Jangan Bunuh Angsa Itu

On 23/07/2010, in Teladan Hidup, by Abu Saif | 9,005 views | Print Print | Email Email |

“Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua itu kepada isterinya.

Hidup mereka sudah lama dibelenggu kemiskinan.

Mendapat angsa bertelur emas, adalah sesuatu yang di luar bayangan. Dengan emas itu mereka mengubah keadaan hidup. Jika dahulunya rumah mereka menunggu masa menyembah bumi, kini sudah tegap mendukung langit.

Namun, perubahan yang berlaku agak perlahan.

Mengapa hanya seketul emas sehari?

Mengapa tidak lebih daripada itu?

Timbul rasa tamak di hati petani itu dan isterinya. Tamak yang akhirnya membutakan pandangan dan fikiran. Mereka berdua membunuh angsa itu. Perutnya dibelah dengan harapan lebih banyak emas boleh dikorek keluar. Namun apa yang ada, adalah apa yang biasa ada di dalam perut seekor angsa. Tiada lagi emas, kerana angsa sudah tiada!

Kisah itu merupakan hikayat Aesop yang terkenal. Ia amat simbolik pada mengungkapkan akibat sifat tamak.

Akan tetapi, kisah tersebut boleh menjadi lebih tragis, kalau angsa itu membunuh diri. Bukan dibunuh oleh ketamakan petani. Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri. Angsa terabai, telur emas tinggal kenangan.

ANDA DAN SAYA ADALAH ANGSA ITU

Saya mengambil kisah angsa bertelur emas itu pada membayangkan keadaan diri.

Saya, dan kita semua adalah angsa itu. Angsa yang berbakat, berkemahiran, banyak yang boleh disumbangkan di tempat kerja, di tempat berniaga, di tempat berperanan, kepada seluruh umat. Sumbangannya pula bukan sebarang. Setiap kita adalah istimewa kerana telur emas kita didamba oleh sekalian manusia. Namun malang sekali kalau angsa itu didesak bertelur lebih daripada kemampuannya. Atau angsa itu membiarkan dirinya menjadi mangsa. Diperlakukan hingga mati, atau membiarkan sahaja dirinya mati.

Sungguh malang.

Bermuhasabahlah kita pada mengimbangkan seluruh aspek kehidupan ini. Jangan tamakkan satu manfaat hingga memejamkan mata kepada datangnya mudarat. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan antara aspek kesempurnaan itu adalah pada mengagih-agihkan bahagian masa dan usia pada semua yang diperlukan manusia. Ia agama yang mengajar manusia hidup sebagai manusia.

KISAH HANZALAH

“Mengapa dengan kamu?”Abu Bakar bertanya.

“Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq!” kata Hanzalah, penuh kesal.

Terkejut Abu Bakar mendengarnya.

“Mengapa kamu berkata begitu?” Abu Bakar meminta penjelasan.

“Semasa aku duduk di dalam majlis Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mendengar tentang Syurga serta Neraka, iman aku meningkat kepada keadaan yang baik. Tetapi tatkala aku bekerja dan kembali kepada keluargaku, imanku terjejas dan menurun. Hanzalah sudah jadi munafiq!” cerita Hanzalah.

Keterangan itu menggusarkan Abu Bakar. Beliau juga merasainya.

Mereka berdua pergi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan menceritakan kisah kebimbangan Hanzalah yang amat signifikan itu. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)” [Hadith riwayat Muslim]

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika keadaan dirimu sentiasa baik seperti di dalam majlis ilmu dan ketika di luar majlis ilmu, nescaya Malaikat itu akan tabik spring dengan kamu! Hebatlah jika begitu. Namun ia menyalahi tabiat manusia. Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

“ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…”

Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.

REKREASI DIANGKAT JADI IBADAH

Semuanya diagih-agihkan mengikut keperluan yang seimbang dalam hidup manusia. Justeru aktiviti berehat, bersantai, beriadhah dan berekreasi, diangkat menjadi urusan agama.

كلُّ شيء ليس من ذكر الله فهو لغو ولهو إلا أربع خصال : مشي الرجل بين الغرضين ، وتأديبه فرسه ، وملاعبته أهله ، وتعليم السباحة

“Setiap sesuatu yang bukan zikrullah adalah tidak bermakna dan kelalaian, kecuali empat perkara: (1) Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah). (2) Seorang yang melatih kudanya. (3) Bergurau senda seseorang dengan isterinya. (4) Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Rekreasi di luar dan di dalam rumah diangkat oleh Islam menjadi urusan agama. Biar pun tabiat empat perkara itu jauh daripada bayangan manusia tentang apa yang dinamakan sebagai zikrullah, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberikan penegasan bahawa aktiviti-aktiviti itu bukan sia-sia. Ada nilai yang penting di sisi Islam, ada manfaat yang besar kepada umat. Malah kemahiran-kemahiran yang terhasil daripada aktiviti berkenaan menjadi aset yang mesti dipelihara sebagai satu amanah.

Bayangkan!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berkata:

مَنْ عَلِمَ الرَّمْيَ ثُمَّ تَرَكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا -أَوْ قَدْ عَصَى

“Barangsiapa yang telah belajar memanah kemudian dia meninggalkan kemahirannya itu, maka dia bukanlah daripada kalangan kami – telah mendurhakai (kami) –” [Riwayat Muslim]

ADAKAN MASA

Jangan terus beralasan ketiadaan masa. Biar pun Kalendar Google saya sudah sendat, saya tidak berani untuk membayangkan (apatah lagi menyebutnya), bahawa saya lebih sibuk daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun, Baginda yang sibuk itu, dalam ketiadaan masa, mengadakannya.

Lumba lari Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam bersama Aisyah radhiyallaahu ‘anha adalah contoh rekreasi yang dibuat semasa sibuk. Baginda dan Aisyah yang bersama di dalam sebuah misi menyuruh para sahabat bergerak dahulu dan membiarkan mereka berdua di belakang. Semasa itulah mereka berdua berprogram!

Baginda kreatif mengadakan masa untuk melakukan apa yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk kesihatan tubuh, malah untuk kesihatan rumahtangga.

ANTARA RIADAH DAN BUDAYA SAMPINGAN

Akan tetapi, dalam keindahan Islam mengangkat rekreasi menjadi urusan agama, kita tidak harus lupa kepada tujuannya. Motif berekreasi mesti disemak dari semasa ke semasa. Rekreasi dan sukan selalu datang dengan budaya. Sukannya digalakkan. Budayanya mesti disaring dengan orientasi tujuan dan hukum Tuhan.

“Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Ada pun kuda syaitan, iaitu kuda yang dipakai untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan ada pun kuda manusia, iaitu kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannnya. “ [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Menunggang kuda sangat dianjurkan oleh Islam. Tetapi judi yang menjadi budaya di sekitar menunggang kuda itu ditolak oleh Islam. Sama jugalah dengan sukan-sukan yang lain. Bermain bola itu bagus untuk kerjasama, fokus, kesihatan tubuh dan kecergasan diri. Tetapi judi yang mengiringinya, sentimen ketaksuban pasukan, malah imej-imej pengiklanan penaja berbentuk arak dan loteri, semua itu amat dicela oleh Islam. Muslim mesti mampu menyaring di antara sukan sebagai rekreasi dengan budaya-budaya sekitar sukan yang membinasakan.

Atas sebab yang sama, Syaikh Madun Rashid di dalam kitabnya Qadhayaa al-Lahwi wa al-Tarfih (Isu-isu Hiburan dan Masa Lapang) menyebut, “golf pernah diharamkan di Scotland pada tahun 1457M kerana ia menyebabkan rakyat malas berlatih kuda dan memanah dan secara umumnya tidak memberi manfaat kepada negara” Bukan golf itu yang tercela, tetapi tatkala sukan tersasar daripada matlamat yang murni, ia menjadi suatu kecelaan yang ditegah agama.

Berehat, bersantai, bersukan, semua dengan tujuan.

SELAMATKAN ANGSA

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentu berasa sedih jika umatnya dilihat ramai memenuhi klinik Endokrin dan Kardiologi di hospital. Justeru marilah kita bersama-sama berusaha hidup seimbang dan menjadi mukmin yang dikasihi Allah Subhanahu wa Ta’aala.

(المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍّ خير. (صحيح مسلم، كتاب القدرة، باب في الامر قوة

“Seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah berbanding dengan seorang Mukmin yang lemah. Pada setiap seorang daripada kedua-duanya ada kebaikan (selagi beliau seorang Mukmin)” [Sahih Muslim]

Masyarakat, AJK Masjid dan para penganjur semua, jangan bunuh angsa telur emas anda.

Angsa, jangan bunuh diri!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Layan Jangan, Lawan Pun Jangan “Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa...
  2. Jangan, Monyet. Jangan! sumber: www.clickthecity.com “Alhamdulillah. Pokok pisang aku sudah mula berputik,” kata...
  3. Jangan Jadi Lilin “Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi...
  4. Jangan Terlalu Formal, Hidup Itu Pelangi Sama ada memang tiada apa yang berlaku, atau terlalu banyak...
  5. Jangan Batal Program Saya tidak pasti, bagaimanakah penerimaan orang apabila saya membatalkan program...

 

43 Responses to “Jangan Bunuh Angsa Itu”

  1. t-muslimah says:

    cerita yang menarik(“,)

  2. asyraffsaifullah says:

    salam ustaz.. satu pandangan yang begitu signifikan dalam realiti masyarakat mutakhir yg bekerja bagai ‘gila2′ @ ‘workaholic’ hari ini hingga menafikan hak diri, isteri dan anak2 apatah lagi keluarga sendiri, mentua, jiran2nya dll.. kadang2 bila difikir2kan.. mcm x adil rasanya, hanya kerana sedikit salah dilakukan, org tlupa dan habis semua kebaikan dlm kerjaya kita selama ini xkan dkenang.. sama btl kalu kita relate mcm nasib player ternama dlm world cup baru2 nie… renungkan bsama, wallahua’lam..

  3. mujahid says:

    salam ustaz..
    saya tertarik dengan hadis pertama..
    مَنْ عَلِمَ الرَّمْيَ ثُمَّ تَرَكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا -أَوْ قَدْ عَصَى

    saya x pernah mendengar hadis ini tapi saya sangat meyukainya..blhkah ustaz terangkan kedudukan hadis ini sebab saya ingin sampaikan kepada rakan2 saya atau mereka2 yang berkenaan.
    terima kasih atas pertolongan ustaz.

  4. junaidiahmad says:

    artikel yg penuh bermanfaat. Alahmdulillah.

  5. melawati zakaria says:

    Salam Ustaz,
    Saya mohon untuk menggunakan kandungan artikel ini bagi tujuan motivasi pekerja & pelatih di institusi latihan giatmara.Terima kasih

  6. Kak Ija says:

    Aseef Ustaz, tak tahan nak ketawa…

    Angsa, jangan bunuh diri

  7. Max says:

    Klinik Endokrin dan Kardiologi ya ustaz..

    Dalam maknanya..

    Semoga kita semuanya berjaya :-)

  8. Ummu Rayyan says:

    salam ustaz

    semalam saya sempat bertemu ustaz di surau an nur walaupun terlewat.. jad sedikit ketingalan…cuba bernasib baik dapat key word ustaz cerita apa malam tadi…

    oh rupa nya fasal Angsa …
    yea saya setuju “JANGAN BUNUH ANGSA ITU”

    kerana saya juga punya ” ANGSA YG BERTELUR EMAS” itu..

    ramai org yg ‘suka’ padanya lalu memberinya makan macam2 tanda terima kasih atas lontaran mutiara dan juga emas yang keluar dari Angsa itu…

    Akibatnya Angsa kesanyangan saya ‘sihat’

    dan saya rasa.. sedih…

    insyaallah nanti saya sambung kembali.

    p/s : saya nak kembali ambil berat tentang kesihatan “Angsa” saya

  9. anakkusazali says:

    salam,
    begitu jua pesanan penceramah kepada penjemputnya.
    mungkin juga yang menjemput bukan sekadar menjamu penceramah dengan makanan berkhasiat tapi mengajak senam poco-poco sebelum wacana
    :)

  10. wardah says:

    salam…
    ini kuliah yang ustaz bagi di surau Annur,bangi semalam…
    sungguh bermakna

  11. salam.

    Salah satu daripada cerita yang dipaparkan oleh Dr. Stephen Covey dalam buku 7th Habit :) . Cumanya ustaz menerangkan cerita ini dengan lebih menarik dan memberikan contoh yang praktikal dan realistik dalam kehidupan sebagai seorang Muslim dan daie.

    Mabruk ustaz. :)

  12. Revive!! says:

    saya betul2 sgt kagum dgn pendekatan motivasi ustz.. begitu menepati teknik2 dlm menyampaikan motivasi dgn teknik penceritaan yg menarik. Sy merupakan pengkaji & peminat motivasi2 barat sejak sekian lama. masalahnya kini saya rasakan saya agak jauh dari view agama sendiri.. kini saya ingin kembali. Saya ingin bermotivasi dalam hidup dari sudut pandangan Islam sendiri. Alangkah indah dapat membaca tulisan2 ustaz yang punya quote2, cerita2, dari sejarah islam sendiri. Saya seperti rasa dilahirkan semula. Saya doakan ustaz terus menulis dan menyumbang yang terbaik utk umat kita yg ketandusan keberanian, confident, dan keinginan menjadi yg terbaik.
    Cumanya sedikit nasihat saya ingin sarankan, diharap ustaz terima dgn hati yg terbuka. Sy tak peduli jika ada komen2 peminat fanatik ustaz yg mungkin nanti agak kasar mereply saya.
    Saya sarankan ustaz mengurangkan pengunaan kata2 yg mungkin agak berat kepada yg lebih ringan. seperti “mampu” kepada “boleh sangat”, “mudah” kepada “sgt senang”. kurangkan pengunaan kata “jangan” yang sesuai pada tempatnya. “Mari” kepada “Jom” dan sebagainya. Byk lagi contoh yg saya rasa ustaz boleh bayangkan dan gunakan sesuai dgn bahasa bualan kita hari2an. Itu antara satu teknik ayat yg mudah utk lebih mempengaruhi pembaca.
    kerana saya ingin sangat melihat ustaz menjadi pakar motivasi Islam paling berjaya disebabkan pengalaman dan cara2 ustaz yg sangat very good so far. :)
    Saya juga mencadangkan ustaz menggunakan teknik tone suara yg sesuai pd tempatnya. Dari kuat bersemangat sehingga perlahan berbisik. Serta meng”kuat”kan body language terutama hand gesture.

  13. Saya sangat tertarik dengan
    “Masyarakat, AJK Masjid dan para penganjur semua, jangan bunuh angsa telur emas anda.

    Angsa, jangan bunuh diri!”

    :-)

  14. Naz says:

    Salam. sangat tertarik. baru saya faham makna tawazun. kerja tetap berjalan, tapi ikut jadualnya namun masih fleksibel. Macam tu ustaz? Semoga istiqomah semua.

  15. Muhd Syafiq says:

    Sharpen The Saw

  16. Aretoke says:

    cerita yang sangat menarik agar dapat membuka minda untuk menyelami maksud cerita tersebut…terima kasih ustaz.

  17. pak din 31 says:

    Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan.

    … dilihat ramai memenuhi klinik Endokrin dan Kardiologi di hospital …

    Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri.

    Petikan dari artikel Ustaz dan tambahan …

    dan menjaga negeri, menjaga dwi-parti, menjaga hati (yang haq), menjaga anak-isteri, dan menjaga menjaga erti (An-Nur-War – Perang mendapatkan Cahaya)

    • Naz says:

      wah..itu balaghah ka?

      • pak din 31 says:

        Yang lebih penting ialah apa yang tersirat …

        Ada kewajaran untuk Angsa membunuh diri kerana ia ganjil. Bagaimana ia boleh hidup aman dengan keganjilannya itu. Ibarat roh yang terperangkap dalam jasad manusia, ia gelisah menanti harinya bebas di luar kongkongan jasad.

        Apapun dalam berdakwah kita perlu menceritakan seuatu yang ganjil, untuk menarik minat. Cuma jang lupa untuk memberikan antidote untuk kembali dari alam khayalan ke alam realiti.

        • Naz says:

          erm, nak bagi antidote tu yang susah tu.. berpeluh di buatnya.. apa-apa pun, nak, seribu daya, tak hendak, seribu dalih. I Allah, i will try..thank pak din..

  18. [...] This post was mentioned on Twitter by Nurulhusna A. Sani, masjid portal. masjid portal said: [Blog] Jangan Bunuh Angsa Itu: “Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua i… http://ping.fm/Jskmp [...]

  19. aini308 says:

    Terima kasih ustaz…..jangan biarkan angsa membunuh diri….@ terus diseksa….

  20. Masri says:

    Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

    Dengan membaca posting ini, maka ana yakin ustaz telah menemui jawapan kepada persoalan yang pernah ustaz bangkitkan di FB beberapa hari lepas dan saya memberi respond.

  21. alaminians89 says:

    ramai dae terlalu mementgkn usaha dakwah nya hgga mengabaikn tggungjwb nya sbg seorg pljr…lantas dakwah yg dibawa mnjdi fitnah semula pada drinya…mgkn blh dikaitkn dgn ksah angsa ini…

  22. Izhar says:

    bersederhana dalam segala hal. itulah yang sebaiknya. but it’s easier said than done. saya doakan Ustaz mendapat mencari titik pertengahan dalam menyeimbangi tuntutan keluarga, kerjaya, dakwah dan masa untuk diri sendiri (sharpen the saw bak kata Covey..)

  23. cilipadi says:

    Tq.Sayalah salah seekor angsa yang telah ustaz selamatkan.Doakan saya dapat bertelur dengan lebih teratur untuk kepentingan semua.

  24. amanda says:

    saya suka sangat dengan penulisan awk selama saya jd pembaca setia awk. jadi atas itu saya rasa ingin memberi awk penghargaan – You’re My Inspiration

  25. fiza says:

    Salam ustaz, terima kasih atas peringatan…Article yang sangat bermanfaat..

  26. Muhammad76 says:

    Salam..

    Tuan2 sekelian, artikel ini ‘merupakan’ initisari kuliah penuh Us Hasrizal di Surau An nur, Bangi pada hari Jumaat 23/July…

    Boleh dapatkan VCD kuliah tersebut di Surau Annur, Bangi atau berhubung terus dengan pengerusi Surau…

    Jazakallahu Khair ya ustaz Has

    • Salam’alaik,
      Untuk tuan-tuan yang ingin mendengar mp3 versi percuma kuliah tersebut, boleh memuatturun daripada pautan ini>>http://www.mediafire.com/?7e84yhc13iqef6s

  27. fatinfaint says:

    salam ya ustaz.
    mcm biase artikel mmg menyengat.tp sy cukup gerun tgk gmbr angsa 2,clear sgt2.

  28. Ummu Rayyan says:

    Sambungan

    kesan dari apa yg berlaku malam itu,
    saya lantas ingin terus bersemangat semula untuk menyelamatkan angsa kesayangan saya..

    selepas berbincang,,,
    diselang seli dngan ‘ marah’kecewa, n tawa.. akhirnya,,,

    saya dan subjek (angsa)
    bertekad kembali,
    untuk kembali sama2 menjaga kesihatan diri..
    sekurang2 kurangnya,, kalaupun bukan untuk saya..(‘penjaga’)

    tapi untuk anak kami..
    si comel Rayyan yang dah nak masuk setahun Ramadhan ini….

    Smg mereka yang sayang2kan ustaz2 diluar sana.. sama2 menjaga mereka…

    Sekian, terima kasih

  29. Ummu Rayyan says:

    Husaini,

    syukran… ini yang amat ditunggu2.. smg pahala melimpah ruah keatas kamu…Amen

  30. doktor says:

    Assalamualaikum ustaz

    mohon diperjelas hadith riwayat Muslim itu ustaz. Saya amat tertarik sebab saya sendiri mengalaminya

    Ketika bersama teman-teman sefikrah, berada di majlis ilmu, iman begitu memuncak..tetapi apb pulang ke kg halaman, iman dan fikiran jadi lesu, ibadah jadi lemah

    adakah munafik begitu ustaz…hanya baik di kalnga

  31. pak din 31 says:

    Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

    “ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…”

    Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.

    Iman itu mempunyai tahap atau bahagian. Bahagian asas atau akar, di satu sudut, bahagian ranting atau daun, di sudut satu lagi, dan bahagian tengah, iaitu merangkumi batang dan dahan. Yang berbuat mengikut angin (nafsu dan persekitaran) adalah bahagian ranting atau daun, sementara bahagian akar, tidak sama sekali boleh bergerak, walaupun angin puting beliung melanda (sepatutnya).

    Bahagian akar atau asas (usul-ad-deen) itulah bahagian Tauhid, maarifatullah, arif bil llah atau arif bis Sunnah Allah. Bahagian ranting dan daun, yang boleh berubah itulah Syariah Allah, yang bergerak mengikut tempat (makan) dan masa (zaman). Al Quran mengingatkan kita bahawa Sunnah Allah itu tidak pernah berubah, maka iman asas itu juga tidak mungkin boleh ebrubah, sekiranya kita membudayakan Carakerja Allah.

    Jadi tidak kira apa yang kita lakukan, bermain golf (golongan orang lemah fikrah), atau bermain untuk Word Cup (mungikn Team 1Malaysia tahun 2040), atau berehat, iman maarifatullah tidak boleh berubah. Tuhan tetap satu dan SunnahNya tetap tidak berubah, ketika kita khayal memukul bola golf atau asyik menendang bola atau khyusuk bersolat malam. Maka “ada masa untuk ini dan itu” hanya ketika mengingat makhluk, tetapi bagi yang maarifatullah, “setiap masa adalah untuk Tuhan”, maa fi qalbi ghairullah.

    • Naz says:

      em..terima kasih Pak Din, kalau macam ni baru kita tak jadi kera sumbang bila dengan masyarakat. Tak kekok untuk berbual, rasa macam bebas untuk berkongsi pendapat dengan orang yang lebih besar tapi kita pandai jaga pertuturan dan adab kita. Apa-apa pun practise make people perfect..betul tak?

  32. pak din 31 says:

    Aw … sakit juga kena baling!

    Naz … carpet ini bukan percuma. Kalaulah ia murah (pada harga) sekalipun, kita pelu mahalkan dengan apa yang ditulis. Bak kata TMM, dan yang lain, blog perlu dimaksimakan hasil positifnya. Tidak berharga sesebuah blog yang hanya mengandungi kata-kata kurang bermanfaat ke arah mengenal Dia.

    Saya tidak memulakan blog kalau tidak kerana Ustaz dan SIO. Terima kasih Ustaz! “9. Memperingati status menumpang, saya dengan ini meminta izin kepada Ust Hasrizal untuk menumpang di halamannya buat sementara. Walaupun tahu sedikit tentang komputer, penumpangan ini akan mengingati saya status sebagai penumpang di bumi Allah. ” dari http://sharudin.com/2007/08/29/bhg05/

    Jaga peraturan dan adab … itulah formulanya. Bukan bermakna setip kali mengomen itu memberikan pendapat yang sama. Hanya setuju sahaja. Itu taklid buta namanya. Tetapi apabila terdapat perbezaan pendapat yang ketara, ianya selalu menyebabkan kita mula tidak dapat mengawal perasaan (nafsu). Ini masaalah utamanya.

    Saya selalu ingatkan diri, “I have the right to remain silence … anything said will be produced in the Court of Allah”.

    • Naz says:

      Ya Allah, Pak Cik Din, apa yang Naz cakap ni Naz tuju kat diri sendiri. Kalau PC Din kenal Naz, saya ni jenis susah dan kekok nak bergaul dengan rakan-rakan. Tapi lepas baca artikel ni, baru saya dapat sesuaikan diri dengan orang lain.. I Allah, saya akan cuba menjaga adab dan peraturan sepanjang berada di blog ini. Dan saya berlapang dada atas segala nasihat yang diberikan..

  33. pak din 31 says:

    Alhamdulillah Naz! Jangan bunuh angsa itu. Kerana angsa itu adalah kita. Kita yang dari satu sudut self-centric, seperti Naz kata. “tuju kat diri sendiri”. Tidak ramai yang dapat melakukan itu. Tidak ramai di zaman ini yang mahu memuhasabah diri dengan menyalahkan diri.

    Kalau kita analisa mendalam, artikel Ustaz juga mempunyai nada yang menjadikan kita terasa tepat pada diri kita. Apabila kepekaan yang diaktifkan ialah perasaan (hati) maka nafsu bangkit mempertahankan diri, walaupun benang itu basah.

    Yang kita perlukan ialah kepekaan rational kepada setiap apa yang orang lain cakap dan tulis. Kita pasti akan dapat mempositifkan keadaan, apabila kepekaan itu disambut oleh akal rational, walaupun perasaan sama-sama berada di sisi.

    Berlapang akal-lah (dahulunya dada) atas sega nasihat yang diberikan. Mungkin kita perlu banyak menelan dahulu, sehingga kemudian kita merasakan apa yang di telah ini mendatangkan manfaat kepada kita.

    • Naz says:

      Jadi kita jadikanlah medan Ustaz ni untuk sama-sama kita memberi dan terima. Cuma kupasan yang hendak di beri tu mesti beradab dan yang penting benar hujah dan faktanya. ok, I Allah, Naz tajamkan lagi pisau kepekaan..

  34. abdul says:

    salam usztaz, aktiviti seperti memanah, menunggang kuda dan berenang 2 xkan semata mata i2..
    xkan xada maksud lain bg semua 2?
    klu zaman Rasulullah i2 di galak berenang..
    mana sungai atau tasik diorg nk berenang?
    bkan ke pdg pasir 2 kering kontang..
    klu ada sungai pun..beratus km

  35. norziea says:

    salam..entry yang menarik :)

  36. [...] akan berusaha membuang ciri-ciri nifaq yang ada padanya. (Rujuk kisah hanzalah r.a. di artikel ustaz hasrizal [...]

Leave a Reply