JERITAN SUARA HATI 17 OGOS 1999
Bumi itu telah lama gempa
sejak Sultan Abdul Hamid II bertitah murka
menghalau Yahudi penceroboh halaman umat mulia
cuba membeli maruah dengan keping-keping Lira
licik Theoder Hertzl bapa Zionis sedunia
Bumi itu memang telah lama gempa
sejak Islam dicabut dari ketuanan negara
oleh Ataturk yang mabuk sekular dan kuasa
menghalau Khilafah ke muzium masa
membawa umat maju di bibir neraka
Bumi Turki memang telah gempa
ketika Aya Sofya diperkosa syaitan manusia
semasa masjid-masjid ditabalkan sebagai kandang kuda
tatkala tudung dan tarbus dicampak ke longkang penuh hina
bumi itu memang telah gempa
Gempa itu gempa yang telah lama
sejak Adnan Menderes digantung kerana Islamnya
sejak Necib Fazil dipenjara kerana syairnya
bahkan sejak Turgut Ozal mati dalam misterinya
mengakhiri revolusi tentera yang entah ke berapa
Gempa itu memang sejak sekian lama
semenjak cucu cicit Khalifah merempat terbuang di Perancis sana
semenjak Badiuzzaman Said An-Nursi mati entah di mana kuburnya
apatah semasa Erbakan keluar masuk penjara
bersama Erdogan yang dikurung selepas khidmat baktinya
Gempa Turki itu gempa yang maha
menggegar keranda khilafah dan syuhada’ perut buminya
gempa iman dan Islam umatnya yang mahu merdeka
melepaskan diri dari penjajahan bangsa sebahasa sekulit serupa
penyembah tokong sekularisma dan materialisma
Pagi 17 Ogos lalu menggempur lena manusia jam 3:02 yang seksa
runtuh-runtahlah bongkak sekular dan insan ketagih kuasa
gempa bumi selepas gempa anak buminya
merudum menelan insan-insan berdosa dan tidak berdosa
yang tinggal hanyalah masjid yang terpinga-pinga
kaku berdiri di celah runtuhan berpuaka
merenung kuasa Tuhan yang sudah sampai masanya
terbongkoklah anak-anak Izmit, Istanbul di halaman binasa
mencari sisa kalau ada secebis nyawa
Subhanallah…
di bucu sejadah kumengesat air mata
mengenang halaman kedua dimamah gempa
insan tersayang entah apa khabarnya
Fatih di kampung apa ceritanya
Pakcik Mehmet di perut Anatolia apa beritanya…
Tuhan, berilah peluang buat kali kedua
gempa itu, jangan dengannya Kautamatkan semua!!!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Check Also
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.