Jangan Sekadar Syurga Dunia

January 31st, 2010 by Abu Saif 9:07 pm | 14,337 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

“Saya perlu bernikah, ustaz. Sangat perlu” ujar seorang anak muda.

“Mungkin tidak patut ustaz menyoal, tetapi KENAPA?” soalan saya ajukan kepadanya.

Bukan kenapa nikah, tetapi mengapa begitu terdesak.

“Tidak tenteram. Ada gelodak jiwa” katanya.

“Justeru selepas nikah nanti, kalau sudah tenteram dan jiwa kembali tenang, apa seterusnya?” saya menyambung pertanyaan.

“Tenteram itu bukankah sentiasa perlu? Jadi perlukah ada ‘seterusnya’, ustaz? Saya keliru,” katanya jujur.

“Izinkan ustaz berterus terang. Jika tenang dan tenteram yang anta maksudkan itu adalah pada nikmat beristeri dan menikmati isteri, hati-hati dengan tabiat nikmat dunia,” saya tidak mahu berbunga kata.

“Tabiat yang bagaimana?” beliau agak kabur dengan perbualan kami.

“Kalau ustaz pakar sambal sotong, ustaz hidangkan kepada anta buat kali pertama, Alhamdulillah. Tengah hari nanti sambal sotong juga, Alhamdulillah. Makan malam nanti sambal sotong lagi, Alhamdulillah. Bagaimana jika sarapan pagi esoknya juga sambal sotong dan tengah hari itu juga berlaukkan sambal sotong. Kamu mampu menjamahnya lagi?” saya beranalogi.

“Aduh, boleh muntah dibuatnya. Jangan, ustaz!” katanya sambil ketawa.

“Benar. Segala nikmat di dunia, biar sesedap mana pun ia, sedapnya semasa lapar, semasa bujang, semasa belum merasa. Tetapi kalau sudah dirasa, diulang rasa, berterusan merasa, bisa sahaja yang sedap menjadi hambar” saya menyambung kalam.

“Jadi, apa yang cuba ustaz beritahu saya?” soal beliau.

Pernikahan, jangan sekadar satu penyelesaian. Ia harus lebih besar dari itu” saya memberikan kesimpulan.

NIKAH UNTUK SELESAI

Tidak salah untuk percaya bahawa pernikahan boleh menyelesaikan banyak masalah. Itulah hikmahnya pada Sunnah bernikah.

Tetapi kekhuatiran yang timbul, ialah apabila sebuah ikatan perkahwinan mahu dilangsungkan hanya untuk menyelesaikan masalah tertentu, dan selepas masalah itu selesai, perkahwinan itu hilang tujuan! Menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian, hanyalah sebuah hasrat berupa perancangan jangka pendek. Sedangkan untuk sebuah rumahtangga terus membuka laluan sampai ke Syurga, ia perlu kepada perancangan jangka panjang.

Sepanjang kehidupan.

Kebelakangan ini saya dihimpit rasa bimbang.

Tatkala hari demi hari didatangi pasangan yang berkahwin muda mengadu masalah, saya memaksa diri untuk berfikir dan mencari sudut-sudut tersembunyi (blind spot) di dalam tasawwur seorang anak muda semasa mahu bernikah.

“Saya bosan tengok isteri saya ustaz. Salahkah saya berperasaan begitu?” tanya seorang anak muda.

Jantung saya berdebar.

Merenung matanya, saya dapat merasakan ada semacam satu kehampaan di dalam dirinya kerana terbeban oleh perasaan yang gagal disembunyikannya. Syukur, sekurang-kurangnya dia mahu bertanya. Di samping berusaha menemukan jawapan, saya juga dapat belajar sesuatu untuk diri dan dikongsi dengan yang lain.

Bagaimana boleh bosan?

Saya harus mencari jawapan pada titik mula dan titik tengah soalan itu.

Justeru untuk mencari penjelasan pada titik mula, saya persoalkan tujuan perkahwinannya semasa di tahun 2 pengajian lebih setahun yang lalu.

“Kami selalu berjumpa. Saya bimbang hati terus terfitnah memikirkan tentangnya. Alhamdulillah saya tidak bertepuk sebelah tangan. Biar pun ayah dan ibu kami agak berat untuk menyatakan persetujuan, tetapi syukur akhirnya mereka merestui,” cerita beliau.

“Alhamdulillah.Jadi, sekarang ini, adakah anta sudah mendapat apa yang dicari?” saya bertanya.

“Ya, cuma…” beliau teragak-agak menyebut.

“”Cumanya sekarang anta sedang dilanda jemu, kan?” saya sambungkan ayatnya yang tidak langsai itu.

Tatkala kita mengejar sebuah ikatan perkahwinan sebagai jalan keluar kepada apa-apa sahaja masalah yang sedang dihadapi, syukur jika masalah itu selesai, dan syukur juga jika masalah itu belum selesai. Sekurang-kurangnya dia masih punya sesuatu untuk diusahakan dalam sebuah perkahwinan. Namun bagi yang masalah sudah selesai di tahun satu pernikahannya, apa lagi cita-cita dan azam yang ada dalam visi dan misinya bagi melangsungkan usia perkahwinan?

Daripada gelisah menjadi tenang dengan nikah.

Timbul jemu, mahu mencari tenang dengan membatalkan nikah?

Naudhubillah

Tidak sedikit air mata sang isteri tumpah semasa suami mereka berterus terang berkata, “mengahwinimu adalah suatu kesilapan!”

Sepatutnya masalah seperti ini tidak timbul.

Tetapi realiti sering meninggalkan banyak ‘sepatutnya’ terkontang-kanting menjauhi kesempurnaan.

Perkahwinan menyelesaikan.

Tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesaian.

Ia adalah sebuah gagasan.

Impian yang memerlukan pandanganmu jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke kubur, sampai kamu ke Syurga.

Jadikanlah perkahwinan itu kenderaan yang membawa dirimu untuk ke Syurga Akhirat.

Jangan sekadar syurga dunia.

“Saling berpesan-pesanlah kamu tentang para isteri agar berlaku baik kepada mereka. Sesungguhnya kamu mengambil (menikahi) mereka dengan amanah daripada Allah dan dihalalkan untukmu kemaluan mereka adalah dengan Kalimah Allah” [Hadith riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Di Dalam Dunia Yang Serba TIDAK PATUT Ini “Saya susah hati,” kata Nasir. “Kenapa?” saya menoleh ke arahnya....
  2. Layan Jangan, Lawan Pun Jangan “Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa...
  3. Jangan, Monyet. Jangan! sumber: www.clickthecity.com “Alhamdulillah. Pokok pisang aku sudah mula berputik,” kata...
  4. Sempitnya Dunia Luasnya Gua image copyright www.chromasia.com “Sungguh menghairankan. Tidakkah Ashaab al-Kahf itu mengalami...
  5. RALAT BUKU BERCINTA SAMPAI KE SYURGA KENYATAAN PENERBIT, GALERI ILMU SDN. BHD. Kami memohon berbanyak maaf...

Advertisement

113 comments

  1. taufiq wannajah says:

    syukran ya ustaz!

  2. 5115 says:

    Pendekatan yang ustaz bawa mudah untuk difahami berkenaan tujuan sebenar suatu pernikahan itu.

  3. mS_unGu says:

    Salam ustaz..ustaz, nak mohon link kat blog saya..

    Syukran ustaz..=)

  4. ainohikari says:

    Semoga pemuda pemudi dapat ingat pesanan ustaz, terutamanya diri saya.

  5. sara says:

    terima kasih ustaz..motivasi ini yang saya tercari-cari..saya belum nak bernikah lagi kerna belum ada orgnya lagi cuma saya sering berfikir, apakah hikmah di sebalik pernikahan.

  6. Ika says:

    Salam ustaz..Ya Allah, terima kasih ustaz atas perkongsian ni. Sangat2 membantu saya tengah serabut. Pernah hati dan fikiran ligat memikirkan bila saat2 menikah akan tiba.
    Tapi kadang-kadang terfikir..”selepas dah nikah..apa ya…”…dan amat berharap perkongsian ini is one of the solution that i get to reduce my tension =)
    membuka mata yang menikah kerana penyelesaian masalah dunia adalah menikah kerana nafsu saja. Nafsu yang terlindung di sebalik alasan agama.
    jazakkallah ustaz

  7. alif says:

    Ana suka tulisan ust ni.. Ana pun terfikir tak semua masalah dalam hubungan boleh selesai dengan sebuah perkahwinan.. Syukran ust..

  8. ummimusa says:

    Peringatan yang sangat-sangat baik agar melihat lebih jauh ke depan. Jazakallah kerana berkongsi.

  9. sinar says:

    selepas membaca…
    ana yakin…ramai yang akan berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan berkahwin…

  10. jijol says:

    salam ustaz..saya ingat kata-kata ustaz di PERMAI’10..terima kasih.. =)

  11. zorrozero says:

    salam ust..ada benar dlm penulisan ust di dlm buku, “aku terima nikahnya” yg perhubungan yg lama belum tentu di akhiri dgn pernikahan…saya sendiri sudah berkawan dgn seorg kaum hawa lbh dr 5 thn. family kedua blh pihak sudh saling mengenali & mula rapat.namun,hbgn kami gagal di awal perancangan utk bertunang…saya jadi serba salah pd family yg nampak sebegitu mengharap hbgn saya berakhir dengan suatu ikatan yg sah.
    memang pd mula tidak dpt bertemu sehari pun rasa sudah berabad tidak bertemu.
    bila tidak mendengar berite seperti cacing kepanasan yg tidak tahu hujung pangkal kenapa gelisah…
    itu semua lumrah semasa elok di buai keindahan yg melalaikan…
    ada benarnya kata org tua2,bercinta selepas kawin lg menjamin kesejahteraan… selepas kawin br kenal apa itu syg!apa itu cinta…
    saya mula sedar ust, & mula terfikir apa sebenarnya cinta yg saya cari?begitu jahil diri ini bila memikirkannya… ust blh jelaskn kpd sy makna SAYANG & CINTA? kpd ikhwanul sekalian, adakah kamu tahu apa mksd syg & cinta? maksud yg sering kita dengar di bibit2 remaja skrg yg di luahkan kpd couple masing? aku yg kamu.
    aku cinta kamu…tapi apa & erti perkataan yg di ungkapkan itu…adakah menyebut tanpa mengetahui maksudnya adalah sia2….harap ust dapat membantu saya dlm membina sahsiah diri yg sempurna.

  12. alhamdulillah, tenang membace blog ustaz ni…kadang-kadang bukan saye nak kawin tapi masyarakat sekitar yang sibuk nak kawin awal memeningkan kepala saye…thanks ustaz banyak2

  13. nazmi says:

    terima kasih dan seronok baca artikel ini. Malah saya lihat banyak orang muda serta bujang yang mengunjungi laman web ustaz, sungguh tepat nasihat ustaz.. semoga ustaz selaku suami boleh menulis artikel seterusnya untuk tatapan si bujang di masa akan datang

  14. fauzi says:

    Salam Ustaz…

    Tulisan dan penerangan Ustaz sangat jelas..Ingin sekali ana menambahkan sekadar untuk renungan bersama..

    Jika pernikahan dianggap sebagai jalan penyelesaian yang halal untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu, maka itu sahaja yang akan diperolehi olehnya dalam mengharungi kehidupan berumahtangga..

    Perkahwinan harus dilihat dari kesediaan pasangan menanggung amanah dan tanggungjawab terutama kepada suami. Perkahwinan ini adalah satu perkongsian hidup, saling memahami, saling berkorban dan saling memberi..

    Dalam perkahwinan, kedua-dua pihak, suami dan isteri harus berfikir dan berusaha keras untuk menyesuaikan diri kerana perkahwinan adalah percantuman antara dua latarbelakang dan cara kehidupan yang berbeza..

    Berusahalah dengan penuh kesabaran untuk mempertahankan rumahtangga dan jangan lupa untuk berdoa & bertawakal kepada Allah Ta’ala..

  15. aman_82 says:

    Terima kasih di atas artikel yg di siarkan balik..:-) iye, pernikahan bukan suatu penyelesaian. Saya pun rata2 berjumpa dengan perkara mcm ni. bru sebulan dua kata dh bosan.. pelik

  16. wida says:

    salam ustaz,
    saya rasa macam nak link ni bg pd mereka yg macam cacing kepanasan nak kawin satu lagi… lepas kawin satu lg apa ya…:) satu lagi mungkin… mereka bagi alasan pada isteri.. “saya selalu bertemu dengannya hingga melahirkan cinta… jgn biarkan saya terus terhimpit dengan dosa isteriku… “

    • hudhud says:

      @wida,

      oh yes very true. skrg ni ramai betul suami yg berumur awal 30an dah sibuk nak buka cawangan. Bila dilihat lebih teliti, mostly dah kawin seawal 20-21 tahun. Anak2 pula berderet2. Umur baru 32-33, dah sibuk nak kawin lagi. Mungkin dah jemu, mungkin rimas, mungkin dingin isteri etc.

      Org2 zaman dahulu ramai yg kawin lewat around 28-30 (lelaki). Bila umur dah 45, baru kedengaran nak buka cawangan. Tapi waktu tu anak2 dah dewasa so masih boleh diterima akal.

      Ada juga yg beri alasan ‘mid life crisis’.. very pathetic i wud say!

  17. qasru addini says:

    sungguh, nikah bukan sekadar jalan penyelesaian.ia merupakan gagasan baitul muslim untuk melahirkan mujtama’ muslim.

    nikah menyatukan arrijal dan annisa untuk mereka menanamkan nilai2 islam didalam sebuah keluarga dan juga sebagai platform untuk terus thabat atas jalan da’wah dan tarbiyah,inshaAllah

  18. kalau mcm tu, saya fikir, kematangan jiwa, akal dan kesediaan untuk memberi nafkah adalah syarat penting untuk lelaki sebelum mendirikan rumahtangga. tapi, bg perempuan pula, bagaimana? sbb bg diri saya, sy terlalu memikirkan perasaan saya shj.. dan selalu breakdown disebabkn oleh perasaan ni…

  19. rulza says:

    saya dan suami bernikah kerana terdesak dengan perasaan dan tingkah laku yang merosakkan..semasa ambil keputusan untuk bernikah, memang kami nekad dan berusaha ke arah itu sebab sudah tersasar dr personaliti sebenar..memang masa tu kami nekad..yang penting mesti bernikah.

    betul cakap ustaz, jangan pikirkan penikahan menyelesaikan satu masalah tapi mendatangkan permasalahan yang lain..

    tapi saya dan suami, sangat2 bersyukur sebab kami dapat menstabilkan diri dan tune peranan diri..

    yang penting, sebagai orang yang bertanggungjawab kena nilai diri adakah kita mampu untuk melayari alam perkahwinan dan cukupkah ilmu malah bersediakah kita untuk terus menimba ilmu di alam perkahwinan itu…

    sebab tula ustaz, saya kadang2 argue ustaz dan sokong agar dipercepatkan pernikahan sebab saya telah melalui zaman yang perit dan menyiksakan dengan dosa..huish, siksanya ustaz..tapi apapun kena nilai diri dan berusaha bersungguh2..jangan sekadar nak kahwin..kena fahamla, perkahwinan akan datang lagi tanggungjawab2 lain di masa depan…kalau tak, buat naya anak orang ooo….

    alhamdulillah saya dan suami lebih tenang dan kembali sperti diri yang asal…semoga ia berterusan sampai bila2…

  20. luqluq says:

    Salam.Langkah pertama untuk menuju kegerbang perkahwinan ialah didiklah peribadi dengan agama.Jika kita tahu menjaga akhlak kita dengan baik ,Insya Allah kita bakal dapat yang baik kerana AllAH telah memberi syaratnya=Perempuan yang baik untuk Lelaki yang baik,bergitu sebaliknya.Pilihan yang baik tak mungkin ada masalah jemu,bosan ,boring,dan sebagainya didalam ikatan perkahwinan.Hargailah pasangan kita .Sentiasa.

    • akmal says:

      @luqluq, “Pilihan yang baik tak mungkin ada masalah jemu,bosan ,boring,dan sebagainya didalam ikatan perkahwinan”

      - bahaya ayat ni sheikh…. ini macam menganggap benda baik tidak akan menjemukan.

      bagaimana pula dengan analogi sambal sotong tadi?

      • nafzh says:

        @akmal,

        ana pernah baca satu buku, adalah semulajadi manusia akan bosan dgn sesuatu benda. Jd, bagaimana ya.

      • hatikering says:

        kalau perkahwinan itu semata2x utk mencari keredhaan Allah, insyaAllah Allah s.w.t akan jaga perkahwinan itu..

        sesungguhnya hati2x manusia adalah Allah yg memegangnya…

        jika semua pasangan (baik suami @ isteri paham yg perkahwinan adalah satu ibadah, insyaAllah mereka akan saling menjaga hati dan isyaAllah perasaan2x bosan akan hilang…
        kerana Allah jaga “nikmat” perkahwinan dan Allah pelihara perkahwinan itu…
        ‘aku mencintaimu kerana agama yg ada padamu,jika hilanglah agamu maka hilanglah cintaku”
        wallahuallam

        • Abu Saif says:

          @hatikering,

          Allah tidak akan menjaga perkahwinan kita secara percuma tanpa kita mengusahakannya. Justeru, bagaimanakah cara untuk mengusahakannya, itulah ILMU, yang Allah perintahkan kita mempelajari dan mengamalkannya.

  21. hisyam says:

    perkahwinan adalah permulaan kepada fase baru dalam kehidupan, tapi pada masa yang sama bukan pengakhiran kepada fase sebelumnya.

    orang bujang selalunya idealistik; “kalau kawin mesti setel masalah.” – seolah2 kawin adalah akhir sebuah kehidupan.

  22. balqisuzma says:

    bgs entry ustaz ini, alhamdulillah memberi pengetahuan dan pelajaran kpd saya..ilmu ustaz jugak memberi jln kpd saya yg masih buntu dgn isu perkahwinan ini, ape yg kite cari dlm sebuah perkahwinan? cinta, syg, kepuasan, kebanggaan? tp bila dh dpt semua tu..ape lagi….dn mcm mane hati seorg suami boleh menduakan isteri tanpa perasaan kecian kpd isteri yg telah dikahwininye, yg tlh byk berkorban utknye….?? hurmm persoalan mcm ni buat saya trauma utk berkahwin….

    • nasaruddin says:

      @balqisuzma, persoalan tersebut tidak sepatutnya membuatkan anda trauma untuk berkahwin justeru perkahwinan itu merupakan sunnah para nabi dan naluri manusia yang normal..hasil pemikiran seperti ini yang tidak sepatutnya berlaku setelah membaca artikel di atas..

      jangan salahkan perkahwinan itu, salahkan manusia yang membuatkan perkahwinan itu menjadi rosak..

  23. Khairun says:

    Bukan pilih yang baik, bukan cari yang baik. Tapi B yang baik, insyaAllah yang baik juga untuk kita..

  24. Nadiah says:

    hari ni saya jumpa jawapannya. Ustaz, shukran! =))

  25. amal says:

    terima kasih ustaz ;D

  26. Alhamdulillah :)

    Penulisan yg penuh hikmah.
    Cukup mbantu!

    Terima Kasih.

  27. :-) says:

    Salam ustaz. terima kasih dgn artikel ni.
    akhir2 ni saya d hujani bermacam2 pertanyaan pasal perkahwinan.. sbb rata kawan2 sekeliling yg seusia dgn saya dah berumah tangga… saya hanya senyum. Saya seperti fobia dgn masalah mereka2 di sekeliling saya. ada yg kahwin muda dan bangga dgn rumah tangga mereka tapi penceraian pengakhirannya. ada juga masalah2 mereka yg mengatakan “BOSAN” dgn pasangan masing2 dan mencari pasangan lain sebagai pengganti… saya jadi takut mendengarnya ustaz. Saya membaca banyak buka utk persediaan diri ke alam rumah tangga.. Dan sedikit sebanyak membuat kan saya takut sekiranya saya gagal menjalan kan tanggungjawab di alam perkahwinan. :’-(
    ramai yg mengatakan saya agak memilih dan cerewet… tapi saya rasa lebih berhati-hati dalam memilih syurga dunia sbb saya berharap syurga dunia terus ke akhirat. membaca artikel ustaz ni memberikan saya semangat utk membuat pilihan terbaik dlm kehidupan fana.

    • nafzh says:

      @:-),

      sebab itulah kita kena jelas tujuan kita kahwin. Prinsip perkahwinan itu perlu dipegang iaitu bukan hanya mengharap kegembiraan sahaja. Kahwin itu tanggung jawab yg besar kerana ianya disamakan dengan mendirikan masjid. ‘Masjid’ yg sia-sia adalah masjid yang kosong dari jemaah..

  28. nurhikari says:

    sebab itulah perlu mempelajari ilmu urusan rumahtangga sebelum mendirikannya…perkahwinan bukan setahun dua, hari-hari akan menghadap muka yang sama..

    terima kasih ustaz..daripada artikel2 dan buku2 karangan ustaz sedikit sebanyak menghilang kerisauan saya tentang alam perkahwinan.

  29. :(
    saya mengalami apa yang ustaz nyatakan :(

  30. Ummi Madihah says:

    Ya ustaz. Perkahwinan bukanlah satu penyelesaian. Saya mengalami masalah yang ustaz bincangkan ini. Hampir 2 tahun saya berendam air mata. Ditambah lagi suami anak sulung dan anak mak. Perkahwinan dikatakan satu kesilapan yg menyebabkan dia tak dapat berbakti kpd ibunya. Akad menjadi satu beban. Saya sgt redha dan bersedia. Alhamdulillah, berkat surah taha dan doa. Jodoh masih panjang hingga ke hari ini. Namun hati terlalu perit menanggung luka, dan parutnya masih jelas di mata.

    • saya_yakin says:

      @Ummi Madihah,

      Susahnya kan kak.. Saba je laa kak eh..

      saya pulak anak sulung laki.. single laki dalam family.. tak kahwin lagi.. InsyaAllah tak lama lagi laa..

      sejak akhir-akhir ni saya asyik terfikir.. Camana sebenarnya hidup sebagai seorang suami.. seorang abang untuk 5 orang adik beradik perempuan.. seorang anak yang wajib berbakti untuk mama bapa..

      mungkin saya perlukan lebih banyak nasihat mama bapa.. dan orang-orang lama yang berpengalaman dalam hal-hal nih.. membanyakkan pembacaan mengenai hidup sesudah berumah-tangga dan lain-lain.. semuanya untuk cuba mengelakkan masaalah yang lebih besar dari berlaku di masa depan..

    • :-) says:

      @Ummi Madihah,

      Berat nya mata memandang berat lagi bahu memikul.. Sabar dan terus bersabar ye kak. InsyaAllah berkat kesabaran akak tu menjadi punca terpadamnya api neraka. (P/S: bila masuk bab2 mcm ni la sy takut sgt. hingga sy takut nk bergaul dgn mereka yg hendak mengenali sy. tp sy tetap berdoa agar di permudahkan jodoh dgn mereka2 yg sefahaman dgn misi dan visi saya..) semoga Allah permudahkan.

  31. ainshahajar says:

    Dulu.. waktu saya bercinta.. teringin nak kahwin dgn dia. macam tadi.. sebab selalu jumpa.. risau..macam2 lah.. tapi tak jadi sebab beberapa perkara. clash =p

    bila baca ni. alhamdulillah.. rupanya ini diantara hikmah yg Allah berikan.

  32. izd says:

    hmm.. dalam perkahwinan..apa yang penting..kerjasama…btul kata-kata wonderpets..

  33. fakhri says:

    Banyak suprise selepas bernikah.

    1. terkejut suami/isteri pengotor
    2. Dulu masa bercinta tak pernah tinggi suara
    3. Ketrampilan dirumah selekeh
    4. kebersihan diri n rumah hancur
    5. tak pandai hubungan kelamin
    6. lepas dapat anak, pentingkan anak dari pasangan
    7. Banyak lepas tangan. terutama soal urus rumah n anak.

    banyak lagi..tapi no.5 paling top.

  34. nafzh says:

    salam,
    SubhanaAllah, betul sangat apa yg ustaz cakap. Walaupun diri ini masih bujang, tapi saya tak pernah pikir bahawa kahwin itu hanya satu penyelesaian, Bagi saya, perkahwinan adalah satu tanggung jawab yg besar. Mungkin sebab itu, orang cakap, kehidupan seorang wanita bermula selepas kahwin.

    Bukan cuba membangkang niat pasangan yang mahu berkahwin awal tapi dalam masa yang sama tidak beberapa sedia. Susah untuk saya meletak keyakinan kepada lelaki yang mengatakan kahwin ini dapat memberi ketenangan, meningkatkan iman. dll. Bagaimana dengan masalah- masalah yang akan berlaku selepas kahwin andai kata turun naik nafsu dan iman diukur akan naik apabila kahwin.

    Ini sekadar pandangan saya. Andai kata salah, harap diperbetulkan

  35. amyamyra says:

    salam,
    mohon perhatian ustaz…
    “perkahwinan itu kenderaan yang membawa dirimu untuk ke Syurga Akhirat”
    saya x faham sangat ayat ni.
    Bagaimana nak tahu perkahwinan tersebut mampu menjadi kenderaan ke syurga akhirat?
    Minta maaf kalau soalan ni ada yang x kena. Tapi, saya betul2 tertanya-tanya. terima kasih!!! wasalam

    • saya_yakin says:

      @amyamyra,

      minta maaf kak amyamyra.. saya bagi pandangan saya okay.. :-)

      perkahwinan adalah ibadah kan.. dan juga sunnah Rasulullah..

      macam yang komen-komen di atas ni tulis, niat kita nak berkahwin ni kena betul dan tepat lagi jitu. Kalau kita kahwin semata-mata untuk melepaskan nafsu.. maka setakat itu sahaja laa yang kita dapat.. dan benda ini tidak akan kemana..

      kalau niat kita berkahwin untuk mencari redha Allah.. dan hiasi perkahwinan dengan islam.. dari perkahwinan ini akan menghasilkan zuriat yang juga berkat..

      perkahwinan yang berkat membawa kepada family yang berkat membawa kepada anak-anak soleh dan solehah.. semuanya menjadi kenderaan untuk ke syurga akhirat..

      tapi kalau setakat nafsu seperti yang dikatakan tadi.. tanpa memikirkan lebih jauh kehadapan.. mungkin yang sebaliknya akan berlaku.. kerosakan rumah tangga.. penceraian.. anak-anak yang rosak akhlaknya kerana kurang didikan.. semuanya bakal menjadi kenderaan ke neraka akhirat buat kita.. Nau’zubillah…

      WallahuA’lam..

      • amyamyra says:

        salam..
        terima kasih atas perhatian saudari. Mungkin waktu saya untuk memahami apa yg dimaksudkan tujuan “kahwin” belum sampai sebab saya sendiri belum terfikir ke arah tu. Cuma, sentiasa berdoa agar mendapat seseorang yang mampu membawa kita utk melabuhkan cinta kepada Nya.. InsyaAllah..
        moga saya dpt bezakan yg mana kaca dan permata.. thaX!!!

  36. Memandu tanpa arah tujuan dan papan tanda sebagai penyelamat memang menyukarkan. Cabaran itu sebagai pemangkin penyelamat kehidupan.

  37. marzyani says:

    Alhamdulillah, hati terasa tenang baca entry ni. Terima kasih. Banyak2.

  38. Cik Permata says:

    Salam. Sebenarnya saya jg berfikir sedemikian. Berkahwin umpama selesai masalah. Ini adalah kerana umur saya menginjak 25tahun pd tahun ini yang dikatakan amat sesuai untuk perempuan berkahwin. Rata-rata sahabat sudah berkahwin dan bakal mempunyai anak bertanya “Bila kau nak kahwin?” makcik dan pakcik juga sudah heboh sekampung berbincang tentang perkahwinan saya sedangkan saya sendiri tidak bersedia untuk berkahwin.

    Jauh dari sudut hati, mendengar cerita tentang alam perkahwinan sememangnya menakutkan. Banyak perkara yg tidak diingini terjadi. Lihat saja masyarakat sekarang, pergi ke kedai yang si perempuan memakai baju seksi sana sini, pernah juga saya terlihat sang suami orang melirik perempuan tersebut dengan seribu pandangan. Tidak terkecuali bagi perempuan, jgn ingat hanya lelaki sahaja yang melirik, wanita sekarang sudah bijak. Turut melirik lelaki yang kelihatan bergaya. MEmbuat open relationship walaupun sudah berkahwin. Sebagai jalan selamat andai suaminya menceraikannya,maka dia juga ada option lain.

    Kawan kawan perempuan saya turut menuturkan ayat2 yg lebih kurang sama “bosan” “ntah apa apa” suami aku ni. Dan end up akan rasa menyesal kahwin awal. Dengan kesakitan mengandung dan bersalin, dengan rasa terabai oleh suami membuat mereka cenderung untuk mencari yang lain.

    Boleh dikatakan 70% perempuan yg mengatakan
    “Hanya kerana perempuan tidak boleh berkahwin empat, jika tidak aku juga akan berkahwin lain” dan paling glamour ayat ni “Andai talak itu ditangan aku, sudah lama suami itu kuceraikan”

    Dan realiti semasa, apa bila sudah tua, sudah tidak ada loving loving lagi. Semuanya terikat hanya kerana TANGGUNGJAWAB. Jika tiada tanggungjawab, suami isteri yang sudah tua berumur itu,semestinya akan mencari yang lain.

    Kebenaran itu pahit. Sememangnya pahit. Namun sepahit2 kopi, andai diletak gula dan susu, terasa sedapnya. Seperti juga perkahwinan, saya harap walaupun seringkali dilanda pahit dan badai, andai diletakkan kegembiraan dan kemanisan, pandai mengolah resipi hari hari, pasti terasa kenikmatan hidup.

    Yang penting, dua dua haruslah bertolak ansur dan bekerjasama. Bukankah itu adalah antara niat yang ada pd perkahwinan? Bagi mendapatkan anak, suami dan isteri masing masing bekerjasama dalam hal itu (maaf jika agak kurang sedap ayat ini) namun kenapa dalam konteks lain, TIDAK..?

    Sekadar cebisan dari saya.

    Yang baik dari Allahswt, yang buruk itu dari saya. Mohon ampun dan maaf andai ada yang tersinggung, tidak sedikit pun berniat hanya untuk nota bagi diri saya dan lain lain moga ada manfaat.

    Wallahualam.

  39. nasaruddin says:

    salam ustaz…

    ustaz dh kawin boleh la ckp mcmtu…

    betul, perkahwinan satu penyelesaian…

    kebimbangan ustaz terhadap kemungkinan ‘bosan’ terhadap isteri nanti ada kebenarannya, tapi itu tidak sepatutnya membantutkan niat anak2 muda itu mendirikan masjid…

    ada dua dharar: yang pertama, yakin dharar ‘coupling’ lama-lama tanpa diikat dengan jalan perkahwinan yang sah..

    dharar kedua: zhan dan sangkaan bahawa suami akan merasa jemu dengan isteri disebabkan andaian perkahwinan itu jalan penyelesaian..

    jangan nanti ada anak muda yang menangguhkan perkahwinannya setelah berfikir2 akan kemungkinan ‘bosan’ dengan bakal isteri yang belumpun dikahwininya itu lagi….

    tidak perlu terlalu idealis..

    bagaimana pula dengan sahabat2 yang sudah lanjut usia tapi masih belum mampu berkahwin kerana tidak mampu?

    itu persoalan yang lebih besar yang perlu kita fikirkan jalan penyelesaiannya bersama…

    sekian.

    • ummusaif says:

      @nasaruddin,

      salam.

      rasanya poin sebenar entri ini ialah berfikir panjang dan masak2. Bukan sekadar hanya setakat utk menghalalkan gelodak nafsu.

      bosan dgn isteri atau vice versa itu hanya contohnya yg mungkin dan pernah berlaku.

      masalahnya sekarang ni, kami dah banyak handle couple yg kawin muda serta tergesa2 lalu kemudiannya menghadapi byk masalah di awal perkahwinan mereka.

      yg tua tu, tafaddhal teruskan niat.

      so point is, fikir masak2. Marriage is not a solution only but a long journey.

      p/s: ustaz kahwin pun selepas grad universiti (begitu juga isteri ustaz). dan masa tu dah berumur 26 tahun.

    • jijol says:

      @nasaruddin,

      Assalamualaikum…

      ustaz tidak sesekali menghalang..cuma seperti yang ummu saif katakan point utama yang ustaz tekankan di sini ialah fikir masak2..perkahwinan itu suatu projek besar dalam hidup manusia.Nak jalankan proses pernikahan secara sederhana atau tidak itu terpulang.Tetapi proses selepas perkahwinan yang panjang itu perlu difikir masak2..jika mahu berkahwin awal silakan..saya tak rasakan ustaz hasrizal melarang..ianya sekadar nasihat dan panduan daripada pengalaman ustaz sendri..

    • Abu Saif says:

      @nasaruddin,

      Wsalam WBT.

      Ada kegelinciran kefahaman yang kita kena hati-hati.

      Apabila kita menjelaskan sisi-sisi negatif poligami akibat salah praktis, hati-hati kerana boleh berlaku kegelinciran kefahaman bahawa ini adalah idea anti poligami. Apabila saya timbulkan beberapa isu tentang kahwin awal, hati-hati kerana boleh berlaku kegelincian kefahaman bahawa saya anti kahwin awal, malah jangan sampai menuduh bahawa Ustaz Hasrizal lebih risaukan suami isteri bergaduh berbanding couple berzina!

      Sebolehnya janganlah cakap ustaz dh kawin boleh la ckp mcmtu…, seolah-olah ana menulis sesuka hati tanpa empati. Ana bujang 26 tahun, berkahwin baru 9 tahun ya akhi!

      Pada ana, kerana tidak mahu menjadi terlalu idealistik itulah, ana timbulkan isu ini. Ana cuba bersikap realistik. Yang idealistik ialah, mereka yang anggap kalau kahwin settle masalah. Itu yang idealistik.

      Buktinya, lepas kahwin, bertambah-tambah lagi masalah mereka!

      Ada dua cara untuk hancurkan kehidupan manusia:

      1. Menghancurkan perkahwinan.
      2. Menolak perkahwinan kerana takut menghancurkan perkahwinan.

      Dua-dua ini adalah penyakit ROBOT!

      ABU SAIF

  40. ana:laila says:

    salam, bg saya entri terbaru ni melengkapi episod Aku terima Nikahnya 1 & 2. terima kasih ustaz atas perkongsian.

  41. iman nasuha says:

    jzkk ustaz..saya ada menasihati rakan2..menggunakan kata2 nasihat dr ustaz..juga untuk menasihati diri sendiri..jzkk sekali lg

  42. johan says:

    Salam ustaz. Saya berumur 22 tahun. Saya sering mengikuti paparan wacana ustaz. Ustaz banyak menceritakan tentang semangatnya pemuda zaman sekarang untuk berkahwin sehinggakan buku Ustaz yang mempunyai perkataan “nikah” pada muka depannya menjadi kegilaan ramai sahabat-sahabat alam maya saya. Kemusykilannya, saya tidak menjurus kepada pemikiran sedemikian (maksudnya saya tak bernafsu untuk berkahwin pada waktu muda serta pemikiran kolot saya yang memikirkan tentang tanggungjawab saya untuk berbakti lebih kepada ibu bapa berbanding kepada rumah tangga), maka apakah resolusi terbaik ustaz untuk mengembalikan saya kepada fitrah pemuda zaman sekarang?

  43. salam ustaz..syukran atas perkongsiannya…

  44. Liz says:

    Salam to all.

    Ramai yang berkahwin ustaz kerana mengikut pusingan normal kehidupan.

    Umur 7 – 12 tahun – sekolah rendah
    Umur 13 – 17 tahun – sekolah menengah
    Unur 18 – 23 tahun – kolej atau universiti. Jika tidak berminat menyambung pelajaran kita bolehlah bekerja.
    Umur 23 tahun ke atas- mesti berkahwin kerana ini adalah pusingan yang normal setiap orang. Jika tidak kita akan dianggap tidak normal. Memang ramai yang telah mengubah pusingan normal ini. Namun, berapa ramai sangat dibandingkan dengan majoriti.

    Perkahwinan adalah sesuatu yang jarang dibincangkan secara mendalam. Bila berbicara mengenai perkahwinan, ramai yg tersipu malu dan mengaitkannya dengan malam pertama.

    Tidak ramai yang menceritakan realiti sebenar perkahwinan ini. Banyak perkara yang harus disediakan terutamanya dari segi ilmu, kewangan, sikap dan sebagainya.

    Perkahwinan ini umpama kerja tanpa cuti rehat, tiada cuti sakit, tiada cuti kecemasan dan bekerja 24 sehari dan berterusan sehingga ke akhir hayat. Daripada ini kita dapat menyimpulkan betapa beratnya tanggungjawab berkahwin.

    Pasangan yang ingin berumahtangga sekarang ini cuma nampak daripada sudut menghalalkan seks sahaja. Yang lain tidak diketahui kerana jarang dibincangkan.

    Realiti perkahwinan patut didedahkan kepada remaja seawal 15 tahun lagi supaya mereka lebih bersedia dan lebih berpengetahuan apabila tiba giliran mereka ingin mendirikan rumahtangga kelak.

    Individu yang ustaz ceritakan tu ramai di dunia ini.

    Mungkin penyelesaiannya adalah menukar silibus kursus perkahwinan dan di samping itu mewujudkan kelas2 ini di masjid atau surau dan menjemput semua orang menghadirinya.

    Di Malaysia saya perhatikan kelas2 begini kurang dijalankan menyebabkan ilmu ini tidak disebarkan dengan menyeluruh.

    Mungkin tiba masanya surau dan masjid menjalankan tanggungjawab ini secara aktif dan berterusan.

    Rgds
    Liz

  45. hafizu~ eja says:

    i love this blog.may allah bless u in writing this blog

  46. Anaz says:

    Nampaknya macam kes ana la ni.. ana pernah merasa terdesak dengan kehidupan ana yg jobless..tiada ketenangan..seperti tiada keredhaan dari parents…nak kawen kerana nk dapatkan keredhaan suami…nak tenang…Bila Allah temukan ana dengan seorang lelaki yang memang nak jadi suami ana..ana fikir panjang…ya lah.. ana tak nak nikah alang2.. biar dpat suami yg boleh bwk ana smpai syurga…yg ana jumpa ni, ana kurang konfiden lihat dari background ngn personaliti nya.. dia memang baik.. cuma dari segi agama yg kurang..dia kata boleh berubah..yang selebihnya, ana rasa orang yang mengharapkan perkahwinan yang membawa ke syurga pasti faham… akhirnya..ana tahu..ana belum sedia untuk bernikah..jadi ana biarkan dahulu soal jodoh ni..yg pastinya ana bdoa dapat jodoh yang baik, boleh dipercayai,setia,komited dengan keluarga yg bakal ada kelak,bertanggungjawab,pemurah dan boleh bawa diri ana dan anak2 ke syurga…ana juga bdoa..ana adalah isteri yg terbaik untuknya kelak..seperti mana yg dia harapkan…apapun, ana tengah menunggu niat bernikah itu adalah KERANA ALLAH TA’ALA…Kalau nikah sekadar nak memenuhi fasa kehidupan saja tak cukup..memandangkan ana sudah hampir menjangkau 30 tahun…ana patut nikah saja..tapi…bernikah itu bukan setahun dua..bahkan SAMPAI KE SYURGA..AMIIIIIN…

  47. ummu ridhwan says:

    Jika STC menganjurkan kursus pra-perkahwinan, pastinya akan bermanfaat, dan mendapat sambutan hangat :)

  48. Wea says:

    ustaz izinkan saya tujukan entri ini untuk seorang sahabat yang saya kira harus membaca nya dengan teliti…

    Beliau sangat arrogant!…

    Moga entri ini jadikan panduan untuk anda berdua! InsyaAllah….

  49. Nazim says:

    Assalamualaikum..

    Hasil drpd pembacaan tsaya entang tulisan ustaz ini, saya berpendapat apa yang ingin ustaz sampaikan ialah, seorang suami perlu menghargai isteri mereka dengn sebaik-baiknya, dengan sepenuh jiwa. Menghargai jasa dan usaha isteri yang berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang terbaik kepada suami. Bukanlah sekadar menikmati isteri semata-mata kerana ingin memenuhi tuntuan nafsu. Semuanya bertitik tolak daripada niat seorang lelaki untuk mengahwini seorang wanita. Tidak salah ingin berkahwin awal, tetapi biarlah sudah bersedia sepenuhnya, sama ada dari segi nawaitu atau pun keperluan hidup. Biarlah berkahwin dan bercinta untuk ke Syurga, bukanlah sehingga ke hayat nyawa yang terakhir sahaj. Kerana matlamat utama kita adalah akhirat. Cintanya seorang suami kepada isteri sehingga ke Syurga itulah yang kekal, kerana akhirat itu pasti kekal. Jika semua pasangan saling berusaha membawa cinta mereka ke Syurga, pasti ‘Baiti Jannati’ akan terbina. InsyaAllah.

    • Abu Saif says:

      Wsalam wbt @Nazim,

      Terima kasih atas kefahaman yang sangat jernih.

      • Nazim says:

        Alhamdulillah, atas kefahaman yang Allah berikan kepada saya, melalui pembacaan saya tentang tulisan-tulisan ustaz sebelum ini, dan juga pelbagai artikel ilmiah yang lain.

        Saya sangat tertarik dengan nasihat yang sering ustaz nukilkan – “Jangan tergesa-gesa, Jangan bertangguh-tangguh”- kerana tergesa-gesa itu sifat syaitan, dan bertangguh-tangguh dalam melakukan kebaikan/perkahwinan menjauhkan diri daripada rahmat Allah S.W.T.

        Syukran ya ustaz.

  50. ummusyakirah says:

    Assalamu’alaikum ustaz,tulisan ustaz ni cukup baik untuk memberi motivasi kepada anak muda spy membuat persediaan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan..persoalan saya ustaz, bagaimana kt nak selesaikan masalah anak2 muda yang terlibat dengan pergaulan bebas,bukankah mengahwinkan mereka lebih baik dari membiarkan mereka membonceng motosikal dan berkepit ke sana ke mari..

    • Abu Saif says:

      @ummusyakirah, Wsalam wbt.

      Masalah akhlaq perlu dipulihkan dengan pemulihan akhlaq. Bukannya dengan mengahwinkan mereka. Jangan terkejut kalau kelompok ini ada yang kerana sudah bernikah, melacurkan pula isterinya untuk lelaki lain!

      Bukan mitos. Sudah terjadi…

      • nasaruddin says:

        @Abu Saif, sedikit penambahan: dan salah satu cara pemulihan akhlak itu adalah dengan berkahwin…tanpa menafikan cara dan metod pemulihan akhlak yang lain…

        • Abu Saif says:

          @nasaruddin,

          setuju, cuma jangan terlalu simplistik. jika kahwin terus sahaja memulihkan akhlaq, tidaklah bertambah-tambah kes cerai berai dan rosak anak hari ini.

          majalah solusi ke-16 pun fokus isu ini: ibu bapa derhaka, melahirkan anak-anak derhaka.

        • sharifah says:

          @nasaruddin,
          nasaruddin kahwin awal ya? ramai teman2 saya yang berkahwin semasa belajar seawal tahun 2 pengajian, malah tahun 1 pun ada.. alhamdulillah melalui mata kasar,kehidupan mereka bahagia..

          namun, jalan untuk ke alam perkahwinan mereka mengundang air mata ibu dan bapa mereka kerana untuk selesaikan gelodak nafsu, mereka ke seberang untuk bernikah.

          sebab itu artikel ini sangat menekankan persediaan sebelum bernikah. kemantapan ilmu dan akhlaq sebelum bernikah teras utama artikel ini. jika hanya untuk menenteramkan jiwa sendiri hingga sanngup membelakangkan dan menyakitkan jiwa ibubapa.. apakah manusia itu sempurna akhlaqnya?

          Allahualam..

  51. AM says:

    assalamualaikum,
    biasanya terjadi ketenangan tersalaherti akibat kepincangan visi,misi dan pengisian yang akhirnya setakat bercinta sampai ke syurga dunia semata.
    pastikan jelas agar tidak ada masalah perceraian yang tragis,poligami yang sadis.

  52. ummu humaira says:

    Assalamualikum. Jazakallah ust atas perkongsian kali ini. Saya agak sedih bila ada suami mengatakan sudah bosan dgn isteri. Mungkin ada kesilapan di pihak isteri yang perlu diubah, namun dalam hal ini suami perlu lah bijak dan berhikmah menegur isterinya. Memang kadang-kadang kehendak kita bukan sentiasa dapat dipenuhi, sebab itulah kita perlu ada sifat redha dalam diri. Redha dengan ketentuan Allah itulah jodoh kita..tapi dlm masa yg sama kita berusaha ke arah memperbaiki kekurangan yg ada. Dan juga, bila hadirnya perasaan sebegitu tak lain tak bukan itulah hasutan syaitan yg nak lihat rumahtangga kita hancur. Jadi beristighfarlah banyak2 dan muhasabah diri. Pohon Allah beri kita kekuatan utk terus hadapi dugaan hidup yg penuh mencabar ini. Mudah-mudahan Allah tetapkan hati kita di atas jalan yg benar.

  53. Nauzubillah…. moga saya dan kita semua dijauhkan dan dilindungkan Allah kisah yang ustaz nukilkan ini..

    benar ustaz, nikah tidak semestinya suatu penyelesaian… malah mungkin juga menjadi punca bencana jika salah dan tidak kena gayanya…

    Tapi saya percaya.. andai yang kita cari dan harap adalah redha Allah.. InsyaAllah, x perlu kita gusarkan… Allah sendiri yang akan menjaga dan membimbing kita.. dan dalam apa-apa jua yang kita lakukan.. InsyaAllah.

    Semuanya kembali pada pangkal yang asas yang bernama = ‘NIAT’

  54. rio helmie says:

    salam ustaz..

    hati ustaz..kalau kita sangat suka pada seseorang perempuan…kita nak miliki hati dia ..biar hati itu milik kita seorang..kita nak nikahi dia..disitu punca segalanya..

    tapi hati sebenarnya milik Tuhan.. walaupun selepas kita nikahi dia ia tetap milik Tuhan..

    begitu juga ketenangan..susahnya nak dapat hati yang tenang..kita ingat perempuan itu boleh beri ketenangan..tapi tenang itu pun milik Tuhan..bukan dari perempuan..

    minta pada Dia..errrr..betul ke Ustaz

  55. ummi says:

    Alhamdulillah tulisan ini di coretkan. Saya sangat risau dengan budaya nikah awal tanpa sebuah kefahaman dan persediaan. Banyak di sekitar saya yang terpaksa berhenti belajar lantaran mencari mai’syah keluarga, pelajaran jatuh kerana hilang fokus dalam belajar kerana keluarga..dan akhirnya terpaksa menangguhkan pembelajaran. Rata-rata mereka ini mengambil keputusan utk nikah ketika kuliah..(awal). Mungkin tanpa sebuah kefahaman dan persediaan yang rapi, hanya di bekali dengan semangat dan azam yang membara serta sogokan dari pihak2 tertentu yang mengwar-warkan tentang nikah awal ini dengan 1001 mcm keindahan tanpa mengenalkan ia dengan sebuah tanggungjawab. Saya bernikah awal (23 tahun), iaitu selepas tamat kuliah. awalnya saya mahu bernikah lebih awal dari itu. tapi caturan Allah adalah yang terbaik… saya bernikah setelah tamat kuliah. Pada masa muda tu saya rasa saya dah cukup bersedia (rasa aje), sehingga dalam hati tu cakap apa yang nak jadi-jadilah, aku lebih rela hidup susah. Tapi apabila dah menjalani kehidupan berumah tangga, sebuah semangat itu tidak cukup..Alhamdulillah suami saya banyak menolong saya untuk menjadi seorang isteri yang matang( banyak belajar tentang urus masa, kewangan keluarga,pemakanan dan kesihatan keluarga, parenting dll). Malahan hidup ini jadi lebih baik dan bernilai.. Tapi setiap pasangan itu perlu menyedari dan memahami bahawa pernikahan adalah sebuah anugerah dari Allah.. kitalah yang akan menjadikan dan mencorakkan ia sebagai syurga atau neraka dalam hidup kita (penting tu komunikasi suami isteri dalam mencorakkan keluarga). Saya cadangkan setiap keluarga baca buku 7 habits of highly effective family, sangat bagus untuk membina sebuah keluarga yang ‘hidup’..dan tak bosan.. Jazakallah

  56. rulza says:

    mmm, bagi saya dan suami perkahwinan untuk mengatasi masalah kami memang satu penyelesaian yang paling besar dan tepat…saya berkahwin ketika 25 tahun dan suami 28.

    malah kami dapat stabilkan banyak perkara tentang pengurusan rumahtangga lebih awal drpada org yang belum menikah..

    pada pendapat saya la ustaz, katakan dalam umur 24-25 tahun sudah bertemu couple dan terjebak dengan kelakuan yang buruk semasa bercinta saya rasa mereka sudah cukup matang untuk berfikir dan menerima pengajaran untuk menguruskan perkahwinan..saya rasa ustaz tidaklah terlalu idealis, cuma di masa akan dtg sekiranya ada anak muda dtg bertanyakan patut atau tidak dia berkahwin kerana masalah yang dihadapi, perkara yang patut ditekankan ialah cara untuk menguruskan perkahwinan tersebut dan mereka harus pandai menilai samada mereka mampu atau tidak.

    pasal masalah selepas perkahwinan memang semua perkahwinan akan menghadapi masalah yang tak dijangka…baik diawal, di tengah dan dihujung perkahwinan..masalah memang akan ada masalah, cuma jangan terlalu ditekankan sebab ia memang akan dtg dalam banyak bentuk..hanya ilmu dan kematangan dapat membantu kita mengatasi..itu pun bukan jaminan 100% saya rasa, sebab kini pun ustaz2 glemer lam TV pun ada yang tak mampu cope dalam masalah rumahtangga.ada yang bercerai berai dengan cara yang memalukan..

    saya suka apa yang ustaz lontarkan, apapun si pemasalah kena pandai menilai samada dia mampu atau tak untuk menghadapi alam rumah tangga macam satu komen tu, perkahwinan seolah2 kerja tanpa cuti rehat, tiada cuti sakit, tiada cuti kecemasan dan bekerja 24 sehari dan berterusan sehingga ke akhir hayat. Daripada ini kita dapat menyimpulkan betapa beratnya tanggungjawab berkahwin. kalau mampu untuk menghadapi dan terus belajar ilmu dlam perkahwinan, pasti perkahwinan adalah penyelesaian yang paling tepat untuk menyelesaikan masalah pada waktu berpacaran ni…

  57. Saya amat setuju sekali dengan isu yang diutarakan ustaz…jika semua orang paham, aman rasanya dunia ni ustaz..hehe

  58. Umar says:

    Ni entry yang agak ramai komentatornya

    Teruskan berkarya ya akhi kareem…memang erti hidup pada memberi…

  59. 1409 says:

    asal bg cth sambal sotong??? bagi la cth nasik..sy makan hari2 tak mual pon..

  60. alhamdulillah….saya semakin faham tujuan hidup selepas membaca artikel ini. pernikahan perlu di fahami dari segala sudut. dunia dan akhirat. bukan suatu penyelesaian hidup kerana jiwa tertekan keseorangan atau tertipu oleh seseorang dan mengambil niat menikah segera bagi membalas dendam. Ambillah masa bersendirian itu untuk bermuhasabah diri dan mencari kekuatan untuk menjadi seorang isteri dan suami dalam redha Allah.

  61. waffle says:

    Kalau nak kahwin masa belajar, tgk dulu result pointer, kalau 3.8<x<4.0 boleh je.dah nampak ada komitmen
    Kalau pointer pun bawah 3.5 jgn berangan.maknanya masih main mafia wars,main psp,masih baca conan. baju pun masih malas nak basuh tu…
    ustaz, saya tgk org yang kahwin awl ni, semuanya yang pakai tudung labuh dan pakai baju melayu dan kopiah .kenapa ustaz? kenapa yang biasa2 tak kahwin awl pun..

  62. UmmuAqilah says:

    Assalamualaikum,saya setuju dengan artikel ini.Saya berkahwin dalam usia yang teramat muda iaitu 20 tahun.tahun ini,genaplah 10 tahun usia perkahwinan kami.pada 5 tahun pertama adalah tahun ‘kegelapan’,kami kerap bergaduh dan kesudahannya masing-masing akan lebam-lebam.saya sering berkata pada diri saya betapa saya menyesali perkahwinan ini.namun,setelah masing2 beransur matang,selepas usia perkahwinan 6 tahun barulah saya merasai bahagianya berumahtangga.persoalan saya di sini,adakah ramai di luar sana dapat bertahan hingga 6 tahun?jangan memperjudikan perkahwinan sekadar ingin mengecap syurga dunia.tuntutlah ilmu seadanya agar lebih bijak dalam memikul tanggung jawab ini.

  63. azizsaid says:

    Ustz,
    Saya tgh berserabut. Mungkin ustz boleh tlg saya.

  64. peace says:

    salam…dulu pun ana ingat kawin adalah 1 jalan penyelesain..cuz mak ana meninggal masa ana 1st years di u…ana takut ayah kawin lain pas2 biarkan ana and adik…akak and abg xpela dyorg dah bekerja..dah masuk ke alam rmah tangga..ana mati2 jugak pk nk kahwin tp nasib baik xde calon…cuz ana tau kapel haram. lama2 bila ana tengok sekitaran susah jugak kawin..banyak tanggungjawab..xjd terus nak kawin..alhamdulillah jugak cuz dapat mak tiri yg bek cam mama….di sebalik dugaan ade hikmah..

  65. luaskn skop pemikiran anda…

  66. Hamidah says:

    SETIAP AMALAN BERGANTUNG PADA NIAT.

    Fikir-fikirkan lah.

  67. YUSAINI says:

    Salam Ustaz,

    saya mohon izin untuk link article ustaz kepada kawan saya.. syukran

Leave a Reply