Segalanya Bermula di Sini

On 12/07/2009, in Diari Kembara - Turki, by Abu Saif | 4,136 views | Print Print | Email Email |

turkey010

16 Januari 1995…

“Anta tak pergi umrah cuti ini?” tanya Jamnul Azmin, sahabat saya.

“Tak. Cuti lepas bukankah baru ke sana. Nanti pergi umrah macam pergi melancong pula. Suka-suka!” saya menjawab.

“Habis tu, cuti panjang ni, anta tu bukan jenis yang duduk rumah. Apa perancangannya?” soal beliau, faham dengan penyakit ‘kaki bertahi lalat’ saya.

“Belum pasti. Tapi mesti keluar,” saya membalas.

Jordan adalah sebuah negara yang sangat menarik untuk dilawat. Kesan sejarah dan kesan geografinya sungguh menguja semua. Bermula daripada Dataran Tinggi Golan di utara, tempat berkibarnya bendera Regim Yahudi tanda sebuah penjajahan, hinggalah ke Perta, kota kaum Anbat, dan Teluk Aqabah yang khabar Israiliyyatnya berkata ia teluk yang terbentuk hasil tanahnya yang digunakan Tuhan mencipta Adam!

Tetapi segala yang banyak itu bagai kursus intensif. Terhimpun dalam sebuah negara yang perjalanan dari utara ke selatan, hanya memakan masa sekitar lima jam. Manakala separuh daripada negara itu, di sebelah Timurnya, adalah kosong, kontang dan sekadar menghias peta.

Setiap kali cuti, setiap kali jugalah kami berasa tertekan untuk termenung menghitung hari.

Sesuatu mesti dilakukan.

“Kalau anta mahu ke Mesir, bagitahulah. Insya Allah ana boleh uruskan. Kawan-kawan masih ramai di sana,” tawar Jamnul Azmin.

Beliau yang pernah belajar di Mesir, berpindah ke Jordan dan mendaftarkan diri ke program Ijazah Syariah bersama saya dan rakan-rakan lain di Universiti Mu’tah.

“Ana minat sungguh untuk ke Mesir. Tetapi serabutlah, khabarnya kena buat permohonan visa dan ia memakan masa berhari-hari. Rugi tu!” saya memberi alasan.

Petang itu, saya membelek-belek nota catatan. Dua buah nasyid baru hampir siap dikarang. Tidak lama lagi ada Muktamar. Selalunya akan ada jemputan untuk kami daripada kumpulan nasyid Usrah al-Firdaus membuat persembahan. Kami perlu mengatur sesi latihan, sekurang-kurangnya sekali sebelum cuti bermula.

PERBUALAN SPONTAN

“Assalamualaikum Nushi. Kayf haalak?” saya menelefon Nushi di Irbid, jauh di utara sana.

“Waalaikum al-Salaam. Alhamdulillah semua ok. Anta datang tak latihan nasyid di Amman nanti?” tanya beliau.

“Mesti datang. Ana dah siapkan dua lagu untuk latihan kita. Eh, ana nak tanya. Cuti ni anta tak ada apa-apa plan ke? Ke mana-mana?” saya menyambung soal.

“Hmm, ana rasa macam nak pergi Mesir. Tapi bosanlah bab visa. Apa kata kita ke Turki?” Nushi melontar provokasi kepada saya.

“Eh, sekepala kita ni. Ana pun terfikir nak ke Mesir tapi tak jadi atas sebab yang sama. Tapi Turki, wow! Anta biar benar. Berani ke?” saya teruja dengan cadangan itu.

“Redah ajelah,” kata Nushi.

“Habis, kalau jadi, bila kita nak bertolak?” saya sudah naik semangat.

“Malam ni ada latihan nasyid. Erfino dan Ijat baru balik dari Turki, tahu? Kita temu buallah mereka sikit. Minta tip” cadangnya lagi.

“Set! Ana dah nak bertolak ke Amman. Kita jumpa di Masjid Hussein di Balad Amman pukul 3, boleh?” saya membetulkan baju. Sudah meluap suhu jiwa mahu mengembara.

Tanpa berlengah, saya mengemas baju bekalan seminggu. Tidak pasti apa yang perlu dibawa. Tidak pernah terfikir mahu ke Turki, walaupun sudah lama menyimpan rindu untuk bersemuka dengan dunia yang belum pernah ditentang mata. Semuanya kuasa hati.

Hati yang penuh terisi dengan semangat sejarah. Mahu mencari jawapan sendiri, bahawa Turki bukan seperti yang digambarkan.

Teringat saya kepada pesan Ibn Khaldun di dalam Muqaddimahnya bahawa naluri yang menyangkal kejanggalan, jangan diabai. Harus diguna sebagai panduan untuk menapis kesahihan cerita. Ataturk yang hero lagi berjasa itu air mukanya tidak enak sekali. Sultan Abdul Hamid II pula, dilabel sebagai Sultan Merah, sedangkan wajahnya sahaja sudah menafikan segala cerita.

Semuanya tersimpan di fikiran.

Tidak sangka pula, perbualan spontan mampu memenuhi impian. Impian untuk berkesaksian, bukan lagi sekadar membaca dalam bayangan.

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]

Perjalanan dari Karak ke Amman terasa begitu perlahan.

Pelbagai drama dan dokumentari sempat menjengah fikiran. Tentu sahaja dalam rasa mengantuk dan leka, saya tidak akan melepaskan mata memandang stesyen keretapi di Qatranah, sesuatu yang saya tahu ia sebahagian saki baki semangat Khalifah, Sultan Abdul Hamid II menyelamatkan ummah.

TIKET PESAWAT

Di Amman, saya dan Nushi sama-sama pergi ke beberapa buah syarikat agen pelancongan untuk mendapatkan harga tiket terbaik. Kebetulan ia bulan Februari, musim sejuk yang menjanjikan harga tiket murah berbanding musim panas yang segala-galanya lebih hangat dari biasa.

Di sebuah syarikat bernama Atlas, bersebelahan bank tempat kami menyimpan wang elaun, harga tiket terbaik diperolehi. JD155 untuk tiket pergi balik Amman – Istanbul, dengan penerbangan Royal Jordanian, cukup baik untuk kami.

dinarjordan

“Betul ke ni?” saya masih seperti tidak percaya.

“Tiket sudah berada di tangan. Esok pagi kita ke Turki!” Nushi juga teruja dengan rancangan serba spontan ini.

Malam itu kami berlatih nasyid di rumah Erfino. Alhamdulillah hampir semua anggota nasyid kami hadir. Seperti biasa, ketika kami sibuk berlatih, Zaki mengambil tugas memasak tiga ekor ayam. Resepinya ialah kari dengan susu, ganti santan yang tinggal kenangan. Sayur kobis ditumis seadanya, sudah cukup membangkitkan selera kami yang letih melalak.

“Eh, ceritalah sikit. Kita orang esok nak pergi Turki. Anta baru balik Turki, kan?” saya bertanya kepada Erfino.

“Tu, suruh Ijat tu cerita. Dia sibuk mengutip brosur. Tapi memang seronok ke sana. Ana cadangkan, antum redah sahaja. Jangan teragak-agak,” kata Erfino.

Ijat tersenyum. Tanpa berlengah, beliau mengeluarkan  beberapa keping brosur yang dikutip secara percuma di Turki. Saya dan Nushi membelek, tetapi tidak pasti apa yang mahu ditelek. Terlalu banyak, terlalu luas, terlalu pelbagai, tidak tahu di manakah permulaan yang terbaik untuk perjalanan 10 hari kami.

KERISAUAN

Kerisauan terbesar ketika itu ialah soal bahasa.

Bahasa Turki kelihatannya sangat memeningkan. Bagai tiada sebarang suluhan permulaan.

Keduanya kami bimbang dengan bajet. Di tangan saya hanya ada USD200 untuk segala-galanya. Cukupkah?

Ketiganya, bimbang mentari lambat menyinar esok. Kami sudah tidak sabar untuk terbang membelah awan.

Saya tidur dengan sebuah mimpi, bahawa segala-galanya pasti bermula di sini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Ba Alif Ba Ya Di Sana Sini “Imam Saab, bolehkah kami pergi ke sana?” tanya sekumpulan anak...
  2. Segalanya Menjurus Kepada Diri “Ustaz, macam mana kita nak buat bagi pelajar rajin datang...
  3. Segalanya Tidak Disengajakan “S tu sombong. M tu Muslim” saya berleter di pintu...
  4. Semester 1 Sudah Bermula Semester 1 sudah bermula. Pejam celik, saya sudah pun berada...
  5. Pesta Membaca Buku Bermula! Dengan lafaz Bismillaah al-Rahmaan al-Raheem, saya merasmikan Pesta Membaca Buku...

 

16 Responses to “Segalanya Bermula di Sini”

  1. abualia says:

    hai syeikh hasrizal…ni saiful kp la…teringat kat jamnul azmin…tahu kan??????

  2. Pak Din says:

    “kari dengan susu, ganti santan yang tinggal kenangan”

    Bermacam-macam lagi bahan yang perlu diganti dengan yang rasa serupa. Tetapi sebagai seorang anak kampung yang tidak memilih makanan, saya selalu betul-betul goreng ayam, tanpa garam, tanpa rencah apapun. Bila dah lapar, sedap sahaja segalanya.

  3. rohul says:

    jalan jalan cari pengalaman.

  4. isra' says:

    salam ustaz…
    baru 2 hari lepas saya batalkan niat untuk hantar emel bertanyakan sedikit rahsia tentang Turki kepada ustaz…
    Saya juga akan ke sana Ogos ini iAllah.
    bongkarlah lagi untuk panduan kami sebelum ke sana…

  5. mohazalias says:

    salam syeikh hasrizal… jamnul kat mu’tah ada 2 org kan… abg & adik… tapi tak ingat la nama sorang lagi tu… yg dah kembali ke rahmatullah tu yg mana ek..!! teringat je kenangan2 dulu…

    syeikh saiful KP nie… mana ek… rasanya kenal kot..

    • Abu Saif says:

      @mohazalias,

      wsalam ustaz. ana ada jawab kat bawah tu.

      Sheikh Saiful kita, batch ana. Maybe anta sempat sipi sipi dengan beliau.

      Yang meninggal dunia ialah abang, iaitu Ustaz Jamnul Azmin. Adiknya Ustaz Jamnul Azman. Juga housemate ana di awal-awal pengajian beliau di Mu’tah

  6. shahrul says:

    eh ust erfino yg skrg ni jaga student di UK kan? satu batch dgn ust rupanya hehe

    Beruntungnya dpt mengembara ditmpat kaya dgn sejarah islam!

    • Abu Saif says:

      @shahrul,

      Ustaz Erfino bukan satu batch dengan saya. Beliau senior saya, mungkin tiga atau empat tahun. Tapi sempat bersama dalam setahun dua di Jordan, terutamanya dalam kumpulan nasyid kami, Usrah al-Firdaus

  7. waein says:

    saiful KP? arwah Jumin abang & Juman adik, mohazlias KP jugak kan?

    alumnus mu’tah blake..

    • Abu Saif says:

      @waein,

      ramai pula alumni mu’tah menjenguk ya, alhamdulillah.

      Ustaz Jamnul Azmin Mulkan, abang. Al-marhum kembali ke rahmatullah dalam kemalangan jalan raya.

      Adiknya ialah Ustaz Jamnul Azman Mulkan. Sesekali ada juga meninggalkan bekas di sini :)

  8. mohazalias says:

    saya bukan KP… saya bawah tajaan Yayasan Terengganu

  9. Ni detik-detik yang bersejarah.

    Saya pula ke Turki kerana tersilap langkah. Tapi alangkah silapnya!!

  10. Abu Faruq Al-Jawi says:

    Salam.nape gmbr ust posing mcm muka bazli unic ye?ad relative ke?

  11. syabab says:

    salam ust..ana ada jugak nk pi turkey tu..USD200 tu cukup tak semasa di turkey?
    syukran

Leave a Reply