang mana…Benar dan tepat…Cuma,jika soal dalam melahirkan seorang yang “Agama” dan “Beragama” tidak dapat dibetulkan konsepnya…So harapannya pada para bakal Abi dan Ummi membetulkan hal ini…
p/s:pening dua-tiga hari ini ustaz…=)
Salam.
Tersentuh saya membaca tulisan Ustaz. Dahulu saya diminta oleh orang tua untuk memasuki kuliah undang-undang. Dalam jiwa memberontak, saya paksa diri saya untuk belajar dan akhirnya tamat.
Kini selepas grad, saya memilih haluan yang lain.
Kebetulan, entri saya di blog saya hari ini ada catatan mengenainya.
http://www.afyan.com
salam ustaz, saya ada jugak dengar, orang kata kerjaya anak2 ni tak boleh nak paksa2, saya setuju!
tapi, seorang senior saya pernah cakap, memang mak ayah tak boleh paksa anak2 ke arah bidang yang mak ayah nak(contoh;ulama’), tapi mak ayah boleh PUPUK minat anak2 tu sejak dari kecil, wujudkan suasana ke arah pembentukan untuk anak itu menjadi ulama’ sejak kecil,
main pointnya, mak ayah mesti dah ada target yang jelas untuk setiap anak2 sejak anak2 tu kecil, BUKAN bila tengok result anak2, baru nak fikir bidang apa yang sesuai untuk anak2…
yang silapnya sekarang ni,
apa yang saya TERKILAN sangat2, anak2 dapat result teruk UPSR, PMR, SPM, baru nak pergi hantar belajar agama, menjadi orang BERAGAMA, anak2 yang result elok2, pergi hantar jadi doktor, engineer dll,
kesannya,
yang ambik agama, orang yang memang tak memiliki kemampuan dan tak minat pun pada bidang agama, menjatuhkan imej orang beragama pulak…rasa dipaksa, tension, tak belajar betul2, pegang jawatan itu dan ini, walhal, ‘ahlikah mereka dalam tugasan itu?’
u/p; maaf kalau terkasar bahasa… doakan saya mampu bimbing anak2 saya dengan elok pada masa akan datang…
salam ustaz, kat shoutbox sudah tak boleh bagi comment ke?
wsalam ustaz. ana dah adjust semula shoutbox tu. sistem baru dia garang sangat. habis semua kena spam. ana dah reverse ke sistem lama
maaf ust, nak bertanya ttg sejarah ust sikit. mcm mana asalnya ust boleh ke ireland lpas tamat pengajian? selepas kahwin dengan Dr Muna ke?
Salam Ustaz,
I’m currently a final year Engineering student at a university overseas. My deepest passion ever since I was in high school was medicine. But my parents thought otherwise and insist that i do engineering instead. I have tried to convince them so many times before but to no avail. I finally gave in and taught myself to forget about my passion for medicine.
Its been 4 years now but my heart feel so…’sempit’. There are times when I want to retaliate. There are times when I feel so weak. There are even times when I just want to give up or do things halfheartedly. Engineering still feel so alien to me.
InsyaAllah I have another semester to go. I find it much harder now to motivate myself. I feel so strained. I’ve tried to look ahead, tried to find the slightest bit of motivation to keep me going.
What can I do to make this more bearable ustaz? I’ve tried to convince myself that Allah knows what is best for us even though we might not like them. What else should I do.
I seek your words of advice.
saya nak aje print and bagi ayah saya baca.
salam ustaz,
ape yang ustaz ketengahkan ni memang patut diberi perhatian.
Dari artikel:
Pengalaman saya sendiri banyak menyedarkan saya kembali hakikat ini.
sekarang terlantar jauh di bidang perubatan.Sedih kadang2 mengenangkan diri yang jauh dari impian sebenar.Zaman sekolah menengah yang penuh dengan tarbiah agama.Sentiasa dikelilingi nasihat adan tarbiah,sy kira kurang cukup tapi memadai untuk future undertaking kata orang.sampai2 habis SPM,rasa sayu meninggalkan sekolah.
Bimbang Tudung Labuh dan Hafazan Surah2 hilang dari dari.
Tamat SPM,sy nazar nak menghafaz satu juzuk Al-Quran bagi setiap A yang sy dapat.Alhamdullillah,dipermudahkan…
Saya perhatikan wajah kegembiraan mak dan abah bila suarakan hasrat hati.Saya memahami yang mereka sangat mengharapkan salah seorang permata hati menjadi penghafaz Al-Quran dan ahli dalam bidang agama.
Kesempatan berguru dalam Maahad Tahfiz hanya seketika bila saya dipanggil ke Kolaj Matrikulasi.Mak dan abah sering ingatkan saya supaya tidak melupakan hafazan.Habis M3x,rezeki sy diseberang laut.Tercampak jauh dari mak dan abah membuatkan saya sedikit lalai dalam urusan menghafaz.Ditambah kesibukan belajar Perubatan yang kadangkala menuntut masa dan perhatian,Al-Quran dan hafazan kian dipandang sepi.Bila balik ke Malaysia,mak selalu bertanya sejauh mana sudah hafazan saya.Saya cuma tersenyum.
Jujur saya katakan,hafazan saya x berganjak mana malah makin lupa.Silap saya sendiri.Tapi apa2 pun,seperti kata ustaz:Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.
Saya amat bersyukur akan pengalaman menghafaz dan perhatian dari mak dan ayah saya.Saya bukan ahli dalam bidang agama tapi sekurangnya pengalaman itu sedikit sebanyak menyedarkan saya yang dah lupa untuk kembali pada jalan yang betul.Bila ustaz menulis artikel ni:saya pun tanya diri sendiri:saya ni di mana lah ye?orang agama ke orang beragama..hehe.Insyaallah,sedang berusaha menjadi seorang ahli bidang profesional yang beragama.Insyaallah.
Ha,bila saya suarakan nak sambung bidang perubatan(alhamdulillah,ditawarkan biasiswa habis matrikulasi).Mak dan abah risau juga.Takut saya lupa nak menghafaz bila kesibukan melanda.Nampak gak la raut kecewa.Alhamdulillah,adik mengubat kesedihan mak dan abah nak tgok ada seorang penghafaz Al-Quran lahir dari keluarga saya.Adik masuk Maahad Tahfiz habis UPSR tahun lepas.Seribu kesyukuran juga saya panjatkan dalam hati.Al-maklumlah,saya sedar entah bila la saya mampu menghabiskan nazar hafazan saya,nak pula 30 juzuk.Wallahu’alam.Mudah-mudahan,diberi kemudahan saya menghadapi jalan ini.Amin
Salam semua…
Saya sangat bersetuju dengan pendapat ustaz berkenaan perkara ini… Saya suka mencari sebab mengapa ibu bapa bertindak demikian (terlalu berharap anak menjadi org agama)…
Berdasarkan pemerhatian singkat saya, golongan ibu bapa ini telah dilahirkan dalam dunia yang baru lepas penjajahan… Ilmu agama tidak tersebar dengan dengan menyeluruh untuk dikongsi dengan seluruh masyarakat… Apatah lagi ilmu sekular diterap dengan mendalam di sekolah2… Mereka tidak mahu anak2 mereka mengalami nasib yang sama dengan mereka atau orang yang satu zaman dengan mereka (tidak berpeluang mengenali agama dengan bebas dan mudah)…
Tetapi mereka sebenarnya tidak dapat membuang terapan sekular dalam fikiran mereka… Mereka mungkin menganggap orang sains itu bukan orang beragama… Mungkin pendapat saya salah tapi saya bukan berniat menyalahkan mereka ini… dan tidak dinafikan ada kewajaran kebimbangan ibu bapa untuk melepaskan anak belajar sains dan melepaskan pelajaran agama walaunpun sudah di peringkat pengajian tinggi…
Minta maaf kerana mengulas panjang… Akhir kata, kepada semua (termasuk diri kita sendiri)… Marilah kita jauhkan daripada menyalahkan sesiapa dengan kehidupan kita sekarang (apatah lagi orang tua kita sendiri)… Dengan akal dan fikiran yang dianugerahkan Allah kepada kita untuk memilih, jika kita pernah memilih untuk menuruti kehendak ibu bapa kita suatu masa dahulu, cubalah untuk melakukan yang terbaik demi mereka… Jika tidak mampu, berterus-teranglah setelah mencuba…
p/s: Sesungguhnya Islam itu syumul, merangkumi semua aspek dalam kehidupan. Marilah kita cuba amalkan Islam daripada bangun tidur hingga tidur kembali. Tidak lupa kepada ulama pewaris nabi, mari muliakan mereka.
salam ukhuwah..
teringat ketika berurusan dengan satu pejabat agama di negeri X, radio popular berkumandang mendendangkan lagu.. agak kuat dan jelas dan bukan IKIM..
aduhai… malu nak xplain kat mak yang ada sekali..
dia kata… arak dan air mana boleh bercampur..
hmm. orang agama yang beragama.. memang sukar dicari
wallahualam
Dari pengalaman belajar di SAR dan SMKA . Kebanyakkan bidang agama nie dianggap untuk mereka yang dianggap lemah akademik . Malah masa di SMKA kalau student yang cemerlang keputusan peperiksaan akan dinasihati berkali2 oleh sebahagian guru akademik untuk memilih jurusan sains @ perakaunan . Mindset mereka menganggap lulusan agama takde kerja selain ustaz / ustazah .
Kalau mengaji di SAR .. memang sudah biasa , kebanyakkan pelajar dihantar oleh ibubapa , bermasalah sama ada dalam bidang akademik @ akhlak yang mana mereka mengharap SAR mampu memgubah akhlak anak2 mereka . Bagi ibu bapa nie , tak pandai mengaji takpa asalkan mahu solat dan kemasjid , .
Memang ada juga sebahagian kecil yang bermasalah dari segi akhlak mampu berubah . Namun kecewa kerana masyarakat menganggap tempat2 sebegini penyelesaian kepada akhlak anak2 mereka . Boleh ana katakan 75 % yang dihantar ke SAR bermasalah dan tertinggal jauh dari segi akademik . Kalau anak dapat baik .. siapa yang nakkan SAR nie .
Ana juga mengalami situasi yang agak sama dgn ustaz.Peringkat awal dapat tawaran ke SBP,ikut hati memang nak pergi.Namun hasil pujukan keluarga ana ke SMKA, kemudian ke KISAS.Lepas SPM dapat tawaran buat bidang akauntan.Dilema lagi, tetapi keluarga serah kepada ana buat keputusan sendiri waktu itu. Mungkin peringkat awal ana belum boleh buat keputusan sendiri, bila agak dewasa keluarga sudah percaya ana mampu tentukan hala tuju. Ana naik form 6 walaupun tak glamour bagi sesetengah orang tambahan pula sudah ada ofer matrikulasi yg agak baik.Semasa form 6 barulah ana nekad untuk terus mendalami bidang agama sehinggalah dapat ke Mesir.Pilihan ana kali ini mendapat restu sepenuhnya dari ibubapa.Rupanya memang harapan mereka ana ke sana.
Kesimpulan : Ibu bapa tidak boleh memaksa .Mereka boleh mendorong minat kita sahaja. Peringkat awal kita masih mentah mungkin kita sendiri tidak tahu hala tuju, kebanyakannya hanya mengikut kawan atau mencari bidang-bidang yang glamour sahaja.Namun sampai masa kita sendiri dapat menentukannya. Cuma jangan terlalu lewat menentukan hala tuju, khuatir waktu itu kelayakan kita tidak lagi membolehkan kita memilih jalan kita mahu.
kadangkala berlaku jurang perbezaan yang berlaku antara orang bidang agama dengan orang bukan bidang agama. Mereka hanya dalam sekelompok masing-masing. Ini akan berlaku perpecahan dalam masyarakat. Adalah lebih baik berukhuwah dan berkrejasama sesama manusia kerana Islam itu bersaudara. masyarakat sama ada dalam bidang agama dan bukan dalam bidang agama akan bersatu padu memartabatkan agama Islam yang agung. Ilmu dan kemahiran dapat dikongsi bersama dalam memajukan umat islam
perhaps sama dengan politik,
menjadi politician tidak semestinya perlu memahami dan belajar sains politik walaupun mempunyainya adalah satu kelebihan.
belajar sains politik tidak semestinya menjadi seorang politician walaupun ia memberikan tambah nilai dan kredit yang berguna.
Moto sekolah menengah anak saya ‘the best in everyone’.
saya teruja dengan sistem pendidikan di Uk ni. Pendedahan kepada kerjaya/life bermula dari awal lagi
Teringat anak sulung – 12 tahun. sekejap nak jadi scientist, sekejap footballer (ini kes bila tahu footballer dapat million pound!), sekejap nak jadi zookeeper! dan adalah dua tiga lagi !!!
macam ustaz cakap saya selalu cakap kat anak saya boleh jadi apa pun bila besar nanti asalkan bermanfaat to all mankind and Islam allows.
si anak tanya lagi can muslim be footballer? saya cakap boleh asalkan pakaian yang betul-betul tutup aurat untuk lelaki (nak kena explain ke? ) dan jaga solat. simple expalanation!
saya rasa ada satu lagi kerjaya yang sangat mulia tapi dipandang remeh oleh masyarakat MELAYU iaitu berniaga. Sering terdengar ibu bapa mengeluh anaknya ‘terpaksa’ berniaga sebab tak ada kerja lain. anak yang berniaga keci-kecilan , pasar malam dan sebagainya. sampai nak pilih menantu pun – self employed ni faktor besar tau!!!
semoga mentaliti sempit ni dapat diubah. Apa pun kerjaya kita jadilah kita manusia beragama ….
ustaz ambik kat mane ye gambar-2 kartun t?.cantik la.
sedikit terkilan bila keluarga insist jemput ustaz utk baca doa selamat/tahlil etc rather than ambil peluang ni untuk anak-anak lelaki (dewasa) berlatih, walaupun majlis kecil-kecil sahaja. alasan: ustaz hafal, yang bukan ustaz ni kena baca dari buku.. hmm macam manalah nak lahirkan lebih ramai ‘protaz’ macam ni..
Wallalahuaklam, menurut pendapat ana yang daif ni, orang beragama ini adalah manusia yang dibekalkan ilmu agama dan orang agama ialah orang yang diamanahkan untuk berjuang untuk agama.
Kebanyakan komen di sini berkisarkan ‘kerjaya’.
Bagi pendapat ana, terlari sikit lah tujuan entry untuk membincangkan isu antara orang beragama dan orang agama.
Ustaz,
Satu persoalan yang adakala bermain di fikiran saya dan adakala membingungkan. Secara peribadi saya mempunyai kecenderungan agama yang kuat walaupun saya bersekolah harian dan belajar di IPT bukan berunsurkan Islam sepenuhnya. Sekiranya dibandingkan dengan beberapa sahabat dan saudara terdekat yang terdidik di seolah-sekolah agama malahan ada juga yang menjadi tahfiz(atas paksaan atau sebaliknya tetapi tidak menjadi). Pernah saya terfikir kenapa aku ni seolah-olah berminat mendalami agama walhal orang yang pernah bersekolah agama dan menjadi tahfiz pun tidak ‘kuat’ penghayatan agamanya berbanding saya.
Inilah yang adakala menyebabkan saya termenung melihat kecelaruan dan kepelikan yang timbul ni ustaz….ya mungkin bagi sesetengah orang ia adalah sesuatu yang lumrah tapi bagi saya ia adalah sesuatu yang pelik dan hairan…saya tiada jawapan untuk apa yang berlaku melainkan melihat perkembangan sahabat-sahabat dan saudara-saudara saya yang ‘belajar agama’ itu……harap menjadi sesuatu positif ataupun akan menyebabkan saya lagi bertambah bingung mungkin…hmm
Assalamualaikum
Izinkan saya memberikan cadangan pd saudara Ayman. Bachelor Degree hanya permulaan penerokaan ke bidang yg kita minati. Banyak peluang masih terbuka bagi saudara, walaupun tidak menjadi clinical doctor.
Contohnya banyak bidang berkaitan medical engineering semakin popular di kalangan pelajar Post Graduate Malaysian di UK/Eire. Saudara masih berpeluang memberi khidmat kpd manusia dengan penemuan bermanfaat samada penciptaan peralatan perubatan dan penyelamat mahupun teori baru dan alatbantu kesihatan/kehidupan berteknologi tinggi. Rakan saya contohnya sedang menerokai bidang research bionic eye.
Lihatlah apa yg kita perolehi secara positif. Semoga niat yg ikhlas untuk MEMBERI kerana Allah menemukan kita dengan erti kehidupan yang sebenar.
Maka begitulah ramainya sekarang ‘abid berbanding ‘alim kerana terlalu ramai orang agama berbanding orang yang beragama.
Salamualaikum…Penyelesaiannya macam mana ustaz?Adakah dengan anjuran bertalaqqi dengan ulama boleh menyelesaikan kemelut ini? Saya rasa semua pihak perlu memainkan peranan. Bermula dari institusi keluarga hinggalah kerajaan. Ibu bapa adalah acuan pertama dalam pembentukan anak agar cenderung dan minat terhadap Islam. Macam mana hendak mencetuskan semangat Islam sedangkan masih ramai di kalangan ibu bapa yang masih dangkal pengetahuan tentang hal ehwal fardhu ain.
Bila sudah ke tahap kritikal akhirnya mereka memaksa anak-anak memilih untuk menjadi orang agama sedangkan hati anak-anak masih kuat menganut akhlak ibu bapa. Lantas menghasilkan ustaz paksaan yang melemahkan institusi keagamaan. Adakah ustaz paksaan ini harus dipersalahkan 100% dengan terus-menerus menunding jari kepada mereka? Apakah peranan kita dalam mengubah kekalutan tersebut?
Sekiranya ada anak-anak yang pintar dan cerdas pemikiran mereka, adakah ibu bapa akan menghantar anak-anak ke maahad tahfiz untuk menghafal al-Quran dan menggalakkan mereka menjadi ilmuan islam? Biasanya anak-anak yang cerdas fikiran di hala tujukan kepada bidang profesional. Jadi doktor, jurutera, hakim, peguam dan lain-lain lagi. Manakala anak-anak yang tiada harapan dalam akademik terus disumbat ke sekolah-sekolah agama.
Satu lagi permasalahan, bila pelajar sekolah tahfiz yang cemerlang, mereka akan dihantar untuk belajar ilmu qiraat. Bukanlah saya cuba menidakkan peranan ilmu Qiraat, tetapi amat merugikan sekiranya seorang pelajar yang hafiz yang hafaz al-quran 30 juzuk, hanya belajar ilmu qiraat yang belum tentu menjadi faedah kepada masyarakat. Sepatutnya mereka belajar dalam bidang agama yang merangkumi ilmu-ilmu agama, aqidah, fiqh dan lain-lain lagi. Ilmu-ilmu inilah yang bakal memberi faedah yang besar kepada masyarakat.
Golongan yang belajar agama sering diperlekeh dan diperkecilkan oleh golongan yang memang sinis dengan Islam. Pernah semasa saya belajar di timur tengah, didatangai tetamu dari tanahair. Selepas duduk dalam majlis mereka terus memperkecil-kecilkan graduan agama dengan mengatakan mereka ini menadah sijil-sijil meminta kerja umpama menadah tempurung meminta makanan. Terbakar muka rasanya. Satu lagi sinis beliau, budak-budak belajar agama ni tak pandai berbahasa english dan lain-lain lagi.
Bagi saya mereka ini hanya pandai menunding jari kepada budak-budak belajar agama tanpa menyediakan apakah alternatif yang patut dipilih oleh mereka. Cadangkan dan bimbinglah mereka agar budak-budak belajar agama ini diterima dalam masyarakat. Sudahlah dicampak ke sekolah agama lantaran bodoh dalam akademik, di cerca-cerca pula kerana tidak ada standard dalam masyarakat.
Oleh demikian saya mengharapkan agar kita bersama-sama membimbing budak-budak yang belajar agama ini agar mereka berkeyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat. Cukuplah mereka dipaksa belajar agama, direndah-rendah tahap akademiknya maka kita sebagai masyarakat memandang sinis pula terhadap mereka. Masihkah kita sayang pada agama walau hanya bersimpati kepada pelajar agama?
“Bukanlah saya cuba menidakkan peranan ilmu Qiraat, tetapi amat merugikan sekiranya seorang pelajar yang hafiz yang hafaz al-quran 30 juzuk, hanya belajar ilmu qiraat yang belum tentu menjadi faedah kepada masyarakat.”
Bukanlah pula saya menegnepikan keutamaan menjadi ‘abid, tetapi yang sangat perlu ialah menjadi ‘abid yang mendahulukan ‘alim.
Dan jangan disekularkan keilmuan, ada Ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat, maka menjadi-jadilah bangga mereka yang belajar Agama,
Sedangkan yang diukur Allah nanti adalah iman dan takwanya pada mengenal keesaanNya (Tauhid).
Segala yang baik datang dari Allah, dan segala ilmu yang baik dan mendatangkan manfaat adalah Ilmu dari Allah, walaupun yang mengkajinya tak kenal Allah.
Allah mengatur perjalanan Alam ini dengan SunnahNya dan SunnahNya adalah cara kerja atau budaya Islam yang paling nyata dan haq.
Index 5
Assalamualaikum
Saya telah hadir ke ceramah Dato Hasan Ali , exco Agama negeri Selangor ke masjid bkt Indah di Ampang.
Beliau mengatakan bahawa tidak cukup pelajar yg apply utk sambung pengajian agama ke negara2 Timur tengah.
beliau berasa kesal dan beranggapan bahawa fenemona ini akan membuatkan selangor akan gagal produce ilmuan agama di masa hadapan.
saya sering terpikir , mengapa perlu kita hanya beri perhatian kpd pelajar2 lepasan SPM untuk menjadi ustaz dan golongan agama ?? bukan semua mereka itu ingin sambung belajar dgn passion …. dan bukan niat semua orang setelah kembali ke Malaysia untuk menggunakan ijazah yg mereka perolehi utk kebaikan umat Islam di Malaysia.
mungkin ramai yg sudah pasang niat untuk menjawat jawatan2 yang memberikan gaji yang lumayan beserta dgn elaun-elaun..
tetapi jika kerajaan selangor memberi peluang kepada orang yang ingin belajar kerana passion dan niat untuk membawa perubahan positif kepada umat Islam , maka mereka perlu hantar individu seperti ini untuk belajar.
orang yang belajar IT di universiti kerana tiada pilihan lain atau tanpa minat tidak akan sama dengan seorang yang hanya belajar IT melalui buku2 dan melalui internet tapi didasari dgn passion yang membara.
sudah pasti yang belajar dengan passion akan mempunyai kebolehan yg lebih tetapi mungkin pelajar yang ada ijazah itu lebih mudah utk dipanggil hadiri interview , kerana kita masih melihat ijazah untuk menentukan kemampuan individu.
tetapi dalam hal memilih orang agama ini , kita tidak perlu kisah mengenai pencapaian SPM nya… yang penting mereka kena belajar kerana cintakan Islam..
oleh itu , jika ada sesiapa yg sudah bekerja dan berumur untuk belajar agama ke luar negara , kerajaan selangor dan negeri2 lain harus mempertimbangkan perkara ini.
kerana tidak mungkin mereka nak membazir masa untuk belajar agama semata-mata jika niat mereka adalah untuk mendptkan wang dan jawatan.
salam
most important thing, orang belajar agama kene jaga akhlaq+pelakuan. segelintir (maybe ramai…) student syariah, fiqh, hadis, etc kat universiti tapi cara berpakaian, dating, bergayut dengan kekasih, solat xbrp jg, etc mcm x tahu hukum… camaner dakwah nak sampai…
orang beragama, alhamdullillah…sejuk mata memandang wlw bukan bakal ‘ustaz/ustzah’. bakal doc, engineer, arkitek, etc. apatah lagi orang agama yang beragama.. x kira siapa, kene ada prinsip yang kuat. yang penting, pendedahan agama. whether dari family, jamaah campus, etc.
bab keje, ibu bapa mmg xleh paksa, tapi blh guide+advise. tapi sekarang ada keadaan kita kene ‘paksakan diri’ cz keje payah nak dapat=) xsuka, tapi kene gak.. cmner tue??
setuju3..
sebab pelajar agama ni pandangan orang lain terhadapnya adalah lebih tinggi.. Kerana bukan sahaja kecemerlangannya dalam pelajaran tapi juga akhlak…
Saya amat arif dan ‘berpengalaman’…
Sangat susah.
[...] USUL dan FURU’, pun susah juga, kerana tasawwur tentang keduanya berbeza. Pandangan dari Orang Agama dan Orang Beragama adalah bebeza. Bagaimanapun kredit sepatutnya diberikan kepada tuanpunya forum Ust Zain kerana [...]
salam ustaz, artikel ini ada terjemahan dalam english tak?? suami saya ni menghadapi situasi seperti ini, kesudahannya anak yang dipaksa (2 orang) membenci beliau, tiada rasa hormat. saya pernah berbincang dengan berkenaan hal ini, kesudahannya saya pulak yang kena sembur. diharap artikel ini (inshaAllah) boleh sedikit sebanyak membantu beliau di masa hadapan, kerana suara isteri dalam culture suami saya ni “kurang didengar”. jazakallahu wa khayr ustaz atas perkongsian ini.
terima kasih..
hasil penulisan yg sgt baik..
byk manfaatnya..
semoga diberkati Illahi..
salam ustaz…inilah kali pertama sy menjenguk ke halaman ustaz…tahniah kpd ustaz kerna berjaya memaku sy di halaman ini. saya terus membaca dari artikel ke artikel yg ustaz tls..amat bermakna..and i think i have learn something very valuable..terima kasih..semoga usha murni ini berterusan..keep it up:)
pengisian yg bernas dan mantap.setuju 100% bidang agama bukan suatu destinasi terakhir bg mereka y kurang cemerlang dalam pelajaran.
mohon saya copy 1 perenggan,buat ingatan diri kelak.
shukran
salam.. saya bersetuju dengan pendapat ustaz..melalui pengalaman, saya mendapati sekolah agama(terutama agama rakyat) menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak2 mereka yang bermasalah.. seolah2 ini tempat terakhir untuk membentuk anak2 mereka.. tetapi masalah yang dihadapi oleh guru2 ialah kesukaran menangani anak2 ini kerana mereka lansung tidak berminat untuk belajar agama.
Bahkan kelakuan2 mereka boleh memburukkan nama baik sekolah agama dan memberi impak negatif kepada anak2 lain. pihak pentadbiran tidakdapat membuang anak2 yang bermasalah ini atas dasar tanggungjawab muslim terhadap saudaranya
salam…
artikel yang best…
tiada paksaan dalam kehidupan!
teruskan langkah selagi tidak keluar dari landasan agama yang betul….
Pada saya persepsi yang salah dlm masyarakat kita apabila nak berdakwah kena jadi pendakwah berkelayakkan dgn sijilnya, dengan kertas thesisnya…baru mendapat kepercayaan dan disanjung orang.
Saya memang bersetuju org beragama kena ada kelayakkan tapi kenapa tugas berdakwah ini hanya tugas ekskulsif orang beragama.
Kalau urusan berdakwah ini kita semaikan dalam setiap tingkah laku individu, walau apa sekalipun kerjaya mereka…hatta seorang drebar bas dan pencuci pinggan di restauran, saya rasa kesannya berbeza dr menjadi seorang yg ada agama dan beragama.
Kesan yang ketara dr sikap ini, bila orang biasa yang kononnya tak cukup agama ini atau tidak layak utk beragama, tidak lansung mahu memikul bebanan berdakwah dgn alasan, kita kan ada org beragama utk menerajui tugas2 seumpama ini. Maka makin terpisahlah antara org agama dan beragama.
Mungkin ada kekeliruan di antara memberi tazkirah peringatan vs mengajar ilmu teras. Untuk berdakwah memberi peringatan, menegur kesalahan dan saling mengambil tahu, itu tugas semua MUSLIM.
Tetapi kalau membabitkan hukum, fatwa dll, maka kertas2 sijil, diploma, ijazah dan sarjana itu merupakan bukti sandaran bahawa pemegangnya telah melalui satu proses khusus bagi mengendalikan proses mendapatkan hukum daripada nas.
Maka tidaklah kita nanti keliru antara peranan MUFTI vs DAI’E