Berkalau-kalau Amalan Syaitan

On 01/06/2009, in Diari Kembara -Dataran Syam II, by Abu Saif | 5,566 views | Print Print | Email Email |

mutah

“Argh… tiga puluh Hadith dengan matan dan sanad, campur syarahnya lagi… rasa nak meletup kepala!” saya mengomel sendirian di dalam bilik.

Nota-nota subjek Hadith II sudah selesai saya baca. Ditambah pula dengan subjek Fiqh Hubungan Antarabangsa yang juga peperiksaan kedua semester ini berlangsung pada hari yang sama. Sepanjang malam saya sesak dada dan sesak kepala mahu menghadam semua itu. Tidak cukup dengan peperiksaan, hari ini juga merupakan giliran saya membentangkan assignment subjek Hak-hak Asasi Manusia. Saya diberikan tajuk Hak Beragama Menurut Perspektif Islam.

Tiga subjek untuk dinilai dalam dewan peperiksaan hari ini. Dua daripadanya menyumbang kepada 25 markah setiap satu. Pembentangan pula menyumbang kepada 10 markah.

Saya segera meninggalkan bilik untuk menuju ke kampus. Pintu bilik dikunci. Di dalam bilik saya ada beberapa buah buku yang dibeli dengan syarat yang luar biasa. Dek kerana sensitifnya isi kandungan buku itu di Jordan, saya dikehendaki bersumpah dengan nama Allah untuk tidak mendedahkan daripada mana dan siapa saya membelinya. Memikirkan semua itu, pintu bilik sentiasa saya kunci jika saya tiada di rumah.

“Ehh… kenapa ni? Mustahil!” saya tergamam.

Selesai memakai kasut, pintu keluar rumah saya terkunci. Puas pemulas pintu dipusing-pusing, saya gagal membukanya.

Mungkin ahli rumah saya terlupa kepada pesanan saya malam tadi bahawa pintu atas jangan dikunci memandangkan kami baru seminggu berpindah ke rumah tersebut. Saya tidak mempunyai kunci atas dan kelas saya bermula lewat sejam daripada ahli rumah yang lain.

Aduh!

Jantung saya berdegup kencang.

Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 pagi. Tinggal setengah jam lagi sebelum peperiksaan Hadith II bermula.

KUNCI OH KUNCI

Kata salah seorang daripada ahli rumah saya, pintu bilik saya juga boleh diguna untuk membuka pintu keluar rumah kami. Saya segera keluarkan kunci berkenaan dan cuba membukanya. Malang sekali, kunci itu yang hampir sama dengan kunci pintu depan, hanya boleh diguna untuk dibuka dari luar. Bukan dari dalam.

Saya terus memulas kunci itu.

Bukan lagi untuk membuka pintu, tetapi untuk menghilangkan rasa panik.

Tap!!!

Kunci itu patah.

“Allaaaahu Akbarrrrr!!!!” saya menjerit di dalam rumah.

Mahu ke kelas sudah tidak mungkin. Mahu masuk ke bilik, kunci sudah patah.

Saya terperangkap di ruang tamu rumah yang sejuk.

Di fikiran, sudah terbayang muka Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad yang maha garang itu. Subjek Hadith II kami ambil dengan penuh tekanan psikologi disebabkan oleh garangnya beliau. Tambahan pula dengan muka Dr. Ahmad al-’Audhi yang juga serba menggerunkan. Saya sangat panik.

Dua subjek sedang terawang-awang di udara.

Pembentangan subjek Hak-hak Asasi Manusia juga dalam genggaman tangan saya yang kesejukan.

Untuk keluar ikut tingkap dan terjun dari tingkat dua rumah kedai… mustahil pula rasanya.

Dalam rasa panik yang amat sangat, tanpa sedar air mata saya mula keluar. Saya tahu apa implikasi kejadian pagi ini. Sesuatu yang tidak pernah diduga. Saya segera berbaring di atas tilam di ruang tamu, menyelimutkan badan dan terus mendiamkan diri, termenung dan termenung… menanti petang.

Saya berdoa juga mudah-mudahannya ada ahli rumah saya yang balik sekejap ke rumah di tengah hari. Sekurang-kurangnya pembentangan subjek Hak-hak Asasi Manusia itu dapat saya lakukan.

Malang sekali… saya terus keseorangan, kesepian dalam rasa takut dan resah yang amat sangat.

Selepas solat zohor di ruang tamu yang semakin sejuk itu, saya tertidur kerana keletihan dan kesejukan.

MENJELANG PETANG

“Assalamualaikum. Eh, tak pergi kelas?” ahli rumah saya baru pulang.

Soalan yang ditanyanya bagai lembing menikam jantung.

“Pinjam kunci!” saya bingkas bangun dan menggunakan kunci pintu depan itu untuk membuka bilik saya.

Masuk ke bilik saya terus menghempaskan diri ke katil. Kaset Muhammad Emin Ay saya pasang dan fikiran sengaja dibawa terbang ke alam Othmaniyyah saya dengan iringan Ilahiler klasik Turki itu.

Di sebelah malam, ramai rakan datang berkumpul di rumah saya kerana mereka meraikan peperiksaan yang baru selesai siang tadi. Saya yang masih buntu dengan nasib hari esok, terus cuba mengulangkaji pelajaran, khususnya Hadith II yang kebetulannya ada satu lagi peperiksaan esok pagi. Subjek itu ditawarkan dalam dua sesi, dan saya merancang untuk mengambilnya bersama kelas sesi II yang akan menduduki peperiksaannya esok.

Tetapi suara gelak ketawa di luar bingit sekali.

Dalam marah bercampur letih, saya mengamuk.

“Hoi!!!! Aku tahu la kome dah habis periksa. Diam le ooiii!” saya bertempik dari celah daun pintu yang kemudiannya dihempas sekuat hati.

Rumah jadi sepi.

Video ditutup.

Semua orang bangkit meninggalkan rumah dan pergi ke rumah jiran yang lain untuk melepak.

Saya terasa bersalah, tetapi fikiran saya amat berserabut.

SINAR PAGI… YANG MEMBAKAR

“Kenapa dengan anta?” tanya seorang rakan dari Indonesia.

Beliau hairan melihat saya terpacak di pintu pejabat Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad.

“Ana terlepas exam semalam. Ni nak minta izin dari doktor untuk masuk peperiksaan hari ini” saya memberitahu.

“Ohh, perlu ke nak minta izin? Tak payah! Ayuh ikut saya ke bilik kuliah. Saya juga belum periksa semalam. Kita senasib!” katanya kepada saya.

Dalam fikiran dan perasaan yang masih keliru dan membingungkan, saya mengekori beliau dan terus masuk ke bilik kuliah, tempat peperiksaan bakal diadakan. Entah mengapa, saya terlupa kepada pantang larang terbesar itu. Masuk ke peperiksaan sesi lain, tanpa pemberitahuan dan persetujuan pensyarah.

Setelah mengambil tempat duduk, saya menunggu dengan gelisah. Dr. Ahmad Hasan sudah masuk. Wajahnya seperti biasa. Garang dan menyeramkan. Satu demi satu set kertas jawapan diedarkan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan tempik beliau.

“Set kertas jawapan tidak cukup! Siapa pelajar lain yang masuk ke kelas ini???” Dr. Ahmad Hasan menengking kami di dalam kelas.

GEMPA BUMI!

Saya lihat beberapa orang pelajar tunduk mendiamkan diri. Mereka dari sesi yang sama dengan saya dan entah apa alasan mereka tidak hadir ke peperiksaan semalam. Saya yang semakin serba salah, hampir terputus nyawa apabila diugut oleh Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad.

“Kalau kamu tidak mengaku, saya akan periksa satu persatu. Jika saya jumpa, nahas kamu!” gertak beliau.

Saya tidak mampu untuk berbohong lagi. Dengan kepala lutut yang menggeletar, saya berdiri dan mengangkat tangan.

“Ana doktor!” saya memberikan isyarat kepada Dr. Ahmad Hasan.

Belum sempat saya membuat penjelasan, kertas jawapan di meja saya dicarik-cariknya. Kertas yang koyak rabak itu dicampak ke muka saya.

Barraaaahhhh! Berambus kamu!” katanya kepada saya.

Dengan perasaan malu dan takut yang memuncak, saya berjalan lesu meninggalkan bilik peperiksaan. Saya sudah tahu apakah nasib saya selepas ini.

Menjelang tengah hari, segalanya sudah jelas. Subjek Hadith II mesti saya gugurkan kerana kejadian semalam. Subjek Fiqh Hubungan Antarabangsa juga terpaksa saya gugurkan memandangkan subjek itu hanya ditawarkan satu sesi dan rayuan saya untuk peperiksaan khusus ditolak. Subjek Hak-hak Asasi Manusia, saya berasa lega kerana diberi peluang untuk membentangkannya pada sesi kelas yang berikutnya.

Dua subjek terpaksa digugurkan.

Dengan keguguran dua subjek tersebut, satu semester tambahan pada sesi pengajian tahun berikutnya terpaksa dibuat. Dalam tempoh yang saya sudah sepatutnya tidak lagi berada di Jordan itulah, saya dikenakan HUKUMAN GANTUNG SELAGI HIDUP.

Malang bertimpa-timpa.

Kalaulah saya ambil lebih subjek pada musim-musim panas yang lalu.

Kalaullah saya keluar awal bersama ahli rumah yang lain ke kelas dan mengulangkaji di kantin sebelum peperiksaan.

Banyak sungguh kalau yang keluar, tatkala saya dibelenggu dengan insiden penggantungan biasiswa ketika kebanyakan kawan sudah pun menamatkan pengajian meninggalkan saya yang tersangkut dengan 1001 KALAU.

Akhirnya saya pasrah. Dalam segala keperitan yang berlarutan ekoran kejadian pintu rumah terkunci itu, saya disedarkan dengan pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

hadithkalaukalau

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Apakah hikmah di sebalik kejadian yang berlaku itu?

Saya mengambil masa hampir 10 tahun untuk memahaminya. Berfikiran positif, tidak pernah berakhir dengan kecewa. Alhamdulillah dan Alhamdulillah, atas segalanya.

ABU SAIF@ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Kalau Fiqh Ada Usul Fiqh… Sejarah bukan hanya membaca peristiwa, menghafal nama dan tempat. Ia...
  2. Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween Belfast Castle yang ‘menyeramkan’ “Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak...
  3. Exam: Sungguh Tidak Bersedia Lama sungguh saya tidak menduduki peperiksaan. Seperti yang dijangka, semester...

 

52 Responses to “Berkalau-kalau Amalan Syaitan”

  1. Tak semua pengalaman ustaz indah belaka rupanya….

    tp pengalaman yg pahit juga ada nilai berharga yg boleh dipelajari..

    • hambatan sufi says:

      @Noor Hafhizah, saya tertanya2,hikmah apa yg ingin ditonjolkan oleh para syeikh besar yg mengajar di uni ustaz,hingga perlu berwatak keras dan garang saban waktu? Hikmah apa? boleh bagitahu?

      • @hambatan sufi,

        mungkin sesiapa yg merasai boleh menjawapnya

      • Abu Saif says:

        @hambatan sufi,

        tidak ada apa-apa hikmah yang mahu ditonjolkan.

        di dunia ini, ada manusia hidup di bendang, ada di pekan, ada di sungai, ada di gunung… semua itu mencorakkan manusia jadi pelbagai kesan kehidupannya.

        bagi yang hanya tabah dengan sejenis manusia, hindarkan dari keluar ke negeri orang.

        untuk menjadi manusia berisi, kena belajar dari manusia yang kita suka, dan ‘tidak suka’. sabar… itulah perkataannya

        • hambatan sufi says:

          @Abu Saif, saya secara jujur kurang bersetuju dgn kenyataan tidak ada apa-apa hikmah yg mahu ditonjolkan oleh oleh para ulama’ yg bersikap keras.mereka pastinya punya alasan tersendiri utk berperlakuan sedemikian (dan saya yakin betapa alasannya pelbagai).masakan org alim berpelakuan keras hanya lantaran mengikut panduan nafsu dan tidak memikirkan hikmah yg bakal didapati hasil perbuatannya.cumanya, kedapatan antara kita (misalnya saya) yg seringkali menjadi rebellious apabila diperlakukan se’teruk’ begitu sekiranya saya tidak mendapati hujah bagi setiap perbuatan yg saya tidak puas hati dengannya.bukankah agama itu seringkali menganjurkan hujah bagi menerangkan sesuatu (ustaz sendiri menggalakkan begitu, bukan?).

          jika berada di negeri Eropah, kita terbiasa dgn pensyarah yg bersikap ‘terbuka’ dan menjustifikasikan segala perbuatan mereka terhadap kita.sikap menghormati hak (treat people with dignity) amat dititikberatkan.lantaran kita mampu melihat ‘reasons’ di sebalik tingkahlaku, sbg pelajar kita terdidik utk cuba lebih bersikap memahami dgn sesiapa sahaja.perasaan terdorong utk bersimpati lahir bertitik-tolak daripada sikap mahu bertoleransi, dan menjustifikasi perbuatan, berbanding membiarkan diri diperlakukan secara ‘teruk’ tanpa memahami kenapa kita diperlakukan sebegitu. saya yakin para ulama’ itu punya hujah dan ada hikmah mahu dipertonjolkan (dan itulah yg menjadi persoalan saya, apakah hikmah itu?).

          seseorg yg hanya tabah dgn sejenis manusia, tidak akan mampu meningkat ilmu dan amalannya. saya setuju…

          saya suka konsep sabar yg ingin ditonjolkan oleh ustaz, tetapi saya masih tetap rebel…(saya tidak sabarkah?).salahkah sekiranya saya mahu meminta hak mengetahui justifikasi perlakuan ke atas saya? saya baculkah/degilkah?…mungkin saya terlalu ego…merasakan diri terlalu tinggi (sedangkan realitinya saya rendah amat)…

          • Abu Saif says:

            @hambatan sufi,

            Ulama itu bukannya menonjolkan sifat keras, tetapi itu adalah sifat sehari-harian mereka. Bukan Ulama itu sahaja malah kesemua masyarakatnya begitu.

            Mahu mengubah orang padang pasir dan orang gunung, jadi orang sungai dan orang tasik seperti kita? Lebih baik saya fokus kepada pengajian saya tanpa perlu menyusahkan kepala dengan imaginasi ini.

            Mungkin tentera USA ada penjelasan tentang pengalaman mereka memerangi orang gunung di Afghanistan

          • hambatan sufi says:

            @Abu Saif, baik , sekarang sy faham.sikap mereka (org padang pasir) sememangnya sebegitu. dgn memahami sedemikian, saya tidak akan kisah dgn sikap mereka sekiranya sy berhadapan dgn mereka. saya juga tidak akan ber’imaginasi’ sehingga membuatkan pengajian saya terganggu kerana memikirkan sifat para guru saya yg sepatutnya tidak perlu menjadi kerisauan kepada sy (sekiranya saya memahami mereka). kuncinya mudah, sekiranya semua org memahami akan sikap asli org padang pasir, tidak akan ada yg rebellious dan ber’imaginasi’ tentang sesuatu yg tidak perlu (spt saya) sehingga menjadikan sikap guru yg garang sbg penghalang pengajian saya….simple.

  2. Leokid says:

    Menakutkan pula cerita ustaz ini. Huhu. Tambah2 di saat2 musim exam ni. >..<

    Ustaz, setelah mengetahui akan hikmahnya 10 tahun selepas kejadian tersebut, saya ingin bertanya ustaz – adakah ustaz masih menyesali kejadian tersebut dan percaya jika kejadian tersebut tidak terjadi, ustaz akan menjadi seorang insan yang lebih baik sekarang? Jika diberi peluang untuk hari tersebut berulang semula all-over again, will u do it differently? (maaf, sekadar soalan hypothetical). Saya ikhlas bertanya.

    Teringat pula the butterfly effect. satu keputusan yang kecil hari ini, mungkin memberi kesan yang sangat besar di masa akan datang. Huhu.

    Wallahua’lam. Doakan adindamu ini lancar menempuh bulan peperiksaan. Salam dari Nizhny Novgorod.

    • Abu Saif says:

      @Leokid,

      jika kejadian itu tidak berlaku ==> ia telah berlaku

      jika kejadian itu berulang semula ===> ia tidak akan berulang

      adakah tanpa segala yang terjadi itu, saya akan jadi lebih baik atau sebaliknya ===> penentunya adalah saya, dan bukannya kejadian itu.

      sebahagian diri saya sekarang, adalah hasil mempositifkan kejadian di atas dan rentetan-rentetannya. mustahil saya dapat mempositifkannya, jika diri dibelenggu penyesalan berbunyi kalau, kalau dan kalau…

      selamat menempuh peperiksaan. pastikan kunci rumah berfungsi baik

    • ummualya says:

      @Leokid,
      hmmm…. soalan leokid ni ada unsur KALAU.. (maaf ye gurau je)

      Saya ada juga meletakkan kalau dalam hidup saya.
      KALAU saya mati sekarang adakah saya akan ke syurga, bersama nabiku MUHAMMAD saw yang ku cintai di Firdaus?
      Adakah saya melepasi Siratul Mustaqim?

      Di sini saya meletakkan KALAU..

      Tapi yang lain-lain telah dilalui tanpa menimbangkan apa akan jadi disebaliknya sekiranya ia berlaku sebaliknya..

      Memang benar, apa yang mendatangkan kebaikan kepada kita harus dilihat dengan teliti; dan apa yang mendatangkan kemudaratan mempunyai terlalu banyak hikmah..

      Sesaat menggunakan umur yang agak lanjut sekarang dengan kebaikan; lebih berarti dari mengingati, menyesali tanpa faedah (kecuali akan menghasilkan kesan positif) serumpun peristiwa yang berlaku/dilakukan semasa usia muda..

      (saya melihat Ustaz telah menyahut seruan pengkritik Ustaz – yang tidak biasa dengan SIO.. dengan tidak hanya menceritakan perkara muluk-muluk akhir-akhir ni..)

      Semuga terus istiqamah..

      • Leokid says:

        @ummualya,

        ahaha..itula, saya baca balik artikel ustaz baru sedar – apa yang ditegah itulah yang saya buat. Huhu. Like i’m missing the whole point of the article. T_T

        ps: petanda otak telah tepu? huaa..

      • Pak Din says:

        @ummualya, “menyahut seruan pengkritik”. Walaupun setuju, agak kabur juga bahagian mana? Mungkin cerminmata saya dah hilang power? terutama bahagian yang “muluk-muluk” tu!

        Anyaway, tepat sekali jangan “menyesali tanpa faedah” atau mempositifkan pemikiran, perlu menjadi rench utama kehidupan. Maaf kata, seperti Obama yang menang, “look foward” dan filem Melayu kita “jangan pandang belakang” (yang kalah pertandingan).

        Still look forward to the said business!

        • Abu Saif says:

          @Pak Din,

          Ada pembaca yang tersalah membuat tafsiran. Membaca tulisan saya, membuatkan mereka mengandaikan bahawa hidup saya ini penuh kejayaan, kegembiraan dan kebahagiaan. Dan mereka tidak gemar dengan persepsi sendiri yang mereka bina itu.

          Itulah yang dimaksudkan oleh ummualya sebagai ‘yang muluk-muluk’.

          Saya menyimpan kisah yang ‘tidak muluk-muluk’ kerana ia boleh mencetuskan persepsi yang lebih rumit. Persepsi itu tidak memberi apa-apa kesan kepada saya, tetapi menambah lagi masalah kepada mereka yang berpersepsi itu.

          Hanya setelah saya yakin, saya bisa menyaring dan menulis kisah-kisah hitam itu setenang mungkin, barulah keluar satu dua cerita dalam genre tersebut. Itulah barangkali yang dimaksudkan oleh ummualya bahawa saya telah menyahut seruan pengkritik SIO :)

          Manusia banyak mencari kesusahan hidup melalui persepsinya sendiri. Man is the enemy of his own.

          • Pak Din says:

            @Abu Saif,
            ALhamdullilah … selamat duit tak payah tukar cermin baru. Lagi teruk kalau kena buat pembedahan dapatkan otak baru! Terasa pula berpersepsi menjadi ketua pembangkang. Tetapi bagi yang belum faham politik saya, saya sokong kedua merah dan hijau (termasulkah biru muda dan biru tua tu) sebagai yang memerintah, bukan satu warna, maka kesannya di blog ini ialah, yang saya sokong ialah penyokong dan pembangkang, bukan penyokong atau pembangkang. Issue-based, not party-based. Maafkan pembangkangan kerana terkadang, terlalu berat penyokongan yang ada.

          • ummualya says:

            Benar kebarangkalian ustaz itu..

            Kadang2 masuk SIO membaca komen yang menggambarkan latar belakang pengomennya; saya gembira. Di samping ia juga menjadi petunjuk kurangnya pembaziran masa kita ke atas perkara kurang berfaedah.. kerana manfaat SIO memang jelas.

            Contohnya saya sendiri akan wajibkan buka SIO bila saya hilang pertimbangan! dan membaca ustaz juga hilang pertimbangan (DALAM PERSEPSI SAYA MASA ITU) menyebabkan saya tenang dan berfikir waras semula.. Kalau itu bukan manfaat..entah le.

            Manusia memang akan melihat sesuatu dengan persepsinya…itulah sifat semulajadi semua kita juga.
            Latar belakang, pengalaman dan pendidikan menjadi penentu tahap ukur positif atau negatifnya persepsi.
            Tidak mengapapun, kerana pembaca pun akan evolve juga..

            Bagi saya mudah sifirnya, seorang ustaz yang menceritakan titik bengik hidupnya sebagai teladan, berbanding berjuta blog yang SS, timbul tenggelam dan tak berfaedah, lebih bermanfaat; terutama pada masakini anak muda memang menjadikan komputer teman setia, lebih banyak dikomunikasikan berbanding ibu ayah, suami isteri, malah anak cucu!

            Semuga Istiqomah..ya Ustaz

          • Pak Din says:

            @myself, usah komen panjang-panjanglah …. yang ini paling menarik, “menyebabkan saya tenang dan berfikir waras semula.. ” macam saya haritu kan?

  3. 5wh1 says:

    …setiap dari kita pernah mengalami situasi seperti ini…& bila ust ceritakan kisah ini, hati saya mula terdetik “seiapapun akan diuji, tidak kira ust, ulama, pemimpin, dsb sehingga dengan ujian itu dia akan menjadi orang yang lebih baik”…

    cuma, hanya Allah & diri orang yang mengalaminya sahajalah yang merasai ‘keperitan’ dan ‘kepedihan’ ujian itu….

    Maha Suci Allah…hamba-Mu lemah Ya Allah….

  4. Leokid says:

    Menakutkan pula cerita ustaz ini. Huhu. Tambah2 di saat2 musim exam ni.

    Saya sendiri banyak melakukan kesilapan di masa silam, yang masih menghantui saya walau apa pun yang dilakukan untuk menebusnya. “Kalau”lah itu, “kalau”lah ini etc etc, sering sangat2 bermain di fikiran saya. Saya percaya kehidupan saya lebih baik jika saya mengambil keputusan yg satu lagi. Saya percaya masalah sekian-sekian tak akan timbul sekiranya saya mengambil pilihan kedua.

    Ah, sungguh sukar mencari sinar perak di sebalik setiap awan. (silver lining behind every cloud). Tambah2 jika mendung je berpanjangan.

    Ustaz, setelah mengetahui akan hikmahnya 10 tahun selepas kejadian tersebut, saya ingin bertanya ustaz – adakah ustaz masih menyesali kejadian tersebut dan percaya jika kejadian tersebut tidak terjadi, ustaz akan menjadi seorang insan yang lebih baik sekarang? Jika diberi peluang untuk hari tersebut berulang semula all-over again, will u do it differently? (maaf, sekadar soalan hypothetical). Saya ikhlas bertanya.

    Teringat pula the butterfly effect. satu keputusan yang kecil hari ini, mungkin memberi kesan yang sangat besar di masa akan datang. Huhu.

    Wallahua’lam. Doakan adindamu ini lancar menempuh bulan peperiksaan. Salam dari Nizhny Novgorod.

    (aneh sebahagian comment saya tidak terpapar, saya terdelete agaknya. mohon ustaz delete comment saya yang sebelumnya)

  5. aman says:

    Menarik…

    mcm cerita kawan aman..
    tapi at least ustaz berada in between pintu rumah dan pintu bilik…
    masih ada ruang tamu untuk menunggu…
    kawan aman tu…
    in between pintu depan rumah ngan gate pintu depan tu…
    area tempat letak kasut tu…
    dia terlupa amik kunci, lps tu, bila dia keluar rumah…
    pintu tombol itu dia tertekan dari dalam…
    apabila pintu rumah tertutup rapat,
    grill depan pintu tu kunci juga…
    tinggal dia ada di situ..

    tapi..
    nasib baik dia ada telefon…
    terus telefon aman untuk balik buka grill tu…
    kalu tak, mmg senasib dengan ustaz…
    kena tunggu kawan2 balik..
    hehe…

    semoga perkara sedemikian tidak berlaku lagi…
    insyAllah…

  6. pembaca says:

    salam.

    kenapa sejak akhir-akhir ini ustaz banyak bercerita tentang pengalaman pahit di Jordan?

    ana teringat lagi dalam artikel-artikel ustaz 2 tahun yang lalu, ustaz akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menyentuh kisah-kisah pahit ustaz di sana…

    tiba-tiba ana rasa risau pulak… adakah ustaz dalam keadaan yang stabil?

    insyaAllah ana doakan kesejahteraan ustaz di dunia dan juga akhirat. semoga terus thabat dan istiqamah ya Abu Saif!

    • umiecuie says:

      @pembaca, saya pon terfikir macam tu.. Moga ALLAH tabahkan hati ustaz atas segala ujian.. Kisah yang lepas tu adakalanya leh menguatkan lagi hati kita yang sedang ditimpa ujian..mendekatkan lagi diri dgn-NYA…

  7. diana says:

    musibah mendatangkan muhasabah,
    muhasabah akan membimbing kita ke perspektif yang akhirnya akan menyedarkan kita, betapa kerdilnya diri ni di sisi Dia..seterusnya buat kita redha dengan qada’ dan qadarNYa..ALHAMDULILLAH:)

  8. Q-riuz says:

    tidak semua pengalaman adalah manis
    tidak semua pengalaman adalah pahit
    tetapi semua pengalaman adalah pengajaran
    wallahu’alam
    ~_~

  9. mujahidhisyam says:

    subhanallah… garang betul ust Ahmad Hassan tuh. :)

    ‘KALAU’ ada yang dibenarkan dan ada yang dilarang sebagaimana larangan dalam hadith tu. ini yang saya pernah baca dalam buku ‘Fatwa Iman’ terbitan Alaf 21; diambil dari Fatawa Imam ibnu taimiyah.

  10. AsadulQalb says:

    Salam ustaz

    Terima kasih di atas cerita ustaz.Teringat kata-kata Ustaz Pahrol dalam bukunya.

    Manusia sering menghitung nikmat, tapi lupa pemberi nikmat.
    Manusia sering mengeluh pada kesukaran, tapi lupa menghitung kesyukuran.

    Terima kasih dan syukur ustaz sentiasa kuat dan tabah. Memberi semangat dan kesungguhan pada kami generasi baru melalui pengajaran cerita dan kisah pengalaman ustaz.

    Moga kekuatan terus bersama ustaz dan kita semua.

    p/s : Musim imtihan juga di Jepun ;->

  11. arulz says:

    cerita pasal imtihan ni, kami tengah nihaie di Jordan ni ust.doakan lah yer..jadual pulak 1 hari dua exam..boleh tahan serabutnya :) , doakan kami diberi kekuatan dan sentiasa positif..

  12. PG says:

    Salam Ustaz.
    Hidup ini memang banyak sangat dipenuhi dengan `kalau`.

  13. lutfihafifi says:

    Salam alaiq…
    Baru sahaja saya mengahabisi kertas terakhir imtihan nihaie sebentar tadi…
    Kuliyyah Sharia’ , University Mutah sememangnya digeruni dengan sesetengah Doktor yang amat garang dan tegas…
    Mungkin kini keadaannya jauh lebih berbeza , pernah Doktor berkata didalam kelas , pelajar Malaysia sekarang tak sama macam pelajar Malaysia dulu-dulu…
    Lain zaman , lain ceritanya…

    Teringat kisah kunci-kunci…
    pernah sekali saya terkunci dalam rumah , akhirnya tak boleh ke kelas…ponteng kelas sehari…

    Alhamdulillah , segalanya sdh berakhir…
    ustaz , doakan kejayaan saya dan kawan-kawan di Mu’tah!!

  14. sufi mustika says:

    aduh…seperti sama je apa yang ana pernah rasa…esok nak exam malam ni bancuh kopi pekat kaw..sepanjang malam tak tido untuk study..pagi esok jantung rasa lemah…masuk dewan dah rasa nak pitam…alhamdulillah..semuanya berjalan lancar…

  15. Frewdell Maxim says:

    subhanallah,

    maha suci Allah yang menciptakan ‘KALAU’.

    ‘KALAU’ yang diucap tatkala hati pesimis dalam masalah – sesungguhnya itu ujian Allah.

    Namun jika ‘KALAU’ itu terbit dari kata-kata yang beraura optimis – Insya Allah itu adalah titik mula dimana jalan penyelesaian terbuka.

    ‘KALAU’ aku ingin menangkap semula masa lalu, pastinya takkan sampai ia digenggaman kerana masa lalu itu terlalu jauh.
    Tetapi ‘KALAU’ aku mencari jalan dalam mencongak-congak masalah, Insya Allah, masa depan akan memihak padaku walaupun sesaat selepas semua ini berlalu.

    Insaf pulak saya mendengarkan cerita Ustaz ni.(hehehe)

    Tapi Alhamdulillah, dengan adanya Masalah maka ada Penyelesaian.

  16. aman says:

    Salam ustaz…
    ada sedikit pertanyaan…
    bagaimana kehidupan seorang penjual insurans…

    everyday mereka akan bercakap mengenai…

    KALAU…
    JIKA…
    ANDAI….

    semua tu membawa satu maksud…
    antara ayat-ayat harian mereka….

    “kalau encik kemalangan………”
    “andai puan meninggal muda…..”
    “jika tiba-tiba encik jatuh sakit….”

    macam-macam lagi pandangan mereka…
    tentang kalau ini…
    apa pandangan ustaz…
    memandangkan…

    BERKALAU-KALAU AMALAN SYAITAN…

    apakah mereka ini melakukan amalan syaitan hari-harian dalam hidup mereka….

    wasalam…
    (pertanyaan dari golongan GEN-Y)

  17. islah says:

    salam,lately, lain je cara ustaz tulis..ana ‘terbaca’ emosi ustaz…entah benar entah tidak,, perasaan ana je

  18. tintataghyir says:

    Sesuatu kesilapan yang tidak terduga adalah sangat menduga. Hikmahnya orang itu yang sendiri boleh rasa.

  19. Tronx013 says:

    salam,

    orang yang bercita-cita besar kenalah bersedia menghadapi dugaan yang juga sebesar impiannya, terutamanya pendakwah yang mahu menegakkan yang hak..

    perjuangan yang mudah hanya untuk yang lemah..
    perjuangan yang terlalu susah bagi mereka yang menyusahkan diri.. besederhana dalam menghadapi dugaan… contohi rasulullah.

    sekadar pandangan… :)

  20. pali says:

    salam ustaz dan teman- teman.

    Musim peperiksaan memang “meletihkan”. Otak perlu berfikir dan faham apa yang belajar, dan pada masa yang sama Emosi pun bergolak sama. Masa-masa inilah pelajar akan jadi paling sensetif.

    Kesabaran akan diuji dari pelbagai arah. Pada masa ini pun terasa pertolongan Allah itu amat perlu.

    Biar mata orang memandang berat situasi yang kita alami, tapi jika kita sendiri tidak merasakan ianya berat, itu bermakna UJIAN KESUSAHAN belum lagi tiba.

    Bila emosi MELETUP, abis la semua. Saya pun tak terkecuali. Masih lagi ada sisa-sisa kesan peperiksaan lepas.

    Doakan Allah SWT golongkan kita semua dikalangan orang yang sabar. Ameen.

  21. saif shah says:

    salam’alayk…

    kisah kali ini adalah kisah smbgn yg dahulu ye…
    seperti seorang yang sedang membaiki lampu… sudahkan jatuh, ditimpa tangga, kemudian ditimpa lampu tersebut pula… (just analogy ana)…

    mmg saat exams, saat di mana tekanan adalah sangat tinggi, di situlah peluang yg plg mudah untuk kita “jatuh” kerana kita berada dlm situasi yg sgt ‘fragile’… di situ juga peluang si syaitan laknatullah ni mencucuk diri kita, menyebabkan banyak perkara2 kecil yg xpatut di’gaduh’kan, boleh tercetus dgn sndirinya…

    mmg itulah yg sdg ana lalui skrg… ‘common sense’ jugak sgt ptg semasa menghadapi keadaan spt ni… bile benda yg common, sdh jd ‘luar biasa’, lg buruk jdnya… [teringat artikel ustaz yg ni.. Common Sense: Kebiasaan Yang Kini Luar Biasa]

    Jd, perlunya kita lebih mendekatkan diri kepadaNya dalam menghadapi situasi2 spt “exams finale” ni… insyaAllah… maaf memanjangkan tulisan, mungkin bahana yg same sdg melanda jiwa…

    Bittaufiq wannajah pd yg sdg berjuang…. :)

  22. justiØ says:

    huh..criter2 camni la yg bagus!! penuh dgn saat saat dramatis dan tragis..harap ustaz buat lebih lg!

  23. semail says:

    barrahhh!…..hui gedebe bena setara tu ustaz!

    kalaula ustaz minta izin dulu… hihih

    takpa…

    makin besar ujian datang makin besarlah ganjaran menanti…

  24. Husaini says:

    Sekadar menambah perisa…

    Sefaham ana, kalau yang ditegah dalam hadith dan syarak adalah untuk perkara yang telah berlaku seperti cerita Ustaz di atas. Adapun dalam Bahasa Melayu kita ini, ada ‘kalau’ yang tidak membawa konotasi di atas, iaitu penyesalan tetapi lebih kepada syarat, sebagai contoh:

    Kalau saya pergi, adakah awak akan ikut sama?
    Kalau saya berkelapangan, Insya Allah saya akan hadir di majlis itu.

    Maka, ‘kalau’ seperti ini sefaham ana, tidaklah termasuk dalam tegahan tersebut, sekadar keluasan makna dalam bahasa Melayu. :-)

  25. Pak Din says:

    1. Bahagian kedua telah disempurnakan. Masih ada 34 tahun lagi perlu diceritakan. Kalaulah kurang dari itu, pengalalam yang sedang dan akan dilalui, terus menjadi bahan. Kepakaran menarik fabrik ruang-masa, seperti yang pernah saya kemukakan sebelum ini, adalah selari dengan Teori Eienstain. Kehidupan ini satu perjalanan dan sesiapa yang berhenti kerana merasakan kepenatan, pasti akan kesuntukan masa dalam memperolehi sesuatu. Tambah lagi sesiapa yang berkalau, dengan definasi yang kurang jelas, sudah pasti akan merasakan tambahan kesuntukan waktu menyelesaikan Tidak dinafikan adanya manusia yang tidak merasakan apa-apa masaalah lansung di dalam kehidupannya.

    2. “Berfikiran positif, tidak pernah berakhir dengan kecewa.” Saya sangat setuju dengan kesimpulan itu, dan kalau Ustaz mengambil masa 10 tahun memahaminya, saya hanya mula merasakan kebenarannya selepas berumur 40 tahun, di mana kehidupan bermula. Pernah juga saya bertanya, “If life begin at 40, what’s there before life?”. Kita akan bertanya soalan yang sama selepas dibangkitkan dengan kenderaan jasmani yang baru nanti di Akhirat. Di di sana nantilah semua yang tidak pernah berkalau sebelum itu, akan berkalau berterusan, menyesali apa yang telah dilakukannya di Dunia. “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna”.

    3. Menarik kesimpulan yang diberikan, “berfikiran positif”. Kalaulah ia boleh diuji, di tahap mana positifnya, arah 1 atau arah 10? Peringtan Allah di dalam AQ bahawa tidaklah kita beriman sehingga diuji keimanan itu, perlu diapplikasikan di sini. Mari kita positifkan pemikiran kita dengan menegatifkan huraian peringatan Nabi saw, yang Ustaz paparkan. Huraian di atas menyetujui sepenuhnya peringatan tersebut. Bagaimana kalau saya katakan sata tidak bersetuju? Apakah saya berjaya menegatifkan pemikiran yang telah dipositifkan? atau sebanarnya pemikiran kita masih banyak yang terlalau negatif, sehinggakan sedikit charge positif, kelihatan sebagai telah berjaya mempositifkan keseluruhan?

    4. Kita, sebagai manusia, diberikan kebebasan menjadi orang yang pro-aktif atau re-aktif. Makan sambal terus merasa pedas, itu adalah orang reaktif. Belum makan sambal sudah terasa pedas, maka itulah orang proaktif. “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna”. Bagaimana kita boleh menyesal kepada sesuatu yang belum kita lakukan? Inilah persoalan asas yang perlu diambil kira, semasa membincangkan hadis Nabi saw di atas. Berkalau bagi orang proaktif adalah sesuatu yang sangat positif, tetapi berkalau yang menjadi amalan syaitan adalah, seperti apa yang dilakukan oleh orang jenis reaktif. Berkalau setelah melakukan sesuatu tanpa perancangan rapi, hanyalah menjadikan kita orang yang tidak memahami Carakerja Allah.

    5. Qadar Allah adalah Super-ProgramNya yang menentukan segala yang berlaku di Alam ini, sejak Azali. Ia adalah Sunnah Allah dan ia tidak pernah dan tidak akan berubah mengukit masa atau zaman. Carakerja Allah setiasa sama dan dipenuhi dengan perkataan kalau atau bahasa programmingnya if dan what-if. Kalau mahluk melakukan A, maka dia menerima hasil A, kalau mahluk melakukan B dia menerima hasil B. Segalanya berkalau dan itulah asas Qadar Allah yang Maha Adil. Segala ciri ditentukan dan bukanlah menntukan siapa atau apa akan berlaku. Qadar menentukan apa akan berlaku, cause and effect, sebab dan musabab, sebagaimana peringatannya di AQ, Dia menjadikan sesuatu dengan angka dan sebab.

    6. Saya sentiasa memerlukan Orang Agama seperti Ustaz, untuk berusaha ke arah menajdi Orang Beragama yang mengenali Tuhanya yang bercirikan Islam. Sebagai Orang Sains, yang ingin Beragama, saya sibuk dengan pemikiran cara kritis, dengan menganalisa segala data yang diberikan atau di persekitaran. Sebagaimana Orang Agama sibuk dengan silibus Agamanya, saya sibuk dengan silibus Sains, yang asasnya adalah mempelajari Carakerja Allah. Kedua-dua ini memerlukan penserasian, dan satu titik pertemuan perlu diusahakan bersama. Kiranya tiada pemikiran positif, ke arah minda kritis, titik pertemuan itu tidak akan ditemui. Maka ketika itu, seperti yang berlaku hari ini, Orang Agama mempertahankan Agama dan Orang Sains mempertahan Sains. Kedua-duanya tidak tepat di atas konsep menjadi Orang Beragama, melainkan mereka bersama.

  26. hex-everros says:

    salam..nak tahu…buku apa yg sampai kena sumpah kalau nak beli???..huhuhu, sekadar menyelit…

  27. ummualya says:

    Ingin sekali saya berkongsi kisah ini dengan pembaca..
    (Mengenai KALAU)

    Saya pernah menangis tanpa henti pada suatu hari. Bukan kerana sedih tetapi terharu dengan kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT. terhadap saya yang sentiasa berdosa..

    Episod 1 :

    - Ibubapa bercerai semasa bayi, lalu dalam perebutan kedua ibubapa, saya dilarikan ayah jauh ke Selatan. Ayah berkahwin lain dan saya telah melalui episod penderaan dan kejahatan ibu tiri yang sukar digambarkan. (macam filem Normadiah yang memukul 2 adik beradik tu..)

    - Fast forward; ditakdirkan ibu yang menderita rindu telah menjumpai saya yang telah di”abandone” oleh ayah dan ibu tiri di rumah saudara mereka – yang punya berbelas anak, ibu tunggal, miskin dan papa; semasa saya 8 tahun (tidak ke sekolah!)

    - Ibu menyekolahkan saya semula dan menatang saya dengan didikan yang lembut, tegas, empati..

    Episod 2 ;

    - Dalam usia semakin jauh ini, saya mencari dan cuba mendekatkan silaturrahim dengan adik beradik satu ayah dengan ribu tiri (ramai sekali!) yang dahulunya kejam itu; sebagai tanggungjawab.

    - Baru-baru ini saya berjumpa salah seorang adik. Kami bersembang dan berpelukan. Dia nampak biasa sahaja. Sehinggalah dalam perjalanan pulang saya menerima panggilan telefon adik yang lain yang menasihatkan saya jangan rapat dengan adik itu kerana perangai dan kejahatannya yang diluar batasan (tidak sanggup saya tuliskan..)

    Saya menangis malam itu kerana mengenangkan kisah2 lalu :
    - KALAUlah saya dilayan bapa dan ibu tiri dengan baik; diterima dan tinggal dengan mereka, saya mungkin bahagia luarannya; tetapi hakikatnya mereka tidak pandai mendidik dan memberi ilmu agama, tikar solat jauh sekali; malah mencuri ayam untuk dikari di siang hari di bulan puasa (saya pun makan masa tu.. umur 6 tahun mana tahu).. ===> tentunya kebarangkalian saya berperangai jahat sebegitu adalah 10/12 (rasanya dua orang sahaja dari adik sebapa yang “senereh”)

    - KALAU saya tidak diajar derita dan tanpa kasih ibu.. mana saya tahu NILAI kasih ibu?

    - KALAU saya tidak diuji ALLAH SWT dengan konflik kenyataan dan latar suasana berlainan..
    (saya diberi ayah sendiri – cerdik tapi tidak bertanggung jawab, ibu tiri kejam; TETAPI pada umur 8 tahun diganti ibu yang mengasihi dan mendidik dan ayah tiri lurus bendul sebaik malaikat!)

    - KALAU nak cerita; panjang sekali; tetapi untuk menjadikan cerita ini positif adalah:

    Ringkasnya tangisan itu adalah tangisan kesyukuran kerana takdir ALLAH swt – yang memisahkan saya dengan ibu semasa bayi (saya tidak tahu kesakitannya – tapi ibu tahu); memulangkan saya kembali di peringkat umur yang perlukan didikan dan belaian; dan menjauhkan saya dari keluarga seperti NERAKA DUNIA itu…

    .. Agar saya menghargai sepenuh2nya apa yang saya ada, sudah saya maafkan arwah ayah yang melarikan saya dari kasih ibu; lalu membuang saya (bukan menjaga bagai sepatutnya); dan selebihnya pengalaman pahit yang adakalanya terlintas jua difikiran; tidak lebih sebagai hikmah sahaja, ia tidak lagi menyakitkan!!

    Benar2 saya rasakan ALLAH SWT menyayangi dan IHSAN pada hambaNYA ini ..

    Akhirat jua yang kekal abadi..

    Wallahualam.

    KALAULAH perkongsian ini boleh bermanfaat.. dan dilihat dalam persepsi sepatutnya..Alhamdulillah

    • Pak Din says:

      @ummualya, You have good points there, cos its a different kind of ‘kalau’, tidak dalam kategori yang saya ceritakan atau Sdr Husaini. Apapun saya pernah tulis, “baiknya kita kerana zuriat yang baik, tidaklah sehebat baiknya kita dari zuriat yang kurang baik” atau beragamanya kita kerana silibus Orang Agama, tidak sehebat …

  28. saiful says:

    salam….
    salam membaca jugak..
    menariknya carita baru ni ….tapi nasib baik ustaz tak terjun ikut tingkap :P

  29. saiful says:

    firman Allah yg bermaksuk: sesungguhnya pada kesusahan itu ada kesenangan :)

  30. saya says:

    fuh…
    saya suka post mcm ni…
    mengajar kita, student especially supaya bersabar…
    saya pun student di negara arab dan amat menyampah dgn org arab nih..
    tak beradab, tak tau jaga perasaan orang, tak jaga kebersihan, meniru dalam kelas dan macam-macam lagilah perkara yang menjengkelkan…
    tapi…

    “bagi yang hanya tabah dengan sejenis manusia, hindarkan dari keluar ke negeri orang”

    terkena batang hidung saya sampai terpatah!

    tp saya da sampai ke negeri orang…
    tak relevan la KALAU cakap:
    “KALAUlah aku tak datang negara arab ni…”
    tapi lebih baik saya belajar bersabar dan menerima sebab saya dah pun menjejakkan kaki ke sini…
    there’s no turning back!
    juz hadapi je semuanya…
    barulah kita boleh menikmati ‘adventure’ hidup ini!

    selamat menghadapi peperiksaan…untuk saya.

  31. me says:

    think positive!

  32. azrul88 says:

    hurm,dr pembacaan sy tntng hidup ustaz spanjang bergelar student, dpt sy ungkaikan, kejayaan kite bkn la di tentukan oleh dr kite, tp Allah, tak kira sesedia mane pn kite, itu hanya usaha kita, Allah jua lah yg menentukan, perkataan kalau tu da bnyk kali terlpas dr mulut sy, Alhamdulillah, tersedar jua sy ttg silap sy selama ni, mmg hidup di perantauan ade bnyk perit jerihnye berbnding hidup di tanah air sendiri, tp bak kata org, pengalaman tu merupakan harta berharga kita..insyaAllah sy akan kentalkan dr ni menghadapi sume perkara yg berlaku di bumi asing ni..semoga Allah merahmati kita sume :)

  33. nurzilla says:

    Assalamualaikum,
    Pengalaman mematangkan manusia. Lebih2 lagi pengalaman pahit.Ujian datang tanpa diundang.

    Teringat semasa berada di tahun 2 di Universiti Al-Bayt.Ana terlepas imtihan akhir subjek Aqidah.Coz demam beberapa hari. Lepas baik dari demam, terus jumpa pensyarah untuk mohon ambil periksa.Tapi , tidak dibenarkan sebab tak ada surat m.c.Silap ana juga sebab lupa nak mintak m.c semasa di klinik Universiti hari tu.

    Lepas pensyarah kata ‘Asif..laa yumkin ‘, ana terus turun ke tingkat bawah.Tak semena2 jadi sebak dan terus menangis.Masa tu lengang , tapi tak pasai2 tengah2 duk menangis tu, ada pulak 2 orang syabab malaysia kat situ.Depa heran .Seganlah pulak.tapi, pada waktu itu jugak,ada lalu seorang akhawat arab.dia bawak ana jumpa ketua kuliah syariah.Ana pun ceritalah kat dia.Lepas tu , ketua kuliah panggil pensyarah subjek Aqidah dan minta dia benarkan ana ambil imtihan juga.Akhirnya,Alhamdulillah..dapat juga imtihan.

    Pengalaman pahit memang banyak di perantauan…sesiapa yang pernah jadi anak perantau pun akan alaminya.Jika iman tak kuat, musnahlah masa depannya.

  34. [...] Pak Din: 1. Bahagian kedua telah disempurnak… [...]

  35. [...] 5. di dunia ini, ada manusia hidup di bendang, ada di pekan, ada di sungai, ada di gunung… semua itu mencorakkan manusia jadi pelbagai kesan kehidupannya. bagi yang hanya tabah dengan sejenis manusia, hindarkan dari keluar ke negeri orang. http://saifulislam.com/?p=5775#comment-52099 [...]

Leave a Reply