“Beranikah kita berkata bahawa kehidupan anak-anak hari ini jauh lebih mudah daripada kehidupan ibu bapa, jika kita sedar bahawa setiap hari kita semakin menghampiri detik-detik fitnah Dajjal?” saya melontarkan soalan kepada seorang teman.
Wajahnya berubah sedikit.
Fitnah Dajjal itu bukan pada kekuatan fizikalnya memusnahkan kehidupan seperti Yakjuj dan Makjuj.
Fitnah Dajjal adalah fitnah intelektual. Sesuatu yang sangat abstrak pada menukar baik menjadi buruk dan buruk menjadi baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)
ANTARA MA’RUF DAN MUNKAR
“Ma’ruf menjadi munkar dan munkar menjadi ma’ruf?” tanya beliau.
“Ya. Ma’ruf bermaksud sesuatu yang well-known. Benda yang diterima dan menjadi kebiasaan. Munkar pula bermaksud sesuatu yang dibantah dan dinafikan kerana asingnya benda itu daripada kehidupan” saya memetik pengertian dua kalimah yang sangat penting itu.
“Wah, perkataan itu sangat tangible. Mudah sahaja ma’ruf bertukar menjadi munkar dan munkar menjadi ma’ruf kalau kejahatan sudah diterima dan kebaikan semakin asing daripada kehidupan” simpul beliau.
“Allahu Akbar. Benar sekali. Justeru berbalik kepada soalan awal kita, apakah yang nak kita tanamkan dalam jiwa anak-anak untuk mendepani fitnah yang besar ini?” saya berbalik ke topik asal perbualan.
Pendidikan anak-anak.
Menyedari akan hal ini, saya membuat kesimpulan, pendidikan agama yang menekankan hafalan Sifat 20, menghafal rukun Iman, menekankan hafalan lengkap 30 juzuk al-Quran, mengejar mata pencapaian peperiksaan pada belasan subjek akademik dan Diniyyah, bukan suatu jaminan keselamatan untuk menghantar anak ke masa depan yang penuh cabaran itu. Silibus sedia ada pada kebanyakan sekolah masih belum meyakinkan saya.
Mengukir agama pada jiwa anak-anak memerlukan satu proses yang tidak ada pada silibus sedemikian rupa. Justeru perjalanan hidup saya masih meneroka jalan keluarnya, mencari penyelesaiannya.
Terkenang kepada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang pendinding yang menyelamatkan manusia daripada fitnah intelektual Dajjal yang terzahir pada Materialisma.
Materialisma bukan gila kebendaan semata.
Ia adalah fahaman yang memaut makna pada yang tersurat hingga buta pada yang tersirat.
Berikut pesan Baginda:

Surah al-Kahfi!
Kita digesa Sunnah melaziminya.
Menghidupkan malam Jumaat pada membaca dan menekuninya.
Pastinya fungsi surah al-Kahfi pada menyelamatkan seorang manusia daripada fitnah Dajjal itu tidak berlaku hanya pada membaca dan menghafalnya. Sebaliknya, keterangan Sayyid Qutb berkenaan surah ini di dalam tafsir karangannya Fi Dhilal al-Quran, ada pencerahan:

Sayyid Qutb berpandangan, Surah al-Kahf itu bertindak sebagai pendinding manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menyentuh mekanisma perbuatan manusia.
Jika diri kita diumpamakan seperti iceberg, tip of the iceberg yang kelihatan di mata itu mewakili perbuatan. Manakala bahagian ais yang besar tersembunyi di bawah permukaan air laut itu adalah enjin di sebalik setiap perbuatan kita iaitu AQIDAH (sistem kepercayaan), MINDSET (cara berfikir dan melihat sesuatu termasuk kehidupan, i.e worldview) dan SISTEM NILAI (cara manusia membuat penilaian terhadap apa yang benar, berharga, penting dan berguna dalam hidup ini).
Tiga komponen inilah yang mesti dibangunkan agar seorang Muslim itu menjadi Muslim yang benar-benar menghayati intipati agamanya, dan beroleh perlindungan daripada salah faham dan kecundang kepada fitnah intelektual yang diketuai oleh Dajjal dan jenteranya.
Seluruh wacana dan dakwah saya berkisar pada hal ini. Tetapi saya patah sebelah kaki pada memikirkan bagaimanakah semua ini boleh saya terapkan ke jiwa anak-anak. Jika John C. Maxwell berkata, “genius is about changing something complicated into simple“, hakikatnya saya masih belum cukup genius untuk memindahkan fikrah Islam dinamik ini kepada format yang boleh diserapkan ke jiwa anak-anak.
Saban hari saya berdoa.
Mencari panduan.
PENEMUAN PENTING
Allah melorongkan jawapan kepada doa saya itu apabila ditemukan dengan Khalifah Model School yang diasaskan oleh al-Marhum Prof. Dr. Muhammad al-Mahdi yang juga mengasaskan yayasan induknya, Khalifah Institute.
Alhamdulillah.
Membaca temuramah Majalah I dengan beliau pada Januari 2006, ia adalah pertemuan pertama saya dengan Prof. Dr. Muhammad.
Temuramah itu tidak begitu menjelaskan apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Khalifah Method.
Justeru saya kurang tergerak untuk mendalaminya ketika itu.
Tetapi perjalanan hidup beliau sebagai seorang saintis di dalam pelbagai disiplin amat menarik perhatian saya. Bermula daripada fizik dengan Teori Relativiti Masa Einstein yang akhirnya menukar keyakinan beliau sebagai seorang atheist kepada meyakini wujudnya Tuhan. Setelah lama mendalami ilmu psikologi untuk memahami manusia, hingga mengatasi teori gurunya yang merupan ahli psikologi paling berpengaruh untuk kurun ke-20 iaitu Burrhus Frederic Skinner, Prof. meneruskan kembara di bidang Teologi untuk melengkapkan pencariannya.
Burrhus Frederic Skinner – [Wikipedia]
Saya gementar membaca teori Skinner tentang pendidikan.
Teori itu sangat menjelaskan tentang mekanisma pembelajaran manusia dan ia amat efektif pada mencorakkan manusia untuk menjadi apa sahaja yang kita mahukan. Skinner menekankan bahawa positive reinforcement (penguatkuasaan secara positif) lebih berkuasa dalam mendidik berbanding punishment (menghukum) kerana melalui hukuman, manusia akan hanya belajar kaedah mengelak daripada dihukum.
Skinner berpendapat, ada lima halangan yang menghalang proses pembelajaran seseorang:
- Manusia takut kepada kegagalan.
- Tugasan yang diberi tidak dipecahkan kepada langkah-langkah kecil yang mencukupi.
- Tiadanya arah tuju dan matlamat.
- Arah tujuan yang ada pula tidak cukup jelas.
- Ketiadaan penguatkuasaan positif (positive reinforcement).
Skinner memberikan pandangan bahawa apa-apa sahaja kemahiran yang mengikut kesesuaian tahap umur, boleh diajar dengan menggunakan lima prinsip sebagai rawatan kepada lima halangan itu tadi:
- Berikan reaksi dan maklum balas kepada pelajar itu secara serta merta.
- Pecahkan tugasan kepada langkah-langkah kecil yang mencukupi.
- Ulangi soal arah dan matlamat seberapa kerap yang mungkin.
- Laksanakan daripada sesuatu yang paling simpel kepada yang paling kompleks.
- Memberikan penguatkuasaan positif (positive reinforcement).
Teori Skinner ini sangat meluas aplikasinya di Amerika Syarikat.
Tetapi Prof. Muhammad al-Mahdi setelah 40 tahun mendalami bidang psikologi, khuatir dengan teori Skinner yang sangat berpotensi untuk dimanipulasi keberkesanannya itu, mencari NILAI untuk dijadikan landasan teori Skinner. Beliau mengembara ke serata alam, mendalami agama HINDU dan BUDDHA tetapi kembara mencari Tuhan beliau, berakhir dengan Syahadah Laa Ilaaha Illallaah.
Beliau memeluk Islam. Kenalan di Indonesia mencadangkan nama Muhammad al-Mahdi kepadanya.
Lahirlah Khalifah Method, iaitu suatu teori pendidikan yang berjaya diterjemahkan menjadi satu sistem pendidikan apabila penemuan psikologi (Sunnatullah), disendikan oleh Islam sebagai Syariatnya.
Mungkin terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan tentang apa yang saya faham mengenai Metod Khalifah. Tetapi menerusi bengkel sehari anjuran Khalifah Model School untuk ibu bapa yang baru menghantar anaknya ke sekolah berkenaan, saya berasa tarikh 2 Januari 2010 semalam, adalah salah satu tarikh terpenting dalam hidup ini.
RUMUS RINGKAS
Kebijaksanaan tinggi Metod Khalifah adalah pada memudahkan aplikasi kepada kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.
Pelajar ditanamkan kepercayaan tentang sebab untuk mereka sentiasa menjadi cemerlang iaitu pada menghayati maksud perlantikan Allah ke atas diri mereka sebagai Khalifah. Kesedaran tentang menjadi seorang khalifah menolak mereka untuk mengeluarkan potensi diri masing-masing ke tahap tertinggi. Menghayati maksud diri menjadi hamba Allah pula, menjadikan mereka sentiasa ‘bersama Allah’.
Metod Khalifah mengajar kanak-kanak tentang pengurusan tingkah laku melalui proses merasa daya intelektual. Murid-murid diajak dari semasa ke semasa menghayati proses kontemplasi (zikir dan fikir) untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka melihat pokok, batu, kereta dan apa sahaja yang ada di sekeliling kehidupan dan memikirkan mengenainya proses kejadiannya hingga sampai kepada Allah.
Saya juga teruja dengan teknik yang digunakan oleh Metod Khalifah pada mendidik murid-murid menggunakan freewill (kebebasan memilih) masing-masing. Mereka diajar tentang kewujudan freewill sebagai kebebasan yang dimiliki oleh setiap manusia merdeka, tetapi freewill itu dibentuk agar sentiasa menjadikan Allah sebagai paksi membuat pilihan dalam kehidupan.
Ia sangat selaras dengan istilah Mendidik Anak Dengan Ilmu Kebal yang pernah saya tulis sebelum ini.
Metod Khalifah juga mendidik pelajar dan ibu bapa menggunakan kata hati atau internal monologue. Manusia lebih banyak berkata-kata kepada dirinya berbanding berkata-kata dengan orang lain. Positif atau negatifnya seseorang itu banyak merujuk kepada apa kata-kata hatinya. Mempositifkan kata hati ini sangat berkesan pada membantu menukar seorang insan yang pesimis kepada optimis, positif dan mempunyai mekanisma koreksi diri sendiri yang sangat berkuasa pada menghidupkan iman di dalam diri kita.
Teknik yang diguna pakai oleh Metod Khalifah membantu murid-murid mengesan kewujudannya di dalam diri dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.
PEMBABITAN IBU BAPA
Apa yang lebih saya hargai ialah pada kesungguhan pihak Khalifah Model School mengkursuskan ibu bapa agar metod yang diguna pakai, turut dilaksanakan secara holistik di rumah. Ia adalah sebuah metod yang membantu ibu bapa menbentuk anak-anak dan dalam masa yang sama membantu anak-anak membentuk ibu bapa!
Melalui kursus keibubapaan wajib yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, ibu bapa dibetulkan pandangan alam mereka, diperkenalkan dengan Law of Learning dan seterusnya diberi latihan untuk mengaplikasikan Positive Reinforcement di dalam kehidupan seharian.
Ibu bapa juga sangat dilibatkan dengan sekolah sebagai sukarelawan. Mereka boleh memberikan ceramah perkongsian kerjaya kepada anak murid, dan membantu apa sahaja sesuai dengan konsep sekolah komuniti yang dimahukan oleh al-Marhum Prof, sebagai pengasasnya.
BUKAN BENDA BARU
Segalanya bukan benda baru. Tetapi ia adalah rumusan kepada sari pati ajaran al-Quran dan al-Sunnah pada mengatur Sunnatullah dalam proses membentuk manusia. Lebih mengujakan saya, kecemerlangan akademik turut mengiringi pendekatan ini secara by-product, Insya Allah.
Alangkah bertuahnya saya jika berpeluang untuk belajar secara langsung daripada Prof. Dr. Muhammad al-Mahdi semasa hayat beliau.
Namun pemergian al-Marhum bukanlah penghalang.
Salah satu keajaiban yang pernah berlaku ialah kira-kira 3 bulan terakhir hayatnya yang dibelenggu kanser paru-paru, Prof. Dr. Muhammad telah secara intensif menumpahkan seluruh ilmu dan pengalamannya kepada kira-kira 30 sukarelawan hingga tersedianya segala fondisi yang membentuk Khalifah Model School. Prof. Dr. Muhammad al-Mahdi kembali ke Rahmatullah kira-kira dua minggu selepas misinya selesai.
Pelaburan saya ialah pada menghantar Muhammad Saiful Islam, dan Insya Allah juga adik-adiknya nanti ke sekolah berkenaan. Saya juga meletakkan azam untuk mendalami Metod Khalifah dengan lebih terpeinci lagi agar ia boleh disebar luaskan sebagai solusi kepada pendidikan anak Ummah, Insya Allah.
Saya sudah tidak lagi cemburu dengan Laskar Pelangi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor














Salam alaik ustaz. Alhamdulillah, artikel yang bermanfaat. bukan saja utk para ibubapa tetapi utk remaja. Dunia makin mencabar..Moga Allah tetapkan hati-hati ini dlm Islam. ameen.
@abuabid,
wsalam. semoga bermanfaat hendaknya
Salam alaik ustaz. Allahuakbar! rasa gembira dan syukur bila dapat tahu Saif dihantar ke Khalifah Model School. Saya mengenali Khalifah Institute sewaktu masih belajar di UPSI penghujung tahun 2007. Saya melihat, Khalifah Method sangat dekat dengan saya untuk diaplikasikan sebagai alternatif seorang pendidik. Alhamdulillah curiosity dan interest yang tinggi telah memberi keyakinan untuk saya melibatkan diri sebagai Khalifah volunteer pada awal 2008 mewakili golongan youth. Sedihnya, saya juga tidak sempat bertemu arwah Prof. Saya mengakui keberkesanan Khalifah Method apabila saya mengaplikasikan metod ini dalam kembara saya menjadi seorang guru.
Sewaktu praktikal awal 2009, saya diberi amanah mengajar kelas yang dikategorikan sebagai “kelas hujung” yang dikatakan nakal dan lemah kognitifnya, majoriti guru2 senior minta saya berperwatakan garang. Tapi bila saya meminta nasihat Khalifah Trainer, Subhanallah, satu motivasi bermakna yg saya terima, katanya ” Erase all the bad perceptions about the students. Believe that they are closer to fitrah, see potentials in themselves. Recite surah al-Kahfi verse 10 before you enter the class. Remember that you are not just a teacher, but you play your role as Khalifah of Allah”. Suatu motivasi yang saya pegang sehingga kini.. dan Alhmdulillah, I did my best to my students. masih saya teringat kata-kata seorang anak murid saya “Teacher selama ni saya jarang cakap Alhamdulillah, tapi sejak teacher ajar kami, kalau saya dapat sesuatu saya akan sebut Alhamdulillah”- ya Allah syukur sangat mendengar kata2 ini.
Khalifah Method educate students to be more closer to Allah and they will realize their potentials. Insha Allah- I admit this.
Justeru besar harapan saya agar Metod Khalifah ini boleh diperkembangkan lagi kepada guru2 masakini yang menghadapi cabaran mendidik generasi yang dipengaruhi hedonisme. Saya yakin ia berkesan tapi memerlukan kesabaran dan keikhlasan.
@imtiyaz,
Terima kasih cikgu atas perkongsian yang sangat bermakna. Saya doakan cikgu terus berjaya mengaplikasikan Metod Khalifah ini di mana sahaja cikgu mengajar nanti dan teruslah berhubung dengan Khalifah Institut dari semasa ke semasa
@imtiyaz,
Masya Allah. Sangat indah kata-kata yang disebutkan itu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini boleh dikatakan pandangan saya terhadap kehidupan semakin lama semakin berubah. Jika dulu saya sering mahu graduate dan kemudiannya berharap memiliki satu kerjaya yang berpendapatan tinggi memandangkan kebanyakan kawan-kawan juga menyimpan target begitu. Tapi setelah mengenali manusia-manusia seperti Hamza Yusuf dan Ustaz Hasrizal sendiri, saya mula rasa inspired untuk berbuat sesuatu untuk komuniti terutama sekali golongan yang kurang bernasib baik, golongan yang tidak sedar akan potensi dalam diri mereka. Saya mengucapkan tahniah kepada imtiyaz kerana dapat menjadi satu inpirasi kepada murid-murid.
Minat pulak sekolah tu .. Yuran macam mana ustaz ? Manalah tau kalau masih dalam kemampuan saya .
@mami,
yuran bulanan ialah RM600 termasuk makan.
pendaftaran permulaan bagi pelajar baru ialah kira-kira RM4000.
saya menangguhkan program Masters dan berjanji akan bekerja lebih keras 2010 ini untuk menampung persekolahan anak dan mengusahakan agar anak kedua juga nanti ke sana, Insya Allah.
@Abu Saif, salam..aduss us..besar benar belanja tu us…tak daya ana nak hantar ‘anak-anak’ ana selepas ni…lps tu, ada alternatif yang lebih ringan tak..?ataupun, usaha untuk meringankan kos tu…terutamanya dlam usaha nk mengkahlifahkan minda rakyat malaysia…
@hasanhusaini,
ada 7 tahun masa diperlukan selepas akad nikah untuk bekerja keras hingga sampai anak nak masuk darjah 1, kita sudah berada di tahap yang ‘possible’ untuk menghantar anak ke sekolah seperti ini.
ana balik Malaysia tahun 2004, dua tahun bekerja dengan gaji permulaan RM800. Allah jua yang tahu apa liku-likunya sebelum boleh bernafas dengan syukur seadanya di tahun 2010.
sedikit pertimbangan untuk para ustaz merangka pernikahan.
guru-guru Khalifah Model School tidak mewah. dengan yuran semahal ini, ia hanya seadanya menampung keseluruhan perjalanan sekolah memandangkan pelajar hanya kurang 16 orang bagi setiap satu tahun pengajian. Trustees dan BOD juga bekerja keras mencari serta menambah fund.
semuanya adalah jihad
@Abu Saif, teringat kisah sang murabbi dalam merangka tapak untuk anak-anak mereka dididik…penat dan jerih ye us…moga ana dapat ambil banyak pengajaran tu us…apapun, kebimbangan tu ana jadikan sbegai pencetus semangat..i.allah..semoga terus sukses dlam dakwah kita ye, us…
Ustaz, dimana terletaknya sekolah ni?
Alamat n contact no or website please.
Terima kasih.
http://www.islamic-world.net/kms/school.php
Salam,
ada tak sekolah mcm ni diarea Petaling jaya atau Bangsar.saya berminat untuk hantar anak saya yang berusia2 tahun.sekian
@hasanhusaini, Assalamualaikum. Saya bekas pelajar Prof. Muhammad al’Mahdi yang kini bergiat menyebarkan kesedaran peranan manusia sebagai kholifah ke seluruh Malaysia. Saya sudi datang berkongsi pengetahuan Khalifah Method bersama orang ramai, jika berminat. Niyah saya kerana Allah subhana wa ta’ala dan tidak meminta yuran apa-apa. Sila email di khalifahpotential@gmail.com untuk pertanyaan lanjut. Allah Maha Mengetahui.
assalammualaikum..
Ustaz ada tak buku mengenai model khalifah ini yang boleh saya rujuk? atau buku yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad yang boleh dibaca untuk membantu saya dalam membesarkan anak-anak agar menjadi seorang khalifah islam..
salam.
alhamdulillah..bertuah la siapa jadi pelajar cikgu..
moga2 cikgu dapat mendidik pelajar2 dalam zaman yg mencabar ini..amin
Salam ‘alaikum,
Antara VCD Muhammad al-Mahdi,
1. VCMAM Lecture: An Islamic Perspective of The Creation of Universe 17.00
2. VCMAM Lecture: Creation Of Islamic State.. RM14.00
3. VCMAM Lecture: Efective I RM17.00
4. VCMAM Lecture: Islamic Solution to The World’s Problem RM14.00
5. VCMAM Lecture: Laws Of .. RM17.00
6. VCMAM Lecture: Scientific Proof of The Existence of God RM17.00
VCD di atas boleh didapati di SABA Islamic Media dan cawangannya selagi stok masih ada.
Lain-lain penerbitan dari Khalifah Institute ialah di http://www.islamic-world.net/khalifah.php.
Saya syorkan kepada sesiapa yang berminat dengan Metod Khalifah ini menghadiri seminar keibu -bapaan yang dianjurkan oleh pihak insitut. Boleh hubungi terus mereka di http://www.islamic-world.net/institute/index.php.
Moga info ini bermanfaat.
menarik methodnya … saya mula mengenali khalifah institute ni sbb ada kawan bekerja di sana tapi tak pula mendalami segala method2 yg ustaz perincikan di sini…teringin juga nk menghantar generasi saya ke skolah ni suatu hari nanti….bukan senang nk cari pusat didik yg mendidik anak2 sekaligus meneladani ibu bapa juga agar misi khalifah itu tercapai dan dapat disebarkan secara meluas….
p/s: lepas ni harap2 ada cawangan khalifah ni kat Pulau Pinang….jauh sgt nk hantar anak skola kt KL tu…hehehehe
Alhamdulillah, senang saya mendengar apabila Ustaz merasa gembira dengan modul Khalifah. Beberapa teman saya bekerja dengan Khalifah, malah turut memberi saya peluang melakukan terjemahan terhadap dua buah buku tulisan Almarhum yang saya kira sungguh bagus sebagai panduan kepada anak muda.
Semoga dengan kehadiran Saiful Islam di Khalifah membantu lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka disana. Almaklum sahajalah, mereka menghadapi kekangan kewangan oleh kerana modus operandi mereka bukan bermotifkan keuntungan. Akhirat dicari, pahala dikejar.
salam…bagus juga jika nak cuba…
untuk yang lebih duit…ok juga..tp untuk yang kurang…PASTI adalah pilihan yang baik/terbaik.
dalam dunia pendidikan, kurikulum/manhaj adalah sumber terpenting selain mereka yang mengaplikasikan kurikulum tersebut iaitu pendidik.
jika kurikulum bagus tetapi pendidiknya tiada keikhlasan maka tiadalah keberkatan. bagi saya….saya hantar anak ke sekolah agama adalah untuk mendapatkan keberkatan gurunya. bukan saya tak boleh ajar anak-anak sendiri sementelah saya cuti belajar 3 tahun ini tetapi adalah untuk membuka ruang minda dan komunikasi serta menggarapkan ilmu guru dalam diri sekaligus mendapatkan akhlak dan berkat guru.
Allahumma faqqihna fiddeen…wa ‘allimna atta’weel…
@fazdi,
PASTI adalah prasekolah. KHALIFAH MS adalah primary school.
-ummusaif
Tumpang gembira dengan gembiranya Ustaz dalam mencapai usaha untuk memberi yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhirat anak-anak. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka namun ada yang tersilap definisi ‘Yang Terbaik’ itu… ‘Yang Terbaik’ bagi saya… ”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim: 6) Sama-samalah kita memberikan yang terbaik. InsyaAllah…
Syukran atas perkongsian ustaz…InsyaAllah akan mula mengkaji Khalifah method ni…
salam..
gembira dengan ulasan dan perkongsian ustaz..saya mengenali Khalifah Institute kira-kira 4tahun lalu melalui sahabat baik saya yang merupakan anak kepada penyambung usaha Prof. Muhammad. Dan beberapa sahabat saya terlibat secara aktif dengan Khalifah Institute. Sedari awal saya memang meyakini sekolah ini amat bagus dalam sistemnya. Berharap dapat mengenali lebih dekat KI ini
Salam.
Saya suka menyebarkan apa saja yang termampu untuk perkara yang bermanfaat seperti Khalifah Method ini.
Smoga SI juga akan terus berkongsi pengetahuan dengan kami para pengunjung
Sangat terkesan.
Moga-moga saya tidak menjadi materialistik walaupun sedang belajar Material Chemistry.
betulkan yang biasa~biasakan yang betul~
hmm…
salam semua.
terima kasih atas artikel yang berguna ini.
wassalam.
salam…
Ustaz, topik kali ni memang tepat pada masa…sebenarnya saya sedang berkira2 menghantar anak ke sekolah tahfiz dahulu sebelum melepaskan mereka ke aliran pendidikan sekarang. Seperti ramai juga ibu bapa diluar sana, ada banyak perkara yang saya tak yakin dengan sistem pendidikan perdana. Kalau ustaz tak keberatan, mana ye saya boleh dapatkan info tentang khalifah institute ni. Terima kasih ye ustaz…
Assalamualaikum ustaz…
Memang tak boleh nak dinafikan.. Sekarang kita memang hidup dalam suasana/zaman sepertimana kisah Ashabul Kahfi dulunya..
Pemuda-pemuda (ashabul kahfi) dulu punyai gua bagi menjaga dan mempertahankan kemurniaan akidah mereka.. tapi apa yang kita punya?? Kalimah Allah sendiri pun tak mampu kita pertahankan..
LASKAR PELANGI…. antara filem dan novel yang TERBAIK pernah saya lihat dan baca… ISI dan ERTI cerita benar itu jauh meninggakan filem-filem cinta yang kononnya Islami.
mmm…jumpa dah ustaz website dia..tq ustaz…bersemangat semula…
Salam Ustaz, saya juga seorang guru dan amat terkesan dengan tulisan Ustaz kali ini. Selama ini tidak dinafikan sistem sekolah di negara kita lebih menekankan pada exam oriented dan kurang nilai-nilai murni pada pelaksanaannya(walau pun sebenarnya ada dalam sukatan). Insya-Allah jika kita dapat menerapkan sistem seumpama Khalifah Metod kepada anak-anak kita,generasi akan datang pastinya lebih berkualiti dari segi ilmu dan sahsiahnya.
“khoirunnas man yanfa’uhum linnas”selagi hidup,taburlah jasa.semoga usaha Prof Dr dan rakan-rakan seperjuangannya diterima dan diberkati Allah.tak lupa , buat ustaz juga
“Menyedari akan hal ini, saya membuat kesimpulan, pendidikan agama yang menekankan hafalan Sifat 20, menghafal rukun Iman, menekankan hafalan lengkap 30 juzuk al-Quran, mengejar mata pencapaian peperiksaan pada belasan subjek akademik dan Diniyyah, bukan suatu jaminan keselamatan untuk menghantar anak ke masa depan yang penuh cabaran itu. Silibus sedia ada pada kebanyakan sekolah masih belum meyakinkan saya.”
Masya allah….you just said what have been lingering in my mind for SO long….
I have 5 children with different ages and yes, only Allah knows how difficult it is to find the right EDUCATION institution that look more on the human side of pupils rather than the A’s that are suppose to be associated with them.
So I decided to send them to school that at least appreciate the uniqueness of a child…
yes, not so expensive as KMS but naturally not yet as good as KMS as I was understood.
How I wish , more parents also can find the human part of their children rather than the ‘good brain’ they should have.
May ALlah protects our children from all kinds and forms of munkar…
allahu’alam
Salam Ustaz
Ana memang minat dengan khalifah method ini setelah melalui training dengan Dr Alini dan Sister Azra. Tahniah kepada ustaz kerana berusaha untuk memberi yang terbaik untuk Saif. Sayang, Khalifah School tiada di Ipoh… I would have done the same! Please continue to share the experience of Saif at the school.
salam us, tahniah n terima kasih atas pencerahan kali ni..
us, saya memang SANGAT2 TERTARIK dgn sistem sekolah ini.. saya pun baru je kenal profesor yang hebat dalam dunia PENDIDIKAN ini..
seperti yg kt sdia maklum, GAMIS ada buat mcm seminar ttg pendidikan.. dan masing2 indvdu2 yg ada kesedaran, MENCARI2 dan MENCADANGkan banyak pembaikpulihan kepada sistem pendidikan negara dalam melahirkan individu yang TERBILANG, memberi MANFAAT yang HEBAT kepada Islam dan negara malaysia yang dikasihi.
saya ada beberapa cadangan kat sini:
1. Sistem pendidikan khalifah school model ni begitu HEBAT, kenapa tidak golongan cendiakawan dan pemikir dalam PAS atau mana2 gerakan Islam atau NGO merangka sistem primary school, (lebih mudah kalau amik je sistem khalifah model school ni) dan bentangkan sistem tu kepada golongan jutawan untuk menjadi penyumbang tetap kepada sekolah2 yang kita nak bina tu…paling2 kurang, satu negeri satu sekolah bersistem macam tu… sebab kesian gak kat org2 tak berkemampuan tak mampu nak hantar anak diorang ke sekolah tu… bukankah PENDIDIKAN TU ASAS KEPADA KEMAJUAN ISLAM DAN NEGARA?
2. Saya dimaklumkan prof ni, memang sangat2 hebat dalam dunia pendidikan. kenapa tidak GAMIS atau mana2 NGO lain menganjurkan WACANA PEMIKIRAN PROF DR MUHAMMAD AL-MAHDI, supaya kita dapat memperkenalkan orang dengan beliau dan membentuk cara berfikir seperti beliau dalam MENDIDIK ANAK2 dan MASYARAKAT.
3. Oleh sebab teori prof dr Muhammad ni sangat hebat, saya sangat2 berbesar hati jika ramai orang yang menterjemahkan buku2 dan ceramah2 beliau… pemahaman dan pembinaan manhaj seseorang dapat dibentuk setelah kita membaca 50 hingga 100 buku2 tokoh tersebut.. jd, alangkah bagusnya jika kita dapat baca sume buku2 dia…
ha..lagi bagus klu buat gak e-book, blh kami yang bukan kat malaysia baca n faham gak buku2 tu..nanti upload la kat mana2 laman web..
4. oleh sebab sistem sekolah ni terlalu hebat, alangkah indahnya jika pelaksanaannya dapat dijalankan oleh MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA..
pada saya, lbh mudah nak buat hubungan antara kerajaan dan org yg bertanggungjawab dengan sistem pendidikan sekolah tu berbanding orang bukan pemerintah. Pemerintah belajar dahulu daripada prof ni..
smg Allah berkati kita semua…maaf atas segala salah dan slap..makasih atas pengurusan BPI dan mana2 prgram PERUBATAN…
terima kasih banyak2
salam
@dr_taqwa
wsalam dr_taqwa,
semangatnya!
sampai tak terkata ana nak membalasnya
saya tertarik dgn pendekatan khalifah method sejak membaca majalah i pd 2006 dan lebih teruja apabila membaca penulisan ustaz.pernah juga bercita-cita menjadi tenaga pengajar di sana..hehe..mudah-mudahan saya juga berpeluang untuk menghantar anak2 ke sana suatu hari nanti….insyaallah..
…Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yg telah Engkau berikan kepadaku dan kpd ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yg saleh yg Engkau redhai, berikanlah kpdku dgn memberi kebaikan kpd anak cucuku.sesungguhnya aku termasuk org2 yg berserah diri -al-ahqaf:15
Kesempatan membaca artikel ini mengingatkan saya kepada perkembangan dunia pendidikan yang terpengaruh dengan teori psikologi. Dahulu teori bahaviorist mendominasi dan antara pelopornya ialah Skinner. Teori dihasilkan oleh saintis2 berasaskan kajian-kajian terhadap binatang. Namun era terdekat ini menampakkan kemunculan teori kognitivist yang lebih bersifat manusia. Perbezaan teori antara behavioris dan kognitivist memberi implikasi kepada pendidikan. Melalui pendekatan behaviorist, guru perlu menyediakan suasana yang sesuai termasuklah reinforcement supaya pelajar dapat terus memberi respons kepada rangsangan persekitaran dan berlakulah pembelajaran. Antara amalan yang boleh dilihat sekarang ialah penggredan pelajar mengikut pencapaian mereka dalam kelas serta hari kad pelajar. Manakala berdasarkan pendekatan kognitivist, pemikiran, kepercayaan dan emosi setiap pelajar yang berbeza diambil berat. Guru perlu melihat kepada proses mental yang ditunjukkan oleh perlakuan setiap pelajar di dalam kelas, dan perlu memikirkan bagaimana faktor sosial dan pengajaran memberi kesan kepada kelakuan dan pemikiran pelajar. Kognitivist melihat faktor rangsangan juga penting sebagaimana behaviorist tetapi rangsangan seperti hadiah itu perlu melalui proses kognitif pelajar yang berkait rapat pula dengan keperluan, matlamat dan motivasi mereka. Tidak semua pelajar menilai hadiah itu berharga apatah lagi kalau dia dah selalu dapat hadiah. Namun pelajar yang mendapat nombor corot dan keputusan SPM yang rendah, mungkin merasakan tiada kepentingan untuk belajar lagi. Setiap pelajar sememangnya mempunyai konsep nilai tersendiri terhadap pembelajaran yang berbeza dengan rakan pelajar yang lain.
Sekiranya kelas mempunyai maksima 20 orang sahaja pelajar, guru mempunyai lebih ruang untuk menilai kemajuan dan keperluan setiap pelajar yang berbeza. Apapun kaedah dan teorinya, matlamat pembelajaran adalah untuk mengenalkan dan mendekatkan kita kepada Allah taala…
saya tak sukalah ust guna perkataan “pada” tu,mencacatkan bahasa…
@ulfa
Terdapat buku berkenaan Metod Khalifah, boleh didapati di Khalifah Institute.
@Abu Saif
My mom is trying to get Khalifah Method to be applied by PASTI teachers but there are some work to do and procedures to follow. I’m a staff at Khalifah Institute and I was introduced to Khalifah Method before I work here and I found this knowledge is very useful. Kalau sesiapa berminat nak mendalami ilmu Khalifah Method boleh hubungi saya 012-9326959 (Cik Huda). We organise trainings for parents, teachers, children, teenagers, IPT students and corporate. It can be applied by everyone, to others or to ourselves, insha Allah.
Lebih cantik kalau ditunjukkan kepada saya, “pada” yang mana satu elfutuwwah maksudkan kerana saya yang tua dan rabun ini sulit mencarinya. Kalau ada ukhuwwah di hati, janganlah hanya kerana “pada” itu, jadi tidak suka dan terus dianggap mencacatkan bahasa. Saya sedia membetulkannya.
Bukankah itu maksud WAL-YATALATTAF di dalam surah al-Kahf?
@Abu Saif, Assalamualaikum. Ustaz, saya mencuba…Mungkin dia bermaksud ‘pada’ dalam slogan blog ini: Erti Hidup Pada Memberi. I’m just making a guess!
Huda Engku…
glad to hear that…wish the TOT can be done somewhere in Penang…
@limaumaniss
Kalau ada kumpulan dalam 30 – 50 orang kat Penang maybe kita boleh usahakan utk ke Penang, insha Allah.
salam…saya juga salah seorang peserta program khalifah, “khalifah youth training” ..program yang sangat baik..harap konsep khalifah dapat diperkenalkan kepada lebih ramai orang..
salam ustaz.. ana mintak izin nak cpot artikel diletak di blog ana..
yazakallah. (^^)
Assalamualaikum ustaz …
ye ke method ni …..
tak sangka le yang iainya adalah saintifik. Sebelum saya kenal Islam dalam erti kata yang sebenar …. seorang guru silat telah mendidik kami anak-anaik muridnya dengan method ini. Dia kata tarikat atau tasauf. Dia ajar kami untuk mengerti siapa kami iaitu sebagai hamba dan sebagai khalifah
Mendidik diri untuk berzikir dan mengekxplore zikir untuk mengubah diri dari yang tak elok kepada yang terbaik. Method “fikir” pula saya dapat bila syok dok tengok awan yang bergerak turunkan hujan. Hati kecil saya kata, lepas hujan ni turun, 3 bulan lagi asaya akan dapat makan rambutan. Entah lepas 3 bulan tu, lepas dapat makan rambutan, terjumpa ayat yang allah ceritakan bagaimana Dia menurunkan rezeki melalui hujan dan dengan hujan itu Dia menumbuhkan tanaman sebagai rezeki kita semua.
Saya terkasima sekejab, sebab tak sangka yang metoh berfikir yang saya kata saya dapat tu adalah sebenarnya cara fikir yang Islam suruh.
Then ….. keajaiban berlaku ….. oleh kerna saya amat yakin akan keajaiban method tu …. saya tidak tinggalkan berzikir selawat 2000x sehari ssebagai zikir harian dan melihat keajiaban alam sebagai cara meneliti tanda-tanda kekuasaan Allah.
Akhirnya ….. lulus SPM dengan tiada baca buku pun …. hanya buat nota sikit-sikit je … apa pasal …. sebab apa yang cikgu ajar semua nya masuk dalam kepada dan tak pernah lupa hingga sekarang.
Kalau itulah method Khalifah ….. pasti berjaya. Insyaallah.
Sekarang pun saya dah mula serapkan dalam pembelajaran pendidikan Islam di sekolah kebangsaan tempat saya mengajar . Saya ajar tajuk Siapa Kita dan Tujuan Allah Jadikan Manusia sebelum ajar silibus Pendidkan Islam, walaupun ia tak ada dalam suakatn sekolah rendah.
Kalau nazir sekolah datang pun …. I will never change my method
Sekian
Mohd Sofi
SK Seri Indra
@Sofiys, bagaimana dengan sekolah menengah..? sy gpi di smk..masalah pelajar lemah iman amat teruk
@dr_taqwa
Hebat pandangan saudara ….. nak harap pihak-pihak yang saudara sebut ambil method ini …. kira lambat sangat.
Apa kata mana-mana guru agama yang saudara jumpa terutama yang di sekolah rendah ….. saudara ceritakan kebaikan method khalifah ini. Biar mereka faham.
Selama ini saya lihat guru-guru agama kalau belajar ilmu pendidikan, tak tak nak “islamize” kan. Saya tidak, saya akan cari cara Islam. Ilmu cara barat ni, saya gunakan untuk nek kenal bagaimana nak ajar saja.
Saya …. mulakan dulu dengan diri saya. Saya dah pun mulakan method ini dan serapkan dalam pengajaran saya di sekolah, walauppun saya tak tau yang method ini ada yang tolong perkemaskan ia dalam bentul modul. Semoga Allah memberkati usaha-usaha beliau.
@imtiyazAbu SaifFarah
Assalamualaikum saudara Imtiyaz ….
rata-rata guru pendidikan Islam di sekolah tercari-cari method yang sebegini sebagai pewndekatan mengajar, terutama untuk mengajar akidah.
di mana saya boleh dapat latihan sepenuh masa atau separuh masa??? kalau berbayar pun tak apa ….
email saya : mdsofi@streamyx.com
Yang benar
Mohamad Sofi
Sk Seri Indra
Ustaz , saya cadangkan ustaz menonton filem 3 idiots.Filem Hindi lakonan Aamir Khan. Filem hindi yang terbaik pernah saya tonton yang padat dengan mesej yang baik dan tajam mengenai sistem pendidikan. Backdrop filem ini adalah kampus universiti kejuruteraan.
Ianya juga filem yang sangat santai , penuh dengan humor dan membuatkan kita berpikir. Tiada babak pergaduhan dan babak cintanya pula sgt minima.
Kalaulah ustaz menonton , jangan lupa menulis dalam blog ustaz. Nak baca kupasan ustaz.
@Abu Saif
hihi.. betul ustaz.. sy pun muskil gak “pada” yang mana satu akhi kita ni nak sebutkan.. payah gak nak cari tu dalam banyak-banyak ayat ustaz kat atas.. hihi..
Saya pernah bercita-cita untuk menghantar anak kedua saya ke tadika yang menggunakan method khalifah ini, tetapi yurannya yang terlalu tinggi adalah di luar kemampuan saya. Saya berdoa suatu hari nanti method ini boleh digunakan secara meluas di semua institusi pendidikan hingga ia tidak lagi menjadi hak eksklusif anak golongan tertentu sahaja. Dan mudah-mudahan produk berjenama Islam tidak terlalu mahal yang akhirnya menyebabkan ia tidak menjadi “rahmatan li al-’alamin”.
Saya berkongsi harapan yang sama.
Cuma bila saya pertimbangkan faktor premis sekolah, jumlah guru dan kakitangan berbanding dengan jumlah murid yang sangat sedikit di Khalifah Model School, saya yakin sekolah MUSTAHIL mampu bergerak dengan bergantung hanya kepada yuran RM600 sebulan itu. Sangat MUSTAHIL.
Khalifah Method sangat menekankan konsep community school membabitkan kerja-kerja sukarelawan daripada ibu bapa. Dan pihak pentadbiran bekerja keras mencari fund. Semuanya itu adalah jihad.
Mampukah saya dan Ummu Saif menghantar anak ke KMS?
Sebenarnya kami tidak mampu.
Tangga gaji Ummu Saif masih lebih kurang gaji seorang guru berijazah di sekolah menengah. Saya pula bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap.
Tetapi kerana MAHU, kami mesti jadi MAMPU. Ummu Saif bekerja keras untuk menghabiskan Mastersnya agar berlaku peningkatan gaji. Saya juga bekerja keras supaya akhirnya kami boleh melangsaikan tugas ini.
“Golongan tertentu sahaja” itu sangat subjektif.
Hanya JIHAD yang menjadi jawapannya.
@Abu Saif, Assalamualaikum. May Allah bless you, brother. You and your wife have great love for your child and doing what you can to provide for him. Be clear in your niyah, do the necessary, istiqamah with your decisions and trust in Allah. May He provide for you rezqi from His Infinite Bounty, Insha’Allah. Ameen.
@Abu Saif, Assalamualaikum. Ingin berkongsi- ada seorang pelajar IPTA yang telah mengemukakan cadangan tesisnya Khalifah Method dalam pendidikan dan Alhamdulillah, telah diterima. Pengenalan Khalifah Method dalam mainstream education Insha’Allah sedang melalui tahapnya sendiri. Kita usaha dan istiqamah sebaik mungkin
salam..
saya sangat teruja..tetapi ada persoalan bermain dikepala kerana cuba memikirkan alternatifnya..dek kesulitan bergerak menuju MAMPU itu..
KMS memang boleh dipilih sbg pilihan terbaik utk menjadikan anak kita seorang KHALIFAH yg sebenar-benarnya cuma kalau ada yg arif tentang
bezanya pndekatan di skolah2 maahad dan tahfiz yg sedia ada.. dgn KMS ni mungkin boleh perjelaskan. adakah methode KMS ni tiada langsung diimplemenkan di sekolah2 ini..teringin nak tahu kerana matlamatnya mungkin sama..mengislahkan dan mengkhalifahkan anak2 kita.. anyone can give comment?..:)..
semua kita mengimpikan yg sama .sentiasa yg terbaik..namun kekangan kita berbeza..mengurus MAHU kepada MAMPU tidak boleh berlaku sekelip mata ttpi ianya posibble..
@ummu nouha,
saya telah menghadiri training anjuran KI. Apa yang saya dapati, Khalifah Method menekankan kasih sayang. Anak-anak dididik dengan kasih sayang, mengenali Allah yang penyayang.
Apa yang saya ingat dulu di sekolah, hukuman jika kita tidak sembahyang dsbnya. tapi KM menekankan seronoknya sembahyang, keseronokan membuat apa yang Allah suka.
Saya juga cuba menerapkan perasaan sayang pada Ar-Rahim di rumah. Insyaallah.
@ummu nouha, Assalamualaikum. Alhamdulillah, pengetahuan Khalifah Method telah tersebar luas dan pelajar Profesor mengambil inisiatif untuk mengaplikasikan di tempat masing-masing. Ada beberapa tadika dan sekolah yang menggunakan Khalifah Method di seluruh Malaysia. Pesanan saya harap Ummu Nouha membuat kaji-selidik dahulu mengenai tempat itu untuk memastikan aplikasi adalah berdasarkan Khalifah Method yang sebenar. Satu cara ialah dengan melihat (observe) guru-guru di tadika/sekolah itu; adakah komunikasi mereka dengan pelajar lembut dan berhikmah? Adakah mereka sabar melayan pelajar or marah dan meninggikan suara? Adakah tempat itu kemas dan rapi atau kotor dan bersepah? Khalifah Method, jika diimplemen dengan betul, akan membina keperibadian yang beretika tinggi dan punyai standard tinggi i.e. doing everything the Khalifah Way.
@ulfa
Buku-buku Prof banyak dan boleh didapati di Saba Islamic Media. Ada juga buku2 yang ditulis oleh sukarelawan Khalifah Institute yang turut dijual di Saba.
Alhamdulillah saya antara sukarelawan yang belajar secara intensif dengan al-Marhum Prof. Ibu mertua saya kini masih lagi ‘transcribe’ ceramah-ceramah beliau untuk dijadikan buku.
Syukran ustaz..perkongsian yg bermakna..
Assalamualaikum…Dari membazir duit bayar hantaran ribuan ringgit lebih baik duit tu di simpan untuk hantar anak-anak kat KMS…Jauh lebih berfaedah…Ingatlah orang tersayang…Anda mampu mengubahnya…
semoga kita termasuk golongan ghuraba’ yang disabdakan Rasulullah suatu masa dahulu.
Alhamdulillah..
perkongsian yang menarik untuk kami semua..
@Abu Saif
setuju dengan Abu Saif;
kami suami isteri bukan dari golongan yang ada-ada untuk memberikan sesuatu yang berharga kepada anak-anak, tetapi bagi kami apa yang lebih berharga dari semua kekayaan ialah bekalan ilmu yang berjaya membawa diri mereka ke syurga. Itulah tujuan hidup yang harus dilalui. di tambah pula dengan keadaan dunia yang semakin banyak menghampiri fitnah Dajjal…Saya dan suami juga akan berusaha spt ustaz…satu pendedahan yang baik untuk manusia spt kami yang sentiasa mencari-cari sistem pembelajaran manakah yang sesuai untuk anak-anak jika mereka menjangkau usia 7 tahun. Kami masih mempunyai 3 tahun untuk bersedia, kerana anak yang sulung baru 4 tahun dan baru je masuk PASTI..
Salam Ust,
Sangat menarik dan tertarik dengan perkongsian ust. Membangunkan manusia untuk menjadi manusia adalah satu tugasan yang amat sukar dilakukan oleh pihak sekolah maupun ibubapa. Justeru itu kaedah yang digunapakai untuk membangunkan seorang manusia itu penting dan yang paling penting adalah pelaksana kaedah itu. Jika methodnya sudah baik dan bagus tetapi pelaksananya tidak dapat mengikut pelan lakar method itu maka gagal lah kita. Semoga module yang digarap oleh KMS ini bisa menjadi pemangkin kepada pelaksana2 samada dikalangan guru maupun oleh ibubapa kanak-kanak itu sendiri
salam..menariknya sekolah ni..insyaAllah, walapun saya mungkin masih terlalu muda untuk fikir semua ni, tapi, saya harap dalam tempoh ini saya akan mampu menjadi muslimah yang mampu membentuk keluarga yang berpegang teguh pada Islam..dan insyaAllah, akan berusaha bersungguh2 supaya mampu memberi pendidikan yang terbaik untuk anak2 pada masa depan..insyaAllah..
Salam ustaz dan semua.
Pendidikan unsur yang sangat penting.Setiap manusia lain kekuatannya,lain kelemahannya.Kaitannya dengan sistem tubuh?Jom tengok link berikut.Semoga bermanfaat.
http://warnadiri.blogspot.com/2008/05/pembelajaran-dan-sistem-tubuh.html
Sinergi antara pembelajaran dan sistem tubuh.
Saya juga mendengar tentang khalifah method, tetpai alangkah baiknya kalau method tersebut digunakan pakai unutk sistem pendidikan negara kita. Saya melihat menteri silih berganti cuba mencari yg terbaik tetapi hasilnya mengecewakan. Bagi saya hanya sistem Islam yang mampu memberi solusi terbaik.
Assalamualaikum….ustaz sya ingin mndengar pendapat ustaz tengtang cara anak2 mda hari ini belajar menguasai bahasa inggeris…mereka mndgar lagu dan menonton filem inggeris utk mmntapkan b.inggeris…tpi kdang2 dalam usaha mncapai cta2 mereka terpengaruh pula dgan lagu dan filem inggeris tue….mgkinkah ini stu bentuk ghazul fikri…atau apa yer??
@wardah soleha, Assalamualaikum. Dr Muhammad al’Mahdi pernah memberi andaian ‘Katalah kita dengar bunyi ketukan di pintu dan bila kita buka, ia adalah shaitan meminta ingin masuk. Dan kita benarkan shaitan masuk rumah kita.’ Sebenarnya, apabila kita membenarkan anak2 kita menonton rancangan yang tidak ada kebaikan untuk iman dan aqidahnya, ia diibaratkan seperti kita benarkan shaitan masuk ke dalam rumah kita. Jangan gunakan alasan ‘nak anak belajar bahasa Inggeris’ membenarkan dia dikelilingi oleh pengaruh dan mesej negatif yang sedang ditulis dalam minda dan keperibadiannya.
salam..saya pelajar universiti yg mengambil jurusan psikologi kanak-kanak dan keluarga..bila disebut tentang psikologi..memang tidak dapat lari dari teori2 (termasuk dari B.F Skinner) yang pastinya semuanya dari barat..dan sesetengah teori tu memang boleh tak boleh diterima oleh kita yg beragama islam…sedangkan saya tahu bidang psikologi asalnya dari islam sebenarnya…dan adakalanya teori2 tu menyamai islam sebenarnya..malah ada yang menyamai dengan hadith nabi S.A.W…
Alhamdulillah, a very, very beautiful article indeed. Saya masih terpana kerana lengkap segala isinya, indah bahasanya, jelas contoh-contohnya dan serba-serbinya menjadikan segalanya satu rantaian yg lengkap. Apatah lagi artikel ini menyentuh semua perkara-perkara kegemaran saya tentang kehidupan. Yang paling penting, segalanya isinya terasa begitu dekat dgn hati saya. Syukran ustaz. Semoga terus berkarya. Semoga diberkati Allah.
salam,bertuahnya anak2 kita yg mampu mengikuti pendidikan sebegini. Namun bagi yg tidak apakah pillihan kami. Tiada ibu bapa yg tidak mahu perkara terbaik bagi anak2 mereka. Kerana pastinya anak2 yg cemerlang dunia & akhirat objective ibu bapa. Dimana masyarakat kita?
Good, for sharing and thanks.
[...] yang bertanggungjawab, terhadap dirinya, orang lain dan dunia sekelilingnya. Boleh baca entry Ustaz Hasrizal dan Puan Sharena tentang method [...]
[...] – Kembali kepada alQuran dan Hadis. Saya memetik ulasan dari Ustaz Hasrizal dalam sebuah artikelnya, yang ada mengulas mengenai menghindari fitnah [...]