Saya yang bersongkok itu kurus kering memikirkan masalah tidur. Hingga tertidur!

“Aduh… isk!”, saya menahan pedih.

Ustaz Mus memulas telinga saya. Kali pertama! Dan itulah titik permulaan terhadap suatu masalah besar dalam hidup saya.

Tidur dalam kelas!

Masya Allah, saya pun tidak tahu kenapa, semasa di Tingkatan 3, tiba-tiba saya ditimpa masalah ini. Mengantuk di dalam kelas.

Allah sahaja yang tahu betapa malunya saya ketika telinga dipulas Ustaz Mus. Lagi-lagilah kalau cerita ini bocor ke anak-anak usrah. Naqib tidur dalam kelas.

“Orang yang tidur dalam kelas, adalah orang yang belajar tak ada matlamat!”, kata Ustaz Mus sekembalinya dia ke depan kelas menyambung pengajaran sambil merenung saya.

Ada juga rasa hendak menangis. Tapi believe it or not, saya mengantuk semula.

KELUARGA RISAU

“Tak tahulah abah, kenapa sejak kebelakangan ini Rizal mengantuk melampau-lampau dalam kelas”, saya mengadu kepada abah.

“Makanan tak berzat kot? Sekolah kamu tu, sayurnya kura-kura pun muntah kalau makan”, abah memang zaman berzaman marah dengan tender dewan makan sekolah saya.

“Entahlah. Rizal beli multi vitamin boleh bah?”, saya cuba mencari penyelesaian. Abah setuju dan saya memakannya secara tetap selama beberapa tahun.

Tetapi keadaan tidak berubah. Saya sentiasa mengantuk di dalam kelas. Bukan calang-calang mengantuk. Habis sahaja perhimpunan pagi, saya dan rakan-rakan masuk ke kelas dan …. tiba-tiba kelas kosong! Saya tertidur sehingga rehat pukul 10:30 pagi! Tiada siapa yang gerakkan saya sebab semua sudah arif. Hasrizal memang gila.

Segala cara saya sudah usahakan. Saya pindah kerusi duduk depan sekali supaya muka saya mengadap muka cikgu dan kalau nak tarik telinga saya, tariklah. Asalkan saya tidak tidur. Tapi sia-sia… saya mengantuk yang bukan kepalang.

Mula-mula kejadian ini berlaku, macam-macam kutukan, leteran dan maki hamun yang saya dapat dari cikgu-cikgu. Sehingga Cikgu Jaafar, guru Sejarah saya pernah menyindir, “aku ingat budak ni dahi hitam sebab banyak sujud qiamullail. Rupa-rupanya sujud atas meja dalam kelas!”

Berdekah-dekah kawan dalam kelas ketawa. Saya terjaga. Merah pipi, dan tidur semula.

TIDUR BUKAN SEBARANG TIDUR

Itulah masalahnya. Saya tidur, tetapi tidak tidur.

“Hah, Hasrizal! Jawab!”, Cikgu Wan, guru Bahasa Malaysia saya menepuk meja.

Saya menjawab.

“Eh, betul pula jawapan budak ni!”, Cikgu Wan hairan. Saya pun hairan. Saya rasa saya tidur, tetapi agaknya benda yang diajar masuk ke minda separa sedar saya. Pelik. Nak kata wali, tak sampai maqam lagi!

Akhirnya apabila keputusan SRP tersiar, semua guru semacam mengambil keputusan untuk tidak lagi menegur saya tidur. Saya mendapat A1 untuk semua subjek, termasuk subjek yang saya tidur di dalam kelas. Allahu Akbar, saya semakin keliru.

Demi Allah, saya mencuba sedaya upaya untuk mengatasi hal ini. Cuba tidur awal di malam hari, cuba beriadah di siang hari supaya penat dan boleh tidur nyenyak di waktu malam, agar segar keesokan harinya. Tetapi menjelang SPM, jumlah masa saya tidur di dalam kelas menyamai malah mungkin lebih dari jumlah masa saya berjaga ketika di dalam kelas.

“Jom, saya bawa kamu berubat”, Cikgu Jamalullail membawa saya ke perubatan homopati. Saya istiqamah makan ubat. Nothing has changed!


Mungkinkah saya dijangkiti virus beruang koala di bahagian otak?

Kisah seorang pelajar yang kuat tidur di dalam kelas semacam telah menjadi urban legend di sekolah saya. Selepas 10 tahun saya meninggalkan sekolah, rupa-rupanya masih ada guru yang menceritakan kisah saya ini kepada pelajar.

Tetapi, dalam mengantuk-mengantuk itu, hanya ada satu subjek sahaja yang saya hampir tak pernah tertidur di dalam kelas. Iaitu MATEMATIK.

MATEMATIK PENYELAMAT

Bukan sahaja gurunya saya gemari, sama ada Cikgu Nordin, Cikgu Madihah yang mengajar Matematik di dalam Bahasa Inggeris, apatah lagi Cikgu Noraini, memang saya sentiasa celik dan segar di dalam kelas matematik. Tak pernah tidur.

Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri-sendiri, bahawa saya mengantuk apabila otak saya tidak digerakkan sebetulnya. Entahlah, mungkin bias kepada subjek lain, tetapi saya rasa begitu.

Kerana percaya dengan kesimpulan ini, bahawa matematik sahaja yang berjaya menggerakkan otak saya di tahap yang mengekalkan kesegaran diri, maka pada 15 September 1993, saya berlepas ke Jordan untuk menyambung pengajian di dalam bidang Pengajian Islam, dan di dalam beg saya ada tiga buku Matematik Moden dan Matematik Tambahan!

Semuanya agar tidak tidur semasa berkuliah di Jordan nanti. Sediakan payung sebelum hujan. Sediakan buku Matematik sebelum terlelap.

Semasa SRP, Cikgu Nordin sudah berpesan, setiap hari pastikan sekurang-kurangnya sejam kita mesti buat latihan Matematik.

Sehingga ke tahun akhir pengajian di Jordan, saya masih lagi membuat latihan Matematik terutamanya pada topik kegemaran saya iaitu rumusan algebra. Malah di dalam kelas, baik Tafsir, mahu pun Aqidah, saya akan membuat latihan Matematik agar tidak terlelap.

v kuasa dua sama dengan u kuasa dua campur dua a s. Jika v sama dengan 8, u sama dengan 6 dan s sama dengan 7, maka s sama dengan berapa?

Entah apa-apa benda yang saya reka, tapi itulah kerja saya di dalam kelas apabila syarahan pensyarah membosankan.

Tersengih saya semasa terjumpa cebisan kerja matematik merapu saya ini, di celah kitab Tafsir Fath al-Qadir yang saya buka beberapa hari yang lalu. Kitab yang saya gunakan dalam subjek Tafsir 1 danTafsir 2 semasa belajar di Jordan dulu.

“Mesti tengah boring ni!”, hati saya mengelamun.

KINI TERKAWAL


Jangan berhenti ceramah, nanti tertidur!

Kini saya sudah di peringkat sarjana.

Sesekali saya masih berdepan dengan masalah yang sama. Sehingga pernah beberapa kali pensyarah memberhentikan syarahan untuk memberi laluan kepada saya membasuh muka. Kecuali subjek-subjek yang saya ambil bersama Prof. Abdullah al-Ahsan dan Prof. Abu Shouk, saya hampir tidak pernah tertidur di dalam kelas malah segar walaupun malam sebelumnya saya berjaga meribakan Imad hingga ke 4 pagi.

Apabila otak ligat, kita jadi cergas.

Entahlah apa pengajarannya dari cerita saya ini. Tetapi AWAS! Jangan ada sesiapa yang cuba meniru. Ia adalah aksi profesional seorang penidur yang terlatih semenjak di Tingkatan 3!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace