versailles.jpg

Kepala saya berserabut dengan Sejarah semasa melawat The Palace of Versailles, Paris

“Saya hairan, bagaimana mereka boleh begitu terkesan dengan buku. Satu buku keluar, macam-macam perubahan berlaku!”, saya memberikan komen tentang diskusi kami di dalam kelas.

Pagi itu, Prof. Abdullah al-Ahsan membawa kami kepada meneliti beberapa buku yang memberi impak sehingga mencetus perubahan kepada masyarakat Eropah. Setiap satu buku, seperti menandakan satu peralihan kepada Eropah dari satu era ke era yang berikutnya.

Bermula dengan Utopia (1516) oleh Thomas Moore, Discours de la méthode (1637) oleh René Descartes dan Émile ou de l’éducation (1762) oleh Jean-Jacques Rousseau, perjalanan kami diteruskan hinggalah ke era terbitnya buku Manifest der Kommunistischen Partei (The Communist Manifesto) (1848) oleh Friedrich Engels dan Karl Marx. Setiap satu buku, menganjak Eropah ke era yang baru.

“Bagaimana boleh sebuah buku memberikan perubahan sehingga begitu? Itu yang menghairankan saya”, saya cuba mendapatkan komen Prof. Abdullah al-Ahsan.

“Buku yang hebat, dibaca oleh pembaca yang hebat?”, ringkas sahaja komen beliau.

Saya tersenyum.

Prof. pernah menyindir kami di dalam kelas semasa berbincang tentang kemunculan Girondin di Salon milik Madame Rolan.

“Supaya kamu semua lebih faham tentang fungsi dan peranan Salon para Girondin ini, saya analogikan ia sebagai usrah kamu”, kata Prof al-Ahsan.

“Bezanya, usrah para Girondin ini bertenaga. Mereka berbincang secara kritis dan perbincangan mereka mengubah sejarah”, ulas Prof. lagi.

Ya, kata kunci Prof ialah, menulis dengan kritis dan membaca dengan kritis.

MENJUMUDKAN BUKU YANG DINAMIK

Buku yang hebat, akan menjadi jumud, beku dan statik apabila ideanya dihafal oleh pembaca dengan hafalan semata. Idea yang hebat perlu merangsang pemikiran. Lalu mereka yang membacanya akan menjadi manusia dinamik dan bukannya statik.

Mengenangkan diskusi hari itu, saya tertarik kepada apa yang cuba diungkapkan oleh Fathi Aris Omar di dalam artikelnya “Usrah Membodohkan Ahli?“. Ternyata sekali, usrah yang difokuskan oleh Fathi itu tidak sesuai untuk dirujuk kepada usrah di sekolah, atau usrah-usrah di peringkat cawangan dan kawasan. Maka mereka yang di sekolah, cawangan dan kawasan jangan rimas dengan ulasan yang diberikan.

Namun, di satu peringkat, usrah mesti menjadi tempat menjana sesuatu yang asli. Keaslian idea tidak semestinya dengan menafikan apa yang telah ada, tetapi harus terbit dari kesimpulan faham, bukan penghafalan tahu.

Antara faham dan tahu, ada bezanya. Tahu hanya proses mengutip bahan. Namun faham adalah hikmah yang terbit dari apa yang kita tahu. Hikmah itu adalah buah fikiran yang menepati sasaran dan keperluan.

Saya kira, pandangan Fathi Aris Omar tidak boleh dimanfaatkan jika pembaca membacanya dengan paradigma yang defensif, mahu mempertahankan apa yang kita percaya, tanpa membuka ruang muhasabah yang tidak hanya melibatkan paket, malah isi dan substance. Idea beliau juga tidak boleh dimanfaatkan jika kita sudah ada satu imej tentang beliau dan pre-conceived idea kita mengenainya yang menjadikan kita tidak jujur dalam menilai.

Saya mengambil risiko untuk menyatakan persetujuan saya dengan jelas, betapa temubual bertajuk ‘Intelektualisme Melayu, pertarungan wacana agama dan budaya politik Malaysia‘ telah menyebabkan saya lemah lutut apabila akhirnya apa yang terbuku di hati saya, terungkap dengan begitu tepat oleh Fathi Aris Omar. Saya katakan ia suatu risiko, kerana saya dikelilingi oleh mereka yang sudah ada keputusan mengenai beliau, sehingga saya sendiri lambat mengambil peluang memanfaatkan ketajaman minda dan penanya.

“Sokong si Fathi yang menyokong Islam Liberal tu?”, tanya A.

“Dia ikut usrah mana? Masalah dia bukan masalah usrah kita”, simpul B.

Tiada reaksi yang boleh saya berikan selain berlapang dada.

Tidak semestinya semua yang beliau ungkapkan saya menyetujuinya, tetapi sesungut saya sentiasa dapat mengesan ketulusan maksud di sebalik kritik yang dilontarkan, lantas saya wajib menghargainya. Ambil mana yang boleh dijadikan bahan muhasabah, dan tinggalkan dengan aman apa yang dirasakan bertentangan.

TULISKAN IDEA KAMU SENDIRI

Itulah yang saya serukan kepada peserta Simposium Intelek Muda Islam minggu lalu, “tulislah Petunjuk Sepanjang Jalan kamu sendiri. Tulislah Ma Za Ya’ni kamu sendiri!”

Apa yang saya maksudkan dengan seruan ini ialah supaya kehebatan buku Sayyid Qutb dan Fathi Yakan itu, jangan dihambarkan oleh ketumpulan minda kita membacanya. Sayyid Qutb telah menempuh satu perjalanan yang panjang, dari loceng gereja atas kematian Hasan al-Banna, hingga terpenjara di atas jalan yang sama. Hasil menceburkan diri kepada realiti, terhasillah buku sehebat Petunjuk Sepanjang Jalan, iaitu kombinasi ilmu, analisa, pengalaman dan cita-cita Sayyid Qutb.

Memang hebat. Sehingga Sayyid Qutb ungkapkan di muqaddimah Tafsirnya, “kemanisan hidup di bawah lembayung al-Quran, tidak dapat diketahui rasanya melainkan oleh orang yang menjamahnya”

Soalnya, mampukah anda yang membaca Tafsir fi Dhilal al-Quran merasai apa yang dirasai oleh Sayyid Qutb, jika pembacaan kita terhadap gagasannya hanya berupa sebuah hafalan. Kehebatan kita pula ditonjolkan hanya pada keupayaan kita menaqalkan sebanyak mungkin ungkapan-ungkapan manusia hebat itu.

Saya sendiri bekerja keras untuk membuang gejala menghafal idea dan memuntahkannya tanpa proses. Kerana ini, pelbagai pendekatan baru cuba saya ketengahkan demi menyelamatkan institusi usrah dari semakin hilang signifikasinya kepada mencorakkan perubahan di dalam masyarakat.

MEMANFAATKAN KESEDIAAN MANUSIA BERKUMPUL

Saya tidak mahu melihat institusi usrah runtuh. Sebabnya jelas, usrah tidak bersalah. Ia hanya sebuah medium pertemuan sekumpulan manusia untuk berbincang. Apa yang perlu dibetulkan adalah substance kepada usrah itu.

Usrah sebagai medium pertemuan, sudah ada daya tarikan magnetnya yang tersendiri. Ia harus dimanfaatkan kerana usaha mengumpulkan manusia bukanlah sesuatu yang mudah. Itu intepretasi saya kepada nasihat yang sering dilontarkan oleh Said Hawwa di dalam risalahnya Kai Laa Namdhee Ba’eedan ‘an Ihtiyaajaat al-’Asr (Agar Kita Tidak Bergerak Jauh Dari Apa Yang Diperlukan Oleh Semasa) . Said Hawwa mengatakan bahawa adalah suatu kesalahan bagi seorang da’ie untuk memansuhkan Maulid al-Rasul semata-mata dengan alasan bid’ah.

Alasan Said Hawwa mudah. Setiap kali tibanya 12 Rabi’ al-Awwal yang dikaitkan dengan kelahiran Baginda SAW, maka orang mula tertanya-tanya, “tak ada programkah?”, “tidak ada majliskah?”

Ia adalah suatu kesediaan masyarakat untuk diri mereka dikumpul dan diberi sesuatu. Ia bukan suatu perkara yang mudah untuk berlaku. Maka da’ie tidak harus mensesiakan kesediaan ini. Apa yang penting, perbetulkan cara ia disambut. Apa-apa yang menyalahi agama, buangkan. Isikan dengan apa yang betul.

Ia sama dengan usrah. Antara amilin Islam dengan usrah, komitmennya sudah ada. Komitmen itu jangan disia-sia. Namun pembetulan harus tertumpu kepada isi kandungan dan cara usrah itu dikendalikan.

SUATU PERCUBAAN

Misalnya, semasa Simposium Intelek Muda Islam yang lalu, saya diberikan tajuk “Aqidah Asas Kehidupan Mukmin”. Ahh, sungguh hambar tajuknya. Tidak cukupkah bahan bacaan dan koleksi ceramah yang sudah sedia ada?

Lantas saya mencuba pendekatan baru.

Isinya masih sama, ia masih dalam kerangka mengutarakan Aqidah dari aspek Tauhid yang dilihat pada tiga sudut iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Namun saya cuba lontarkan beberapa sentuhan baru agar 3 dimensi Tauhid ini tidak dihafal secara jumud dan sejuk oleh peserta.

Diskusi bermula dengan berusaha menimbulkan sebab untuk belajar Aqidah. Jika non Muslim belajar Aqidah Islam untuk mengkritik kepercayaannya hingga akhirnya bertemu Tuhan dan kebenaran, bagaimana pula dengan kita yang sudah sedia Muslim? Carikan dalam diri, kenapa Tuhan perlu dikenali. Bongkarkan dalam diri mengapa Aqidah itu mesti dipelajari sehingga impaknya mengubah diri.

Tauhid Rububiyyah bukan untuk menghafal cara kaum Arab Jahiliah memberikan reaksi kepada dialog ketuhanan. Ia adalah untuk membekalkan upaya dialog ketuhanan bagi dirimu sendiri.

Ia adalah juga untuk menimbulkan jiwa hamba dalam diri kita yang mengimaninya. Mempercayai Allah sebagai Rabb, melahirkan jiwa hamba yang bersedia untuk diperhambakan oleh-Nya. Ia akan membina daya tahan diri yang ampuh, bahawa kita hamba dan dia Tuhan yang memiliki kita dan apa yang kita miliki. Maka ibu yang kematian anak, jangan ditanya mengapa anakku yang Tuhan matikan… si ibu dan si anak, dua-dua milik Allah, Rabb yang mencipta dan memiliki alam ini.

Saya ajak peserta untuk melihat dan membandingkan Tauhid Rububiyyah dengan konsep Barat terhadap Nature. Merenung intipati Deism dari perspektif Tauhid Rububiyyah ini… agar implikasinya jatuh ke realiti, bukan hanya hafalan idea yang bakal menjadi muntahan otak yang sia-sia.

Tauhid Uluhiyyah saya olahkan agar ia difahami sebagai pembetulan world view, bahawa kehidupan ini mesti Allah Centric. Buat apa sahaja, pilih apa sahaja, pertimbangannya adalah Allah. Maka Tauhid Uluhiyyah cepat teraplikasi dalam kehidupan di tempat belajar dan kerja, di dalam rumahtangga dan jiran tetangga.

Tauhid Uluhiyyah juga menyelesaikan konflik Self Centered dan Social Centered yang membelenggu kehidupan manusia, apabila reference point masing-masing diangkat keluar dari lingkungan sesama manusia yang setaraf, kepada Absolute Truth di sisi Tuhan.

Manakala Tauhid al-Asmaa’ wa al-Sifaat harus dipermudahkan cara memahaminya. Ia dapat mencegah usrah dari terjebak ke dalam diskusi perbalahan tentang ayat-ayat Mutasyabihaat yang meletihkan.

Saya telah gambarkan betapa di dalam diri saya ada banyak identiti. Saya adalah saya sebagai seorang Hasrizal. Saya juga adalah suami kepada isteri, anak kepada ibu bapa, bapa kepada anak-anak, guru kepada anak murid dan murid kepada guru-guru saya, bergantung kepada sudut mana saya mahu didekati dan didefinasikan.

Begitulah kerangka untuk memahami fungsi ilmu tentang nama-nama Allah.

Bagi insan yang berdosa dan mencari keampunan, Allah baginya adalah al-Ghaffar. Bagi manusia yang mencari keperluan hidup, Allah baginya adalah al-Razzaq. Bagi manusia yang zalim, Allah baginya adalah al-Muntaqim dan al-Jabbar. Begitulah seterusnya. Akhirnya saya jemput peserta untuk memberanikan diri menguji kefahaman mereka tentang hadith Qudsi “Aku seperti mana hamba-hamba-Ku sangkakan tentang Diri-Ku” hinggalah kepada kenyataan “Setiap orang ada Tuhan masing-masing!”. [rujuk komen #25 oleh Fathi Aris Omar di artikel saya "Anti Slogan"]

Santai, tidaklah terlalu mendalam. Namun cuba untuk keluar dari kebiasaan yang menjemukan. Tiada impak dan lesu dari memberikan pengaruh terhadap kehidupan.

glendalough.JPG

Usrah bukan hanya melengkapkan daya intelek, malah turut berfungsi mengasah peribadi dan jati diri

Sebahagian mungkin mengambil sikap mengeluarkan diri dari usrah yang dirasakannya menumpulkan diri. Namun saya akan terus menempatkan diri di dalam lingkungan usrah itu, agar perubahan dapat dijana dari dalam, biar pun jalannya adalah 1000 tahun kurang 50… seperti ungkapan Allah terhadap usia dakwah Nuh ‘alayhi al-Salaam, yang menjadikan saya berlapang dada bahawa cahaya-cahaya perubahan itu sudah kelihatan, biar pun jauh seakan bintang.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace