Seminggu Cinta Sempurna ke Udara

Sudah lebih seminggu teledrama Cinta Sempurna ke udara.

Bersiaran pada jam 3 petang Isnin hingga Jumaat, siarannya diulang tayang pada pukul 10 malam, 4:30 pagi dan terkini nampaknya juga pada jam 5:20 pagi di Astro Oasis 106.

Saya mengikuti perkembangan Cinta Sempurna dengan teliti dan sentiasa membuat update di Facebook untuk mendapatkan maklumbalas orang ramai. Biar pun di episod awal Cinta Sempurna, ia sedikit perlahan dan longgar untuk sebuah drama 30 minit, perjalanan Cinta Sempurna terus meningkat dan menghangatkan penonton hingga ke episod 8 tengah hari ini.

RATING PENONTON

Sesungguhnya saya berasa amat terkejut apabila dimaklumkan oleh Ustaz Zabidi Mohamed selaku penulis skrip, bahawa siaran Episod 1 Cinta Sempurna bagi siaran jam 10 malam 17 Ogos 2009 yang lalu telah ditonton oleh 109,000 orang penonton! Jumlah yang jauh mengatasi catatan tertinggi teledrama Dua Marhalah sebanyak 38,000 penonton.

Bagaimanakah saya membaca rating itu?

Ia bukan soal populariti atau apa-apa nilai murahan yang sering dikaitkan dengan dunia penyiaran. Angka tersebut membantu saya untuk memikirkan tentang kejayaan teledrama Cinta Sempurna menghasilkan kelompok penonton baru yang bukan peminat drama Melayu.

“Mak saya yang tak minat drama Melayu mula minat tengok drama ustaz tu. Memang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.,” kata salah seorang rakan saya di Facebook.

I must say I’m looking forward to catching the rest of the show. Congratulations brother Hasrizal. May your blazing trail be an example for many and the path you’ve opened be available to all,” kongsi salah seorang kenalan saya, aktivis sebuah NGO Islam di ibu negara.

YOUTUBE

Dalam masa yang sama, ramai juga yang menonton teledrama Cinta Sempurna ini melalui siaran Youtube yang diusahakan oleh Hazel Channel.

Biar pun ada rasa gusar di hati krew penerbitan Cinta Sempurna apabila drama ini dimasukkan ke Youtube (pelanggaran hakcipta), tetapi saya mencadangkan agar perkembangan ini dilihat dari sisi positif dengan meyakini bahawa keberadaan Cinta Sempurna di Youtube tidak akan menjejaskan penyiarannya di Astro Oasis, sebaliknya membantu Cinta Sempurna menembusi ruang yang tidak boleh dicapai oleh Astro Oasis dan bentuk-bentuk penyiaran yang konvensional.

RELIGIOUS SKEPTICISM

Cinta Sempurna, bagi saya ialah sebuah teledrama yang membawa subjek yang sensitif ke tengah masyarakat. Subjek yang saya maksudkan itu ialah Pemikiran Skeptik terhadap Agama atau Religious Skepticism sebagaimana yang telah saya nukilkan dalam artikel lepas bertajuk Pemikiran Skeptik Yang Menyakitkan Umat pada 17 Ogos lalu, iaitu tarikh bermulanya penyiaran Cinta Sempurna di Astro Oasis.

Selepas tersiarnya artikel tersebut, saya menerima banyak jemputan ceramah untuk memanjangkan perbahasan mengenai subjek taboo yang panas itu. Namun saya terpaksa menolak kesemua jemputan tersebut kerana topik Religious Skepticism ini amat sensitif dan tidak sihat untuk dibawa ke pentas ceramah. Sama ada dibincangkan di dalam seminar dengan penyertaan panelis daripada pelbagai latar belakang disiplin akademik, atau pun saya memilih drama untuk menyampaikannya secara ‘menarik rambut daripada tepung, rambut tidak putus, tepung tidak tumpah”.

TAHNIAH

Tahniah kepada Ustaz Zabidi Muhamed atas garapan skrip yang mantap. Tidak dilupakan kepada Encik Saipul Bahri Othman selaku Pengarah kepada drama ini. Juga Encik Sahid Juri yang bertindak sebagai Penerbit. Semoga segala tenaga yang dicurahkan dan penghasilan drama Cinta Sempurna ini, menjadi pemangkin kepada kalian untuk terus berjuang menyuntik perubahan kepada genre seni kreatif tempatan.

Pastinya, syabas saya ucapkan kepada pada pelakon.

Para pelakon membaca skrip, lebih bersungguh daripada seorang murid membaca kitab. Segalanya demi sebuah penghayatan. Tertarik dengan komen Quiara atau nama sebenarnya Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan seperti yang tersiar di MSTAR, “Islam itu indah…saya hanya berdoa semoga Tuhan jauhkan diri saya dari terpesong akidah dan dapat melakukan yang terbaik untuk diri sendiri kelak.”

Kata Quiara lagi, “Memanglah saya tak tahu agama dengan mendalam tetapi sekurang-kurangnya saya tahu asas agama. Apabila membaca skrip cerita itu, saya rasa sedih dan insaf malah bersyukur kerana masih mengetahui tentang agama jika dibandingkan dengan karektor Shila yang jahil, suka merokok dan minum arak. Ini merupakan drama pertama dalam hidup saya yang membuatkan saya betul-betul menangis ketika melakonkan babak sedih.”

Kejayaan Teledrama Cinta Sempurna ini banyak dihasilkan oleh kejayaan Quiara membawa watak Shila. Masih terlalu awal untuk saya mengulas drama ini sepenuhnya, namun saya berpuas hati dengan dialog-dialog drama ini yang saya anggap sebagai kekuatan utama Cinta Sempurna.

HARAPAN

Semoga mesej Cinta Sempurna dapat menyumbang kepada insan-insan yang mencari jawapan kepada kehidupan ini yang semakin meruncing pada kejanggalan pemikiran, budaya dan pandangan terhadap hidup beragama.

Namun saya bersetuju dengan pandangan Encik Sahid semasa perbualan kami tempoh hari, bahawa di sana masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk mengemaskinikan lagi teledrama Cinta Sempurna terutamanya dari segi penampilan diri dan cara berpakaian para pelakon.

Insya Allah, usaha kecil ini bukanlah suatu produk muktamad untuk diangkat sebagai benchmark. Namun ia adalah pembuka langkah kepada terhasilnya produk seni kreatif yang mengangkat nilai-nilai murni sebagai bahan mendidik manusia.

Walau bagaimana pun, saya terus berharap agar penonton memahami bahawa cerita asal Cinta Sempurna hanya berkisar pada kewujudan watak Shila, Najib, Ustaz Nazir dan Dr. Najihah serta idea induk di dalam dialog. Ada pun jalan cerita tambahan, percintaan bersegi-segi yang bakal mencabar watak-watak ini, adalah penambahan di dalam skrip untuk mengukuhkan lagi cara idea Religious Skepticism ini ditampilkan.

Cinta Sempurna yang dijadikan kenderaan kepada pembentangan idea Religious Skepticism ini, mempunyai motif besar yang tersimpan untuk mengejutkan penonton pada episod-episod akhirnya nanti, Insya Allah.

Ada pun kritikan demi kritikan yang dilontarkan di sana sini, saya melepaskan segalanya dengan hati dan fikiran yang terbuka, biar pun sesekali bercakap di dalam tidur kesan memikirkannya.

Salam Ramadhan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.