Perasaan Yang Membunuh Perbahasan

On 21/10/2007, in Zikir Fikir, by Abu Saif | 4,203 views | Print Print | Email Email |

“Saya memang pandai buat benda ni. Ia speciality saya”, kata seorang lelaki.

Jika yang menyebut ayat sedemikian adalah seorang warga US, ia suatu yang biasa. Tetapi jika yang menyebutnya adalah seorang orang kita, maka macam-macam tanggapan yang akan timbul.

Hek eleh, macam bagus je dia tu”, sinis seorang dengan wajah yang sengaja disengetkan.

“Riya’ le tu. Siap ujub dengan takabbur lagi!”, balas seorang yang lain.

Mungkin kerana dalam agama kita ada banyak perkataan yang sedap dimartabatkan sebagai label penjatuh, maka kita sering menjadi pengguna paling aktif label tersebut. Faham atau tidak maksud kalimah ‘ujub, riya’, takabbur dan sebagainya itu pun, tidak begitu diendahkan.

GARIS PEMISAH

Apa yang pasti, kalimah itu mudah keluar kerana “what you see is what you get“. Kalau kita berfikiran negatif, maka kita akan suka memandang secara negatif. Apabila kita memandang secara negatif, maka yang buruk akan terserlah berbanding kebaikan.

Saya pernah memberitahu di dalam satu kursus, bahawa antara ciri seorang individu yang cemerlang, ialah dia itu memiliki harga diri yang tinggi.

Soalnya apakah itu harga diri?

“Maruah!”, jawab seorang peserta.

Self esteem!”, balas seorang lagi.

“Pandangan seseorang terhadap dirinya sendiri, tentang keupayaannya untuk melakukan kebaikan!”, itu cadangan saya.

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi adalah orang yang memandang positif kepada dirinya dalam keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang baik. Dia memandang dirinya tinggi.

ANALOGI

Gurauannya ialah, kalau bajunya berjenama hebat untuk dipandang orang, maka singlet dan pakaian dalamnya juga hebat untuk menghargai pandangan diri terhadap dirinya sendiri. Jika tetamu di rumah dihidangkan dengan makanan dalam set mangkuk arcopal, maka tidaklah pula suami dan anak-anak dihukum makan dalam pinggan percuma beli ubat gigi saiz besar.

Dia memuliakan diri. Diri yang dimuliakan Allah dengan menciptanya secara sempurna (Al-Quran 95: 4), lagi mulia (Al-Quran 17: 70).

Tetapi tidakkah orang yang begitu, sombong dan meninggi diri? Perasan bagus!?

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi adalah orang yang memandang dirinya tinggi, dan memandang tinggi orang lain. Manakala orang yang tinggi diri dan takabbur ialah orang yang memandang dirinya tinggi, dengan memandang rendah orang lain. Itu sahaja bezanya.

HARGA BERKADAR TERUS DENGAN NILAI

Orang yang tinggi harga diri, ketinggian itu datang dari nilai. Harga berkadar terus dengan nilai. Tinggi nilai, tinggi harga. Apabila seseorang itu banyak berpegang dengan nilai yang baik dalam hidupnya, maka harga dirinya juga tinggi. Orang kenang dia dengan kenangan yang baik-baik. Menyebut tentangnya pun, banyak pada kebaikan yang dilakukannya. Harga tinggi kerana nilai tinggi. Tinggi harga tinggilah penghargaan.

Tetapi orang yang ego, atau takabbur lagi meninggi diri, adalah orang yang memandang dirinya tinggi dengan memandang rendah orang lain. Kalau mahu berkata tentang kelebihan diri, pastinya disertakan dengan memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain. Maka jika kita mahu kenal orang yang rendah harga diri, mudah sahaja. Siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, tidak menghargai orang lain, maka orang itulah selalunya yang rendah harga diri.

 ”Orang yang tidak memilik sesuatu, tidak memberi apa yang tidak dimilikinya itu”

Tiada harga diri, tiadalah kemampuan menghargai orang lain.

Saya lontarkan kisah ini kerana mahu berkongsi dengan pembaca garis-garis pemisah di antara positif dengan negatif. Antara memuliakan diri, dengan menghina peribadi. Antara memuji dengan mengeji. Antara kritikan membina, dengan kritikan membinasa.

Kesemua pasangan di atas, ada banyak daerah kabur antara keduanya jika kita menilai dengan perasaan. Apatah lagi perasaan yang disokong oleh pemikiran negatif.

MENCARI DAMAI DALAM PERBAHASAN

Semua ini harus diingatkan selalu agar kita tidak kalah dalam perbahasan. Bukan kalah hujah, tapi kalah dengan perasaan. Macam orang yang kalah lumba lari bukan kerana dipintas, sebaliknya tidak cukup nafas.

Sering saya perhatikan di mana-mana sahaja ruangan bahas online di internet, atau di sembang-sembang offline kita dengan rakan-rakan di restoran mahu pun dewan seminar, kita sering membunuh perbahasan dengan kecaman-kecaman yang penuh emosi.

Apabila seseorang bercakap dengan penuh yakin, dia akan dilabel sebagai over-confident, perasan bagus, malah bagai terbelah dada dengan kapak kasyifnya, terus dipertikaikan niat sebagai ‘rasa dia seorang sahaja yang betul’. Kita takut berdepan dengan orang yang bercakap dengan yakin. Kita malas membidas idea, sebaliknya menconteng mukanya dengan tuduhan emosi kita yang membunuh perbahasan.

Apabila seseorang bercakap dengan teragak-agak, kita labelkan pula orang itu sebagai mengaji tak habis, tak yakin dengan diri sendiri lantas bagaimana mahu menyakinkan orang lain, dan akhirnya mukanya juga menerima contengan yang sama.

Hal ini amat jarang saya temui ketika melihat bangsa lain berbicara. Mereka bercakap dengan yakin, malah kadang-kadang tidak dinafikan agak keterlaluan keyakinannya.

Sebab itulah seorang yang bersuara seperti enjin traktor tidak dapat menerima teguran panel American Idol bahawa diamnya lebih mendamaikan dari dendangan suara. Walhal sudah terang lagi bersuluh, pentas menyanyi bukan untuknya. Tetapi saya sering berfikir, mengapa orang Amerika begitu? Mengapa ratusan ribu yang datang ke uji bakat, semuanya menyanyi dengan yakin biar pun suaranya Masya Allah, Allah jua yang mengetahui hikmah suaranya begitu!

Mereka terdidik dengan keyakinan diri. Tidak segan untuk menyebut kebaikan diri. Dan tidaklah mereka itu jadi sombong kerana mereka juga menyokong kebaikan orang lain.

Tetapi orang kita ini sulit bila tiba soal perasaan. Kalau kekuatan emosinya mampu menghasilkan bahasa jiwa setinggi Rumi, saya alu-alukan. Tetapi permainan emosi kita lebih menjadikan lemah di gelanggang rasional. Asalkan ada sahaja perbahasan yang cuba mengungkaikan masalah, perbahasan itu akan diganggu oleh idea-idea yang membinasakan.

IDEA HASIL KEYAKINAN

Saya yakin, mustahil akan lahir idea-idea yang bernas di dalam seluruh sejarah manusia jika budaya kita ini menguasai perbahasan. Mustahil tokoh-tokoh Muslim seperti Tahtawi, al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Sayyid Ahmad Khan, Maududi, al-Banna, Sayyid Qutb malah Iqbal dan Fazlur Rahman dapat berdiri dalam tradisi keilmuan kita jika kritikan mereka dipadam oleh tuduhan bahawa mereka ini perasan bagus dan sebagainya. Kritikan mereka sungguh tajam, dan kerana ketajaman kritikan itu, mereka berjaya mengemukan pelbagai idea yang kurang kelihatan di mata banyak. Mereka bukan sahaja dibenci di zaman hidup mereka, malah dilabel sesetengahnya sebagai kafir, muktazili dan pelbagai lagi. Hanya selepas batang tubuh yang dicela itu mati, barulah ideanya dapat dihargai.

Memang trend orang kita suka menghargai seseorang selepas matinya!

Maka, setiap kali saya dan kita semua masuk ke mana-mana buku, blog, jurnal, ceramah dan apa-apa sahaja ruang idea, bezakanlah seorang yang ada harga diri, dengan seorang yang meninggi diri. Jangan disama ratakan kesemuanya. Hindarkan diri dari berperasaan negatif dan kukuhkan diri untuk sentiasa melontarkan idea yang terbaik, setiap kali bersuara.

Jangan lagi kita suka dengan fikiran-fikiran sebegini:

“Dia seorang sahaja betul!”

“Kagum dengan diri sendiri”

“Orang lain semua salah”

Jika mahu bercakap, cakapkan apa yang terbaik dari fikiran. Kemudian bukakan ruang perbahasan, dan terima dengan terbuka, jika ada pihak yang berjaya menyuluh kekurangan pada pendapat. Idea perlu dikritik dengan idea, rasional perlu dibahas secara rasional.

Bagi yang suka bermain perasaan, anda boleh berkongsi emosi dengan Shah Rukh Khan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

  1. Manusia Berhubung Dengan Perasaan “Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz...
  2. Perasaan Itu Datang Kembali 1985… Semasa di usia remaja, fikiran saya mungkin tidak pergi...
  3. CANTIK: Perhambaan Moden Yang Menyeronokkan Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung...
  4. Versatiliti Yang Menguji “Ustaz, boleh tak ceramah untuk pelajar sekolah menengah?”, tanya seorang...
  5. Mengganggu Yang Hidup Dengan Mencela Sirah si Mati Kalau seorang ahli forensik mengkaji tubuh badan si mati, seorang...

 

20 Responses to “Perasaan Yang Membunuh Perbahasan”

  1. Salam,

    ‘Kaw-kaw Yama’ punya artikel. Lemak berkrim bagi yang punya deria rasa.

    Akhi observation ana, disamping pantang tgk ‘org tu je yang betul’, bagaimana pula gagal mengeluarkan diri dari belenggu ‘idola saya je yang betul’? Ana rasa perlu ulasan juga tu. Mesti ada yang berpenyakit ini pada ust hasrizal.

    Ramai nak kongsi kisah sedih nampak gayanya ni. Kita lihat.

  2. Abu Saif says:

    kalau seseorang itu diangkat menjadi idola, maka semua pendapat idolanya betullah. sebab itu jangan jadikan sesiapa sebagai idola sebab idola itu ialah subjek sembahan.

    sepatutnya “saya sahaja yang betul” atau “idola saya sahaja yang betul”, perlu dibuang. tak perlu ayat-ayat macam tu dalam hidup ini. mana yang betul, betullah. sandarannya pada kefahaman dan logik kita dalam menerimanya. kalau salah, salahlah. takkan sekali betul semua betul, sekali salah semua salah, ye dak.

    ada beberapa artikel yang saya dah siapkan tentang ISLAM MURAHAN, kritikan kepada perkembangan ideologi GERAKAN ISLAM dan satu dua lagi… tetapi semua tu saya simpan dulu sebab takut spoil bila nanti dikomen sebagai “pandangan yang perasan bagus”.

    so, entry kali ni, macam nak prepare cerucuk dulu la agaknya, sebelum tuang simen

  3. Kak Ija says:

    Tak sabarnya tunggu artikel2 tu. Akak sebenarnya tengah mencari formula utk generasi abad ini, agaknya itulah yang menyebabkan fikiran kita sering bertemu di landasan yang sama. Akak kasih dan kasihan kepada anak2 muda yang sering ‘didera’ oleh golongan yang lebih berusia seolah2 mereka ni teruk2 belaka. Yang baik tu berilah pengiktirafan. Takkan asyik pakai alasan dulu makan garam sentiasa.

    Komen ni macam tak kena dengan artikel ni plak. Sebalik daripada komen2 di atas adalah bila idola tu ‘slack’ dia terus boikot, tak nak dengar sepatah perkataan pun. Tak sio teman menengo deme tu bercakap. Packaging and branding wal labelling le tu.

    Ustaz, macam tak percaya akak dah komen, masuk yang ini 180 kali. Kira dari zaman bila tu? It looks like I’ve to eat my own words, akaklah yg lebih patut buat blog sendiri.

  4. mat says:

    terima kasih ustaz.rasa macam kena penampar

  5. adi_sg says:

    kita perlu faham juga kewujudan instinct ‘self-preservation’ ni di dalam diri manusia apabila mempertahankan sesuatu yang dianggap ‘sacred cow’ – maruah diri, adat nenek moyang dan sebagainya.

    dan kadangkala reaksi sedemikian boleh dielakkan jika pihak2 yang berbincang itu bijak mengatur susunan kata secara lebih berhikmah – yakni statement yang bersifat ‘open ended’ yang mengajak kita berfikir dan mengkaji, bukan statement yang seolah-olah memaksa kepada pendapat muktamad.

  6. Saidannursi says:

    ermmm, nampaknya pelan rumah sudah siap, cerucuk pun sudah ditanam. Tidak sabar rasanya untuk melihat rumah yang akan siap dibina nanti.

  7. shiha says:

    Salam..

    Bila baca komen Abu Saif yang #2 tu, macam ada kesinambungan dengan artikel Dr. MAZA “Bersikap Adil Dalam Penilaian” [http://drmaza.com/] :D . Setuju.

    Wasalam.

  8. madulebah says:

    A very good piece of writing. Setuju benar saya ustaz. Semoga kita semua mampu mendidik diri dalam berbahas secara rasional, menilai secara adil dan menghargai persekitaran.

  9. KakTia says:

    Salam Ustaz
    Pengalaman bertahun-tahun berganding bahu dengan seorang berketurunan Indonesia dilahir dibarat dan di besarkan secara barat, amat memberikan saya sebab merasa artikel ini dekat dihati saya.

    Perbezaan keyakinan diri amat ketara walaupun keupayaan kerja saling “complementary”. Saya macam orang kurang keyakinan diri dan beliau terkadang yakin keterlaluan. Dii situ juga saya dapati anak bangsa kita yang suka memperlekeh kebolehan rakan kerja saya padahal diri sendiri tidak mencapai standard daya kerjanya.

    Nasihat saya pada semua terutama anak2 muda buatlah kerja sungguh2 (bak kata ustaz kat TV malam tadi .. buatlah kerja betul, betul betul) belajarlah untuk tidak segan bercakap akan kerja2 betul dan jangan memandang rendah atau pun irihati kepada orang yang berkebolehan. Rise up to them.

  10. abu dzahin says:

    apa yang abu saif’lontarkan’ ada betulnya…namun sebagai muslim yang dididik dengan penuh adab dan kesopanan, setiap tindakan, idea dan pengucapan harus menjadikan ‘sunnah dan adab Islam’ sebagai indikatornya.
    jangan pula terlalu yakin sehingga memijak perasaan orang lain.
    “Islam itu indah..”
    -abu dzahin.

  11. Amin Ahmad says:

    Salam ya Ustaz,

    Dari pemerhatian saya, selalunya dalam apa yang kita sebut perbahasan, kita telah mendahulukan keputusan kita. Justeru, kita akan bermatian mempertahankan pandangan kita sama ada tentang pandangan diri sendiri atau idola atau subjek yang kita telah dulukan keputusannya.

    Atas sebab itu, dalam perbahasan, jarang kita cuba meneroka apatah lagi sedia menerima pandangan baru.

    Prof. Khoo Khay Kim pernah melontarkan pandangan beliau tentang budaya membaca di Malaysia yang disifatkannya tidak bagus iaitu budaya hanya membeli bahan-bahan bacaan yang kita telah terlebih dahulu bersetuju dengan idea di dalamnya. Dalam erti kata lain kita tidak berminat mencabar atau membaiki kepercayaan atau pandangan kita (atas maksud mengukuhkan lagi).

    Kita berasa malu jika berlaku salah pandangan dan sbgnya kerana kita telah diprogram untuk tidak bertanya, tidak kritis, tidak bersuara dan sbgnya. Maaf cakap, di Universiti juga ada kalangan pensyarah yang tidak berminat malah akan menghukum siswa yang bertanya! Entah apa jenis pakar yang begini juga saya tidak faham.

    Mungkin benar pandangan Kant bahawa keperluan Pencerahan itu adalah untuk mencabar ketidakmatangan yang ditempa sendiri. Jauh lebih awal dari itu, Rasulullah s.a.w. telah menegaskan wahyu Allah s.w.t. untuk kita keluar dari kegelapan dengan menawarkan cahaya Islam kepada kita.

    Marilah kita mempersembahkan kehebatan teks (wahyu a.k.a. Al-Quran) dalam konteks (peredaran zaman)!

  12. ummininasma says:

    Salam.

    Mengingatkan saya pada satu puisi oleh Muhammad Hj Saleh – “Si Tenggang Homecoming”. Satu perspektif yang berlainan dan menarik.

  13. Sharudin says:

    Salam stamina

    1. Masaalah terkurang dan terlebih keyakinan telah disentuh dahulu. Bukan bermakna tak nak sentuh lagi. Selagi semalam makan, harini makan dan esok pun makan, begitulah seharusnya isu-isu perlu disentuh, bagi menjadi makanan rohani iaitu kepada akal yang sentiasa juga lapar. Janganlah sampai kita hanya mengingatkan selera tekak sahaja tanpa mahu sentiasa mengingati selera otak, yang perlu kepada pemakanan yang sesuai juga setiap hari. Apabila terkurang makan, akal kita pun susah nak tahu terkurang ke, terlebih ke, keyakinaan diri kita membuat sesuatu.

    2. Yang nak disentuh, pertamanya, adalah tambahan yang Ustaz buat, “jangan jadikan sesiapa sebagai idola sebab idola itu ialah subjek sembahan”. Dan pemikiran yang beridolalah yang boleh disalahguna oleh perasaan, sehingga luput keyakinan kepada diri sendiri. Segala-galanya hendak dirujuk kepada idola, macam-mana idola buat itu dan ini, tanpa mahu mengetahui, kadang-kadang idola yang diikutinya itu menjadi bosan dengan perangai pengikutnya. Tak kurang juga, ada yang mengambil kesempatan mengetahui si idola mempunyai pengikut yang ramai, apa kata kalau diexploit dengan menjadikan satu perniagaan.!

    3. Orang Yahudi, yang mengaku mereka sahaja umat terpilih Allah dan sombong kerana kononnya mereka dari isteri tuan dan bukan isteri hamba (pembantu) dari keturunan Nabi Ibrahim ra, mempunyai kecenderungan memperlekeh, mempermain dan memperkecil nabi-nabi Allah yang diturunkan kepadanya. Beberapa generasi selepas itu, berdasarkan sejarah yang diamati, penekananan orang yang diberikan Kitab oleh Allah, tersasar juga dalam membuat pembetulan, dengan terlalu mengidolakan nabi mereka, sehingga nabi mereka diangkat menjadi anak Tuhan. Nastaghfirullah, manusia ni, susah betul, sekejap terkurang sekejap terlebih, nak cari yang ngam-ngam (pinjamlah bahasa warga Cina kita) susah betul.

    4. Sebab itu, mencari garis pemisah atau kedudukan ngam-ngam ni memang susah. Kalau terkiri sedikit jadi Qadariah, maka menganjaklah ke kanan, tup-tup, jadi pula Jabariah. Macam cerita ini salah itu salah, jadi semua serba salah. Dan Sunahtullah pula tidak menyebelahi mereka yang serba salah. Perlunya keyakinaan memang terpapar di dalam kejadian alam semula jadi. Keseluruhan tamadun manusia terbena dari keyakinan diri individu yang kemudiannya disatukan sebagai sebuah masyarakat.

    5. Kepekaan bertindak mengikut suasana persekitaran adalah ciri-ciri asas kehidupan yang dipaparkan di dalam pengamatan Darwin. Kebolehan beradaptasi kepada pembaharuan, samada jasmani atau rohani, menentukan kejayaan sesuatu kaum menjadi penaraju tamadun dunia. Berevolusi, berubah mengikut bentuk spiral staircase (walaupun ini hanyalah ibarat, yang tidak begitu tepat menghurai proses evolusi). Tetapi itu yang perlu ada pada kita untuk kesinambungan hidup.

    6. Mengnikmati keranckan Malaysian Idol yang lahirnya dari American Idol, kesedepan KFC sehingga menjilat jari, kejantanan Shah Rock Khan dan sebagainaya, mestilah dilaksanakan dengan penuh keprihatinan minda. Kalau kita menonton cerekarama di TV, jangan jadi penonton semata. Fokuskan pemikiran kita kepada menjadi penerbit, pengarah atau penulis cerita, agar kita faham yang menyapu airmata itu adalah disebabkan oleh kejayaan kita mengolah suasana. Oleh itu apabila kita keluar di dunia nyata, kita tahu untuk membuat kira-kira.

    7. Memang benar kekalahan kita sebagai Muslim selalunya kerana bukan kerana dipintas, tetapi kerana kekurangan nafas. Kekurangan kerana sikap tidak mahu berlatih sebelum memasuki gelangang bertanding. Ingat dulu, kalau padang kosong, kita tak hendak menjadi pertama yang ke padang. Ada keluangan masa kita tidak berlatih untuk mendapatkan stamina. Kita telah dibekalkan dengan segala petunjuk dan rujukan, kita syairkan dan dendangkan sampai lupa nak mengambil teladan. Bila bukan-Muslim mula berlari di padang, tercungap-cungaplah kita menerjarnya kerana tak berlatih mencari nafas.

    8. Bila dah kalah kerana kekurangan nafas, tak terima pula yang kita perlu berubah. Belajar dari kesilapan. Dituduhnya lagi pemenang berkonspirasi dengan pengadil. Kita yang tak punya stamina, macam mana nak keluarkan masa pertandingan. ”Orang yang tidak memilik sesuatu, tidak memberi apa yang tidak dimilikinya itu”. Yang tidak ada pada dirinya, hendak dikelukarkan sementara untuk diperiksa (buat kira-kira), sampai unta masuk lubang jarum, baru berjumpa benda tu! Mengejar bayang-bayang, kalau berstamina pun, letih mengejar tapi tak dapat.

    9. Yang sulit sedikit ialah apabila kita berusaha berlari laju, mereka yang tak dapat mengejar menyalahkan kita belari terlalu laju, sehingga tak terkejar, katanya. Mulalah digunakan emosi-emosi negatifnya menyusun cerca. Ujub, riak, takkabur dan yang setara, terkeluar dari mulutnya mengata. Baik sikit berligar dibenaknya. Bukan tak kasi guna emosi tu semua, tapi gunakannya secara sementara dan dengan tujuan yang berguna. Berhemah pada diri, itulah maknanya. Jangan sampai disalah guna. Tak akan berjaya, hanya badan yang merana.

    10. Idea datang hasil dari keyakinan yang dijaga dan di bela. Bak penutup Ustaz, “Jika kita hadkan contoh kepada tokoh-tokoh Muslim seperti Tahtawi, al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Sayyid Ahmad Khan, Maududi, al-Banna, Sayyid Qutb malah Iqbal dan Fazlur Rahman, nama-nama ini mungkin tidak dapat berdiri dalam tradisi keilmuan kita jika kritikan mereka dipadam oleh tuduhan bahawa mereka ini perasan bagus dan sebagainya. Kritikan mereka sungguh tajam, dan kerana ketajaman kritikan itu, mereka berjaya mengemukan pelbagai idea yang kurang kelihatan di mata banyak.” . Cuma macam kena ubah ayat sebelumnya “Saya yakin, mustahil akan lahir idea-idea yang bernas di dalam seluruh sejarah manusia jika budaya kita ini menguasai perbahasan.” Buang ‘mustahil’ atau tambah ‘tidak’ atau ‘tiada’. Agaknya!

    Terima kasih

  14. imad_hukm says:

    assalamualaikum..
    saya rasa yang penting ialah:
    - apa yang betul – ..bukannya.. – siapa yg betul – ..wallahua’lam

  15. dan jangan lupa, apa yang betul memang betul. tetapi ada satu langkah lagi iaitu kesesuaian ditempat yang betul untuk ianya menjadi sesuatu yang praktikal

  16. abu mujahid says:

    Assalamualaikum
    Alhamdulillah , satu kupsan yang sunnguh tajam
    Allah berfirman
    “Kamu adalah umat yang terbaik yang diturunkan kepada manusia, menyeru manusia kepada makruf , mencegah manusia dari mungkar dan beriman kepada Allah
    Minta Ustaz cek surah mana pasal saya dah lupa

    Kalau diamati dari Ayat di atas Allah sendiri telah mengiktiraf kita Umat Islam mempunyai harga diri
    Tetapi harga diri yang diiktiraf oleh Allah mestilah
    1. Ajak manusia kepada kebaikan
    2. Cegah manusia dari melakukan kemungkaran
    3. Beriman kepada Allah

    Secara x langsung kita umat Islam adalah dai @ pendakwah, sebagai pendakwah kita perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi ini tidak bermaksud kita mempunyai sifat riya’ atau takbur kerana Ikutan kita RasullAllah sebagai pendakwah yang mempunyai keyakinan diri yang tinngi, sekranya RasulAllah tidak mempunyai sifat ini bolehkah Islam ini disebabrkan seperti hari ini
    Lihat para sahabat yang mempunyai sifat ini, seorang Sahabat sanggup berdepan dengan Kaisar Rom hanya dengan adanya sifat ini Beliau sanggup berkata pada Kaisar Rom yang zalim dengan kata-kata ” Kami datang untuk membebaskan manusia dari menghambakan diri sesama manusia , tetapi hanya mengjak manusia menghambakan diri hanya pada Allah

    Bagi saya, kalau kita ada sifat seorang dai @ pendakwah tidak timbul sifat ria @ sombong kerana bagi seorang dai , ianya adalah pemberi peringatan bukan seorang penghukum

    WalAllahuallam
    Abu Mujahid
    Ipoh

  17. raIHaN says:

    Setuju ngan Abu Mujahid..kupasan yg baik lagi haq..

    Sabda Nabi..
    3 golongan yg di tolak amalannya..
    1)seorg yg dermawan yg mana dia suka org memanggil dan mengingatinya sebagai dermawan..
    2)seorg syuhada yg ingin org ramai mengenali/mengingatinya mati sebagai syuhada
    3)seorg yg alim ulama belajar agama utk pandai berpidato

    Allahuakbar! takutnya jika niat terjerumus ke arah itu..

  18. firstimer says:

    ustaz, bagaimana membezakan antara kritikan membina dan membinasa?

  19. ibu says:

    oo raihan…yg ketiga tuu sangka saya selama ni boleh..belajar agama utk pandai berpidato atau membahas jika sesiapa mempersoalkan ttg islam…rupanya ditolak amalannya yer..emm thanks to ustaz dan semua…:)

  20. elfutuwwah says:

    BETUL!

Leave a Reply