
Saya jarang ke sekolah.
Puncanya mudah.
Semakin jauh jarak usia, semakin mencabar usaha untuk mencari ketepatan hikmah di dalam dakwah. Apa yang kita fikir, mungkin jauh daripada apa yang ada di benak fikiran, adik-adik yang terpisah oleh dua dekad usia.
Namun tatkala merenung usaha untuk mendidik anak sendiri, saya sedar akan kekurangan yang saya hadapi. Saya kekurangan banyak kemahiran untuk membantu anak sendiri yang sudah bukan anak kecil lagi, tetapi masih di usia yang jarang saya temui di dalam pengalaman berdakwah dan berceramah motivasi.
Itulah yang mengusik hati saya, untuk berusaha turun setingkat lagi. Turun yang sebenarnya satu peningkatan. Saya mula ke sekolah, membantu anak-anak di sana.
Tambahan pula, melihat anak-anak muda di universiti hari ini, ramai yang seperti terlepas sesuatu dari alam persekolahan mereka. Tempoh pengajian yang semakin dipendekkan di universiti, mereka harus sudah separuh masak sebelum meninggalkan alam sekolah.
Mengeluh tidak berguna, tindakan yang mesti digerak usaha.
LAMBOR KIRI

Saya masih kehairanan, bagaimana saya boleh sampai ke Lambor Kiri.
Tetapi itulah nilai sebuah persahabatan.
Cikgu Azhar yang menerajui usaha menjayakan program saya di Lambor Kiri, dahulunya rakan sepasukan dalam tentera debat di Sekolah Izzuddin Shah. Saya di Tingkatan 3, beliau di Tingkatan 6 Atas.
Terima kasih kerana masih ingatkan saya.
Ingatan yang menjadi sebab beliau mengundang saya untuk berkongsi pengalaman, semangat, fikiran dan pengetahuan bersama pelajar-pelajar Tingkatan Tiga dan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri. Sekolah ini adalah di antara sekolah yang terbaik di Daerah Perak Tengah. Ada sebahagian pelajar yang tinggal di asrama sekolah ini, datang dari Kuala Lumpur kerana mahukan sebuah sekolah cemerlang di dalam suasana desa, atas sebab yang pelbagai.
Kali pertama saya ke SMK Lambor Kiri adalah pada bulan April yang lalu. Sekadar satu slot untuk berbicara tentang Hijrah dan Perubahan.
Namun kali ini, saya diberikan masa dua hari untuk berwacana bersama pelajar Tingkatan 3 dan 5 sebagai persiapan mereka untuk menempuh peperiksaan PMR dan SPM tahun ini.
5 slot diperuntukkan. Saya berasa sangat berpuas hati dengan ruang masa yang banyak.
Diskusi bermula dengan formula yang sama. Kecemerlangan bermula dengan tabiat cemerlang. Tabiat, sikap, atau di dalam bahasa Islamnya, AKHLAQ, merupakan kunci penting.
PMR dan SPM, ilmu pengetahuan yang ditawarkan oleh dua peperiksaan ini tidak bertahan lama. Tetapi peperiksaan ini menghadiahkan sesuatu yang akan diguna pakai oleh semua pelajar di sepanjang hidup mereka, iaitu USAHA yang membentuk SIKAP dan DISIPLIN.
Jika gagal PMR dan SPM, kita masih boleh berjaya dalam hidup, andaikata kegagalan itu bukan berpunca daripada kelemahan sikap, tetapi oleh sebab-sebab yang tidak dapat dijangka.
Akan tetapi, jika gagal PMR dan SPM kerana masalah sikap, atau berjaya cemerlang di dalam SPM tetapi tanpa kecemerlangan SIKAP yang setanding dengan A itu, kehidupan sukar untuk ditempuh, baik di dunia, mahu pun di Akhirat.
Kerana adanya Akhirat, kita punya sebab yang lebih besar untuk cemerlang.
Syurga hanya menerima keahlian manusia hebat dan cemerlang.
Cemerlang bukan pilihan. Tetapi matlamat yang sudah ditentukan.
Allah sudah memulakan penciptaan kita dengan penciptaan yang cemerlang. Murkalah Dia andai kita pulang dengan segala kegagalan, kecacatan hidup, apatah lagi dengan alasan-alasan yang menambah kemarahan.
Pelajar juga dibawa berkongsi kaedah, bagaimanakah tatacara kehidupan di dalam solat, dibawa ke dalam pembelajaran dan kehidupan. Hakikatnya, semua adalah ibadah dan ibadah adalah satu-satunya sebab Allah menciptakan kita. Setelah pelajar diberikan panduan tentang hal ini, yang kesemuanya saya simpulkan di dalam kalimah SABAR dan PRO-AKTIF, hari pertama disempurnakan dengan SOLAT SEBAGAI TALIAN HAYAT.

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan berSABAR dan dengan berSOLAT; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” [al-Baqarah 2: 153]
PEMBINASA
“Dosa Pemutus Kasih dan Sayang,” ia adalah mesej saya kepada murid-murid ini di sesi akhir bersama mereka pada pagi Ahad.
Pelajar diingatkan tentang bencana dosa di dunia dan di Akhirat.
Saya memilih untuk berbicara tentang dosa ZINA dan dosa menyakiti IBU BAPA.
Alhamdulillah, diskusi ini mengundang banyak soal jawab dan saya amat berpuas hati dengan kerjasama mereka. Biar pun saya kepenatan dan hampir hilang suara sebagai masalah biasa setiap kali berceramah di dewan besar, saya berasa lega dan hilang segala keletihan apabila mendapat soalan yang banyak dan bernas daripada pelajar yang menyertai.
Seperti biasa, apabila persoalan cinta timbul, inilah topik yang berjaya mengunci kepala, mata dan telinga semua orang untuk memberikan 100% tumpuan kepada penceramah. Rugi sekali pendakwah yang memencilkan tajuk cinta daripada modus operandi dakwah mereka kepada remaja.
Program disempurnakan dengan satu sesi ceramah bersama ibu bapa pula.
Sedikit kekok untuk bercakap tentang ibu bapa di hadapan anak-anak. Namun saya tidak punya pilihan. Mesej mesti disampaikan bahawa separuh masalah anak-anak boleh selesai dengan menyelesaikan masalah ibu bapa, dan anak-anak pula apabila aqil dan baligh, tidak lagi boleh meletakkan punca masalah mereka kepada kesalahan ibu bapa. Sesungguhnya aqil dan baligh itu hakikatnya ialah sebuah keupayaan membuat pilihan sendiri, menanggung dan menjawabnya sendiri… di SANA nanti.
Terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri. Juga selamat bersara buat Tuan Pengetua. Selamat berjaya buat adik-adik semua. PERCAYA… BERJAYA!
Tidak dilupakan juga Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah yang turut memberikan sokongan dan sumbangan ke arah menjayakan program ini.
SEKOLAH MENENGAH ISLAM AL-AMIN, GOMBAK

Tidak hilang lagi rasa hangat saya pulang dari Lambor Kiri, agenda memberi diteruskan lagi ke Sekolah Menengah Islam al-Amin di Gombak pula.
Program anjuran Kelab Kelas Tingkatan 3 dan Kelab Kelas Tingkatan 5 ini sudah sekian lama dirancang.
Banyak cabaran di sepanjang proses menjayakannya malah sehingga ke seminggu sebelum program, saya sendiri kehilangan suara kerana asthma yang disebabkan oleh cuaca berjerebu dan tubuh badan yang keletihan. Namun syukur kepada Allah, program yang diatur sejak sekian lama ini berjaya juga diadakan.
Saya diberikan satu slot untuk calon-calon PMR 2009 dan satu slot lagi untuk calon-calon SPM 2009.
Hakikatnya tidak banyak yang dapat diperkatakan dalam tempoh satu atau dua jam bersama pelajar ini, tetapi kepada Allah jua saya pohon, agar jawaami’ ul-kalim (the comprehensiveness of speech) dikurniakan serba sedikit agar tempoh satu jam itu boleh memberikan bekalan terakhir kepada pelajar-pelajar ini yang hanya ada sekitar 100 hari sahaja lagi sebelum menjelangnya peperiksaan.
Pelajar-pelajar Sek. Men. Islam al-Amin lebih banyak mengingatkan saya kepada diri saya sendiri.
Banyak yang berlegar di benak fikiran mereka, dekat dengan pengalaman saya semasa di bangku sekolah. Justeru, sesi bersama mereka jauh lebih mudah dan proses membina jambatan hati itu lebih segera kerana keserasian mungkin lebih pantas terhasil, Alhamdulillah.







Saya ringkaskan segala mesej, yang juga berkaitan dengan soal pembangunan sikap, keyakinan diri dan disiplin, melalui kata-kata penuh makna oleh sifu terkini saya, Master Oogway dari animasi Kungfu Panda:
There is no secret ingredient. You just have to believe!
Ya, itulah yang saya mahukan.
Membina keyakinan dan kepercayaan mereka, bahawa mereka mampu melakukannya.
Dan jika mereka bersetuju untuk merealisasikannya mulai hari ini, mereka sudah pun berjaya. Sesungguhnya kejayaan itu bukanlah suatu destinasi. Ia adalah sebuah perjalanan.
Bergeraklah kalian di atas keberkatan dari Allah.
Terima kasih kepada Puan Fauziah Husain, Encik Husna Syukor, Encik Mustaffa Abdullah, Encik Azizi Abu Bakar dan seluruh pasukan guru dan ibu bapa Sekolah Menengah Islam al-Amin yang telah berusaha ke arah menjayakan program tempoh hari.
Selamat berjaya adik-adik semua.
Kejayaan bukan destinasi.
Ia adalah sebuah perjalanan.
Sudahkah anda memulakannya?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor





Assalamualaikum ustaz.Tahniah kepada ustaz kerana melalui hari-hari yang penuh bermakna mengisi misi dakwah sambil membantu pihak-pihak yang memerlukan khidmat dan kepakaran ustaz.Perjalanan yang lama dan jauh itu tentulah memenatkan.Ustaz telah biasa bersama anak-anak muda yang bersekolah kampung dan bandar, pada pandangan ustaz, apakah perbezaan antara mereka berkisar dari segi akhlak dan mentaliti?
membaca catatan Ustaz, seolah2 kakcik mengikuti sendiri program yang Ustaz kendalikan
salam ustaz… datang Sabah lah ustaz..
Tahniah Ustaz, dapat sampaikan dakwah pada pelajar peperiksaan pula.
Supaya mereka tahu bahawa peperiksaan itu hanya salah satu persinggahan dalam perjalanan yang jauh ini.
Ha ha tergelak bila ustaz quote Master Oogway of Kungfu Panda…
Kat mana2 pun blh cedok pengajaran…
wah.. sampai juge ustaz ke lambor kiri ek.. huhu kenape tak khabo, blh singgah rumah teman di bota kiri.. doyan tgh gegak ni ustaz.. kalau rase nak makan pulut doyan.. mari ler singgah.. Apapun tahniah atas usaha ustaz utk terus memberi, tak kira di kampung maupun dibandar…
seronok buat pgrm di sekolah. selain mengingatkan zaman sekolah, cabarannya juga berbeza dr berceramah pd org tua..hehe. cuma keletihan yg termata sangat pasti terasa. moga terus diberi kekuatan pd ust, sama-sama membangun anak muda dan remaja akan datang..insyaAllah..
ate ustaz, teman dah balik sintok le baru tau ustaz mari peghak tengah..kalau tak, teghingin beno nak menyebok dalam program tu..
Itu..salah satu gambar tu… macam Aris Ariwatan jeee, ustaz…
Aris Ariwatan ?
Ya, ambo pun macam ada terperasan.
bila nak datang sabah.. especially keningau.. oh ya gambar kat lambor kiri tuh.. baju biru tuh baju lama kan? heheh saja ngusik..
Terima kasih kerana kesudian ustaz menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar dan ibu-bapa smk lambor kiri…Moga ada perubahan positif dalam kalangan pelajar dan ibu-bapa seterusnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM 2009…
baca pengalaman ust di sekolah-sekolah ni..dapat memberikan banyak perkongsian ilmu dan pengalaman khususnya bagi para guru di luar sana..terima kasih ustaz
ha’ah..mmg ade aris ariwatan..anak kembarnya ada belajor di SMI Al-Amin gombak..kami yg mengajar anaknya pun terkejut gak aris ariwatan jd warga Al-Amin..
jzkllh ustaz atas perkongsian ustaz tempohari..mudah2an segala ustaz diredhoi Allah..anak-anak Al-Amin suka sangat motivasi dari ustaz..
tahiniah sesangat……cuma >indah lagi sementara tunggu program nak mula ustaz bagi sikit brain teaser kat kami yg tercongok menunggu saja2…….
Syukran, kerana memberi erti hidup kepada orang kampung ana. Zadakallahu khairan kathiran.
“Itulah yang mengusik hati saya, untuk berusaha turun setingkat lagi. Turun yang sebenarnya satu peningkatan.”
Selangkah ke belakang untuk mencari momentum dua langkah ke hadapan adalah perjuangan.
Setangga menurun untuk mendapatkan mereka yang di bawah, adlah satu pencapaian.
Tersangkut di bawah dan tidak menyampaikan suasana di atas, kerana kerumitan dalam menyampaikannya, adalah melawan kejayaan.
oh, rupanya ustaz telah memberi ceramah motivasi pd adik sy kat SMI Al-Amin 3hr lepas. trm ksh ustaz. kecik jg dunia ni walaupn 12,000 km jauhnya sy dan dia
terima kasih ustaz
sudi meluangkan masa dengan adik2 saya kat SMK Lambor Kiri..sekolah dalam hutan, umpama terasing dari dunia luar, tp 3 tahun di situ, sgt bermakna utk mengerti makna susahnya prjuangan dlm menuntut ilmu..
Salam. Nak cerita jugak, pengalaman nak membawa orang yang ada `nama besar’ dlm lapangan dakwah ni, pun ada cabarannya. Kena chup awal-awal sbb diari saifulislam penuh. Tapi respon guru dan pelajar yang teruja apabila mengetahui ustaz akan datang kali kedua dalam tahun ni, menaikkan semangat saya. Banyak yang pelajar dapat walaupun dua hari di sini. Betul, mereka `buta’ tentang cinta tapi jadi tanggungjawab para daie untuk beri mereka nur supaya tidak sesat. Sesi soal jawab sangat menarik, terutama bicara tentang cinta remaja. Terima kasih bebanyak kpd ustaz, dan moga Allah mempertemukan kita lagi pd kesempatan yang lain.