Ukhuwwah Manusia Hamba

On 23/08/2008, in Diari Kembara - Jepun, Kampus, by Abu Saif | 6,153 views | Print Print | Email Email |


Membuat kesimpulan ukhuwwah di hadapan Imperial Palace, Tokyo

“Usrah bukan untuk berukhuwwah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terjalinnya ukhuwwah”, saya menyambung ceramah.

Ada sedikit unsur ‘blurred‘ kelihatan di wajah peserta.

“Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim. Menghasilkan manusia muslim”, saya melengkapkan huraian ini.

TARBIYAH ITU COACHING

Diskusi berlangsung ketika saya memperkatakan tentang subjek HIDUP UNTUK ISLAM. Ia adalah tapak untuk menegakkan prinsip dakwah.

Namun isunya adalah kemandulan dakwah. Bukan sahaja keberhasilannya dipersoalkan, malah daie dan mad’u sama-sama ditimpa kebosanan dengan dakwah stereotaip. Dakwah pudar dan satu hala, hingga menjadi selimut jemu.

Justeru saya cuba untuk menjelaskan perbezaan di antara preaching dan coaching. Sesungguhnya usrah sebagai salah satu gelanggang dakwah memerlukan kepada coaching dan bukannya preaching. Coaching itulah yang dinamakan sebagai TARBIYAH. Bila mana proses tarbiyah itu bersifat coaching, maka soal jawab dan kritis dalam memperkatakan topik-topik dakwah, adalah suatu kemestian.

Termasuk juga persoalan se’mudah’ UKHUWWAH


Summer Camp 2008 memproses manusia untuk dikembalikan kepada manusia… kerana Dia

UKHUWWAH YANG BUKAN UKHUWWAH

“Bagaimana kita mahu menghasilkan ukhuwwah?”, tanya salah seorang peserta.

“Soalnya, apakah kita boleh bezakan di antara ukhuwwah dan bukan ukhuwwah?”, saya cuba memprovok minda peserta.

“Apakah ada ukhuwwah yang bukan ukhuwwah?”, saya cuba untuk menjernihkan lagi soalan yang ditanya.

Peserta hening.

Sepi seketika.

Syukurnya, panas Ibaraki yang begitu membara mulai reda. Hujan turun membasahi malam kedua kami di Summer Camp 2008. Peserta dan penceramah selesa sedikit untuk berprogram.

Persoalan ukhuwwah yang bukan ukhuwwah ini saya timbulkan untuk membetulkan persepsi segelintir anak muda yang salah membaca makna ukhuwwah. Mereka keliru di antara ukhuwwah dengan taasub berkumpulan.


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]

Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain…  cukup dengan alasan iman.

Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika ia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut. Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.

Inilah yang harus kita perhatikan secara teliti. Tanpa mata yang tajam membaca kelakuan manusia, kita membuat evaluasi yang salah hingga mengambil sampel yang cacat untuk sesuatu yang tinggi setinggi ukhuwwah fillah. Terlalu mudah melabelkan kemesraan sebagai ukhuwwah.

Justeru, proses Tarbiyah seharusnya bertindak menyuntik elemen ukhuwwah yang terbentang luas bermula daripada sikap berlapang dada, hinggalah kepada upaya mengutamakan saudara mengatasi diri sendiri. Antara ‘salamatussadr‘ hingga ke ‘al-eetsaar ‘ala al-nafs‘. Lingkungannya harus luas seluas iman. Atas nama iman kepada Allah, title MUKMIN dan MUSLIM sudah cukup untuk membuka penerimaan kita terhadap sesiapa sahaja.

Akan tetapi, jika agenda Tarbiyah mencetuskan kemesraan hanya kepada sesama ahli kumpulan, kemudian dingin dan hambar dengan orang luar, maka ia adalah pseudo-ukhuwwah. Persaudaraan yang palsu. Persaudaraan yang meminjam keluasan Islam untuk berkhidmat kepada kesempitan agenda berkumpulan itu.

Suatu manipulasi yang cela.


Ukhuwwah merentas generasi

TABIAT BIASA

Tidakkah manusia sentiasa mengutamakan kawan sendiri dan lingkungan kebiasaannya?

Soalan ini mungkin timbul sedemikian rupa.

Tentu sahaja kita lebih mesra dengan kumpulan kita sendiri. Credit hour yang kita habiskan bersama rakan-rakan sepasukan, tentu sahaja menjadikan kita lebih mudah masuk dengan sahabat-sahabat yang kita sudah biasa. Itu naluri manusia.

Tetapi kemesraan itu harus mampu berkembang dan mendatangkan upaya untuk mereka bergaul, berhubung dan berinteraksi dengan orang lain juga. Tiada duo-personaliti. Mesra dengan teman, hambar dengan kenalan!

“Bagaimanakah ia boleh dihasilkan?”, satu soalan terbit menuntut perincian.

Saya menggemari suasana di dalam Summer Camp 2008 tempoh hari kerana peserta aktif berinteraksi. Lambakan soalan mereka amat ‘merehatkan’. Saya mampu berehat di dalam penat, apabila peserta memperlihatkan diri mereka memproses apa yang diperkata.

ELITISMA

“Proses Tarbiyah mestilah menjauhi elitisma. Iaitu suatu fenomena yang mengangkat keistimewaan diri di atas perbuatan memandang rendah terhadap orang lain”, itu jawapan saya selepas di’Haji Google’kan dengan soalan tersebut.

Sebuah kumpulan dakwah yang berjaya, harus mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan bulat hati terhadap seruan yang diperjuangkan. Jika sebuah kumpulan itu sentiasa berperasaan bahawa diri mereka bukanlah yang terbaik, cacat cela pada minda dan seruannya, maka golongan yang tiada keyakinan diri tidak mungkin dapat meyakinkan orang lain.

Akan tetapi, di sana ada garisan halus yang memisahkan keyakinan diri dan sombong meninggi diri. Keyakinan diri itu ialah pandangan yang positif terhadap kelebihan dan potensi diri, tanpa memandang rendah kepada orang lain. Manakala perbuatan meninggi diri (ego?) pula ialah pandangan yang ‘positif’ terhadap potensi diri, dengan memandang rendah kepada orang lain.

“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, tarbiyah rakan kita juga ada kelebihannya”, ayat yang muncul dari pandangan yang positif terhadap diri.

“Tarbiyah kita adalah yang terbaik, berbanding kumpulan mereka yang  kurang Tarbiyah!”, adalah ayat meninggi diri.

Ayat-ayat elitisma!

Elitisma atau exclusiveness dalam fikiran, gaya hidup dan pergaulan inilah penyumbang besar kepada rosaknya nilai ukhuwwah yang disemai melalui proses Tarbiyah. Ia mengongkong perasaan kumpulan yang dijangkiti, dengan keupayaan bergaul yang baik sesama sendiri tetapi tiada upaya yang sama tatkala berhubung dengan golongan yang datang dari luar lingkungan mereka.

Jangan tertipu dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.

Jangan menipu diri dengan ‘ukhuwwah’ sebegini.

Ia hanyalah taasub perkumpulan yang mengundang rugi.


Ukhuwwah harus ceria menceriakan

BENTENG SOMBONG DIRI

“Apa pula caranya untuk tidak sombong meninggi diri?”, soalan seterusnya menerjah diri.

Sombong diri itu memusnahkan. Ia mengalpakan dirinya dari hakikat siapa kita siapa Dia.

“Mampukah manusia yang sedar dirinya HAMBA, meninggi diri di hadapan Dia yang Maha Tinggi?”, itu sahaja jawapannya.

“Dan tidaklah Aku Ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka itu memperhambakan diri dengan beribadah kepada-Ku” [Al-Dhaariyaat 51:56]

Manusia yang sentiasa memikirkan akan tujuan hidupnya, akan sedar bahawa dirinya adalah seorang hamba. Manusia yang sentiasa memikirkan tujuan hidup di dalam dakwahnya, akan berdakwah dari seorang hamba kepada seorang hamba, merendahkan diri di hadapan DIA.

Ya Allah, hidupkanlah kami dengan kehidupan hamba…

Matikanlah kami dengan kematian hamba…

Masukkan kami ke Syurga-Mu bersama hamba-hamba-Mu yang Engkau redhai.

Semoga warga Summer Camp IPIJ 2008 terus subur ukhuwwah mereka, di mana sahaja, dengan sesiapa sahaja… kerana itulah jalan kesempurnaan IMAN.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Tafakur Seorang Hamba Konsert yang menggabungkan Usrah al-Firdaus Jordan dan Usrah al-Wadi Mesir,...
  2. Manusia Itu Yang Utama “Cadangan ustaz, elok kita peruntukkan satu malam untuk peserta membuat...
  3. Jumaat Menghadiahkan Ukhuwwah Bayram, Fatih dan Abu Saif Hari ini satu Jumaat yang...
  4. Jadilah Manusia Hebat “Macam mana ye ustaz? Susah apabila kita minat satu bidang...
  5. Manusia Berhubung Dengan Perasaan “Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz...

 

38 Responses to “Ukhuwwah Manusia Hamba”

  1. SangPelangi says:

    Antara ukhwah dan Assabiyah. Saya rasa, soalan ketika sesi bersoal jawab (santai) tempoh hari masih tidak berjawab.

    Kalau kita sudah bertoleransi (ingin berukhwah) dengan orang yang taasub dengan semangat assabiyah, semestinya tiada berkesudahan. Kerana memang sentiasa nak menang.

    Dan jawapan dari seorang sahabat, “Kena tengok juga, Ifan. Toleransi ni ada batasnya juga.” Saya tahu. Tapi, apakah tiada lagi cara yang lain, selain bertoleransi?

    Jadi, sampai bila kita harus mengalah? Dan saya teringin nak tahu, apakah strategi yang Rasulullah gunakan dalam memerangi semangat Assabiyah ketika zaman Jahiliyah dulu.

    Wallahualam.

    • SangPelangi says:

      err.. Harap komen saya ini, dapat dibaca dengan intonasi yang lemah lembut, ya? Hehe.. sebab bila baca balik tulisan saya ni, macam berbau “garang” pula. Haha..

    • Abu Saif says:

      Terima kasih Irfan atas early bird comment.

      Isu ini mungkin boleh dijawab dengan cadangan-cadangan ana di dalam artikel “THINK WIN-WIN” bahawa untuk menghasilkan win-win situation, ia tidak boleh berlaku secara bertepuk sebelah tangan.

      So, macam mana kalau kita nak win-win sedangkan regu kita win lose. Maka cadangan saya ialah kita bersikap proaktif, iaitu fokus kepada apa yang kita boleh buat. Apa yang kita boleh buat ialah KITA YANG HARUS KEKAL WIN-WIN. In other word, kalau orang tak berminat untuk win-win, kita jangan mengalah sebaliknya terus kekal positif. Kalau ada halangan, biar halangan itu berada bukan di pihak kita.

      Jika kita mahu berukhuwwah dengan orang yang tidak minat berukhuwwah, kita tak boleh paksa dia. Apa yang kita boleh buat ialah terus bersikap terbuka. Kalau ada halangan, biarlah halangan itu bukan di pihak kita.

      Wallahu a’lam

      • SangPelangi says:

        Sudah membaca Think Win-win tulisan ustaz.

        Sudah faham. Kita tak boleh kalah dan jangan biarkan regu menang sedangkan kita kalah. Biar apa pun yang terjadi, paling penting, teruskan kerja dan kekalkan win-win.

        Terima kasih.

  2. masniza says:

    salm..ustaz,..saya agak keliru membaca article ni..
    mungkin kurang ilmu..agak berat untuk saya faham dgn sebaiknya..waslm.

    • Abu Saif says:

      Wsalam wbt masniza.

      Saya menulis artikel ini dalam tempoh satu jam. Mudah-mudahan sahabat yang membacanya, janganlah membaca laju kurang dari satu jam. Take your time, baca perlahan-perlahan.

      Kalau ada yang kabur, nyatakan secara specific. Insya Allah saya cuba bantu ye. Terima kasih

  3. rohul says:

    Alhamdulillah, bestnya ukhwah sebegini. Malangnya ana tak pernah ketemu ukhwah sebegini

  4. Inda says:

    Bolehkah saya katakan yang perkara ‘ukhuwah yang bukan ukhuwah’ ini berlaku tanpa disedari?
    Saya tidak pernah terfikir idea sebegini, sehinggalah di’cerah’kan dalam program Summercamp baru-baru ini yang membuatkan saya banyak berfikir.

    Ukhuwah itu sangat indah dan best, dan memberi manfaat, tetapi jika benar apa yang saya fikirkan ‘ukhuwah yang bukan ukhuwah’ ini satu perkara yang berlaku tanpa kita sedari, bagaimana langkah pendedahan yang perlu diambil dari kedua-dua kelompok : yang berukhwah dan yang taasub berkumpulan ?

    Benar Ustaz, THINK WIN-WIN…

    Mungkin idea THINK WIN-WIN belum lagi dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, itu yang menyebabkan banyak lagi persoalan berkaitan ukhuwah ini. Saya rasakan perkara ini agak subjektif untuk dibentangkan di atas kertas sahaja, tanpa sebarang tindakan susulan.

    Harap tidak tersilap landasan ukhuwah

    PS : Dalam beberapa hari sahaja, Ustaz dah menyiapkan beberapa artikel mengenai kembara Ustaz di Jepun. Tidak sempat mengejar pun dengan diari sendiri..hehe. Ada berbual-bual dengan kenalan Ustaz di UK dulu, Abg Azlan ” Suka betul Ustaz ni menulis, balik-balik je terus ada artikel :) “. Tapi takpe, seronok membaca hasil penulisan Ustaz… :)

  5. cikgu_eya says:

    Kesimpulannya…

    adakah ukhwah yang bukan ukhwah merujuk kpd…

    1) ukhwah dgn sahabat yg sealiran dan satu usrah mantap
    2) ukhwah dgn kenalan yg bukan satu usrah kurang mantap (tak semantap sahabat satu usrah)

    dengan kata lain.. assabiyah…

    nak mengesannya ialah…

    tanya balik pada diri, adakah cara dan keterbukaan kita dengan seorg yang baru kenal (satu aqidah) sama dgn layanan kita terhadap sahabat kita yang dah lama kita rapat… huhu

    mmg pahit namun itu lah kenyataan…
    Pengamalan semangat assabiyah tanpa sedar

  6. ummusaif says:

    Mmg kita mudah ‘over’ dgn kumpulan dakwah. Perasaan yg mula2 datang bila kenal kumpulan dakwah, ialah kita rasa excited nk ajak org join sama. Kita mula bercerita pada sahabat handal, kenalan, classmates dan housemates akan keseronokan berukhuwwah dalam dakwah.

    Ada yg join sama dan ada yg tidak. Paling teruk, ada yg mula berseteru dgn kita bila tau kita join kump dakwah.

    Ada yg terus berukhuwwah dgn ikhlas tanpa sebarang prasangka. Namun ada juga yg menjauhkan diri dr mereka yg dahulunya rakan dan taulan akibat dr penerimaan mereka yg tidak seperti dijangka. Biasanya pemencilan dan kerenggangan berlaku disebabkan oleh pergeseran2 kecil yg berlaku di dlm kehidupan seharian sebagai contohnya bertembung hari usrah yg sama tetapi lain kump dakwah. Ada yg berpindah rumah hanya kerana ini. ‘Isolation’ sesama sendiri hanya menutup peluang dakwah terbuka.

    Bagi mereka yg faham erti dakwah sebenar, seharusnya kita tidak meninggalkan mereka, jauh sekali memulaukan mereka.
    Itulah ukhuwah sebenar yg tidak mengenal apa2.

    • munirah hishamshah says:

      saya setuju. apa y saya perhatikan, ke’over’an yang memelikkan ini juga menyebabkan orang2 yang baru nak ‘test water’ jadi takut…

      trying to convince who’s better than another most usually leads to confusion. samada secara halus atau terang-terangan.nobody’s most rightful.only Allah is perfect. and everybody knows that.

      bak kata ustaz,janganlah tertipu dan menipu.

      walaupun objektif terperinci manusia berbeza2, sesiapa yang memaknakan tugas ‘daie’ yang dia pikul pasti masih ada tujuan dan matlamat selari with one another..to bring ourselves closer to Allah. simple.

      so mmg saya pelik dgn pergeseran2 yang berlaku. yang biasanya nmpk childish.

      however, amidst all this confusion, i believe the policy is to be open but – y baik dijadikan teladan y buruk jdkan sempadan.

      39(az-zumar):18– who listen [closely] to all that is said, and follow the best of it; [for] it is they whom God has graced with His guidance, and it is they who are [truly] endowed with insight!

      **teringat kat ayat ni yang ustaz dah terang panjang lebar dalam artikel ‘seek 1st to understand then to be understood’

  7. [...] You could say it’s a halaqah (circle). By Allah swt.’s Qadr, there’s an article written by Ust. Hasrizal today which talks about an usrah amongst other things. Ok, to the actual [...]

  8. fahim says:

    Bestnyer bile nampak diri sendiri ada dalam gambar…
    Rasa semangat je nak terus bersama jemaah muslimin.
    Btw ustaz, ana masih menunggu reply email dari ustaz.
    Hmm…

    ????

  9. dream mujahidah says:

    Ukhuwwah hamba, adakah hanya boleh menjadi teori dari praktikal? sememangnya mendambakan ukhuwwah hamba. (monolog)

    namun mengapa kondisi tidak pernah seperti berkehendakkannya ?
    apakah seorang hamba di lokalitinya boleh lakukan?

    adakah memang ukhuwwah perlu dikategorikan, seusrah dengan bukan seusrah? layanan yang kelihatan sama tapi hakikatnya berbeza?

    serabut dengan teori dan praktikal..sukarnya menjadikan teori kepada praktikal.

    • Abu Saif says:

      ukhuwwah ini akan datang sendiri, apabila manusia kembali kepada sifatnya sebagai seorang hamba.

      suburkan jiwa hamba… eloklah pekerti dan budi.

      di mana ada kemahuan di situ ada jalan

  10. Sumaiyyah says:

    Salam ustaz,
    Sangat mendalam isi artikel ustaz..mmg kena sgt dgn diri ana yg mempunyai dua personaliti apabila berada di dalam usrah dan luar usrah..

    bukan kerana tidak mahu mengembangkan dakwah itu, tapi mungkin risau persekitaran mengalami “kejutan budaya” melihat sahsiah ana yang i’allah baru..mungkin kerana takut kehilangan “ahli dunia”..

    tapi i’allah kerana cintakan pada dakwah itu sendiri, ana akan cuba mengurangkan jurang antara personaliti ukhuwah ana di dalam dan luar usrah..

    mungkin kerana prinsip ana biar bertatih agar selari dengan objektif daripada berlari sehingga terbabas dari objektif..

    Komen ustaz?

  11. Abu Saif says:

    Terima kasih kepada semua yang menghadamkan artikel yang tidak popular ini :) Saya menghargainya

  12. pembaca says:

    salam ustaz..

    kesimpulan yang saya sendiri buat daripada artikel ustaz, ditambah dengan sedikit idea sendiri.

    jika satu program islamik itu dikatakan membentuk “ukhuwwah” di kalangan peserta, sepatutnya ia membawa maksud program ini telah membentuk peserta yang mampu “berukhuwwah” dengan sesiapa sahaja..

    boleh ke saya cakap macam ni?

  13. Putera says:

    Salam…
    Alhamdulillah, terima kasih banyak2 ustaz atas artikel yg sedikit sebnyk menjawab persoalan sy selama ni.

    Dulu saya bingung. Sy ingat menyertai kumpulan dakwah juga bermakna masuk satu dunia yang baru. Segala2nya perlu baru. Perlu mendampingi rakan yang sefikrah sahaja, rakan2 lama yg huha2 di buat derk atau ditinggalkan. Cara pertuturan, dari ‘saya awak’ kpd ‘ana enta/ti’ sahaja. Cara pemakaian, dari berbaju t-shirt ke jubah lengan panjang setiap masa. Sampaikan kadang2 study diabaikan atas sebab utamakan semangat ‘ukhuwwah’ utk bdakwah & berusrah. ya lah, ekoran semangat taasub berkumpulan jadikan sy bingung dibuatnya…

    Terima kasih ya ustaz

  14. orkid says:

    assalammualaikum…

    Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain… cukup dengan alasan iman.

    awesome!! =) penerangan yang mantap jelas dan terang

  15. shuhadaa says:

    Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain… cukup dengan alasan iman.

    Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika ia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut. Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.

    assalamualaikum.

    ustaz, sy agak confuse.selama ni sy faham yg dalam berjemaah kita kena melebihkan ahli jemaah kita berbanding org lain dlm berukhuwwah sbb kita bekerja bersama2 mereka. bila berjemaah, kita diikat dgn 1 lg ikatan,iaitu ikatan dlm dakwah selain drpd ikatan akidah.so kemesraan tu tdk dpt tdk akan jadi lebih berbnding kemesraan dgn outsiders.

    adakah apa yg sy faham ni sama mcm apa yg ustaz maksudkan dlm quote kat atas? sy mintak maaf klu silap tp selama ni macam tu lah yg saya faham.mohon penjelasan ustaz.syukran.

    • ummusaif says:

      Tujuan kita menjadi ahli kumpulan adalah utk bergerak di dalam saf yakni agar lebih tersusun dan bukannya ut berukhuwwah khusus dgn ahli kumpulan semata2.

      Seperti ayat di atas, setiap yg beriman adalah bersaudara, maka selagi kita beriman dgn Allah SWT, maka kita adalah bersaudara tidak mengenal, darjat, kumpulan, hirarki atau apa2. Dan tiada rules yg mengatakan sebab kita satu kumpulan maka kita KENA/MESTI rapat mesra atau lebihkan sesama ahli.

      Mmg apabila kita bersama dgn satu kumpulan, maka selalunya kemesraan itu secara automatiknya akan jadi lbh dpd yg lain kerana kesamaan fikrah, hati dan aktiviti2 yg lain tanpa sebarang pergeseran. Lantas hati mudah cenderung buat baik sesamanya. Namun, ini tidak bermaksud, hubungan yg mesra juga tidak blh dijalinkan dgn yg lain.

      Personally, saya merasakan hubungan yg lain juga blh didefinisikan dgn ukhuwwah kerana ukhuwwah itu adil dan saksama. Siapa yg berhak tetap diberikan haknya sebagai contohnya siapa yg melakukan kebaikan maka dia layak dibalas dengan kebaikan. Cumanya mungkin kadang2 disebabkan oleh tugas dan strategi kumpulan, batas2 keistimewaan diutamakan utk ahli kumpulan. Yg mana saya rasa, apa2 pun kalau blh mesti juga dilakukan secara adil tanpa mengenal apa2 atau mana2 perbezaan pandangan/kumpulan. Tipnya, mungkin kita blh luas kan ruang lingkup kehidupan kita agar tidak terhad kepada ahli sahaja. Cuba bergaul dgn lbh ramai org dari pelbagai kumpulan, kaum atau bangsa. Anda akan amazed dgn pelbagai bentuk ‘ukhuwwah’ yg blh terjalin. :)

      -ummusaif

      • shuhadaa says:

        Mungkin lepas ni saya perlu lebih opened dlm b’ukhuwwah dan ubah mind setting ttg konsep ukhuwwah sebenar yg ditekankan dlm ayat.dan yg paling penting memberikan hak ukhuwwah kpd sesiapa yg berhak menerimanya yg mungkin selama ni diabaikan.
        mungkin ia lagi mmbantu dlm meneruskan kerja dakwah.
        terima kasih byk2 pd ustaz atas pandangan dan respon yg diberi.

        • ummusaif says:

          Masih tidak terlambat utk ubah cara persepsi dan pemikiran. Bak kata ustaz, utk memudahkan cara..sentiasa letakkan rasa hamba di dalam diri dan buang rasa ego.

          Better late than never..

      • shuhadaa says:

        tak perasan pulak td rupa2nya ummu saif yg bagi respon.
        anyway terima kasih byk2 kak.

        ~looking forward for articles dari akak~=]

  16. Nafisah says:

    Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar

    Sekadar berkongsi pengalaman, ttg ukkhuwah…Ukkhuwah sesama muslim itu amat luas…Pengalaman di negara orang, kita malah dihargai oleh bangsa lain, lebih dari teman-teman dari negara sendiri…Selama observation saya kat sana, tarbiyah sgt memainkan peranan yang penting, sgt penting…Alhamdulillah, walaupun life quite tough di negara orang, InsyaAllah dengan ukkhuwah+tarbiyah…Allah mudahkan segalanya….Salam Ukkhuwah dan Selamat Mengikuti Gerbang Tarbiyah di Ramadhan Al-Mubarak tak lama lagi :)

  17. blackrose says:

    Salam ‘alayk..
    saya betul2 tertarik dengan artikel ni.
    ukhuwah yang kita phm sebelum ini amat sempit n tercerna dalam satu site shj.natijahnya ramai ahli usrah yang menjadi alien bila berhadapan dengan orang ramai yang bukan seusrah.

    dalam hal ini saya melihat inilah antara doktrin tarbiyah kita yang perlu di ubah.untuk melahirkan win-win situation antara gerakan dakwah di Malaysia, doktrin kita bukan sapa yang lebih hebat @ ape kelemahan yang ada dalam gerakan lain, tetapi mcam mana setiap ahli gerakan yg berbeza kumpulanya dapat mengisi kelompangan yang ada dalam kumpulan lain

  18. hazwan says:

    ukhuwwah yg paling indah ialah kerana Allah. kan?

  19. soya says:

    jamaah itu barkah,dengan nama lain jemaah itu kumpulan yang menyatukan dan khususnya dalam gerak kerja pentarbiyyahan…ingin saya bertanya bagaimana ukhuwwah dan persefahaman dapat dibentuk jika berlaku pertembungan dua jamaah dalam satu kawasan?bagaimana sikap “jemaah aku paling baik,semua mesti ikut jamaah aku” dapat dikikis secara terbaik?

  20. hilfi leeds says:

    salam..
    sy rasa sy faham apa yg dimaksudkan dgn ukhuwwah berteraskan IMAN..
    mungkin pernah merasakannya bila sy dan sahabat2 lain ke Norway (main redah jer), spring yg lepas..
    di sana, kami terjumpa seorg rakan sebaya berasal dari Palestine..
    masyaAllah, layanannya, begitu luar biasa sekali..
    seolah2 sudah seumur hidup bersamanya..
    diberinya tmpt tidur kpd kami yg tidak dikenalinya, memberikan makan, melayan kerenah kami..
    mungkin kesan tarbiah Hammas kot.. huhu..
    5 hari 4 malam, buat kami terkenang nasib kami sekiranya tidak menemui seorg hamba Allah yg bernama Naji ni..

    • Abu Saif says:

      wsalam akhi hilfi.

      terima kasih di atas perkongsian.

      saya kurang pasti apakah ia kesan tarbiah Hamas atau sememangnya ia sudah menjadi ‘darah daging’ orang sebelah sana sebab saya juga selalu ketemu orang sebelah sana yang tiada kaitan dengan hamas, namun amat segar ukhuwwahnya dengan kita.

      moga boleh diteladani bersama

  21. KuliDakwah says:

    Hmm.. Erti kata ukhuwwah yang sebenarnya…

    Bagi ana bukan cuma perasaan mesra, tetapi mengandungi erti yang jauh lebih mendalam dari itu…

    Kata ukhuwwah bagi ana terangkum dalam kata-kata ini:

    Aku mencintaimu kerana Allah SWT… bermakna;
    semakin dalam cintamu kepada Allah semakin dalam pulalah cintaku kepadamu…
    andai engkau sudah tak lagi mencintai-Nya…
    maka tiada lagi cinta antara kita…

    Maka ukhuwwah tadi tak berdasarkan credit hour kita bersama, tetapi berdasarkan iman dan hubungan kepada Allah…

    Kita saling merapatkan jurang (alhujurat(49):10)
    Kita tak saling mengata (49:11)
    Kita berbaik sangka boleh jadi orang lain lebih baik dari kita (49:11)
    Kita tak saling memburukkan (49:11)
    Kita tak berburuk sangka (49:12)
    Kita tak menceritakan keburukan orang (49:12)

    Ia adalah ikatan atas dasar iman, rasa ingin mendekati, rasa ingin memberi, kerna mereka orang yang berbuat baik kepada Sang Maha Sempurna… Yang amat dicintai…

    Afwan kalau salah boleh betulkan…

  22. [...] Bacaan Tambahan : Ukhuwwah Manusia Hamba [...]

  23. assalamualaikum,ustaz..

    sy nak mintak izin untuk jadikan bahan ni sbg bahan rujukan tazkirah untuk dipublish dan diedarkan (percuma) kepada komuniti muslim malaysia di tempat sy (adelaide). boleh ke? sy akn sertakan sekali link post ni dalam list ‘rujukan’.

    wsalam

    • Abu Saif says:

      wsalam wbt.

      di bawah setiap artikel, saya sudah pun memberi kebenaran yang ditanya. mohon dirujuk ok

      © SAIFULISLAM.COM (1998 – 2008)

      Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

Leave a Reply