Andai Kau Tahu

“Assalamualaikum Ustaz” saya memberi salam sambil mengetuk pintu.

“Wa alaikum al-Salaam wa Rahmatullaah wa Barakaatuh” jawab Ustaz Zamri, Pengetua sekolah.

Salam sentiasa beliau jawab dengan ungkapan penuh, teladan buat anak-anak muridnya.

Saya resah melihat wajah Ustaz Zamri yang cemas. Sudah hampir 6 tahun saya duduk di bawah didikannya. Air muka beliau sudah amat dekat dengan diri saya. Cemasnya, gembiranya, marahnya, sudah nampak sebelum terbit kata-kata mengiyakannya.

“Ada apa-apa masalahkah ustaz, saya dipanggil ke bilik?” saya memberanikan diri bertanya.

“Ana mahu bertanya kepada anta sesuatu. Anta jangan terkejut dan jawab dengan jujur…” Tuan Pengetua menuturkan kata. Tegas, tersusun dan berat bunyinya.

“Insya Allah” saya menjawab.

“Malam tadi ada sekumpulan pelajar datang ke rumah ana. Mereka memberitahu ana bahawa anta telah memberitahu pelajar-pelajar lain di sekolah, menuduh ana sebagai agen Yahudi dan Nasrani di sekolah ini. Benarkah cerita itu?” tanya Ustaz Zamri kepada saya.

“Astaghfirullaah!!!!” saya hampir putus nyawa.

Terkejut dan tergamam.

Saya menekap tangan di dada menahan degup yang kencang.  Bagai dipanah halilintar.

“Astaghfirullah. Ya Allah, ustaz…. walaupun ada salah faham berlaku antara ana dan ustaz, ustaz marah dengan ana, dan ana juga ada rasa marah dengan ustaz, tetapi demi Allah, Wallahi, ana tidak pernah dan tidak sekali-kali akan bercakap seperti itu. Ia tuduhan yang amat berat ustaz. Fitnah yang amat besar,” saya memberitahu.

“Ya, ana kenal anta. Ana tahu anta tidak akan memfitnah ana begitu. Zaujah ana juga menangis semalam semasa mendengar kisah ini,” kata Ustaz Zamri.

“Siapakah mereka ustaz?” saya meminta kepastian.

“Biarlah ana rahsiakan. Mereka memberitahu yang ketika sekolah menyokong anta, mereka tetap menyokong ana!” beritahu Tuan Pengetua.

Saya menghormati tindakan Ustaz Zamri merahsiakan nama pelajar-pelajar yang memfitnah saya itu.

“Siapa lagi yang tahu akan hal ini?” saya bertanya lagi.

“Hanya anta, ana dan zaujah ana, serta pelajar-pelajar itu,” kata beliau lagi.

Saya sudah hilang perkataan. Tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi.

KISAHNYA

Semenjak sebulan dua yang lalu, keadaan di sekolah tidak tenang.

Tetapi tidak tenang itu hanya dirasa oleh mereka yang dekat dengan Musolla dan aktiviti-aktiviti yang diatur oleh Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Atas sebab yang pelbagai, BADAR sebagai badan induk sekolah tidak mendapat kerjasama semua pihak, dan banyak tekanan yang saya alami sebagai Presiden BADAR sesi 1991 / 1992.

Peruntukan persatuan disekat.

Saya diminta untuk menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh BADAR kepada kedai-kedai buku. Saya membantahnya kerana hutang-hutang itu berlaku pada sesi-sesi BADAR yang lepas apabila urusan jual beli buku oleh gerai BADAR dengan kedai-kedai buku tidak dilakukan dengan baik. Rekod tidak jelas dan banyak salah urus berlaku.

Bagaimanakah mungkin beban hutang itu diletakkan ke atas saya dan exco BADAR sedangkan ia tinggalan sesi-sesi lepas? Saya bukan pakar undang-undang, tetapi saya tidak dapat melihat di mana rasionalnya pihak sekolah meletakkan tanggungjawab melunaskan hutang itu ke atas kami yang dilantik menjadi pemimpin BADAR sesi berkenaan.

Mungkin kemuncaknya ialah apabila saya disindir semasa melintas pejabat sekolah oleh salah seorang ustaz, “bila nak bayar hutang BADAR?”

Anak muda yang panas baran ini menjawab, “ustaz, RM250 yang ustaz-ustaz bisingkan tu, bukannya hutang ana. Tapi yang beribu-ribu duit sekolah disalah urus tu apa cerita? Ustaz jangan ingat ayah saya mati, dia bawa dokumen-dokumen dia masuk ke kubur!”

Ustaz berkenaan amat terkejut.

Kebetulan, ayah saya bekerja di bahagian kewangan pejabat agama. Beliau menceritakan kepada saya tentang tender-tender yang membabitkan pihak sekolah terlibat di dalam salah tadbir dan urus (saya lembutkan istilah-istilah di sini berbanding istilah sebenar yang digunakan). Ia menjadi jawapan kepada persoalan mengapa kualiti makanan di dewan makan sekolah sangat teruk pada satu ketika.

Tidak lama selepas ayah saya jelaskan abnormality yang ditunjukkan pada dokumen-dokumen kerjanya kepada saya, beliau meninggal dunia mengejut.

Salah urus itu terus lekat di kepala saya, tetapi saya anggap ia bukan urusan saya yang hanya seorang pelajar.

Tetapi apabila RM250 hutang BADAR sesi lepas itu dibesar-besarkan ke atas kami, hingga kami dicadangkan bekerja semasa cuti selepas SPM untuk membayar hutang tersebut, saya hilang sabar.

Semenjak itu, hubungan saya dengan pihak sekolah menjadi tegang.

Ayah baru meninggal dunia, SPM hanya di balik masa, saya diasak dengan isu yang terlalu berat untuk difikirkan oleh seorang pelajar yang hanya berusia 17 tahun ketika itu.

Selesai sesi pentadbiran BADAR 1992, kepimpinan diganti oleh pelajar STA1 iaitu sahabat saya akhi Adhar bin Baharim. Beliau memimpin BADAR sesi 1992/1993. Kepimpinan BADAR era Adhar juga terpaksa beraktiviti dalam keadaan yang sangat terbatas akibat hubungan yang tegang di antara BADAR dengan pihak sekolah.

Selepas sesi pentadbiran BADAR 1992/1993 berakhir, BADAR berdepan dengan krisis kepimpinan. Sulit sekali mahu dicari pengganti barisan exco kepimpinan BADAR pada tahun tersebut. Setelah mesyuarat demi mesyuarat diadakan oleh Adhar dan exconya, mereka mengambil keputusan untuk mengusulkan pelantikan saya sebagai Presiden BADAR sesi 1993/1994. Saya ketika itu belajar di STA1 sebagai persediaan untuk ke al-Azhar jika lulus peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA).

Saya menolak kerana masih trauma dengan tugasan sesi sebelumnya. Tetapi atas desakan kawan, saya serahkan segalanya kepada keputusan ramai dan pihak sekolah.

Seperti yang dijangka, usul perlantikan saya ditolak oleh pihak sekolah.

Dalam masa yang sama, tiada peruntukan diluluskan untuk BADAR dan semua yang terbabit berada di dalam keadaan genting. Muktamar BADAR akan  berlangsung tidak lama lagi, bersama dengan program Ijtima’ Pelajar Islam Seluruh Perak dengan Sekolah Izzuddin Shah sebagai tuan rumah. Surat jemputan sudah dihantar ke semua sekolah di negeri Perak. Malangnya urusan pemilihan pucuk kepimpinan badan induk sekolah ini menemui jalan buntu.

Exco BADAR 1992/1993 bekerja keras untuk mengumpul dana. Mereka pergi ke pelbagai syarikat perniagaan yang wujud di sekitar bandar Ipoh memohon sumbangan dan penajaan. Akhirnya Ijtima’ berjaya dilangsungkan dengan baik.

Sejurus selepas Ijtima’ selesai, Muktamar BADAR mengambil tempat. Segalanya menjadi buntu. Saya tidak disahkan perlantikan dan malam itu exco 1992/1993 dan exco cadangan bermesyuarat. Akhirnya satu keputusan berat terpaksa dibuat kerana kami tidak nampak lagi apa-apa jalan keluar yang lain.

Saya diputuskan bertindak membuat pengumuman.

Malam Muktamar berlangsung, saya tekun  mendengar ucapan Tuan Pengetua. Beliau memberi nasihat dan saya mengambil nasihat itu lebih daripada sekadar nasihat umum, tetapi saya mahu merasakan ia sebagai nasihat Tuan Pengetua kepada saya secara peribadi.

“Ghurur ilmu, ghurur syakhsiah, ghurur tadayyun!”

Tiga bentuk ancaman itu diulas dengan panjang lebar. Diri yang tertipu dengan ilmu, tertipu dengan pandangan diri dan tertipu dengan rasa beragama. Nasihat-nasihat itu amat menggentarkan perasaan saya yang akan berucap sebentar lagi. Allah jua yang tahu betapa beratnya tanggungan perasaan ketika itu.

Semasa saya naik ke pentas, suasana di Musolla (kini Dewan Besar) sunyi sepi.

“Setelah segala usaha perbincangan menemui jalan buntu, kami sudah sampai ke hujung ikhtiar. Dengan ini saya isytiharkan, BADAN DAKWAH DAN ROHANI sebagai badan induk pelajar di sekolah, DIBUBARKAN!” saya berucap.

Seluruh dewan menjadi kecoh.

Huru-hara tercetus. Saya menangis di belakang dinding dewan kerana berasa amat terluka dengan kejadian itu. BADAR itulah yang membimbing dan mendidik saya semenjak di hari pertama saya di sekolah. Kesemua yang saya ingat tentang BADAR, adalah berkaitan dengan Islam yang saya hayati sebagai pegangan hidup. Tidak pernah saya menyangka yang BADAR terpaksa dibubarkan.

Dalam suasana yang amat kecoh itu, sekumpulan pelajar mendefiniskan ia sebagai pertembungan peribadi di antara saya dengan Tuan Pengetua. Mereka menangguk di air keruh, menuduh saya dengan suatu pertuduhan yang hampir memutuskan jantung.

GEMENTAR

Keluar daripada bilik Tuan Pengetua, saya berasa seram sejuk. Pelbagai kekhuatiran yang datang menerjah fikiran, bagaimanakah andai fitnah buruk itu tersebar?

Saya telah dihantar semula ke kelas di Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah. Ketika itu, pelajar STA di kedua-dua sekolah mengikuti kelas di SMA Raja Perempuan Taayah, manakala pelajar STPM di kedua-dua sekolah mengikuti kelas di SMA Izzuddin Shah.

“Kenapa Pengetua panggil anta?” tanya kawan-kawan semasa waktu rehat pagi itu.

“Ada orang fitnah ana. Mereka kata, mereka dengar ana fitnah Ustaz Zamri sebagai agen Yahudi dan Nasrani di sekolah,” saya berkata. Lemah sekali rasanya.

“Astaghfirullah!” semua orang mengurut dada, terkejut.

Tengah hari itu, semasa kami kembali semula ke Sekolah Izzuddin Shah, keadaan di situ amat mengejutkan. Fitnah berkenaan telah tersebar ke seluruh sekolah. Kata pelajar-pelajar yang saya temui di musolla semasa solat Zohor, kebanyakan kelas dibatalkan. Cikgu-cikgu bermesyuarat.

“Macam mana Hasrizal boleh kata ustaz-ustaz sekolah ni agen Yahudi dan Nasrani?” kata salah seorang guru di sekolah.

“Macam mana Hasrizal boleh kata ustaz-ustaz lulusan al-Azhar di sekolah ini agen Yahudi dan Nasrani?” kata seorang guru yang lain.

Fitnah asal sudah bercambah-cambah menjadi fitnah yang lain. Selama berhari-hari pembelajaran di sekolah terganggu malah ada ustaz yang berkata, “kalau ana jumpa Hasrizal, ana lempang dia!”

Saya sebagai timun yang dilenyek durian, tidak dipanggil memberi keterangan dan membuat penjelasan. Sebaliknya tuduhan semakin tersebar, meruncing dan tepu dengan kemarahan semua orang.

“Hasrizal, mari sini sekejap,” guru Bahasa Inggeris saya memanggil di tepi bilik guru.

“Guru-guru berbincang. Mereka mengambil keputusan untuk membuang kamu!” kata beliau kepada saya.

Jantung berdegup kencang. Dalam keadaan letih dan tidak bermaya, saya hanya mengangguk tanda faham.

“Cikgu rasa, sebelum kamu dibuang sekolah, lebih baik kamu berhenti. Ia lebih terhormat dan kamu dapat selamatkan maruah diri kamu,” cadang guru berkenaan yang prihatin dengan keadaan yang berlaku.

Saya menelan air liur. Ia adalah kesudahan yang tidak pernah saya bayangkan. Setelah lebih 5 tahun menadah ilmu dan tarbiyah di SIS, menyambung pelajaran ke SMAP Labu tetapi kemudian memilih untuk pulang semula ke SIS, mengakhiri sejarah saya bersama SIS dengan buang sekolah atau berhenti sekolah adalah sesuatu yang mustahil berada dalam fikiran seorang pelajar bernama Hasrizal.

Tetapi saya akur.

Persepsi manusia sungguh berkuasa.

“Anta dah habis berfikir ke?” tanya teman-teman semasa kami bermesyuarat di musolla malam itu.

“Kalau anta berhenti, puak-puak yang fitnah anta tu menang. Itulah yang mereka mahu!” tegas sahabat saya yang seorang lagi.

“Persepsi manusia tidak mudah untuk dihadapi. Berhenti itulah yang terbaik. Kepentingan ramai lebih utama daripada kepentingan peribadi,” saya bulat dengan keputusan.

Kami berpelukan dalam linangan air mata.

Subuh esoknya, selepas semua pelajar selesai mendirikan solat, saya berdiri di hadapan semua. Bagi yang ponteng solat subuh dan melepak di asrama, kepada Allah jua saya pohonkan doa untuk mereka.

“Dengan nama Allah. Di sini saya mahu membuat pengakuan, WALLAAHI WA BILLAAHI WA TALLAAHI, bahawa saya tidak pernah memfitnah Tuan Pengetua, Ustaz Zamri, mahu pun mana-mana ustaz dan guru yang ada di sekolah tercinta ini. Apa yang anda semua dengar itu adalah fitnah yang dikenakan ke atas saya dengan maksud mahu menangguk di air keruh dalam suasana konflik di antara BADAR dan pihak sekolah…

… Saya tidak mahu kerana diri saya seorang, pembelajaran di sekolah terus terganggu. Dengan itu, saya mengambil keputusan yang berat ini, untuk mengundurkan diri, berhenti daripada persekolahan agar segala-galanya boleh diperbetulkan kembali. Ampunkan segala salah dan silap saya, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya ke atas kalian semua dan selamat maju jaya, terutama kepada adik-adik sekalian. Sekian, hingga bertemu lagi, wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh”, saya menamatkan ucapan.

Pelajar-pelajar bangun, bersalam dan kami berpelukan. Banyak air mata yang tumpah di subuh itu. Suasana amat menyedihkan.

Oleh kerana ayah sudah tiada, saya menelefon ke rumah meminta Atuk mengambil saya di sekolah.

Saya cuba mencari guru-guru untuk meminta maaf dan mengucapkan salam perpisahan, tetapi tiada seorang pun yang saya temui di sekolah ketika itu.

Tepat jam 11 pagi, saya berangkat meninggalkan Sekolah Izzuddin Shah menuju ke suatu perjalanan yang hitam dalam kelam.

15 September 1993, saya terbang meninggalkan tanah air menuju ke Bumi Syam, dengan restu hanya segelintir guru dan teman yang sudi bertanya, “apa sebenarnya yang berlaku?”

CINTA YANG TIDAK PERNAH PUDAR

Cinta saya kepada sekolah tidak pernah pudar, kasih saya kepada Tuan Pengetua Ustaz Zamri Abdul Karim tidak pernah hilang. Saya mempunyai 1001 kenangan yang indah tentang Sekolah Izzuddin Shah, biar pun kesudahannya adalah suatu malapetaka yang kekal parutnya kepada diri saya hingga ke akhir hayat.

Kepada ‘10 budak hitam’ yang memfitnah saya 16 tahun lalu, saya maafkan seluruh bahagian kesalahan anda kepada saya. Tetapi mintalah ampun dari Allah atas bahagian Allah yang anda cabuli. Sesungguhnya Allah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya juga ke atas sesama manusia. Istilah ’10 budak hitam’ itu adalah istilah yang diguna pakai oleh para pelajar sekolah semasa kejadian itu berlaku. Saya sendiri tidak pasti benarkah mereka 10, atau hitamkah mereka, tetapi ia lebih kerana fitnah yang terjadi di malam yang gelap dan hitam, barangkali.

Selepas 16 tahun kejadian itu berlaku, ia masih diperkatakan orang. Pembubaran BADAR masih disebut-sebut. Dan saya juga sudah 16 tahun membiasakan diri dengan persepsi itu. Setelah 1001 proses penapis dan menyejukkannya agar bisa ditulis dalam bahasa ibrah, saya paparkan kisah ini, khusus buat generasi Sekolah Izzuddin Shah yang mendengar kisah ini dari mulut-mulut orang lain.

Semenjak kejadian itu, saya belajar sesuatu yang amat besar maknanya. Sesungguhnya kita memang boleh hidup di celah-celah manusia yang percaya dengan sesuatu yang salah tentang kita. Biarkan manusia mengeji dan mencela, kerana satu mulut dua telinga yang diberikan Allah tetap menjadikan ramai manusia lebih banyak berkata-kata daripada mendengar dengan sebaiknya.

Jangan dikejar kepuasan hati manusia. Mereka tidak berpuas hati bukan kerana kamu, tetapi kerana perang peribadi antara manusia-manusia itu sendiri dalam pertempuran iman vs hawa nafsu.

Sungguh…

Segalanya masih segar di ingatan. Memori yang setiap kali dikenang akan berdarah kembali.

Sesekali, ingin juga kujadi pelupa, untuk memadam kisah ini dari kenangan.

Andai kau tahu!

HASRIZAL
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. mustafid dahalan

    assalamu’alaikum abg chik; sy batch 1992 ~ 1996… salam ukhuwwah… terkedu sy membacanya… betulkah? AllahuAkbar…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.