Ulasan Tabiat 1: Pro Aktif Mulakan Dengan yang di Depan Cermin

On 04/04/2007, in Revolusi Sikap, by Abu Saif | 7,809 views | Print Print | Email Email |

KENYATAAN:

Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul The 7 Habit of Highly Effective People milik Franklin Covey yang cuba saya olah berdasarkan perspektif dan nilai Islam. Tujuannya adalah untuk menggalakkan masyarakat mengambil manfaat daripada buku-buku Self Help yang ada di pasaran untuk memperkemaskan persembahan Islam agar keberkesanannya berada di tahap semasa dan optimum. Ikuti lanjutan artikel ini melalui artikel-artikel di bawah kategori Revolusi Sikap, atau terus ke Pendahuluan, Habit 1, Habit 2, Habit 3, Habit 4, Habit 5, Habit 6 dan Habit 7 – ABU SAIF

“Macam mana saya nak baik, kalau suami saya jenis manusia macam tu?”, keluh seorang isteri.

“Saya faham Insya Allah, tentang apa yang ustaz cakap. Tapi isteri saya yang masalahnya. Ustaz tak ada buat kursus untuk isteri-isteri?”, kata seorang suami.

“Apa yang ustaz cakap tu betul. Tapi kami orang bawah nak buat macam mana? Teori graviti bukankah atas ke bawah? Orang atas yang kena dengar benda-benda ni”, keluh kerani-kerani dari sebuah bank.

“Saya rasa puas hati betul dengan huraian ustaz. Kami di bahagian pengurusan faham Insya Allah. Alangkah baiknya kalau orang bawah faham benda-benda ini. Sebab mereka yang nak buat kerja-kerja itu nanti”, kata bos-bos yang berkursus.

Itulah nada-nada biasa yang saya dengar setiap kali mengendalikan kursus. Semua orang meletakkan syarat perubahan pada orang lain. Pada seseorang dan sesuatu yang dia tidak boleh ubah.

Walaupun suami ke atas isteri, bos ke atas pekerja, kita hanya mampu menarik kuda ke sungai, tetapi minum atau tidak, tiada siapa yang boleh memaksanya. Tetapi, itulah yang kita suka harapkan. Harapkan orang berubah supaya kita berubah.

Susahlah begini.

Ini falsafah bangau. Sentiasa menyalahkan pihak lain.

BANGAU OH BANGAU

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?

Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
Nasi oh nasi, mengapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.
Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah, hujan melimpah turun.
Hujan oh hujan, mengapa engkau turun?
Macam mana aku tak turun, katak panggil aku.
Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.
Ular oh ular, kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan, MEMANG MAKANAN AKU.

Ya, mujurlah ular berhenti menyalahkan orang lain. Jika ular masih mencari alasan, mungkin nama anda pun akan ada dalam lagu ini. Pelbagai isu akan terlibat.

Globalisasi, dasar kerajaan, Orientalis, jiran, bapa mertua? Siapa lagi dalam senarai pihak yang ingin kita salahkan?

Lihat, apabila ular mula mengambil tanggungjawab terhadap AKU iaitu dirinya sendiri, selesai polemik dan masalah di hutan.

Ya, masalah boleh menampakkan penyelesaian apabila anda akan mula bercakap tentang AKU, iaitu diri anda, diri saya, diri masing-masing.

ERTI PROAKTIF

Inilah namanya PRO AKTIF.

Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri.

Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.

“Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya”, kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, baru boleh berhenti mencarut.

“Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed”, kata seorang pelajar di Galway, Ireland.

Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha’if, Arab Saudi, atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa.

Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain.

Cuaca yang akan menentukan mood kita.

Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik.

Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.

Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi.

Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaann diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?

Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang ‘AKU TIDAK PEDULI’SMA, anda pilih sendiri.

Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

MENCARI ATAU MENJADI?

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya”, kata seorang mahasiswi.

“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!”, tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?

Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah”¦ kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan “˜itu”™ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.

PROAKTIF DAN BUTANG PAUSE

Orang yang proaktif, tidak mudah melatah. Dia tidak akan bertindak mengikut apa yang merangsangnya. Tidak seperti orang yang reaktif:

Marah, disambut dengan kemarahan.
Sedih, dirundung kesedihan.
Geram, diselubung kegeraman.

Hidup seperti ini susah lagi menyusahkan.

Ingatlah kita kepada cerita Stephen Covey tentang anak dan isterinya?

Ketika Covey sampai di pintu rumah, dia diterpa anak kecilnya sambil berkata, “daddy, I am a hardworking man”

Sandra, isterinya berkata, “tadi semasa saya baru balik kerja, anak kita ini sedang menaburkan bekas-bekas makanan kotor di atas lantai. Kemudian disimbahnya dengan air”

Oh, itu pengalaman kita semua. Balik kerja, penat-penat, sakit-sakit, tiba-tiba anak buat hal. Apa reaksi anda? Bagaimana reaksi Sandra?

“Saya tahan sabar. Saya tanya anak kita kenapa dia buat begitu?”, kata Sandra.

“Apa katanya?”, tanya Stephen.

“Saya nak tolong emak!”, jawab si anak.

Ya, si anak menyepahkan pinggan mangkuk dengan niat mahu MEMBANTU EMAK.

Bayangkan jika Sadra menampar si anak tadi, apakah pelajaran yang anaknya perolehi?

Hatinya akan berkata, “kalau nak tolong emak, nanti kena tampar!”

Jangan terkejut jika anak kita akhirnya membesar berat tulang, berat punggung. Kita yang mengajarnya dulu. Jika mahu menolong emak, habuannya penampar!

Apa kata Sandra?

“Oh begitu, kenapa tak basuh di sinki?”, tanya Sandra kepada anaknya.

“Tak sampai”, kata si anak kecil.

“Baiklah, lepas ini kalau kamu nak tolong emak, beritahu dahulu, ok? Emak akan ambilkan bangku dan kamu basuh di sinki, boleh?”, pujuk Sandra.

“Boleh”, jawab di anak.

“Bagus, you are a hardworking man”, puji si ibu yang proaktif.

Stephen Covey membuat kesimpulan, “dalam situasi seperti itu, prioritinya bukanlah lantai dapur yang bersih, tetapi anak yang ,mendapat pelajaran yang betul.

Bagaimana Sandra boleh menyabarkan diri untuk menjadi proaktif, tidak melatah dan bertindak melulu mengikut rangsangan? Sandra mengamalkan apa yang kita orang Islam namakan sebagai SABAR!

Sabar itu adalah butang PAUSE untuk kita berupaya berhenti sejenak dan berfikir apakah tindakan paling tepat yang kita patut buat.

Sabar bukan sentiasa menjadikan diri sebagai mangsa. Sabar adalah upaya untuk bertindak tepat kerana ada penapis yang menapis persekitaran.

Tidakkah Nabi SAW sudah mengajar kita tentang hal ini?

“Bukanlah gagah itu, pada orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang gagah itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah!”

Ya, proaktif adalah simbol kegagahan seorang Mukmin semata. Ia bukan topik motivasi, ia sifat Mukmin yang mesti dibaja.

SUMBER SABAR

Bagaimana untuk sabar? Dari mana sumber sabar?

Dan bersabarlah kamu. Dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan Allah [Al-Nahl 16: 127]

Ya, sumber sabar adalah dengan Allah.

Hiduplah dalam meletakkan setiap asas perbuatan pada kesedaran diri terhadap Allah, dari situlah terbitnya sabar. Tiada proaktif tanpa Allah.

DA”™IE YANG GAGAH

Sabar dari gusti dan gaduh bukan hanya untuk ibu terhadap anak, malah pendakwah!

Semua yang berlaku di sekitar kita, semuanya mengundang marah. Siapa tidak marah melihat artis celupar terhadap isteri Nabi? Siapa tidak berang dengan penghinaan orang Islam terhadap agamanya sendiri?

Semua yang berlaku di sekeliling kita, memang patut dimarah, memang patut dibalas dengan setimpal-timpal balasan!

Tetapi seorang pendakwah yang gagah bukanlah pendakwah yang kuat bergusti. Gusti hujah gusti lidah, gusti tangan gusti pemikiran. Tetapi pendakwah yang gagah adalah pendakwah yang dapat mengawal dirinya ketika marah!

Simpan kemarahan itu, dan hamburkan di atas sejadah semasa menangis di depan Tuhan. Ubatkan sakit hati itu dengan meratap di sunyi malam di hadapan Tuhan.

Namun, untuk pergi kepada mad”™u, kuatkan diri dan banyakkan interaksi, bukan konfrontasi.

Mahu terus bergusti”¦ silakan”¦ Selamat tinggal pendakwah Islam, selamat maju jaya missionari Nasrani!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000, Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Ulasan Tabiat 2: Bermula Langkah Dengan Akhir di Minda KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  2. Ulasan Tabiat 3: Utamakan Apa Yang Utama KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  3. Ulasan Tabiat 6: Sinergi Untuk 1+1=3 Malah Lebih KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  4. Ulasan Tabiat 5: Berusaha Untuk Memahami, Sebelum Difahami KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...
  5. Ulasan Tabiat 4: Berfikir Menang-menang Untuk Survival Dakwah KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul...

 

19 Responses to “Ulasan Tabiat 1: Pro Aktif Mulakan Dengan yang di Depan Cermin”

  1. wewr says:

    :) Tanpa kata-kata

  2. raiHAn says:

    assalamualaikum..

    proaktif dtg kekuatan dlm diri itulah iman..iman yg selalu di perbaiki..baju yg hari2 di pakai pun perlu di cuci begitulah juga la iman..sabda nabi”perbaiki la iman kamu dgn memperbanyakkan ucapan lailahaillaullah”..bila iman kuat baru la mudah bersbr,bila iman lemah marah lah yg merajai kita!pokok pangkal kuatnya kita beramal base on iman..

    wallahualam

  3. ansor says:

    assalamulaikum…

    sabar merupakan salah satu senjata dalam diri seorang da’ie,,
    bersabar dalam apa jua keadaan mendidik diri menjadi golongan yang beruntung..firman Allah dalam surah Al-ahs…

  4. akmal samudi says:

    article ini adalah satu revision bagi saya dan semua yang mengikuti program PUISI 2006 tempoh hari, Alhamdulillah..terima kasih ustaz =)

  5. [...] Pengenalan kepada 7 Habits, Anjakan Paradigma dari Perspektif Islam dan 3 Habits yang pertama ialah Be Proactive, Begin With the End in Mind dan Put First Things [...]

  6. izzah says:

    Assalamualaikum ustaz,
    saya amat berminat dengan tajuk ini..boleh saya minta ustaz terangkan dengan lebih lanjut mengenai tiga perkara di bawah?
    Bagaimana untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian? terima kasih ustaz..

    1)Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri.
    2)Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.
    3)Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

  7. [...] adalah klip video yang saya kongsi bersama hadirin ketika sesi Habit 1: Be Proactive. Lihatlah kepada sifat tidak sensitif yang dipertontonkan. Mungkin inilah yang difikirkan oleh [...]

  8. nasharuddin says:

    Assalamualaikum w.b.t.

    Ustaz,

    Saya tertarik dengan kupasan yang ustaz buat berhubung dengan perkara proaktif.

    Soalan saya, ada tak ustaz mengendalikan kursus bertajuk di atas kepada peserta-peserta. Sekiranya ada, boleh tak ustaz berikan maklumat-maklumat terperinci berhubung kait dengan mengadakan kursus tersebut seperti bayaran, tempat, tempoh kursus, bilangan peserta dan lain-lain lagi.

    Sekian, terima kasih. Wassalam.

    NASHARUDDIN

  9. [...] tolaknya ialah pada Be Proactive. Berpemikiran positif dan cenderung kepada manfaat dan penyelesaian.  Dorongannya ialah pada Begin [...]

  10. shiha says:

    Salam..

    Alhamdulillah. Akhirnya tercapai juga cita – cita untuk memiliki sendiri buku Stephen Covey tu. Asalnya ke kedai buku untuk belikan Drawing Books untuk Ahmad dan Husna. Sambil belek – belek buku lain, ternampak buku The 7 Habits – 15th Anniversary Edn. Terus capai tak pikir dah. Skarang dok scanning buku tu, dlm 2,3 hari ni, baru sampai habit 3. InsyaAllah dah selesai besok – besok, saya akan revise balik dengan kupasan ustaz pula, one by one. InsyaAllah.

    Wasalam

  11. [...] Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF. [...]

  12. [...] Habit #1: Be Proactive Muslim [...]

  13. [...] April 25, 2008 by abusaif This is a generous translation of my previous article “SIAPA DI SEBALIK AL-QURAN“, smartly done by a sister who is a family friend of us. Thank you Ummu Ridhwan for your kindness and superb Habit #1. [...]

  14. [...] tentu sekali Tabiat yang pertama iaitu “be proactive” yang diertikan sebagai “keupayaan mengawal diri” atau secara teknikalnya bermaksud “tekan [...]

  15. Perantau says:

    Salam,

    Sebuah artikel yg cukup dgn input yg dpt memberi perubahan dlm kehidupan..Hidup ini perlu proaktif bukannya reaktif…

Leave a Reply