Saya siarkan kembali artikel yang ditulis pada 4 September 2008 yang lalu, sebagai reaksi saya kepada isu penayangan video kematian kepada murid-murid sekolah rendah (semuda Tahun 1) yang disebut di Buletin Utama sebentar tadi (TV3 11 Nov 08). Penggunaan video tersebut dan perbahasan tentang kematian kepada kanak-kanak semuda 7 -10 tahun, adalah merupakan suatu pendekatan yang fatal oleh pihak yang melakukannya dalam usaha membentuk dan mendidik anak-anak. Tindakan yang tidak mengambil kira cara berfikir kanak-kanak pada usia sebegini adalah suatu jenayah yang boleh memusnahkan jati diri mereka sekali gus menjadi amaran kepada perunding-perunding motivasi dan guru-guru agar lebih peka. Semoga perbuatan sedemikian dihentikan serta merta – ABU SAIF
“Syurga itu cantik. Ada kanak-kanak di dalamnya”, beritahu seorang guru kepada anak muridnya.
“Orang mati akan masuk Syurga. Di Syurga semua yang kita mahu Allah akan bagi”, tambahnya lagi.
“Kamu kena ikut cakap emak ayah kamu. Macam mana kalau emak dengan ayah kamu mati? Kamu nak?” ugut seorang ustazah kepada anak muridnya yang ‘degil’.
Dialog-dialog di atas adalah dialog pelajaran ‘Zikr al-Maut’ yang disampaikan kepada murid-murid sekolah. Bagi yang lebih kreatif, penyampaikan disertakan pula dengan video-video tentang kematian dengan audio dan visual yang menakutkan.
Alasannya mudah, mengingati mati adalah sebaik-baik peringatan!
Sabda Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:
“Perbanyakkanlah mengingati perkara yang membinasakan kelazatan (iaitulah MAUT)” Hadith Hasan riwayat al-Tirmidhi.
Kata-kata Fudhail ibn ‘Iyadh yang masyhur:
Dan cukuplah mati itu menjadi peringatan (buatmu)
KANAK-KANAK
Akan tetapi kita tidak harus lupa, bahawa Islam mengajar kita supaya bercakap secara empati. Melihat keadaan manusia yang dibicarakan, sertakan membahasakan mereka sesuai dengan taraf keupayaan akal fikiran yang ada.
Justeru pesanan-pesanan tentang kematian yang tidak diteliti, bisa mengundang kesan yang sebaliknya.
Kanak-kanak menggarap idea tentang kematian itu sebagai perpisahan dirinya dengan ibu dan bapa! Ini merupakan sesuatu yang amat menakutkan mereka, dan ia menyebabkan si anak berterusan di dalam keadaan resah dan gelisah bimbangkan kehilangan insan yang disayanginya.
Malah sebaliknya, jika kanak-kanak itu membenci ibu dan bapanya atas faktor yang pelbagai, idea ‘membunuh’ ibu dan bapa sebagai penamat kepada tekanan dan penderitaan yang dihadapinya, adalah risiko yang amat menakutkan.
Ia melontarkan idea suicidal dan keinginan untuk mati kepada kanak-kanak, khususnya yang belum mumayyiz, iaitu belum berkeupayaan membezakan di antara yang baik dengan yang buruk.
THE GOOD SON
Saya teringat kepada filem The Good Son (1993) lakonan Macaulay Culkin (sebagai Henry) dan Elijah Wood (sebagai Mark). Idea tentang ‘mati’ yang disuntik secara salah kepada kanak-kanak pada usia seperti itu, telah mencetuskan pemikiran di kepala Henry untuk menjadikan kematian sebagai ‘penyelesaian’ kepada tekanan dan saingan yang tidak disenanginya.
Henry telah mengembangkan idea sociopath di kepalanya secara berperingkat. Bermula dengan perbuatan membunuh anjing jirannya, menjatuhkan patung ‘Mr. Highway’ dari jejantas ke lebuhraya hingga menyebabkan kemalangan besar, hinggalah membawa kepada suatu bencana yang mana ibu Mark, iaitu Susan (lakonan Wendy Crewson) terpaksa memilih sama ada untuk menyelamatkan Mark atau Henry! Salah seorang daripada mereka terbunuh di akhir filem ini.
Kali pertama saya menonton filem tersebut, ia amat mengganggu fikiran saya. Tetapi saya terpaksa menontonnya sekali lagi, demi untuk memahami perilaku anak saya yang bercakap tentang kematian dalam format yang mengundang cemas.
FALSAFAH MATI
Sesungguhnya kematian itu, falsafahnya tidak mudah untuk difahami oleh kanak-kanak. Pemikiran simplistik mereka menyebabkan satu-satu idea tentang kematian, ditafsirkan secara yang merbahaya. Usia anak-anak di umur pra-sekolah, adalah usia keghairahan yang tinggi untuk belajar, bertanya dan mencuba. Justeru peringatan-peringatan yang melampau terhadap kematian kepada kanak-kanak di usia sebegini, amat berisiko.
Kanak-kanak mungkin akan hidup dalam tekanan dan keresahan disebabkan oleh idea tentang mati.
Kanak-kanak juga mungkin akan berusaha ‘mempercepatkan’ kematian dengan alasan mahu berpindah atau memindahkan orang-orang yang disayanginya kepada kehidupan yang lebih baik dan indah!
PERBUATAN DAN BALASAN
Oleh itu, adalah memadai untuk anak-anak diberikan kefahaman bahawa kematian itu adalah perpindahan manusia dari kehidupan dunia kepada kehidupan baru yang mana segala perbuatan baik dibalas oleh Allah dengan kebaikan (Syurga), manakala kejahatan dibalas dengan hukuman Neraka.
Penekanan perlu dibuat kepada aspek perbuatan dan kesan perbuatan supaya berfikir tentang mati itu boleh menjadi elemen yang mendidik, dan bukan menyuntik salah faham yang fatal!
MATI HANYA DENGAN SEBAB
Perlu juga diberi perhatian oleh kita semua bahawa kanak-kanak tidak harus didedahkan dengan idea bahawa mati itu boleh berlaku tanpa sebab. Hal ini mencetuskan kegelisahan yang amat serius dan menjadikan mereka putus asa terhadap kehidupan.
Kombinasi di antara tekanan, kemurungan, putus asa, dan idea ‘membunuh diri’ sudah cukup untuk menyalakan ‘lampu kecemasan’ kepada ibu bapa untuk anak-anak ini dibawa segera mendapatkan rawatan profesional.
Mati kerana kemalangan.
Mati kerana sakit.
Mati kerana dibunuh orang jahat.
Nyatakan sebab-sebab yang boleh menjadi punca kematian. Sebab-sebab ini boleh berfungsi untuk mencegah mereka daripada bermain dengan alat elektrik, bermain di jalan raya dan lain-lain perbuatan yang mendedahkan diri mereka kepada bahaya.
Tetapi jangan sekali-kali diberikan idea bahawa di antara kekuasaan Allah ialah mematikan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, kerana ini membunuh jiwa kanak-kanak yang belum mumayyiz ini.
Hal ini tidaklah sama sekali bermaksud bahawa kita tidak berlaku jujur dengan mereka, sebaliknya tindakan ini adalah kerana meraikan keupayaan akal mereka yang terbatas.
BILA PERLU SAHAJA
“Nak ayah mati? Kalau ayah mati dan kamu tak pandai, kamu nak kerja apa? Siapa nak bagi kamu makan?” ugut si bapa kepada anak, semata-mata kerana anak enggan mengulangkaji pelajaran.
Kemalasan itu suatu kekhuatiran.
Tetapi menanganinya dengan idea MATI, adalah sangat melampaui keperluan malah merbahaya.
Bukanlah suatu bahan pendidikan yang baik, untuk kanak-kanak yang memiliki segala cita-cita dan impian masa depan ini, di’basuh’ dengan idea tentang kematian secara berterusan. Ia sepatutnya dibicarakan hanya apabila datang keperluan. Misalnya semasa dia bertanya, atau melihat peristiwa kematian ahli keluarga dan yang seumpama dengannya.
Bercakaplah tentang mati hanya semasa perlu sahaja.
HARAPAN UNTUK HIDUP
“Kawan saya sakit macam awaklah. Tiga hari lepas tu dia meninggal dunia!”, kata seorang lelaki semasa menziarahi rakannya yang sedang menerima rawatan di hospital.
Orang seperti ini bukan sahaja bercakap dari kerendahan mentalitinya, bahkan ia menyalahi Sunnah yang diajar oleh Baginda Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam. Justeru pesakit harus didamaikan jiwanya dengan harapan dan dorongan untuk sembuh dan bukannya bercerita tentang mati dan harga terkini untuk semeter kain putih!
Begitu jugalah perihalnya dengan kanak-kanak.
Mereka sedang belajar untuk melihat dunia. Jiwa mereka penuh harapan dan cita-cita.
Menjadi suatu jenayah apabila segala potensi ini dibunuh oleh kesalahan kita memperkenalkan silibus manusia tua yang degil seperti kita, kepada kanak-kanak yang fitrah dan luhur itu.
Pepatah Arab menyebut:
لكل مقام مقال
“Setiap tempat itu ada topik bicara (yang sesuai dengannya)”
Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya adalah suatu kezaliman.
Justeru ibu bapa dan guru, jangan zalimi anak-anak kita, biar pun pada soal sebaik Zikr al-Maut!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
RUJUKAN
Al-Maut fi Adzhaan al-Sighar oleh al-Fatih Sha’ban