
Keluarga PERMAI 2010 Bandung, Indonesia
Alhamdulillah, PERMAI 2010 sudah melabuhkan tirainya.
Saya cuba memberikan yang terbaik. Apatah lagi apabila Tuan Pengarah menyatakan bahawa PERMAI ditangguhkan dari 2009 kepada 2010 semata-mata kerana mahu mengekalkan saya sebagai penceramah. Masuk sahaja Januari 2010, PERMAI berlangsung tidak tertangguh-tangguh lagi.
Lebih 200 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dari segenap Kepulauan Indonesia hadir.
Ada yang datang dari Makassar, Sulawesi. Ada juga dari Palembang, Sumatera. Tidak dilupakan rombongan Surabaya, Jogjakarta, Ibu Kota Jakarta dan Inderamayu. Cuma peserta dari Malang yang di saat-saat akhir terpaksa membatalkan kehadiran mereka disebabkan oleh peperiksaan bertukar jadual di kampus mereka. Demikian juga rombongan Acheh dan Medan yang tidak dapat hadir kerana jadual pengajian yang menyulitkan.
Jumlah terbesar tentu sahaja daripada tuan rumah, Bandung.
Lebih menarik, ada juga rombongan peserta yang datang dari German-Malaysian Institute (GMI). Ia memperlihatkan bagaimana Bandung itu biar pun terletak di Indonesia, namun hakikatnya jarak perjalanan hanya dua jam dengan penerbangan Air Asia.

Semenjak awal lagi, saya sudah menjangkakan bahawa cabaran terbesar saya ialah pada mengoptimumkan pengisian dalam keadaan masa yang sangat terhad. Modul yang berasaskan kepada penjenamaan semula kitab Maza’ Ya’ni Intimaa’i lil Islam oleh al-Marhum Syeikh Fathi Yakan, asalnya disampaikan di PUISI 2007 (Ireland) dan Perhimpunan Musim Panas IPIJ 2008 (Jepun). Di kedua-dua acara, program berlangsung selama 4 atau 5 hari, manakala di PERMAI 2010, hanya 3 hari 2 malam sahaja masa diperuntukkan. Itu pun, hanya hari kedua yang benar-benar satu hari penuh, manakala Jumaat dan Ahad, hanya satu slot yang dapat disampaikan.
Ditambah lagi dengan permintaan Jawatankuasa Penganjur agar saya memasukkan perbahasan sejarah untuk menambahkan rencah penyampaian. Ia menggandakan lagi kontradiksi di antara masa dan bahan yang hendak disampaikan.
Justeru saya harus menentukan, apakah orientasi penyampaian yang hendak dilakukan.
Saya memutuskan bahawa, apa yang menjadi keutamaan ialah bagi setiap slot, mesej paling utama yang hendak disampaikan, digarap dengan kemas oleh setiap peserta. Ada pun perinciannya, mereka mempunyai ruang untuk menambah pengetahuan dengan melayari blog Saifulislam.Com memandangkan hampir kesemua bahan yang disampaikan, sudah dibentangkan dalam bentuk artikel.

Menjawab hampir 40 soalan di sepanjang PERMAI 2010 berlangsung
Antara sasaran yang saya letakkan bagi setiap slot, adalah seperti berikut:
ICEBREAKING: Peserta datang dengan persoalan, menyertai dengan soalan dan pulang dengan jawapan. Soalan sangat penting di sepanjang perjalanan PERMAI 2010. Persoalan yang dibiarkan tidak berjawab, apatah lagi persoalan yang dibunuh dengan jawapan yang bersifat indoktrinasi, akan memberanakkan lebih banyak persoalan kritikal yang mengancam Iman dan jati diri sebagai Muslim.
UMMAH SEPINTAS LALU: Survival Ummah di sepanjang sejarah adalah bersangkutan dengan jentera CHALLENGE & RESPONSE. Cabaran sentiasa dihadapi tetapi dengan bentuk yang berubah-ubah. Cabaran itu mesti dikenalpasti, kemudian disusuli dengan tindakbalas, dan tindakbalas itu pula mestilah menepati cabaran yang dihadapi. Bermula daripada mengenalpasti mesej besar perutusan Adam, perlantikan Nuh a.s. sebagai Rasul, Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai penutup sekalian Rasul, anjakan paradigma era umat tanpa wahyu baru di zaman Khulafa’ al-Rasyidin, era Bani Umayyah dan Abbasiyyah, kejatuhan Baghdad 1258M, kebangkitan Uthmaniyyah hingga membawa kepada runtuhnya legasi kepimpinan induk Islam pada tahun 1924.
RANGKA AGAMA: Deen Allah Subhanahu wa Ta’aala mempunyai bentuk yang sangat sistematik untuk mengatur hidup manusia. Rangka agama itu tercabar di era lambakan maklumat semasa hingga gambaran yang kabur tentang Input, Proses dan Output, menimbulkan banyak salah faham, salah tafsir, ketidak imbangan perhatian dan seterusnya menjejaskan fungsi agama pada menjawab cabaran kehidupan.
IMAN (AQIDAH): Bukan hafalan tetapi suatu keyakinan di dalam diri yang membentuk tindakan. Kita adalah apa yang kita percaya. Apa yang dikehendaki daripada internalization (penitipan) Aqidah ialah mencetuskan keupayaan untuk menjayakan segala isi agama sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba dan khalifah kepada Allah. Aqidah juga membentuk pandangan hidup (worldview) dan sistem nilai seorang manusia yang kesemua itu menerbitkan perbuatan.
ISLAM (IBADAH): Wasilah manusia berinteraksi dan berhubung dengan Allah. Ketetapan Allah yang berkaitan hubungan manusia dengan Allah disebut sebagai Syariatullah dan ketetapan Allah ke atas alam untuk diatur dan ditadbir oleh manusia pula disebut sebagai Sunnatullah. Mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah adalah jalan ibadah seorang Muslim dan tidak tertegak salah satunya tanpa yang satu lagi sebagai pelengkap. Muslim Syariatik dan Saintifik adalah kata kuncinya.
IHSAN (AKHLAQ): Objektif paling utama Risalah Islam adalah untuk melahirkan manusia yang mempunyai kualiti dan nilai, iaitu Akhlaq. Manusia boleh melakukan kebaikan dengan dorongan kebiasaan persekitaran atau tuntutan etika kerja. Tetapi Akhlaq adalah kualiti yang terbit daripada apa yang seseorang itu percaya tentang mengapa beliau perlu bertingkah laku sedemikian rupa. Kemerosotan Akhlaq juga menyebabkan tanggungjawab kepimpinan berkrisis apabila suami terhadap isteri, ibu bapa terhadap anak-anak, pemimpin kepada rakyat, mereka memimpin dengan kuasa dan bukan dengan pengaruh. Mereka tiada pengaruh kerana tiada kualiti diri dan memimpin dengan kuasa tanpa pengaruh adalah selemah-lemah kepimpinan.
KELUARGA: Kejayaan yang sebenar bukanlah kejayaan peribadi semata-mata, tetapi pada membawa orang lain berjaya bersama-sama. Rumahtangga adalah dunia mikro yang diberikan oleh Allah kepada manusia sebagai medan pertama sebelum perjuangan mereka di dalam dunia makro. Permulaan yang baik, amat kritikal pada menentukan kelangsungan sebuah institusi keluarga apabila dosa-dosa yang dibiarkan menjadi kebiasaan pada era pra perkahwinan, akan menyediakan musibahnya yang tersendiri di alam rumahtangga, sebelum musibah besar di alam Sana.
MASA DEPAN MILIK ISLAM: Janji Allah dan Rasul yang diyakini, bukan sekadar berpandukan catatan nas, malah potensi yang ada di dalam Islam, pada jalan Syariatullah dan Sunnatullah, adalah blue print kepada kejayaan umat Islam memimpin masa depan. Sultan Muhammad al-Fatih dan penguasaan Constantinople pada tahun 1453 adalah benchmark pencapaian umat di era berkenaan, manakala penguasaan Constantinople kali kedua dan penerimaan Islam oleh Eropah (Rom) bukan pada jalan peperangan, menjadi benchmark untuk generasi berikutnya. Hakikatnya, segala musibah yang berlaku, mesejnya adalah pada memanggil Muslim kembali kepada Islam.
KESIMPULAN: Think big, act small!
Demikianlah rumusan kepada keseluruhan perjalanan PERMAI 2010.
Saya berusaha untuk mengekalkan bentuk penyampaian yang santai, ringkas, berbahasa muda dan beradrineline. Kelucuan sengaja ditimbulkan kerana menikam minda peserta agar menangis semasa mereka sedang sibuk ketawa, mempunyai implikasi yang sangat mendalam pada melabuhkan mesej ke minda dan hati setiap peserta.

Ramai peserta yang kedengarannya merungut kerana terasa seperti banyak yang tidak sempat saya sampaikan. Namun demikianlah fitrah sebuah crush course seperti PERMAI 2010. Proses mengisi setiap topik dengan huraian lanjutan mesti berterusan dan Alhamdulillah blog Saifulislam.Com sudah tersedia untuk membantu.
Terima kasih kepada kesemua pihak yang terbabit menganjurkan program kali ini. Tuan Pengarah yang bertungkus lumus bersama jawatankuasanya, tidak dilupakan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan MSD yang turut memberikan sokongan kepada berlangsungnya PERMAI 2010 kali ini.

Kru PERMAI 2010. Syabas untuk kalian!
Semoga wacana besar yang menghimpunkan anak Malaysia dari segenap Kepulauan Indonesia ini, dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Ia bukan sahaja medan mencambahkan pengetahuan, tetapi turut menjadi ruang ukhuwwah, pembinaan jaringan persahabatan dan paling utama, menemukan manusia yang menjunjung hasrat yang sama untuk membuat perubahan diri.
Berani bermimpi…
Dan mengejar impian itu!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Jatinangor, Bandung,
Indonesia
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor






Syabas Ustaz dan juga warga PERMAI…dan juga Ummu Saif.
Kalau ada yang tidak berpuas hati mendengar suara ustaz, silakan ke bukankernanama.wordpress.com, boleh mendengar berkali-kali sampai hadam.
Semoga Muslim terus berani menghadapi cabaran sambil berpijak di bumi nyata.
@Kak Ija,
SALAM,
syabas ustaz..
dan terima kasih banyak-banyak Kak Ija atas link ini
@Kak Ija, Jazakillah Kak Ija, sebarkan laman web ini. Semoga ramai yang dapat manfaat daripada program summercamp IPIJ 2008. Bahan kuliah, sampai sekarang digunakan untuk pemahaman kami dan adik-adik usrah kami tentang tajuk Apa Erti Saya Menganut Islam.
@Inda,
Syabas Ustaz!
Salam
Cantik taman sekebun bunga,
Sejuknya mata, molek memandang,
Permai iman, damailah jiwa,
Bahagia di dunia, di akhirat tenang~
=)
Moga Allah swt melimpahkan kekuatan untuk terus melaksanakan amal setelah ilmu diperah sepanjang program~
Subhanallah~
Ameen~
salam, main point Ustaz dalam entri ni bolehlah dikatakan ringkas tapi padat… thumbs up!
Tahniah ustaz kerana telah memberikan yang terbaik. Cuma saya rasa rugi bila ilmu yang disampaikan di sana tak dapat dikongsi bersama di sini.
Jika mana2 ceramah ustaz pernah dirakam, harap ustaz tidak keberatan untuk dimuat turun dalam youtube (^_^;)
@adi, eh maaf, lambat tekan link kak ija tu ><
sebuah garapan lengkap, ringkas dan padat, tahniah ustaz, dan tahniah juga kepada peserta yang menyertai kem ini, tahniah kepada semua pembaca kerana di bukakan pintu hati untuk ke blog terbaik ini.
tahniah kepada ustaz dan mereka yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan…
semoga ianya dirahmatiNYA…
MasyaAllah, ramainya peserta PERMAI 2010. Terasa ingin menjemput ustaz Hasrizal ke Jepun lagi sekali, hehe.
Semoga PERMAI 2010 menjadi pemangkin untuk mereka yang ingin berubah.
Salam Ustaz,
Pagi tadi akak baca balik Shahadatul AlHaq yang disampaikan oleh Maududi…setuju benar akak dengan tajuk Misi Bandung nih, Memanggil Muslim Pulang.
Entah kenapa ledakan ISK di mana2, kesedaran wujud…tapi bagaimana tu yang penting. ISK tu 10%, bagaimana hendak usahakan 90% tu…yang utama
Wsalam wbt @Kak Ija,
Macam mana tu ye? Saya kurang jelas. Akak refer ISK ni kepada group ISK yang ‘pulaukan’ program saya ke?
@Abu Saif,
Tidak, bukan mana-mana group cuma sekarang adik-adik sibuk dengan Program “Ini Sejarah Kita”. Ianya sangat bagus, cuma sekarang kita kena beri panduan yang benar kepada mereka seperti yang ustaz buat sekaranglah.
Entahlah, group yang pulaukan Ustaz tu “menjahilkan diri terhadap musuh” kot. Ceramah ustaz quotation tak cukup tarbawi kot? Gurau je.
@Abu Saif,
‘group ISK’ ke yang pulaukan program ustaz di Bandung tu..?
@taufiq wannajah,
Sesiapa sahaja yang dihalang oleh naqib dan naqibah mereka daripada hadir ke ceramah saya, saya atasi dengan hadir ke skrin komputer mereka melalui blog ini. Terserahlah kepada sesiapa sahaja untuk mengambil manfaat.
Cuma saya tumpang simpati atas hilangnya keupayaan membuat keputusan sendiri yang sangat diperlukan oleh pejuang Islam.
Saya bosan dengan sikap konsisten mereka di Perth, Australia, di Jepun serta UK dan Eire.
saya rasa tiada siapa yang menghalang,kerana semua dah besar dan boleh pergi jika mahu…
cumenye mungkin mereka tak suka join program bergabung lelaki dan perempuan kerana susah nak jaga ikhtilat dan hati masing2
wallhu`alam
@yeza,
salam..
tersalah info barangkali ya ustaz..sedih la pula bila ada yg berkata begitu..rasanya tiada siapa yang menghalang..
mohon diampunkan untuk kesalahan maklumat ini.
@yeza,
saya harap biarlah yang tidak datang, tidak datang kerana alasan lain dan bukan yang satu ini. Jika ada yang khuatir datang berprogram bersama Ustaz Hasrizal kerana khuatirkan ikhtilat, ia berbunyi sangat menghina. Apakah saya tidak mempedulikan perkara yang sangat asas ini?
Dan pelajar itu sendiri, nantinya sesudah bergelar pekerja, apa mereka bertugas di rumah sakit pesantren?
Berbaik sangka, biar kekal baik. Bukan hingga tidak cerdik.
assalamualaikum ustaz,
seingat saya semasa permai ada peserta yg tanya pasal menasihati org. dan saya faham yg membukakan pintu hati seseorg hanyalah Allah.
saya juga tahu kita mesti ikhlaskan hati,kiranya apa pun responnya,kena terima dgn hati terbuka.
baru2 ini saya ada menegur kawan saya kerana pergaulan antara dia dgn boyfriend agak melampaui batas(walaupun sebenarnya ber’couple’ itu sendiri dah salah).tapi kali ni mmg melampau.respon yg saya dpt agak menyedihkan.dia cakap boyfriend dia penting bagi dia dan dia kenal boyfriend dia.malah boyfriend dia kata kalau nk buat kerja amal,cari tempat lain,jgn sibuk jaga tepi kain org(setelah saya tanya dia boyfriend lagi penting atau hukum Allah).saya tak marah(walaupun terasa sekejap,perempuan sensitif lebih)tak berdendam,dan saya tahu hanya Allah boleh buka pintu hati dia.tapi hati saya tetap rasa tak tenang sdgkan kalau kita ikhlas kita sepatutnya tenang kan?saya asyik terfikir tentang kawan saya.
oleh kerana semuanya berlaku dengan sms,saya tak tahu macam mana nak berdepan dgn dia nanti memandangkan kami tinggal serumah.tolong bagi pendapat ustaz.syukran
Barakallahu lakum. Tumpang gembira. Misi Memanggil Muslim Pulang, insyaALLAH=)
Ustaz, ana mencari wajah adik ana yg hadir ke permai dari Universiti Brawijaya.
@mzikri,
Jika tidak silap saya, Universitas Brawijaya itu letaknya di Malang. Mendukacitakan, rombongan Malang terpaksa membatalkan kehadiran mereka di saat akhir kerana jadual peperiksaan yang bertukar di kampus. Setahu saya begitu…
alhamdulillah selesai urusan di sana. tahniah kerana dapat menghabiskan dengan baik.
salam ustaz.. subhanallah, bestnya dapat baca kesimpulan yang ustaz tuliskan kat artikel ni.. lagi best kalau saya dapat duk sekali dalam tu, dengar sendiri kalam2 dari ustaz…
lain kali kita berPERMAI kat mesir pulak ye, ustaz ??
hehe…
maaf us, saya ada soalan.
apa maksud think big, act small?
camne yang small, nak menampung yang big?
atau…
ada maksud yang tersirat?
terima kasih ustaz ..
wsalam wbt @dr_taqwa,
Think big act small bermaksud, berfikir dan melihat kehidupan biar sebesar dan seluas kehidupan itu sendiri. Tetapi semasa bertindak, sesuaikan dengan konteks dan tahap masing-masing.
Meneladani Sultan Muhammad al-Fatih menawan Constantinople itu adalah secara think big. Tetapi ia tidak bermaksud harus menggalas pedang dan memecat pena di kuliah, untuk pergi berjihad di medan Qital. Sebaliknya bertindaklah mengikut tanggungjawab, keperluan, keutamaan dan tahap kemampuan semasa.
Sangat padat. Sangat cantik.
Salam buat Ustaz.Tahniah diatas kemanfaatan masa ustaz bersama generasi yang tahu memfaati masa,walau dimana jua berada.Tak ada ke program ustaz yang bertempat diS`pore?
@luqluq,
Wsalam wbt. Insya Allah April akan datang saya ada ‘road show’ di Singapura.
alhamdulillah~
Februari nanti giliran kami di Jordan pula untuk mengutip segala mutiara ilmu dari
Ustaz dan Ustaz Maszlee Malik dalam program PERTAMA di Mu’tah, insha allah
Kecewa juga ana baca komen tentang ‘pulaukan’ tu.
Kalau benarlah isu ikhtilat ini yang jadi permasalahannya, terus terang ana sendiri yang dulu pengarah PERMAI yang pertama, tentu sekali isu ikhtilat ini menjadi keutamaan. Sedaya upaya kami cuba untuk jaga isu ikhtilat ni, dan memang kami akui ada beberapa keadaan yang agak sulit diatur, sebagai contoh laluan jalan. Tambah-tambah lagi kalau dah struktur bangunan tempat programnya begitu, sangat tidak mungkin robohkan bangunan tu dan bina balik semata-mata untuk PERMAI!
Ana masih ingat betul ana beri taklimat ringkas dan ana tekankan isu ini juga. Dan ana yakin sahabat-sahabat di Bandung juga melakukan perkara yang sama. Program ini program ilmu, bukannya program hiburan yang boleh bercampur lelaki perempuan sesuka hati.
Ana harap yang dihalang pergi tu kerana isu lain, bertembung dengan jadual exam barangkali. Kalau benarlah gara-gara ikhtilat, nampak macam hina sungguh program ini sampai perkara sangat asas seperti itu pun tidak boleh dijaga.
afwan.
ana yang komen tentang ikhtilat tu.maksud ana,bukannya antum yang tidak menjaga ikhtilat…
diri peserta itu sendri yang takut dengan hatinya sendiri yang lemah..
ana ckp tentang diri ana…
afwan untuk komen yang menimbulkan salah faham
tapi sekurang2nya masih mampu mengikuti isi permai dr web yag kak ija bg
jazakallahukhair
Allahu Akbar..begitu teruja nak hadiri permai tapi hanya dapat merancang, ketentuanNya jualah yang utama.
syukran kathir ya ustaz, atas cebisan perkongsian ini. sedikit iri sebenarnya melihat foto-foto di atas.. astaghfirullah..;)
syabas Uztaz… jalan terus..jangan gundah jangan gulana