Berlabuh Tirai Kem HIJRI

December 17th, 2008 by Abu Saif 11:19 pm | 2,425 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

Alhamdulillah!

Itulah sebaik-baik ucapan, mengiringi hari penutup Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1430 hari ini.

3 hari 2 malam di lokasi Nur Bukit Unggul, pengalaman menjadi penganjur kepada kem seumpama ini, memberikan 1001 latihan, pelajaran dan pengajaran buat saya juga seluruh pasukan STC. Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan bersama pembaca, tetapi cukuplah dengan coretan ringkas ini sebagai pembuka kata.

Terkenang kembali kepada entri saya bertarikh 1 Januari 2008 (AGENDA 2008, APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM), suatu ikrar untuk menjadikan tahun 2008 ini sebagai tahun fokus kepada anjakan paradigma terhadap Islam Syariatik dan Islam Saintifik yang menjadi tapak terbinanya segala kualiti Muslim. Segalanya adalah demi menjawab persoalan kritikal, “apa erti diri ini menjadi sebahagian daripada Islam”

hijri-edited

Bermula daripada Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland (PUISI) pada Disember 2007, modul ‘APA ERTI SAYA MENJADI MUSLIM’ atau kadang-kadang saya namakan ia sebagai ‘KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM” (Ila al-Islaam min Jadeed) dikembangkan kepada generasi muda sebagai pelaburan saya untuk melihat masa depan yang lebih baik buat kaum Muslimeen, jika tidak di hari saya, mungkin untuk anak cucu pewaris dunia. Modul itu terus dikembangkan lagi ke beberapa lokasi di tiga benua, sebelum tirai Dhulhijjah 1429 dan Disember 2008 melabuhkan tirainya.

Agenda 2008 dilangsaikan dengan terhasilnya cita-cita diri untuk menghasilkan kelompok pertama anak remaja, yang berfikir besar, namun bertindak di bumi nyata, kecil-kecilan menyusun tapak di usia muda. Kem HIJRI ini adalah kemuncaknya, dan sekali lagi Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta’aala yang maha melimpah ruah kasih sayang dan kemurahan-Nya kepada cita-cita ini.

Banyak coretan menarik tentang kisah-kisah di balik tirai kem HIJRI ini. Menjadi event manager  untuk sebuah program yang diisi sendiri yang juga bertindak sebagai content provider, pengalamannya amat berbeza daripada sekadar datang dan mengisi program yang dianjurkan oleh orang lain.

Fikiran dan tenaga bukan hanya terguna untuk pengisian, malah aspek keselamatan, makan minum, sakit demam, dan serba serbi amanah ketika mengendalikan sejumlah anak remaja ini, kepada Allah jua kami sandarkan kekuatan diri. Apabila kita bercakap tentang soal kualiti, maka sebuah program anak remaja, tidak harus pergi dengan volume yang besar. Saya kira, 50 peserta adalah had maksimum andai kita mahu memberikan personal touch kepada setiap peserta yang datang dengan pelbagai misteri pada fikiran dan kelakuan mereka.

Cadangan asal, adalah untuk membuka penyertaan hanya kepada 30 orang peserta. 

Namun disebabkan oleh desakan ibu bapa yang merayu dengan pelbagai justifikasi mengapa mereka mahu anak-anak mereka dilibatkan sama, kami tersepit di antara keupayaan diri dan azam untuk mengekalkan kualiti. Akhirnya, 55 adalah jumlah paling akhir yang dapat kami sediakan, dan segala kemaafan ditujukan kepada ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak-anak mereka di dalam program kali ini. Insya Allah, dengan izin-Nya, kami akan mengintai ruang dan peluang untuk menganjurkannya lagi pada musim cuti persekolahan akan datang.

Akan tetapi, kita merancang sebaik mungkin, namun pelampung keselamatan harus disediakan. 14 peserta menarik diri tanpa pemberitahuan dan ia menjadi cabaran yang besar terhadap komitmen kami kepada pihak kem Nur Bukit Unggul. Syukur, ada pula 3 orang yang hadir secara walk-in dan semua itu adalah ujian-ujian Allah yang datang dengan seribu satu hikmah yang mesti direnungi.

161220081018

HADIR DENGAN BEBAN

Setiap peserta hadir dengan pelbagai latar belakang.

Ada yang hadir mencari kecemerlangan.

Ada yang hadir mencari keseronokan.

Ramai yang hadir kerana ‘terpaksa’.

Setiap seorang pula mempunyai fikiran, pandangan hidup, kegembiraan dan kesedihan, kasih sayang dan dendam, serta pelbagai ‘beban’ yang menjadikan setiap mereka unik. Semua itu menjadi cabaran buat kami, untuk menganyam pengisian yang boleh sampai dengan tepat kepada mereka.

Apa yang pasti, peserta kem HIJRI kali pertama ini amat responsif, kuat daya memahami, dan kami bersyukur kerana berpeluang mengenali dan melihat mereka.

3 hari 2 malam, bukanlah satu jangka waktu yang cukup untuk setiap seorang mereka diselami hati dan budi, justeru kunci keberkesanan bukanlah terujuk kepada bagaimana peserta-peserta itu, sebaliknya kamilah yang mesti memposisikan diri dengan betul, menyambut setiap seorang mereka sebagai tetamu yang ‘dihantar Allah SWT’ sebagai amanah ke atas diri ini.

SOKONGAN CEKAP

Namun saya bersama Ustaz Ridzuan, Ustaz Izham Hasni dan Ustaz Omar tidak mungkin dapat menjalankan program ini dengan lancar dan sempurna tanpa bantuan dua orang fasilitator jemputan kami yang sangat-sangat berbakat, berdisiplin, bijak mengesan suasana dan bertindak, iaitu ukhti Sharifah Sumayyah dan Hawa Mas Azmar.

Kehadiran mereka di saat-saat akhir sebelum bermulanya kem HIJRI telah banyak membantu kami menyelesaikan hal-hal bersangkutan dengan pendaftaran, logistik, malah turut sama menyumbang kepada keceriaan di sepanjang program ini berlangsung dengan kreativiti mereka.

Terima kasih sekali lagi.161220081020

PENGHARGAAN BUAT KELUARGA

Terlebih utama, sekalung penghargaan dan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak kami yang meminjamkan bapa mereka kepada sebuah agenda yang penting ini.

Secara peribadi, saya tidak jemu untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan kasih sayang kepada isteri; Ummu Saif, yang sabar dalam keadaan dirinya yang lemah kesan fisiologi diri semasa dan tertekan dengan pelbagai tugasan. Tidak berlalu detik-detik masa di kem HIJRI melainkan saya sentiasa memikirkannya. Juga buat Naurah dan Imad yang bersabar mengharungi 3 hari 2 malam yang serba mencabar ini. Terima kasih atas sokongan dan doa kalian.

Terima kasih juga buat Yop kerana asalnya ‘terpaksa’ hadir ke kem HIJRI untuk meringankan kerja Ummu Saif bersama dua hero heroin di rumah sana, tetapi kemudiannya banyak membantu saya, termasuk mengedarkan gula-gula kepada peserta yang dikesan melentok khusyu’.

“Yop tengok orang mengantuk, Yop bagilah gula-gula. Tak le lapar nanti!” jelas beliau kepada saya atas aksi spontannya itu.

PENGISIAN

161220081021

Input – Proses – Output… rangka utama modul HIJRI kali ini.

Banyak sekali persoalan yang timbul dalam perbincangan panjang lebar kami, terutamanya pada menggarap Islam Pilihan sebagai ganti kepada Islam Warisan. Soalan-soalan INPUT di sekitar tajuk  ’Aqidah yang bermain di legar pemikiran anak-anak muda ini, mungkin selama ini mereka khuatir menyuarakannya kerana bunyinya begitu salah, sebahagiannya berjaya dicungkil hingga ke soal, “mampukah kita mengimani Allah tanpa melihat-Nya?”

Begitu juga dengan simulasi, kuliah, permainan interaktif berkaitan dengan konsep Input, Proses, Output, diharapkan dapat menjadi bekal kepada anak-anak ini untuk melihat Islam pada kerangka yang lebih jelas dan mudah diserap ke dalam kehidupan.

Cinta… tajuk yang panas… dikupas dari banyak sudut, terutamanya pada menjernihkan kekeliruan perasaan remaja antara CINTA dan DAMBAAN PERHATIAN.

Bagaimana menagih kemaafan ibu bapa, dan bagaimana untuk memaafkan ibu bapa, tanpa syarat, dibentangkan untuk menjernihkan ‘misteri’ jiwa remaja yang sulit dan rumit itu. Semakin hari, hubungan ibu, bapa dan anak-anak menjadi semakin misteri dan memeningkan. Skrip biasa yang asal semakin tidak relevan, dan seluruh komuniti ibu dan bapa ada banyak persoalan yang perlu mereka fikirkan.

Akan tetapi, saya memberanikan diri untuk melontarkan persoalan berkaitan dengan CINTA SONGSANG, dan ia mengerutkan dahi peserta.

Mulanya mereka ketawa, tetapi kemudian semakin senyap dan sepi.

Tiada unsur menghukum dan memperlekeh, perbincangan dikendalikan dengan memberikan pencegahan, kaedah menanganinya andai terjebak, dan kesan masa depan pada membiarkan diri membesar dengan kecenderungan songsang yang amat merbahaya namun berleluasa sekarang ini. 

Majlis juga diserikan dengan forum Cerita Cita-cita, apabila kami para jurulatih dibantu oleh tetamu termasuk Bro. Nasreel dan Bro. Abu Fatihah yang berkongsi cerita jatuh bangun naik turun kami semua dalam mengharungi kehidupan sebagai bekas remaja untuk sampai ke tahap di mana kami berada sekarang. Prospek kerjaya di bidang kejuruteraan, ICT, juga pengajian Islam dan kemanusiaan, dikongsi bersama anak-anak muda berkenaan.

Visualisasi cita-cita dan aha mewujudkan kemesraan segera pada jangka masa yang amat terbatas ini, adalah sasaran sesi tersebut. Kesimpulannya, peserta sampai kepada sebuah keputusan, bahawa Allah tidak menciptakan manusia ini ada yang bodoh dan ada yang pandai, sebaliknya Dia ciptakan manusia itu sempurna dengan berbeza-beza kepandaian.

Setiap orang harus percaya dirinya istimewa, kerana ‘tangan’ yang membuatnya adalah Dia yang Maha Sempurna, Pemurah lagi Adil dalam memberikan potensi.

hijri089

PENDEKATAN

Diskusi jauh malam antara saya dan pasukan STC, memutuskan untuk mencuba suatu pendekatan, bahawa tiada keperluan untuk hati digerunkan, atau mata dibasahkan, secara memaksa-maksa seperti yang digemari dalam trend popular semasa, kerana dalam diam, ramai peserta yang terasa dirinya diperbodohkan apabila dipaksa menangis tidak tentu cerita. Sebaliknya kami cuba untuk meletakkan keyakinan pada kekuatan ANJAKAN PARADIGMA terhadap hidup beragama.

What you see is what you get, ubah cara lihat untuk ubah hasil dapat.

RAHSIA

Ibu bapa mungkin ingin tahu, apakah kelainan yang boleh dan telah kami tawarkan melalui kem HIJRI ini.

Sejujurnya, tiada yang luar biasa.

There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE“, itulah kunci yang kami canang dan canai kepada adik-adik yang dikasihi, memetik kata-kata Mr. Ping, ayahanda Po di dalam animasi Kungfu Panda.

Peserta dipupuk untuk percaya, kerana kepercayaan itulah definisi diri dan kejayaan yang mengiringi. 

Saya ingin melelapkan mata, menebus keletihan luar biasa dan rasa mengantuk yang bersangatan ini.

Selamat Berhijrah buat adik-adik dan seluruh warga KEM HIJRI 2008 kali ini.

Wa Lillah al-Hamd.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430 Saya menerima banyak permintaan daripada ibu bapa, agar menganjurkan kursus-kursus...
  2. Berlabuhnya Tirai Peristiwa 2007 Salam dari bumi Perth. Syukur Alhamdulillah. Program Perhimpunan Remaja Islam...
  3. KEM HIJRI 1431 DATANG LAGI PENDAFTARAN DITUTUP Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) merupakan sebuah kem...
  4. KEM HIJRI 1431 Melabuhkan Tirainya Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Dalam 1000 debaran menyambut amanah...
  5. PERMAI’08 Melabuhkan Tirai Dua trainer PERMAI’08, Ustaz Abu Saif dan Ustaz Fadly Riza...

Advertisement

48 comments

  1. Permata_delima says:

    Salam. Tahniah Abu Saif ‘and the teams! Moga program ni seumpama ni akan terus dilaksanakan di masa hadapan…
    P/s: Terkenang saya akan program Summer Camp yang pernah saya sertai di sekitar 1990an anjuran SABHA Group, dikelolakan oleh Dato’ Dr. Hassan Ali (masa tu beliau masih beliau merupakan motivator dan belum terlibat dalam arena politik). Program ni bagi saya cukup berkesan buat saya dan rasa tak nak balik rumah, nak dok kat situ aje. :D Program yang banyak mengajar saya berdikari dan asas-asas agama (agak ‘buta’ ilmu agama pada waktu tu, huhuhu…)

  2. Wani AR says:

    “meletakkan keyakinan pada kekuatan ANJAKAN PARADIGMA terhadap hidup beragama”

    Memang berbeza antara orang yang sekadar tahu dengan orang yang betul-betul percaya… saya suka dengan pendekatan ini ustaz!

  3. Abu Anwar says:

    “Diskusi jauh malam antara saya dan pasukan STC, memutuskan untuk mencuba suatu pendekatan, bahawa tiada keperluan untuk hati digerunkan, atau mata dibasahkan, secara memaksa-maksa seperti yang digemari dalam trend popular ini, sebaliknya meletakkan keyakinan pada kekuatan ANJAKAN PARADIGMA terhadap hidup beragama”.

    Saya setuju dengan hasrat ini..Tak perlu memaksa-maksa peserta menangis. Tangisan lahir dari keinsafan sebenar. Lakukan anjakan paradigma dalam diri peserta..InsyaAllah STC akan terus melangkah maju..

  4. Ibnu Aiman says:

    Alhamdulillah dan syabas buat ustaz…Dalam menanam tunas-tunas Islam yang mungkin tidak mampu lihat esok ia berbuah,tetapi insyallah ia hadir sedikit masa lagi…syabas buat Geng HIJRI!

  5. asna al-matalib says:

    satu program yang menarik! tahniah,ustaz.bagus libatkan family [khususnya anak2---yop:)]dlm kegiatan mcm ni krn ia akan disimpan dlm bentuk memori kekal.masa kecil sy sering dibawa ke tempat sebegini, walaupun tak berapa faham apa yg sdg berlaku sbnarnya ttp seronok dpt membantu org besar& bila besar kita akan mencarinya [suasana tersebut]..selamat utk kbangkitan jil Islam hari esok:)

  6. ekramhakim says:

    tahniah ustad..semoga usaha emas krew STC berbaloi dan menampakkan benihnya nnt,insyaALLAH…

    Pendekatan keyakinan pada kekuatan itu sangat saya persetujui.Tak perlu menutup mata, ditakut2kan, dipaksa menangis dan yang sewaktu dengannya.

    Harap ustad boleh ceritakan lagi perjalanan program HIJRI ini nnt..

    Yob jadi AJK gak k??eheh…cayyok Yob!

  7. bintu huda says:

    salam…alhamdulillah….sye adlh antara peserta dlm kem hijri ini..kem ni mmg menyeronokkan dan byk memberikan saya informasi dan tip2 dlm kehidupan. permintaan sye, blh x ustaz ltk gambar2 yg tlh diambil spnjg kem ini b’lgsg? sye amat m’hrpkn..sekian..wassala..

  8. ummu arib says:

    salam..

    alfun mabruk ustaz.. inilah sesuatu yg saya tgh cuba pikirkan utk gerakkan,lakukan,mampukan kepada generasi dihadapan mata namun ternyata ia tidak mudah..
    Ya Allah mudahkanlah,hulurkan nusrahMu agar mereka boleh dibantu beroleh petunjuk hidayah utk berhijrah ke jalanMu yg Satu..yg Kau redhai..

  9. cactus277 says:

    alhamdulillah ala kulli hal…well done team STC!! seolah2 terasa ‘bahang’ semangat mereka2 yg terlibat, aura2 rasa ‘refresh’diri macam terpecik pabila baca new entry kali ni. hanya DOA mengiringi kejayaan buat semua kelak,berjaya didunia dan akhirat. ameen…~

  10. slm ya ustaz. terima kasih dan tahniah atas prgm Kem Hijri. byk yg sy belajar dpd kem ni. alhamdulillah..ada lagi, ajak lagi. :)

  11. syifa' says:

    tahniah ustaz…
    terasa seperti saya yang mahu turut serta dalam program itu…(boleh ke ustaz ambil peserta yang dah tua ni?hehehe)

  12. ibnu hamzah says:

    salam..

    tahniah ustaz…
    jadikan ini pengalaman yang berguna untuk menganjurkan program selepas ini…
    selalunya, yang pertamalah yang paling manis…
    so…
    use the good one for next program,
    take the bad one to improve it for future..
    teringat saya pada pengalaman menjadi fasi untuk program2 seumpama ini…
    terasa manisnya menjadi fasi suatu ketika dahulu…
    semoga yang bail ini terus berkekalan…
    amin…

  13. zhafran says:

    TAHNIAH USTAZ

    SEMOGA KEM HIJRI DAPAT MEREALISASIKAN CITA-CITA HIJRAH YANG LEBIH BESAR

    ALLAHUAKBAR!

  14. zacharias says:

    “There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE“, itulah kunci yang kami canang dan canai kepada adik-adik yang dikasihi, memetik kata-kata Master Oogway di dalam animasi Kungfu Panda.

    maaf ustaz, ini bukan kata-kata master oogway, tetapi kata-kata bapa Po (seekor bangau).

    • Abu Saif says:

      @zacharias, aha…. terima kasih. dah dekat 5 kali ana revise artikel ini sebab kali pertamanya, menulis dalam keadaan yang sangat mengantuk. Ana dah betulkan. Memang itu quotation kata-kata mr ping, iaitu ayah kepada Po

  15. arulz says:

    tahniah ust…moga program macam ni dapat diteruskan lagi demi remaja akan datang lebih terbela dan rasa beragama..

  16. Ummu2I says:

    Setuju dengan Syifa’, besar harapan al-Fadhil Ustaz boleh adakan pula kem untuk golongan dewasa, bekal kami untuk mendidik diri dan anak-anak mendepani cabaran yang bertali arus agar kekal dengan jatidiri Muslim dan Muslimah.

    • Abu Saif says:

      @Ummu2I, untuk retua (remaja tua), programnya tidak dinamakan kem. nanti semua sakit urat.

      program dewasa insya Allah telah, sedang dan akan diteruskan dari semasa ke semasa lagi. di surau ada, di masjid ada, di pusat pengajian ada, di pejabat2 pun ada.

  17. zam says:

    salam
    TERIMA KASIH UTK SEGALANYA kpd TEAM STC !!
    saya mhantar adik perempuan-zulaikha(eka)
    begitu gembira dia bercerita tentang kem HIJRI. Balik je, tak sempat buka kasut, di muka pintu bersemangat bercerita bermula dari hari pertama sehingga la sampai Ustaz Izham hantar ke KL bersama 3 lagi rakannya. Apa yg boleh saya katakan, kem Hijri yg ustaz anjurkan ini memang TIP TOP. Dan yg penting kasih sayang team STC terhadap peserta2 turut amat dirasai oleh kami para penjaga. syukran jazilan !!!

    • Abu Saif says:

      @zam, wsalam wbt.

      terima kasih encik zam kerana menghantar eka ke kem hijri ini. kami mengusahakan yang terbaik, namun kepada Allah jua kami letakkan pergantungan kami tentang hasil mahsulnya. Syukurlah eka gembira di program berkenaan. 3 hari 2 malam terlalu singkat, tetapi kasih sayang dan kepercayaan yang ditanam, mudah-mudahan menjadi baca yang mempercepatkan kematangan.

      sampaikan salam kami kepada eka.

  18. Kak Ija says:

    Assalamualaikum,

    Event mgr, content provider, phew! Ala2 one man show tapi dengan rahmat Allah SWT dan bantuan sahabat2.

    YES, to organize an event, we always have to have contingency plan.

    Kenapa kita kena percaya Allah ada tapi kita tak nampak pun? My kids favourite question.

    Bagus benar input CINTA2 tu, mmg popular tajuk ni dikalangan remaja.

    First hand experience, bisa memupuk minat kpd pekerjaan yg akan menjadi motivasi terhadap kecemerlangan pelajaran.

    BELIEVE!!! yes, believe in Allah which leads to believe in your capability to excel. A good method to acquire “Izzah” towards Islam.

    Congratulations! Redefine our purpose! No more pseudo-religion. Yes, we got to be syariatik and scientific so that we won’t be secular in both side.

  19. Kak Ija says:

    Kesimpulannya, peserta sampai kepada sebuah keputusan, bahawa Allah tidak menciptakan manusia ini ada yang bodoh dan ada yang pandai, sebaliknya Dia ciptakan manusia itu sempurna dengan berbeza-beza kepandaian.

    Setiap orang harus percaya dirinya istimewa, kerana ‘tangan’ yang membuatnya adalah Dia yang Maha Sempurna, Pemurah lagi Adil dalam memberikan potensi.

    And what we need is self discipline. I quote from motivational saying:

    Self-discipline is the key to personal greatness. It is the magic quality that opens all doors for you, and makes everything else possible. With self-discipline, the average person can rise as far and as fast as his talents and intelligence can take him. But without self-discipline, a person with every blessing of background, education and opportunity will seldom rise above mediocrity

    • Abu Saif says:

      @Kak Ija, terima kasih kerana highlight point2 penting dari entri ini. kalau sesiapa rajin, boleh kutip point tu dan jadikan modul.

  20. shah2873 says:

    Salamun ‘alaikum, Ustaz.

    Alhamdulillah, tahniah atas penganjuran program. Insyaallah ana akan pulang ke Malaysia pada 25 disember dari Adelaide. Ingin tahu, bila tarikh terdekat program STC?

    Ana berminat menimba pengalaman sebagai sukarela sementara menanti panggilan kerja dari petronas.

    Sekian, terima kasih

    P/S: Ustaz free ke on 25 januari? Bukan nak panggil ceramah, tapi nak jemput datang ke Kelana Jaya bersama keluarga. Ada ‘makan-makan’ hehe

  21. masyitah says:

    Salam ustaz, tahniah bt ustaz n the gengs,nak bagi cadangan sket, apa kata ustaz masukkan modul-modul kem hijri tu kat dalam website ni supaya dapat dikongsi dengan semua..Klu xkeberatan….syukran

  22. masyitah says:

    erm kiranya xde sapela yang dapat buat kem cam tu melainkan jemput ustaz n the gengs..huhu

    • Abu Saif says:

      @masyitah,

      berpuluh-puluh syarikat training kat luar tu, macam-macam bentuk modul disediakan.

      idea ialah ilmu dan dakwah, semuanya saya kongsi seluas-luasnya untuk manfaat semua.

      tetapi slide, video klip, design program, segala material kegunaan kursus, semua itu adalah produk yang dihasilkan dari ilmu dan idea itu tadi.

      produk adalah milik peribadi, ilmu dan idea milik semua.

      jangan salah faham ya

      p/s: sebab itu, student jangan suka amalkan perbuatan meminta slide penceramah. selain mengambil produk dia, anda juga mungkin bermurah hati mendermakan virus, trojan dan spyware kepada penceramah yang telah berbakti kepada anda :)

  23. masyitah says:

    ok no prob.. faham ustaz
    syukran

  24. dr.radzi says:

    aslmkum….

    semoga ana diberikan kekuatan dan ilmu untuk mengikut jejak langkah ustaz. tahniah ustaz n Geng HIJRI.

    ana gembira sebab kenal ramai contoh dan tokoh yang bole ana contohi untuk menyediakan dan memperkuatkan diri menyebarkan agama Allah ini. kalau bukan untuk zaman ana, zaman anak cucu ana insyaAllah dapat kita kembali merasa umat manusia yang seperti di zaman nabi dan para sahabat tabiin yang mulia. huhu~ sayu seketika~

    • SallehuddiN says:

      @dr.radzi, w’slm .. tumpang layan bro~

      (dalam kepala macam2 bayangan zaman Rasulullah salaLlahu ‘alaihi wasalam. Tapi ia hanyalah sebuah bayangan… insyaAllah akan menjadi kenyataan, amin ya Allah! )

  25. adros says:

    Yaa Ustaz,
    Akhirnya kedua-dua anak saya tidak ‘mahu’ hadzir! Diawal-awal salah seorang nya setuju & terhadzir awal atas sebab saya sendiri tersalah baca tarikh mulanya. Namun bila tiba tarikh 15hb. anak saya yang dah setuju tadi, turut membatalkan hasratnya.

    Mungkin ada ‘dendam’ tersimpan di benak mereka (berdasar pada sessi-sessi lain yang pernah mereka lalui) yang mereka jangkakan kursus kali ini juga berformatkan ala ‘membuli’?

    Atau mungkin juga, disebabkan mereka selalu saya tinggal (sering berjauhaan, sejak mereka tadika lagi), yang membuatkan mereka lebih ‘selesa’ untuk sentiasa di rumah!

    Terima kasih atas pencerahan isi kursus hijri kali ini. Dengan penuh harapan di lain kalinya (insyaAllah), anak-anak saya akan ‘redho’ untuk keluar berkursus (hendaknya)…

  26. mS_unGu says:

    salam ya ustaz..

    ana ingin bertanya,ada x program2 sebegini untuk pelajar2 universiti.ana dari UIAM, Kampus Kuantan..jikalau ada kesempatan dan keizinan dari DIA yang Maha Mengatur, bolehlah ustaz usahakan program pengisian jiwa ini di sekitar ini (sekitar Kuantan@sekitar Pahang)..

    ana boleh usahakan promosi kepada sahabat2 ana.ana yakin ramai yang berminat.

    ana cuma berharap dapat mengutip seberapa banyak ilmu dalam memperbaiki diri untuk kebaikan diri dan orang lain dunia akhirat.

    Mohon pertimbangan ustaz..ana tahu ustaz adalah orang yang sibuk berfamili dan jua berdakwah.Ana doakan ustaz sekeluarga bersama2 rakan seperjuangan diberkati Allah selalu.

    Ana berharap dapat tempias semangat perjuangan ustaz :)

    wassalm

  27. mS_unGu says:

    salam ustaz..

    ana sekadar inngin bertanya..

    ada x dalam perancangan ustaz, program sebegini di sekitar Kuantan ata Pahang.

    Ana berminat dan ana yakin ramai sahabat2 ana turut berminat. ana student UIAM,Kampus Kuantan.

    • Kak Ija says:

      @mS_unGu, Salam, Jika saudara/i benar2 mahu menyertainya serta mahukan tempias perjuangan ustaz, akak cadangkan saudara/i dan sahabat menjadi organizer event tersebut dan jemput ustaz datang.

      Selalunya begitulah yang dilakukan oleh summer camp yang ustaz memberi sumbangan di luar negara spt UK, Indonesia, Australia, Jepun dan akan datang India.

      Klik Hubungi di atas website ni untuk pertemuan pertama. Sekiranya saudara/i pembaca setia SIO, maafkan akak kerana terlebih bicara, jika tidak, salam ukhuwwah dari kami pembaca SIO.

      • Abu Saif says:

        Biasanya mana2 pihak yg ingin anjurkan program, terus aje bagi tarikh2 yg sesuai, lokasi program, tajuk program serta audiens.

        Kalau minta secara open query macam tu mmg ustaz susah nak reply sikit. Takde masa nak reply coz byk sgt yg minta terbuka macam tu.

        So, plan dan organise. Dan kalau nak organise biar sekurang2nya sebulan dari tarikh program. Kalau kurang sebulan biasanya susah.

        Kalau lokasi jauh iaitu tak accessible via public transport, kena fikirkan transport.

        Kalau nak join yg dah diplan biasanya jadual ada kt tepi blog ni.

        -ummusaif

        • mS_unGu says:

          @Abu Saif,

          salam ummu saif..

          jutaan terima kasih kerana memudah carakan usaha ini..oleh kerana ini pertama kali nak ber’ukhwah’ dengan lebih rapat dengan madah perjuangan warga Saifulislam.com, saya sangat bersyukur dan terharu dengan sokongan balas dari pihak ustaz dan ‘keluarga dai’e’.

          syukran jazilan

      • mS_unGu says:

        @Kak Ija,
        salam ukhwah untuk kak ija..

        syukran atas cadangan dan info yg diberi..
        ana nampak jalan untuk meneruskan usaha ini.sgt mebantu..

        jazakallah khairan kathiran

        ukhwah atas nama ALLAh pasti mekar semangat untuk mencari redhaNYA..:)

Leave a Reply