
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Ketika berdepan dengan ujian dan masalah kehidupan, mungkin ada sesetengah kita mengimpikan sebuah dunia yang semuanya sama seperti kita. Biar sependapat, sepemikiran, satu selera dan kemahuan, malah mungkin satu bangsa, satu bahasa bahkan satu jantina.
Tetapi semua itu adalah impian yang mustahil. Bukan sahaja mustahil malah tidak perlu. Manusia tidak perlu kepada semuanya serupa dan satu. Malah manusia sebetulnya perlu kepada kepelbagaian dan perbezaan.
Justeru Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]
Yang menjadikan manusia itu ada lelaki dan ada perempuan adalah Allah.
Yang menjadikan manusia itu berbeza bangsa dan berbeza bahasa juga adalah Allah.
Jika segala perbezaan antara lelaki dan perempuan, serta kelainan antara bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini, kita anggap ia sebagai punca masalah, apakah kita mahu menisbahkan masalah kita kepada Allah? Jika hidup jadi sulit kerana suami gagal memahami isteri kerana dia seorang perempuan, seorang yang berbangsa Melayu hidupnya jadi sulit kerana gagal memahami jirannya kerana beliau berbangsa lain, apakah kesulitan itu salah Tuhan?
Naudhubillahi min dhaalik!
Harusnya kita semua tidak lupa, mengapa perbezaan itu diciptakan Allah.
Allah menciptakan manusia itu berbeza jantina, berbeza bangsa dan budaya, bukan untuk mereka berbalah dan tenggelam dalam khilaf dan masalah. Sebaliknya atas satu tujuan yang besar:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain).
Ya, segala perbezaan itu tujuannya adalah supaya manusia mengecam dan mengenal. Belajar antara satu sama lain. Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu.
PERBEZAAN DALAM DUNIA RUMAHTANGGA
Sulit sekali sebuah rumahtangga mahu dikendali dengan bahagia, jika suami tidak dapat mengecam perbezaan cara berfikir dan bekerja sang isteri yang merupakan seorang perempuan. Apa yang mahu dinikmatinya, hanyalah pada perbezaan fisiologi, perbezaan tubuh badan antara lelaki dan perempuan. Tetapi perbezaan akal, emosi, dan pertimbangan, suami sering sahaja mahu isterinya berfikir seperti dia, faham seperti fahamnya dia dan membuat keputusan seperti keputusan dia.
Itu mustahil.
Lelaki dan perempuan berbeza pertimbangan.
Wanita itu kekuatannya adalah pada emosi dan perasaan. Kerana itu biar pun tubuhnya tidak segagah seorang lelaki, Allah menjadikan wanita sebagai pihak yang hamil mengandungkan anak ditumpang 9 bulan di dalam perutnya. Itu memerlukan kekuatan perasaan lebih daripada sekadar kekuatan fizikal menanggung berat 10 atau 20 kilogram selama 9 bulan. Lelaki tidak layak untuk hamil kerana perasaan lelaki tidak sekuat perempuan.
Justeru jangan dimusuhi perasaan wanita. Kerana perasaan itulah ibumu lulus melahirkan kamu dan adik beradikmu.
Namun wanita juga harus belajar untuk faham. Ketika perasaan menjadi kelebihan dirinya, perasaan juga sering menimbulkan kesulitan kepada suami, yang diciptakan Allah pertimbangannya lebih kepada akal. Jangan sering membebankan suami dengan kehendak perasaan. Sebaliknya hargai suami yang biar pun kurang menunjukkan emosi, tetapi sering panjang akal fikirannya.
Allah melantik suami sebagai pemegang amanah menguruskan TALAQ kerana suami sebagai lelaki harus panjang akal. Hitungannya mendalam. Fikirnya tidak mengikut keadaan dan perasaan. TALAQ musnah jika dikendalikan dengan emosi. Justeru suami harus menyedari akan hal ini, demikian juga sang isteri.
Kedua-duanya mesti belajar menguasai ilmu untuk kenal perbezaan di antara lelaki dan wanita.
Di dalam al-Quran ilmu itu ada. Di dalam Sunnah ilmu itu luas. Di dalam ilmu-ilmu moden juga panduan sudah banyak dirumus dan dibukukan. Hanya tinggal kemahuan untuk belajar. Supaya jangan suami dan isteri terus bermusuhan dengan perbezaan yang dia tidak tahu, dan tidak bisa mengendalikannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
PERBEZAAN DALAM SEBUAH KOMUNITI
Demikian juga dengan perbezaan bangsa, bahasa dan budaya. Jika kita melihat kewujudan masyarakat majmuk ini sebagai punca masalah, maka ia akan terus memberi masalah kepada kita. Tetapi sebagai Muslim, kita sedar bahawa kemajmukan itu Allah yang mengadakannya. Dan Allah tidak mencipta apa sahaja hatta seekor lalat sekali pun, tanpa sebab dan sia-sia. Justeru kita harus kembali kepada tujuan tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab.
Apa sahaja ilmu yang bisa membantu kita untuk lebih kenal dengan siapa jiran, siapa rakan dan siapa manusia yang berada di sekitar kita, mesti diangkat sebagai ilmu yang fardhu untuk dipenuhi.
Lihat sahaja bagaimana kepelbagaian bangsa memberikan pelbagai manfaat apabila ia diambil secara positif di dalam catatan Sirah. Umat Islam mengambil idea bangsa Parsi daripada Salman al-Farisi untuk menjaga keselamatan Madinah yang bakal diserang Tentera Ahzab, dengan membina parit besar di Timur Laut kota itu. Idea yang tiada dalam pemikiran bangsa Arab ketika itu, tetapi biasa di kalangan bangsa Parsi.
Demikian juga selepas berlakunya Perang Badar, tawanan-tawanan perang ditawarkan pembebasan dengan syarat kemahiran mereka membaca digunakan untuk mengajar anak-anak umat Islam kemahiran yang penting itu. Selain anak-anak Muslim mendapat manfaatnya, pengalaman mengajar itu juga pasti memberikan kesan positif kepada diri tawanan perang tersebut.
Sidang Jumaat sekalian,
Perbezaan juga bukan hanya pada soal perbezaan jantina dan bangsa, malah berbeza agama itu juga berlaku dalam lingkungan hikmah dan aturan Allah.
Renungi firman-Nya:

Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama Yang satu. (tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. [Hud : 118]
Allah SWT mahu manusia mengambil peranan mengurus dan mentadbir perbezaan itu. Menggunakan akal fikiran, ilmu dan segala kemudahan yang ada untuk mewujudkan suasana yang harmoni, hidup dalam kepelbagaian dan aliran. Bukankah ini, cara kerja Nabi SAW? Tidakkah ini yang menjadi sebahagian langkah awal tatkala berlangsungnya HIJRAH ke kota Madinah itu?
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak bijak mengendalikan perbezaan-perbezaan kecil dan besar yang berlaku di antara agama.
KEPAHLAWANAN MENURUT ISLAM
Mungkin ada yang berkata, “mengapa kita sahaja yang harus berusaha secara positif? Tidakkah itu suatu perkara yang tidak adil? Kita kalah jika kita tidak bertindak balas?”
Perkataan-perkataan itu memang berbunyi pahlawan. Tetapi Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam memberikan maksud kepahlawanan.
Kembalilah kita kepada hadith Baginda s.a.w:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]
Pandangan ramai mungkin melihat juara bertumbuk dan bergaduh sebagai orang yang gagah.
Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.
Justeru Islam berani menawarkan bentuk penyelesaian yang luar biasa.
Jika kebanyakan manusia melihat kekerasan mesti ditumpaskan dengan kekerasan, Islam berformula sebaliknya. Kekerasan dan onar perlakuan manusia yang melampaui batas, memang boleh dikawal dengan kekerasan, tetapi ia hanya benar-benar tumpas apabila kita mendatangkan tindak balas yang lebih baik dan bijaksana.
Lupakah kita kepada janji-Nya:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat : 34]
Jahat dibalas jahat, keras dibalas keras, sering menjadi seumpama batu dihentak dengan batu. Bukan sahaja salah satu atau keduanya pecah, bahkan turut menyalakan api yang membakar. Tetapi batu kalah dengan air. Batu tenggelam ke dalam air. Batu juga akhirnya menjadi licin dan terbentuk oleh air yang lembut.
Hebatnya kuasa air.
Kerna itu Allah tidak memerintahkan kita agar perbuatan jahat yang dikenakan oleh orang jahat kepada kita, jangan dibalas dengan kejahatan. Sebaliknya Muslim harus bertindak dengan sesuatu yang lebih baik.
Bagaimana di suatu ketika seorang lelaki kafir bernama Dzu Thur datang kepada Rasulullah SAW yang sedang berbaring di bawah sepohon pokok. Dzu Tsur mengambil pedang baginda dan menghunuskannya ke leher Nabi sambil bertanya dengan ancaman, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?” Nabi menjawab, dengan lembut tetapi tegas, “ALLAH!”
Kata-kata yang penuh isi dan makna itu menyebabkan Dzu Thur gementar hingga terlepas pedang itu. Baginda SAW mengambil pedang tersebut dan menghunuskannya kepada Dzu Thur lalu memulangkan soalan yang sama, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?”
Dzu Thur terdiam.
Nabi bisa membalas dendam.
Tetapi Baginda memaafkannya. Dzu Thur pulang dengan hati yang berkecamuk terhadap kejadian luar biasa itu. Kemampuan Nabi SAW mengawal diri, tegas dalam kelembutan, dan mampu memberi maaf ketika mampu membalas dendam, telah menumpaskan sombong seorang kafir bernama Dzu Thur. Beliau akhirnya melafazkan Syahadah memeluk Islam.
Itulah kehebatan membalas kejahatan dengan kebaikan dan kebijakan.
Benar sekali janji Allah SWT di dalam ayat yang saya bacakan tadi:

Apabila Engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat : 34]
Jahat dibalas jahat, keras dibalas keras, sering menjadi seumpama batu dihentak dengan batu. Bukan sahaja salah satu atau keduanya pecah, bahkan turut menyalakan api yang membakar. Tetapi batu kalah dengan air. Batu tenggelam ke dalam air. Batu juga akhirnya menjadi licin dan terbentuk oleh air yang lembut.
Hebatnya kuasa air.
Kerna itu Allah tidak memerintahkan kita agar perbuatan jahat yang dikenakan oleh orang jahat kepada kita, jangan dibalas dengan kejahatan. Sebaliknya Muslim harus bertindak dengan sesuatu yang lebih baik.
Bagaimana di suatu ketika seorang lelaki kafir bernama Dzu Thur datang kepada Rasulullah SAW yang sedang berbaring di bawah sepohon pokok. Dzu Tsur mengambil pedang baginda dan menghunuskannya ke leher Nabi sambil bertanya dengan ancaman, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?” Nabi menjawab, dengan lembut tetapi tegas, “ALLAH!”
Kata-kata yang penuh isi dan makna itu menyebabkan Dzu Thur gementar hingga terlepas pedang itu. Baginda SAW mengambil pedang tersebut dan menghunuskannya kepada Dzu Thur lalu memulangkan soalan yang sama, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?”
Dzu Thur terdiam.
Nabi bisa membalas dendam.
Tetapi Baginda memaafkannya. Dzu Thur pulang dengan hati yang berkecamuk terhadap kejadian luar biasa itu. Kemampuan Nabi SAW mengawal diri, tegas dalam kelembutan, dan mampu memberi maaf ketika mampu membalas dendam, telah menumpaskan sombong seorang kafir bernama Dzu Thur. Beliau akhirnya melafazkan Syahadah memeluk Islam.
Itulah kehebatan membalas kejahatan dengan kebaikan dan kebijakan.
Benar sekali janji Allah SWT di dalam ayat yang saya bacakan tadi:
Dan sifat Yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang Yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang Yang mempunyai bahagian Yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat : 35]

KHUTBAH KEDUA
Sidang Jumaat yang berbahagia:
Kegelisahan akibat insiden-insiden gangguan ke atas masjid dan rumah peribadatan agama lain kebelakangan ini amat signifikan. Sabar yang diseru sebagai peringatan daripada Allah, bukanlah sabar yang kosong dari tindakan, membiarkan segala yang berlaku dengan naif tanpa apa-apa usaha. Sebaliknya sabar itu adalah kekuatan untuk kita mengawal diri, dan bertindak secara yang terbaik.
Ambillah peluang ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, sumber sabar kita semua:

Dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. [al-Nahl : 127]
Dengan sifat sabar itu, kita Insya Allah akan mampu mengekalkan kewarasan dan pertimbangan, dan itulah intipati TAQWA.
Dalam segala perbezaan yang berlaku di dalam aman dan kepayahan, Allah menegaskan di dalam ayat yang dibaca tadi:

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor





Khutbah yang penuh iktibar dan pengajaran. Sukar nak berkhutbah berbanding membaca khutbah
salam ustaz. Saya rasa ada typo di atas. Ulangan cerita dzu thur sebanyak dua kali. Maafkan saya kalau tersilap.
@johan,
Ya…saya pun terbaca kisah itu sebanyak dua kali.
khutbah yg mantap.. isinya mudah faham..
semoga sidang jemaah nya juga mengambil iktibar dan mampu memberi kesan dalam hatinya.. insya Allah..
Jumaatan tadi ana di Masjid Sultan Zainal Abidin @ Masjid Besi di Putrajaya…tajuknya sinergi Ulama dan Umara’, terharu dan pilu mendengar buah-buah teguran ikhlas khatib yang ditujukan kepada dua golongan ini..
Entah mana la silapnya kedua-dua golongan ini meninggalkan fungsi mereka dan menjadi pencandu dunia dan segala isinya….and on the same time anti kematian yang pasti (maksud hadis)
Bayangkanlah apa yang terjadi pada masyarakat, jika kedua gol ini..ulama dan umara berterusan begitu dan tidak bertanggungjawab dengan tanggungwajab mereka…lihatlah prestasi umat Islam sampai ke hari ini..
Syabas untuk khatib yang di datangkan dari masjid negara dan juga enta ya akhi kareem yang berkhutbah dengan khutbah ini..
terima kasih ustaz.menyedarkan saya tentang perlunya berbuat baik. terhadap kejahatan.saya harap saya dan kita semua tergolong dalam orang yang bersabar
betul juga ya ustaz..manusia selalu memusuhi apa yang dia tidak tahu..saya juga selalu berprasangka..
bila kita tahu setiap kejadian tu ada hikmahnya..semua terasa hebat..terasa begitu hebat lagi Allah swt.. menjadikan sesuatu itu dalam pelbagai bentuk kejadian.. sungguh hebat
banyak sungguh yang kita tidak tahu..
Assalamu’alaikum,ustaz..
Jazaka Allahu Khoiron atas khutbah yg disiarkan dan artikel2 lain.. membuka minda dan menambah ilmu utk diri hamba yg lemah lagi jahil ni..
terima kasih,ustaz..
syukran ustaz, khutbah ustaz memang bertenaga dan bersinergi.. jarang jumpa khutbah yang ada sinergi, itu yg ana tidur pada khutbah jumaat tadi
khutbah yg tepat di saat masalah bertimbun timbun di Malaysia..
“Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu.”
Tak kenal maka tak cinta hehe
Tapi ramai sekali manusia yang membuat penilaian hanya berdasarkan ‘first impression’. Hmmm…
sungguh hebat artikel ini.!
salam ustaz hasrizal, syukran jaziila atas idea ustaz yang bukak minda saya lebih luas…
saya baru tersedar: KEWAJIPAN kita untuk belajar semua jenis ilmu yang membantu kita untuk saling mengenali dan maksud sebenar kekuatan SABAR dalam uruskan keadaan.
sebenarnya, saya juga terkeliru dengan berapa perkara:
1. Antara LEMBUT dan KERAS. Memang kita disuruh berlembut, tapi mesti ada hadnya, kan? Sebab Nabi Muhammad sendiri memang seorang yang sangat berlembut, tapi ada beberapa individu masa fathul makkah, Nabi suruh cari dan BUNUH.
Jadi, setakat mana HAD untuk kita berlembut n berkasih sayang dan apakah CIRI-CIRI suasana/hal yang membolehkan kita berkeras?
2. Kita mengakui yang pebezaan tu itu banyak manfaat dan ada faedah yang tersendiri. Bak kata ustaz, semua kaum dan jemaah ada kelebihan dan kekuatan tersendiri. En Pahrol Juoi pun kata, kita uruskan banyak ‘persatuan’ untuk membentuk KESATUAN. Konsep “The same difference.”
Namun, ada pihak beranggapan, perbezaan jemaah MELAMBATKAN kemenangan Islam.
Kalau ikut pandangan ustaz dan pandangan us Pahrol Juoi dalam buku Dilema Melayu Islam tu, 2 pendapat tu macam ada percanggahan.
minta tolong ustaz jelaskan…
terima kasih..
Salam .Saya teramat ingin belajar sabar.Hari kehari saya mencari resipi sabar.Dalam diam sabar saya sudah berusia 14 tahun dari tempoh pernikahan.Dalam menahan sabar saya telah dikurniakan lima cahaya mata.Saya lihat dan terus lihat diri saya dalam dunia saya sendiri,akhirnya kini dapat saya nikmati hidup didalam INDAHNYA SABAR.Sabar adalah doa saya yang tak putus dengan PENCIPTA YA LATIF dan saya terus meminta daripada NYA tanpa rasa jemu .AMIN
Salam Ustaz.
Mungkin ada had2 kesabaran dalam islam yang dapat di pelajari.
Terima kasih .
Wasaalam.