Pratonton Teledrama Cinta Sempurna

Cinta Sempurna sudah selesai penggambaran lebih tiga minggu yang lalu.

Saya telah diberikan salinan sebanyak lima episod pertamanya untuk pratonton bagi tujuan penilaian dan sekali gus memberikan maklum balas berkaitan. Insya Allah majlis pratontonnya untuk media akan berlangsung pada 4 Ogos akan datang di permis ASTRO OASIS dan teledrama Cinta Sempurna akan disiarkan menjelang Ramadhan tidak lama lagi.

Lima episod hanyalah 1/4 daripada keseluruhan drama.

Saya masih menunggu peluang untuk menonton keseluruhan 20 episodnya sebelum pandangan yang komprehensif dapat dikongsi.

Secara umumnya, setelah menonton kelima-lima episod pertama Cinta Sempurna, saya dapat melihat gap yang jelas di antara keberkesanan lakonan para pelakon senior dalam menggarap watak, berbanding dengan pelakon baru yang masih ada banyak ruang untuk mereka memperbaiki mutu penghayatan masing-masing.

Konflik yang cuba ditimbulkan kesan ribut kesedaran Datuk Burhan terhadap anak-anaknya, Shila dan Najib, yang baru pulang ke Malaysia berjaya disampaikan. Kehadiran Cikgu Tina sebagai jurulatih dialog Bahasa Inggeris menampakkan kualiti ekspresi bahasa yang baik. Shila bertutur dengan ragam bahasa British yang amat baik.

Namun saya rasa terganggu dengan sikap terlalu berhati-hati sesetengah pelakon menuturkan bicara mereka sehingga mengurangkan keberkesanannya.

Agak kurang natural.

FLASHBACK

Drama Cinta Sempurna pada lima episod pertama ini banyak diisi dengan flashback.

Tindakan Datuk Burhan membelakangkan isterinya dengan menghantar Najib dan Shila ke sekolah agama menimbulkan culture shock kepada dua beradik ini. Datin Zarina bertindak drastik mengeluarkan anak-anaknya dari sekolah agama tersebut dan meminta adiknya melarikan Najib dan Shila ke London.

Segalanya bermula di situ.

Pelakon kanak-kanak yang menyokong watak Najib dan Shila semasa kecil juga memuaskan hati saya menontonnya. Adik Eyra Hazali dan Haziq Aqmal wajar diberi pujian atas lakonan mereka yang meninggalkan kesan kepada penonton, biar pun muncul seketika.

LIMA PEMUDA UTAMA

Sehingga episod kelima, watak Ustaz Nazir lakonan Ashraf Muslim belum muncul. Ustaz Nazir sebagai elemen buku bertemu ruas akan berkonfrontasi dengan Shila dalam bentuk yang unik dan tersendiri.

Watak Shila, seorang graduan undang-undang daripada Lincoln’s Inn, dimainkan oleh Tengku Tiara dengan baik. Gayanya bercakap dengan memek muka menghasilkan ekspresi provokatif yang sangat menyakitkan hati tetapi pada masa yang sama, ada rasa simpati memikirkan tentang kosongnya diri beliau dari pegangan hidup.

Shila seorang yang liar, tetapi sikap suka bertanya menyelamatkannya. Saya menantikan episod-episod yang seterusnya untuk mencari buah yang boleh meredakan rasa tidak puas hati penonton dengan perangai Shila pada lima episod pertama.

Cuma mungkin ada banyak pengulangan pada penggunaan ekspresi muka yang sama, sedikit mencacatkan penghayatan watak.

Najib dijayakan oleh Fizo Omar. Biar pun saya tidak dapat mengesan loghat Scottish pada Najib yang belajar di Edinburgh, Scotland, namun usaha Fizo berada di tahap yang baik. Biar pun tiada dalam skrip asal, saya sedikit terkejut namun berpuas hati apabila Najib yang agak kurang bercakap, tiba-tiba mengungkapkan pandangannya tentang Tuhan hingga dianggap oleh ustazah sebagai inches away from MURTAD.

Akbar Azmi melakonkan watak Izhaman.

Akbar Azmi melakonkan watak Izhaman. Saya  belum begitu jelas dalam mengesan apakah kriteria Izhaman yang sebenar, tetapi mungkin itulah sebenarnya yang dimaksudkan. Beliau berada di antara ‘menyerang’ dan ‘menyerah’, Izhaman kekal sebagai teman semenjak kecil untuk Shila dan Najib.

Penampilan Akbar buat pertama kalinya sebagai pelakon, masih ada banyak ruang untuk penambah baikan.

Demikian juga dengan Dr. Najihah lakonan Faezah Elai, menanti kemunculannya pada episod-episod yang akan datang.

PELAKON TAMBAHAN YANG BERPERISA

Hebatnya drama Cinta Sempurna itu, pelakon-pelakon tambahannya yang hebat.

Merekalah yang menceriakan suasana, meredakan ketegangan mesej yang dibawa di sepanjang drama, dan menyuntik elemen komedi bersahaja yang baik.

Saya suka dengan campur tangan tukang kebun Datuk Burhan, Balan, dalam menegur sikap Najib yang bangun lewat dan tidak bersolat.

“Saya pun sembahyang, apa pasal Najib tak sembahyang?” tanya Balan yang beragama Hindu kepada Najib, seorang Muslim berdaftar.

Kedua ibu bapa Najib dan Shila, yang dijayakan lakonan mereka oleh Mahmud Ali Basha dan Maria Farida, banyak mengukuhkan suasana yang cuba dibentuk oleh jalan cerita. Mereka mengolah dialog, bahasa tubuh, memek muka, yang menampakkan campur baur rasa rindu kepada anak, marah dengan kelakuan mereka, berharap mereka berubah, keliru dengan konfrontasi si anak dan kesungguhan mengikhtiarkan penyelesaian. Kesemuanya dilakukan dengan bakat dan pengalaman yang terserlah.

OVER CONFIDENT

“Kamu biadab dan membuang masa saya!”

Ustaz pertama yang dihadapkan kepada Najib dan Shila terlebih yakin.

Pengalamannya bergaul dengan remaja rosak, yang menurutnya terpengaruh dengan Orientalis dan Barat, menyebabkan beliau begitu yakin dapat berdepan dengan Najib dan Shila.

Watak anti Barat itu sangat baik ditonjolkan.

“Ada kumpulan nasyid tu, dok nyanyi Thank You Allah, Thank You Allah. Astaghfirullah. Apa, mereka ingat Allah tu Tuhan Barat ke?” katanya sambil kencang memetik tasbih.

Malang sekali, ustaz itu terlalu cepat melenting dengan provokasi Najib dan Shila.

Demikian juga dengan ustazah kedua, yang pendekatannya cuba mengenengahkan unsur-unsur hikmah dalam bertudung, akhirnya kalah dengan penghinaan Shila kepadanya.

Pening dengan asap rokok Shila dan kamera Najib.

She came for answers, not questions. She is not ready to answer my questions!” bentak Shila kepada Datuk Burhan yang marah dengan kelakuannya dan Najib terhadap ustazah itu.

Saya masih menanti baki 15 episod untuk ditonton.

Setakat lima episod pertama, saya berpandangan kehangatan minda dan emosi penonton sedikit lambat terhasil disebabkan oleh continuity cerita yang terlalu berhati-hati.

Namun syabas kepada Ustaz Zabidi Mohamad atas satu lagi penghasilan cerita yang baik ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.