Pengitlakan Istilah Yang Mengundang Fitnah

December 7th, 2009 by Abu Saif 1:42 pm | 8,630 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

10140017

“Betul ke dia tidak baca al-Fatihah dalam wirid lepas Solat? Itu Wahabi tu!” tegas Abu.

“Imam tu tidak akan sekali-kali meninggalkan Qunut semasa Solat Subuh. Kalau terlupa, digantinya dengan Sujud Sahwi. Astaghfirullah. Itu Bid’ah tu!” ujar Hamdan.

“Ummah Centric? Idea yang menolak kewajipan berjemaah itukah? Itu mesti agen UMNO” dakwa Ismail.

“Dia tidak setuju dengan idea kita dalam Kursus Bina Diri ini. Dia itu pasti geng pembangkang!” kata Khir.

“Ada ke dalam masjid pun nak ambil fakta daripada buku Covey. Itu sudah tentu terkena jarum Orientalis!” ulas Salmah selepas kuliah Maghrib di Masjid.

She is a prominent sympathizer towards Palestinians. She must then a Moslem terrorist!” simpul Helen tentang rakannya.

Dialog di atas itu merentas zaman. Ia disebut di sana sini. Ada di antaranya yang lebih menonjol di satu-satu masa, menenggelamkan yang lain selepas isunya reda.

Apakah titik persamaan di antara Wahabi, Bid’ah, UMNO, Pembangkang, Orientalis dan Muslim Terrorist?

Kesemuanya adalah THE OTHERS. Terma yang digunakan untuk merujuk kepada apa-apa sahaja idea yang bertentangan dengan arus perdana di dalam kelompok tertentu manusia. The Others itu adalah suatu pengitlakan, membuat anggapan umum atau boleh juga disebut sebagai generalisasi, merujuk kepada terma generalization di dalam Bahasa Inggeris.

Pengitlakan konsep, yang kurang spesifik pada kriteria-kriteria yang dirujuk, selalu dilihat sebagai salah satu teras kepada logik manusia untuk meletakkan sebab musabbab sesuatu. Ia boleh menjadi sesuatu yang positif dan perlu, tetapi lazim juga mencerminkan kedangkalan maklumat atau kejahilan seseorang terhadap pengitlakan yang dibuat. Justeru, penilaian mesti dibuat untuk memastikan apakah ada atau tidak kebenaran di dalam pengitlakan berkenaan.

WAHABI VS. BID’AH

Menganggap apa sahaja yang berbeza daripada amalan arus perdana sebagai Wahabi, adalah di antara polemik yang sangat membelenggu lagi mengganggu kehidupan masyarakat umat Islam semasa.

  • Tidak melafazkan niat di permulaan Solat adalah Wahabi.
  • Basmalah di dalam Surah al-Fatihah tidak dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Wahabi.
  • Meletakkan posisi tangan tinggi sedikit di dada semasa Qiyam di dalam Solat adalah Wahabi.
  • Menggerak-gerakkan jari telunjuk semasa tasyahhud adalah Wahabi.
  • Tidak menyapu muka selepas memberi salam usai bersolat adalah Wahabi.
  • Berwirid sendiri-sendiri selepas solat berjamaah adalah Wahabi.
  • Tidak bersetuju dengan amalan kenduri arwah adalah Wahabi.
  • Tidak membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Wahabi.
  • Apatah lagi tidak bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Wahabi.

Apa sahaja yang berbeza daripada amalan kebiasaan yang wujud di dalam Masyarakat, maka secara mudah ia dianggap sebagai Wahabi. Satu pengitlakan yang amat memudaratkan sesiapa yang menjadi mangsanya. Melabelkan seseorang sebagai Wahabi adalah satu cara mudah untuk membunuh perbezaan yang berlaku walaupun hakikatnya ada penjelasan yang lebih murni terhadap perbezaan itu selain melabelkannya sebagai Wahabi.

Perbezaan-perbezaan itu wujud secara muktabar di dalam mazhab-mazhab yang lain. Pendirian Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali diterima sebagai pendapat yang berada di dalam ruang lingkup Ahli Sunnah wal Jamaah. Tetapi menghapuskan hakikat ini dan melabelkannya secara total sebagai Wahabi, ia adalah suatu jenayah yang merosakkan umat.

Malah istilah Wahabi itu sendiri mempunyai konotasi yang kotor. Istilah Wahabi itu dirujuk kepada pengasas gerakan Muwahhidin pada kurun ke-18 di Semenanjung Tanah Arab, iaitu Muhammad ibn ‘Abd Al-Wahhab ibn Sulaiman ibn Ali ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Rashid Al-Tamimi. Nama beliau adalah Muhammad dan kabilah asal usulnya adalah al-Tamimi. Tetapi mengapa gerakannya digelar sebagai Wahabi? Bukan Muhammadi atau Tamimi?

Wahabi itu adalah nisbah kepada nama bapa beliau iaitu Abd al-Wahhaab dan kalimah al-Wahhaab itu sendiri adalah salah satu daripada 99 nama Allah di dalam al-Asmaa’ al-Husna.

Menggelar gelaran Wahabi kepada gerakan beliau, adalah salah daripada banyak sudut. Abd al-Wahhab adalah nama bapanya dan bukan nama beliau. Manakala menyuntikkan konotasi buruk ke dalam kalimah AL-WAHHAB menjadi WAHABI adalah suatu pencemaran kepada al-Asmaa’ al-Husna yang mungkin tidak disedari oleh mereka yang secara liar menggunakannya.

Daripada manakah asal usul terma ini?

Golongan yang sangat komited menggunakannya dalam pendakwaan mereka bertanggungjawab untuk membuat penjelasan.

Itu kisah kelompok yang membuat pengitlakan dengan istilah Wahabi. Apa sahaja yang bertentangan dengan kita adalah Wahabi.

Wahabi adalah The Others!

Ada pun di sana, kelompok yang sering digelar sebagai Wahabi juga tidak terlepas daripada membawa budaya pengitlakan yang sama. Sebahagian daripada golongan yang membawa syiar Tajdid ini beranggapan bahawa apa sahaja yang tidak menepati kefahaman mereka tentang Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

  • Melafazkan niat di permulaan Solat adalah Bid’ah.
  • Basmalah di dalam Surah al-Fatihah dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Bid’ah.
  • Berwirid secara berjamaah selepas solat berjamaah adalah Bid’ah.
  • Menyapu muka selepas berdoa adalah Bid’ah.
  • Bersalam-salaman sesama jamaah di masjid usai mengerjakan Solat adalah Bid’ah.
  • Membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Bid’ah.
  • Bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Bid’ah.
  • Menyertai kumpulan atau hizbiyyah juga adalah Bid’ah.

Apa sahaja yang tidak secara tekstual menepati kefahaman pihak ini terhadap Sunnah maka ia terus dilabelkan sebagai Bid’ah. Sedangkan sebahagian daripada apa yang dianggap Bid’ah itu hakikatnya adalah pendapat-pendapat yang wujud di dalam Mazhab yang muktabar, masih berada di satu wajah daripada wajah-wajah (Wajhun min al-Wujooh) kefahaman yang terbit daripada rujukan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi secara mudah dilabel dengan istilah pembunuh bernama Bid’ah.

Setiap Bid’ah adalah sesat.

Setiap yang sesat tempatnya adalah di Neraka.

Tidak dinafikan, ada di antara amalan yang wujud di dalam masyarakat, benar-benar Bid’ah kerana ia adalah sesuatu yang tiada asal usul agama, tiada justifikasi agama, malah menjurus kepada Syirik. Contoh ekstrim seperti Mandi Safar, bersolat di kuburan, atau menyelewengkan ayat al-Quran dalam perubatan yang menggunakan pertolongan Jin, semua ini adalah Bid’ah yang besar dan harus ditentang sebagai kemungkaran.

Tetapi sebahagian daripada amalan yang wujud di dalam masyarakat, tidak semestinya Bid’ah hanya kerana ia tidak menepati satu teks Hadith. Daripada manakah asalnya perbuatan melafazkan niat sebelum mengangkat Takbir Solat? Mengapakah adanya bacaan wirid secara berjamaah selepas Solat? Apakah asal usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis keraian masyarakat? Daripada manakah susur galur terjadinya bacaan Talqin selepas pengebumian jenazah? Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah.  Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah… kesemua itu memerlukan pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada usaha memurnikan amalan masyarakat.

Apatah lagi pada urusan yang menjadi khilaf muktabar seperti Qunut di dalam Solat Subuh. Adalah keterlaluan untuk melabelkannya sebagai Bid’ah.

Apa sahaja yang popular di dalam amalan masyarakat tetapi bersalahan dengan satu wajah tafsiran kita terhadap al-Quran dan Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

Bid’ah adalah The Others.

Akhirnya, kontroversi yang membabitkan istilah Wahabi dan Bid’ah di dalam masyarakat, menjadi fitnah yang sangat memudaratkan umat.

Tajdid mungkin membawa maksud pencerahan dan pemurnian, tetapi apabila pengitlakan istilah berlaku secara liar, ia mengundang kegelapan yang lebih berbahaya daripada sebelumnya. Perbuatan reaktif golongan yang mahu menangkis istilah Bid’ah ini pula bertemu dengan perkataan Wahabi yang digunakan sewenang-wenangnya, sebagai satu character assassination yang berkesan pada mematikan proses dialog dan peningkatan Tsaqafah umat.

Ia bukan lagi isu perbezaan pendapat.

Tetapi persoalan sikap dan mazmumah Akhlaq.

PEMBANGKANG (PAS) VS. UMNO

umnopas

source: senjaliza.blogspot.com

Menganggap apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan keputusan Syura, pimpinan atau pandangan parti sebagai UMNO atau AGEN UMNO, adalah penyakit pengitlakan istilah yang turut menimpa segelintir pendukung gerakan Islam di dalam PAS.

Beberapa tahun yang lalu, al-Ustaz Maszlee Malik pernah melontarkan satu idea yang dikenali sebagai Ummah Centric sebagai solusi cadangan kepada ketaksuban sesetengah orang kepada jemaah mereka. Timbul kemalangan intelektual apabila idea Ummah Centric ini dilabel sebagai idea UMNO dan Ustaz Maszlee sendiri digelar sebagai Agen UMNO.

Di dalam PAS, menyabitkan seseorang sebagai UMNO atau agen UMNO adalah satu bentuk character assassination yang sangat berkesan pada mematikan pengaruhnya. Apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan apa yang berada di dalam arus perdana kelompok ini, akan secara mudah dianggap sebagai jarum-jarum UMNO.

Keadaan ini menutup pintu wacana atau pandangan di luar kotak yang sebahagiannya dilontarkan oleh pihak luar dan dalam, untuk kebaikan PAS itu sendiri. Ia suatu kerugian, dan tindakan yang berkesan pada meramaikan musuh.

Contoh terbaru yang boleh dirujuk adalah pada lontaran pandangan kontroversi Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan dengan isu Kerajaan Perpaduan, serta persepsi semasa masyarakat terhadap PAS. Selama ini, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sering mengambil pendirian yang menjadikannya ‘makhluk asing’ di lingkungan dunia akademiknya, tatkala berpendapat dengan pendapat yang berpihak kepada PAS. Pandangan perundangan beliau tentang isu peralihan kuasa pemerintahan di Negeri Perak sangat banyak memberikan nilai penting kepada PAS.

Tetapi apabila pandangan beliau tidak selari dengan apa yang dijangkakan oleh PAS, maka dengan mudah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dilabel sebagai UMNO.

Apa sahaja yang bertentangan dengan PAS adalah UMNO.

UMNO adalah The Others.

Pandangan yang terbit daripada sikap yang sama turut ditemui di dalam lingkungan pendukung UMNO.

Sekiranya ada pandangan yang tidak selaras dengan kehendak kepimpinan tertinggi dan parti, maka dengan mudah ia dianggap sebagai idea pembangkang.

Di peringkat bawahan, para mahasiswa dan mahasiswi sering berdepan dengan belenggu ini. Mereka harus berbeza pandangan daripada idea-idea yang lebih popular di kalangan kelompok pelajar yang pro-pembangkang. Jika selama ini pelajar yang pro-pembangkang bekerja keras berusaha menentang maksiat yang berlaku di dalam kampus maka pelajar yang pro-UMNO sukar untuk melontarkan persetujuannya terhadap apa yang dilakukan oleh pelajar pro-pembangkang tentang maksiat yang bertentangan dengan Islam itu kerana khuatir dilabel sebagai Agen Pembangkang.

z-ibrahim

Datuk Mohd Zaid Ibrahim

Manakala di peringkat atasan pula, kita sama-sama dapat melihat bagaimana kontroversinya tahun 2008 apabila pandangan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim terhadap penahanan Ahli Parlimen Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah peruntukan ISA. Bantahan beliau terhadap tindakan itu telah menyebabkan Datuk Zaid Ibrahim diposisikan sebagai ahli UMNO yang berpihak kepada pembangkang, walaupun ketika itu beliau tidak mempunyai sebarang hubungan yang kelihatan dengan PKR atau Pakatan Rakyat.

Sesiapa sahaja yang mengkritik kepimpinan UMNO atau pandangan arus perdana parti itu, maka ia dianggap sebagai Pembangkang atau PAS.

PAS dan Pembangkang adalah The Others.

Sikap ini membekukan perkembangan kedua belah pihak apabila PAS dan Pakatan Rakyat serta UMNO mengambil pendirian yang merugikan mereka. Namun kerugian terbesar bukanlah setakat di peringkat politik, malah ia ditanggung secara langsung oleh rakyat, pihak yang sebenar-benarnya menjadi mangsa kepada pemikiran seperti ini.

ORIENTALIS VS. PENGGANAS MUSLIM

Di pentas-pentas ceramah, kuliah Maghrib dan Subuh, perkataan Orientalis sering diulang-ulang oleh para ustaz dan pendakwah sebagai pihak yang mewakili apa sahaja pendapat yang bertentangan dengan Islam.

Orientalis disudutkan sebagai satu fahaman yang mewakili idea-idea yang tidak menepati arus perdana masyarakat. Jika tadi, ada kelompok yang saling berbalah antara Wahabi dan Bid’ah, kini kedua-duanya boleh bersepakat pada menghentam dan menyalahkan Orientalis, setiap kali munculnya pandangan yang ‘berbau Barat’.

Apabila Khairuddin al-Tunisi memberi saranan agar Sultan Abdul Hamid II mengkaji dan mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Charlemagne di Eropah, pandangan Khairuddin al-Tunisi itu dianggap sebagai pandangan Orientalis Barat yang memudaratkan Islam. Sedangkan apabila Khairuddin al-Tunisi memberikan saranan sedemikian rupa, beliau mahukan Sultan Abdul Hamid II dan kabinetnya menyuntik unsur dinamik kepada Pan Islamisma agar Islam sebagai ideologi Politik tidak kabur dengan konsep-konsep yang tidak diperincikan seperti konsep Syura.

Di negara kita juga, pada era 90′an, istilah Triple IT yang merujuk kepada International Institute of Islamic Thought (IIIT) sering diguna pakai untuk merujuk kepada idea-idea yang berbeza daripada pandangan konservatif Islam. Triple IT juga disebut sebagai Islam Amerika, khusus untuk menangkis idea-idea ‘pembaharuan’ yang dibawa oleh musuh besar pembangkang di era itu iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengistilahkan apa sahaja yang asal usulnya daripada Barat sebagai Triple-IT, atau Orientalis adalah satu bentuk pengitlakan istilah yang merugikan umat ketika mana banyak kebaikan boleh dimanfaatkan daripada kerja-kerja kelompok Orientalis itu.

Di dalam buku Orientalism tulisan Maryam Jamilah, beliau secara tegas menyatakan bahawa tidak semua Orientalis atau Orientalisma itu negatif. Katanya:

Is Orientalism then totally evil? The answer is a qualified no. A few outstanding Western scholars have devoted their lives to Islamic studies because of their sincere interests in them. Were it not for their industry, much valuable knowledge found in ancient Islamic manuscripts would have been lost or lying forgotten in obscurity. English Orientalists like the late Reynold Nicholson and the late Arthur Arberry accomplished notable work in field of translating classics of Islamic literature and making them available to the general reader for the first time in a European language.

Maryam Jamilah mengiktiraf sumbangan sekumpulan Orientalis seperti Reynold Nicholson dan Arthur Arberry yang sememangnya tidak terbabit di dalam agenda kolonialisasi Imperialisma Barat.

Tetapi sayangnya, buku Orientalism karangan Maryam Jamilah itu sendiri, tidak banyak berhasil pada menunjukkan sisi positif Orientalisma sebagaimana yang dinyatakan oleh penulisnya, justeru apa yang ketara hanyalah penolakan agresif yang sedikit sebanyak merugikan umat.

Orientalis dan Barat adalah The Others.

Ada pun di pihak negara Barat sendiri, sikap yang sama tidak terkecuali.

Tanggapan bahawa mana-mana pendapat yang bertentangan dengan polisi luar Amerika Syarikat atau Akta Anti Keganasan, sebagai pengganas Muslim, adalah kebiasaan yang sering mencetuskan kekacauan.

cheriebooth

Cherie Booth QC dan Tony Blair

Kita tidak lupa kepada Cherie Booth, isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain. Pada tahun 2002, sejurus selepas kejadian letupan yang berlaku di Jerusalem membabitkan kematian 19 orang di Palestin yang berpunca daripada Pengebom Berani Mati Palestin, beliau berkata, “as long as young people feel they have no hope but to blow themselves up, we’re never going to make progress, are we?”

Pandangan tersebut telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa di kalangan negara Barat hingga memaksa Cherie Booth meminta maaf kepada orang ramai. Tony Blair sendiri mengalami kemerosotan reputasi akibat kenyataan yang dibuat oleh isterinya itu.

Demikian juga pendirian Ken Livingston, Datuk Bandar Kota London yang banyak berpihak kepada Palestin dan Muslim, telah memposisikan beliau sebagai seorang yang ‘disyaki’ di bawah suluhan lampu pemikiran The Others masyarakat Barat.

Muslim atau Muslim Terrorist adalah The Others!

Sikap yang seperti ini menyuburkan Islamophobia di dalam masyarakat Barat malah mencetuskan paranoid yang keterlaluan. Pandangan yang prejudis terhadap sesiapa sahaja yang berbeza daripada kita, menimbulkan banyak ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat dan mencetuskan fitnah yang sukar untuk dipadam.

Kepada umat Islam, cukuplah peringatan Allah berikut menjadi panduan:

49_6

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang Fasiq membawa sebuah berita yang penting, maka periksa dan telitilah dahulu mengenainya, supaya jangan nanti kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan yang jahil sehingga nantinya akan menjadikan kamu sesal (akan ketelanjuranmu itu)” [al-Hujuraat 49: 6]

PENGURUSAN NAS

Manakala kepada agamawan yang sedang ghairah berdebat di khalayak, renungkanlah ‘ibrah yang boleh diambil daripada peristiwa yang berlaku, ketika mana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar kepada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, hadith “barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, nescaya dia akan masuk ke Syurga.”

Mendengar akan hadith ini, Abu Hurairah bergegas menuju ke pasar untuk menghebahkan kenyataan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini. Akan tetapi di pertengahan jalan, beliau bertemu dengan ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu yang menahan perjalanan Abu Hurairah kerana mengetahui akan tujuannya. ‘Umar membawa Abu Hurairah kembali kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan beliau bertanya kepada Baginda, “apakah engkau yang mengutuskan Abu Hurairah membawa kedua alas kaki – sebagai bukti bahawa engkau yang berkata – barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, maka sampaikan kepadanya berita gembira tentang Syurga – ?”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata, “ya.”

‘Umar al-Khattab  berkata, “janganlah lakukan ia (wahai Rasulullah), aku khuatir orang akan hanya bergantung kepada ucapan itu. Biarkanlah mereka terus beramal.”

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “kalau begitu, biarkan sahaja mereka beramal” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Besar sungguh hikmah di sebalik peristiwa ini. Keterbukaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima pandangan ‘Umar agar momentum bekerja dan beramalnya masyarakat tidak dipertaruhkan dengan satu khabar gembira yang boleh disalah tafsirkan, menjadi suatu peringatan kepada kita semua tentang kaedah pengurusan penyampaian Hadith dan pembetulan terhadap amal di dalam masyarakat.

Jangan sampai keghairahan terhadap nas, menjadikan kita tidak peduli terhadap keretakan dan kemusnahan yang sedang meruncing di tengah masyarakat.

Berhaluslah dalam tindakan!

Banyak isu yang menghangat serta membingungkan masyarakat hari ini, bukanlah isu perbezaan usul yang tulen. Sebaliknya ia lebih berpunca daripada mazmumah sikap yang gagal mengangkat kepentingan Ummah sebagai keutamaan yang diamanahkan Allah kepada Khalifah-Nya.

Semoga kita kembali bertaqwa kepada Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Kecelaruan Istilah Yang Mengundang Susah “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad) :...
  2. Zikr al-Maut Yang Mengundang Maut   Saya siarkan kembali artikel yang ditulis pada 4 September...
  3. Fitnah Filem Fitna! Saya sedang berfikir, bagaimanakah jika negara-negara dunia memboikot barangan Malaysia,...
  4. Fitnah Petunjuk Istikharah “Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan...
  5. Fitnah di Hujung Lensa “Ustaaazzz, Assalamualaikum!” terdengar suara kuat bertempik dari anjung surau. Saya...

Advertisement

59 comments

  1. lutfihafifi says:

    Sungguh Seronok saya baca artikel ini.
    Satu Kritikan.
    Satu Pembinaan.
    Satu Hala Tuju.

    p/s : Org 1st comment..hehe..

    • hasanhusaini says:

      @lutfihafifi, Salam us abu saif..Us lutfi kita ni, laju je…

      ana teringat peristiwa borak kosong ana bersama dr syuesy, pensyarah kanan kuliah syariah mu’tah..dia memebiri teguran yang agak keras kepada segelintir manusia yg suka melabelkan orang lain, hasil dari perbezaan kecil…mengidentitikan mana-mana kumpulan dengan identiti selain muslim dan daie lebih membawa kepada keburukan…katanya..ada persamaan yang ana nampak di sini..pelabelan a.k.a pengitlakan..wallahua’lam..

  2. radzi says:

    Salam ustaz,

    Pengitlakan sebegini juga pernah berlaku kepada Prof.hamka dan Pendita za’ba…Dr.mahathir juga mengupasnya di dalam blog beliau: http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/10/sound-bites—the-us-dollar.html.

    Hakikatnya, pengitlakan adalah jalan mudah untuk menutup mulut masyarakat apabila berlaku krisis kematian hujah serta ia menjadi aset penting dalam proses ‘Pembodohan Masyarakat”.

    Di dalam bab khilaf& perbezaan pendapat, ada golongan yang mengatakan bahawa hadis yang menyatakan: ‘perbezaan pendapat di kalangan ummatku adalah rahmat’ adalah hadis palsu dalam menolak mentah2 pendapat2 kontemporari.. harap ustaz dapat berkongsi pendapat.

    • ekramhakim says:

      @radzi, penyataan itu adalah kata-kata ulama, dan bukannya hadith nabi.

      • radzi says:

        @ekramhakim,

        terima kasih ekramhakim…
        namun ada juga yang mengatakan bahawa disebabkan pernyataan itu adalah bukan hadis nabi, maka seharusnya kita menolak ‘perbezaan pendapat’ secara total, sedangkan bagi saya, kita seharusnya meraikan pandangan2 ulama kerana ulama2 juga saling menghormati pandangan masing2 antara satu sama lain kecuali dalam bab aqidah…

  3. husni says:

    ustaz,
    apa hukum seseorang yg mencampur-campur kan mazhab2 yg 4… amik yg senang mazhab hanafi, campur sikit ngan mazhab maliki, shafie, dan hanbali..?

  4. ikmal says:

    Salam ustaz

    Inilah sebenarnya punca permasalahan orang kita. Terlalu membuat kesimpulan mudah tanpa usul periksa. Pabila Sister in Islam umpamanya dikecam, adakah kesemua idea yang dibawakan oleh SIS mahu dihentam? Apabila teguran dibuat oleh Dr.Asri adakah semuanya silap dan berunsur Wahabi?

    Pengurusan sikap dan persepsi orang-orang kita masih lagi lemah gara-gara tidak mahu berfikir, bergaul dan menyelidik!

  5. abu redha says:

    tahniah ustaz

    satu bentuk pandangan yang tak menyebelahi mana mana melainkan kebenaran,jauh dari ketaksubsn, jarang dijumpai pandangan yang seperti ini

    teruskan menulis ustaz, banyak pengetahuan yang kami timba

  6. Nazri says:

    Ini pertama kali ana nak beri komen kat sini. Tulisan ini patut dihantar dan disiarkan di semua akhbar berbahasa Melayu dalam negara kita ni. Barakallahu fik ya akhi.

    • amir mujahid says:

      @Nazri, setuju! tetapi mana mungkin ianya disiarkan kerana ia akan mendedahkan rahsia satu senjata yang amat berbahaya: melabelkan satu pendapat yang tidak dipersetujui sebagai “the others”!

  7. alhikam says:

    Satu lagi ustaz . Dr Aziz Bari sendiri x terlepas dari generalisasi nie . Beliau sendiri mengatakan bahawa TGHH dan pendokong UG itu adalah Pro UMNO malahan ramai yang mengatakan cadangan itu adalah pro UMNO . Mungkin inipun dikira masalah dengan istilah .

    Hakikatnya semua orang mudah terjebak dengan penyalahgunaan ini .

  8. Daing says:

    syukran,
    kena baca lagi ni…Just nak kongsi
    Saya terkejut juga bila seorang MP of Switzerland(Tak Ingat nama) ketika ditanya oleh Aljazeera berkenaan Pengharaman minaret, terpacul dari mulutnya menyatakan antara punca pangharaman itu adalah kerana pembinaan itu mungkin di taja “Wahhabi/Salafi”.???
    Mungkinkah ada orang Islam sendiri yang terlibat dlm pengharaman minaret tu???

  9. Faizal says:

    Istilah ‘Pengitlakan’ ini jika tidak salah kefahaman saya dinamakan ‘Essentialization’ oleh Prof Dr Tariq Ramadan.

    Apapun, setakat pengalaman saya, pengitlakan ini seolah-olah kecenderungan manusia secara amnya. Ia bukan terjadi pada isu yang Ustaz sebut sahaja, namun berlaku juga pada isu jenama X vs jenama Y, Pasukan A vs Pasukan B dsb.

    Ia juga ada kaitannya dengan ‘mentaliti geng’ yang seolah-olah telah subur sejak dibangku sekolah lagi.

    Apa yang membimbangkan adalah perkara yang sama juga berlaku di kalangan ‘intelektual’. Premis yang digunakan kerapkali tidak mencukupi untuk sampai kepada sesuatu kenyataan yang dilihat bersifat kesimpulan.

    Jika ‘intelektual’ bersikap begini, yang lain apatahlagi.

    Kerugian yang paling nyata dari sikap begini adalah mereka yang terlibat sukar untuk mencari, mencapai dan melihat kebenaran yang sebenar.

    Allahu’alam.

  10. indigochild says:

    First time bagi komen dalam blog ustaz.

    Sangat berfaedah artikel ni, bantu leraikan banyak kekusutan dan persoalan..

    Arigatou ustaz, artikel seperti ini benar2 jarang dijumpai. Saya sokong en. nazri,artikel ni patut diterbitkan di akhbar2 berbahasa melayu dan inggeris juga..

  11. amar says:

    Umat akhir zaman bagaikan buih lautan. nampak gah tapi bila ditiup angin pecah. nabi dh maklumkan..

    kita boleh bercakap, bertelagah, mendengar dan berprinsip. negara yg kecil ini pun ribut soal wahhabi, pening dgn melayu islam umno yg tolak hukum hakam pun xselesai..

    mcm2..bertuahlah sesiapa yg mempelajari ilmu syariah. kerana ia lebih mudah memahami situasi.

  12. Roy says:

    perkongsian dan pandangan yang baik, ustaz…saya juga pernah satu masa dulu terlalu mudah mengeneralisasikan sesuatu perkara…namun sekarang dalam usaha untuk lebih terbuka…

    tapi pengitlakan ini memang menyusahkan dan menyukarkan untuk bertindak melawan arus…

  13. reformist101 says:

    Tahniah ustaz. Satu artikel yang paling terbaik pernah ustaz hasilkan. Memperbetulkan segala kecelaruan dengan hujah yang tidak berpihak. Saya cadangkan artikel ini di “arusperdanakan”, supaya isinya sampai kepada semua golongan.

  14. fia_rindui says:

    Bernas dan menarik..tahniah…cuma nk komen skit tentang intro ust tu..jarang sy jumpa dalam bentuk lain melainkan dialog…kdg2 boring gak,sekali sekala pekena sambal lain ok gak huhu..jgn marah yer..ikhlas ni..

  15. Teman says:

    Salam Ustaz Yeop Teman,

    Jazakallah, artikel yang diharapkan dapat mengubah sebahagian daripada kita setidak-tidaknya.

    Dah lama benor orang kita begini, dah hampir beku gamaknya. Harapnya tak sempat beku, cayor balik le ke fitrah yang asal, insyaAllah.

  16. ekramhakim says:

    Sikap yang boleh menumpulkan intektual masyarakat, yang tak mampu mengembangkan ilmu secara terbuka dan berhikmah..sedih~

    Sama-samalah kita menjana keintelektualan, seterusnya memimpin perubahan ini..perubahan perlu bermula dari sekarang..

    Beranilah untuk berubah apa yang patut diubah untuk merubah kita, keluarga dan masyarakat kita..

    Sentiasalah bersikap tertutup janganlah terlalu jumud, terbuka jangan pula sampai hanyut..

    Barakallahufiik ustad=)

  17. amir mujahid says:

    Buku Karangan Tariq Ramadan:
    1. Western Muslims and the Future of Islam
    2. What i believe
    telah menerima kritikan dan bangkangan dari segenap pelosok dunia islam. Semua boleh tanya ustaz google tentang perkara ini.

    Sedangkan apa yang diusahakan ialah sesuatu yang amat ‘sensible’ pada pandangan ana. Satu lagi contoh bagaimana idea baru/ lain biasanya ditentang dan dilabel sebagai “The Others”.

    p/s i strongly recommend all to read Tariq Ramadan’s thoughts on the future of Muslims and Islam.

  18. Haikal Abd Hadi says:

    Assalamualaikum,

    Terima kasih Ustaz atas pandangan Ustaz yang bernas ini.

    Sedih saya lihat masysrakat kita amat gemar mendengar syarahan agama yang ada diselitkan maki hamun, tuduh menuduh, cela mencela orang lain. Perkara perkara sebegini pada pandangan saya berlaku kerana penceramah penceramah atau ustaz ustaz yang mengajar lebih suka menonjolkan diri agar orang ramai meletakkan mereka sebagai ulama yang muktabar tetapi hakikat lebih menjurus ke arah gila glamor. Mereka bukannya hendak mendidik dan membentuk masyarakat menjadi lebih baik budi pekerti dan berakhlak mulia.

  19. FiRdAus a.k.a PiDuT says:

    Ramai orang suka pukul rata.Kalau ada yang jahat, maka semua yang bersama dengannya adalah jahat.Dalam setandan pisang, takkan semuanya busuk,kan?

  20. ahmad sobri says:

    assalamualaikum.
    sedih apabila terkenang masyarakat sekarang yg boleh dikatakan terlalu ‘close-minded’. adakah ada cara untuk membuka minda mereka supaya tidak membuat ‘generalization’ seperti ini?

  21. reza says:

    Saya kadang-kadang berfikir,samada sikap sebegini sebenarnya adalah hasil daripada keinginan tersembunyi dalam diri yang mahukan supaya`saya lebih baik daripada dia`?

    Sikap `Its either you are with us or against us` ala-ala George Bush pasca 9/11 ini rupanya menular juga ke orang kita ye.

  22. adikberadi says:

    sorry tertinggal

    @amar

    I beg to differ…

    tak semestinya yang belajar syariah itu tahu menilai situasi …
    ia memerlukan bukan sahaja ilmu yang benar…namun daya pemerhatian dan pemikiran yang halus dan meluas…

    allahua’lam

  23. ibnyaacob says:

    salam ustaz hasrizal,artikel yang menarik untuk nasihat kepada kedua-dua belah pihak dan juga membuka minda semua golongan masyarakat.lebih bermanfaat jika dikongsi bersama dengan masyarakat Malaysia.Ana cadangkan ustaz hantarkan artikel ustaz ke mana-mana akhbar,mungkin utusan,berita harian,sinar harian atau pun harakah.

  24. Mohd Azri says:

    Salam ustaz….

    …..Syukur saya kpd Allah..kerana diberikan masa untuk membaca artikel ini..Hati saya cukup insaf berbaur gembira dengan artikel yang sangaT adil dalam mengeluarkan hujah…artikel ini mampu mmurnikan pendirian saya dan memberi motivasi disaat saya berada di tengah2 masyarakat yang penuh dengan anggapan dan pengitlakan..masyarakat kita kurang ilmu dalam menguruskan perbezaan pendapat….

    “PANDANGLAH ORANG YANG BERBEZA DENGAN KITA DENGAN KEMAAFAN, BUKAN ANGGAPAN “..

    Dengan penilaian yang adil dan empati…

    Syabas dan terima kasih ustaz..

  25. Umi says:

    Assalamualaikum dan terimakasih Ustaz, atas artikel yang amat menarik ni.

    Setuju, setuju, dan setuju. Tapi sy rasa label melabel ni memang perangai semulajadi manusia. Yg memulakannya pun ibu bapa & guru juga, mengajar anak2 dari kecil untuk melabelkan rakan2 mereka..”Jgn kawan dgn budak tu. Rambutnya kusut-masai, mesti budak nakal dan malas. Nanti kalau kawan dgn dia, adik pun jadi macam dia jugak”. Masa kanak2 tuduh orang lain nakal, dah dewasa tuduh orang lain kafir. Perkara kecil yg dipupuk dari kanak2, bila dah dewasa akan jadi perkara besar.

    Tapi sy kecewa dgn sikap intelektual (scholars) yg cepat melatah dan terlibat dgn isu label-melabel ni. Bukankah ilmu tu patutnya digunakan untuk mencerahkan yg keliru, bukan lebih mengelirukan yg sedia kabur? Satu lagi, mungkin kita ni sgt susah untuk bersangka baik terhadap org lain. Sikap suka menuduh tu pun salah satu sebabnya adalah untuk menutup kekurangan diri sendiri juga..bak kata org: ‘Marah dulu sebelum kita kena marah, tuduh dulu sebelum kita kena tuduh’.

    Cabaran untuk memperbaiki diri dan ummah lah perniagaan kita untuk akhirat. Wallahu a’lam.

  26. wargadunia says:

    Dunia ini hanya ada HITAM dan PUTIH sahaja. Jika bukan HITAM, itulah PUTIH, jika bukan PUTIH, itulah HITAM. Alangkah baik jika dunia ini bewarna-warni…

  27. Wea says:

    always make me think in different angles!…congratz ya ustaz..

    Kecelerauan spt itu harus dirungkai agar tidak terus menerus merugikan umat islam..

    tapi…

    Berhaluslah dalam tindakan!!…

  28. ummimusa says:

    ada lagi, ustaz, yg suka memanggil ‘the others’ sebagai futur, gugur di jalan da’wah, etc kerana mereka tak ikut jemaah tu lagi dan macam2 sebab lain.

    ada lagi satu, iaitu golongan2 ‘ahli tarbiyyah’ yg sentiasa su’u zhon dan macam2 lagi dengan ‘orang ammah’.

    yang ustaz highlight sbg benci orientalist tu, saya adalah antara orang yang tak boleh tahan dengan org jenis mcm tu (maybe because I can speak english well and have a B.Ed in TESL). jenis2 org macam tu, ‘geli’ dan mengejek bila ‘the others’ cakap bahasa inggeris, menolak apa2 bahan perbicaraan yg di ambil dari ‘orientalis’ (ustaz dah highlight). sentiasa buruk sangka dengan apa2 kata dan program inggeris, seolah2 bangsa inggeris adalah bukan manusia tapi syaitan.

  29. sufi says:

    pepatah arab ada mengatakan, “siapa yang menpunyai hikmah, dia akan beroleh kebaikan yang banyak”.kadang2 sesuatu yang datang itu kita anggap remeh, tetapi bila di perhalusi lagi, banyak terdapat kebaikannya. sebab itu ilmu dan hikmah perlu seiring sebelum sesuatu tindakan dilaksanakan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui..

  30. Fikri says:

    artikel yang sangat bagus untuk membetulkan gaya berfikir, sikap dan persepsi. syabas ustaz!!

  31. ehsanomar says:

    Hamdillah Isu label melabel ni baru je kami belajar dlm Kuliah Madkhal Ila Fiqh Islam Dr Syuesy Univesriti Mutah pagi tadi. beliau menyatakan, ulama-ulama besar dulu, baik dari mana mazhab sekalipun cukup hormat dan tidak bercanggah antara satu smaa lain. contoh mudah, Imam Malik guru Imam Syafie dan Imam Syafie guru kepada Imam Ahmad. adakah Anak2 murid ni x setuju denagn guru mereka. murninya suasana ketika itu, tapi sekarang semberono je bile tjadi lain siit dari kebiasaan semudahnye di tuduh wahabi, asyairah, ahbasy dll. masalah Taasub melampau dalam bermazhab!!

  32. mail says:

    Tengok jugak itlak ni dari sudut ilmu mantik..

  33. ceriterahamba says:

    salam ustaz,

    satu kupasan yang sangat menarik..

    semua ini berlaku kerana tuan empunya hati…. selalunya tidak berhati-hati..

  34. no0nE says:

    salam..sy penah dgr ada ust ckp yg org awam sbnrnya xde mazhab…sbb kebanyakannya pun beramal dah bercampur mazhab…

  35. amin says:

    seronok la ustaz….saya sangat setuju…betul kata ustaz saya pun kadang2 confuse dengan mereka2 yg ustaz nyatakan……ye la sungguh senang org itu dilabel-labelkan

  36. pencatat says:

    Setuju dgn anda. Masalahnya ramai pula pimpinan jemaah islam yg berada dlm level itu, menjadi batu tanda level org2 bawahan pula… Manhaj yg sewajarnya telah diletakkan dgn jelas oleh ALbanna dlm usul 20, dah jadi silibus tarbiyah, kenapa tidak dpt difahami juga ya?

  37. alak says:

    salam..

    semua org berhak memberikan pendapat, tp kritikan perlu ada.. pihak yg mendakwa org sbg syadid @ keras pun perlu dinilai.. kita perlu faham sisi perjuangan menegakkan sunnah.. ada yg mendakwa golongan spt salafi sgt keras..jika anda benar yakin pndangan mereka salah semak dulu sirah dan tarikh Nabi dan para sahabat..

    Ada masa mereka keras, ada masa ada tolak ansur.. ustaz hasrizal pun rasanya faham apa maksudnya. jgn kita pun anggap mereka seolah2 keras, kerana kita pun ‘bangga’ dgn pemikiran kononnya ( bukan semua) kita lebih terbuka.. jika kita pun bersikap demikian, kita pun sbenarnya menjadi puak yg suka memberikan cop..

    saya ingin sentuh komen yg mengatakan ‘ikhtilaf di kalangan umatku adalah rahmat’. semua mgakui ini adalah bukan dari sumber yg sahih. bukan kita menidakkan kenyataan ini, tp kita menyatakan kaedah..kaedahnya kita wajib menyelidik sumber.. mgkin kita terlalu prejudis sehinggakan kaedah yg mereka pegang kita anggap menyusahkan, lalu kita laungkan slogan ‘bersatu-padu’, ‘jgn berpecah’ dsb..

    kdg2 kenyataan ustaz hasrizal (pd hemat saya) seolah2 prejudis pd golongan salafi.. kita perlu nilai dr sudut kaedah, kenapa pndangan mereka sebegitu.. jika semua benda diringankan, maka apa pula nilai agama Islam bila semua mengagungkan akal.. keluasan akal diiktiraf, tp boleh dipertikaikan..

    kita mengambil pendapat tokoh bukan bererti kita menyetujui pola pemikirannya, apatah lagi jika bukan ikut acuan Islam.. kita iktiraf pendapat yg ikut kaedah nas..jgn kita dipengaruhi kononnya ‘kebebasan akal’, lalu kita cuma ambil kaedah ISlam yg secocok dgn pemikiran kita, dan menuduh org lain sbg jumud dan The Others..

    minta maaf xpandai susun ayat..wassalam..

    • Abu Saif says:

      @alak,

      Seorang ibu atau bapa, akan lebih mengkritik dan marah anaknya sendiri berbanding anak orang lain, atas sebab-sebab yang maklum.

      Sukar untuk si ibu atau bapa itu dianggap prejudis terhadap anaknya sendiri kerana kritikan itu.

      • alak says:

        @Abu Saif,
        salam alaikum…

        seorang anak pun sering menganggap ibu-bapanya membela org lain atas sebab2 yg maklum, mereka akan tersalah sangka (tanpa sengaja) bahawa ibu-bapa benci pd mereka..

        soal sekarang, ibu-bapa juga perlu ada kaedah utk mengelak salah-sangka dari anak (yg keterlaluan)..sebab ia mungkin membawa perasaan tidak puas hati dan boleh jadi dendam..jadi jika ia berlaku, adakah salah anak semata2?

        maaf ustaz, saya muda lagi.. bukan nk pertikai artikel tulisan ustaz semata, tp sekadar ajakan sama2 koreksi kembali pola penilaian kita terhadap seseorang..saya tidak berniat utk ‘lawan arus’ dari komen2 yg ada di web ini.. cuba persoalan ini saya perasan sepanjang baca di web ustaz ni..

        ‘orang mukmin itu bersaudara’

        wassalam..

        • Abu Saif says:

          Wsalam wbt @alak,

          Akhi Alak.

          Saya mengalu-alukan komen yang menongkah arus. Tetapi setakat ini amat jarang komen kontras yang datang. Kalau muncul pun, ditulis dengan nafsu Amarah yang penuh emosi, tidak sesuai dengan Akhlaq yang diajar Islam.

          Janganlah Alak sangka saya naik atau turun suhu dengan komen-komen yang datang. Komen yang memuji atau komen yang mengeji, baliklah ia kepada pemberi komen sebagai dosa atau pahala. Ada pun untuk saya, saya meneruskan kerja seperti biasa.

          Kita boleh berbeza pendapat. Tetapi tiada ruang dalam Islam untuk berbeza Akhlaq.

          Komen Alak menjadi komen kontras tunggal setakat ini.

  38. imanulhassan says:

    alhamdulillah, kupasan yang sgt mantap.

    entry ini WAJIB dibaca oleh semua!

  39. albanjari says:

    memang kerja beringat ni kerja yg susah..

    dan antara yg menjadi pengingat sy adalah blog ustz..

    teringat kata2 TG Nik Aziz dlm hal ingat mengingat nih..

    ”beringat ini bukan kerja senang. Kalau beringat dua tiga hari, mungkin kita boleh buat. Tapi kalau hari-hari, memang susah. Kerja berat. disebabkan ini adalah kerja berat, Allah bagi upah. Upahnya adalah syurga”

    ”Kita selalu beringat, bimbang polis saman, polis tangkap, beringat kena lelong. Dan dalam banyak perkara yang perlu kita beringat adalah, takut malaikat tulis benda tak molek, yang akan didedah di akhirat kelak”

    ”sebab itu, tidak ada cara untuk nak mengelak dari keselamatan dan keamanan, lain daripada turut Islam. jadi orang muttaqin”

  40. chanz says:

    Saya suka entri ini. Bersifat neutral. Betul, wajib dibaca oleh semua!

    Gelaran THE OTHERS mengingatkan saya akan cerita Lost.

  41. nafzh says:

    satu kupusan yang menarik dan penuh hikmah bg mereka yg berfikir. Apa2x isu yang berlaku dalam masyarakat kita; wahabi, bidah, Umno, pembakang dan banyak lagi seharusnya diteliti, dikaji dan diikuti atas landasan ilmu dan iman bukannya secara membabi buta.

    Cuba baca karangan Ustaz ElMuhammady dlm isu bagaimana kita boleh membezakan apa dan siapa itu wahabi dengan salafi pada hari ahad2x yg lalu. ana rasa, kupasan beliau sangat menarik kerana disandarkan atas dasar ilmu bukan tujuan melabel mana2x pihak. Wallahualam

  42. Abu Widad says:

    Syukran a’la al-zaalika syrhi…

    Satu kupasan yang sangat mengenai setiap batang hidung kita umat islam Malaysia.

    Saya menyokong penuh artikel Ust ni. Walaupun ada kesilapan oleh setiap golongan yang disebutkan namun sokongan kepada yang hampir dengan kecenderungan saya, menjadi keutamaan sambil mengaharap agar kesilapan yang berlaku seperti disebutkan Ust dapat diperbaiki.

  43. creeds says:

    Salah letak label nama ‘THE OTHERS’ akan menyebabkan org dapat menilai tahap keilmuan kita….tak gitu ustaz?
    Kalau nak selamat, guna jer bulat-bulat perkataan ‘THE OTHERS’ tu lagik selamat contohnyer…
    Contoh A: “betullah cakap ‘THE OTHERS’ tu memang bertepatan dgn Alquran, Sunnah, Itjmak para sahabat, Itjmak Ulama dan qias maka kita perlu berlapang dada dan wajib untuk ikut”.
    Contoh B, esok pulak arrr dah ngantuk dah nih…

  44. mencari ilmu says:

    satu pengajian yang baik, tetapi sekiranya ianya sudah salah like wahabi, jgn kelirukan lagi keadaan org yang masih mencri jalan yang betul..jgn disatukan perkara yang sudah salah dengan yang benar..

  45. ummualya says:

    salam;

    Manusia mempunyai kecenderungan; berasaskan pengetahuan, pemikiran, pembacaan; malangnya paling banyak berasaskan nafsu.

    Dengan maklumat dihujung jari, anak-anakmuda terutamanya perlu dipandu terutama dalam mencari ilmu – kerana ilmu itu kekuasaan pada zaman ini..

    Saya yang sudah berumur ini kalau mendedahkan apa KECENDERUNGAN saya; masih sangat perlu mencari ilmu; kerana ia seolah menampakkan keliru!

    - Saya menyanjung Al Maududi (Tabligh)- tapi bukan beberapa imam tabligh lain selepas itu
    - Hati tersentuh dengan keluhuran dan kelancaran ilmu Uthman Al Muhammady
    - Aqal masih mencari2 ilmu mengenai Tok Kenali; Abd. Rahman Limbong. Tok Pauh yang menjadi legenda yang TERSEMBUNYI dalam lipatan sejarah bangsa Melayu Islam
    - Hati sayu dan sedih malah sakit mendengar sindiran terhadap Imam Shafie yang disanjungi kerana saya percaya ALLAH swt mengurniakan akal genius kepadanya; yang menghafal di umur 5 tahun setalah hanya setahun belajar dan dilantik menjadi mufti ketika umur 15 tahun dan di Mekah lubuk ilmuawan pula tu, bukan di Malaysia! (adakah saya mengitlakkan Wahabi pula?)

    Sebenarnya jika menyedari siapa musuh utama kita; dan menumpukan kepada usaha memenangi pertarungan itu; di akhir zaman ini, maka perbezaan-perbezaan ini usahlah digembar gemburkan.

    Menggunakan media terutama komputer; anak2 muda diperkenalkan dengan istilah-istilah yang memecahbelahkuan ummah; sebagaimana di rancang oleh kafir dan pengikut syaitan; lalu memudahkan kita dikotak-kotikkan.

    Saya mencadangkan; supaya pada masa hadapan; masilah kita tumpukan kepada titik persamaan kita sebagai muslim; terutama rukun dan akidahnya.. kerana pada akhirnya kita tidak mahu menjadi buih..

    Bagi Ustaz Hasrizal; gunakanlah medium ini sebaiknya; sebagai penyatu ummah.

    Selalu saya fikirkan; kenapa Allah swt. mengizinkan komputer menjadi maklumat di hujung jari? Pada akhir zaman ini? Yang jelas nyata pada saya, bagi Muslim; ia MESTI MENJADI ALAT YANG MENYATUKAN.

    Segala yang benar dari Allah swt.. maaf zahir bathin.

    • pak din 31 says:

      @ummualya, Jauh sungguh jangkauan minda Ummu, terutama apabila di bawa oleh arus ICT yang tidak dapat dihalang sesiapa.

      Tinggi pemikirannya, apabila persoalan kenapa Sunnah Allah ( ada beza dengan hanya menyebut Allah?) mengizinkan komputer menjadikan maklumat bergelumang di hujung jari (kemudian mengalir ke minda dan budaya)

      Lapang dadanya, (kerana secara tradisinya ilmu dikaitkan dengan dada) apabila memberikan penekanan kepada mencari persamaan dan bukan sebaliknya.

      Tetapi lupakah kita kepada persoalan asasnya, seperti telah di sebut dalam komen sebelumnya, http://saifulislam.com/?p=6707#comment-71715

      Bahawa … kita selalu lupa menzikirkan SunnahNya, maka kita lupa bahawa kehidupan ini kompleks, dan mencari kejayaan di dalam kehidupan itu jauh lebih kompleks!

      Kerana … komputer tidak datang bergolek dengan sendirinya, tidak pernah termasuk dalam silibus pembelajaran akidah di mana-mana … hanya kerana Muslim gagal menterjemah pekara-pekara USULnya Agama.

  46. wanfad says:

    salam ust. saya rasa entri ni sgt baik dan bgitu kena dgn mahasiswi/a yg ada skrg.ianya bkn sahaj menular dalam kalangn msyarakat, tp juga golongan pelajar di ipt dan IPTA yg senang2 aje labelkan sahabat2 yg dikatakan lain fikrah sebai sesat dan salah jalan. apa hak kita untuk berkata begitu? setau saya, stiap pendapat itu benar. pelabelan yang diberikan oleh sesetengah masyarakat amat lah peru diambil berat dan dineutralkan.kita begtu takut untuk berfikir lain dari yang lain dn mengeluarkan pndpat yg berbeza takut di’itlak’ as phak2 yg lain. mmg menbantutkan pemikiran umat islam betol ni.

  47. Rizal Md Radzi says:

    Alhamdulillah, artikel ustaz ni amat baik sebagai software terbaru bagi akal (hardware) saya…
    Selalunya subjek2 sebegini amat berat utk diulaskan supaya mudah difahami, namun ustaz berjaya melakukannya (kerana setidak-tidaknya saya mampu memahaminya)
    Semoga ustaz beristiqamah dalam berdakwah.

  48. radzhi says:

    Salam ustaz,
    Susahnya di Malaysia ini mendapat pandangan seperti ini.
    Kalau ramai lagi ustaz berpandangan macam ni dalam kelompok Melayu tentu bangsa kita akan terus maju.

Leave a Reply