Didikan Allah Untuk Bakal Manusia Hebat

February 6th, 2010 by Abu Saif 10:26 am | 8,075 views | Print Print | Email Email | Leave a reply »

Macam mana ya ustaz? Bagaimana nak buang perasaan ini?” tanya salah seorang peserta Kem HIJRI.

“Hmm… kamu sendiri rasa bagaimana?” saya memulangkan soalan itu kepadanya.

“Entahlah, saya tak boleh buang rasa tidak puas hati saya dengan emak dan ayah. Makin menjadi-jadi perasaan itu” katanya lagi.

“Apa yang paling kamu tidak suka tentang emak dan ayah kamu?” saya menyoalnya lagi.

“Saya tengok, kawan-kawan saya boleh ketawa dan bergurau dengan emak dan ayah mereka. Tetapi orang tua saya tidak pernah buat begitu. Mereka jarang mahu berbual dengan kami,” pelajar Tingkatan 3 itu menyambung kisah.

Rasa tidak berpuas hati dengan ibu bapa sering berlaku kepada anak remaja. Ia selalu terjadi apabila anak masuk ke usia sekolah menengah. Lazimnya perasaan itu timbul kerana pada usia begini, anak-anak mula bertandang ke rumah rakan, kadang-kadang tidur di rumah mereka, dan menjadi semakin memerhati serta memahami apa yang dilihat. Melihat cara ibu dan bapa rakan-rakan melayan keluarga mereka, menyebabkan si anak ‘tersedar’ tentang benda-benda yang tiada di rumahnya selama ini.

Kesan perbandingan.

DI PIHAK IBU BAPA

Jika perbandingan menjadi punca anak-anak tidak berpuas hati dengan ibu bapa, apakah yang patut dibuat? Adakah dengan menghentikan saingan itu, menghalang anak ke rumah rakan dan menegah mereka daripada membanding-bandingkan?

Untuk ibu dan bapa, mereka harus bertindak lebih baik daripada itu. Menyekat dan menghalang, hanya menunjukkan kelemahan kita yang mahu menggunakan kuasa, tanpa mahu meningkatkan pengaruh ke atas anak-anak. Tatkala anak membanding-banding kita dengan ibu bapa kawan mereka, itu adalah petanda kemerosotan pengaruh kita ke atas mereka. Justeru pengaruh itu mesti dipulihkan, dengan memperbaiki kualiti diri.

Muhasabah kembali, siapakah yang memperkenalkan ‘perangai membanding-bandingkan’ itu? Jika kita pernah membandingkan si anak dengan anak orang lain, merendah-rendahkannya di hadapan sepupu yang ‘lebih berjaya’, maka kita hakikatnya sedang menuai hasil tanaman sendiri. What you give, you get back!

Maka haruslah kita sebagai ibu dan bapa, bertindak mengubah keadaan itu. Berhenti membandingkan anak hingga hilang harga diri mereka, putus asa daripada berusaha memuaskan hati kita yang lebih risaukan satu B berbanding empat A dalam lima mata pelajaran yang diambilnya. Kesan banding membandingkan itu, amat perit kepada jiwa anak-anak, sebagaimana yang sedang mula berlaku ke atas diri kita sebagai ibu bapa ketika mereka memanjat usia remaja. Membandingkan kita dengan ibu bapa kawan-kawan mereka.

Berusaha jugalah untuk menyayangi anak dengan kasih sayang yang mereka fahami. Ya, kasih sayang yang difahami sebagai kasih sayang.

Sukar jalannya untuk meyakinkan anak-anak bahawa ibu bapa mereka juga menyayangi mereka, walaupun mungkin dalam bentuk yang berbeza.

Leteran itu sebenarnya sayang, sikap dingin itu sebenarnya sayang, melebihkan orang lain itu hakikatnya sayang, marah dan rotan itu juga sebenarnya sayang… aduh, luar biasa sekali bentuk kasih sayang ibu bapa seperti ini. Hingga akhirnya mungkin si anak akan berkata, “lebih baik mereka tidak menyayangiku, jika kasih sayang mereka semuanya menambah sakit dan derita!”

Mungkin kita memang bertindak begitu kerana menyayangi anak-anak.

Namun cubalah sekali sekala, menyayangi mereka dengan cara yang langsung terus dilihat sebagai kasih sayang.

Berikan telinga kepada si anak untuk mendengar keluhan mereka.

Bapa capailah bahu anak dari belakang, goncangkan tubuh mereka dalam pelukan mesra, tanda menyokong mereka untuk berjaya.

Ibu sikatlah rambut anak tanpa diminta, dan sesekali suapkan nasi ke mulut anak, biar pun dia sudah di Tingkatan 3.

Satu kasih sayang yang begitu, boleh memadamkan ratusan kepahitan yang pernah hinggap ke kehidupan semalam.

DI PIHAK ANAK-ANAK

Ada pun untuk si anak, mereka harus diajak kepada membuat satu anjakan paradigma.

“Ibu bapa penting, mereka mesti kita hormati. Jaga perasaan mereka dan jangan tinggikan suara. Tetapi ada sesuatu yang lebih penting daripada mereka,” saya mengajak remaja itu bertenang.

“Apa dia?” tanya beliau.

“Diri kamu sendiri!” saya merenung matanya. Mahu menambah kesungguhan maksud.

“Maksud ustaz?” beliau kurang faham.

“Dalam hidup ini, ada banyak benda yang kita tidak boleh pilih. Kamu tidak memilih untuk beribu bapakan mereka. Kamu juga tidak memilih untuk dilahirkan sebagai Melayu. Juga tidak memilih untuk lahir di Malaysia. Tidak dengan kulit seperti ini, atau hidung seperti itu, dan telinga sebegini. Betul?” saya menyoal.

Beliau mengangguk.

“Bukan itu sahaja. Nanti bila kamu semakin dewasa, makin banyak benda yang kamu tidak pilih tetapi terpaksa menghadapinya. Cuaca, kesesakan jalan raya, rakan kerja, dan banyak lagi. Jika kamu letakkan bahagia diri kamu pada semua perkara yang kamu tidak boleh pilih itu, maka tiadalah bahagia selama-lamanya. Kamu hilang kebahagian akibat kesesakan jalan raya, akibat cuaca, akibat fesyen, akibat sekolah, akibat tekanan rakan-rakan sebaya termasuk juga akibat ibu bapa. Susah tu!” tambah saya.

“Saya nampak apa yang ustaz maksudkan” kata beliau.

“Jadi apa yang kamu mahu lakukan?” saya memberi ruang untuk beliau berfikir sendiri.

TINDAKAN MANUSIA HEBAT

“Jangan pilih jalan yang susah untuk bahagia. Pilih jalan yang lebih senang” katanya.

Saya terpegun.

“Huh, macam mana tu?” saya kepingin untuk tahu.

“Kalau nak bahagia cara susah, saya kena ubah semua benda yang menyebabkan saya tidak bahagia. Dan itu mustahil. Tetapi jalan yang paling mudah untuk bahagia, ialah saya ubah apa yang saya paling boleh ubah!” katanya.

“Iaitu…” saya memintas kerana teruja.

“Diri saya sendiri!” katanya.

Saya hampir berdiri kerana terlalu seronok mendengar kesimpulan anak muda itu. Bangga dengan keupayaannya menangkap teladan.

“Cuma satu sahaja ustaz,” ujar beliau.

“Apa dia?” saya mahu tahu.

“Apa hikmahnya Allah bagi saya terlihat dan terpandang kelemahan ayah serta ibu?” tanya beliau. Jujur.

“Hmm. Bagi seorang anak yang ‘bahagia’, apa hendak semua dapat, semuanya elok-elok belaka, kamu rasa dia sedar tak dengan satu kelemahan yang boleh berlaku pada dirinya?” saya menjawab dengan soalan.

“Tidak. Apa dia ustaz?” beliau sedikit kebingungan.

“Dia tidak biasa dengan kekurangan. Dan tidak biasa menguruskan kelemahan. Jika dia tidak sedar dengan hal itu, bersediakah dia untuk menghadapi kekurangan suaminya bila dia berkahwin nanti? Bersediakah dia untuk menghadapi kekurangan anak-anaknya apabila dia menjadi ibu nanti? Kamu rasa bagaimana?” saya menyoalnya lagi.

“Mungkin bersedia. Mungkin tak bersedia. Entah!” kata remaja itu.

“Tapi kamu, kerana sudah belajar menerima dan menguruskan kekurangan ibu bapa, kamu bersedia tak andaikata suami kamu nanti ada kekurangan, anak-anak ada kekurangan?” saya menyambung tanya.

“Bersedia!” kata beliau dengan yakin.

“Rupa-rupanya, kekurangan ibu dan bapa kamu itu, adalah didikan Allah untuk menjadikan kamu manusia hebat satu hari nanti. Insya Allah. Kamu yakin?” saya membuat kesimpulan.

You just have to believe!” jawab beliau, memetik filem tema KEM HIJRI kali ini, Kungfu Panda.

“Tahniah!” saya menyudahkan perbualan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace

Related posts:

  1. Jadilah Manusia Hebat “Macam mana ye ustaz? Susah apabila kita minat satu bidang...
  2. Rakaman AL-BAYAN Untuk RTM1: Isu Kalimah ‘ALLAH’ Tiba-tiba pula saya terheret ke televisyen beberapa kali secara mendadak....
  3. Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah? Sesi bersama remaja, banyak suka dan duka “Saya takut nak...
  4. Manusia Separuh Manusiawi Pemergian ke PUISI 2007 di Waterford Ireland baru-baru ini memberikan...
  5. Televisyen Manusia Mukallaf “Kami memilih untuk rumah kami tidak mempunyai televisyen,” beritahu seorang...

Advertisement

42 comments

  1. ikmal says:

    Salam ustaz,

    Artikel yang mengesankan. Dan akhirnya saya percaya kekuatan diri penting untuk berjaya dan menjadi hebat.

    Adakala kita perlu akui kekuatan diri melalui fokus pada perkara yang diminati. Bukan sekadar mahu menjadi serba boleh dalam semua aspek tetapi melalui pemantapan kemahiran dan kesukaan individu itulah yang menukar kekurangan itu kepada satu kelebihan sebenarnya. :)

    Terima kasih ustaz atas pencerahan minda di hari pemulaan pekerjaan ini :)

  2. saffmukmin says:

    saya kalau ustaz bercakap dan menyentah tentang isu kekeluargaan,berkaca terus mata saya,hehee..

    apa pun,semoga adik tadi terus menerus dapat menjadi orang hebat dengan tidak menjadikan apa yg berlaku sebagai masalah 100 peratus.

    indahnya bila mak menyuapkan nasi walaupun sekarang berumur 25..rindu la pula,huhu..

    syukran jazilan ustaz.mahu jadi orang hebat juga!!~

  3. wardahbiru says:

    Assalammualaikum ustaz,

    Terima kasih atas artikel yang berkesan dihati. Baru saya sedar akan hikmah disebalik kelemahan dan kekurangan setiap insan. Allah mahu kita bersedia menghadapi kelemahan dan kekurangan seperti ini dihari kemudian kelak. Maha Suci Allah..

    Alhamdulillah…

  4. kokmi says:

    Kagum saya dengan cara fikir & pandang anak muda berusia 13 tahun ini. saya pernah jumpa rakan (ketika kolej) yang mempunyai masalah dengan ibubapa seperti ini, sangat simpati. Sedangkan saya tidak mampu memberikan solusi sebaliknya asyik bercerita keseronokan keluarga saya.Benar ada pahitnya juga dalam hubungan sesebuah keluarga, bezanya, saya sudah boleh telan kepahitan tu.Simpati saya kepada rakan tersebut kerana hingga diakhir pengajian, beliau masih rasa sulit mengimpikan ibubapa yang mengambil berat tentang diri anak-anak..seperti ibubapa yang lain. Jika seawal usia sudah terlihat sikap endah tak endah ibu bapa, pada saya si anak sesuai mengambil inisiatif seperti yang diceritakan ustaz, tapi bile sudah menginjak remaja di IPT, saya kira sifat ego sang anak & pengaruh rakan-rakan, mungkin akan langsung membunuh komunikasi & ikatan sesebuah keluarga. Pernah seorang pelajar lelaki (saya bertugas di IPTS) datang mengadu sambil menangis(aduh..saya jenis air mata juga) bercerita merasakan dirinya diabaikan keluarga(saya tidak berjaya membantu, kerana saya terlebih emosi), saya perasan peringkat remaja di IPT/IPTS, kebanyakannya kalau yang bermasalah tu, biasa-biasa(maaf tidak pukul rata,berdasarkan pengamatan), mempunyai masalah hubungan dengan keluarga lebih-lebih lagi merasakan tidak mendapat kasih sayang secukupnya dari ibu bapa.
    Saya kira, ustaz mungkin ada pandangannya. Maaf kerana panjang lebar pula komentar saya disini.
    ~Wallaahu’alam…

  5. zorrozero says:

    Assalammualaikum…
    wt adik td, memang kekurangan ada di mana2..
    terpulang pd kita utk menerima & mengajarnya…
    seperti kata satu ayat,”Love it, or Leave it”.
    sya syorkn pd adik ambil iktibar & tauladan dari sebuah filem “Laskar Pelangi”.agk hebat ank2 itu wlupn dlm serba serbi kekurangan hidup apatah lg di bandingkn dengan rakan sebaya mereka yg jauh lg bernasib baik…

  6. ashikin says:

    sebak ana membacanya..suatu masa dulu ana pun pernah terkesan dengan mempersoalkan hal begini, lalu ana ingatkan diri ana dengan kisah pemuda yang beribubapakan khinzir padazaman rasulullah, tetapi masih menjaga mereka dengan baik. Ana harap sangat dapat kekuatan macam pemuda tu. Jazakallah, ustaz.

  7. fatin says:

    salam alaik,
    percaya untuk berjaya, memerlukan persediaan yang mantap.. berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang…

  8. Kaisara says:

    jzkk ustaz..

    menitis airmata saya membaca penulisan ustaz. kerana saya juga merasa hubungan saya dan ibu agak dingin. suatu masa dahulu, kami sering bertekak. sehingga hidayah Allah datang, saya lebih suka membisu apabila dibebel.

    ada beberapa sikap ibu yang saya tidak suka, kerana ia bukan sifat seorang muslim yang baik. tetapi saya lebih suka diamkan sebab dia pantang dibetah. baginya apa yang dia cakap semuanya betul, tak ada salahnya. jika saya memberi pendapat, dia menganggap bahawa saya cuba melawannya pendek kata derhaka.

    sebab itu hubungan saya dan ibu tidak rapat. saya lebih suka berdiam diri. saya tidak pernah menceritakan masalah peribadi, bagi dia saya adalah punca sebarang masalah. kadang2 saya rimas, tetapi mengingatkan perintah Allah, saya cuba telan yang pahit. biarlah saya yang menanggung sedih berhadapan dengan kata2nya yang tak saya senangi, daripada terpaksa memikul dosa melawan kata2nya.

    kerana ibu yang membesarkan saya, kerana ibu yang mendidik saya, maka bersyukurlah sentiasa. ada ramai lagi insan diluar sana yang tidak beribu, dan tidak berayah.

    • @Kaisara, Salam hanya sekadar nasihat, perbanyakkan la menyedekahkan al fatihah kepada ibu bapa kita sambil berdoa supaya ALLAH SWT mengurniakan mereka taufiq dan hidayah. InsyALLAH sikap kurang baik itu akan hilang.

  9. dr_taqwa says:

    salam us, saya rasa saya dapat satu kesimpulan daripada cerita ini..

    harap betulkan kalau tersilap,
    “untuk menjadi manusia hebat, kita mesti berusaha untuk menerima apa sahaja kekurangan di sekeliling kita, di samping tidak mengaplikasikan kekurangan itu kepada orang lain.”

  10. Assalamualaikum ustaz,
    terkadang hati seorang anak tak mengerti kasih sayang yang dicurah ibu bapa.

    Namun,semakin usia ini bertambah barulah mula memahami ‘cinta tanpa syarat’ mereka.

  11. husna_badrul says:

    salam..teringat saya semasa remaja dulu juga punya perasaan seperti adik tu.selalu memberontak bila tak dapat layanan yang baik daripada mak ayah.dan mak nampak melebihkan adik2 berbanding saya sedangkan saya anak sulung.emosi ketika itu sgt bercelaru dan saya akui ia sesuatu yang normal bagi peringkat remaja seperti saya ketika itu.

    membandingkan mak ayah saya dengan mak ayah kawan2 adalah perkara yang biasa.bergaduh dengan mak juga perkara biasa ketika tu.saya agak sedih kerana mak ayah tak pernah cuba memahami perasaan jiwa remaja saya ketika itu yang pastinya mahukan lebih perhatian daripada mereka.pengakhirannya saya menilai sendiri sikap saya terhadap mereka dan Alhamdulillah segalanya kembali seperti normal.

  12. leatherback says:

    sebak saya baca artikel,kita tak boleh mengubah orang lain,yang boleh kita ubah adalah diri sendiri,memang betul..terima kasih ustaz

  13. Salam ust sy suka mengingatkan diri saya dengan satu perkataan, “Pandang Baik Terhadap Setiap Kejadian Allah SWT”. Allah SWT berfirman;

    “Diwajibkan atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagi kamu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”‘ (Al Baqarah : 216.)

    Sesungguhnya setiap yg berlaku pada kita tu ade terdapat hikmahnye. Ianya bergantung kepada kita sama ada kita menilainya atau membuangnya ibarat sampah. Janganlah kita membutakan mata kita, hati kita dan pekakkan telinga kita. Sesungguhnya setiap kebaikan itu sebenarnya ade di depan mata kita. Frau sy juga pernah cakap bahawa “Ujian Allah adalah tanda kasih sayangNya. UjianNya mendewasakan kita, insya Allah”. Teruskan perjuangan ust dalam mendidik remaja2 kita. JazakALLAH ust.

  14. salam wrt.

    jazakillah ustaz utk posting nie. sgt membantu memberi motivasi buat ana. ;)

  15. luqluq says:

    Salam.Wahai anak ketahuilah sayang ,dengan kelahiranmu didunia ini adalah pelajaran baru bagi ibubapa.Sekiranya kami salah ,kepada ALLAH lah kami mohon petunjuk untuk menjadi pendidik buat mu.Beruntungnya mereka sudah dapat mengenal salah dan silap ibubapa sebelum ia memikul tugas ini.Semuga ilmu keibubapaan dapat dilakukan dengan lebih sempurna dari apa yang diterima, kelak.Percayalah wahai anak,segarang mana pun ibubapa kita,kita telah dibelai dengan penuh kasih dan sayang saat kita dilahirkan.Pengalaman tadi tidak kurang yang sudah melalui.Bila usia semakin matang kita lebih faham mengapa situasi bergini ada dalam keluarga kita.

  16. ummiZahraa says:

    Salam ustaz, alhamdulillah dan terima kasih atas topik dan cerita ini. Moga Allah buka pintu hati kepada ibu bapa dan anak-anak menerima kekurangan yang di dalamnya tersirat seribu hikmah…daripada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.

  17. husnaizzati says:

    cerita remaja di atas lebih kurang sama dengan diri saya suatu ketika dahulu..saya merasakan yang saya tidak rapat dengan keluarga..akhirnya saya terpaksa berjumpa kaunselor tetapi langsung tidak ada perubahan..jadi,saya ambil langkah terima sahaja kekurangan ibu bapa..dari situ,saya boleh mengambil pengajaran untuk tak mengulanginya pada anak-anak saya nanti..saya menganggapnya tarbiyah dari Allah untuk saya..
    memang terbit rasa cemburu..tetapi dalam usia 21 tahun ini,ibu saya cuba untuk rapat dengan saya..saya gembira..tetapi ustaz,payah untuk saya rapat dengan ibu bapa yang dari kecil menggunakan marah,rotan sebagai perantara…saya payah nak tunjukkan yang saya sayangkan mereka secara terus terang…saya malu nak ucap”saya sayang ma ayah”dalam telefon tetapi lebih berani menggunakan sms sahaja…
    insyaAllah..masih memperbaiki kelemahan…terima kasih ustaz atas tajuk yang menarik ini…

  18. ayuni says:

    salam ustaz..terkesan saya membaca kisah kali ini walaupun saya tidak pernah mempunyai masalah seperti ini.insyaAllah..Tetapi,penulisan kali ini mengingatkan saya kepada abang2 saya yang sering memberontak ketika mak berleter.kadang-kadang rasa kesian juga dengan abang kerana mak sering membanding-bandingkannya dengan saya.kata mak,”kalau abang baik macam adik,mak tak berleter mcm ni.” sehingga satu tahap abang saya malas nak balik rumah sebab selalu kena leter. saya tak salahkan mak saya dan saya tahu, abang saya yang patut ubah diri dia sendiri..seperti yang ustaz cakap ;)

  19. syam says:

    salam ustaz…ape yang dapat saya paham….kita tak mampu untuk mengubah orang lain….tapi..kita mampu mengubah diri sendiri..dan dengan izin Allah..orang lain akan terkesan dengan perubahan kita….artikel yang indah……terima kasih ustaz…

  20. underwego says:

    Assalamualaikum ustaz,ana nk tnye,mcmne nk tgkatkn dri utk b’sbr dlm stiap lteran parents sdg kte ckup tahu bhwe dlm usia rmje sbgini msh panas,cpt marah,ksbrn dlm dri ni kurg,,mcmne ye?

  21. Kak Ija says:

    Salam semua,

    Sekadar perkongsian, akak juga tidak begitu rapat dengan mak, tetapi amat rajin berkongsi cerita dengan ayah.

    Ayah benar-benar berharap akak melanjutkan pelajaran ke luar negara, disebabkan akak kurang “emotional attachment’ dengan mak, proses untuk pergi ke sana amat mudah.

    Tetapi akak tetap menyayangi emak, cuma kurang berkomunikasi.

    Semoga adik tersebut mempunyai semangat yg kental kerana telah dididik sedemikian rupa untuk menghadapi masa depan.

  22. UmmuAqilah says:

    Assalamualaikum,terima kasih ustaz atas artikel yang meninggalkan kesan di hati.Setelah membaca artikel ini,saya lebih optimis menghadapi cabaran hidup ini.

  23. rizal says:

    article yg sgt brkesan dihati…spanjang 26 tahun hidup, ni antara article yg sgt relevan dgn pengalaman, kehidupan saya….skarang sy lebih faham..thanks ustaz

    • dania says:

      kisah ini hampir sama dengan kes adik saya. Adik saya telah berumur 24 tahun dan sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam. Adik telah berkenalan dengan seorang gadis A di tempat beliau belajar dan tertarik hati dengan gadis itu. Adik sering menziarahi keluarga gadis tersebut dan semakin hari semakin rapat dengan keluarga gadis A. Pernah satu masa adik bercerita kepada saya betapa seronoknya keluarga gadis A tersebut berbanding keluarga kami yang biasa-biasa sahaja. Sedih saya mendengarnya kerana bagi saya, keluarga saya adalah yang terbaik dan ibu bapa saya tiada tolok bandingnya. Sehingga sekarang adik masih berasakan begitu dan bila saya menegur, jawapannya ‘kau kan anak kesayangan, tak macam aku.’ Adakah kerana adik sedang mabuk bercinta, maka keluarga kami jatuh nombor 2?

      Pada saya, belajarlah menerima apa yang kita punya daripada berusaha untuk mendapatkan apa yang kita suka. Wallahua’lam.

  24. Salam wbt..
    Utz ..artikel ustaz byk membantu pada ketika ini. Baru keluar dari comfort zone dan mengalami acute adjustment disorder with depression. Tempat dan environment mmg baru tak boleh diubah. Jika terus begini akan membawa mudarat pada diri sendiri. Mungkin ada hikmah tersembunyi untuk saya menguruskan kelemahan yang sebelum ini saya sendiri kurang perasan dan ambil peduli. So tengah kumpul kekuatan , dengan sokongan famili & rakan-rakan , saya akan lebih optimis dan move on ! . Insyaallah.

  25. ntah says:

    Salam.
    Saya setuju untuk besikap optimis dan berfikiran positif dalam kehidupan kita. Tapi, dalam situasi di atas, saya terasa jawapan Ustaz kepada ibu bapa kurang berkesan..

    Untuk si anak juga, walaupun menyuruh untuk berlapang dada itu adalah jalan keluar yang terbaik, hakikatnya susah untuk dilaksanakan..

    Saya yakin, kawan2 yang setuju@yg sgt seronok dgn artikel di atas hakikatnya belum pernah mengalami situasi sebenar.

    Semoga kekuatan diberikan oleh Allah Ta’ala untuk mengharungi hidup yang mencabar…

  26. Terima kasih yang tak terhingga ustaz kerana memberi jawapan kepada persoalan yang membelenggu hidup saya selama ini,,

  27. syifa says:

    belajar untuk berkata cukup dengan apa yang ada…semua tu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan ALLAH…melainkan Rahmat ALLAH jua penentu segalanya…jadikan kekurangan untuk kita membina kekuatan…

  28. bintanghati says:

    Assalamualaikum ustaz…

    terima kasih atas artikel yg sgt membantu! akhirnya memberi ketenangan, keyakinan dan kekuatan utk saya meneruskan kehidupan….

    syukran!

  29. aminaisha says:

    assalamualaikum….
    ust minta izin saya nk link artikel ini

  30. saya_yakin says:

    Adoi.. Saya ni termasuk dalam golongan anak-anak yang “bahagia” mendapat apa yang saya nak.. Huhu..

    saya masih lagi memikirkan masa depan.. bagaimana realitinya hidup untuk memberi dikala keluarga sudah beranak pinak..

    bersedia untuk menerima.. membuka seluasnya hati untuk memberi.. Semuanya memerlukan hati yang bersih..

    kalau hati tak bersih.. saya tak yakin saya boleh buat semua benda-benda tuh.. malah benda yang senang pun akan dirasakan amat payah sekali..

    semoga Allah memudahkan buat kita semua.. ameen..

  31. m says:

    artikel ni memang banyak kene pada batang hidung sendiri… ibu n ayah memang jenis pendiam..tambah2 pula dari tingkatan satu sampai ke tingkatan lima tinggal di asrama… dalam tempoh tu memang jarang ada komunikasi dengan ibubapa, mak ayah tak pernah pun melawat sepanjang 5 tahun di asrama , berbeza dengan kawan2 lain… bila tidur rumah kawan2, terasa cemburu tengok keluarga mereka..nampak bahagia je….pernah jugak terdetik dalam hati….”kenapa keluarga aku berlainan dengan keluarga org lain”… mujur masa tu dapat berfikir waras, ”maybe mak ayah aku kurang sikit ilmu mendidik anak2, aku nak jadi parents yang lebih baik pada anak2 aku nanti”…. apa pun…semua tu ada hikmah di sebaliknya…alhamdulillah..

  32. budak says:

    terasa lega baca artikel ni…mmg saya ade masalah macm ni,kadang2 terasa mecam nak lari dri semuanya..alhamdullilah lepas baca artikel ni rase dah boleh nampak ape yg sepatutnye dilakukan.

  33. ira says:

    artikel yang dekat sekali dengan diri saya. saya pernah terfikir mengapa saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang sempurna, dan apabila bergaul dengan keluarga rakan yang mempunyai keluarga bahagia..saya sering rendah diri, ibu bapa saya yang kurang didikan agama mendidik mengikut cara didikan datuk nenek saya yang keras..bapa pula hanya pentingkan perniagaan dan wang, emak pula mendidik dengan cara yang keras, menengking2..tapi kini selepas baca artikel ini saya mula sedar bahawa allah ingin jadikan saya insan yang lebih tabah..dan saya berazam untuk mendidik anak saya dengan lebih baik lagi dan menjadi ibu bapa muslim yang tidak derhaka kepada anak-anak dalam melahirkan individu yang tidak derhaka

  34. zusai says:

    salam..tersentuh hati sy membaca penulisan ustaz yg ni.sy berasa seperti sy berada dlm keadaan ank muda itu kerana sy sering melihat ibu bapa kwn sy begitu mesra anak beranak..tp, kata2 ank muda itu secara lagsung memberi sy semangat untuk sy merubah diri supaya brsa lebih bahagia..syukran ya ustaz…

  35. joehan Ahmad says:

    Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita..banyak perkara yg boleh kita belajar dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan tetapi pada kehidupan yg dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

    kesusahan & keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan2 insan2 hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan kesusahan & keperitan hidup.

  36. pak din 31 says:

    Jangan bangga sekiranya kita mewarisi kehebatan leluhur ….

    tetapi carilah kekuatan disebalik kelemahan mewarisinya.

  37. pak din 31 says:

    Usah dibangga sekiranya kita mewarisi yang hebat dari lelubur,

    tetapi carilah kekuatan di sebalik kelemahan yang kita warisi.

  38. topup iman says:

    salam, minta izin di upload kan di facebook..jazakallah

  39. topup iman says:

    salam, minta diupload di facebook. jazakallah

Leave a Reply