Sukar Untuk Kusembunyikan Ia

BERAT.

Sukar untuk kusembunyikan. Apakah yang mahu disembunyikan itu? Pastinya, apa yang cuba saya sembunyikan bukanlah hak orang lain. Saya bukan menyembunyikan ilmu, atau berita atau apa-apa yang menjadi kewajipan saya menyampaikannya.

Apa yang cuba saya sembunyikan, adalah sesuatu yang rumit.

Kita telah diajar oleh guru bahawa, senyuman yang biasa adalah senyuman kerana gembira. Namun, senyuman yang luar biasa adalah senyuman untuk menggembirakan orang lain. Walaupun hari dilambung sedih, jiwa resah lagi gelisah, namun demi kegembiraan orang lain, kita belajar untuk terus setia melemparkan senyuman.

Ya, inilah yang sukar saya sembunyikan.

Keresahan dan kesedihan hati di sebalik senyuman menjelang Aidilfitri. Hari Raya mengingatkan saya kepada banyak peristiwa sedih dan saya kehairanan melihat orang ramai terlompat-lompat girang menjelang Syawal, ketika menyinsingnya senja Ramadan. Pergi sudah bulan lapar, pergi sudah bulan ini tak boleh itu tak boleh.

Datang kembali bulan-bulan biasa. Bulan yang biasa dengan pelbagai kebiasaan yang luar biasa!

Ramadan ini saya menelan pahit terhadap realiti di sekeliling saya. Dunia dilanda bencana sana dan sini. Kalau Amerika dipukul taufan, tidak sukar untuk saya mencari sifirnya. Tetapi bagaimana dengan Acheh dan Kashmir? Saya sedang menghitung-hitung cause and effect serta korelasi antara kejadian dengan kejadian. Setiap kali menghitung, hati saya dibelenggu kesedihan. Tidak cukup dengan bencana alam, manusia juga semakin jauh daripada Tuhan. Ramadan seakan-akan tiada erti dan makna. Dunia sudah tidak boleh menjadi lebih buruk dan tragis daripada apa yang ada pada hari ini.

Akhirnya saya termenung mengenang gambarajah di bawah:

Ini adalah gambarajah yang saya petik daripada buku ‘Umru Ummati al-Islam wa Qurb Dhuhr al-Mahdī ‘Alayhi al-Salām (1996) karangan Amin Muhammad Jamaluddin (al-Maktabah at-Taufiqiyyah, Kaherah, Mesir). Ia diterjemahkan ke bahasa kita dengan tajuk Umur Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi dan Munculnya Dajjal terbitan Penerbitan Cendekia, Jakarta, Indonesia. Ia adalah satu sinopsis daripada himpunan hadith-hadith yang sahih serta hadith kategori lain yang masih di lingkungan sah untuk dirujuk.

Mahu atau tidak mahu, peristiwa di atas pasti akan berlaku. Mengingatkan orang ramai tentang Kiamat bukanlah suatu bid’ah atau pencetus huru hara, namun ia adalah pendekatan al-Quran yang sering diulang-ulang. Malah Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam juga selalu mengingatkan para sahabat dan sekalian umat Islam agar bersiap sedia, kerana dengan terutusnya Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam, bererti telah sampailah tamadun manusia ke akhir zaman.

Namun, penting untuk saya tegaskan di sini bahawa, kita tidak seharusnya paranoid. Sama juga dengan tazkirah al-maut. Kita tidak diajar supaya takut kepada kematian dan kiamat. Sebaliknya hendaklah kita mengambilnya secara positif. Kepastian mati, adalah untuk meletakkan nilai kepada kehidupan.

Inilah yang saya belajar daripada peristiwa Lailatul Qadr. Allah SWT membiarkan ia datang pada suatu malam yang tidak dapat dikenal pasti tarikhnya melainkan dengan sedikit sebanyak panduan agar Umat Islam dapat mengejarnya. Sesuatu yang tidak pasti, jika diambil secara positif, akan menjadikan kita cemerlang. Kita tidak pasti bila kita akan mati, bila akan kiamat, bila kemenangan Islam akan berlaku, bilakah Lailatul Qadr dan sebagainya. Semuanya ini, jika diambil secara positif, akan menjadikan kita bersungguh-sungguh meningkatkan usaha.

Malah mungkin kerana itu jugalah kita dianjurkan Islam supaya berniaga. Perniagaan tidak seperti kerja makan gaji. Kerja makan gaji menjadikan kita selesa di zon selamat. Produktif atau tidak, gaji tetap sama. Namun bagi yang berniaga, jika rajin berusaha, Insya-Allah banyaklah hasilnya. Apa yang penting ialah, memaksimumkan usaha di ambang ukuran masa yang tidak pasti, akan menjadikan kita cemerlang.

Inilah yang saya pegang daripada tazkirah Kiamat di ambang Aidilfitri itu. Fikir saya ialah, untuk menuju Akhirat, saya mesti mengambil falsafah tok wan kita menanam pokok durian. Mereka tahu mereka tidak akan sempat merasa buahnya. Namun mereka menanam untuk dinikmati oleh anak cucu selepas ketiadaan mereka. Mereka memberi tanpa ada terdetik rasa mahu dibalas dan menerima… melainkan ganjaran kebaikan daripada Allah semata-mata.

Mungkin umur saya bukan umur untuk bertemu dengan kehuru haraan peperangan Yakjuj Makjuj, Dajjal dan lain-lain. Namun, ia mungkin era anak saya, mungkin era cucu saya, maka tugas saya adalah untuk membesarkan anak-anak saya dengan didikan Tauhid yang jitu kerana di ambang kemunculan al-Mahdi, amat bimbang untuk saya fikirkan, adakah anak saya akan menjadi tentera Tauhid atau pengikut Dajjal yang menipu… Allah…. segeralah kita bercucuk tanam, sebelum datangnya Kiamat, sebelum berlakunya kematian diri.

Salam Aidilfitri, tangisilah pemergian Ramadan kerana berlalunya ia tanpa keampunan daripada Allah, kita hidup di ambang neraka.. Amin Amin Amin… kata Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.