photofunia-ce973

Makin ramai yang beli buku, makin berat rasa beban di kepala dan jiwa.

Terasa makin besar tanggungjawab, kerana setiap sen yang dilaburkan pembeli, adalah dengan niat untuk mencari apa yang mereka cari. Ilmu, panduan, kebaikan, petunjuk, motivasi… semua yang diperlukan untuk hidup lebih baik daripada semalam.

Itu yang saya rasa.

Dalam tangkas dan pantas tangan menandatangani buku (tandatangan buku oleh penulis tidak wajib, ya! Bimbang ada yang salah sangka), pelbagai rasa menyelinap di celah-celah perasaan saya. Empat kali berkunjung dan duduk di gerai Galeri Ilmu Sdn. Bhd. di sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 ini, saya rumuskan bahawa, kesediaan masyarakat kita untuk membaca, melabur duit membeli buku di era recession ini, adalah suatu petanda yang baik ke arah transformasi jati diri… namun besarlah tanggungjawab penulis, penerbit dan sekalian yang mendukung kalimah dakwah, menghasilkan karya yang sebaik mungkin.

Syukur, buku Rindu Bau Pohon Tin serta Bercinta Sampai ke Syurga terjual sebanyak ribuan unit selama berlangsungnya Pesta Buku ini. Malah buku Aku Terima Nikahnya juga masih konsisten dari segi jualan biar pun menyambut ulang tahun kelahirannya pada April ini. Masuk ulangan cetak yang keenam, saya doakan agar manfaat daripada buku itu terus berpanjangan.

p4250127

Alhamdulillah, Ummu Saif dalam keadaan sarat mengandung, dapat juga meluangkan masa hadir bersama saya ke Pesta Buku pada Sabtu, 25 April. Terkilan juga sebab tidak berkesempatan membawanya merayau-rayau di ketiga-tiga tingkat ruang pameran. Tetapi jenguk yang kali ini cukup bermakna kerana kami berpeluang bertemu dengan ramai kawan lama yang sudah sekian lama tidak bersua.

Ada yang dari Ireland.

Ada yang dari Kuala Terengganu.

Ada juga yang dari Johor seperti ukhti Mai, dalam gambar di atas.

p4250115

Saya dan Ummu Saif tiba jam 11:10, lewat 10 minit daripada masa yang sepatutnya. Terasa kesal juga, namun Alhamdulillah ia tidaklah begitu mencacatkan perjalanan Wacana Buku yang dijadualkan pada jam 11. Che’ Am dari kumpulan Raihan sudah masuk gear 3 menemuramah Ustaz Zul Ramli M. Razali, penulis buku  U-Turn ke Jalan Lurus.

p4190102

Terdahulu saya juga mengambil peluang bergambar dengan Cikgu Abu Hassan Murad, bos besar di sebalik Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Juga anaknya Ummu Hani yang juga seorang penulis dan novelis prolifik yang setia di sisinya.

Ramai sungguh yang berkunjung ke gerai Galeri Ilmu. Tidak kurang juga yang sengaja mencipta kejutan dengan kemunculan mereka di gerai ini setelah lima, sepuluh malah belasan tahun tidak berjumpa dengan saya. Begitu juga dengan beberapa ‘ahli keluarga’ Saifulislam.Com yang setia memberikan komen, berbual dan bersoal jawab hingga rasa ada kemesraan yang sudah terjalin, biar pun belum pernah bersua bagi sesetengahnya.

Terima kasih kepada semua yang hadir. Berikut adalah sebahagian daripada rakaman yang sempat dirakam oleh kamera saya dengan bantuan pelbagai pihak…

ai-jef-dan-ustz-hasrizal

Terima kasih kepada Encik Jeffry dan Puan Siti Hufaidah yang sudi mengirimkan foto ini kepada saya.

p4250131

Bersama Husaini Ibrahim, junior saya di Sek. Izzuddin Shah, pemilik blog yang pesat berkembang Andaiku Pergi.

p4250133

Adik-adik daripada Fakulti Perubatan di USIM. Mereka adalah anak murid kepada pensyarah yang pernah saya sambut sebagai pelajar baru di UK / Ireland dahulu. Aduh, terasa tua sungguh ketika bertemu mereka.

p4250134

Turut membuat kunjungan mengejut ialah Ustaz Erwan Johari, DJ dari IKIM.FM bersama keluarganya. Setelah segmen Islam Hadhari dimansuhkan daripada Selamat Pagi Malaysia di RTM1, saya kurang pasti di gelanggang mana pula kami akan bekerjasama. Terima kasih ustaz dan zaujah atas ziarah.

p4250136

Azamnya tercapai. Janjinya tertunai. Itu yang saya tahu tentang salah seorang pengunjung setia di blog Saifulislam.Com. Aman sudah memasang tekad untuk ke Pesta Buku dan bertemu dengan saya. Alhamdulillah kami berjumpa dan semoga ukhuwwah terus terjalin berkekalan hendaknya.

p4250137

Tidak dilupakan juga, kehadiran saudara Ikmal, pensyarah Undang-undang daripada UiTM Pahang. Beliau juga sering berkunjung ke blog Saifulislam.Com dan baru hari ini sempat bersua. Semoga ‘Rombongan Cik Kiah’ tajaan Ikmal berbaloi ke Pesta Buku kali ini.

p4250138

Ohoho… ini adalah di antara kejutan terhebat. Irfan Sang Pelangi muncul mewarna-warnikan gerai Galeri Ilmu, bersama adiknya. Baru sahaja menamatkan pengajian di Jepun, azam saya ialah untuk melihat sebuah buku karya beliau diterbitkan di Galeri Ilmu pada KLIFB10 Insya Allah.

p4250139

Aha, ini satu lagi kejutan. Saya bertemu dengan saudara Zaid Akhtar yang saya lebih mengingatinya dengan nama Yazid. Percaya atau tidak, menatap novelnya Sesegar Nailofar lama dulu, adalah yang mendetikkan azam di hati saya untuk menjadi penulis buku. Namun saya masih belum pasti apakah saya ada upaya menulis karya berbentuk novel kerana stamina imaginasi jangka panjang saya masih belum konsisten.

saasatul-ibaad

Lebih menambahkan kejutan (berapa kali terkejut), saudara Zaid Akhtar datang dengan buah tangan. Tanpa disangka-sangka, saudara Faisal Tehrani mengirimkan sebuah novelnya siap bertanda tangan sebagai cenderahati kepada saya. Saya masih lagi terkejut melihat kelibat Faisal Tehrani yang kelihatan uzur dengan tongkat dan susuk tubuh yang agak kurus. Tiba-tiba menerima pula novel ini daripadanya. Saya amat kurang membaca novel, tetapi 20 mukasurat pertama Saasatul Ibaad ini, saya sudah tidur malam tadi dengan mimpi ngeri tentang Sultan Mahmud

p4250140

Oh, satu lagi kejutan. Saya bertemu dengan Ustaz Zawadi Che Seman, pakar khat yang juga teman seperjuangan semasa di Jordan dulu. Beliau adalah salah satu watak yang wujud di dalam cacatan Kehendak-Nya Mereka Pergi yang ternukil di dalam buku Rindu Bau Pohon Tin

p4250142

Tidak dilupakan, pertemuan dengan rombongan dari Al-Fikrah.Net. Nampaknya hanya setahun sekali kami bertemu iaitu di Pesta Buku. Tidak sempat berbual panjang kerana sedang bersilat dengan tandatangan buku.

p4250145

Di hujung-hujung masa saya di gerai Galeri Ilmu, Mujahid dan rombongan UM beliau hadir. Alhamdulillah memang ramai pengunjung yang terdiri daripada mereka yang saya kenali melalui program-program ceramah khususnya di kampus-kampus.

edry

Bersama Edry Faizal dari DemiPena.Com yang menyambut ATN dengan pertunangan, ATN2 dengan perkahwinan, ATN3 dengan pertambahan berat badan anak, Insya Allah

aizuddin

Bersama Aizuddin Zakariah. Beliau datang jauh dari JB ke PWTC. Moga kembara tempoh hari menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju Syurga, ameen.

4jejakahiper

Bersama empat jejaka hiper. Taufik, Shahreen, Kusyairi dan Rashid.

p4250144

Sempat juga merakamkan foto kenangan bersama Che’ Amran Idris dan Abu Bakar Md. Yatim daripada kumpulan RAIHAN. Terima kasih kepada Che’ Am kerana sudi menjadi moderator Wacana Buku di sebelah pagi. Juga sahabat setinta seminda dan mudah-mudahannya sejiwa, Abang Ito Lara, penulis lirik prolifik yang buah tangan terkininya termuat di dalam nasyid Hamzah Asadullah dendangan IN-TEAM.

p42038262

Pinjam foto daripada ABUWAFI98

Saya dijadualkan hadir ke gerai Galeri Ilmu untuk tujuan promosi hanya pada Sabtu 25 April 2009.

Tetapi saya merasakan ada tanggungjawab yang perlu saya tunaikan kepada pembaca dan pembeli yang membeli buku saya. Pertamanya, sebahagian besar daripada hasil tulisan saya boleh dibaca di blog ini. Tetapi mereka tetap membelinya atas faktor yang pelbagai.

Membayar RM50 (selepas diskaun) untuk membeli sesuatu yang hakikatnya juga ada secara percuma di talian, adalah suatu bentuk penghargaan yang diberikan oleh pembeli kepada tulisan saya. Setakat berkunjung tiga empat kali ke gerai semusim dalam setahun, saya kira ia adalah sesuatu yang wajar.

Cuma terasa seganlah pula dengan warga kerja Galeri Ilmu kerana muka ini saban muncul. Malah hampir-hampir saya terlewat berceramah di Menara Sentul Jumaat lalu kerana tersangkut di gerai Galeri Ilmu.

“Ustaz buatlah cop yang ada signature sekali” kata seorang sahabat di Facebook saya.

Aha, bukan saya tidak memikirkannya. Tetapi tanpa cop, saya perlu menandatangan. Jika tandatangan sudah diganti dengan cop, saya perlu pula menulis ‘kata-kata hikmah’ secara ala carte yang diminta pembeli. Aduh. Bukan mudah sebenarnya. Akhirnya saya sekadar membuat cop ringkas tetapi tandatangan masih ditulis secara manual.

Saya tahu apa yang dirasa dan difikirkan oleh pembaca semasa berjaya mendapat tandatangan penulis. Biar pun saya jarang melakukannya, tetapi saya masih ada kesan rasa teruja semasa berjaya mendapat tandatangan Karen Armstrong suatu ketika dahulu.

Saya harap, kepada pembaca yang sudi mengirimkan foto-foto mereka bersama saya di Pesta Buku, dapatlah berbuat demikian dengan menghantarnya ke email saya ini:

Ahad… kemungkinan besar saya tidak dapat hadir ke Pesta Buku kerana keutamannya adalah KELUARGA.

Berbahagialah semua yang bertemu dengan ’syurga dunia’ di Pesta Buku.

Teruskan membaca, teruskan berkarya, ia batu bata kita untuk masa depan yang lebih bermakna.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace