
Bergambar di hadapan Tokyo Eki (Stesyen Keretapi Tokyo)
“Ana ada sesuatu yang personal nak tanyakan kepada ustaz sebab ana rasa susah juga nak bincangkan hal ini dengan ustaz lain”, kata Hakim.
“Insya Allah, mana-mana yang ana boleh tolong, ana usahakan”, saya membuka laluan.
Suasana di stesyen Metro Tokyo tidak sibuk. Waktu pejabat, tidak memberi gambaran sebenar tentang kepadatan pengguna Metro di kota metropolitan Tokyo yang menampung penghuni melebih 12 juta orang.
Sambil berjalan di stesyen untuk menuju ke Masjid Tokyo, Hakim dan rakan-rakan yang lain mengambil setiap minit dan ruang untuk berbincang dengan saya. Pelbagai isu yang ditimbulkan. Biar pun tekak berasa kering dan wajah menjadi ‘comel’ kerana senaman mulut dan pipi yang tidak henti-henti, saya menghargainya kerana mahu setiap peluang dan ruang, terisi dengan baik.

Tokyo Ueno Station yang sangat sibuk
“Masalah saya berkaitan dengan pembacaan. Ustaz pun tahu kan yang saya suka baca buku yang macam mana”, beritahu Hakim kepada saya.
Saya mengangguk.
Saya suka berbual dengan Hakim kerana banyak subjek yang menjadi perhatian dan minat saya, turut sama menjadi bahan fikir dan bacaan Hakim. Buku-buku yang bersifat Current Affair, berlegar pada sekitar disiplin falsafah dan sains sosial, politik, sosiologi serta sejarah menjadi pilihan kami mencambahkan fikrah.
“Itulah masalah saya ustaz. Saya sangat berminat membaca buku-buku berkenaan dan gagal mengimbangkan keghairahan dan kepuasan saya semasa membaca buku-buku fikrah karangan ulama’ Islam”, Hakim menyelesaikan pembentangan masalah beliau.
“Apa yang anta rasa semasa membaca kitab-kitab tu?”, saya meminta penjelasan.
“Jemu, bosan dan tidak menjawab persoalan”, balas Ahmad jujur.
Saya terdiam.
Metro Chiyoda Line bergerak pantas. Seketika cuma, kami telah pun tiba ke stesyen Yoyogi-Uehara untuk ke Masjid Tokyo. Suasana di sekitar Jalan Inogashira amat mendamaikan. Tiada banyak kenderaan yang lalu lalang. Apa yang nyata, Tokyo memang sebuah bandar yang amat bersih lagi tersusun. Teringin sekali melihat Kuala Lumpur malah Mekah ada suasana sedemikian rupa.
KESAN KEJEMUAN
“Apa kesannya kejemuan anta tu kepada aktiviti seharian?”, saya menyoal Ahmad.
“Misalnya, ketika ana bawa usrah. Apabila nak bercakap tentang Tauhid Rububiyyah berdasarkan keterangan kitab-kitab yang kita sedia maklum, ana terasa bosan dan ia semacam tidak membina kepercayaan yang sepatutnya menjadi isi penting subjek Aqidah. Ahli usrah pun macam lesu sahaja mendengarnya. Tetapi apabila ana kembangkan Tauhid Rububiyyah itu melalui perbahasan mengenai sains dan sejarah, untuk menonjolkan kekuasaan dan takluk Allah ke atas sekalian alam, barulah ahli usrah seronok”, kata Hakim.
Saya tersenyum.
“Ada ahli usrah kata, kalau discussion macam ini, lima jam pun dia sanggup”, sambungnya lagi.
“Benarlah kata pepatah Arab, faaqidusy-syai’ laa yu’teeh. Anta yang tiada keseronokan tidak mungkin dapat menyeronokkan orang lain. Kejemuan sebenarnya berjangkit”, saya menambah.

Kelihatan sayup di belakang, Tokyo Tower
Apa yang Hakim alami, bukanlah sesuatu yang asing. Tatkala kita cuba mencari formula menyelesaikan keserabutan yang membelenggu ummah, ada kalanya kitab-kitab yang sudah diangkat menjadi silibus usrah dan Tarbiyah itu, seakan-akan hambar dan tidak berkhidmat ke arah matlamat.
Saya tidak segera memberikan komen. Kami terus sama-sama melangkah santai menuju ke Masjid Tokyo. Kebetulan sehari dua kebelakangan ini, Jepun disirami hujan yang meredakan kepanasan seminggu lalu. Terasa damai melangkah, biar pun sinar mentari tengah hari tegak di atas kepala.
SAYA JUGA JEMU
“Akhi… kalau itu masalah yang anta maksudkan, ana mahu anta tahu bahawa anta tidak sendirian”, saya memecah hening kami dari bicara.
Jika orang seperti Hakim, meluahkan rasa jemunya terhadap buku-buku fikrah yang menjadi teras Tarbiyah itu, sekurang-kurangnya beliau bebas untuk merasakan begitu. Bagaimana pula dengan saya? Apa kata orang kalau saya sendiri pun jemu dengan buku-buku yang telah pernah membentuk diri saya sendiri?

Kitab-kitab itu terus menjadi sebahagian daripada hidup saya sekeluarga
Kitab-kitab teras yang ada di dalam ‘perpustakaan’ saya masih terus dirujuk dari semasa ke semasa. Kitab seperti Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, Bidayah al-Mujtahid, malah kitab-kitab semasa seperti Fiqh Siyam oleh Sheikh Qaradhawi, atau Tafsir al-Munir oleh Sheikh Wahbah Zuhaili dan lain-lain, masih terus menjadi rujukan saya.
Kitab-kitab ini adalah seumpama manual, yang menjelaskan kepada saya alat-alat yang diperlukan untuk mencari jawapan. Kitab teras ini, bermula dari Ulum al-Quran kepada Ulum al-Hadith, hinggalah kepada Usul al-Fiqh dan Usul Aqidah, kesemuanya adalah ilmu alat yang terus segar dan sentiasa menjadi rujukan saya.
Akan tetapi kejemuan itu timbul, apabila saya cuba mencari penyelesaian ummah di dalam buku yang dikategorikan sebagai rujukan fikrah dan dakwah. Mengulang baca buku-buku yang suatu ketika menjadi bantal tidur saya selepas penat berusrah dan bertamrin menyusuri liku-liku Tarbiyah, tidak lagi menimbulkan ghairah seperti sebelumnya.
Mengapa?
FAKTOR BAHASA
Kejemuan mungkin timbul apabila Hakim atau sesiapa membaca buku melalui versi terjemahan. Lazimnya, terjemahan buku yang baik akan membekalkan kefahaman terhadap maksud asal buku, namun ia telah menghilangkan sentuhan bahasa penulis yang juga sebahagian daripada keistimewaan sebuah buku.
Ambil sahaja buku karangan Said Hawwa.
Membaca karangan-karangan beliau, bahasanya begitu lembut dan mendidik hingga tanpa sedar terasa seolah-olah diri ini disentuh beliau secara peribadi. Seakan-akan buku yang dibaca, dikarang oleh Said Hawwa khusus untuk diri ini.
Di satu peringkat, buku-buku Said Hawwa telah sangat mempengaruhi fikiran dan pendekatan saya. Pertengahan 90′an, ketika rancak di alam pengajian, saya telah merumuskan buku Said Hawwa kepada silibus pembangunan tsaqafah dan Tarbiyah bagi adik-adik di Universiti Mu’tah, dengan terasasnya Madrasah Said Hawwa.
Segala saranan Said Hawwa, khususnya di dalam kitab Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan telah saya jadikan sebagai modul. Banyak siri kuliah telah saya adakan di Mu’tah, khusus bagi mereka yang meminati diskusi ilmu dan sumbangsaran fikrah serta tsaqafah.
Semuanya kerana sentuhan yang begitu berbekas hasil saya mendampingi tulisan-tulisan al-Marhum Said Hawwa.
Akan tetapi, tatkala membaca karangan Said Hawwa yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu atau Inggeris, saya mungkin memahami maksud tulisan. Tetapi saya tidak akan dapat mengalami sentuhan peribadi kerana bahasa itu jambatan antara hati ke hati.
“Mungkin ini salah satu faktor yang penting untuk Hakim dan rakan-rakan lain fikirkan”, saya menokok tambah.
FAKTOR SEMASA
Namun bahasa bukan segala-galanya.
Impak utama sebuah buku masih berlegar pada soal utamanya iaitu ISI.
Ini mungkin menjadi salah satu daripada faktor terpenting yang menyebabkan pembaca gagal meraih kepuasan tatkala membaca sebuah buku. Termasuklah buku yang dikarang oleh ulama dan pejuang.
“Macam mana boleh terjadi begitu?”, tanya Hakim kepada saya.
“Expire date!”, saya memberikan reaksi.
“Ada expire date untuk buku?”, Hakim menyoal.
“Apabila pengolahan sebuah buku tidak lagi mampu menjawab persoalan. Ia tanda buku itu mungkin sudah melampaui masanya”, saya menjawab.
Lihat sahaja buku Apa Erti Saya Menggabungkan Diri Dengan Islam karangan Sheikh Fathi Yakan. Persoalan sebesar “SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH MILIK ISLAM” hanya diperkatakan sebanyak dua muka surat pada versi yang ada di tangan saya! Bagaimana mungkin persoalan sebesar itu mampu diungkapkan hanya dengan sepintas lalu begitu?

Peserta PUISI 2007 berterus terang!
“Ustaz menyebut tadi, kita mestilah meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam. Maafkan saya kerana saya tidak mempunyai keyakinan yang sama”, tegas salah seorang peserta PUISI 2007 di Ireland lama dulu.
Bravo! Tahniah saya ucapkan kepada peserta itu atas keberaniannya berterus terang. Sesungguhnya jika PUISI 2007 diisi dengan modul yang sekadar mensyarahkan buku MAZA YA’NI tersebut, apakah yang mampu saya syarahkan dari buku itu tentang soal masa depan milik Islam, jika Sheikh Fathi Yakan hanya mengungkapkannya di dalam dua muka surat buku bersaiz separuh A4 itu?
Inilah isu besarnya.
Sesungguhnya para nuqaba’ yang bergantung kepada buku MAZA YA’NI ini, jika tiada upaya untuk mengembangkan tajuk, akan berdepan dengan cabaran yang serius. Bagaimana untuk beliau menjustifikasikan masa depan adalah milik Islam? Memaksa sebuah keyakinan berbekalkan dua muka surat penjelasan Sheikh Fathi Yakan?
Saya yakin ahli usrah yang kritis akan ditimpa jemu dan lesu.
Justeru adakah kita mahu meletakkan kesalahan di atas bahu Sheikh Fathi Yakan?
MEMAHAMI KONTEKS
Di sinilah pentingnya kita memahami konteks. Memahami hubungkait di antara idea dengan masa. Jika kita gagal melakukannya, banyak idea akan hilang daya upaya. Hilang hubung kaitnya dengan realiti.
Kitab MAZA YA’NI dikarang oleh Sheikh Fathi Yakan di zaman ketika manusia jauh dari Islam. Zaman di mana untuk menjelaskan Islam sebagai suatu cara hidup pun, masih jauh dari kemudahan minda manusia ketika itu menggarapnya. Jauh sekalilah untuk bercakap tentang kepimpinan Islam terhadap kehidupan global.
Oleh yang demikian, sasaran utama kitab MAZA YA’NI adalah untuk menjelaskan kembali kesyumulan Islam sebagai suatu cara hidup, dan saya kira tindakan Sheikh Fathi Yakan memasukkan bab “SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH MILIK ISLAM” itu sebagai suatu idea yang melangkaui zaman! Ia suatu kelebihan.
Oleh kerana bab itu berdiri sebagai nilai tambah kepada kandungan asas buku MAZA YA’NI, maka saya kira dua muka surat sudah memadai untuk Sheikh Fathi Yakan jadikan medan beliau melontar idea ini. Perinciannya menyusul di dalam buku-buku yang lain, malah Sheikh Fathi Yakan selepas dekad yang berbilang, masih prolifik hingga ke hari ini, meneruskan mujahadah beliau menganalisa dan mengenengahkan solusi ummah.
MEMPOSITIFKAN KEJEMUAN
Kejemuan hanya terjadi apabila kita statik di dalam pembacaan. Kita hanya membaca apa yang ditulis, tetapi tidak peka kepada apa yang tidak dinyatakan di sebalik kata-kata.
“Sebab itu ana bangunkan modul PUISI 2007 khusus untuk mengolah kembali buku MAZA YA’NI. Buku itu menjemukan jika kita membacanya secara surface“, saya menyelesaikan diskusi bersama Hakim.
Kejemuan yang saya sendiri alami terhadap buku-buku seperti MAZA YA’NI itulah yang mendorong saya untuk menganalisa kembali khazanah ulama kita, dan memprosesnya untuk dibentangkan semula dengan nafas baru.
Lihat sahaja kata-kata Sheikh Fathi Yakan tentang Ibadah:

““Bahawa ibadah saya itu mestilah HIDUP serta BERHUBUNG dengan DIA YANG DISEMBAH (ALLAH)… dan inilah kedudukan IHSAN di dalam Ibadah”- Fathi Yakan
Perkataan ini adalah perkataan yang relevan di sepanjang zaman. Bahawa sesungguhnya tiada erti bagi ritual yang kita ulangi pada setiap hari, minggu, bulan atau tahun, jika ibadah tidak menghubungkan ‘abid dengan Ma’bud.
Ibadah itu harus hidup, bernyawa serta memikul erti dan makna.
Akan tetapi bagaimanakah pengolahan kita untuk memastikan proses menghayati dan mengusahakan ibadah yang hidup itu boleh terus dilakukan? Di sinilah perlunya kepada pengolahan semula, membawa huraian yang dekat dengan realiti dan tidak lari dari cabaran semasa.
Contoh terkecil yang mungkin boleh difikirkan bersama ialah mengubah pendekatan huraian kaedah solat di dalam kapal laut, kepada kaedah solat di dalam pesawat dan kereta! (Malang sekali, buku yang membahaskan tentang ini diharamkan pula oleh KDN baru-baru ini). Itu keperluan semasanya.
Dan solat harus memproses manusia menjadi hamba, untuk melihat Dia sebagai Tuhan.
PENYELESAIAN
Akhirnya kami tiba di Masid Tokyo. Perasaan syukur terasa membuak di dada melihat masjid tersegam indah tengah-tengah kota Tokyo. Saya berasa agak selesa untuk membayangkan Islam diketengahkan kepada masyarakat Tokyo oleh Muslim yang Turki.
Banyak kelebihan yang sudah menjadi darah daging orang Turki, bisa menjadikan Islam yang dipersembahkan kepada masyarakat Jepun itu, lebih baik, kemas dan berkualiti.
Kami solat Zohor bersama. Sebelum melangkah ke KEBAB YE!, kami berehat-rehat santai di perkarangan masjid menghilangkan lenguh kaki.

Selepas menjamu selera di Kebab Ye
“Habis, macam mana nak buat ya ustaz?”, tanya Hakim kepada saya.
“Hmm… ana underestimate soalan anta jika ana mendakwa ana tahu jawapannya. Tetapi sebagai langkah permulaan, kita harus berbalik kepada soal disiplin”, saya berkongsi pandangan.
DISIPLIN itu ialah keupayaan diri untuk terus melakukan perkara yang kita tidak suka, demi untuk mendapatkan apa yang kita suka suatu ketika nanti. Inilah kaedahnya.
Bersabarlah dengan kejemuan itu. Atasi ia dengan mata, telinga dan akal yang hipersensitif mengesan apa yang tidak disebut atau ditulis, dan gunakan hasil penemuan masing-masing untuk terus menyegarkan pembentangan Islam. Inilah inti pati TAJDID.
Dan, sesuatu yang hari ini berjaya mengubat kejemuan itu, pasti akan mengalami kejemuan suatu hari nanti kerana hukum alamnya begitu. Justeru, dalam apa sahaja topik Islam yang dikupas dan dibahaskan, jangan sekali-kali dipisahkan Islam dari proses berfikir dan elemen dinamik. Sesungguhnya inilah alat terpenting yang akan terus mengekalkan upaya Muslim bertindak balas dengan perubahan masa ke masa.
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar ? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” [Surah Al-Hajj 22: 46]
Celikkan mata hati demi menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat lagi menjemukan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor















Salam,
Lima konsep utama yang dipaparkan di artikel.
1. Ibadah itu harus hidup, bernyawa dan memikul erti dan makna.
2. Di sinilah pentingnya kita memahami konteks. Memahami hubungkait di antara idea dengan masa.
3. Persoalan sebesar “SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH MILIK ISLAM”
4. “Benarlah kata pepatah Arab, faaqidusy-syai’ laa yu’teeh. Anta yang tiada keseronokan tidak mungkin dapat menyeronokkan orang lain. Kejemuan sebenarnya berjangkit”, saya menambah.
5. Tetapi apabila ana kembangkan Tauhid Rububiyyah itu melalui perbahasan mengenai sains dan sejarah, untuk menonjolkan kekuasaan dan takluk Allah ke atas sekalian alam, barulah ahli usrah seronok…
Semuga kita sentiasa saintifik dan syariatik bersama Islam untuk bersamaNya.
Wsalam wbt.
Laju Pak Din komen. Terima kasih kerana memproses artikel ini. Lima point yang Pak Din ekstrak itu, semoga diteliti oleh setiap yang membacanya.
Lajunya saya adalah kerana tajuknya ” …. mata hati”.
Walaupun saya setuju dengan “Jadi, kebenaran tidak seluruhnya bisa diperoleh melalui indera dan akal. Ada juga kebenaran yang hanya mungkin bisa diperoleh dengan kata hati (inilah yang disebut moral oleh Kant) atau iman. Kata hati itu suatu perintah tanpa syarat yang ada dalam kesadaran manusia. Suatu perasaan yang tidak dapat dielakkan yang memerintah untuk berbuat sesuatu yang sesuai dengan keinginan universal, yakni hukum kewajaran yang universal. Manusia mengetahuinya tidak dengan memikirkannya, melainkan perasaan itu muncul tiba-tiba yang mendorong kesadaran untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang memang seharusnya demikian diperbuatnya untuk suatu kepentingan kehidupan/ kemanusiaan. Moralitas dengan demikian bukanlah doktrin tentang bagaimana manusia mencapai kebahagiaan, tetapi bagaimana seseorang dapat membuat dirinya layak berbahagia atas kebahagiaan yang diterima orang lain.” – Dari http://peziarah.wordpress.com/2007/02/02/struktur-manusia/
Isunya ialah di mana mata hati?
salaM~ ustaz…
ketika menulis komen ini…kita umat islam baru sahaja bebrapa hari meraikan hari kelahiran rasulallah SAW..tiba2..hati saya tersentuh…dan menjadi gusar,inilah pertama kali saya merasakn begitu..seperti saya benar2 khilangan dan kekurangan sesuatu…ssuatu yang bisa menjamin saya kesurga ALLAH di akhirat kelak…tapi hati ini benar2 sekarang terasa sakitnya….
sakitnya seperti telah menjadi parah…telah menjadi hitam…
dan hitam di selebungi oleh dosa saya ..saya adalah seorg pelajar perubatan…selama ini saya bukan lah sebijak mana…sehingga kan saya di takdirkan oleh yang esa,saya dapat melanjutkan pelajaran saya…alhamdullilah, di sinilah saya mula berjinak dengan ilmu duniawi yang menjanjikan kebahagian di akhirat nanti..yang menjadi persoalan saya…saya in mmg benar2 org yang kurang ilmunya..ketika saya berusaha belajar mencari..saya menjadi lemah..lemah untuk menerima ilmu ALLAH yang luasnya ..saya selalu terbayangkan yang saya masih berada dalam tempurung…saya cuba keluar dari tempurung itu..tapi ia semakin sakit….dan saya tidak tahu apakah tempurung itu yang menghantui say selama ini…atau cara saya keluar dari tempurung itu lagi menyakitkan…dan lebih menyakitkan saya apabila saya mengetahui saya sudah berusaha selama bertahun-tahun untuk keluar dari tempurung itu…..apakah yang saya perlu lakukan??? saya benar2 ingin tahu ustaz….apakah sebenarya tempurung itu..benar2 kah tempurung itu adalah dibina oleh saya sendiri…ataw setiap manusia mempunyai tempurung itu juga???
Assalamualaikum wbt.
Terima kasih kepada ustaz yang telah berusaha memproses kembali ilmu-ilmu Islam dan menterjemahkannya dalam bentuk yang lebih segar berbanding “kebekuan” yang sedia ada.Ini adalah komen pertama saya setelah 2 tahun membaca artikel-artikel di saifulislam.com. Secara jujurnya, setiap artikel ustaz sentiasa membuatkan minda saya sentiasa berfikir ke arah “Bagaimana saya dapat menterjemahkan Islam yang sebenar dalam diri saya dan kehidupan saya”.
Teruskanlah menulis ya ustaz.Semoga Allah S.W.T membukakan kepada kita hikmah-hikmah yang terdapat di dalam agama-Nya yang sempurna ini.
Waalaikum al-Salam wbt.
Terima kasih saudara izwansyahmi kerana sudi meninggalkan komen di sini. Teruskan bersama…
Jurang antara generasi (generation gap?) juga boleh menjadi penyebab bagi kes akak. Semasa kami membincangkan faktor2 keruntuhan akhlak remaja, naqibah yang hampir 10 tahun lebih berusia dari akak beriya2 menafikan faktor persekitaran dan kerajaan yang memerintah, beliau berkeras mengatakan kita perlu melalui proses tarbiyah…panjang le lagi point akak, media massa, sistem pendidilkan dll.
Lagi satu isu adalah “Rasulullah tak buat”. Suami akak pernah membuat tayangan multimedia dari video Harun Yahya di masjid. Fuh! kecoh lepas tu…walau pun sebenarnya cara ini dapat menarik minat golongan muda. Akak pun kasihan melihat golongan muda ni, terutama pelajar sekolah agama apabila slot kuliah maghrib mengenai akidah, ibadah dari sudut fiqh dikupas dengan cara yang amat “menyeksa” jiwa mereka.
Walau bagaimana pun akak tetap memujuk anak akak supaya mendengar kuliah maghrib sebab Surau Al-Naim, Wangsa Maju dan Surau AnNur, Bangi susah nak pergi malam2…
Assalamualaikum Kak Ija.
Komen akak ni, tadi tersangkut kat spam. Mujur sempat saya selamatkan.
Susah juga apabila kejemuan itu disengajakan dan dipertahankan. Walhal masa zaman kita belajar mengenal Islam dalam usrah dulu pun, kita dah komplen yang belajar aqidah cara sifat 20 menjemukan, fikah asyik2 bab bersuci dll… la ni bila cara kita, anak-anak muda komplen, kita buat-buat terkejut pulak.
Ia adalah cycle alam. Siapa yang menyanggahinya, dialah makhluk asing di maya ini
Assalammualaikum wbt..
Kadang-kadang kita terlalu mengambil bulat-bulat apa yang terkandung dalam sesebuah buku dari segi praktikalnya, padahal apa yang cuba disampaikan oleh penulis buku biasanya adalah ideanya.
Saya masih lagi membaca buku-buku fikrah dan perjuangan, kerana terdapat idea-idea yang memang sesuai untuk berzaman lamanya. Penulis-penulis buku ini sememangnya telah nampak apa yang berlaku pada zamannya dan cuba meleraikan satu-satu persoalan melalui idea. Setiap zaman ada masalah tersendiri, tetapi Islam mempunyai idea-ideanya untuk menyelesaikan isu-isu yang berzaman..
Kita pula sebagai pembaca, perlu berfikir, apa yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Bukanlah kita mengambil bulat-bulat seperti yang ditulis. Kita perlu pandai membezakan perkara yang teknikal dan perkara yang dasar. Teknikal membentuk tindakan, manakala dasar membentuk idea. Teknikal bersifat semasa dan boleh berubah, manakala dasar bersifat tetap. Kita sebagai pejuang Islam, ideanya ‘Amar Maaruf dan Nahi Mungkar’, tetapi teknikalnya boleh diterjemah melalui pelbagai tindakan kearah idea.
Satu lagi, mungkin kita sendiri tidak ada usaha yang cukup untuk sehingga kita sendiri jemu. Jemu kerana kita melakukan perkara yang stereotaip dengan senior-senior. Silap kita juga kerana terlalu ikut tanpa meneliti kenapa dan mengapa. Mungkin juga kita perlu teliti kembali definisi dan perbezaan tujuan dan alat dalam dakwah..
Wallahua’lam..
Waalaikum al-Salaam wbt.
Memang benar, perlu untuk para pendakwah bezakan di antara alat dan matlamat.
ya,,saya juga mempunyai masalah yang sama,,tapi alhamdulillah akhir2 ni banyak karya Tuan Guru Nik Aziz yang berlatarbelakangkan ilmu2 tauhid dan haraki dikupas dgn nada yang segar dan presenting yang menarik.terbitan anbakri publika sdn.Bhd…saya pun baru mencuba untuk menceriakan semula ilmu lalu dengan adik2 usrah saya
Masa ustaz sedang berbual dengan Hakim tu, saya teringat satu ayat yang ustaz sebut lebih kurang begini;
“Setiap buku yang bestseller, ada zaman dan eranya tersendiri. Buku itu mungkin relevan untuk pemikiran manusia ketika zaman itu. Tapi untuk menyampaikan inputnya kepada generasi kini, teknik penghantarannya perlulah diberi nafas baru. Supaya ia mudah diserap dan digarap sesuai dengan keadaan ketika itu.”
Hakim bertanya lagi, “Tapi, saya bimbang kalau-kalau kita ada tersilap ketika melakukan proses itu.”
Ustaz menjawab, “Penulis sebenarnya jangan takut untuk membuat kesilapan. Setiap peringkat penulisan ada prosesnya. Sedikit demi sedikit akan membaik pulih kesilapan yang berlaku.”
Lebih kurang begitulah bunyinya. Betulkan saya andai ada yang tersilap, ya ustaz. Masa tu saya tak sempat nak menulis, sebab sedang berbual dengan Piah.
Dari perbualan itu, saya tersedar bahawa itu sebenarnya adalah cabaran buat penulis zaman kita. Bahasa kitab Fikah mana mungkin sama dengan buku AAC. Mungkin ada cara lain untuk menyampaikan ilmu Fikah secara santai, tapi sampai. Iaitu melalui lukisan kartun misalnya?
p/s: Walau sedang berbual, saya pasang telinga. Rugi tu kalau terlepas ilmu yang datang menderu selaju tren peluru. Hehe..
p/p/s: Dalam kitab “Muta’al Badrin” sekolah agama negeri Johor, ejaan lama perkataan “bumi” dieja sebagai Ba-Wau-Mim yang berbunyi Bom. Terkejut juga masa saya menyelaknya hari tu.
Wah… pasang telinga rupanya. Syukran atas penambahan yang berharga akhi..
p/s: terkenang kitab haram makan ‘batang keladi’
Rupa-rupanya haram makan binatang keldai, kan? Masa mula-mula dengar dari mulut ustaz frasa ni, saya betul-betul terkejut. Dah la saya peminat batang keladi masak asam pedas. Hihihi..
indahnya Islam..
Assalamualaikum.
Karangan yang terbaik…
Ramadhan Kareem.
Disebabkan ustaz ni boleh membincangkan banyak perkara dengan idea2 yang segar maka berebutlah pelajar2 universiti satu dunia mengejar ustaz. Bertaraf antarabangsa tuh, lagi banyak la ummu saif kena berbagi waktu.
Kalau ada k ija, tentu saya mampu sabar..
Dengan Ummu Saif insya Allah ok. Masalah sekarang ialah dengan anak-anak pulak.
Macam mana kita nak tapis bahan bacaan macam tu dengan tapisan Al-Quran dan sunnah ye ustaz?
Kalau menurut Ustaz Said Hawwa, kita kena kuasai 10 jenis ilmu. Tapi bajetla, mana la saya mampu nak kuasai semua tu. Kalau nak bincangkan dalam usrah pun, tidak semua orang baca apa yang kita baca.
Last-last kita fikir sorang2. Tu yang jadi caca-merba. Cara yang selamat ialah dengan tidak membaca. Tapi bak kata FAO, tiadalah nanti yang dikatakan pencerahan minda.
Salam Ramadhan…
Assalamualaikum w.b.t ,
Bagi saya, keupayaan mengenengahkan fikrah semasa adalah berdasarkan ‘khibrah’ / pengalaman seseorang dan ilmunya sewaktu mengharungi dunia ini. Pembacaan, perbincangan, forum dalam internet, idea guru/tuk guru, provokasi blog tertentu, idealisme penulis-penulis buku memang mencorakkan fikrah seseorang, samada ke arah fikrah yang islamika atau pun berlawanan. Oleh yang demikian, kelesuan dalam menghayati ‘tulisan minda’ para pendakwah silam berpunca dari generasi kita yang kurang prihatin dengan agenda dunia terutama proses islamisasi dan gerakan dakwah islamiyyah. Tidak semua manusia itu berupaya melontarkan idea bernas dalam perbincangan seperti usrah ataupun berupaya menganalisis fakta dan ‘cerita’ dalam buku harakah dakwah yang dibaca. Ianya perlu kepada kemahiran berfikir, keikhlasan hati, ilmu yang didapati dan keberkatan ilmu yang dipelajari sehingga terbit satu ulasan yang bernas dan baik.
semoga kita semua dapat mencontohi ustaz hasaryazal (hasrizal) ini dalam berfikir dan mengutarakan idea beliau.
selamat berfikir untuk Islam.
ustaz fazdi
assalamualaikum. saya setuju 2 ustaz. kdg2 teringat juga ana hidup di bumi mu’tah dulu. rakan-rakan disana banyak membantu ana kenal erti perjuangan islam yang sebenar. syukran jazilan
Salam,
Kupasan yang menarik,menyebabkan hati dapat membaca dengan tenang. Bagi saya, apa yang menyebabkan kejemuan dalam membaca sesuatu buku sebab kurangnya penghayatan dlm pembacaan. Cuba kita bandingkan cara kita membaca surat khabar,walaupun berulang-ulang diselak,namun tak jemu kan..Mungkin susunan bahasa mudah difahami.
” BACA BUKU DENGAN MATA HATI MENUNJUKKAN KEIKHLASAN KITA MENATAPNYA”. Insya-Allah, dipermudahkan jalan meneroka ilmuNya.
Ramadhan Kareem..
Assalamualaikum..
Saya bersetuju dengan perbincangan Hakim dengan Ustaz. saya harap mana-mana ustaz yang terlibat dengan penyusunan tarbiyyah perlu peka dan terbuka terhadap KEJEMUAN ini. Tidak hairan program usrah yang menjadi alat terpenting pembentukan individu muslim selain tamrin dan kuliah jarang sekali dapat berjalan dengan baik, kehadiran yang ‘dipaksa’ diatas nama ‘disiplin tarbiyah’, bagi saya hanya akan melahirkan ahli usrah yang mengulangi idea naqib, bukan mencambahkan idea baru.
Justeru, pendekatan dinamik yang menghubungkan isi silibus dengan suasana semasa perlu ditekankan kepada naqib.Saya tidak mampu mengolah secara spesifik apa yang mesti dilakukan, kerana suasana dan tempat mempengaruhi keperluan seseorang yang sedang menjalani proses tarbiyah. Sebagai contoh, keperluan pelajar Uk, Jepun tidak sama dengan pelajar di timur tengah. Maka silibus, pendekatan, huraian, fokus seharusnya berbeza walaupun MATLAMATNYA ADALAH SAMA.
Diharapkan pengisian untuk para naqib selepas ini, dapat kiranya isu ini dibincangkan secara serius.
Ustaz,
Walaupun agak terlambat, akhirnya ana berjaya mendapat jawapan lengkap dari soalan ana di al-nida’. Terima kasih kerana menamatkan kegundahan hati ini.!
Ana suka cara ustaz menghadapi soalan2, walaupun konteks soalan ana dulu dan soalan Hakim ni jauh berbeda namun sangat mendalam pemahaman yg dapat ditanam dari pendekatan ustaz ni.
Naqib kene kerja lebih sket la, belajar penyampaian (ilmu+komunikasi) yg lebih mantap. Sinergi antara penyampaian AbuSaif+Buku Maza Ya’ni+Naqib yg Proaktif akan mereformasikan semula khazanah ulama dengan nafas baru. Proses berfikir dan elemen dinamik.
Salam ya Ustaz,
Selamat berpuasa. Doakan saya ya.
Idea dan masa seperti yang ustaz gariskan di atas adalah sangat relevan dengan kupasan Prof. Syed Naquib Al-Attas berkaitan tempat. Ia sangat kuat mempengaruhi cara saya berfikir kerana saya memahami keadilan sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya”.
Maka persoalan idea pada konteksnya akan mencapai makna adil ini.
Sekadar pandangan…
Salam Ustaz,
Tidak silap saya seats of knowledge itu ada 4:
1)Heart
2)Soul
3)Spirit
4)Aql
So mata hati ni yg mana? Adakah qalb? Pengertian Qalb dalam Al Quran tidak sama dengan hati dalam BM bukan?
Saudara Hakim itu samalah dengan saya. Bolehla ustaz tolong bgtau dia kalo nak cari kawan saya ada.
Tp Ustaz, saya gusar dgn Msian Think Tank yang ust anggotai. Apakah free market yang diperjuang Wan Saiful sama dengan konteks free market zaman Ibn Khaldun? Sebagai pelajar sejarah rasanya ust boleh kupas kot…
salam ustaz…
kagum bile tengok gambar family ustaz tu
biasa org pergi kedai gambar ada background buku2 tipu je..
mcm lepas graduation
tapi ustaz punye bakcground ni REAL
=)
teruskan memberi ustaz..
kirim slm pada imad yang comel!
assalamualaikum ustaz…maafkan saya…secara terang saya katakan, saya amat tertarik dengan penjelasan dan pemikiran ustaz…maaf boleh kiranya saya nak minta izin ustaz untuk mengenali ustaz lebih dekat lagi, agar dapat saya mengambil pandangan ustaz dengan izin ustaz, lebih-lebih lagi untuk agama. terima kasih atas segalanya.
salam
prtama kli saya bka blog us saya trtarik dgn pmikirn n hujh2 us..so kt sni saya nk tye n kongsi pndapt.Pada tahun 1998, kalimah “REFORMASI” yang di laung-laungkan oleh gelombang kebangkitan rakyat, telah menular dikalangan mahasiswa untuk turut sama menyertai era reformasi di seluruh ipta didalam ataupun diluar negara. Namun selepas era reformasi tersebut, amat jarang kedengaran suara-suara mahasiswa yang menetengahkan isu-isu kebajikan rakyat. Seolah-olah perjuangan mahasiswa bermusim serta hangat-hangat tahi ayam. Pada penilaian ustaz adakah gelombang kebangkitan mahasiswa dalam memperjuangkan isu ummah dalam keadaan bersinar atau sirnakah taring mahasiswa dalam membawa agenda ummah.syukran ustaz