“Cadangan ustaz, elok kita peruntukkan satu malam untuk peserta membuat persembahan. Bukan apa, selain mereka berpeluang untuk ekspresi diri, malam itu juga adalah peluang untuk semua orang rehatkan kepala,” saya memberikan cadangan semasa sesi muhasabah.

Summercamp 08 anjuran IPIJ di Ibaraki kali ini kelihatan semacam ada kekurangannya.

Selain daripada tiadanya malam persembahan, program kali ini juga tidak banyak menggunakan alat bantuan teknologi. Tiada klip video yang canggih-canggih, sebagaimana pengajur dan peserta PUISI atau program-program lain yang pernah saya hadir sebagai trainer. Jujurnya, saya memang kagum dengan kreativiti pelajar-pelajar era 2008 ini. Klip video yang mereka hasilkan, cukup hebat bukan sahaja dari segi kreativiti idea, malah teknik audio visual yang digunakan juga, mencapai tahap profesional.

Penggunaan Youtube©, dan saluran media internet yang lain, menjadi bahan promosi yang diguna pakai secara meluas sekarang ini.

Tetapi tidak untuk Summercamp 2008. 

Segalanya serba sederhana.

Bagi peminat klip video dan flash yang canggih-canggih, mungkin terasa benar kekurangan kali ini. Kekurangan kerana meraikan era ICT.

DULU-DULU

Saya sudah terlibat dalam program seperti ini semenjak sekian lama. Bermula sebagai peserta, hinggalah ‘naik pangkat’ menjadi penceramah atau trainer. Dulu-dulu, program dilaksanakan dalam keadaan serba dhaif.  Serba sederhana.

Teringat saya kepada suasana Perhimpunan Musim Sejuk yang banyak dianjurkan di UK dan Ireland. Program diadakan dengan menyewa sekolah Islam seperti Hijra School di Birmingham, atau jika ada bajet yang mengizinkan, naik sedikit kepada menyewa Pusat Islam Muadz dan yang seumpama dengannya. Di tempat sebegini, peserta lelaki, umumnya hadir dengan membawa sleeping bag. Tidur di dewan, atau surau, serba dhaif berlantaikan karpet di atas batu keras tanpa tilam.

Berbeza dengan beberapa program yang saya sertai lewat beberapa tahun kebelakangan ini. Perhimpunan-perhimpunan pelajar diadakan di lokasi yang lebih selesa. Sesuai dengan kemudahan di hotel atau resort, peserta tidak lagi tidur dengan sleeping bag di dewan solat, tetapi berkatil dan penuh keselesaan.

Kemudahan semakin dimanfaatkan.

Jika dahulu, penggunaan powerpoint yang asas pun sudah dianggap satu kemajuan, kini penghasilan video dan penggunaan flash sudah menjadi seperti perkara biasa dan kemestian.

NOSTALGIA

Namun, Summercamp 2008 kali ini mengembalikan nostalgia lama. Tanpa kemudahan yang canggih-canggih biar pun di negara maju seperti Jepun, segalanya begitu tradisional.

Semua ceramah diadakan di dewan besar yang suatu ketika menjadi tempat latihan samurai. Pendingin hawa tidak digunakan. Hanya kipas biasa dan angin suam-suam kuku yang menerjah celahan pintu tradisional SHOJI seperti yang pernah ditonton di dalam rancangan Oshin atau Doraemon. Peserta juga tidak duduk di atas kerusi, sebaliknya hanya bersila di atas lantai beralas tikar bambu. 

Saya juga memberikan sepenuh kebebasan kepada peserta untuk mengereng, berbaring, bersandar, selagi mana mereka selesa dan dapat memberikan tumpuan kepada pengisian.

Begitu asas.

Begitu tradisional.

Peserta lelaki pula tidur di dewan ceramah, dengan berselimutkan kain nipis sesuai dengan cuaca musim panas di Ibaraki. Berlonggok sana berlonggok sini, malah untuk terus tidur, jadi masalah pula. Biar pun lampu sudah ditutup, mulut masih bercakap-cakap di dalam gelap, membangkitkan kenangan betapa peristiwa sebeginilah yang banyak menyumbang kepada ukhuwwah yang dikenang biar sedekad masa berlalu.

Terima kasih kepada penganjur kerana menyediakan bilik khas untuk saya berehat. Bilik kecil tersebut juga begitu asli, malah saya berasa cukup selesa berehat di atas tilam dengan kepala berlapikkan bantal kekacang yang disediakan.

RAMUAN BERKESAN

Rupa-rupanya, segala yang asas itulah ramuan yang berjaya menghasilkan suatu perasaan yang sering hilang dari program kebelakangan ini. Kemesraan sesama peserta juga bersama saya sebagai penceramah, banyak terkesan oleh cara kami duduk, berehat, bersantai dan beramah mesra.

Dalam suasana yang serba sederhana itulah, program kali ini berakhir dengan tangisan yang datang sendiri. Tanpa dipaksa-paksa. 

Dalam segala kemudahan infrastruktur yang ada, manusia jua prima causa yang menjadi penentu segalanya. Tiada apa yang kurang, selagi manusia dihargai dan diberi keutamaan tertinggi.

Dalam sebuah program, penentu kesan dan kejayaannya adalah manusia peserta.

Dalam sebuah rumahtangga, penentu bahagia adalah kualiti manusia ahlinya.

Dalam sebuah masyarakat, penentu sejahtera adalah manusia komunitinya.

Dalam sebuah negara, penentu kesenangan, ketenangan dan kesejahteraan adalah manusia rakyatnya.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sebuah kaum, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]

Manusia adalah faktor perubahan. Jika mahukan penambah baikan, maka keutamaan mesti diberi kepada kesungguhan kita membentuk manusianya. Summercamp IPIJ 2008 telah memberikan demonstrasi yang berkesan tentang perkara ini.

Korekaramo ganbatte kudasai!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace