Jangan Bakar Buku!

November 24th, 2009 by Abu Saif 11:58 pm | 5,740 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

2600

“Boleh saya tengok buku tu?” pinta Yusuf.

“Silakan,” saya mengajukan naskhah yang ada di tangan.

Yusuf berkerut dahi. Membelek-belek buku tersebut dan menyelak beberapa lembaran yang kelihatannya bersifat selektif.

“Kenapa buku ini?” beliau menyoal.

“Kenapa tidak?’ saya agak tidak selesa dengan cara beliau bertanya.

“Imam tidak kenal dengan penulisnya?” soal beliau lagi.

“Oh, itukah isunya. Maksud awak, penterjemahnya atau penulisnya?” saya baru menangkap maksud soalan Yusuf.

“Ya, saya maksudkan penterjemahnya. Nuh Ha Mim Keller!” ujar Yusuf, membetulkan soalan awalnya.

“Saya tidak ada masalah dengan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Kalau ada satu dua pandangannya berbeza dengan pandangan yang menjadi pegangan saya, itu biasa” saya membuat penjelasan.

“Lihat sahaja bab itu, The Sunni Position on Controversial Topics of Our Time. Pendapat-pendapat itu penuh dengan bid’ah dan bertentangan dengan pendirian Salafussoleh. Saya amat tidak menyukainya” kata Yusuf lagi.

Saya berhenti bersoal jawab.

Mencari hikmah di dalam diam, untuk mencegah sesal di dalam berkalam.

Saya tidak salahkan Yusuf.

Beliau sebagai seorang saudara baru di negara Barat, memang berat pada menentukan pendirian dalam hal-hal seperti ini.

HITAM DAN PUTIH, TIADA KELABU

Yusuf mengalami satu keadaan yang sering saya temui di kalangan kelompok Muallaf (saudara baru) di negara Eropah. Keluar daripada lembah kufur dan jahiliah, bersyahadah dengan pengisytiharan Iman dan masuk ke daerah Islam, mereka tidak mudah menyesuaikan diri dengan kepelbagaian pendapat dan aliran yang wujud di dalam Islam. Segalanya harus antara yang HAK dan BATIL. Tiada apa yang bersifat pertengahan, dan HAK itu mesti bersifat tunggal.

Justeru, apabila berdepan dengan wujudnya pendekatan yang berbeza dalam beberapa aspek Usuluddin hingga wujudnya aliran Salaf dan Khalaf, kelompok Muallaf di Eropah menjadi sedikit agresif pada memilih salah satunya.

Logik Yusuf mudah sahaja.

Jika selama ini beliau disesatkan di dalam agama Kristian oleh perbuatan paderi-paderinya yang manipulatif dan mengangkat otoriti diri mengatasi otoriti Bible, Yusuf turut fobia dengan ‘pendapat-pendapat ulama’ yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu, apa pendapat Allah dan apa pendapat Rasul.

talkislam_2076_1560588576

Kitab ‘Umdat as-Salik wa ‘Uddat an-Nasik (Reliance of the Traveller and Tools of the Worshipper, atau lebih dikenali dengan ringkasan tajuknya, Reliance of the Traveller) adalah sebuah manual klasik Mazhab Syafi’e. Penulis asal kepada bahagian utama buku ini adalah Ahmad ibn Naqib al-Misri, yang menjadikan legasi Imam Nawawi dan Imam Abu Ishaq al-Shirazi sebagai fondisi buku karangannya.

Kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuan dari Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan kemudiannya bermastautin di Jordan iaitu Sheikh Nuh Ha Mim Keller pada tahun 1991 . Terjemahan ini menjadi teks berbahasa Eropah pertama yang menerima pengiktirafan oleh Al-Azhar.

Sebagai seorang yang bermazhab Syafi’e dan bermanhajkan aliran Asya’irah di dalam Usuluddin, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyertakan pandangan-pandangan beliau tentang isu-isu yang dianggap kontroversi pada masa kini. Soal bid’ah, Sufi dan Tasauf, penafsiran ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran, persoalan keraian Maulid, adalah di antara isu yang disentuh oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller di dalam seksyen khas yang dimuatkan sama.

BAKAR BUKU

“Saya faham kerisauan awak, Yusuf. Tetapi sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak harus menghukum keseluruhan buku, hanya kerana ada sebahagian isinya yang tidak kita persetujui. Jika awak menolak buku Reliance of the Traveller hanya kerana awak tidak bersetuju dengan pandangan Sheikh Nuh Ha Mim Keller tentang Sufi dan Maulid, awak juga nanti akan menolak Tafsir al-Kasyaf oleh al-Imam al-Zamakhsyari hanya kerana ada semuka dua buku itu yang pandangannya cenderung kepada idea Muktazilah,” saya cuba melunakkan reaksi keras Yusuf.

“Saya bukan ilmuan seperti Imam. Saya orang biasa. Muallaf. Jika ada perkara yang saya rasa ia boleh mencederakan iman saya, saya tidak teragak-agak untuk menolak, malah menghapuskannya” tegas Yusuf.

“Menghapuskannya?” terkejut saya dengan kalimah yang diucapkannya.

“Ya, menghapuskannya. Naskhah Reliance of the Traveller yang pernah saya miliki, saya sudah bakar!” Yusuf memandang tepat ke muka saya.

“Astaghfirullah. Saya gembira dengan ketegasan awak menjaga iman. Tetapi janganlah sampai membakar buku,”  saya mengurut dada.

“Saya tidak mahu ada orang lain jadi sesat atau keliru membaca buku milik saya. Justeru membakarnya adalah penyelesaian terbaik” Yusuf menegaskan lagi pendapatnya.

Saya kaget.

Yusuf tidak berganjak.

Adegan membakar buku di dalam filem Wanita Berkalung Sorban

Beware any society that burns books. Ia simptom kepada dictatorship. Lihat sahaja Dinasti Qin di China, Nazi di Jerman serta Maximilien François Marie Isidore de Robespierre di Perancis. Kita sependapat dalam banyak perkara, tetapi izinkan saya untuk tidak menyetujui sikap awak membakar buku tersebut!” saya menyudahkan perbualan.

“Tetapi sekurang-kurangnya saya berpendapat demikian setelah membaca sendiri dan membuat keputusan. Ada orang yang memberikan pendapat yang lebih teruk tentang ulama atau buku tanpa pernah membacanya. Hanya hearsay sahaja!” tambah Yusuf.

“Bab itu saya sangat setuju. Jika tadi kita khilaf, dalam isu ini saya bersepakat dengan awak” saya mengulas.

Biar pun perbualan kami malam itu berakhir dengan khilaf yang tajam, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ia tidak menjejaskan ukhuwwah di antara kami. Yusuf terus setia mengunjungi saya serta bertukar-tukar pendapat. Yusuf adalah Yusuf. Biar pun saya ada bertemu dengan beberapa orang yang memikul sikap yang sama sepertinya, ia berlaku kerana sesuatu. Meletakkan diri di tempat Yusuf, saya boleh faham mengapa beliau begitu keras.

Beliau datang kepada Islam kerana mahu mentaati Allah dan Rasul. Justeru kegemaran segelintir pihak berputar-putar pada qaul Ulama apatah lagi sekadar ustaz yang tidak mencapai taraf ilmuan, hingga menenggelamkan apa kata Allah dan apa kata Rasul, Yusuf ada sikap yang tersendiri terhadap hal ini. Ulama’ mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada Ulama.

Akhirnya, sikap juga yang menjadi isunya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Pesta Membaca Buku Bermula! Dengan lafaz Bismillaah al-Rahmaan al-Raheem, saya merasmikan Pesta Membaca Buku...
  2. Layan Jangan, Lawan Pun Jangan “Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa...
  3. Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz! Ketika saya kehilangan momentum menulis, ada sahaja benda menarik yang...
  4. Sesi Ramah Mesra di Pesta Buku Terima kasih kepada seluruh pembeli buku AKU TERIMA NIKAHNYA. Genap...
  5. Jangan Kecil Hati: Nasihat Teman Bekalan Perjuangan Pertemuan Penuh Makna Di Tasik Glendalough “Secantik-cantik Glendalough ini, tak...

Advertisement

16 comments

  1. Kak Ija says:

    Alhamdulillah, ada tazkirah subuh rupanya di pagi wuquf ini. Akak baru beli buku hasil karya terbaru Stephen Covey yang berjudul “The Leader in Me”. Geli hati pun ada dengan sahabat-sahabat akak di Malaysia, kalau hulurkan pada mereka…nak menyentuhnya pun phobia…covey adalah mormon. Wp, akak tetap rindu dengan mereka…SIKAP OH SIKAP

  2. ibn syabab bkt jalil says:

    wahai seluruh ibu bapa

    marilah berwukuf sebentar..

    jagailah didiklah anak-anak kita 0-4 thn anak2 kita akan AKHLAK,SIKAP,PERANGAI DAN TINGKAHLAKU….

    itu yang penting…

    no ilmu semata-mata..sijil..no no

    j

  3. hasanhusaini says:

    Salam Us…Kitab ‘Umdat as-Salik wa ‘Uddat an-Nasik tu kami jadikan kitab untuk tafaqquh bersama Dr Abdullah Fawwaz di Rumah Malaysia, Mu’tah…Herm teringat seorang kawan ana yang begitu bimbang bila ana menyatakan niat untuk memiliki Tafsir Kasyaf dan tafsir Ibn Kathir..Ada juga Us ana yang ‘menasihati’ supaya tak membeli fi zilal…Apapun, ana hargai prihatin mereka..tp, terkadang, terasa lucu dan kasihan..

  4. Maisarah Shukri says:

    Salam alayk,

    Dua hari lepas saya tengok tv di sini (Indonesia), dalam berita petang ada acara membakar dvd filem ’2012′ di sebuah sekolah di pulau jawa (tak sure pula bakar buku sekali tak). Sehinggakan beberapa ulama di negara ini bercadang mengharamkan tayangan filem tersebut kerana beberapa insiden yang terjadi. Salah satunya ada seorang warga tua yang membunuh diri gara2 reaksi selepas menonton filem tersebut.

    Wallahu’alam.

  5. Umi says:

    Sy faham dgn pendapat saudara Yusuf tersebut. Walaupun sy tahu kewujudan kawasan kelabu, tapi sbg seorang yg bukan ilmuan Islam walaupun dilahirkan dlm Islam..sy lebih suka melihat dari sudut hitam putih untuk mengurangkan kekeliruan. Tapi tidak lah sampai ke tahap membakar buku.

    Jgn lah rasa lucu atau kasihan dgn sikap seperti ini. Setiap dari kita mempunyai cara sendiri untuk memelihara iman masing-masing. Sy respek cara saudara Yusuf yg masih mahu berbincang dgn Ustaz, walaupun ada perbezaan pendapat. Kalaulah Malaysian muslims lebih ramai yg bersikap begini, instead of cepat berputus asa kalau pendapat tak diterima, alangkah bagusnya.

  6. mujahidhisyam says:

    d malaysia turut wujud suasana seperti itu. hanya kerana sebuah buku fiqh ibadah yang memuatkan beberapa masalah yang tergolong khilaf, habis satu buku tersebut ‘ditolak’. secara tak langsung seolah-olah menafikan pelbagai kebaikan lainnya yang turut wujud dalam buku tersebut.

    kita kenal dengan imam al-hafiz al-iraqi dan mendapat banyak manfaat dari ilmunya. tapi mengapa tidak turut mengambil akhlak beliau? jika beliau berSIKAP seperti segelintir kita pada hari ini, rasanya keseluruhan ihya ulumuddin akan beliau tolak dengan alasan wujudnya entah berapa banyak hadith dhaif dan palsu dalam buku tersebut.

    namun yang beliau lakukan adalah mengekstrak kebaikan2 yang terkandung dalam kitab tersebut dan menapis kekurangan2 yang wujud.

    contohilah Nabi, para sahabat, tabiin dan para ulama yang kita sanjungi, bukan hanya pada ilmu mereka, tapi juga pada akhlak dan SIKAP mereka.

  7. egypt_medik says:

    salam us, saya suka ayat ni..
    ” Ulama’ mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada Ulama.”

    kalau tak keberatan, minta jasa baik ustaz perincikan lg ayat tu..ap contoh tindakan yg dibuat di depan mata kita sekarang… syukran

  8. din says:

    salam

    ada pro nya sifat yusof tersebut.dia mungkin sudah “mual” dengan kesesatan.membenci sungguh pada kesesatan,dan cuba sedaya upaya mengelakkannya.

  9. ciknura says:

    salam,ustaz…kenapa nak kena ada banyak sangat pendapat? saya pernah baca, ada orang jadi murtad sebab dia tengok ada banyak sangat cara orang solat di mekah? katanya, Allah akan terima yang mana? selain dari membuktikan Islam agama Islam agama yg syumul…ada hujah lain ke?

  10. Abu Uwais says:

    Salam Ustaz,
    Lama sudah tak hantar komen terpanggil pula untuk komen entry ini. Saya berpendapat fikrah Yusuf tu fikrah pengikut. Fikrah ustaz fikrah pembimbing/pemimpin. Ramai pengikut sudah jelak dengan manusia terutama yang bergelar ustaz/imam. Mereka akan ‘bunuh’ apa sahaja yang ‘berbau’ salah. Tapi bagi pemimpin/pembimbing yang mendepani masalah ummah yang dirasakan perlu diberikan peluang untuk difahamkan tentang kedalaman ilmu, maka penyaringan boleh dan perlu dibolehkan. Jangan bakar kelambu kerana salahkan nyamuk.

  11. Aziz Marwan says:

    http://img40.imageshack.us/img40/1736/200905amusingourselvest.png

    from both of my favourite author.

    ada banyak benarnya antara Huxley dan Orwell.

  12. rohul says:

    suka dengan ayat ini dalam filem wanita berkalung sorban

    “buku-buku yg hebat ditulis didalam penjara.”

    lihat saja sayyid qutb dgn buku karangan beliau, atau saari sungib sewaktu di dalam ISA dgn siri tarbiyyah dari penjara.

  13. Rausyanfikir says:

    Salam ustaz,

    Saya teringat kerajaan Almoravide (Almurabitun) yang membakar karya Al-Ghazali di Sepanyol.

  14. pak din 31 says:

    Mencari hikmah di dalam diam, untuk mencegah sesal di dalam berkalam.

    Segalanya harus antara yang HAK dan BATIL. Tiada apa yang bersifat pertengahan

    ‘pendapat-pendapat ulama’ yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu, apa pendapat Allah dan apa pendapat Rasul

    kita tidak harus menghukum keseluruhan buku, hanya kerana ada sebahagian isinya yang tidak kita persetujui.

    segelintir pihak berputar-putar pada qaul Ulama

    bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada Ulama

Leave a Reply