Lebih Sabar Daripada Gunung

December 27th, 2009 by Abu Saif 8:31 am | 8,370 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

“Ustaz, cepat. Ada kes buli!” panggil penghulu.

Panik kami dibuatnya.

Ada kes buli pula. Sungguh mencabar apabila berpuluh-puluh remaja yang saling tidak mengenali dihimpunkan di satu tempat.

“Tapi ustaz jangan cakap kata saya report!” pinta peserta tersebut.

Beliau dilantik menjadi penghulu juga kerana ‘dibuli’ oleh peserta lain. Maklum sahaja, bagaimanakah seorang pelajar tingkatan 1 boleh menjadi penghulu kepada pelajar yang lebih tua? Tetapi malam itu beliau bertindak bijak. Lewat tengah malam, beliau senyap-senyap berlari ke bilik kami memaklumkan insiden ‘buli’ yang sedang berlaku di kalangan ‘anak buahnya’.

Kami tiba perlahan-lahan dan berselindung di balik dinding.

Memasang telinga sebelum membuat keputusan untuk bertindak sesuatu.

BENGANG

Nko tahu tak, bapak aku hantar aku ke kem ni sebab nak bagi aku dengar ceramah ustaz. Bukannya nak dengar loyar buruk nko. Bengkek betullah aku!” kata salah seorang ‘pembuli’.

Kami yang berada di balik dinding tersenyum.

Baru faham apa isunya.

Selagi sidang tengah malam itu berlegar pada cakap-cakap, kami perhatikan sahaja. Jangan ada tangan atau kaki yang naik. Itu sempadannya.

“Tak habis-habis menyampuk. Ko nampak tak betapa sakitnya hati ustaz melayan perangai ko tu!” bentak seorang lagi.

Rakan yang berdiri di tengah-tengah bulatan itu hanya tunduk. Mungkin malam itu dia belajar sesuatu. Selama ini beliau menganggap kebijaksanaannya membuat lawak dan menyampuk cakap orang siang dan malam, pagi dan petang itu sebagai satu kelebihan dan cool. Rupa-rupanya dia syok sendiri dan orang lain menahan lahar kemarahan bagai gunung berapi.

MENDUGA SABAR

Tidak dinafikan.

Saya boleh bertahan dengan peserta yang bermuka masam, tidak responsif, malah tertidur.

Tetapi saya lelah melayan peserta yang loyar buruk, menyampuk percakapan dan bercakap benda-benda yang menyakitkan hati. Tidak mudah untuk mengawal suasana apabila Allah menghantar peserta sebegini ke dalam program kendalian kita.

Ya, Allah yang menghantarnya.

Itu pendirian saya.

Bagaimana sekali pun gelagat dan kelakuan peserta, saya menganggap mereka sebagai tetamu yang dihantar oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala dan saya mesti kuat untuk menerimanya.

Hajat di hati mahu memanggil pelajar tersebut untuk berbincang. Sikapnya semenjak minit pertama program sungguh mengganggu konsentrasi saya dan peserta lain. Tetapi sebelum saya bertindak, peserta lain sudah terlebih dahulu hilang sabar mereka.

Nko tak faham-faham lagi ke, ustaz dah hint tentang perangai ko tu?” marah seorang lagi peserta.

Ya, nampaknya peserta lain yang faham.

BERBISA DALAM BERSAHAJA

Ada kalanya tatkala peserta membuat perangai, saya pancarkan sahaja tembakan ‘lazer’ yang membuatkan orang sepertinya terdiam seketika.

“Hmm, inilah susahnya apabila perempuan aqil baligh lebih awal daripada lelaki. Yang perempuan dah macam emak-emak. Yang lelaki perangai macam budak-budak. Perempuan mana yang berani nak ambil orang macam kamu jadi suami ni?” itu ayat tahap amaran kuning saya.

Terdiam sekejap dia.

Tengah hari buat balik.

“Hah ustaz, skodeng ke?” tanya si loyar buruk itu dengan nada provokasi.

Saya sedang mengawal peserta berwudhu’ di pili yang terletak berhampiran dengan tandas.

Skodeng ni kerja orang yang tak confident boleh kahwin. Lelaki lembik yang teringin nak kahwin tapi tak mampu. Dapat skodeng pun jadilah. Kamu kategori mana?” saya bertanya kepadanya.

Dia tersengih-sengih.

Saya menghampirinya dan bercakap perlahan.

“Tidak semua benda yang lawak itu lawak. Elok simpan dan keluarkan sekali sekala bila sesuai sahaja. Nanti banyak hilang kawan” saya berbisik perlahan kepadanya.

Masih mencuba.

Cuba untuk empati dan menahan marah dengan penuh sabar bagai sinar mentari.

SABAR ITU MATAHARI

Di dalam sepotong hadith yang panjang riwayat Muslim, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Dan sabar itu sinar seperti mentari”

Ulama merumuskan sabar itu diibaratkan seperti matahari kerana dua perkara.

Pertamanya, matahari itu sumber kehidupan. Sama seperti sabar yang menjadi sumber kepada kebaikan. Sabar dalam ibadat, sabar dalam taat, sabar menahan diri daripada maksiat, sabar dalam musibah dan sabar dalam nikmat, semua itu menjadi sumber untuk melimpahkan pelbagai kebaikan yang lain.

Sebab kedua, untuk sabar dan menghasilkan kebaikan seperti khasiat matahari, diri kita terbakar panas!

Itu yang saya rasakan.

Menahan diri untuk sabar bagi mencipta ruang dakwah adalah suatu kepedihan yang sukar untuk dibayangkan. Patutlah gunung tidak mampu melakukannya. Gunung tidak sabar untuk memuntahkan lahar. Tetapi manusia mampu menelan panas kemarahan dan mengeluarkan apa yang sepatutnya sahaja.

Sakitnya, Allah jua yang Maha Mengetahui.

Apabila berbicara tentang zina semasa berbahas soal cinta dan kehidupan, ada peserta yang jadi gatal dan miang hingga mengganggu peserta lain yang cuba memberikan konsentrasi.

“Wah, best gila dapat berzina. Masa berzina sedap, kemudian bila mengandung gugurkan anak dan sambung zina lagi. Kalau gagal gugurkan, lepas beranak buang sahaja budak itu di tangga masjid dan kemudian sambung zina lagi. Kalau rasa diri lebih teruk daripada binatang, buangkan sahaja ke tong sampah dan sambung lagi zina. Apa lagi yang boleh dilakukan ke atas manusia seperti ini kecuali dibakar api Neraka, bermula dengan dibakar hangus kemaluan yang puas menikmati sedap dunia dahulu!!!” saya mengangkat tinggi nada suara untuk menegaskan mesej.

Peserta terdiam.

Berubah sedikit muka sesetengahnya.

“Hebatnya Allah ialah, Dia tidak terus menghukum penzina biar pun 1000 kali dia berzina, jika dia memilih untuk bertaubat. Kamu bayangkan, betapa Allah sayang dengan manusia, hingga semasa tidak meminta pun diberikan-Nya penghapusan dosa. Sedekah, terhapus dosa, pergi masjid terhapus dosa, berwudhu’ terhapus dosa, memuliakan tetamu terhapus dosa. Akhirnya apabila setelah semua peluang itu diberikan pun masih ada yang dibakar api Neraka, kamu percayalah, tiada siapa pun yang akan mempertikaikan nasib orang itu di Neraka nanti kerana dia memang selayaknya di situ!” saya menyudahkan mesej anti zina yang dikongsi pagi tersebut.

Peserta diam dan sepi seketika.

“Saya nak bertaubatlah, ustaz!” tiba-tiba si loyar buruk itu mengangkat tangan dengan senyum kambingnya, melecehkan perbincangan kami dengan gurauan tidak bertempatnya itu.

Tersirap darah saya.

Semua peserta menoleh ke arahnya.

Saya hanya menggelengkan kepala.

Dan malam itu, beliau ‘dibasuh’ oleh semua peserta.

Kami di belakang dinding hanya memerhati. Alhamdulillah tidak sentuhan fizikal dan selepas sejam, Majlis Tahkim selesai.

Keesokan paginya, saya dan rakan fasilitator terpegun melihat perubahan pelajar tersebut. Mukanya monyok, langsung tidak berkata-kata dan hilang 100% loyar buruknya.

Saya tidak mahu memberi sebarang komen.

Terkenang kepada pengalaman salah seorang fasilitator kami yang menyesal apabila hilang sabar tertengking seorang anak muridnya yang terlalu tegar. Beliau dengan nada kesal bertanya, “kamu di rumah memang biasa kena tengking ke?”

Pelajar itu diam seketika.

“Tengking tak biasa, ustaz… terajang biasa le!” katanya jujur.

Tertelan air liur si guru dibuatnya.

Setiap perangai pelik yang ditunjukkan oleh seorang anak remaja, ia sering bermaksud menarik perhatian. Dan tatkala beliau bertindak keterlaluan menarik perhatian orang, tentu ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya.

Tidak terkecuali pelajar ini.

Loyar buruknya tersingkap sebagai reaksi beliau kepada hidupnya yang penuh kesedihan.

“Saya bersyukur ustaz sebab kawan-kawan dalam program ni langsung tak sentuh saya. Mereka hanya marahkan saya sahaja. Kalau di tempat lain mungkin teruk saya kena belasah. Saya berjanji untuk berubah!” kata beliau di hujung pertemuan kami.

Saya tidak memberi sebarang komen.

Memeluk erat sebelum berpisah dan mata kami hanya berkaca-kaca mewakili kata.

3 hari 2 malam yang penuh ujian buat semua.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Lebih Baik Daripada Abu Zar’in “Ruang tamu kita elok dicat dengan warna peach atau cappucino?”...
  2. Larangan Bertudung: Lebih British Daripada Britain Gambar hiasan “Ustaz, apakah boleh dikira darurat untuk kami hadir...
  3. Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan “Sheikh Rayyan,...
  4. Motivasi Pagi -3-: Membebaskan Diri Daripada Taklukan Faktor Luaran Berikut adalah nota rancangan Motivasi Pagi yang tersiar di Radio...
  5. Sepatutnya 39 Tahun Lebih Dewasa “Tak menyesal ke undi DAP?”, tanya kawan saya. “Tidak”, saya...

Advertisement

49 comments

  1. aman says:

    dari sudut si loyar buruk~
    -bergurau biarlah bertempat….

    dari sudut masyarakat sekeliling~
    -patut belajar cara Rasulullah SAW menangani perangai nuaiman

  2. Haan says:

    Entry yang mengingatkan saya tentang seseorang…

  3. limaumaniss says:

    saya pun nk mengalir air mata…
    saya sendiri tak dapat nk kendalikan kes2 yg semacam di atas sepertimana ustaz…penuh hikmah…sampai tersentuh hati budak tu hingga dia ckp ” kt sini tiada siapa pun yg sentuh saya”….

    dan kadang2 kesabaran dalam diri sendiri pun tak dapt nk dikawal dengan elok2…semoga takda apa2 yg negattif berlaku bila hilang ‘mentari’ dalam diri…ameen…

  4. Ahmad Aspari says:

    “Tuhan tahu tapi menunggu”

  5. ro ya alip dhod says:

    anta mmg sabar…kalau ana mungkin lepas penghulu bagitau tu….ana datang terus sergah ‘high coucil’ tu.

  6. ro ya alip dhod says:

    anta mmg sabar…kalau ana mungkin lepas penghulu bagitau tu….ana datang terus sergah ‘high council’ tu.

  7. Salaam, Ustaz.

    “Setiap perangai pelik yang ditunjukkan oleh seorang anak remaja, ia sering bermaksud menarik perhatian. Dan tatkala beliau bertindak keterlaluan menarik perhatian orang, tentu ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya.

    Tidak terkecuali pelajar ini.”

    I am reminded of this sentence from one of Arthur Conan Doyle’s stories (The Adventures of Sherlock Holmes: The Copper Beeches):

    “My dear Watson, you as a medical man are continually gaining light as to the tendencies of a child by the study of the parents. Don’t you see that the converse is equally valid. I have frequently gained my first real insight into the character of parents by studying their children. This child’s disposition is abnormally cruel, merely for cruelty’s sake, and whether he derives this from his smiling father, as I should suspect, or from his mother, it bodes evil for the poor girl who is in their power.”

  8. AFRINA says:

    ya ustaz, loyar yang melampau tu membuatkan kita rasa tidak senang dengannya..

  9. aman_82 says:

    salam..
    selalu jugak mengalami situasi mcm ni. tmbh pulak diri ni kdgkala xdpt nk menahan sabar. Bila kita tahan, kita pulak yg terasa sakitnya.

  10. hasanhusaini says:

    Salam..syukran us..entry yang bagus kepada bakal pendidik umat..namun, saya agak kesal apabila, nilai empati ini hilang dari hati para pendidik, terutamanya ibubapa yang dah ‘jemu’ dengan anak masing-masing, tak kurang juga para guru dan terutamnya para pendakwah…sengaja ‘tak tahukan diri’ bila ada signal pelik-pelik dari anak didik. Namun, mereka cukup cemerlang dalam mengurus dan mengesan signal pelik dr pelanggan di tempat kerja…

  11. Kamarul says:

    Alhamdulillah ‘high council’ tu tak sepak terajang.. Nampaknya para peserta kem ustaz, mereka yang ber’otak’ belaka..

    Apapun ustaz memang seorang yang penyabar tatkala ustaz pernah cerita bahawa ustaz sebenarnya seorang yang baran semasa zaman sekolah dahulu.

    Ustaz, kongsi la tips menjadi seorang yang penyabar sedangkan dahulu seorang yg baran. Share ye ustaz.. syukran

  12. ana says:

    salam…ustaz,sy ada kemusykilan sedikit tp mugkin out of topic..
    sy ada dpt iklan kerja melalui internet,kerja dirumah. so utk permulaan kita kna bayar wang RM50 as refundable deposit. kerja yg diberi adalah menghantar iklan yg sama kepada email org lain dan jika min 100 org reply berminat dgn kerja itu duit RM50 akan diberi semula kpd kita n setiap email yg mendapat balasan berminat akan diberi RM1.
    Sy ingin pendapat ustaz ttg kerja begini, adakah halal sb sy meraguinya.
    Boleh sj kalau sy xnak rugi dan just wat kje nie dan dptkan deposit itu semula tp sy xnak menipu org beratus2 org lain jika ianya tidak betul. Tolong ustaz…

  13. Makbonda says:

    Terimakasih ustaz,saya memang sedang mencari ilham untuk mengatasi anak-anak sebegini.

  14. tipah says:

    salam,.

    hurmmmmmmmmm,…….
    hope u are doin right things,.

  15. Sarah says:

    Ini la cabaran masa kini.. anak-anak semakin liar..

  16. silversarina says:

    Dear Ustaz ,

    Terharu baca entry ini . Para remaja memang banyak ragamnya dan loyar buruk salah satu sifat yang dianggap ‘cool’ . Memang betul tingkah-laku remaja sebegini biasanya untuk mencari perhatian , ingin menjadikan diri mereka sedikit famous. Syukur dalam kem ustaz ada remaja2 lain yang ikhlas ingin si loyar buruk berubah dan sebab itu mereka tidak menggunakan kekerasan fizikal . Apapun syabas buat ustaz serta staff yang menjayakan kem hijri tersebut .

  17. Mohd Azri says:

    Salam ustaz…

    entry yang mengingatkan saya pada anak2 didik…kehidupan mereka dirumah..itulah pengalaman yang membina watak mereka…sangat pentingnya kemahiran keibubapaan…

  18. izanhasnan says:

    zmn kini berbeza dgn zmn dulu2..anak2 byk terbiar sb ibu bapa siang mlm cari duit..tu sb kenakalan mereka menjadi2 utk dptkan perhatian..bagus artikel ni sb sy pun pernah mengajar bdk2 sek..kdg2 tak tersabar kita dibuatnya..

  19. blade says:

    nak loyar buruk??? baik x yah.
    buat org benci lagi ade la..
    kalau lawak biar bertempat…
    semua tempat nak lawak payah la….
    ini bukan marah tapi luahan

  20. nik says:

    itu program 3 hari 2 malam….
    bagaimana dgn program 5 tahun berdepan dgn ribuan karenah pelajar di sebuah tempat bernama sekolah…
    andai sabar itu diukur dgn tinggi,biarlah ia mencecah langit, jika sabar itu di kira dgn keras,biarlah sekeras berlian… biar apapun bandingan sabar…biarlah sabar lebih dari itu

  21. wardahbiru says:

    salam ustaz.
    kat kelas sy, ada juga yg perangai nak mintak prhatian nie..kekadang ble la sabar..tp kalau da melampau tak tau la nak buat apa…nak tegur pun nti dickp jaga tepi kain org pulak..
    moga ALLAH mbri kt kesabaran..

  22. Lun says:

    dulu dan sekarang amatlah berbeda

  23. ceriterahamba says:

    macam kisah Naruto je adik tu… hehe…

    Dia kurang dapat perhatian kot ustaz… tu yang buat macam-macam dengan cara dia sendiri…

  24. ekramhakim says:

    Semoga adek itu mendapat pengajaran yg berguna dlm kem HIJRI utk menghadapi masa depannya yg masih jauh. Ameen.

    Barakallahu fiik ustad atas perkongsian=)

  25. Jasrina says:

    assalamualaikum,

    setiap yg berlaku ada hikmahnya.
    anak2 adalah permata dan lubuk pahala buat ibu bapa.apa yg mereka perlukan ialah perhatian dr ibu bapa.
    biasanya anak2 yg terlibat dengan gejala negatif, semuanya bermula dr rumah. didikan dr kecil.
    besar tanggungjawab ibu bapa, tetapi kena ingat,bila tua nanti, dengan anak2 ini lah kita akan menumpang kasih.
    jika buruk layanan kita pada anak2, tidak mustahil, buruk juga layanan mereka ke atas kita bila tua nnt.Wallahu’alam. Allah Maha Mengetahui.

    • aien says:

      @Jasrina,
      betul2.tak semua gejala seperti merempit,mencuri,hisap dadah dan sebagainya adalah salah si pelaku itu seratus peratus.kadang kala kita juga perlu melihat bagaimana kehidupan mereka kerana tak semua orang di kurniakan kehidupan yang baik.tapi harus diingat juga semua perkara bermula dari diri kita sendiri.

  26. zuwairiaiman says:

    alhamdulillah terserempak ngn artikel mcm ni.. rasa ilmu ni berguna saya.. terima kasih

  27. justme2 says:

    Assalamualaikum,

    Ustaz, sya quote ayat-ayat ustaz & paste note utk tatapan sahabat2 sya yg lain…
    sya harap ustaz halalkan ilmu2 yg dah sya ambil yer.

    Terima kasih

  28. 'Afifah Azam says:

    ”A strong man is not the one who can overpower others but,it is the one who controls himself when he gets angry.”

    H.R Bukhari,Muslim.

    pertama kali mendengar sabar itu dianalogikan dengan matahari, menarik!

    S.A.B.A.R. = sukar tapi indah :)

  29. cahaya says:

    ustaz..saya tersentuh dengan entry ini.astagfirullah hal azim.bnyk nya dosa.nyk nya yang tak kena.bnyk nya yang telah saya zalimi diri sendiri.

  30. Latifah says:

    Salam Ustaz…
    banyak yang saya pelajari dari artikel ini. ada seorang rakan kami yang bersikap begitu, kadang kala, hilang kesabaran dibuatnya, malah kami mengatakan dia seperti sakit mental. namun kami paham dan bersabar kerana tekanan hidup yang menjadikan dia begitu. cumanya berharap dia berubah…

  31. minn ahmad says:

    alamak, terasa la..

  32. limaumaniss says:

    ustaz…agak2, budak tu baca tak entry ni….tiba2 saya terfikir…

  33. shahnor says:

    Salam ustaz
    sewajarnya kita marah dan geram dengan perlakuan loyar buruk tak bertempat tapi kena control le agar maruah diri kita tidak tercalar. sebagai guru, saya berdepan seribu karenah yang bermacam ragam. alhamdulillah setakat ni belum meletup lagi gunung berapi marah tapi sesekali tu menggigil badan menahannya. harap Allah mantapkan kesabaran dlm berjihad ni

  34. janxxx says:

    emm..sedih dan sayu hati saya bila peserta tu buat kenyataan macam tu..sebenarnya adik bongsu saya juga berkelakuan sedemikian..buat lawak bodoh, buat perkara yang bukan2, tak dengar cakap mak ayah saya kecuali saya..mungkin ada yang tidak kena pada dia..tp setakat ni alhamdulillah tiada perkara buruk yang melampau dia lakukan..insyaALLAH saya akan lebih bersabar pada masa depan..

  35. insanbiase says:

    Assalamualaikum ustaz…
    saya selalu cepat naik darah jika terdapat komen2 negatif terhadap
    artis kegemaran saya lalu saya membalas komen tersebut.. adakah wajar untuk saya membalas komen2 tersebut? saya tahu ini kelihatan remeh dan duniawi tapi saya ingin belajar untuk kawal emosi sedikit demi sedikit.

  36. ceriterahamba says:

    hahaha… tersengih baca komen deme…

    MEMANG TAK WAJAR!

  37. ijin says:

    salam ustaz…
    malangnya saya mungkin seperti pelajar loyar buruk tadi.
    tapi saya yang pling selalu bertanya dalam kelas…
    mybe saya x dpat bezakan bila perlu bercakap dan bila tidak perlu..

  38. rulza says:

    cakap pasal ” dah biasa kena tengking dirumah” teringat masa mengajar (guru sandaran darjah 1 2 dan 6)..sedih pula bila ingat. ada pelajar yang sering dipukul dirumah. kadang2 kena dengan batang paip, tali pinggang, kayu dan tengking tu dah biasa..

    trauma budak2 ni, kalau saya angkat tangan untuk tunjukkan sesuatu, dioarang terkejut dan elak seolah-olah mereka hendak dipukul. saya pun terkejut juga. nape budak ni. tapi selidik2 rupanya kat rumah dah kena teruk.

    betul, dirumah memang pijak semut tak mati( sebab mak bapak garang sangat) tapi belakang mak ayah, habis dia pukul semua orang. dia tunjuk dia pula yang kuat…

    cakap pasal loyar buruk ni, agaknya la kan mak ayah tak ambil berat dan tegur percakapan anak-nak..ntahla ek..mak saya selalu pesan pada situasi tertentu ada cara untuk cakap..perlu tahu bila masa perlu hormat, bila masa perlu dengar, bila masa perlu cakap.

  39. budakmentah says:

    ”Setiap perangai pelik yang ditunjukkan oleh seorang anak remaja, ia sering bermaksud menarik perhatian. Dan tatkala beliau bertindak keterlaluan menarik perhatian orang, tentu ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya”

    betol ustaz…
    insan yg beri coment ini pernah berada di tempat peserta ustaz td…

    memang benar tindakan fasi2 ustaz…
    taniah
    sepanjang persekolahn saye ikut pogram memag jrang ade pendekatan dari fasi yg buat cm ustaz sbb tu kebanyakan pserta yg keluar dr pogram xde perubahan..
    kalau ade pun sementara.

  40. aishah humaira says:

    alhamdulillah..
    setiap mnusia e2 ada baik buruknya..’jgn kita yg sntiasa myedari ini slalu m’perslhknnya..
    tgurlah dgn brhikmah..
    dgn akhlak Nabi SAW..
    Innallahahama’assobirin..
    mgnang c2ac bgni ana pom jd tkut selaku bkal ustzh nk mghadapi ank-2 didik kita generasi skrg..mampukah ana???
    kebergantungan kita hanyalah kpd ALLah..
    InsyaAllah.

  41. Sayang Kucing says:

    assalamualaikum, ustaz…
    saya rasa agak sebak sbb sikap pelajar loyar buruk tu serupa ngan saya time di sekolah dulu…saya selalu cakap lepas, menyampuk bila orang tengah cakap, panas baran,langgar peraturan sekolah…sebab saya kurang kasih sayang.
    bila saya semakin tua, perlahan-lahan saya ‘nampak’ apa yg saya begitu dambakan dari keluarga, rakan-rakan, para guru..pertama, perhatian dan kedua, kasih sayang…
    di sekolah saya selalu buat hal…untuk tarik perhatian orang.. saya macam Naruto la…tapi saya selalu kena marah, disisihkan dan orang meluat…tapi lepas SPM saya insaf, dan sudah berubah,alhamdulillah..
    dua formula..dekati remaja..1)perhatian 2)kasih sayang Wassalam.

  42. Amin007 says:

    lebih sabar dari gunung atau lebih sabar dari gunung berapi???

    saya dulu pernah marah kat kawan saya sampai sanggup keluar kelas amali komputer. namun fikir-fikir balik saya minta maaf balik pada kawan-kawan saya.

    lepas tu saya berazam tak akan marah biar pun apa juga terjadi. saya tak nak gunung berapi meletus kembali.

  43. emo_girl says:

    sy boleh dikategorikn sbg pljr bermslh time skolah dulu. but, i dont do big troubles cm buli etc..luckily, maybe sbb termasuk sekolah agama.kwn2 pon jenis baik2. hari2, dtg lmbat sekolah, pastu time solat zohor slalu ponteng. agak2 ar, buku disiplin skolah dlu penoh name sy je kot. Masuk kolej lg truk, kelas seminggu skali je kot pergi. Assgmnt xanta. smpai lecturer ckp dia benci sy. yelah, spatotnye kalo kelas da ponteng even 3x da kena bar name, xleh masuk exam. tp, lpas gak la. sy xtau nape sy buat seme tu. But, i wish some1 would sejujurnya ask me why im doing that.and guide me. not just bersabar. because, to be truth,sy sendri xfhm nape sy buat seme tu.pdhl sy tau org xske.. sy xfhm, and i need sum1 to figure this out with me.

  44. emo_girl says:

    Salam semua,

    Saya seringkali berhadapan dengan kanak-kanak yang agak nakal ketika di surau. Mungkin cukuplah menggunakan perkataan kanak-kanak bising. Sebabnya perkataan nakal itu agak kejam sedikit bagi saya.

    Kanak-kanak bising ini kebanyakannya datang ke surau bersama-sama ibu atau bapa mereka. Saya faham, jauh di sudut hati ibu bapa, ada suatu harapan pada anak-anak mereka, ingin sekali mereka melihat anak-anak mereka dekat dengan masjid pada suatu hari nanti.

    Malangnya, pada saya, percaturan mereka silap. Apa tidaknya, jika mereka hanya mendidik jasad-jasad anak mereka untuk ke Masjid, tidak pada hati anak-anak mereka. Mana hilangnya izzah atau rasa hormat pada masjid yang sepatutnya tersirat dalam akhlak seorang muslim.

    Telah diatur adab-adab di masjid, yang pastinya berbeza dengan adab-adab kita di tempat lain.

    Sebab itu juga, kadang-kadang saya terfikir, mungkin suatu hari nanti, harapan ibubapa yang asalnya inginkan hati-hati anak mereka dekat dengan masjid tidak ke mana. Mungkin mereka hanya berjaya menjadikan jasad-jasad anak mereka dekat dengan bangunan-bangunan masjid sahaja.

    Jangan suatu hari nanti, rasa hormat kita pada masjid termasuklah majlis-majlis ilmu yang ada padanya, yang kita zahirkan dengan adab-adab di masjid, hilang lenyap ditelan zaman.

    wassalam.

  45. emo_girl says:

    maaf_sebab saya guna profile emo_girl…

    sya dah cuba untuk gunakan profile sendiri, tetapi tidak berjaya…

  46. semoga saya terus tabah hendaknya..

  47. na aziz says:

    salam. Saya sungguh terharu dgn entry ini. Kuat sungguh dugaan di zaman ini, baik untuk pendidik mahupun yang dididik. Semoga Allah memberkan kekuatan dan kejayaan kepada semua hamba-nya

Leave a Reply