
Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari bersalam-salaman
Saling bermaaf-maafan
Ikhlaskanlah diri mu
Sucikanlah hati mu
Sebulan berpuasa
Jalankan perintah agamaSelamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari mengucapkan syukur
Ke hadirat Illahi
Kita berkumpul semua
Bersama sanak saudara
Tak lupa kawan semua
Jumpa di hari bahagia
Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Lagu ini berkumandang bersama puluhan lagi koleksi lagu raya, yang saya rasakan seperti memaksa-maksa diri untuk ada feeling dengan Hari Raya.
Dipaksa-paksa sedih bagi apa-apa yang hilang dan tak tercapai.
Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.
Tetapi, apa yang mengasak fikiran saya, ialah ungkapan “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” itu. Bukan sahaja ungkapannya di dalam Bahasa Arab, malah maknanya juga saya pasti tidak mudah difahami sekadar dengan menyebutnya di atas lisan. Fahamkah artis-artis yang beraya lebih awal dari kita itu, akan maksud ungkapan tersebut? Maksud saya, mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah setiap mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian 160 karakter sms Aidilfitri, atau kad raya itu sendiri?
Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna.
Seperti Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?
Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”
ADAT DAN IBADAT
Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat.
Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat dari suatu kebiasaan kepada suatu jalan taqarrub kepada Tuhan. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat menjadi ibadat.
Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.
Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.
UNGKAPAN MINAL ‘AIDEEN WAL FAAIZEEN
Ungkapan minal ‘aideen wal faaizeen itu adalah suatu ungkapan yang besar.
Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.
Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.
Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.
Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.
Semua itulah yang diajar Ramadan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan dikawal nafsu.
Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, baru diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.
Ramadan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah.
Mereka inilah golongan ‘Aaideen… golongan yang pulang, kembali kepada Fitrah.
MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA
Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faa’izeen!
“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Asy-Syams 91: 9)
Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Faa’izeen yang kita sebutkan.
CERMIN DIRI
Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga…
Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa’izeen, erti yang sesungguhnya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KULLU ‘AAM WA ANTUM BIKHAIR
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Related posts:
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor











Setelah menjalankan kajian hawa nafsu dibulan ramadan ini, banyak benar yang ana telah catitkan gagal mengalahkan nafsu. Dan itulah gambaran sebenar diri. Ramadan adalah environment paling sesuai untuk makmal kajian hawa nafsu. Kajian hawa nafsu dibulan ramadan memberikan keputusan yang amat tepat. Maka rugilah orang yang menafikannya.
@ro ya alip dhod,
saya baru terbaca post ni tahun ni.. btw.. bersetuju dengan ro ya alip dhod bahawa ‘Ramadhan adalah makmal kajian hawa nafsu’.
hasilnya dapat dilihat pada akhir Ramadhan setelah evaluasi dilakukan..
Jadi, yang mana kurang saat Ramadhan kena ‘upgrade’ dengan mujahadah cepat-cepat sebelum terlambat.. sedangkan yang berjaya didik dan dipupuk sepanjang Ramadhan perlu diteruskan dan dibuat penambahbaikan..
sekadar taipan muhasabah diri.. milik ALLAH yang kekal abadi.. Moga mati dalam redho dan rahmatnya hendaknya nanti.. amin..
Salam pujian
Cantiklah Ustaz dan moleklah Akhi Riyod
Cermin diri, tahu makna apa dibuat dan dicakap, kenal adat dan ibadat … sesungguhnya Aidilfitri hanya untuk yang berjaya ujian Ramadan. Fungsi akal mengawal nafsu.
Terima kasih
Seperti akhiy Riyadh… ternyata tahap taqwa yang dicita-cita masih, untuk kesekian kalinya, tidak tercapai. Kesayuan luarbiasa bila ana muhasabah diri sepanjang Ramadhan kali ini, lantas terdetik kekesalan yang amat sangat kerana peluang yang dihamparkan seluas-luas Rahmah Ar-Rabb dipersia-siakan begitu sahaja.
Sempatkah ana untuk menikmati Ramadhan berikutnya?
Semoga Allaah SWT mematikanku dalam Islam dan bi Husnul Khotimah. Amin.
Sedih.
Salam ustaz,
Since ini adalah satu doa, kalau diucapkan kpd kita, kita nak jwb mcm mana? jazakallah khairan.
Walau cuma tinggal beberapa hari jer, pulun tetap pulun.
Maksud saya, beribadatlah semaksimum mungkin, ya kerana kita masih di bulan Ramadhan, walaupun di penghujungnya.
Salam ustaz,
Sebenarnya artikel2 ustaz yg dulu telah menyebabkan akak “jatuh hati” dengan penulisan ustaz. Gaya penulisan sekarang boleh juga diterima tetapi jauh lebih “lembut” dari dulu. Jadi tidak menghairankan jika ada yg terasa hati bila ustaz mempertahankan pendirian ustaz, dah terbiasa manja. Akak rasa kalau pembaca Saifulislam suka isu keluarga atau cerita2 silam blog lain pun ada, blog ni turut mengutarakan idea dan ilmu kontemporari.
Ustaz ni tengah belajar, mestilah ilmu yang ustaz dapat akan memberi kesan kepada paradigma ustaz. Kalau belajar banyak2 tetapi tiada perubahan pada cara berfikir, mungkin kepentingan ilmu tersebut dicari boleh dipersoalkan. Akak sengaja tidak mahu komen di artikel “Siapakah saya sebenarnya” takut komen ni terlalu spesifik untuk persoalan tersebut
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah memberikan komen. Semoga Ramadan berakhir dengan husnul khatimah.
Terima kasih kepada kak ija. baru saya terperasan yang even tajuk artikel ini pun sudah menampakkan perubahan kepada diri saya.
Sebenarnya, semester ini saya berada dalam keadaan yang jauh berbeza dari semester lalu. Sedikit sebanyak ia kesan dari ketiadaan pembantu rumah. Pelajaran merosot, assignment selalu overdue, buku tak baca properly. Banyak juga write up yang belum selesai. Isteri saya pun sama juga.
Ramadhan ini pun agak loose. Sering berbuka puasa di tengah jalan. Kadang-kadang di area KLCC, sesekali di KL Sentral. Banyak kelas tambahan, dan masa bersama keluarga juga berkurangan.
Dalam masa yang sama, pengajian saya dalam History semakin pekat. Pekat dalam erti kata semakin mendesak saya untuk merombak apa yang saya secara tidak cermat, pegang selama ini.
Maka kombinasi antara fizikal, mental dan spiritual yang stress, bersama cabaran idea yang semakin tajam, ia tumpah ke corak tulisan saya. Dulu-dulu saya menulis untuk merehatkan diri, adrenaline bertambah semasa menulis sebab gembira mengenang peristiwa-peristiwa lalu secara positif.
Tetapi hari ini, saya menulis agar saya tidak jatuh sakit.
Maaf jika pelangi terhijab oleh mendung kelabu.
“Bukan lah iman itu semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman,kerana byk pula org yg mengetahui hakikat iman,padahal mereka tidak beriman”..
( Fuqahak )
Minal ‘aideen wal faaizeen
Apa maksud ayat ni?
Assalamu’alaikum,
Taqaballahu minna wa minkum ya akhuyya..
Kullu ‘am wa antum toyyibun..
Dah siap M.A nanti harap dapat terus apply lecturer UIAM.
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net
Assalamualaikum..
Salam Penghujung Ramadhan & Salam Aidil Fitri untuk Ustaz, Kak Muna & keluarga.
Kali ni, memang terasa betul cabaran Ramadhannya. Mencabar iman dan akal. Mencabar kesabaran dan keyakinan saya akan janji Allah untuk orang yang sabar. Alhamdulillah, rasanya cabaran tu dah berjaya ditempuh, tapi adakah penilaian saya sama dengan penilaian yang Allah taala tentukan? Kalau lihatkan outcomenya hari ni, insyaAllah sama kot. Hmm.. tak pernah diduga sehebat ni.. bukan habuan pahala yang diharapkan cuma keredhaan suami dan seterusnya keredhaan Allah swt.
Ustaz, elokla dipertimbangkan semula untuk dapatkan helper. Nak tak nak, bagi saya, pro nya lebih banyak dari cons. Hubby saya dah bagi greenlight untuk dapatkan helper (finally!) untuk anak yang ketiga ni. Bukanlah nak yang perfect, cukuplah kalau dapat membantu meringankan beban di rumah.
Boss saya pernah cakap, “Helpers come and go, tapi saya tak pernah serik, because I need them to help around, kalau tak berkenan, tukar, kalau okay, maintain sampai termampu, kalau buat hal, lepas tu tukar lagi. They come with a package. Usually, their thinking level is not the same as ours. We have to go down to their level in order to understand their mind.” hm.. lebih kurang gitulah our conversation.
Satu yang saya respect about my boss ni, sepenat or sebusy mana pun dia, once dia balik rumah, semua kerja involving child care, dia akan take over balik. For her, helper tu cuma bantu jaga anak bila dia takde di rumah. Kalau dia dah ada, dia la yg akan buat semua tu. Helper buat keja lain ie mengemas, basuh baju etc. Yang ni, saya amat sokong & praktikkan before this. My sister cakap, laa buat apa ada helper kalau balik penat2 pas tu kena mandikan baby, or basuhkan beraknya. No no no, for me, this is not about fully utilising the helper, but more for bonding and my responsibility as a mother. Tapi kalau father yang buat pun ok jugak
Salam ukhuwwah dan semoga kita dapat bertemu Lailatul Qadar. Wasalam.
[...] Saifulislam.com [...]
sedih baca artikel ustaz…. ramadhan meninggalkan ana dalam diri masih ‘terkapai-kapai’…..
hairan kenapa ramadhan tahun ini terlalu cepat dan pantas berlalu..
[...] asal dari SaifulIslam.Com [...]
Perkongsian yang menraik dari ustaz, terutama dalam bab ibadat yang sudah seperti yang diistilahkan ustaz sebagai auto pilot.
‘Dipaksa-paksa sedih bagi apa-apa yang hilang dan tak tercapai.
Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.’
penuh makna tersirat ayat dua rangkap dia atas.. saya tak dapat memahami dan mencerna dengan baik maksud dua statement tersebut.
mohon AbuSaif tolong huraikan bole..?
kalau tak org lain yg bole bagi huraian dgn tepat dan baik pon bole kot..
terima kasih
Salam ustaz,
nak tanya cam na saya nak contact ustaz atau wakil untuk tanya pasal kursus 7 habit of highly effective muslims. jzkk
Salam Amy,
Pada pendapat akak, dipaksa-paksa untuk kedua-dua keadaan kerana resapan pengertian ibadah itu sukar untuk dirasai dalam suasana yang serba mewah dengan hiburan dan kurang dengan ziarah yang bertautkan ukhuwwah.
Salam noras,
Check kat atas tu, kaat “Hubungi” atau “Modul dan Jemputan Program”. Maaf Zahir Batin.
Saya rasa salah satu sebab yang menjadikan ibadat itu berubah sebagai adat ialah kerana apabila kita melakukan sesuatu amalan itu tanpa berlandaskan ilmu hanya sekadar ikut-ikutan.
Contohnya dalam perkara memberi salam dan ucapan insyaAllah.Yang pertamanya kadang-kadang sebutan salam itu sendiri tidak betul.Yang keduanya makna ucapan itu pun tidak pernah ingin untuk diselidiki.
saya ada tulis artikel yang ada kaitan sikitlah dengan artikel ustaz ini di
http://jangkaan.name.my/blog/2009/09/cakap-betul-tempat-salah/
bagi saya adalah menjadi kebiasaan orang melayu mengucapkan zikir seperti tasbih,tahmid,tahlil dan takbir dalam perbualan harian serta dalam ucapan. ada kalanya orang bukan islam pun terpengaruh sampai terucap zikir tersebut. itu belum lagi masuk ucapan salam lagi.
cuma bercakap tanpa tahu makna tu kena berhati-hati. namun nak tukar takut tak serasi pulak sebab dah terbiasa.
namun jika ada peluang …
baru baca buku ustaz..dh tergoda giler..
(pada tulisannya). haarap ada lebih banyak masa utk baca buku yg lain2.
yaallah..betapa jahilnya kita ni..
[...] asal: Min al-’Aaideen wa al-Faaizeen: Pujian Atau Ejekan? oleh ABU SAIF Ustaz Hasrizal Abdul [...]