Sukar sekali mahu menjentik minda.
Lain yang diungkap, lain benar kefahamannya.
Mengupas sisi-sisi terlindung pada minda anak muda yang merancang untuk berumahtangga, sering menimbulkan reaksi yang lelah. Malah tidak kurang yang mencetuskan isu baru, seperti terhasilnya artikel yang anda sedang baca ini.
Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan poligami, ada yang cepat membuat kesimpulan bahawa saya menafikan hukum poligami. Anti poligami!
Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan perkahwinan semasa belajar, ada yang pantas membuat kesimpulan bahawa saya menentang perkahwinan semasa belajar atau kahwin muda. Bahkan tergamak menyimpulkan bahawa saya lebih risaukan pasangan suami isteri bergaduh, berbanding couple yang berzina. Mereka yang memilih untuk berzina, dan menyandarkan zina itu kepada saya!
Keadaan ini menambahkan keyakinan saya bahawa cara kita beragama hari ini penuh dengan konflik bukanlah semasa-mata kerana kekurangan ilmu agama, atau kerana kuatnya pengaruh jahiliah semata, tetapi ia juga banyak disebabkan oleh cara berfikir yang tidak betul. Alat untuk memahami nas dan ajaran agama itu sendiri rosak, justeru melahirkan banyak salah faham biar pun sudah disuluh di bawah terik mentari.
Mengapa tidak difahamkan sahaja, tatkala saya bincangkan tentang kepincangan amalan poligami semasa, kesimpulannya ialah, jika mahu berpoligami ambillah perhatian yang lebih agar kepincangan itu tidak berlaku? Bukankah itu sangat mudah untuk difahami? Mengapa harus memutar kesimpulan kepada kritikan terhadap cara mengamalkan poligami itu, adalah kritikan terhadap poligami itu sendiri? Jika tidak enak bicara tentang sisi negatif yang memerlukan pengurusan, lupakah kepada manfaat yang kita perolehi daripada cara Huzaifah radhiyallaahu ‘anhu mengambil hikmah daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Orang ramai selalu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kebaikan. Sedangkan aku pula selalu bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana khuatir bertemu dan terjebak dengannya” [Hadith riwayat Muslim]
Ya, itulah penjelasan Huzaifah mengapa sisi-sisi gelap kehidupan umat perlu diketahui. Bukan untuk membunuh harapan, tetapi supaya langkah menjadi lebih kemas ketika mengatur perjalanan menempuh kehidupan.
Anak muda,
Tulisan-tulisan saya tidak sama sekali bermaksud mahu menakut-nakutkan kalian. Kecualilah kalian memang penakut, hingga cicak disangka buaya, cacing disangka ular.
Anda memerhatikan kejayaan rakan-rakan yang berkahwin muda, dan memang ramai yang perkahwinan itu adalah baik buat mereka. Anda bertuah kerana dapat melihatnya. Tetapi saya didatangi oleh mereka yang bermasalah. Mereka yang terkapai-kapai mencari jalan keluar daripada cubaan-cubaan hidup pasca perkahwinan yang melampaui persediaan diri mereka. Masalah mereka itulah yang saya k0ngsikan bersama anda, agar persiapan anda lebih baik daripada mereka yang telah mendahului anda.
Ketika saya menulis artikel KAHWIN SEMASA BELAJAR, ia bukan artikel yang berfungsi membuat keputusan bagi pihak anda. Amat jarang saya membuat keputusan bagi anda atau sesiapa. Sentiasa sahaja, tulisan saya menuntut anda menjadi manusia berfikir. Setelah berhasil untuk berfikir, buatlah keputusan dengan fikiran yang matang.
Saya cuba mengajak anda supaya memikirkan terlebih dahulu beberapa isu yang ditimbulkan. Supaya nanti, sama ada anda membuat keputusan untuk berkahwin semasa belajar atau tidak, yang penting anda sudah mempertimbangkan isu-isu yang saya ketengahkan. Apa yang penting kepada anda mungkin berkahwin atau menangguhkan kahwin, tetapi yang penting bagi saya di dalam artikel itu ialah, anda sudah mempertimbangkan isu yang diketengahkan, dengan sebaiknya. Soal keputusan akhir, andalah yang menentukannya.
Apa yang terbaik ialah berkahwin selepas berfikir, juga menangguhkan perkahwinan selepas berfikir. Apa yang buruk pula ialah berkahwin sebelum habis berfikir, atau selepas berkahwin anda mula berfikir yang bukan-bukan.
Demikian juga, tatkala saya menulis artikel JANGAN SEKADAR SYURGA DUNIA, sekali lagi saya menekankan perkara yang sama. Saya tidak sama sekali bermaksud, jangan kahwin awal kerana nanti mungkin dilanda jemu. Tidak sama sekali. Sama ada berkahwin awal atau berkahwin lewat, jemu itu boleh timbul dan selalu timbul.
Tetapi orang yang sudah berfikir panjang dan mendalam sebelum berkahwin, tidak akan bertindak bodoh semasa menguruskan kejemuan yang dialaminya. Apa yang beliau fikirkan semasa membuat keputusan untuk bernikah dahulu, menjadikannya bersedia dan menempuh tempoh jemu itu dengan sabar, teliti dan bukan keanak-anakan.
Saya ditempelak, kerana dianggap lebih rela membiarkan pasangan terdesak di kalangan mahasiswa berzina, berbanding dengan membantu mereka menyegerakan perkahwinan. Sungguh hodoh persepsi itu.
Saya ingin bertanya, siapakah yang berani menjamin, orang sudah berkahwin tidak akan berzina? Justeru anda begitu idealistik malah simplistik pada menganggap perkahwinan terus sahaja boleh menyelesaikan gelora jiwa si anak muda.
TERUK SANGATKAH?
Sepanjang 2009, ada dua suami dan 4 isteri menghubungi saya. Kesemua mereka adalah mahasiswa dan mahasiswi yang masih di bangku pengajian dan sudah berumahtangga. Mengadu masalah jemu dengan pasangan, mencetuskan rasa bimbang yang mendalam pada diri saya.
Lebih menyedihkan, ada pasangan yang suaminya masih berjiwa PSP, tiada keghairahan terhadap anak yang lahir. Ada isteri yang memberikan anak kecil minum susu sejuk kerana tidak tahu susu badan yang dibekukan di peti ais perlu dihangatkan terlebih dahulu sebelum diberi kepada anak. Semuanya gara-gara kurang persediaan dan kurang bersungguh mencari pengetahuan yang diperlukan.
Harganya apa?
Talaq yang menggegarkan arasy?
Atau nyawa anak kecil yang malang itu?
Jadi, penyelesaiannya bukan jangan kahwin, atau nak kahwin juga. Sebaliknya, berfikirlah dengan cermat sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kemudian buat persiapan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dengan mematangkan fikir daripada rentak seorang anak muda atau pelajar, kepada suami dan isteri, ibu dan bapa, yang sinonim dengan tanggungjawab dan peranan.
SEBUAH KISAH
Suatu hari, Jalaluddin al-Rumi menceritakan bagaimana seorang lelaki tua yang sedang menaiki kuda, ternampak seorang anak muda sedang tidur lena di bawah sebuah pohon pada tengah hari yang panas terik. Begitu lena, hingga mulutnya terngaga.
Sungguh mengejutkan, tatkala lelaki itu melihat seekor ular berbisa sedang merayap dan seterusnya masuk ke mulut si anak muda dan terus ke perutnya. Dengan pantas, lelaki itu mengambil sebatang kayu dan terus membelasah lelaki itu hingga beliau terjaga kesakitan, terkejut, trauma dan kebingungan.
“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” kata si lelaki tua.
“Jangan pukul saya!” anak muda itu cuba melarikan diri.
Si tua mengejarnya dan terus memukul.
“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” tegas lelaki tua itu lagi.
Si anak muda yang kesakitan menjamah epal busuk yang bertaburan di atas tanah, menahan bau busuk epal itu, yang sesetengahnya berulat.
“Jangan berhenti. Makan lagi!” tegas si tua misteri itu.
Akhirnya si anak muda yang sudah tidak tahan dengan rasa epal busuk dan baunya yang mengembangkan tekak, beliau termuntah-muntah. Alangkah terkejutnya beliau, keluar bersama muntah epal busuk itu seekor ular berbisa yang nyaris-nyaris meragut nyawa si anak muda yang alpa.
“Maafkan saya!” si anak muda memeluk lelaki tua itu.
Sangkanya si tua itu lelaki gila. Memukulnya dan memaksa beliau memakan epal. Bukan epal ranum tetapi epal busuk. Rupa-rupanya ada ular berbisa di perut si anak muda, yang beliau tidak tahu, hanya kerana sifatnya yang alpa dan bermimpi di tengah hari.
Epal busuk itulah yang banyak dalam tulisan orang tua bernama Abu Saif ini!
Supaya tidak meleret panjang, izinkan saya membuat kesimpulan berikut:
CARA YANG SANGAT BERKESAN UNTUK MEMUSNAHKAN KEHIDUPAN MANUSIA IALAH:
- Memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.
- Menolak perkahwinan kerana takut akan memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.
Dan kedua-dua itu adalah cara berfikir seperti robot… yang cuba menafsirkan si tua yang masih ‘analog’ ini!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor







Ustaz. Pada hemah saya remaja memilik semangat gila dalam melakukan sesuatu. Segalanya mahukan yang segera. Oleh itu hikmatussyuyukh sangat diperlukan dalam membimbing kami orang-orang muda yang semangat yang berlebihan ini. Maaf jika kelibat kami membingungkan ustaz.
@johan, *yang mempunyai semangat
Dan harapnya agar semangat itu terus berkekalan.
Dan saya turut menyeru kpd semua, apabila disediakan satu artikel mahupun apa apa sekalipun, marilah kita semua turut berfikir. Jangan hanya menerima tanpa bulat2 kerana boleh dikatakan hampir semua artikel itu, jika hendak difahami dengan lebih dalam dan berkesan hendaklah kita berfikir panjang & mencari releven yang sesuai dalam hidup kita. Seeloknya selepas baca tu, fikir dulu dan lihat komen komen yang sebelum itu spy kita turut dpt melihat apa fahaman orang lain juga.
Jangan mudah menghukum sesiapa. Kerana orang yg membuat artikel itu tahu artikelnya dibaca ramai dan dia sendiri pun takut nak publish,jadi semestinya penulis itu sendiri akan membaca dan mengkaji berpuluh2 kali sebelum menekan butang PUBLISH. Harusnya bertanya sebelum kita membuat kesimpulan sendiri. Ayat “adakah ustaz bermaksud begini…..” lebih elok daripada “ustaz tidak boleh berkata begini…” ini adalah kerana Si penulis lebih faham point dari pembaca kerana itu adalah hasil titik tangannya.
Ingatan untuk saya, dan semua yang kadang2 terlupa.
Yang baik itu dr Allahswt dan yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri.
Salam.
salam ustaz,
benar sekali apa yang dikata..
kebanyakan muda mudi dan tidak kurang juga ikhwah akhawat hari ini hanya melihat perkahwinan sebagai permit untuk …. dan penyelesaian kepada masalah menundukkan pandangan mereka.
sedangkan mereka lupa tanggungjawab besar yang hadir selepas perkahwinan menuntut pengorbanan yang lebih besar dari menundukkan pandangan…
bersedialah para ikhwah akhawat, untuk melayari bahtera tidak cukup hanya dengan ilmu memulas steering kapal ketika laut tenang sahaja, perlu juga kepada ilmu kompas ketika sesat jalan, bagaimana mengendali kapal ketika ribut, memancing ikan dan sebagainya…
setuju!
Perkahwinan memerlukan persediaan mental n fizikal jua ilmu.
Perkahwinan menuntut persefahaman. Saling menerima danmelengkapkan antara satu sama lain.
Banyakkan berdoa memohon petunjuk-Nya.
teruskan ustaz berkongsi pengalaman..biasala tuh…
pengalaman orang tua amat penting
dan orang tua ada kelebihan tersendiri…
susah nak diungkapkan tapi memang begitulah
bukan semua boleh dipelajari melalui pengalaman sendiri sebab umur hanya sekali takkan kita mahu merasai sema kepahitan kan?
Artikel yang menarik,
Alhamdulillah saya tergolong dalam golongan yang berkahwin awal seusia 21 tahun, masih di tahun 2 (ijazah) di salah sebuah IPTA, sekarang melanjutkan pengajian peringkat Master di salah sebuah IPTA dengan tajaan penuh dari Universiti, begitu juga isteri
Saya setuju dengan ustaz, terkadang orang terlalu idealistik
1. Dengan berkahwin, lebih mudah belajar, dapat belajar sama,,erm,,seronoknya
2. Hilang gejolak nafsu, tak perlu risau lagi tentang hati..
Jika ditanya tentang anak?
Jawapnya, anak tu kan rezki, buat apa risau
Demikian antara alasan yang digunakan, akibatnya saya melihat ramai diantara kawan kawan saya yang berkahwin waktu belajar kecundang, masih tidak dapat menghabiskan pengajian walau bertahun tahun extend..sedih
Mereka lupa akan tanggungjawab yang bakal dihadapi sesudah menikah, tambahan lagi setelah ada anak, alasan hati terlalu kerdil jika dibandingkan dengan tanggungjawab.
Mungkin itu hikmahnya, Allah mengambil nyawa anak saya ketika kecil, ada saya nukilkan coretan ringkas untuk beliau
http://hafidzyusoff.blogspot.com/2009/09/muhammad-ammar-ar-ridho.html
Saya berpandangan tidak salah kahwin awal, cuma perlu jelas objektif dan matlamatnya, bahkan ia bisa menjadi pintu kepada kejayaan seterusnya.
Kalau yang bertanya kepada saya, bagaimana membahagikan masa setelah nikah, saya hanya menjawab dengan satu kata yang amat berharga buat saya,
MUJAHADAH
Dan orang yang bermujahadah pada jalan kami, nescaya kami tunjukkan pada mereka jalan jalan kami… (Al-Ankabut 29:69)
@abu redha,
entah kenapa tersentuh pulak akak bila sampai pada perkataan mujahadah. teringat suatu ketika masa usia masih muda, gelojak nafsu untuk berkahwin masa belajar sangat mengganggu. mujur ingatan terhadap tujuan asal di universiti masih kuat maka dibiarkan perasaan tu berlalu hingga istikharah mempertemukan akak dengan suami. namun, walau dengan istikharah, tak semestinya tiada badai melanda kerana bisikan-bisikan halus dari musuh yang nyata tu tidak pernah berhenti dari mengganggu ketenteraman sesebuah rumahtangga. hanya dengan iman, godaan dan ujian dapat dihadapi dengan penuh hikmah
Salam ustaz,
Maafkan saya tapi saya sangat tidak faham, bagaimana orang boleh tidak faham dengan artikel ustaz.
“Menarik” sekali dengan cara “mereka” membaca dan mentafsir apa yg dibaca.
@Cik Som, ya…mereka mentafsir dan menganalisa dari sisi kiri pembacaan dari isu yang dibincangkan..tanpa menafikan kefahaman dari sisi kanan seperti yang dikehendaki penulis..
mungkin fikiran pesimis yang selalu dipupuk menyebabkan kebanyakan kita suka memandang/menilai sesuatu pandangan dari sudut negatif.
tapi lebih kritikal lagi jika sampai sudut positif sebuah lontaran idea itu tidak kelihatan.
Salam kembara.
Mula2nya pelik~ namun akhirya tergelak saya dibuatnya. Saya adalah antara siswi yang ‘teringin sangat’ nak kahwin muda – tapi, tak adalah menanggapi tulisan ustaz sebegitu pula. Itulah… manusia menilai berdasarkan pengalaman hidup serta nilai2 yang dipegang. Andai posistif, maka optimislah dia dan sebaliknya ~ walaupun melihat dari daun tingkap yang sama…
stuju dgn pendapat saif … jgn la semata terdesak tidak memikirkan hal2 kebajikan dan tidak menyusun atur kehidupan sblum perkahwinan
analogi yang mantap!
p/s: sudah tukar tajuk pulak?
salam..
sekadar mencelah. Saya tak pernah terfikir untuk berkahwin pada usia muda sebegini (21) tambahan pula pada waktu belajar! Masih banyak tanggungjawab yg perlu dilaksanakan. Sebagai anak, student n yang paling penting hamba Allah yang merantau di bumiNya untuk menimba ilmu..
Kahwin, jodoh, semuanya Allah dah aturkan. Untuk rakan2 diluar sana, “takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia”.. moga saya dpat bezakan kaca dan permata..
wasalam
Salam,
Jazakillah ustaz atas nasihat yang sentiasa jelas dan bijak. Ana sebagai golongan muda sebenarnya sangat faham dengan setiap nasihat ustaz, cuma ana rasa anak-anak muda terutamanya yang masih di pengajian tinggi buat-buat tak faham. Ana rasa dah banyak sangat artikel cinta dari ustaz, semuanya isi sama.
Macam mana boleh tak faham lagi?
Sungguh dahsyat tarbiyah Ustaz.
1- ‘makan epal busuk’
2- ‘selam kepala anak muda ke dalam air’
Huhu… Memang ‘Socrates’ betul.
@umi azrini, tertanya-tanya juga dari mana sumber cerita jalaludin ar rumi itu..bagaimana mungkin seekor ular yang berbisa boleh masuk ke dalam mulut seterusnya perut lelaki tersebut..kemudian dimuntahkan kembali..mustahil juga rasanya untuk diterima akal..
sohih kah sumbernya?
@nasaruddin,
tak perlu tertanya-tanya. tanyalah saya, penulisnya masih hidup.
kisah itu adalah kisah yang dibuat oleh jalaluddin rumi sebagai metafora. bukan kisah benar. Saya membacanya dalam versi Arab tetapi tak ingat di mana. Tetapi membacanya kembali di dalam buku YANG SARAT DAN YANG BIJAK oleh M Quraish Shihab terbitan Lantera Hati.
@nasaruddin, Sohihkah sumbernya??
Haha.. buat lawak laa incik nasaruddin nih.. haha.. Wahabi habes..
Askm,
Saya selalu menerima “junk-junk” email dan adakalanya artikel-artikel ustaz yang terbit dalam SIO ni. Selalunya beserta dengan nota kaki sekali.Contohnya “keburukan poligami”, “akibat berkahwin muda” dan sebagainya.Saya memohon keampunan kepada Allah jika berburuk sangka kepada mereka . Cuma mungkin boleh diambil iktibar dan pengajaran.Kebanyakkan mereka bukanlah mahu sangat mempraktikan Islam sebagai cara hidup mereka(dilihat dari mata kasar),cuma sekadar menjustifikasikan tindakan/pendapat mereka sahaja dan disokong oleh artikel Ustaz( agamawan).
p/s: sudah tentu gol. yang saya sebutkan ini bukan ikwah dan akhwat.
saya amat menyokong kenyataan ini…
“Sentiasa sahaja, tulisan saya menuntut anda menjadi manusia berfikir. Setelah berhasil untuk berfikir, buatlah keputusan dengan fikiran yang matang”
..kerana itulah saya amat menghargai pandangan & tulisan ustaz. Ustaz banyak mengajar saya mengubah cara melihat kehidupan, dan ia amat bermakna dalam perjalanan anak muda seperti saya meniti kehidupan.
Cuma, buat generasi yang semuanya A atau B, perlu disuap sentiasa..dan amat malas untuk berfikir..eden pun tak tau nak cakap apa!
salam.ustaz, ana antara insan yang mendirikan mahligai semasa belajar. Alhamdulillah perkahwinan ni dah mencecah 6 tahun dan dikurniakan 3 orang jundullah. Apa yang ustaz utarakan memang banyak kebenarannya. Kalau ikut perasaan muda ni ana mungkin berkahwin seawal usia 18 tahun!
Masa tu abah tak bagi, abah kata sebelum kahwin tolong belajar ilmu yg berkaitan dengan perkahwinan/ibubapa dll. jangan terburu-buru dan berfikiran matang. Abah tak larang untuk berkahwin tapi abah sarankan tolong bersedia sebelum berkahwin.
So, ana pinjam balik kata-kata ustaz; “Apa yang terbaik ialah berkahwin selepas berfikir, juga menangguhkan perkahwinan selepas berfikir. Apa yang buruk pula ialah berkahwin sebelum habis berfikir, atau selepas berkahwin anda mula berfikir yang bukan-bukan.”
Alhamdulilah ana merupakan insan yang ‘menangguhkan perkahwinan selepas berfikir’ dan ana ‘berkahwin selepas berfikir’ dan sekarang ana bahagia..
Terima kasih ABAH (Mohamed Ropi Ismail)
@Abu Muhd, salam ustaz hasrizal dan pembaca, tak rugi ambil hikmah daripada pengalaman orang-orang tua…
Pengalaman orang lama yang tak elok dijadikan sempadan, pengalaman yang menyeronokkan pedoman.
Indahnya menggabungkan hikmah orang tua dan semangat orang muda
Ustaz..drpd artikel ustaz byk perkara yg saya belajar mengenai kehidupan..betul semuanya berkaitan dengan isu semasa , pengalaman lalu atau perkara masa datang..kepada yg masih di bangku sekolah, universiti, di alam rumahtangga mahupun org yang berumur…semuanya terkesan dan patut mengambil pengajaran daripada artikel2 ustaz yg up to date dan pendekatan yg semasa dan realiti…
kesimpulannya ustaz memberi namun penerimanya perlu menilai , adakah aku spt yg dimaksudkan, apa tindakan aku , apa pengajarannya , apa implikasinya, apa objektifnya, apa input , proses dan outputnya ..semua itu bergantung kpd pembaca…
Jom pakat2 berfikir…terkejut jg jika ada mereka di luar sana boleh mengkritik sesuatu yg pada saya terlalu byk kebaikan yg ustaz telah ‘berikan’
Ada orang yang betul2 nak jaga perkahwinannya, agar tak tersasar dari tujuan sebenar perkahwinan, >>sehingga dia membuat proposal hala tuju perkahwinannya.. Semua dirancang dengan teliti-visi&misi, matlamat perkahwinan, perancangan masa, budget ekonomi, mbo (management by objective), siap mekanisme dan persediaan yang perlu dilakukan dalam bentuk satu pelan tindakan..(spt kita merancang strategi organisasi pula..) Tp, semuanya itu semata-mata untuk memastikan niat perkahwinan dan wasilahnya, selaras dengan Islam, dan hala tuju perkahwinan menjadi terancang. Saya kira itu suatu yang sgt3 positif untuk kebaikan rumah tangga kita.
FAIL TO PLAN IS PLANNING TO FAIL!!
Mg saya pun dapat siapkan proposal kehidupan saya sendiri…
sungguh berhikmah nasihat ustaz..ana br fhm artikel ni. syukran ustaz
salam ustaz. Point taken. Tapi sayang ada yang sibuk galakkan orang berkahwin, tetapi tak mahu menyibukkan diri membuat seminar2 persediaan menjadi suami & isteri, ibu & ayah. Or perhaps, empunya diri saja yg patut buat ya tak ya juga ya, jangan salahkan orang. alright then! thanks for this reminder…next step: propose to MLO & the works to conduct a workshop “Breastfeeding for Moms & Dads to be” and…etc…
Pandangan yang cukup mantap ustaz!!! Anak2 muda perlu ambil ikhtibar!!
sebut pasal lain org lain yg dia paham ni mmg menarik..walaupun disampaikan oleh org yg sama, tapi uniknya Allah cipta manusia ni pelbagai variasi cara dia memahami sesuatu benda..kadang2 rasa mcm comel je bila ada org2 yg unik begitu, tp kdg2 geram juga sbb x paham2 walaupun dah diberikan kesimpulan..
Teringat saya pada kata2 ustaz sekitar tahun 2008 pada kami..
Perbezaan antara kita itu bukan petanda kita atau mereka lebih baik..perbezaan itu istimewa dan perlu diraih..
JZKK ustaz atas segala ilmu yg diberi..Saya juga MAHU memberi iAllah.
pelik,
apakah yang menempelak ustaz x berfikir berkali-kali?
berapa nisbah org macam mereka berbanding kita yang berterima kasih dengan artikel2 ustaz
@akramust, tidak bersetuju dengan pandangan ustaz tidak bermaksud menempelak beliau..perbezaan pendapat itu sepatutnya diraikan memandangkan ini bukan isu usul dalam agama…
dan memang sepatutnya seseorang itu merasakan tidak semua pendapatnya diterima semua orang untuk mengelakkan diri merasa ‘syok sendiri’…
@nasaruddin,
saya tidak berani membuat andaian tentang apa yang ada di dalam hati manusia sama ada dia ikhlas, ujub, riak atau syok sendiri. semua itu, kerja Allah yang besar bencananya jika ada manusia yang mahu mengambil alih.
justeru saya memberikan persetujuan 100% pada hanya perenggan pertama, demi Islam.
@nasaruddin, Syok sendiri?? haha…
ni nada jeles nih bro… haha..
@nasaruddin,
apa yang tak setuju tu nasaruddin? kenapa x bersetuju ? kalo x bersetuju apa pula pandangan nasaruddin . kalo artikel ustaz x betul di mata nasaruddin , nasaruddin buatlah artikel sendiri yg difikirkan betul..mesti ramai pembaca minat utk membecanya..:)
Assalamualaikum wbt.
Jazakallah atas nasihat dan teguran dari ustaz. Benda yang sama, tafsiran yang berbeza-beza. Menarik benor, manusia ini. Apa yang kita baca, akan terarah dan mencorak apa yang kita akan fikir. Namun, bagaimana kita fikir, wujud hasil dari bagaimana kita ‘pandang’.
Ana ingin kongsikan bersama pengunjung SIO sebuah kata-kata hikmah dari seorang sahabat :
Letakkanlah kebahagian itu pada Allah,
nescaya engkau akan sentiasa sejahtera kerana Allah itu sentiasa wujud..
kebahagiaan selain dari Allah akan berakhir,
kerana setiap makhluk itu kelak akan binasa juga..
– Idris Shahrom.
Masih berusaha untuk menghadam setiap ‘epal busuk’ dari ustaz. Jzk dr yaban.
saya lebih gemar jam analog dari digital.
analog buat kita berfikir.
@syarief,
ia akan mengingatkan kita bagaimana dan apa yang kita uruskan
sy sokong kamu
Salam Ustaz,
Akak rasa ini kes pembaca yang tergesa-gesa tanpa meneliti intipati yang mahu disampaikan.
Dan selalunya komen yang pelik-pelik ni adalah pengunjung sekali-sekala, ikut tajuk tertentu, bukan pembaca setia.
InsyaAllah, penuntut Madrasah SIO ni dah mengalami anjakan paradigma sekurang-kurangnya dari segi persiapan syariatullah dan sunnatullah.
@Kak Ija, ya…kak ija betul…dan untuk pengetahuan kak ija artikel ini ditujukan kepada saya…;) smile…
@nasaruddin,
Salam nasaruddin,
Buat pengetahuan nasaruddin ini bukanlah kali pertama ustaz mendapat komen sebegini, sudah berpuluh kali malah mungkin ratusan kali sehingga ada komen yang ustaz “compile” dalam satu entri dan meminta pembaca yang lain membaca dengan berlapang dada dan hati yang terbuka.
Jadi nasaruddin bersetuju dengan kenyataan akak di atas. Baiklah, pada akak ustaz menyatakan sisi yang perlu dimenungkan pada jalinan hubungan atas kalimah Allah ini. Ianya menuntut segala kesabaran yang ada dari kedua-dua pihak.
Akak doakan nasaruddin menemui kebahagiaan di dunia dan akhirat. Jangan serik berkunjung ke sini, tempat ini boleh juga dianggap usrah online, selagi komen yang ditulis beradab kami di sini akan bersedia membimbing. nasaruddin sudi tak dibimbing?
Email ini ditulis dengan kasih sayang seorang kakak. Sebenarnya Ustaz dan isteri sentiasa dijadikan sumber rujukan pasangan-pasangan yang bermasalah jadi mereka mempunyai hujah yang kukuh untuk memberi nasihat. nasaruddin sudi tak dinasihati?
Salam Ukhuwwah fillah
@nasaruddin, nasaruddin x sudi.. hehehe…. jan amik ati ye bro.. keh3..
Orang muda memang suka semuanya nak cepat. Nak kawin cepat, nak degree cepat, nak anak cepat. Solat pun cepat, cuma solat awal waktu ja yang x cepat. Muahahahahaha..
Pak Syeikh Hasrizal dan para pengomen, ramai yang jarinya mengetuk papan aksara lebih cepat daripada otak berfikir. Cuba amalkan sikap mencerna dulu ilmu dan pengetahuan dulu sebelum membuat apa2 andaian dan komen. Gopoh-gapah dan terburu-buru itu daripada syaitan.
Nasihat buat yang muda, pikir dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Kalau dalam bab kahwin ni, memang seronok kahwin masa muda. Badan tengah kuat kata orang. Tapi… ada tapinya.. kena timbang-tara juga pakej yang datang kemudian yakni tanggungan dan anak2 (kalau dimurahkan rezeki). Dah ‘ready’ sungguh2 ka?
Pernah sekali aku bersembang dengan dreba teksi masa lalu di Wehdat, Amman on the way nak ke stesen bas balik Marj. Dia cakap (telah diterjemahkan): “Kepala orang lelaki ni ada dua. Satu di atas, satu di bawah. Kalau atas yang berfungsi, yang bawah tidak. Kalau bawah yang berfungsi, yang atasnya tidak”.
Oleh yang demikian, pilihlah kepala mana yang anda nak pakai.
Salam.
saya sangat setuju dengan ustaz,
“Keadaan ini menambahkan keyakinan saya bahawa cara kita beragama hari ini penuh dengan konflik bukanlah semasa-mata kerana kekurangan ilmu agama, atau kerana kuatnya pengaruh jahiliah semata, tetapi ia juga banyak disebabkan oleh cara berfikir yang tidak betul. Alat untuk memahami nas dan ajaran agama itu sendiri rosak, justeru melahirkan banyak salah faham biar pun sudah disuluh di bawah terik mentari.”
sehinggakan ustaz appear kat tv3 tanpa kopiah pun menjadi masalah kepada golongan ini….
Pada saya, orang yang menyalah fahamkan intipati-intipati yang disampaikan oleh orang agamawan/ ilmuwan macam Ustaz adalah orang yang suka meletakkan kesalahan ‘sendiri buat’ kepada orang lain.
apa2 pun yg penting perlu ada ilmu.. baik ilmu rumahtangga, ilmu agama dan ilmu rumahtangga.. semuanya perlu dan saling lengkap melengkapi.. jika ada masalah cuba utk selesaikan secara baik, x perlu terus refer pada orang tua , cuba suami-isteri dulu, insyaAllah terbaik
alhamdulillah.. penerangan ustaz yg betul2 mantap..
sememangnya remaja ni, gelojoh dalam berfikir dan selalu terburu dalam membuat keputusan. sememangnya ilmu perkahwinan itu amat penting. mak saya pernah berkata sewaktu saya bergurau mengenai perkahwinan dengannya ” dah nak kawin? asam pedas pun x pandai masak”..
Salam ustaz,
Deen nak minta pengalaman ustaz mengenai 2 artikel terakhir ni, kebanyakannya ‘sindrom jemu’ datang dari pihak suami atau lebih tepat lelaki. Itulah yang Deen nampak dari beberapa pengalaman yang ustaz cerita. Komentarnya, samada lelaki yang ‘jemu’ ini disebabkan kurangnya bersedia memikul beban terutama bagi usianya muda setahun jagung atau kerana jemu itu lebih jelas pada lelaki tidak kira usia. Bagaimana dengan perempuan pula ustaz? Tak ada yang mengadu jemu?..mohon pendapat
@Deen,
salam Deen,
mungkin perempuan lebih selesa berkongsi jemu mereka di kalangan mereka sendiri. jika saya perempuan, malu saya nak minta pendapat ustaz.
lihat sahaja Harian Metro hari ini:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibucuranghalauanak/Article
salam ustaz dan pembaca budiman, semoga dalam rahmat Allah sentiasa…
Ustaz, saya setuju dengan pendapat ustaz. Memang masalah akar kita, adalah MALAS DAN TERSILAP CARA BERFIKIR..
Saya sangat-sangat setuju ustaz menumpukan pembangunan intitusi keluarga. Semoga lebih ramai yang cenderung dan bersama-sama ustaz untuk membangunkan semula intitusi keluarga, biar hebat dan mantap.
Pada saya, generasi hari ini adalah cerminan didikan sesebuah keluarga. Jika bakal ayah/ibu ingin melihat generasi akan datang hebat dari segi sahsiahnya dan tinggi dari segi pemikirannya, persediaan harus bermula daripada sekarang. Lengkapkan diri dengan ilmu pengurusan sebuah rumah tangga.
Rumah tangga itu terdiri daripada manusia dan kewangan(material). Masalah psikologi, penjagaan kesihatan anak2, pengurusan kewangan, cara didikan dan sebagainya hakikatnya lebih susah daripada PHD. Itu belum termasuk pengurusan kerjaya lagi.
Faktor peribadi ayah/ibu yang mantap memudahkan ‘kelahiran’ anak-anak yang hebat. Mereka adalah generasi masa hadapan yang mencorakkan kehidupan di bumi kita kelak.
salam ustaz, gembira saya bertemu seorang pendakwah cyber.. hari ini adalah hari gembira bagi saya kerana bertemu ustaz..
betul kata ustaz, setiap tindakan itu perlu di dahului dengan fikiran yang dalam..sayangnya semangat membara, cinta yang berkobar-kobar dan suasana yang mendesak sering menyebabkan manusia silap membuat keputusan…
saya juga berkahwin dalam usia muda.. benar kata ustaz..kita berperang dengan rasa jemu..tidak bersedia dalam serba serbi..apa yang kita bayangkan sering tidak menjadi realiti..selau juga kecewa..tetapi saya juga tidak dapat membayangkan kehidupan saya jika tidak berkahwin..manusia sememangnya tiada yang sempurna..dunia ini tidak sempurna..kehidupan ini juga tidak sempurna..termasuk kita dan isteri.. sebab itu kita perlu kepada Pencipta..yang saya tahu ia menjadikan saya lebih kuat untuk melangkah..dan selalu berdoa diberi petunjuk dalam setiap langkah..
saya seronok mendengar kuliah ustaz di LUCT..pagi tadi..suka dengan cara ustaz berfikir..saya akan cuba mengekori perjalanan ustaz
Assalamualaikum @rio helmie,
Terima kasih kerana bertandang ke blog saya dan terima kasih juga kerana hadir ke ceramah pagi tadi. Saya mencuba yang terbaik, Allah jua yang berkuasa meninggalkan ‘bekas’ daripadanya.
Saya suka dengan statement, “sebab itu kita perlu kepada Pencipta”. Lebih banyak manusia alert dengan kelemahan dirinya, lebih banyak ‘rasa perlu kepada Tuhan’ subur di dalam diri.
Terima kasih juga atas kemurahan hati berkongsi feedback. Salam ukhuwwah
Ustaz, kalau benarlah sikap perempuan lebih suka memendam berbanding lelaki yang secara jujur menyatakan rasa jemu, itukan lebih bahaya impaknya nanti..
Salam Ustaz. Ana berusia 25 tahun inshaAllah dan suami juga. Kami bernikah pada awal 24 tahun. Alhamdulillah pada perkahwinan yang setahun jagung baru ini, pelbagai suka duka yang kami lalui. Pertengkaran usah cakap la, warna warni rumahtangga. Pernah ana tanya pada suami satu soalan yang sudah ana tanya dengan diri sendiri ; “abang dalam pelbagai masalah dan pertengkaran kita, prnah tak abang fikir yang kita ni sebenarnya belum bersedia untuk menikah?” Dan seperti yang disangka jawapan suami adalah sama dengan jawapan ana. Jawapannya YA. Dan suami ana menambah, itu tidak bermakna kita harus ‘meninggalkan’ perkahwinan ini, kerana dunia ini medan mengumpul amalan, justeru peranan kita adalah meningkatkan pengetahuan dan kesabaran agar lebih bertanggungjawab dan memastikan perasaan kasih sayang itu terisi dengan sebaiknya. Alhamdulillah ana lega dengan respon itu malah ana juga berfikir bila dah sedar yang diri bayank kekurangan maka kewajipan untuk terus belajar sudah ada. Apa pun apabila teman-teman yang masih belum berumahtangga masih di bangku unversiti bertanya pandangan tentang kahwin awal ini, ana jadi kelu. Kerana apa yang ana perhatikan ‘bahasa’ ana sudah tidak selari dengan mereka. Seolah-olah ana tidak memahami mereka. Hakikatnya, pandangan ana terhadap kahwin di usia muda atau di bangku sekolah sering pula di tempelak kasar dengan sindiran ‘kalau nak senang bukan hidup namanya’. Keghairahan anak muda menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian sebenarnya adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Kerana orang muda selalu merasakan mereka sudah bersedia, dan hakikatnya hanya mereka sedari apabila pundak sudah tidak tertanggung dengan amanah yang ada. Apabila yang indah-indah tentang perkahwinan sahaja yang menghiasi minda, segala yang pahit itu tidak punya ruang dalam pertimbangan anak muda. Justeru segala nasihat yang bertentangan dengan kehendak mereka dilihat sebagau pandangan yang tidak memahami atau menentang mereka. Ana setuju cara berfikir perlu berubah sebelum menilai dan menerima pandangan seseorang. Semoa Allah akan terus memimpin kami suami isteri menuju redhaNYA di dunia dan akhirat.ameen
Assalamualaikum Ustaz,
IMO.. mungkin ini berlaku kerana lebih senang bersangka buruk dari bersangka baik. Lebih senang menghukum dari memahami. Lebih senang menyalahkan orang lain dari mempelajari kehodohan diri sendiri. Lebih senang mengawasi hidup orang lain dari mengatur hidup sendiri. Lebih senang untuk memberi pendapat di alam maya kerana tidak perlu menanggung pertanggungjawaban secara bersemuka. Lebih senang membuat kesimpulan secara kasar dari menganalisa secara halus.
Manusia memang suka buat perkara yang lebih senang. Bukan anak muda saja, orang tua pun. Apa lagi di zaman sekarang, saya lihat makin ramai anak muda yang nak masyarakat menganggap mereka sebagai orang tua berdasarkan kepada kematangan mereka. Cara bercakap pun macam matang.. tapi kematangan siapa yang mereka tiru, sy pun kurang pasti. Mungkin artis2 atau ahli politik yang sering mereka ikuti sebagai idola kot. Selalu bila sy terserempak dgn orang2 yang kunun matang tapi melontarkan fikiran yg tak matang ni sy hanya boleh berkata, “Ya Allah, sabar je la..”
“yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus dibuang, kerana ada ketika yang manis itu membawa mudarat dan yang pahit itu penawar” =)
suke analog epal busuk itu…
saya juga kadang kala rasa senasib dengan ustaz. ramai orang yang mudah untuk jump to conclusion. kita memberikan pandangan yang sedikit kontra dengan pandangan teramai pastinya akan terus dikatakan kita ini penentang, menongkah arus,suka mempertikai dan sebagainya yang negatif. memang betul,masalah adalah kepada cara kita berfikir. mudah untuk berfikir negatif dari mengambilnya secara positif.
Ya akhi kareem…jazakallah khairan kerana sudi singgah ke Limkokwing mendakwahi warga kerja di sini supaya lebih serius untuk bertuhan…
Ramai manusia kini tidak menyedari bahawa mereka kini sudah tidak bertuhan apabila tidak teringatkan ALLAH dalam sela-sela kehidupan…
Itulah cara terbaik untuk bertauhid kepada ALLAH di zaman serba-serbinya ada dengan mudah…
Nanti ana hubungi lagi untuk program internal lagi…
Salam ustaz Umar..hidup dan bekerja di Limkokwing adalah ujian besar ustaz… hanya surau kecil tu yang tempat kita berhubungan dengan Allah swt..lari sebentar dari gilanya so called creativity, innovasion dan global education.. dan menguji kita untuk faham yang boss kita bukan tuhan..kita cuma pikul amanah..apa pun syukur ada surau..
terima kasih juga ustaz umar kerana menjemput ustaz hasrizal..
pagi itu sungguh berbeza..kerana hidayah telah turun ke Limkokwing
Salam..pandangan yang cukup baik ustaz,syukran..dalam pergaulan, sahabt sperjuangan sering mngesyorkan saya untuk brkhwin krn melihat kempuan dari sudut zahir..Ya!, ramai yang mampu, namun saya memegang kata Khatib Al-baghdadi “”Dianjurkan bagi seorang penuntut ilmu untuk membujang sebisa mungkin, agar dalam mencari ilmu ia tidak disibukkan dengan hak-hak keluarga yang harus ia penuhi dan disibukkan dengan mencari penghidupan.”
aebagai perkongsian bersama.
Oooo..sang algojo..ooo..nanti dulu.
Tak faham dgn orang yg salah faham dgn artikel ustaz sblum ini. Perenggan pertama sudah terasa panas barangkali. Semoga kita semua berfikir masak2 sebelum bertindak.
saya juga sering beranalog tapi tak tahu bila temui penyelesaian yang terbaik
Salam.Saya jua turut dapat merasakan betapa besarnya kasih sayang yang ada dalam epal busuk itu dan betapa lelahnya untuk memberi faham akan kebaikan yang ada dalam epal busuk itu pada pelbagai persepsi insan yang mahu faham kenapa kita perlu makan epal yang busuk sedangkan sedang berbaring dibawah pohon epal yang lebat.Sabarlah ustaz ,nasihat anda tak mampu dibayar ,kami masih perlukan nasihat yang berpanjangan walaupun usia sudah menginjak tua.Jazakallah.
mohon cadangan uztad anak dara saya mohon nak pi dating
@mama, bagi aa kebenaran untuk anak sedara pegi dating….
cumanya jangan menyesal laa dikemudian hari.. n harap bersedia dengan apa macam bala dan ujian yang Allah akan turunkan..
hihihi… ni adalah respon yang paling bernas sekali..